You are on page 1of 12

POTENSI DAN PENINGKATAN KEJAYAAN USAHAWAN WANITA DI

MALAYSIA

Ravi Nagarathanam
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia,
nravi@kolejmutiara.edu.my

ABSTRAK

Bidang keusahawanan telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan


perkembangan ekonomi negara, terutama negara-negara maju dan
sedang maju. Bidang keusahawanan telah dilihat sebagai bidang yang
dapat meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan
individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang-peluang
pekerjaan baru serta meningkatkan kualiti kehidupan. Perkembangan
pesat dalam bidang ini, telah menarik minat ramai individu untuk
menceburi bidang ini. Kaum wanita juga tidak terlepas untuk menyertai
dan mencipta nama di dalam industri ini dan mempamerkan kesungguhan
serta sanggup menempuhi cabaran dan masalah yang dihadapi. Tanpa
usaha yang gigih, semangat juang yang tinggi, dan kesanggupan
menghadapi cabaran, mereka tidak akan dapat mencapai kejayaan.
Kertas konsep ini membincangkan tentang usahawan wanita,
pembangunan usahawan wanita di Malaysia, faktor yang mempengaruhi
golongan wanita menceburi bidang keusahawanan, cabaran dan masalah
yang dihadapi oleh usahawan wanita dan seterusnya cadangan untuk
memperbaiki potensi dan peningkatan ke arah kejayaan usahawan wanita
dalam bidang keusahawanan.

Kata kunci: Usahawan wanita, pembangunan, peningkatan kejayaan dan


cabaran.

PENGENALAN

Industri perniagaan merupakan salah satu industri yang telah banyak menyumbang
kepada peningkatan ekonomi sesebuah negara. Di Malaysia, industri ini telah menjadi
pilihan utama dalam kalangan masyarakat. Penglibatan penduduk dalam bidang
keusahawanan, dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan
peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran. Menurut laporan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia, aktiviti perniagaan yang didaftarkan di pejabat
pendaftaran perniagaan bagi tahun 2001, telah menunjukkan, sebelas jenis usaha
niaga, perniagaan makanan dan minuman mencatatkan statistik pendaftaran tertinggi
bagi sepanjang tahun tersebut. Di samping itu, aktiviti perniagaan lain ialah
peruncitan, pembinaan dan tekstil dan pakaian (Malaysia, 2001). Keadaan ini
menunjukkan peningkatan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan di Malaysia.
Pada zaman moden ini, ramai wanita telah menceburkan diri mereka dalam
dunia perniagaan. Golongan wanita merupakan sebahagian besar daripada populasi
masyarakat Malaysia dam mereka menyumbangkan sumbangan yang besar kepada
pembangunan negara. Selain menjadi isteri, ibu dan anak, mereka juga merupakan
tunggak utama ke arah membentuk generasi Malaysia yang penyayang dan progresif
di masa hadapan. Sebanyak 49% iaitu seramai 12,557,700 orang daripada keseluruhan
jumlah penduduk di Malaysia terdiri daripada golongan wanita (Jabatan Perangkaan
Malaysia, 2009) dan 48% daripada jumlah penduduk wanita merupakan tenaga buruh
(Malaysia, 2001). Keadaan ini menunjukkan penglibatan wanita dalam aktiviti
pembangunan negara semakin menyerlah dan lebih positif.
Menurut Suaibah et al. (2007), usahawan wanita turut menunjukkan
keupayaan meletakkan diri di barisan hadapan sebagai peneraju dalam pelbagai
bidang perniagaan seperti keselamatan, makanan dan perhotelan, perubatan,
perniagaan, pendidikan, perundangan, hartanah dan industri pembuatan. Bagi wanita
Malaysia, perniagaan bukanlah satu bidang yang asing pada era globalisasi ini.
Dengan adanya sikap, komitmen dan keinginan yang ditunjukkan oleh mereka pada
hari ini, adalah tidak mustahil jika pada suatu hari nanti dunia perniagaan akan
dipelopori oleh golongan wanita ini.

DEFINISI USAHAWAN, KEUSAHAWANAN DAN USAHAWAN WANITA

Definisi Usahawan
Menurut Mazzarol (2011), usahawan merupakan individu yang berkebolehan dalam
mengambil alih sesebuah organisasi atau pengurusan dan mengetahui risiko
perniagaan tersebut. Manakala, Richard Cantillon, memanggil usahawan sebagai
individu yang berkebolehan dalam mengambil risiko dengan aktiviti membeli sesuatu
harga dan menjual dengan harga yang lebih tinggi. Di samping itu, Schumpter (1934)
mendefinisikan usahawan sebagai peniaga yang memperdagangkan barangan atau
perkhidmatan, demi menggabungkan inovasi. Manakala, Barringger dan Ireland
(2010) menyatakan usahawan sebagai individu yang boleh mengambil risiko antara
penjual dan pembeli. Tambahan pula, beliau menambah, mereka juga memasang dan
mengintegrasikan sumber-sumber yang diperlukan seperti wang, manusia, model
perniagaan, strategi dan kebolehan dalam mengambil risiko.
Manakala, menurut Greene (2000), usahawan ditakrifkan sebagai individu
yang menjalankan perniagaan sendiri. Selain itu, usahawan juga merupakan individu
yang menguruskan pertumbuhan perniagaan (Andersson, 2003). Manakala, Nor
AiniIdris (2008) menganggap usahawan sebagai golongan peniaga atau pengusaha
yang sanggup menanggung risiko, berusaha ke arah inovasi, bijak dan kreatif dalam
meningkatkan kekayaan, kekuasaan dan status sosial. Manakala menurut Norita
Deraman et al. (2007) dan Khairuddin (1996) usahawan melibatkan penglibatan
seseorang individu untuk merancang, menerajui dan mengurus sesebuah perniagaan
atau perusahaan. Manakala, Ab Aziz (2010) menyatakan, usahawan merupakan
sebahagian daripada anggota masyarakat yang diterima sebagai golongan penting
dalam pembangunan sesuatu masyarakat. Mereka memainkan peranan yang penting
dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat dengan
menyediakan pelbagai alternatif. Dalam mendefinisikan usahawan, kebanyakan ahli
akademik lebih menekankan faktor peluang seterusnya menggunakan peluang
tersebut, lebih dari pemilikan perniagaan itu sendiri.

Definisi Keusahawanan
Keusahawanan merupakan proses ekonomi yang bergerak ke hadapan melalui
bertindak, bagi kreatif atau inovasi (Mazzarol, 2011). Baringgerdan Ireland (2011)
pula menyatakan bahawa, keusahawanan merupakan suatu proses, di mana banyak
orang yang menunggu kepada peluang dan menjadikannya sebagai sumber. Secara
ringkas, usahawan dan keusahawanan merupakan suatu yang bergantung antara satu
sama lain, dalam mengeluarkan atau menjana suatu produk atau perkhidmatan yang
baru, yang melibatkan pelbagai faktor, seperti buruh, modal, sumber dan lain-lain.

Usahawan Wanita
Menurut Andrea E. Smith-Hunter (2006), usahawan wanita ditakrifkan sebagai
individu yang menjalankan perniagaan kecil, dimiliki oleh seseorang individu dengan
menubuhkan dan menguruskan perniagaan berdasarkan prinsip dan matlamat individu
tersebut. Pendapat ini juga telah disokong oleh Grondin (1994), iaitu, usahawan
wanita merupakan golongan wanita yang memiliki perniagaan yang bersaiz kecil,
sederhana dan besar. Perniagaan bersaiz kecil merujuk kepada perniagaan yang
menghasilkan kutipan jualan kurang daripada $50,000 setahun dan dimiliki secara
bebas. Manakala perniagaan bersaiz sederhana merupakan perniagaan yang
menghasilkan kutipan jualan kurang daripada $2 juta setahun dan dimiliki secara
bebas oleh wanita. Perniagaan bersaiz besar pula adalah perniagaan yang
menghasilkan pulangan jualan melebihi $5 juta setahun dan dimiliki oleh wanita
secara bebas.
Selain itu, usahawan wanita juga merupakan wanita yang mempunyai motivasi
untuk membangunkan perniagaan sendiri (McKay, 2001). OECD (2004) pula
mentakrifkan usahawan wanita adalah mereka yang membentuk kerja baru untuk diri
sendiri dan menawarkan kepada masyarakat pelbagai pengurusan penyelesaian,
organisasi dan masalah perniagaan serta meneroka peluang keusahawanan. Usahawan
wanita juga adalah wanita yang menjalankan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana
(IKS) (ShaliniSinha, 2005). Manakala, menurut Markovic (2007), kemahiran dan
keupayaan wanita di peringkat dunia dapat dipertingkatkan melalui aktiviti
keusahawanan. Selain itu, terdapat beberapa faktor yang mendorong pembangunan
usahawan wanita iaitu modal, jaringan, pembelajaran, latihan dan kaunseling serta
penggunaan teknologi maklumat (Wendy et al., 2008). Menurut Kuppusamy, et al.
(2010), usahawan wanita yang mempunyai keinginan untuk berjaya dalam bidang
perniagaan, perlu menjadi pemimpin dan pengurus yang baik. Di samping itu,
pembangunan usahawan wanita di kebanyakan negara membangun Asia, di lihat
mempunyai potensi yang besar dalam melahirkan wanita yang berdaya maju (Tulus
Tambunan, 2009).

PEMBANGUNAN USAHAWAN WANITA DI MALAYSIA

Pihak kerajaan mengadakan pelbagai aktiviti untuk memajukan dan membangunkan


keusahawanan dalam kalangan wanita. Mereka mempunyai sikap yang gigih dan
cekal, dan sikap ini begitu ketara dalam diri wanita yang berniaga. (Gusniar et al.,
2014). Walaubagaimanapun, kegigihan tersebut masih belum mampu menjadikan
mereka sebagai seorang usahawan yang berjaya, malah mereka dilihat ketinggalan
berbanding kaum lelaki. Kebanyakan usaha perniagaan yang dijalankan oleh kaum
wanita terbengkalai di separuh jalan dan pelbagai punca boleh dikaitkan dengan
berlakunya masalah tersebut. Antaranya, sikap golongan ini yang lebih suka kepada
perniagaan yang sederhana, tiada keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran
perniagaan, berlaku masalah antara kerjaya dan kehidupan peribadi, tidak dapat
menangani permasalahan persekitaran, lemah dan kabur dalam bidang yang diceburi
(Nor Aini, 2008).
Pihak kerajaan pada masa kini, semakin sedar dengan peranan dan kebolehan
kaum wanita dalam dunia perniagaan dan keusahawanan (Norlela 2008). Penggubalan
Dasar Wanita Negara (DWN) pada tahun 1989 merupakan salah satu pengiktirafan
negara kepada potensi besar kaum wanita sebagai rakan kongsi dalam pembangunan
negara. DWN digubal dengan tujuan untuk memberikan panduan dalam semua usaha
perancangan dan perlaksanaan program-program pembangunan negara agar
penyertaan dan kepentingan kaum wanita tidak terabai. Selain itu, dasar ini juga
mendorong dan mengintegrasikan penglibatan golongan wanita serta menjadikan
mereka aktif dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara. Penglibatan mereka
dalam bidang perniagaan telah menjadi salah satu agenda penting dalam Rancangan
Malaysia ke-8 di mana, (1/3) daripada 57,411 orang usahawan wanita telah menerima
pelbagai bentuk bantuan kewangan daripada kerajaan sehingga tahun 2003 dengan
jumlah pembiayaan sebanyak RM1.6 million (Ismail, 2004).
Manakala, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pula,
kerajaan telah berusaha untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi
memastikan penyertaan wanita lebih berdaya maju dalam pembangunan negara.
Wanita akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai bagi
menjadikan mereka menjadi individu yang serba boleh dan lebih berdaya saing dalam
menghadapi cabaran ekonomi yang berasaskan pengetahuan.

KAJIAN MENGENAI FAKTOR YANG MEMPENGARUHI GOLONGAN


WANITA MENCEBURI BIDANG KEUSAHAWANAN

Pelbagai kajian telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik mengenai keusahawanan


dalam kalangan wanita. Kajian Lee (1997) di Singapura mengatakan bahawa faktor
yang telah mendorong wanita menceburi bidang keusahawanan ialah unsur pemilihan
dan keputusan yang dibuat oleh individu, yang mempunyai hubungan rapat dengan
faktor psikologi dan faktor persekitaran. Dalam konteks faktor psikologi, terdapat
beberapa perkara yang mendorong mereka menceburi bidang keusahawanan.
Antaranya, motivasi wanita dari segi pencapaian, penyertaan, autonomi dan dominasi.
Dalam kajian tersebut, beliau telah membandingkan keperluan antara usahawan
wanita dengan pekerja wanita biasa. Di samping itu, mereka juga mempunyai
motivasi pencapaian dan dominasi yang tinggi daripada pekerja biasa wanita.
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah pemilihan pekerjaan wanita dipengaruhi oleh
faktor motivasi dan psikologi. Faktor pendorong usahawan menceburi bidang
keusahawanan ialah pencapaian motivasi dan dominasi yang tinggi. Hal ini telah
menunjukkan bahawa pekerjaan yang memberikan gaji yang tetap tidak dapat
memenuhi keperluan dari segi pencapaian dan kuasa. Wanita yang bekerja dengan
majikan akan berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang lain. Oleh itu, menceburi
bidang perniagaan akan memenuhi keperluan dan kepuasan mereka daripada bekerja
dengan majikan (Lee, 1997).
Di samping itu, Lee (1997) juga menyatakan latar belakang keluarga dan
pengalaman kehidupan seperti perkahwinan dan pendidikan merupakan pengaruh
kepada usahawan wanita manakala pencapaian dalam pendidikan merupakan
pengaruh yang signifikan dalam motivasi usahawan wanita di Singapura.
Cooper & Goby (1999), menjalankan kajian mengenai motivasi wanita di
Singapura yang membentuk pekerjaan sendiri. Pelbagai faktor telah mempengaruhi
kejayaan mereka dalam bidang perniagaan di Singapura. Beliau juga membandingkan
ciri – ciri profil perniagaan dan profil peribadi usahawan wanita di Singapura dengan
pemilik perniagaan di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Australia.
Selain itu, faktor-faktor lain yang mendorong usahawan wanita di Singapura ialah
peluang perniagaan, hasrat untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka,
keperluan untuk kebebasan, keinginan untuk mencapai pembangunan dan
pengiktirafan peribadi dan mempunyai hasrat untuk memperkukuhkan kewangan.
Soyeon&Eastlick (1998), telah melakukan kajian mengenai faktor perbezaan
jantina yang merangkumi latar belakang peribadi, ciri organisasi perniagaan,
penunjuk kewangan, tahap perkembangan perniagaan dan melihat masalah dalam
perniagaan secara meluas serta sumber maklumat. Manakala, Scott (1986), telah
mengkaji sebab-sebab usahawan wanita menceburkan diri dalam bidang
keusahawanan dan hasil kajian didapati mereka ingin menjadi pemilik perniagaan
kerana cabaran dan peluang untuk memperoleh wang.
Manakala di Hispanic, keusahawanan dalam kalangan wanita merupakan suatu
perkembangan yang pesat. Golongan wanita memiliki firma pengilangan,
pergudangan, pembinaan, memperbaiki monumen purba adalah suatu fenomena
negara (Hispanic Times Magazine, 1999; Sarason&Koerg, 1994).
Hisrich& Brush (1984) telah menjalankan kajian berkenaan latar belakang
usahawan wanita, sifat semula jadi bidang keusahawanan sebagai pekerjaan,
kemahiran pengurusan dan masalah semasa menguruskan perniagaan mereka.
Di Poland, Alina (1997), mengkaji mengenai usahawan wanita yang
mempunyai sifat-sifat usahawan yang berkesan. Hasil kajian didapati, tiada
kepentingan dari segi perbezaan psikologi antara usahawan wanita dan usahawan
lelaki. Usahawan yang berjaya adalah individu yang mempunyai sifat, ciri-ciri dan
perangai yang perlu ada pada usahawan yang berjaya tanpa mempedulikan faktor
jantina. Artikel beliau juga menyatakan jenis-jenis perniagaan yang dimulakan oleh
wanita di Poland, objektif perniagaan, hubungan antara latar belakang usahawan
dengan membuat keputusan untuk memulakan sesuatu pekerjaan.
Selain itu, satu kajian telah dijalankan dalam kalangan ibu tunggal di Negeri
Johor oleh Suaibah et al. (2005). Hasil kajian mendapati, faktor utama yang
mendorong ibu tunggal di Negeri Johor menceburi bidang keusahawanan adalah
untuk pendapatan. Selain faktor itu, faktor minat, sebagai kerja sampingan, dan
kurang berpuas hati dengan pekerjaan lama juga mendorong ibu tunggal menceburi
bidang keusahawanan.

CABARAN DAN MASALAH USAHAWAN WANITA

Demi mencapai kejayaan, setiap usahawan akan menghadapi tekanan dan cabaran.
Antara tekanan yang boleh dihadapi oleh seseorang usahawan adalah tekanan
dalaman dan tekanan persekitaran. Menurut Syed Zamri (2009), tekanan – tekanan
ini, boleh melemahkan dan memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal
seseorang usahawan. Namun, terdapat segelintir usahawan, menganggap tekanan ini
membolehkan mereka menjadi lebih kuat dalam usaha untuk mencapai kejayaan
dalam perniagaan. Bagi usahawan jenis ini, mereka akan bangkit apabila berhadapan
dengan kegagalan. Keadaan ini menunjukkan, mereka mempunyai sifat daya tahan
yang tinggi dalam menghadapi setiap cabaran dan akan memperoleh pulangan yang
tinggi iaitu kejayaan (Parks, 2007; Kuratko dan Hodgett, 2007; Mohamed Dahalan,
2003). Daya tahan ini akan membezakan sama ada seseorang usahawan itu akan
memperoleh kejayaan atau kegagalan dalam perniagaan.
Selain itu, usahawan perlu mempunyai persediaan untuk berhadapan dengan
cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka. Iaitu, mengenal pasti jenis dan bentuk
cabaran yang bakal dihadapi. Persediaan ini adalah penting kerana, usahawan dapat
membuat persediaan yang sewajarnya. Secara amnya, terdapat dua jenis atau bentuk
cabaran iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran (Mohamed Dahalan, 2003).
Cabaran dalaman merupakan cabaran yang mempunyai unsur-unsur yang
boleh mencabar kewibawaan seseorang dalam merealisasikan impian. Unsur-unsur ini
boleh memberi kesan positif atau negatif, dan bergantung kepada tanggapan atau cara-
cara seseorang akan mengatasinya (Nazrolnizah, et al., 2014). Contohnya, sesetengah
individu akan menganggap masalah atau cabaran yang dihadapi adalah sebagai ujian
untuk mereka membuktikan kelebihan yang ada pada diri mereka dan berusaha untuk
mencapai kejayaan. Tetapi, ada individu yang menganggap masalah adalah, sebagai
suatu punca untuk berhenti berusaha. Demi memperoleh perubahan, usahawan perlu
mempunyai cabaran dalaman iaitu mencabar dirinya sendiri ‘internal push factor’.
Individu yang boleh membantu seseorang usahawan ialah diri mereka sendiri, di
samping merujuk kepada orang yang lebih berpengalaman. Pengalaman diri sendiri
merupakan guru yang terbaik bagi seseorang usahawan dan demi mencipta
pengalaman, seseorang individu perlu mempunyai keberanian. Oleh itu, untuk
mencapai kejayaan, usahawan perlu menerima cabaran sebagai suatu perkara yang
positif dan menganggapnya satu kemestian dalam mencapai cita-cita untuk menjadi
seorang usahawan yang berjaya (Mohamed Dahalan, 2003).
Selain cabaran dalaman, terdapat juga cabaran luaran atau cabaran
persekitaran yang melibatkan beberapa peringkat iaitu peringkat keluarga (Nor
Aini&Nadeema, 2008; Kavitha et al., 2013), peringkat masyarakat setempat iaitu
melibatkan jiran atau rakan (Nadeema, 2008 dan Hawkins, 2002), dan peringkat
industri yang diceburi. Cabaran pada peringkat keluarga dapat dilihat dalam kalangan
ibu tunggal yang menjadi usahawan, di mana masalah pengurusan terutama dari segi
penjagaan dan pendidikan anak-anak merupakan suatu masalah yang amat berat untuk
diseimbangkan dengan tuntutan kerja (Nor Aini dan Nadeema, 2008). Manakala
cabaran pada peringkat masyarakat setempat (jiran atau rakan) ialah cabaran yang
berkaitan paradigma mental yang sempat. Contohnya, ibu tunggal yang menjadi
usahawan, mereka biasanya akan terdedah dengan pandangan serong masyarakat
terhadap status mereka (Nadeema, 2008 dan Hawkins, 2002).
Manakala, cabaran pada peringkat industri berlaku apabila usahawan tidak
dapat mengenal pasti industri yang bersesuaian dan mampu memberi keuntungan.
Cabaran di dalam industri ini melibatkan masalah untuk mendapatkan pembiayaan
modal dari pihak bank, tidak memahami kaedah perniagaan dalam industri yang
diceburi, masalah dalam mewujudkan rangkaian yang bersesuaian, persaingan dengan
perniagaan lain dan masalah dalam memastikan produk atau perkhidmatan yang
ditawarkan adalah bersesuaian dengan keperluan pengguna serta kemampuan
usahawan dalam meletakkan perniagaan mereka sebagai pemangkin ekonomi negara
dan menjadi penggerak utama penggemblengan sumber-sumber negara. Cabaran-
cabaran ini merupakan suatu tanggungjawab yang agak berat untuk dipikul oleh
usahawan wanita.Berdasarkan kajian yang telah dilakukan terhadap usahawan wanita
yang terlibat dalam industri makanan halal, masalah utama yang berlaku dalam
kalangan usahawan wanita ialah masalah kewangan seperti masalah untuk
mendapatkan pusingan modal dan masalah mendapatkan pinjaman. Bagi mengatasi
masalah ini, usahawan wanita perlu melibatkan diri di dalam pertubuhan perniagaan
(Nor Aini, 2007). Menurut Suaibah et al. (2007), golongan wanita yang menjalankan
perniagaan perlu menganggotai mana-mana persatuan yang berkaitan perniagaan
secara aktif. Keadaan ini adalah penting bagi memastikan mereka sentiasa menerima
maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan perniagaan mereka dan secara tidak
langsung akan menambahkan bilangan rangkaian. Terdapat pelbagai persatuan atau
pertubuhan berkaitan perniagaan yang boleh dianggotai oleh usahawan wanita seperti
Persatuan Usahawan Wanita Negeri, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan
sebagainya. Oleh hal yang demikian, usahawan wanita perlu mempunyai kesedaran
bahawa nasib mereka akan mudah diperjuangkan apabila bergerak secara
berkumpulan berbanding individu (Suaibah et al., 2007).
Di samping itu, perniagaan yang diceburi usahawan wanita tidak setanding
dengan usahawan lelaki. Menurut Maznah Hamid (1991), masalah utama berlakunya
keadaan ini adalah disebabkan sifat kewanitaan mereka. Mereka mempunyai
tanggapan bahawa mereka adalah lemah, tidak berupaya untuk bersaing, menempuh
cabaran, tidak dapat seimbangkan rumah tangga dengan alam perniagaan. Tambahan
pula, mereka juga tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan jika
berlaku masalah dalam rumah tangga. Hal ini akan menyebabkan perniagaan mereka
terjejas dan kembali semula menjadi suri rumah.
Usahawan wanita kerap menghadapi masalah semasa memulakan perniagaan
mereka (Lee – Gosselin&Grise, 1990). Usahawan yang baru memulakan perniagaan
tidak akan dapat keyakinan yang tinggi daripada pihak bank, pembekal dan
pelanggan. Selain itu, usahawan yang baru memulakan perniagaan akan mengalami
masalah keluarga dan kekurangan modal permulaan dan masalah pemasaran, masalah
dengan pertubuhan dan masalah buruh (Klein, 1993; Fay & Williams, 1993; Jones,
1990; Buttner& Rosen, 1992) dan masalah pentadbiran dalam perniagaan serta
masalah peribadi (Hisrich& Zhang, 1991; Teo, 1996).
Namun, Hisrich& Brush (1984) menyatakan kebanyakan usahawan wanita
menghadapi masalah kekurangan latihan perniagaan, kekurangan pengalaman
pengurusan, kekurangan pengalaman dari segi kemahiran menguruskan kewangan,
kekurangan nasihat dan panduan, kekurangan pengalaman mengupah perkhidmatan
luaran, kekurangan penghormatan, kekurangan penyertaan jawatan sejawat, pekerja,
perniagaan yang menarik, strategi perancangan, pemasaran dan diskriminasi.
Menurut Buttner& Rosen (1992), masalah – masalah lain yang sering dihadapi
oleh kebanyakan usahawan wanita adalah masalah pemasaran, masalah penentuan
harga, masalah pengurusan dan pentadbiran seperti kekurangan kemahiran teknik
pengurusan, masalah sosial seperti prasangka. Selain itu, masalah lain yang dihadapi
oleh wanita ialah masalah peribadi dalaman iaitu berlaku konflik antara rakan kongsi
dan pekerja, masalah pengeluaran iaitu kualiti produk atau perkhidmatan yang tidak
memuaskan, masalah pengetahuan iaitu kekurangan pengetahuan mengenai sesuatu
produk atau perkhidmatan yang dihasilkan dan masalah peribadi seperti tekanan kerja
dan tiada sokongan dari keluarga (Teo, 1996). Menurut Mohd (1996), majoriti
usahawan wanita di Malaysia menghadapi masalah kekurangan modal dan kemahiran
dari aspek pemasaran.

CADANGAN MEMPERBAIKI POTENSI DAN PENINGKATAN KEJAYAAN


WANITA DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN

Golongan wanita yang terlibat dalam perniagaan perlu menganggotai persatuan atau
pertubuhan (Suaibah et al., 2007). Dengan berbuat demikian, mereka akan
memperoleh pelbagai maklumat terkini berkaitan dunia perniagaan dan secara tidak
langsung akan menambah bilangan rangkaian. Sebagai contoh, di Malaysia setiap
negeri mempunyai persatuan atau pertubuhan yang berkaitan perniagaan yang boleh
dianggotai oleh usahawan wanita seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia,
Persatuan Usahawan wanita, Persatuan Peniaga wati dan sebagainya. Dengan
menganggotai persatuan-persatuan ini, mereka akan dapat bergerak secara
berkumpulan supaya masalah yang akan dihadapi dapat disalurkan kepada mana-
mana agensi kerajaan atau swasta yang berkaitan.Di samping itu, dengan menyertai
persatuan atau pertubuhan ini, mereka akan mendapat banyak maklumat perniagaan
dan peluang-peluang perniagaan baru. Persatuan atau pertubuhan ini berfungsi untuk
sebagai penaung dan memantau aktiviti yang dilakukan oleh usahawan-usahawan
secara sistematik. Oleh hal yang demikian, bagi usahawan wanita yang mendaftar di
bawah persatuan atau pertubuhan, akan mendapat ganjaran – ganjaran tertentu.
Contohnya mereka akan mendapat perhatian yang istimewa daripada pihak kerajaan
sekiranya mereka ingin mendapatkan bantuan. Jika terdapat permohonan serta
sokongan daripada persatuan atau pertubuhan ini, secara tidak langsung keadaan ini
akan meyakinkan pihak kerajaan atau pihak lain untuk menghulurkan bantuan
contohnya seperti bantuan kewangan seperti modal (Suaibah et al., 2007).
Tambahan pula, usahawan wanita perlu berusaha meningkatkan ilmu
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan (Kavitha et al., 2013). Bagi
meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, mereka perlu mengikuti kursus-
kursus secara formal yang dianjurkan oleh institusi – institusi latihan kerajaan dan
swasta. Selain itu, mereka juga boleh mengikuti kursus-kursus secara tidak formal
dengan menyertai seminar, ceramah dan konvensyen yang dianjurkan oleh pihak –
pihak yang berkaitan. Dengan berbuat demikian, usahawan wanita ini dapat
meningkatkan pengetahuan mereka tentang peluang – peluang perniagaan yang wujud
di sekeliling mereka. Oleh hal yang demikian, mereka sentiasa perlu peka terhadap
perkembangan semasa, contohnya mengetahui dan mengikuti pelbagai skim yang
disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan
Usahawan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Belia dan Sukan,
Kementerian Pertanian dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta lain yang terlibat
(Suaibah et al., 2007).
Selain itu, Suaibah et al. (2007) mengutarakan, usahawan wanita yang ingin
menceburi sektor perniagaan perlu membuat tinjauan dan analisis berkaitan
perniagaan yang ingin diceburi sebelum membukanya, bagi mengelakkan masalah
pada masa akan datang. Dalam hal ini, usahawan wanita yang ingin memulakan
perniagaan, patut memilih sektor perniagaan yang berpotensi dan seiring dengan
perkembangan ekonomi semasa. Mereka perlu berfikir secara bijak dalam mencari
peluang agar dapat mengembangkan perniagaan mereka. Pelbagai usaha telah
dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membantu usahawan wanita memasarkan produk
mereka ke peringkat yang lebih jauh. Contohnya dalam Rancangan Malaysia ke – 9,
kerajaan Malaysia telah menggalakkan para usahawan menceburkan diri dalam
perniagaan asas tani dengan menyediakan peluang dan pelbagai insentif serta bantuan
kepada para usahawan yang berminat untuk memperkembangkan perniagaan ke
peringkat global dengan menyasarkan Malaysia sebagai pengeksport produk tani
terbesar di dunia.
Antara cadangan dalam meningkatkan potensi kejayaan dalam kalangan
usahawan wanita di Malaysia adalah:

Pemasaran Produk Ke Luar Negara


Pemasaran produk ke luar negara dapat meningkatkan potensi kejayaan usahawan
wanita melalui produk. Bagi usahawan yang telah dapat mengetahui perniagaan yang
dijalankan mempunyai potensi untuk maju, mereka perlu mencuba
memperluaskanproduk yang dijual dengan memasarkan produk ke pasaran luar
seperti China, India dan lain – lain. Pemasaran produk ke luar negara dapat
menjadikan perniagaan akan terus berkembang dan meningkat. Usahawan wanita
perlu berani untuk memasarkan produk – produk syarikat mereka ke arah pasaran
yang lebih besar. Dengan adanya pemasaran produk ke negara luar, usahawan akan
memperoleh keuntungan.

Penciptaan Produk Baru


Selain itu, usahawan wanita perlu sentiasa berusaha ke arah inovasi produk dengan
mencipta produk baru yang berkualiti tinggi. Usahawan wanita perlu berani dan
bersedia untuk menjadi kreativiti dan inovasi serta mengambil faedah daripadanya.
Inovasi amat penting kepada setiap perniagaan sama ada produk atau perkhidmatan
dan ia bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Usahawan wanita
sentiasa perlu mempunyai usaha ke arah memperbaharui produk, agar dapat
memenuhi kehendak pelanggan mereka. Oleh itu, usahawan wanita perlu melihat
produk atau peluang dari pelbagai aspek supaya hasil rekaan produk dapat memenuhi
keperluan pelanggan. Produk baru yang akan dikeluarkan hendaklah memenuhi
keperluan pelanggan. Usahawan perlu mengenal pasti sasaran pelanggan terlebih
dahulu sebelum mencipta atau mengeluarkan produk baru mereka. Hal ini adalah
penting dalam memastikan produk tidak dikeluarkan secara berlebihan.

Mengekalkan Produk Yang Sedia Ada


Di samping itu, usahawan wanita juga perlu sentiasa mengeluarkan dan memasarkan
produk yang sedia ada di syarikat mereka. Hal ini disebabkan, memenuhi cita rasa
pelanggan. Terdapat segelintir usahawan wanita, yang hanya menjalankan perniagaan
dengan mengeluarkan produk mengikut perubahan semasa. Pemasaran produk yang
sedia ada juga penting mempengaruhi hati pelanggan. Oleh hal yang demikian,
usahawan perlu sentiasa menjalankan promosi ke atas produk tersebut. Usahawan
juga sentiasa perlu ingat bahawa pembelian barangan atau perkhidmatan oleh
pelanggan, merupakan kekuatan bagi perniagaan mereka. Selain itu, usahawan wanita
juga perlu meyakinkan pengguna tentang produk yang dijual, di samping melakukan
pembaikan ke atas produk dan perkhidmatan yang akan dikeluarkan. Hal ini penting
bagi memastikan pelanggan merasakan mereka telah membuat pilihan yang tepat.

Perhubungan Yang Sihat


Demi meningkatkan potensi dan kejayaan usahawan wanita di negara ini, mereka
perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pihak (Gusniar et al., 2014).
Contohnya, usahawan wanita sentiasa perlu mengekalkan hubungan baik dengan
pembekal, pelanggan, pegawai – pegawai kerajaan, orang tengah, pihak bank dan
sebagainya. Bagi usahawan wanita yang baru memulakan sesebuah perniagaan,
mereka sentiasa perlu mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak-pihak yang
berkenaan. Terdapat pelbagai faedah yang diperoleh apabila mewujudkan hubungan
baik dengan pihak – pihak yang berkepentingan dan salah satunya adalah pihak
berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh usahawan
dengan menyediakan peluang perniagaan yang sesuai untuk usahawan wanita
bumiputera.
Tambahan pula, usahawan wanita yang baru memulakan perniagaan perlu
mengenali pihak pembekal dengan lebih dekat. Hal ini disebabkan, kebanyakan
pembekal, mempunyai perasaan kurang yakin dengan keupayaan usahawan wanita
yang belum mereka kenali. Pembekal khuatir dengan kemampuan yang dimiliki oleh
usahawan wanita dan bimbing sekiranya usahawan wanita hanya mempunyai
kesungguhan pada peringkat permulaan perniagaan. Oleh itu, bagi mengatasi masalah
ini, usahawan wanita yang baru memulakan perniagaan ini, perlulah meyakinkan
pembekal bahawa mereka mempunyai kesungguhan dalam bidang keusahawanan
yang diceburi. Di samping itu, mereka juga perlu mendapatkan pembekal yang boleh
dipercayai. Oleh hal yang demikian, mereka perlulah mengenali pihak pembekal
dengan rapat agar dapat mengelakkan berlakunya penipuan yang boleh memudaratkan
perniagaan mereka.

KESIMPULAN

Usahawan-usahawan wanita perlu cekal dalam menghadapi sebarang masalah yang


berlaku termasuklah sanggup berdepan dengan masalah-masalah dalam menjalankan
perniagaan dan menganggapnya sebagai satu cabaran dan perlu berusaha memikirkan
bagaimana cara untuk menyelesaikannya jika ingin menjadi usahawan yang berjaya.
Usahawan wanita akan menghadapi pelbagai cabaran dalam bidang yang diceburi
oleh mereka. Oleh itu, bagi menangani masalah ini, pendekatan yang lebih
komprehensif perlu dibentuk bagi membantu dan memantau aktiviti keusahawanan
dalam kalangan usahawan wanita.
Di samping itu, usahawan wanita yang mempunyai sikap tiada keyakinan diri
dalam diri mereka, telah menjadikan mereka takut untuk mencuba sesuatu yang boleh
mendatangkan kebaikan kepada perniagaan mereka. Mereka juga mungkin tidak
mengetahui saluran yang betul untuk membolehkan mereka memperoleh pinjaman
sama ada untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka. Oleh sebab itu,
mereka perlu dibantu bagi membolehkan mereka tidak tertinggal atau tersisih oleh
arus pembangunan ekonomi yang bersifat global pada masa kini.

RUJUKAN

Ab Aziz, Y. (2010). Pengenalan kepada Usahawan dan Keusahawanan. Mukim Batu


Kuala Lumpur: Pena Media.

Alina, Z.M. (1997). A Profile of Women Entrepreneurs and Enterprise in


Poland.Journal of Small Business Management,107.

Andersson, S.(2003). High-growth firms in the Swedisherp industry. Journal of Small


Business and Enterprise Development,10(2), 180-193.

Andrea, E.S.H. (2006). Women Entrepreneurs Across Racial Lines. United Kingdom:
Edward Elger Publishing Limited.

Barringer, B.R. & Ireland R.D. (2010).Entrepreneurship: Successfully launching new


ventures. Edisi ke-3. New Jersey: Pearson Education, Inc.

Buttner, E.H. & Rosen, B. (1992). Rejection In The Loan Alication Process: Male
And Female Entrepreneurs’ Perception And Subsequent. Journal Of Small
Business Management, 30.

Cooper, M.R. & Goby, V.P. (1999). Females Business Owners in Singapore and
Elsewhere: A review of Studies. Journal of Small Business Management, 96.

Hispanic Times Magazine. (1999). Hispanic Business Changing The Face of


Business, 20(4), 6.
Hisrich, R.D. & Brush, C. (1984). The Women Entrepreneur: Management Skills and
Business Problems. Journal of Small Business Management.

Ismail, A.W. (2004). Profil dan cabaran usahawan wanita di Malaysia. Pusat
Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC). Shah Alam: Universiti
Teknologi MARA.

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2009). Siaran Khas Penyiasatan Tenaga Buruh


Usahawan Di Malaysia. November
2009.www.statistics.gov.my/.../download.php(16 Oktober 2012).

Jones, M. (1990). Women In Enterprise: Partner by the year 2000. Women in


Management Review, 8-13.

Khairuddin, K. (1996). Keusahawanan Sebagai Kerjaya. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka.

Kuppusamy, J., Ganesan, J. &Rosada, S.A. (2010). Leadership Styles and


Management Technique: An Analysis of Malaysian Women Entrepreneurs.
Journal of Communications of the IBIMA 2010: ID 817881,10.

Lee, J. (1997). The Motivation of Women Entrepreneurship In


Singapore.International Journal of Entrepreneurial Behaviour &
Research, 3, 93 – 110.

Malaysia. (2001). Laporan Prestasi Bulanan Aktiviti Perniagaan 2001. Kementerian


Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Markovic, M.R. (2007). Women’s Entrepreneurship, informal economy and SME


development Policies in Serbia.

Mazzarol, T. (2011). Entrepreneurship and Innovation.Edisi ke-2. Australia: Tilde


University Press.

Maznah, H. (1991). Masalah dan Cabaran Usahawan Wanita: Strategi Untuk


Mengatasinya. Seminar usahawan wanita. Kertas kerja. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.

McKay, R. (2001). Women Entrepreneurs: Moving Beyond Family and


Flexibility.International Journal of Entrepreneurs Behavior&Reasearch,7,
148-165.

N-Anantharaman, R. (2013). Environmental, personality and motivational factors: a


comparison study between women entrepreneurs and women non
entrepreneurs in Malaysia. International journal of business and management,
8(13), p15.

Nazrolnizah, M. N., Nubli, M., &Wahab, A. (2014). Pengukuran Sifat Bersungguh-


Sungguh Menggunakan Teknik Biofeedback di Kalangan Usahawan Wanita.
engukuran Sifat Bersungguh-Sungguh Menggunakan Teknik Biofeedback di
Kalangan Usahawan Wanita, 1-12.

Nor Aini H.I. (2008). Wanita dan Pembangunan Ekonomi. Dewan Bahasa dan
Pustaka. KualaLumpur. Cetakan Pertama.

Norita, D., Armaurah, M., Shuhymee, A., Habshah, B., MohamadYusop, M. J., Mohd
Khairuddin, H. (2007). Keusahawanan. Selangor: McGraw Hill
(Malaysia) Sdn Bhd.

Nurdin, G., Chan, G. K., Selvadurai, S., &Ishak, S. (2014). Hubungan sosial dan
perniagaan kecil-kecilan di Malaysia-Tingkah laku inovatif usahawan wanita
atas talian. Geografia: Malaysian Journal of Society and Space, 10(6), 206-
218.

OECD. (2004). Promoting Entrepreneurship and Innovative SMEs in A Global


Economy: Towards A More Responsible and Inclusive Globalisation
(Women Entrepreneurship: Issue and Policies). 2nd OECD Conference of
Ministers Responsible for Small and Medium-Sized Enterprises
(SMEs). Istanbul, Turkey (June).

Sarason, Y &Koberg, C. (1994). Hispanic Women Small Business Owners. Hispanic


Journal of Behavioral Sciences,16 (355).

Scott, C.E. (1986). Why More Women Are Becaming Entrepreneurs. Journal of Small
BusinessManagement. 37-44.

Shalini, S. (2005). Developing Women Entrepreneurs In South Asia: Issues, Initiative


andExperiences. Bangkok: United Nation, UNESCAP.

Soyeon, S. &Eastlick, M.A. (1998). Characteristic of Hispanic Female Business


Owners: An Exploraty Study. Journal of Small Business Management. 36
(17).

Suaibah, A.B., Azlah, M.A., Hishamuddin, M.S., Rozeyta, O., Syaharizatul,


N.M.,Rosilla, M.J. (2005). Aktiviti Keusahawanan Di Kalangan Ibu Tunggal
Di Negeri Johor. Vol71946. Universiti Teknologi Malaysia.

Suaibah, A.B.,Azlah M.A.,Rozeyta, O.,Hishamuddin M.S.&Syaharizatul, N.M.


(2007). Penglibatan Kaum Wanita Dalam Aktiviti Keusahawanan di Negeri
Johor: Kajian Terhadap Faktor-Faktor Kritikal Kejayaan dan Kegagalan
Pengendalian Perniagaan. Vol 75087.

Teoh& Wendy, M.Y. (2008). Improving Women Entrepreneurs in Small and


MediumEnterprises in Malaysia: Policy Recommendations. Communications
of the IBIMA 2.33.

Tulus, T. (2009). Women entrepreneurship in Asian developing countries:


Theirdevelopment and main constraints . Journal of Development and
Agricultural Economics, 1(2), 27-40.

You might also like