You are on page 1of 19

Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428

Universiti Sultan Zainal Abidin


ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Journal of Nusantara
Studies (JONUS)
KEPUASAN PELAJAR TERHADAP PERKHIDMATAN PENDIDIKAN TEKNIKAL
DAN LATIHAN VOKASIONAL (TVET) DI RANGKAIAN UNIVERSITI TEKNIKAL
MALAYSIA
[LEARNER SATISFACTION OF SERVICE QUALITY IN TECHNICAL
VOCATIONAL EDUCATION AND TRAINING (TVET) IN MALAYSIAN
TECHNICAL UNIVERSITIES]

*Mohamad Zuber Abd Majid, Muhammad Hussin, & Muhammad Helmi Norman

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia


Bangi, Selangor, Malaysia
*Corresponding author: zuber.abdul@ymail.com

Received: 4 Mar 2019, Accepted: 30 Nov 2019

ABSTRAK
Modal manusia berpengetahuan dan berkemahiran merupakan indikator penggerak kepada
perkembangan ekonomi negara. Justeru itu, institusi pendidikan memainkan peranan penting
dalam penyediaan perkhidmatan pendidikan untuk melahirkan produk modal manusia seperti
mana yang dikehendaki oleh industri. Tujuan kajian dijalankan adalah untuk membuat
penilaian perkhidmatan pendidikan dalam kalangan pelajar aliran Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional (TVET) di IPTA dalam aspek penerimaan dan perbandingan
kepuasan perkhidmatan pendidikan berdasarkan demografi jantina. Populasi kajian yang
dilibatkan seramai 6252 orang pelajar dengan saiz sampel seramai 448 sampel. Kajian ini
melibatkan kaedah pensampelan rawak berstrata dengan menggunakan instrumen soal selidik
sebagai kaedah pengumpulan data. Kebolehpercayaan instrumen adalah baik pada nilai alfa
Cronbach = 0.887 bagi kualiti perkhidmatan institusi pengajian dan nilai alfa Cronbach =
0.918 bagi kualiti perkhidmatan latihan dan amali. Analisis deskriptif yang dilibatkan adalah

410
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

min, peratusan dan kekerapan manakala analisis inferensi melibatkan pengujian MANOVA
sehala. Hasil dapatan menunjukkan tahap kepuasan perkhidmatan pendidikan yang sederhana
dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan kepuasan perkhidmatan pendidikan berdasarkan
demografi jantina. Penemuan kajian jelas menunjukkan bahawa IPTA perlu meningkatkan
keberkesanan pelaburan dalam perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan dalam usaha
mempromosikan pendidikan tinggi di negara ini.

Kata kunci: Jantina, kepuasan perkhidmatan pendidikan, pendidikan tinggi, penilaian, TVET

ABSTRACT
A knowledgeable and skilled human capital is a driving indicator of the country's economic
development. Hence, educational institutions play an important role in the provision of
educational services to produce human capital products as required by industry. The purpose
of the study was to evaluate the educational services among Technical Vocational Education
and Training (TVET) university students in terms of acceptance and delivery satisfaction based
on gender demographic. The study population involved 6,252 students with a 448 sample size.
This study involved random stratified method, and questionnaires were used to collect data.
The reliability of the instrument is good as Cronbach's alpha value = 0.887 for the quality of
the institution's services and the alpha value of Cronbach = 0.918 for the training and practical
service quality. Descriptive analysis involved mean, percentage and frequency while inference
analysis involved one-way MANOVA testing. The finding shows that the level of satisfaction of
education services is moderate and there is no significant difference in satisfaction of
educational services based on gender demographic. The findings clearly show that the
universities need to increase the effectiveness of investment in education services offered in the
efforts to promote higher education in the country.

Keywords: Assessment, education services satisfaction, gander, higher education, TVET

Cite as: Abd Majid, M. Z., Hussin, M., & Norman, M. H. (2019). Kepuasan pelajar terhadap
perkhidmatan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di rangkaian universiti
teknikal Malaysia [Learner satisfaction of service quality in technical vocational education and
training (TVET) in Malaysian technical universities]. Journal of Nusantara Studies, 4(2), 410-
428. http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

411
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

1.0 PENGENALAN
Malaysia kini mengorak langkah ke arah ekonomi berasaskan industri gelombang keempat
yang menekankan kepada teknologi automasi sebagai indikator perangsang kepada
pertumbuhan ekonomi. Dalam konteks ini keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran dan
berlatarbelakangkan pendidikan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) amat
diperlukan oleh Malaysia. Keperluan ini dilihat melalui dasar Wawasan 2020, menjadikan
Malaysia sebagai negara maju melalui penumpuan ekonomi seperti National Key Economic
Area (NKEA) menyasarkan keperluan modal manusia sebanyak 1.3 juta pekerjaan dalam
pelbagai sektor berasaskan kemahiran TVET. Begitu juga sasaran Malaysia menjelang tahun
2025, iaitu keperluan sumber modal manusia sebanyak 2.5 kali ganda dijana daripada produk
pendidikan berasaskan kepada TVET.
Berbalik kepada konteks pendidikan, Becket dan Brookes (2008) menyatakan bahawa
aspek pendidikan mempunyai keupayaan dan kapasiti sebagai indikator perangsang kepada
pertumbuhan ekonomi (Siti Mistima, Zatul Iradah, Nurasikin, & Nurul Naimy, 2018).
Sememangnya, tidak dapat dinafikan peranan dan kepentingan pendidikan (Yanti, Ismarul, &
Nur Zakiah, 2015) dalam membangunkan sesebuah negara. Misalnya, melihat kepada
pencapaian negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea dan China sebagai negara yang
mempraktikkan sektor TVET melalui penguasaan kemahiran dan teknologi dalam memacu
pertumbuhan ekonomi negara. Kini Malaysia mengambil langkah yang sama dalam usaha
meningkatkan pelaburan dalam sektor pendidikan TVET yang menyasarkan keberhasilan
graduan TVET berkualiti melalui dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan
Tinggi), 2015-2025.
Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) khususnya keberhasilan graduan dalam
sektor TVET seperti universiti-universiti yang bernaung di bawah Rangkaian Universiti-
universiti Teknikal Malaysia (MTUN) perlu menyediakan produk modal manusia yang benar-
benar bertepatan dengan kehendak industri. Dalam usaha menyediakan produk modal manusia,
institusi pengajian perlu menyediakan perkhidmatan pendidikan yang benar-benar berkualiti
kepada pelajar. Menurut penyelidik seperti Abd Rahim dan Abdul Syukor (2008) menyatakan
bahawa institusi pengajian diibaratkan seperti sebuah kilang yang berperanan dalam
menghasilkan produk sumber modal manusia dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Dalam konteks keberhasilan graduan, institusi pendidikan berhadapan cabaran yang besar iaitu
bukan sekadar untuk menyampaikan pengetahuan tetapi peranan dalam menerap kemahiran
nilai ditambah seperti kemahiran kebolehpasaran dalam setiap produk modal manusia yang
dihasilkan. Hasil penemuan kajian lepas, mendapati produk modal manusia yang dihasilkan
412
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

oleh institusi pengajian kurang diterima oleh pasaran pekerjaan ekoran kelemahan dalam aspek
nilai ditambah atau lebih dikenali sebagai kemahiran kebolehpasaran dalam kalangan graduan
yang dihasilkan (Nooriah & Zakiah, 2017; Syed Kamarudin, Muhammad, & Hamidun, 2017;
Muhammad Hazrul, 2012; The World Bank, 2007).
Keberhasilan produk modal manusia mengehendaki penyediaan perkhidmatan
pendidikan yang berkualiti untuk melatih dan membentuk pelajar seperti mana yang diperlukan
oleh pasaran pekerjaan (Aida, Khalim, & Maznah, 2013). Perkhidmatan pendidikan yang
berasaskan kepada perlaksanaan latihan merupakan perkhidmatan yang diterima oleh pelajar
di sepanjang tempoh mengikuti pengajian khususnya dalam aspek pengetahuan dan kemahiran.
Justeru itu, aspek penyediaan perkhidmatan pendidikan perlu ditekankan dari aspek
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dengan mengimbangi keperluan semasa
pendidikan (Suarman, 2014) yang disampaikan melalui perkhidmatan tenaga pengajar.
Perhidmatan pendidikan berkualiti akan menghasilkan produk modal manusia yang
berdaya saing dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan produktiviti dan
ekonomi negara. Justeru itu, pengukuran dan penilaian perkhidmatan pendidikan perlu dinilai
untuk melihat keberkesanan pelaburan institusi pengajian terhadap perkhidmatan pendidikan
yang ditawarkan masih sesuai dan diterima oleh pelajar atau sebaliknya. Pelajar juga perlu
menilai perkhidmatan yang diterima oleh mereka, kerana pelajar merupakan pelanggan dan
pelabur kepada institusi pendidikan. Hasil tinjauan kajian lepas mendapati kepuasan
perkhidmatan pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya di IPTA menunjukkan
penerimaan dan kepuasan perkhidmatan pada tahap sederhana (Ali Reza, Md. Aminul, & Ku
Halim, 2011; Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003).
Begitu juga tinjauan literatur yang dijalankan oleh penyelidik, mendapati bahawa aspek
penilaian perkhidmatan pendidikan tinggi kurang dijalankan di Malaysia berbanding
penyelidik dari luar negara khususnya berkaitan bidang-bidang TVET di IPTA. Kebanyakan
kajian penilaian perkhidmatan pendidikan yang dijalankan berfokus kepada penerimaan pelajar
IPTA secara umum seperti kajian (Abd Rahim & Abdul Syukor, 2008; Ali Reza et al., 2011;
Siti Falindah & Azizul, 2013; Dicker et al., 2017), graduan yang sudah bekerja (Maria, 2016),
jantina (Safiek, 2012; Suarman, 2014; Dicker et al., 2017) dan skop kakitangan, pelajar dan
majikan (Dicker, Garcia, Kelly, & Mulrooney, 2018). Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk
menilai kualiti perkhidmatan pendidikan di IPTA dalam kalangan pelajar aliran TVET dan
dilibatkan juga aspek demografi jantina dalam mencari perbezaan antara kedua-dua kategori
jantina tersebut.

413
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Berdasarkan matlamat kajian, penyelidik mengemukakan dua persoalan kajian untuk


dikaji seperti berikut:

1. Apakah tahap kepuasan kualiti perkhidmatan pendidikan berasaskan latihan dalam


kalangan pelajar IPTA aliran TVET?
2. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan kualiti perkhidmatan pendidikan
berasaskan latihan (kualiti perkhidmatan institusi pengajian dan kualiti perkhidmatan
latihan dan amali) dalam kalangan pelajar IPTA aliran TVET berdasarkan demografi
jantina?

Berdasarkan persoalan kajian, hipotesis nol (Ho 1) dikemukakan untuk diuji seperti berikut:

Ho 1: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan kualiti perkhidmatan pendidikan berasaskan


latihan (kualiti perkhidmatan institusi pengajian dan kualiti perkhidmatan latihan dan
amali) dalam kalangan pelajar IPTA aliran TVET berdasarkan demografi jantina.

2.0 TINJAUAN LITERATUR


2.1 Revolusi Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia yang Berfokuskan TVET
Persaingan era globalisasi dan perubahan landskap ekonomi ke arah k-ekonomi memerlukan
penguasaan pendidikan, kemahiran dan teknologi sebagai indikator pemacu kepada
pertumbuhan ekonomi (Rahmah, Ishak, Zulkifly, Abd Hair, & Liew, 2013). Perkembangan
sektor pendidikan diberi penarafan yang lebih berkesan untuk menghambat keperluan revolusi
perindustrian 4.0, di mana penekanan terhadap penguasaan kemahiran teknologi automasi
sebagai elemen penting dalam sektor TVET. Kini, Malaysia mempunyai empat universiti
awam yang berperanan untuk menghasilkan sumber modal manusia yang mempunyai
pengetahuan dan kemahiran profesional aras tinggi dalam sektor TVET. Keempat-empat
universiti ini diselaraskan di bawah satu organisasi yang dinamakan sebagai Rangkaian
Universiti Teknikal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysia Technical Universiti
Network (MTUN). Antara IPTA yang diletakkan di bawah MTUN iaitu, 1) Universiti Tun
Hussain Onn Malaysia (UTHM), 2) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), 3)
Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan 4) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (MTUN,
2019).
Mengimbau kronologi pembentukan MTUN pada asalnya ditubuhkan pada tahun 2000
melibatkan empat kolej universiti. Seterusnya, gabungan empat universiti ini dilaksanakan

414
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

secara rasminya pada tahun 2006 yang dikenali sebagai Rangkaian Kolej Universiti Teknikal
Malaysia atau dikenali sebagai Technical University College Network of Malaysia (TUNC
Malaysia). Pada tahun 2007, penjenamaan semula TUNC Malaysia ditukar kepada MTUN.
Penarafan semula MTUN dilakukan pada tahun 2015 yang ditakrifkan sebagai Malaysia
Technical University (MTU) berdasarkan hasrat institusi ini untuk dijadikan sebagai sebuah
konsortium (MTUN, 2019). Perkembangan sektor atau bidang TVET ini sudah lama
berkembang di Malaysia tetapi kurang mendapat sambutan dan penekanan yang holistik di
IPTA sehingga tertubuhnya idea untuk membentuk sebuah organisasi yang memperkasakan
sektor TVET. UTHM merupakan universiti awam terawal yang bertanggungjawab untuk
membekalkan sumber modal manusia terlatih dan berpengetahuan serta berkemahiran TVET.
Selain itu, peranan sebagai pusat latihan pengajar dalam pelbagai bidang kejuruteraan diberi
nafas baru pada tahun 1997 dengan penjenamaan sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLPS).
Keupayaan dan kejayaan institusi ini untuk melatih sumber manusia dalam pendidikan
vokasional ini menaikkan status pusat latihan kepada Institut Teknologi Tun Hussein Onn
(ITTHO) pada tahun 1996. Seterusnya pada tahun 2000 penjenamaan semula UTHM kepada
kolej universiti dan penjenamaan universiti penuh pada tahun 2007 sebagai universiti yang
berfokuskan kepada keberhasilan dalam pelbagai bidang TVET (UniMAP, 2019b).
Sementara, UTeM pula ditubuhkan pada tahun 2000 dan merupakan universiti awam
yang pertama sebagai universiti teknikal yang dipertanggungjawabkan untuk membekalkan
sumber modal manusia dalam pelbagai bidang TVET seperti bidang kejuruteraan, teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) serta pengurusan teknologi (UniMAP, 2019c). Setahun
kemudian pada tahun 2001 sebuah lagi universiti awam yang berfokus kepada bidang teknikal
ditubuhkan iaitu UniMAP. Matlamat penubuhan UniMAP bertujuan untuk menyokong Pelan
Perindustrian Negara yang memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan
(UniMAP, 2019a). Rentetan perkembangan institusi pengajian awam yang berfokuskan kepada
bidang TVET tidak mencukupi untuk menampung keperluan industri pada masa hadapan,
maka sebuah lagi universiti awam ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-
8) iaitu sekitar tahun 2002 UMP ditubuhkan di kawasan pantai timur Malaysia yang dikenali
sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) dan mendapat
status penuh universiti pada tahun 2006 dengan nama UMP (UMP, 2019). UMP juga
merupakan sebuah universiti teknikal yang bertanggungjawab untuk menghasilkan sumber
modal manusia dalam bidang TVET yang berfokuskan kepada kejuruteraan dan teknologi.
Keberhasilan produk modal manusia dalam sektor kejuruteraan dan teknologi bagi keempat-
empat universiti ini sedikit sebanyak mampu menampung keperluan negara untuk mencapai
415
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

negara maju menjelang tahun 2025. Keperluan negara untuk mencapai negara maju atau
ekonomi berpendapatan tinggi ini memerlukan penambahan dalam enrolmen modal manusia
berkemahiran TVET (Mohd Jalil, Noor Hisham, & Annas Akhmal, 2015).
Rentetan terhadap keperluan modal manusia berkemahiran TVET ini dapat dilihat
melalui penglibatan pelajar untuk memilih sektor pendidikan TVET sebagai laluan kerjaya.
Rajah 1, graf baris menggambarkan corak enrolmen dan keluaran produk modal manusia bagi
peringkat ijazah pertama di bawah rangkaian MTUN.

Kemasukan Enrolmen pelajar Produk modal manusia

45000

40000

35000

30000

25000

20000

15000

10000

5000

0
2010 2011 2012 2013 2014 2015 2016 2017

Sumber: Perangkaan Pendidikan Negara Malaysia, 2010-2017


Rajah 1: Graf baris kemasukan, enrolmen dan produk manusia di MTUN

Graf baris dalam Rajah 1 menunjukkan tiga proksi baris yang menggambarkan kemasukan
pelajar, enrolmen penyertaan pelajar dan produk modal manusia dalam sektor pendidikan
berasaskan TVET sebagai pilihan kerjaya. Melihat kepada proksi baris kemasukan pelajar
ijazah pertama dalam sektor pendidikan TVET di MTUN menunjukkan bilangan kenaikan
yang tidak ketara bagi tahun 2010 sehingga tahun 2017. Sepanjang tempoh tujuh tahun tersebut
bilangan tertinggi kemasukan pelajar ijazah pertama iaitu sebanyak 11331 orang pelajar pada
tahun 2017 (PPNM, 2017). Berbeza pula proksi baris enrolmen pelajar mengikuti pengajian
dalam bidang TVET sepanjang tempoh tujuh tahun tersebut menunjukkan bilangan kenaikan
yang konsisten sehingga mencapai paras bilangan tertinggi pada tahun 2017 iaitu sebanyak

416
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

42638 orang pelajar berbanding tahun 2010 hanya sebanyak 26378 orang pelajar. Kenaikan
enrolmen pelajar dalam bidang tersebut menunjukkan bahawa persepsi masyarakat di negara
ini terhadap sektor TVET mula mendapat perhatian berbanding suatu ketika dahulu yang
dianggap sebagai sebuah bidang untuk golongan yang tercicir dalam pelajaran. Kini, Malaysia
juga tidak ketinggalan untuk memperkasakan sektor pendidikan TVET dengan mengambil
iktibar daripada negara-negara maju seperti Jerman, United Kingdom, Korea Selatan, China
dan Singapura dalam memperkasakan sektor TVET (Mohd Jalil et al., 2015).
Negara kini memerlukan produk modal manusia berkepakaran TVET yang lebih ramai
untuk menampung keperluan industri dalam era teknologi automasi berimpak tinggi.
Persaingan k-ekonomi kini meletakkan pengetahuan dan teknologi sebagai elemen penting
dalam pertumbuhan ekonomi. Misalnya Korea Selatan yang suatu ketika dahulu merupakan
status negara membangun seperti mana Malaysia yang kini gah sebagai negara maju melalui
kepakarannya dalam sektor TVET berteknologi tinggi. Justeru itu, melalui institusi pendidikan
antara universiti awam di MTUN bertanggungjawab untuk membekalkan sumber modal
manusia berkepakaran TVET dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi. Berdasarkan
Perangkaan Pendidikan Negara Malaysia sekitar tahun 2010 sehingga tahun 2017 dalam Rajah
1, menunjukkan bilangan keberhasilan produk modal manusia yang meningkat secara tidak
ketara dalam tempoh tujuh tahun tersebut dengan peratusan purata sebanyak 78.5 peratus.
Sumbangan sumber modal manusia dalam bidang TVET ini masih tidak mencukupi untuk
menampung keperluan pasaran buruh. Walau bagaimanapun, tanggungjawab untuk
membekalkan tenaga kerja tidak diletakkan sepenuhnya kepada MTUN, tetapi turut disokong
oleh sektor pendidikan TVET swasta, politeknik dan institusi-institusi latihan vokasional yang
lain. Justeru itu, penyediaan kualiti perkhidmatan pendidikan TVET berkualiti perlu
ditekankan untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran seperti
mana yang dikehendaki oleh industri dan pasaran buruh.

2.2 Konsep Pengukuran Kepuasan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan


Amnya, setiap perkhidmatan yang ditawarkan perlu dinilai untuk menentukan keberkesanan
dan kecekapan perkhidmatan yang ditawarkan dalam memenuhi kepuasan dan kehendak
pelanggan. Begitu juga aspek perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan oleh IPTA kepada
pelajar sebagai pelanggan dan pelabur kepada institusi pendidikan perlu dinilai bagi menjaga
mutu pendidikan di negara ini. Kualiti perkhidmatan pendidikan yang berkualiti akan berupaya
menarik lebih ramai pelajar dari dalam dan luar negara (Abd Rahim, Ilias, & Razli, 2005) untuk
melabur dalam sektor pendidikan pada pelbagai peringkat pengajian yang ditawarkan.
417
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Ketidakpuasan perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan akan mendorong pelajar untuk


berhijrah dan mendapatkan perkhidmatan pendidikan di tempat yang lain. Sebaliknya, bagi
pelajar yang berpuas hati terhadap perkhidmatan yang ditawarkan akan kembali
mempromosikan pendidikan yang diikuti (Abd Rahim & Abdul Syukor, 2008) dan secara tidak
langsung mempromosikan pendidikan di negara ini.
Perkembangan pengukuran kualiti perkhidmatan pendidikan pada awalnya diadaptasi
daripada skala pengukuran kualiti perkhidmatan (SERVQUAL) yang diperkenalkan oleh
Parasuraman, Ziethaml, dan Berry (1991). Skala SERVQUAL pada asalnya digunakan secara
meluas dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan awam, perkhidmatan pelanggan,
perhotelan, perbankan, pendidikan, perundingan pelancongan dan bidang industri
telekomunikasi (Abd Rahim & Abdul Syukor, 2008). Begitu juga skala pengukuran
SERVPERV yang diperkenalkan oleh Cronin Jr. dan Taylor (1994) turut digunakan merentasi
pelbagai bidang dalam mengukur kualiti perkhidmatan pelanggan. Kedua-dua skala
pengukuran kualiti perkhidmatan ini memberi tumpuan kepada aspek penilaian ‘tangibles’,
‘reliability’, ‘responsiveness’, ‘assurance’ dan ‘empathy’.
Kesinambungan skala pengukuran perkhidmatan SERVQUAL dan SERVPERV telah
mendorong penyelidik lain untuk memperkenalkan skala pengukuran yang lebih khusus dalam
penilaian perkhidmatan pendidikan seperti skala HEdPERF yang diperkenalkan oleh Abdullah
(2006), skala EduQUAL diperkenalkan oleh Mahapatra dan Khan (2007), skala SQM-HEI
diperkenalkan oleh Senthilkumar dan Arulraj (2011) dan skala EDUSERVE diperkenalkan
oleh Ramseook, Naidoo, dan Nundlall (2010). Kesemua skala pengukuran kualiti
perkhidmatan ini mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri mengikut konteks kajian
yang dijalankan. Hasil keseluruhan penilaian pendidikan ini menunjukkan kualiti sebenar yang
ditawarkan oleh institusi pengajian kepada pelajar sebagai pelanggan yang diambil kira sebagai
alat untuk mengukur keberkesanan pelaburan pendidikan yang dilakukan oleh institusi
pengajian. Hasil penilaian kepuasan yang tinggi menandakan bahawa pelaburan yang
dilakukan adalah bertepatan dengan kehendak dan keperluan pelajar. Sebaliknya penilaian
yang rendah menandakan bahawa perlunya penilaian semula pelaburan yang dilakukan oleh
institusi pengajian atau penambahan dana pelaburan untuk penyediaan perkhidmatan yang
lebih bersesuaian.
Menurut Mohd Zuhdi, Mohd Nizam, dan Ruhizam (2012) dalam penentuan skala
pengukuran penilaian perkhidmatan pendidikan ini sering terdapat perbalahan dan pendebatan
antara penyelidik. Walau bagaimanapun, skala-skala pengukuran pendidikan ini menilai aspek-
aspek penting yang ditawarkan dalam sektor pendidikan seperti akademik, kemudahan dan
418
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

perkhidmatan sokongan (Mohd Zuhdi et al., 2012). Oleh itu, dalam konteks kajian ini penilaian
perkhidmatan berasaskan latihan khususnya dalam bidang TVET, penyelidik memberi
tumpuan terhadap aspek penawaran perkhidmatan pendidikan tenaga pengajar, kurikulum,
kemudahan peralatan latihan, penyampaian latihan dan kemudahan fizikal. Semua aspek ini
merupakan kemudahan perkhidmatan yang sering kali diterima oleh pelajar sehingga tamat
sesi pengajian.

3.0 METODOLOGI
Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif yang melibatkan reka bentuk kajian tinjauan
keratan rentas silang (Cross-sectional survey). Reka bentuk kajian tinjauan keratan rentas
silang digunakan seiring dengan saranan yang dikemukakan oleh Rong (2012) iaitu kajian yang
melibatkan saiz populasi yang besar dan tempoh pengumpulan data yang melibatkan tempoh
masa yang singkat. Kajian ini melibatkan populasi pelajar tahun akhir seramai 6, 252 orang di
empat buah universiti awam yang berfokuskan kepada bidang TVET. Berdasarkan jumlah
populasi tersebut, Cohen, Manion, dan Morrison (2001) mencadangkan jumlah sampel minima
yang sesuai untuk menggeneralisasikan populasi kajian iaitu sebanyak 370 sampel. Walau
bagaimanapun, hasil maklum balas soal selidik yang sah untuk dianalisis iaitu sebanyak 448
sampel. Kajian ini menggunakan kaedah pensampelan rawak berstrata bertujuan untuk
mendapatkan keseimbangan sampel berdasarkan demografi jantina bagi tujuan untuk mencari
perbezaan antara kumpulan jantina yang dibandingkan seiring dengan saranan Pallant (2013).
Kaedah pengumpulan data primari dijalankan dengan menggunakan instrumen soal
selidik. Soal selidik terdiri daripada dua bahagian iaitu Bahagian A berkaitan profil dan latar
belakang responden dan Bahagian B berkaitan kualiti perkhidmatan pendidikan. Soal selidik
yang digunakan diadaptasi daripada kajian Mohd Zuhdi et al. (2012), tetapi penyelidik hanya
memberi penumpuan terhadap kualiti perkhidmatan berasaskan latihan berbanding
perkhidmatan sokongan. Soal selidik menggunakan skala Likert lima mata untuk mengukur
tahap kepuasan pelajar terhadap perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan di institusi
pengajian. Kajian rintis yang dijalankan melibatkan 50 sampel yang mempunyai ciri-ciri yang
hampir sama dengan populasi kajian. Hasil pengujian mendapati kebolehpercayaan konstruk
kualiti perkhidmatan pendidikan terdiri daripada kualiti perkhidmatan institusi pengajian pada
nilai alfa Cronbach = 0.887 dan kualiti perkhidmatan latihan dan amali pada nilai alfa Cronbach
= 0.918. Dapatan kebolehpercayaan ini menjelaskan bahawa item-item dalam konstruk
mempunyai tahap kebolehpercayaan yang baik dan amat baik seperti mana dikemukakan oleh
Lim (2007).
419
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Kaedah analisis yang dilibatkan dalam kajian ini secara statistik deskriptif yang
melibatkan min, kekerapan, peratusan dan sisihan piawai. Tatkala pula, statistik inferensi bagi
tujuan mencari perbezaan antara kumpulan jantina yang dibandingkan melibatkan pengujian
MANOVA. Bagi tujuan menjalankan pengujian MANOVA sehala, penyelidik telah mematuhi
prasyarat untuk menjalankan pengujian MANOVA sehala seperti mana dinyatakan oleh Hair,
Black, Babin, dan Anderson (2010) dan Rong (2012) iaitu taburan data bertabur secara normal,
data adalah lineariti dan homokidastistik serta kesamaan varian. Sementara pula, interpretasi
skor min penyelidik merujuk kepada cadangan yang dikemukakan oleh Neuman (2006) seperti
dalam Jadual 1.

Jadual 1: Interpretasi skor min


Skor Min Tahap Penilaian
1.00 sehingga 2.00 Rendah
2.01 sehingga 3.00 Sederhana Rendah
3.01 sehingga 4.00 Sederhana Tinggi
4.01 sehingga 5.00 Tinggi

4.0 HASIL DAPATAN DAN PERBINCANGAN


Hasil analisis data menggunakan perisian Statistic Package for the Social Sciences (SPSS) versi
25.0. Hasil analisis mendapati penglibatan sampel kajian keseluruhan sebanyak 448 sampel.
Kekerapan penglibatan sampel kajian berdasarkan demografi jantina menunjukkan bahawa
sebanyak 242 (54.0%) sampel adalah pelajar jantina lelaki dan 206 (46.0%) adalah pelajar
jantina perempuan. Hasil analisis mengikut objektif kajian dijelaskan seperti berikut:

420
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

4.1 Tahap Kepuasan Perkhidmatan Pendidikan di IPTA

Jadual 2: Analisis deskriptif bagi tahap kepuasan perkhidmatan pendidikan di IPTA


Dimensi kualiti Skor min Sisihan Interpretasi
piawai
Tenaga pengajar 4.06 0.50 Tinggi
Kurikulum 3.87 0.61 Sederhana tinggi
Kemudahan fizikal 3.79 0.67 Sederhana tinggi
Penyampaian latihan 4.06 0.49 Tinggi
Peralatan latihan 3.96 0.53 Sederhana tinggi
Skor keseluruhan 3.96 0.44 Sederhana tinggi

Jadual 2 menunjukkan bahawa tahap kepuasan perkhidmatan pendidikan dalam kalangan


pelajar aliran TVET di IPTA secara keseluruhan menunjukkan skor interpretasi sederhana
tinggi iaitu pada nilai min = 3.96. Dapatan menunjukkan rata-rata pelajar aliran TVET di IPTA
berpuas hati terhadap perkhidmatan tenaga pengajar dan penyampaian latihan masing-masing
menunjukkan skor min = 4.06. Sementara perkhidmatan pendidikan seperti perkhidmatan
kurikulum (min = 3.87), kemudahan fizikal (min = 3.79) dan peralatan latihan (min = 3.96)
menunjukkan skor interpretasi kepuasan sederhana tinggi. Dapatan ini selari dengan kajian
yang dijalankan oleh Ali Reza et al. (2011) serta kajian yang dijalankan oleh Universiti
Kebangsaan Malaysia (2003) iaitu tahap kepuasan pelajar terhadap kualiti perkhidmatan
pendidikan yang ditawarkan di IPTA pada tahap penerimaan yang sederhana dalam kalangan
pelajar.
Memetik pandangan yang dikemukakan oleh Abd Rahim dan Abdul Syukor (2008)
iaitu peranan universiti di ibarat seperti kilang dan pelajar adalah produk, di mana memerlukan
kualiti perkhidmatan pendidikan yang memerlukan penawaran kualiti perkhidmatan
pendidikan yang benar-benar berkualiti untuk melatih pelajar seperti mana dikehendaki oleh
pasaran pekerjaan. Selain itu, universiti juga memainkan peranan penting sebagai tempat untuk
mengeluarkan sumber modal manusia yang berkelayakan dari segi akademik, pengetahuan dan
kemahiran (Hena & Jasbir, 1993; Mohd Zuhdi et al., 2012). Berbeza pula penemuan dapatan
kajian ini dengan kajian yang dijalankan oleh Hena dan Jasbir (1993), Abd Rahim dan Abdul
Syukor (2008) serta Mohd Zuhdi et al. (2012) menunjukkan penilaian tahap tinggi terhadap
perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pengajian dalam kalangan pelajar.

421
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

4.2 Perbezaan Kepuasan Perkhidmatan Pendidikan Berdasarkan Demografi Jantina


Pengujian MANOVA sehala dijalankan untuk mencari perbezaan pemboleh ubah bersandar
iaitu kualiti perkhidmatan institusi pengajian dan kualiti perkhidmatan latihan dan amali
berdasarkan pemboleh ubah bebas jantina. Hasil analisis pengujian MANOVA sehala
dijelaskan seperti dalam Jadual 3.

Jadual 3: MANOVA - Pengujian Multivariate kualiti perkhidmatan pendidikan berdasarkan


jantina
Kesan Nilai Wilks’ Nilai F D. K D. K. Sig.
Lambda (λ) Antara Dalam
Kumpulan Kumpulan
Jantina 0.998 0.431 2 445 0.650

Berdasarkan Jadual 3, Wilks’ Lambda digunakan untuk melihat perbezaan keseluruhan bagi
kategori yang dibandingkan (Pallant, 2016), saiz sampel kajian yang banyak dan telah
mematuhi syarat kehomogeneiti (Tabachnick & Fidell, 2013). Hasil analisis MANOVA sehala
menunjukkan nilai (Wilks’ Lambda (λ) = 0.998, F (2, 445) = 0.431, Sig. = 0.650) (P > 0.05).
Dapatan ini merumuskan bahawa secara keseluruhannya tidak terdapat perbezaan yang
signifikan kualiti perkhidmatan institusi pengajian dan kualiti perkhidmatan latihan dan amali
berdasarkan demografi jantina. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hipotesis nol (Ho 1)
diterima.

Jadual 4: MANOVA - Pengujian antara kesan subjek bagi demografi jantina


Sumber Pemboleh Ubah Jenis III df Min F Sig.
Bersandar Jumlah Kuasa
Persegi Dua
Jantina Kualiti Perkhidmatan 0.011 1 0.011 0.048 0.826
Institusi Pengajian
Kualiti Perkhidmatan 0.041 1 0.041 0.183 0.669
Latihan dan Amali

Berdasarkan Jadual 4, kesan antara subjek dirujuk untuk membuktikan bahawa faktor
demografi jantina tidak mempengaruhi pemboleh ubah bersandar. Hasil analisis kesan antara

422
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

subjek menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan antara pemboleh ubah bersandar iaitu
kualiti perkhidmatan institusi pengajian dengan demografi jantina pelajar F (1, 446) = 0.048,
Sig. = 0.826 (P > 0.05) dan kualiti perkhidmatan latihan dan amali dengan jantina pelajar F (1,
446) = 0.183, Sig. = 0.669 (P > 0.05). Dapatan kajian ini menjelaskan bahawa faktor demografi
jantina tidak mempengaruhi persepsi pelajar terhadap penilaian kualiti perkhidmatan
pendidikan yang ditawarkan di IPTA. Oleh itu, perbandingan antara kumpulan dirujuk
berdasarkan nilai Estimated Marginal Means seperti dalam Jadual 5 berikut.

Jadual 5: MANOVA - Perbandingan kualiti perkhidmatan pendidikan berdasarkan jantina


Pemboleh ubah Jantina Min Ralat Piawai
Bersandar
Kualiti perkhidmatan Lelaki 3.914 0.030
institusi pengajian Perempuan 3.924 0.033
Kualiti perkhidmatan Lelaki 4.021 0.030
latihan dan amali Perempuan 4.002 0.033

Berdasarkan Jadual 5 menunjukkan bahawa kualiti perkhidmatan institusi pengajian


berdasarkan demografi jantina iaitu pelajar perempuan lebih berpuas hati terhadap
perkhidmatan institusi pengajian yang ditawarkan iaitu (Min = 3.924) berbanding pelajar lelaki
iaitu (Min = 3.914). Berbeza pula kepuasan terhadap kualiti perkhidmatan latihan dan amali
menunjukkan pelajar bagi jantina lelaki lebih berpuas hati terhadap perkhidmatan yang
ditawarkan iaitu (Min = 4.021) berbanding pelajar perempuan iaitu (Min = 4.002). Hasil
perbandingan min ini jelas menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang ketara faktor
jantina pelajar terhadap persepsi kepuasan kualiti perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan
kepada pelajar di IPTA.
Dapatan analisis MANOVA sehala membuktikan bahawa faktor demografi jantina
tidak berpengaruh terhadap penilaian perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan di IPTA, iaitu
jantina lelaki dan jantina perempuan mempunyai tahap kepuasan yang sama dalam penilaian
perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan kepada mereka. Dapatan kajian selari dengan kajian
Suarman (2014) yang melihat kepada aspek kepuasan dan kualiti perkhidmatan pengajaran
yang melibatkan pengantaraan perkhidmatan tenaga pengajar kepada pelajar. Hasil dapatan
Suarman (2014) menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan kepuasan pelajar terhadap
persepsi kualiti pengajaran pensyarah berdasarkan demografi jantina. Dapatan Suarman (2014)
ini menjelaskan bahawa persepsi pelajar terhadap kualiti perkhidmatan pendidikan dari aspek

423
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

pengajaran pensyarah adalah tidak berbeza berdasarkan kumpulan jantina lelaki dengan
kumpulan jantina perempuan. Walau bagaimanapun, penemuan ini tidak selari dengan
penemuan kajian Dicker et al. (2017) menunjukkan bahawa wujud perbezaan persepsi terhadap
kualiti perkhidmatan berdasarkan jantina, di mana pelajar perempuan lebih berpuas hati
terhadap perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pengajian berbanding pelajar
lelaki. Gambaran perbezaan persepsi perkhidmatan pendidikan dalam kajian Dicker et al. (2017)
ini menjelaskan bahawa jangkaan pelajar lelaki untuk mendapatkan perkhidmatan pendidikan
yang terbaik untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran mereka berbanding pelajar
perempuan.
Hasil kajian dan kajian lepas ini memberi gambaran bahawa, kepuasan perkhidmatan
pendidikan berdasarkan jantina merupakan suatu perkara yang subjektif iaitu bergantung
kepada penilaian individu (pelajar). Walau bagaimanapun, dalam konteks perkhidmatan
pendidikan TVET di IPTA Malaysia menggambarkan bahawa kepuasan yang sederhana bagi
kedua-dua jantina bagi aspek tersebut. Justeru itu, IPTA yang berfokuskan kepada bidang
TVET ini, perlu menilai keberkesanan pelaburan dalam sektor perkhidmatan pendidikan yang
ditawarkan bukan sekadar untuk mempromosikan pendidikan TVET bahkan peranannya yang
lebih penting untuk merealisasikan era Revolusi Perindustrian 4.0.

5.0 KESIMPULAN
Hasil tinjauan terhadap kualiti perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan di IPTA dalam
kalangan pelajar aliran TVET menunjukkan tahap kepuasan yang sederhana tinggi bagi
keseluruhan perkhidmatan pendidikan yang berasaskan kepada perlaksanaan latihan. Walau
bagaimanapun, perbandingan perkhidmatan pendidikan berdasarkan demografi jantina pelajar
menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi kedua-dua kumpulan jantina
tersebut. Walaupun pengujian MANOVA sehala menunjukkan tiada perbezaan yang ketara,
tetapi dari aspek perbandingan skor min masih menunjukkan bahawa jantina perempuan lebih
berpuas hati terhadap perkhidmatan pendidikan yang ditawarkan berbanding jantina lelaki.
Hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa kualiti perkhidmatan pendidikan di IPTA masih
tidak memberi kepuasan kepada pelajar sebagai penerima perkhidmatan tersebut. Penemuan
ini merupakan cabaran kepada institusi pengajian tinggi khususnya di IPTA dalam menaik taraf
perkhidmatan pendidikan yang lebih sesuai dengan keperluan dan kehendak pelanggan
(pelajar) dalam usaha mempromosikan pendidikan tinggi di negara ini agar setanding dengan
perkhidmatan pendidikan di peringkat global.

424
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

RUJUKAN
Abdullah, F. (2006). The development of HEDPERF: A new measuring instrument of service
quality for the higher education sector. International Journal of Consumer Studies, 30(6),
569-581.
Abd Rahim, R., & Abdul Shukor, S. (2008). Kualiti perkhidmatan berdasarkan perspektif
pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia. Jurnal Pengurusan Awam, 7(1),
99-108.
Abd Rahim, R., Ilias, S., & Razli, A. (2005). Emerging new challenges on service quality in
higher learning institution: The case of UUM. Selangor, Malaysia: UiTM Shah Alam.
Ali Reza, J., Md. Aminul, I., & Ku Halim, K. A. (2011). Service satisfaction: The case of a
higher learning institution in Malaysia. International Education Studies, 4(1), 182-192.
Aida, K., Khalim, Z., & Maznah, I. (2013). An assessment of the services quality of Palestine
Higher Education. International Education Studies, 6(2), 33-48.
Becket, N., & Brookes, M. (2008). Quality management practice in higher education - What
quality are we actually enhancing. Journal of Hospitality, Leisure, Sport & Tourism
Education, 7(1), 40-53.
Cohen, L., Manion, L., & Morrison, K. (2001). Research methods in education (5th ed.).
London: Routledge Falmer.
Cronin Jr., J., & Taylor, S. (1994). SERVPERF versus SERVQUAL: Reconciling
performance-based and perceptions-minus-expectations measurement of service
quality. Journal of Marketing, 58(1), 125-131.
Dicker, R., Garcia, M., Kelly, A., Modabber, P., O’Farrell, A., … Mulrooney, H. M. (2017).
Student perceptions of quality in higher education: Effect of year of study, gender and
ethnicity. New Directions in the Teaching of Physical Sciences, 12(1), 1-14.
Dicker, R., Garcia, M., Kelly, A., & Mulrooney, H. (2018). What does ‘quality’ in higher
education mean? Perceptions of staff, students and employers. Studies in Higher
Education, 44(8), 1425-1441.
Hair, J. F., Black, W. C., Babin, B. J., & Anderson, R. E. (2010). Multivariate data analysis
(7th ed.). Upper saddle River, New Jersey: Prentice Hall.
Hena, M., & Jasbir, S. S. (1993). Staff development approaches in higher education: Learning
experience. London: Commonwealth Secretariat.
Lim, C. H. (2007). Penyelidikan pendidikan: Pendekatan kuantitatif dan kualitatif. Kuala
Lumpur: McGraw Hill Education.

425
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Mahapatra, S. S., & Khan, M. S. (2007). A neural network approach for assessing quality in
technical education: An empirical study. International Journal of Productivity and
Quality Management Decision, 2(3) 287-306.
Maria, E. M. (2016). Productivity as an indication of quality in higher education: The views of
employed graduates in Greece. Quality in Higher Education, 22(3), 183-196.
Mohd Zuhdi, I., Mohd Nizam, A. R., & Ruhizam, M. Y. (2012). Assessing students’
perceptions of service quality in Technical Educational and Vocational Training
(TEVT) institution in Malaysia. Journal Procedia Social and Behavioral Sciences,
56(1), 272-283.
Mohd Jalil, A., Noor Hisham, J., & Annas Akhmal, H. (2015). TVET di Malaysia: Cabaran
dan harapan. Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-dekan Pendidikan Awam (pp. 340-
346). Batu Pahat: Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM.
MTUN. (2019). Sejarah rangkaian universiti-universiti teknikal Malaysia (MTUN). Retrieved
from http://www.uthm.edu.my/en/
Muhammad Hazrul, I. (2012). Kajian mengenai kebolehpasaran siswazah di Malaysia:
Tinjauan dari perspektif majikan. Prosiding PERKEM, 2(1), 906-913.
Neuman, W. L. (2006). Social research methods: Qualitative and quantitative approaches.
Toronto: Pearson.
Nooriah, Y., & Zakiah, J. (2017). Development of graduate’s employability: The role of
university and challenges. Jurnal Personalia Pelajar, 20(1), 15–32.
Pallant, J. (2016). SPSS survival manual: A step by step guide to data analysis using IBM SPSS
(6th ed.). New York: McGraw Hill.
Pallant, J. (2013). SPSS survival manual: A step by step guide to data analysis using IBM SPSS
(5th ed.). New York: McGraw Hill.
Parasuraman, A., Berry, L. L., & Zeithaml, V. A. (1991). Refinement and reassessment of the
SERQUAL scale. Journal of Retailing, 67(4), 420-450.
PPNM. (2017). Perangkaan Pendidikan Negara Malaysia (PPNM). Retrieved from
http://www.moe.gov.my/laporan-dan-statistik/pendidikan-tinggi/buku-perangkaan
Ramseook, M., Naidoo, P. P., & Nundlall, P. (2010). A proposed model for measuring service
quality in secondary education. International Journal of Quality and Service Sciences,
2(3), 355-351.
Rahmah, I., Ishak, Y., Zulkifly, O., Abd Hair, A., & Liew, C. S. (2013). Daya saing pekerja
sektor perkhidmatan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan pustaka.

426
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Rong, T. S. (2012). Statistical products and service solution (Edisi ke-2). Dongbei: Dongbei
University & Economics Press.
Safiek, M. (2012). The influence of service quality on satisfaction: A gender comparison.
Public Administration Research, 1(1), 103-112.
Syed Kamarudin, S., Muhammad, H., & Hamidun, B. (2017). Marketability and employability
among Institutions of Higher Learning (IPT) students in Malaysia. Research Journal of
Applied Sciences, 12(3-4), 228-294.
Senthilkumar, N., & Arulraj, A. (2011). SQM-HEI determination of service quality
measurement of higher education in India. Journal of Modeling in Management, 6(1),
60-78.
Siti Mistima, M., Zatul Iradah, A. K., Nurasikin, S., & Nurul Naimy, W. (2018). Validating
students employability skills using confirmatory factor analysis among engineering
technology students. Journal of Advance Research & Control Systems, 10(04), 1607-
1613.
Siti Falindah, P., & Azizul, Y. Y. (2013). Service quality of Malaysian higher educational
institution: A conceptual framework. International Journal of Business, Economics and
Law, 2(1), 60-69.
Suarman. (2014). Gender differences on students satisfaction: The role of teaching quality in
higher education. Middle-East Journal of Scientific Research, 21(9), 1434-1441.
Tabachnick, B. G., & Fidell, L. S. (2013). Using multivariate statistics. Boston: Pearson
Education.
The World Bank. (2007). Malaysia and the knowledge economy: Building a world-class higher
education system. Washington, DC: World Bank.
Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM. (2003). Kajian pengesanan graduan UKM 2002.
Bangi: Pusat Pembangunan Pelajar, UKM.
UMP. (2019). Sejarah Universiti Malaysia Pahang. Retrieved from
http://www.ump.edu.my/home
UniMAP. (2019a). Sejarah Universiti Malaysia Perlis. Retrieved from
http://www.unimap.edu.my/home
UniMAP. (2019b). Sejarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Retrieved from
http://www.uthn.edu.my/home
UniMAP. (2019c). Sejarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Retrieved from
http://www.utem.edu.my/home

427
Journal of Nusantara Studies 2019, Vol 4(2) 410-428 ISSN 0127-9386 (Online)
http://dx.doi.org/10.24200/jonus.vol4iss2pp410-428

Yanti, R., Ismarul, Y. I., & Nur Zakiah, M. S. (2015). Discipline-based employability skills
among the students in health-related faculties in UKM, Kuala Lumpur campus.
Advance Science Letters, 21(1), 2409-2412.

428

You might also like