You are on page 1of 2

APAKAH ERTI MERDEKA YANG SEBENARNYA?

Kita telah pun meraikan Hari Kebangsaan yang ke-62 pada 31 Ogos yang lalu. Kalau ditanya
secara umum tentang Hari Kebangsaan, jawapan yang biasa didengar sudah tentulah merdeka
dan kemerdekaan. Merdeka daripada penjajahan British. Mudah kerana semua orang tahu dan
telah diajar bahawa pada detik 31 Ogos itulah negara telah bebas daripada cengkaman
penjajah.

Semenjak 62 tahun itu jugalah merdeka daripada penjajahan telah menjadi satu kamus
(leksikon) sambutan Hari Kebangsaan. Sambutannya dipenuhi dengan pengisian sejarah
perjuangan rakyat berbilang kaum di Malaysia dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang
turut diselang-selikan dengan program-program bersifat patriotik dan kenegaraan. Begitulah
lazimnya.

Namun begitu, berapa ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang benar-benar faham dan
menghayati makna sebenar merdeka dan kemerdekaan itu? Apakah kemerdekaan hanya
sekadar retorik pengisahan sejarah semata-mata? Atau sekadar catatan peringatan agar
semua tidak lupa dan terlepas pandang daripada menyambutnya. Kalaulah sedemikian, maka
wajar untuk kita warga SK Chantum mengambil sedikit waktu merenung dan menghayati makna
merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal semata-mata. Malah merdeka
daripada penjajahan tidak mutlak sifatnya. Lihatlah berapa banyak negara yang mencapai
kemerdekaan secara fizikal, tetapi masih lagi dijajah secara bukan fizikal. Kepesatan teknologi
hari ini seperti internet, laman-laman sosial seperti facebook, whatsapp, twitter dan sebagainya
telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam bentuk budaya dan
pemikiran. Benar penjajah sudah lama pergi. Tetapi budaya dan pemikiran mereka masih kental
mencengkam setiap aspek bernegara daripada sistem politik, pendidikan, ekonomi ataupun
sosial.

Jadi, apakah erti kata merdeka atau kebebasan yang sebenar? Pendeta Agung Za’ba,
mencirikan konsep merdeka sebagai 'berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan
yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan
yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan'. Kepada beliau, kemerdekaan
yang sebenar adalah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri
yang dibentuk oleh empat aspek utama: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak). Aspek
terpenting di antara keempat-empat itu sudah tentulah agama. Menurut Za’ba, hanya dengan
agama sahajalah jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang sebenar.

Menurut beliau, hanya ajaran dan amalan agama yang betul akan memerdekakan manusia
daripada bertaklid dan pasrah secara membuta tuli kepada mana-mana makhluk. Dalam masa
yang sama agama juga menjadi pengimbang kepada penggunaan rasional akal secara
berlebihan. Sebab itulah elemen islah berdalilkan al-Quran yang bersendikan akal dan ilmu
pengetahuan sentiasa ditekankan oleh Za’ba dalam membetulkan segala kekurangan atau
kelemahan. Perkara inilah nanti yang akan menukarkan segala kekolotan fikiran dengan
pemikiran yang lebih ideal dan seterusnya memerdekakan jiwa manusia.
Malah, Islam turut memperlihatkan bagaimana Nabi Muhammmad SAW diutuskan ALLAH SWT
untuk memerdekakan manusia daripada kesesatan dan kezaliman kepada kebenaran dan
keadilan. Kedatangan Islam menjadi simbol kemerdekaan manusia daripada segala bentuk
belenggu dan penjajahan kepada kebebasan yang sebenar agar manusia tidak tunduk dan
takut kepada mana-mana makhluk atau kuasa selain ALLAH SWT.

Dengan bertauhid dan sentiasa mengamalkan suruhan-Nya, Islam membebaskan jasad dan
akal manusia daripada belenggu duniawi yang sempit dan fana. Lantaran itu, umat Islam akan
sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik atas kesedaran bahawa dunia hanyalah
persinggahan sementara dan segalanya akan diperhitungkan oleh ALLAH di akhirat kelak.

Justeru, konsep kemerdekaan tidak boleh berdiri secara sendiri dan mutlak. Ia harus
disandarkan dengan kehakikian akal dan jiwa manusia yang fitrahnya merdeka. Hanya dengan
membebaskan jiwa dan minda daripada segala kepercayaan(dogma) yang sesat dan sempit
menerusi rasional akal, ajaran agama serta akhlak yang baik sahaja akan mampu menerbitkan
erti merdeka yang sebenar.

You might also like