You are on page 1of 7

Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa

                                                                           Oleh
                                                                    Izani Hj Daud

Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan


pembelajaran (P & P) akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk
melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi memenuhi
keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak lagi dibelenggu
oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata.  Sebaliknya pengajaran perlu
berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti pembelajaran. Mengamalkan prinsip
kepelbagaian dalam pengajaran sebagai rempah hidup di bilik darjah akan dapat
mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran dan seterusnya keberkesanan
pembelajaran kepada pelajar itu sendiri . 
      Dalam penulisan ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang boleh
dilaksanakan dalam proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat pelajar untuk
belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkan ke
dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah berfikir yang memaksa kita mengenal pasti
kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta yang dilihat yang dapat menerbitkan idea yang
menyimpang jauh daripada idea sedia ada (Pellegrino dan Politis, 1999). Manakala
pemikiran inovatif pula adalah kebolehan mengubah suai kepada benda yang sedia ada
untuk menjadi lebih baik dan berguna iaitu, sesuatu yang baru diperkenalkan seperti
kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru (Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 1994).
         Guru berperanan menyampaikan  pengajaran kepada muridnya. Sejauh mana
tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian guru
itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu
pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan  teknik pengajaran yang
berkesan . Antara   kaedah  dan  teknik  pengajaran  bahasa Melayu yang dikenal pasti
sesuai untuk menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar dalam
pengajaran,  kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa, aktiviti
minda kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.

Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran


Satu daripada kaedah yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah melalui
penggunaan bahan bantu mengajar. Penggunaaannya bertujuan menarik perhatian
pelajar supaya meminati pelajaran yang diajarkan. Hal itu dikatakan demikian kerana
pengajaran secara langsung yang berterusan akan membosankan pelajar dan mampu
menghilangkan semangat untuk belajar.      
 
Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai bahan bantu mengajar disandarkan
kepada pendapat seorang pakar pendidikan, Edgar Dale (1978) yang menggariskan
tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i.    merangsang minat yang tinggi dalam kalangan pelajar.
ii.    menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak
pemikiran dan oleh itu mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii.    membekalkan satu dasar untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh itu
menjadikan pelajaran mereka lebih kekal.
iv.    menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya melalui
cara-cara lain.
v.    Menolong pelajar dalam kefahaman dan oleh itu mempercepat perkembangan
perbendaharaan kata.
vi.    menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan
kegiatan seorang pelajar.
vii.    mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan bacaan
sukarela.
                                                  
      Berdasarkan hal yang diperkatakan oleh Dale,  nyatalah bahawa bahan bantu
mengajar berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar. Selain itu,
bahan bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada pelajar kerana
dengan penggunaannya,  pelajar akan mengalami  situasi 
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran biasa dan seterusnya dapat
menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar.

 Penggunaan keratan akhbar boleh dijalankan dengan membuat perancangan pada


awal tahun lagi. Setiap pelajar akan diberi tugas secara bergilir-gilir untuk membuat
keratan akhbar, berupa keratan rencana pengarang akhbar. Tarikh giliran itu ditetapkan
oleh guru untuk satu tahun iaitu, satu sesi pengajian. Keratan akhbar tersebut akan
ditampal pada setiap hari di dalam buku khas yang akan disimpan oleh setiausaha
kelas.

                              
             Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang besar
kepada pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar tingkatan  3 untuk ujian
Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti tersebut dapat dijadikan sebagai
latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS.

            Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa bersedia
dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada setiap  hari,  iaitu 
pada  sepuluh  minit   pertama  masa  pengajaran,  guru  akan 
meminta pelajar tampil ke hadapan bagi memperkatakan topik atau fakta yang
terkandung dalam keratan rencana pengarang akhbar yang dibacanya. Fakta tersebut
hendaklah diucapkan secara lisan tanpa merujuk keratan tersebut.

              Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri untuk
berucap di khalayak atau  pengucapan awam yang juga dapat menolong pelajar dalam
ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang petah bercakap.
                       
       Keratan rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam penulisan 
karangan.  Melaluinya,  guru hendaklah  meminta  pelajar  menyenaraikan isi-isi  penting
yang terdapat dalam keratan tersebut di dalam buku latihan sebelum ditampal di dalam
buku khas yang disediakan. Semasa pelajar membentangkan keratan rencana
pengarang akhbar di kelas, pelajar yang lain hendaklah membuat catatan di dalam buku
latihan. Kaedah tersebut tentunya menjimatkan masa kerana dalam setahun, setiap
pelajar hanya dikehendaki membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja. Hasil daripada
perkongsian antara pelajar, mereka berjaya mengumpul semua tajuk keratan rencana
pengarang akhbar untuk setahun (365 buah keratan akhbar).

         Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang tertentu
daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk perbincangan di
kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan memberikan keseronokan
kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan dan idea, serta dapat berbincang
bersama-sama.
           
         
Kerja Kumpulan Membina Soalan
         Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam pembelajaran 
komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Aktiviti ini
memerlukan kreativiti dan mencabar minda pelajar.        
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan
akan dibekalkan sebuah karya sastera yang terdapat dalam teks KOMSAS. Setiap
anggota dalam kumpulan akan menyumbangkan idea untuk membina soalan dan
menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina. Rasional  aktiviti ini dijalankan
adalah untuk memastikan pelajar-pelajar membaca karya berkenaan dengan teliti. Hal
ini kerana untuk membina soalan memerlukan `penggubal soalan’ itu benar-benar
memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera yang terkandung di dalamnya. Soalan
yang akan dibina pula sudah tentulah aspek yang penting yang terkandung dalam karya
sastera berkenaan, yakni soalan yang mencabar minda.

Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina soalan


         Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal  pasti
bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan.
Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil daripada
perbincangan dalam kumpulan.
       
Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, sesi kuiz pula  diadakan. Guru akan
mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang
sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Selain dapat
mencungkil kreativiti pelajar melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar juga akan
berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih. Manakala bagi mereka
yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran lain supaya
soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan mewujudkan
iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing antara satu sama
lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai soalan kuiz.
               
Kaedah Hafalan Sifir Bahasa 
         Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu, khususnya dalam  tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah dalam aspek ini,
kaedah hafalan boleh diperkenalkan.
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafalan sifir dalam matematik,
mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian kerana
terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan tepat. Dalam
penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak digunakan. Maka,
pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu bagi menghasilkan penulisan
yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata dalam ayat. Kata sendi dan kata
hubung biasa sangat digunakan dalam penulisan sebagai perangkai kata atau penanda
wacana. Perangkai kata digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan
perkataan, ayat dengan ayat dan perenggan dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak
menguasai perangkai-perangkai kata itu,  sukar untuk mereka menggunakannya dalam
penulisan.          
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam sukatan
pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap kali pelajar lupa
akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama lain. Contohnya,
antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman penulis, diperhatikan
bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya. Contohnya;
        1)    *Ahmad menerima surat dari kawannya.
        2)    *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.

    Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1) sepatutnya
menggunakan kata sendi daripada  manakala bagi ayat (2), kata sendi yang betul ialah
dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak benar-benar faham
akan fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi dari hanya boleh
digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan permulaan masa. Kata
sendi daripada pula digunakan  untuk hal-hal lain, seperti orang, perbandingan, asal
kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan keanggotaan.

     Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan


dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya melalui aktiviti sifir
bahasa.

Operasi Aktiviti Sifir Bahasa

1)    Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini  digunakan


    untuk  mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2)    Fokus  diberikan kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai penanda
wacana atau perangkai kata.  Kemudian diikuti dengan golongan kata yang lain pula.
3)        Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung  berserta
           dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di rumah.         
4)    Semasa di  bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga 10
minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa. Guru akan
meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka menanyakan
fungsi kata sendi nama atau kata hubung. 
5)    Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat 
kerja  rumah.  Pelajar  dikehendaki  merujuk  kepada  lima  kata
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6)    Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di  bilik
darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata hubung.
7)    Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang     lain pula dijadikan sebagai
aktiviti seperti sebelumnya.
8)        Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua golongan   
kata telah dijalankan, guru akan membuat ulangan untuk memantapkan   lagi ingatan
dan kefahaman pelajar. 

   Kaedah  ini sangat berfaedah kepada pelajar.  Suasana yang menyeronok di  bilik
darjah dengan sedikit `tekanan’ (denda) dapat membantu pelajar menguasai
tatabahasa,  terutama   golongan kata. Dengan  menggunakan  sifir bahasa   pelajar
akan bersedia sebelum memulakan sesi pembelajaran. Lebih daripada itu, aktiviti ini
akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan
membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik.

Aktiviti Minda Kreatif

Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang boleh
merangsang minda pelajar. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran secara biasa
tidak mampu menajamkan kreativiti pelajar.

   Pelajar yang dikategorikan sebagai remaja merupakan golongan yang mempunyai


tingkat sensitiviti yang tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja membolehkan
mereka mengungkapkan kata-kata yang menghasilkan pelahiran perasaan dan
membangkitkan rasa keindahan bahasa.  Kalangan   pelajar   atau            
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun berupaya merumuskan kata yang
berkesan sehingga terbentuk satu rangkai kata yang boleh memberikan maksud dan
kesan mendalam berupa kata-kata hikmat. Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk
penulisan karangan kerana markah bonus ada diperuntukkan kepada pelajar-pelajar
yang mampu memasukkan kata hikmat dalam penulisan karangan.

   Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara spontan
menghasilkan ungkapan penarik atau kata-kata hikmat secara spontan dalam sesi
pembelajaran. Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25 minit untuk berfikir
dan mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati hasilnya sangat
mengagumkan apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan kata-kata hikmat sendiri.
Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan oleh pelajar.
         
i.    Jadikan hari ini sebagai permulaan
dan hari esok sebagai penentuan hidup
anda.                              

ii.    Orang yang berjaya dengan cemerlang


dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan.
                                             
iii.    Setitis air tidak boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.

iv.    Latihan berterusan telusnya kemahiran.

v.    Setiap langkah adalah permulaan yang


akan menyelesaikan permasalahan.

vi.    Menyeru manusia kepada kebaikan adalah


sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan.

vii.    Pengalaman lalu tidak boleh dijadikan


pengalaman yang abadi untuk dicontohi.

viii.    Semalam merupakan kenangan manakala


hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.
          

        Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu berfalsafah
jika mereka diberi peluang.     Pembaharuan dalam P & P dapat menggalakkan pelajar
untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri yang sudah tentulah akan dapat
membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.

Bimbingan Khusus Pelajar Lemah

    Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas yang
diajar. Mereka tidak boleh diabaikan dan usaha hendaklah diambil menangani
kelemahan pelajar. Untuk aspek penulisan umpamanya, guru boleh meminta pelajar
menulis karangan dengan bimbingan guru. Misalnya, dalam penulisan ringkasan
karangan, guru boleh membimbing pelajar menulis ringkasan karangan dengan cara
menulis karangan yang tidak lengkap pada papan kapur. Dua kaedah boleh dijalankan
oleh guru seperti di bawah.
        1)  Mengosongkan bahagian isi dalam karangan
             yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.

        2)  Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk


             pelajar memasukkan penanda wacana yang
             sesuai dalam ayat.

    Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh guru.
Pengalaman penulis dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan apabila didapati
pelajar mampu menulis karangan dengan baik setelah menjalani latihan buat beberapa
ketika.
    
Kesimpulan
         Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-kaedah yang
telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan guru sebagai fasilitator,
yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran pelajar yang kreatif dan inovatif.
Para pelajar akan seronok belajar apabila guru menggunakan pelbagai pendekatan
dalam pengajaran. Keseronokan dalam menjalankan aktiviti  akan  menyebabkan 
mereka  minat  untuk  belajar dan guru dapat menerapkan input-input berkaitan dengan
kreativiti dan inovasi dalam P & P,  supaya nanti institusi sekolah bukan sahaja dapat
melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi
seorang pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan dalam usaha
membangun modal insan minda kelas pertama sejajar dengan teras kedua yang
terdapat dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan Wawasan 2020 untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. 
           

Bibliografi

Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta Kappa Educational
    Foundation.

Izani Hj Daud 2010. “Belajar Bahasa dengan Keratan Akhbar”. dlm.


    Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.
   
__________  2009. “Sifir Bahasa”. dlm. Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
     4 April, hlm. 38-39.

Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.   

Pellegrino,Richard & Politis,Michael 1999. Improving Your IQ..New York :


    A Simon & Schuster Macmillan Company.

You might also like