You are on page 1of 10

a) Pilih mana-mana satu jenis kesenian Melayu beserta contoh, kemudian

jelaskan konsep asas, ciri-ciri dan kepentingan jenis kesenian tersebut dalam
kalangan masyarakat Melayu pada masa dahulu.

Negara ini merupakan sebuah negara yang kaya dengan seni persembahan warisan Melayu
Tradisional yang masih aktif hingga kini. Di negeri Terengganu telah sinonim dengan batik,
songket dan Ulek Mayang. Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa Rodat yang unik
dengan kelembutan lenggok dan nyanyian juga merupakan salah satu budaya tradisi
masyarakat Melayu yang terdapat di negeri Terengganu. Kesenian persembahan rodat
merupakan salah satu kesenian tradisional Melayu yang menggabungkan seni suara, seni
muzik dan seni tari.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), perkataan Rodat membawa maksud
sejenis tarian yang ditarikan oleh lelaki dan perempuan yang nyanyiannya (Arab) diiringi
dengan Rebana. Manakala dalam bahasa Arab pula membawa maksud berulang-ulang,
bersahut-sahutan, bersatu kembali atau berbalas-balas. Rodat merupakan hiburan tradisi
yang mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Seni
persembahan ini adalah seni yang didalamnya mengandungi elemen muzik, nyanyian dan
tarian. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan
dan pengaruh yang agak ketara. Dalam konteks ini, pantun berfungsi sebagai satu bentuk
nasihat, adat, berbudi bahasa, jenaka, kasih sayang yang disampaikan dalam bahasa yang
berirama serta indah dan mengasyikkan.

Di awal penubuhan, kumpulan rodat di Terengganu hanya terdapat dua watak atau
kumpulan utama iaitu kumpulan pengadi selaku penepuk tar yang terdiri daripada golongan
lelaki dan kumpulan pelenggok sebagai penyanyi dan penari yang juga daripada golongan
lelaki. Namun, pada era 40-an perubahan telah berlaku dengan diperkenalkan watak mak
inang sebagai penari dan penyanyi yang terdiri daripada golongan wanita. Sehingga hari ini,
corak persembahan rodat telah banyak mengalami perubahan sama ada dari segi struktur
organisasi, lagu dan juga cara persembahan. Struktur kumpulan utama rodat dibahagikan
kepada 9 orang pengadi, 12 orang pelenggok dan 5 orang mak inang. Bilangan pengadi,
pelenggok dan mak inang biasanya tidak tetap kerana ianya mengikut kesesuaian majlis
yang diadakan.

Persembahan rodat ini biasanya akan dimulakan dengan kumpulan pengadi


bersama pelenggok yang menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas. Lagu yang sering
dinyanyikan ialah lagu selawat dan dipersembahkan dalam posisi duduk lebih kurang
selama lima belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua
pengadi akan memulakan persembahan dengan Bismillahi Muala Nab Tadaina iaitu sebuah
bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan. Kemudian, para pengadi akan mengulangi
fasa ini sambil disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk
puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. yang dinyanyikan secara beramai-ramai
oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Paluan rebana tar dikatakan mempunyai variasinya yang tersendiri di mana paluan
akan perlahan ketika nyanyian atau lagu dipersembahkan manakala paluannya akan kuat
dan cepat serta nyaring ketika berebana (tanpa nyanyian). Paluan rebana tar ini dinamakan
cap. Cap terbahagi kepada dua iaitu cap panjang dan cap pendek. Cap panjang merupakan
lapan paluan secara terus menerus kemudian berhenti seketika sebelum disambung semula
dan rentak atau paluan ini dipalu mengiringi lagu rodat bernada lembut dan lunak. Cap
pendek pula adalah paluan dua atau empat kali kemudian berhenti untuk seketika sebelum
disambung kembali. Cap ini biasanya digunakan untuk mengiringi lagu rodat bernada tinggi
dan cepat.

Setelah selesai enam fasa, mak inang yang bersedia di belakang pentas akan
masuk menyampaikan persembahannya dengan mengalunkan lagu Rodat dalam bentuk
pantun yang berunsurkan kasih sayang dan pengajaran. Mak Inang akan masuk berpantun
untuk jangka masa 10 hingga 15 minit dan struktur kedudukan mak inang adalah berada
dalam keadaan berbaris iaitu berada antara barisan pengadi dan pelenggok. Apabila mak
inang memulakan pantun, pengadi akan mengiringinya dengan paluan tar sementara
pelenggok akan mula melenggok badannya mengikut rentak lagu dan paluan tar. Dalam
situasi pelenggok menyahut pantun daripada mak inang, mak inang akan terus menari
dengan paluan tar yang agak rancak dan kuat. Begitulah seterusnya, situasi berbalas-balas
pantun antara mak inang dengan pelenggok berserta pengadi berdasarkan kepada rentak
dan jenis lagu yang disampaikan.

Pergerakan tarian dalam seni persembahan rodat pada umumnya merangkumi


beberapa peringkat atau fasa berasaskan dua pergerakan utama iaitu bergerak maju ke
hadapan dan undur ke belakang dengan membawa pergerakan tangan, kaki dan badan.
Menurut Mohd. Ghouse (1994), pergerakan rodat lebih menegaskan bahagian tangan dan
kaki. Oleh itu, pergerakan tangannya tidak sehalus dan serumit pergerakan makyung atau
joget gamelan. Peringkat pergerakan dalam gerak tari persembahan rodat melibatkan
pergerakan duduk dan berlutut, pergerakan percantuman atau gabungan antara keadaan
duduk dan berdiri, serta pergerakan dalam berdiri sahaja. Tetapi tiap-tiap satu peringkat
bermula serta berakhir dengan pergerakan duduk atau berlutut.

Pergerakan tangan ke hadapan dan ke atas sambil menggulungkan jari dan sesekali
bergerak secara berpasangan-pasangan, digabung dengan pergerakan melenggok dan
melenggangkan badan oleh pelenggok dan mak inang yang mempunyai nilai estatika yang
tinggi memeriahkan lagi persembahan rodat. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa
pergerakan tarian dalam rodat adalah hasil gabungan beberapa pergerakan asas dalam
berbagai-bagai bentuk dan cara yang diilhamkan serta berpandukan sepenuhnya daripada
seni tarian tradisional Melayu.

Dari aspek lagu pula, persembahan seni Rodat ini dikatakan mempunyai 50 hingga
60 jenis lagu, namun pada suatu ketika dahulu antara lagu yang masih popular dimainkan
sehingga kini yang terkandung di dalam kitab hadrah adalah seperti di Lampiran 2. Pada
awal penubuhan kumpulan rodat, lagu-lagu yang dipersembahkan pada umumnya hanyalah
berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t serta Nabi dan Rasulullah s.a.w. Senikata lagu-
lagunya pula dinyanyikan di dalam bahasa Arab. Pada ketika itu struktur kumpulan rodat
yang ada terdiri daripada kaum lelaki sahaja bersesuaian dengan apa yang ingin
disampaikan melalui lagu-lagu dalam persembahan rodat tadi. Salah satu daripada senikata
sebuah lagu berbahasa Arab yang masih popular masa kini adalah seperti di Lampiran 3.
Oleh itu, Rodat merupakan satu hiburan yang berunsurkan ketuhanan pada masa itu.

Perubahan masa telah menyaksikan banyak kisah-kisah di dalam Rodat mengalami


pengubahsuaian demi mengikut tuntutan para penonton yang menyaksikan persembahan
Rodat. Bentuk penyampaian juga turut ditambah dengan pantun-pantun Melayu dan
menjadi sebahagian daripada agenda dalam sesuatu persembahan Rodat. Bentuk pantun
Melayu ini dikatakan mula diperkenalkan bersama-sama watak Mak Inang iaitu pada tahun
1940-an. Situasi berbalas pantun lazimnya berlaku dalam dua keadaan. Pertamanya, situasi
berbalas-balas pantun antara kumpulan Pengadi, Pelenggok dan Mak Inang manakala
situasi kedua berlaku hanya melibatkan kumpulan Pelenggok dan Mak Inang sahaja.
Pantun-pantun yang disampaikan biasanya berbentuk pantun empat kerat di mana rangkap-
rangkap pantun yang disampaikan ada hubungkaitnya dengan tempat-tempat yang menarik
dan bersejarah di negeri Terengganu khususnya. Di samping itu juga, apa yang lebih
penting adalah mesej-mesej yang ingin disampaikan adalah berunsurkan pengajaran,
nasihat, teguran dan jenaka. Hingga kini persembahan rodat telah diteruskan dengan
persembahan pantun-pantun Melayu dan para pemuisi terkenal di Terengganu turut
menyumbangkan puisi pantun untuk persembahan Rodat.

Dari segi pakaian, Mak Inang kebiasaannya mengenakan baju kurung atau baju
kebaya manakala bentuk pakaian lelaki pula yang terdiri daripada pelenggok dan pengadi
sejak awalnya hinggalah sekarang adalah berbaju melayu, bersongkok serta dikenakan
samping samada kain tenun atau songket ataupun berbaju batik. Apa yang menjadi
perbezaan antara dahulu dan sekarang adalah dari segi jenis fabrik yang digunakan.
Kepentingan Rodat adalah berfungsi sebagai satu medium pengisian bagi kehidupan
bermasyarakat di Terengganu. Contoh sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa,
lawak jenaka dan kasih-sayang yang di sampaikan dalam bait-bait lirik yang indah dan
berirama serta mengasyikkan. Menurut Rohaniza Abdullah (2017), dalam tradisi masyarakat
Terengganu, Rodat dipersembahkan dalam majlis-majlis sambutan seperti sambutan
Maulidur Rasul, perkahwinan, lenggang perut, cukur kepala, berkhatan dan bertindik. Selain
itu,rodat juga dipersembahkan oleh penduduk kampung sebagai tradisi dan tanda
kesyukuran limpahan rezeki hasil tanaman padi selepas musim menuai. Kehadiran Mak
Inang adalah salah satu perubahan yang berlaku seiring dengan perubahan semasa. Hal ini
kerana persembahan Rodat turut diadakan untuk acara di istana. Tarian Mak Inang
bukanlah dari Gerakan asal Rodat tetapi terdapat unsur-unsur tarian Inang. Dalam Buku
Citra Seni keluaran Perpustakaan Negara Malaysia (2011), di istana tarian ini ditarikan di
atas tilam dengan berdiri lutut. Namun kini tarian ini ditarikan di atas bangsal dan dalam
keadaan berdiri sahaja.

b) Nyatakan hubungan antara jenis kesenian tersebut dengan pemikiran


masyarakat Melayu dengan merujuk kepada contoh-contoh yang sesuai.

Penerimaan masyarakat terhadap kesenian rodat pada tahun 1900–1950-an amat


membanggakan. Meskipun rodat baru bertapak di Kampung Pasir Panjang, Kampung Gong
Tok Nasek dan Kampung Balik Bukit, namun kesenian ini mampu memikat hati penduduk
Kuala Terengganu ketika itu. Menurut Pak Yusof Said dalam Muhammad Irfan Nyia,
Sakinah & Tasnim (2013), pada zaman dahulu di mana sahaja rodat dipersembahkan, pasti
mendapat sambutan yang luar biasa dan bagaikan pesta. Orang ramai sanggup berbasikal
dan berjalan kaki berbatu-batu jauhnya kerana ingin menyaksikan persembahan rodat.
Tahun 1950-an merupakan zaman kegemilangan rodat di Kuala Terengganu apabila
dijadikan persembahan untuk majlis rasmi negeri dan istana. Selain itu, pertandingan rodat
yang berbentuk beradu kehebatan di antara dua kumpulan turut diadakan di Kampung Tok
Ku. Penyertaan kumpulan rodat dari serata daerah Terengganu. Hal ini memperlihatkan
daerah-daerah lain turut memiliki kumpulan rodat masing-masing kerana penerimaan
masyarakat setempat yang meminati kesenian rodat. Hal ini membuktikan bahawa Rodat
merupakan satu seni yang menghiburkan masyarakat pada suatu masa dahulu.

Persembahan Rodat merupakan seni yang berunsurkan Islam dan menyampaikan


mesej yang mengandungi nilai-nilai yang positif seperti kasih saying dan pengajaran malah
merakamkan puji-pujian kepada tuhan serta rasul dalam setiap bait. Penggunaan bahasa
pula sangat menekankan bahasa yang sopan dan baik dalam kehidupan seharian. Oleh itu,
bahasa dan lagu yang dimainkan dalam Rodat sesuai untuk dijadikan teladan buat
masyarakat Melayu agar kesantunan dan budi bahasa dapat dipupuk dan dijadikan amalan
sepanjang hayat. Tambahan pula, setiap bait Rodat turut menerapkan doa kepada semua.
Kenyataan ini dapat dikaitkan dengan Hadrah yang juga merupakan sebuah persembahan
yang memuji kemuliaan tuhan, nasihat kepada saudara seagama, doa untuk semua umat
dan sebagainya. Selain itu, pantun juga menjadi salah satu konsep dalam nyanyian rodat.
Pantun-pantun yang disampaikan biasanya berbentuk pantun empat kerat di mana rangkap-
rangkap pantun yang disampaikan ada hubungkaitnya dengan tempat-tempat yang menarik
dan bersejarah di negeri Terengganu khususnya. Hingga kini persembahan rodat masih
diteruskan dengan persembahan pantun-pantun Melayu dan para pemuisi terkenal di
Terengganu turut menyumbangkan puisi pantun untuk persembahan rodat. Pada
pandangan penulis, warisan tradisional Melayu yang mengamalkan kesantunan dan budi
bahasa mampu mendidik generasi akan datang agar menjadi seorang insan yang
mempunyai budi pekerti dan sahsiah yang baik. Contohnya:

Hai mudik ke hulu bersamalah yang lah rakit (2x)


Sambil merakit memancinglah ikan toman...
Ya Allah Negara lah cantik budaya lah yang menarik (2x)
ltulah tanda Terengganu lah Darul lman... Ya Allah (2x)

Inang bermaksud pengasuh. Oleh itu, memandangkan terdapat serapan daripada


tarian asal Inang, pergerakan Mak Inang juga turut memberi gambaran bagaimana lembut
dan sopan santunnya seorang wanita pengasuh. Manakala, penari lelaki merupakan
pasangan untuk menggambarkan keserasian dalam kehidupan keluarga atau masyarakat.
Walau bagaimanapun bukanlah seratus peratus tarian Inang diguna pakai dalam tarian
Rodat tetapi yang pasti, pergerakan seni tarian tradisional turut dijalinkan memandangkan
Rodat tidak mempunyai pergerakan yang spesifik. Namun, telah dijelaskan bahawa
pergerakannya hanya tertumpu pada bahagian tangan dan kaki yang tidak terlalu sukar
seperti tarian lain.

Di zaman awal kemunculan kumpulan rodat, soal yang berhubungkait dengan bentuk
pakaian para pemain tidak dititikberatkan. Setiap pemain rodat bebas berpakaian tetapi
kebiasaannya kumpulan pelenggok dan pengadi mengenakan baju melayu sementara mak
inang berbaju kebaya. Namun demikian, perubahan masa turut merubah pandangan dan
citarasa penerus kesenian tersebut. Pakaian telah cuba diseragamkan terhadap pelenggok,
pengadi dan juga mak inang daripada segi bentuk, warna, fabrik dan corak. Antara lainnya
adalah bertujuan untuk menampakkan penonjolan selain menjadi daya tarikan orang ramai
terhadap persembahan itu sendiri. Bagi pakaian wanita (mak inang), kebiasaannya
mengenakan baju kurung atau baju kebaya. Manakala bentuk pakaian lelaki pula yang
terdiri daripada pelenggok dan pengadi sejak awalnya hinggalah sekarang adalah berbaju
melayu, bersongkok serta dikenakan samping samada kain tenun atau songket ataupun
berbaju batik. Apa yang menjadi perbezaan antara dahulu dan sekarang adalah hanya
daripada segi jenis fabrik yang digunakan.
Kumpulan mak inang tidak mengenakan sebarang penutup kepala tetapi
mengenakan hiasan dan tidak dikhususkan kepada fesyen tertentu. Kebiasaannya, bagi
kelihatan kemas dan menarik, rambut kadang kala disanggul atau diikat kemudian dihias
sederhana. Bagi Tarian Inang, cucuk sanggul dikatakan sebagai lambang pertahanan diri
wanita dan selendang pula diletakkan di kepala sebagai simbolik kepada “melindungi diri”
dan martabat seseorang wanita manakala keronsang-keronsang yang dipin pada baju
penari wanita atau selendang pula, memperlihatkan darjat seseorang. Oleh itu, jika dilihat
daripada pandangan Islam terdapat sedikit ketidaksesuaian daripada segi penampilan
berpakaian yang dikenakan oleh kumpulan mak inang dengan mesej yang ingin
disampaikan iaitu berbentuk pujian-pujian kepada Allah dan Rasul. Keadaan ini
menyebabkan kebanyakkan kumpulan rodat yang ada pada masa kini berpegang pada
corak persembahan asal yang hanya melibatkan kumpulan pelenggok dan pengadi sahaja
di dalam mengadakan sesuatu persembahan. Hal ini kerana masyarakat dahulu tidak
seperti sekarang yang lebih berilmu dari segi agama.
Dapat disimpulkan, keunikan kesenian Rodat ialah dari segi persembahan, mesej
serta diperkuatkan lagi dengan elemen seni berunsurkan Islam dan amat dihormati kerana
merakamkan pujian kepada Allah dan kisah sejarah para Rasul. Sesungguhnya, warisan
kesenian rodat telah meniti satu zaman pertumbuhan, perkembangan serta perubahan yang
amat panjang, iaitu lebih daripada satu abad yang lalu. Ciri-ciri keunikan rodat yang
tersendiri sememangnya sukar ditandingi, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan
kesenian moden hari ini. Justeru, tidak hairanlah jika persembahan rodat masih bertahan
serta masih mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat khususnya di negeri
Terengganu Darul Iman hingga ke saat ini.
Rujukan

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. (2011). Citra Seni. Kuala
Lumpur: Perpustakaan Negara.

Mohd Ghouse Nasuruddin. (1994). Tarian Melayu. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Irfan Nyia Abdullah, Sakinah Abu Bakar & Tasnim Mohd Annuar (2013). Rodat:
Budaya Tradisi Yang Berevolusi. Wacana Seni Journa of Arts Discource. Vol (12).
Diakses pada Februari 1 2020 dari http://wacanaseni.usm.my/WACANA%20SENI
%20JOURNAL%20OF%20ARTS%20DISCOURSE/wacanaSeni_v12/WS-ART
%202%20(19-56).pdf

Rohaniza Abdullah. (2017). Citra Budaya JKKN, Memulihara & Mengekalkan Warisan Seni
Budaya Negara. Kuala Lumpur: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Umi Abdullah. (2003). Siri Mengenal Budaya Rodat (4). Kuala Lumpur: Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.
Lampiran
Lampiran 1 : Gerakan Tarian Rodat
Lampiran 2 : Lagu popular dalam Kitab Hadrah

Lampiran 3: Seni kata lagu berbahasa Arab yang


popular

You might also like