You are on page 1of 7

KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

Sistem pemerintahan merupakan sebuah sistem yang digunakan oleh raja atau
pemerintah negara. Menurut Kamus Dewan Edisi Kedua perkataan ‘sistem’ membawa
maksud ‘cara yang teratur untuk melakukan sesuatu’ manakala perkataan ‘pemerintahan’
pula berasal daripada perkataan pemerintah yang bererti orang atau kumpulan orang yang
memerintah sesebuah negara. Secara umumnya, sistem pemerintahan ialah kesatuan
pengaturan yang digunakan oleh pihak-pihak yang berhak membuat keputusan dan
memberikan perintah. Mengimbau semula sejarah tamadun awal yang wujud di dunia,
sistem pemerintahan merupakan dasar yang tidak asing lagi. Hal ini kerana, setiap tamadun
mempunyai organisasi sosial yang diketuai oleh raja atau pemerintah. Dengan itu, sistem
pemerintahan amat diperlukan untuk mengawal keharmonian dan keamanan rakyat pada
masa itu. Sistem yang diamalkan mengalami perubahan dari semasa ke semasa demi
memenuhi keperluan dan keadilan terhadap rakyat.

Terdapat tiga jenis sistem pemerintahan yang diguna pakai sejak zaman tamadun
awal dunia iaitu sistem pemerintahan beraja, sistem republik dan sistem demokrasi. Setiap
sistem ini mempunyai perbezaan terutamanya dari segi pemilihan pemimpin dan kuasa
pemimpin itu sendiri. Kebanyakan tamadun awal dunia menggunakan sistem pemerintahan
beraja dengan raja sebagai institusi tertinggi kecuali tamadun Yunani dan Rom.
Walaubagaimanapun, tamadun-tamadun ini mempunyai corak pemerintahan yang berbeza
atas faktor pemerintah.

Tamadun Mesir merupakan gabungan kerajaan Hulu dan kerajaan Hilir yang
bercantum menjadi satu wilayah di sepanjang Sungai Nil. Kewujudan organisasi sosial dan
petempatan kekal di Lembah Sungai Nil telah menyumbang kepada berlakunya
pengkhususan pekerjaan diikuti dengan pengenalan struktur sosial bagi rakyat tamadun
Mesir untuk menentukan kedudukan rakyat mengikut bidang yang dikerjakan. Berdasarkan
struktur sosial tersebut, firaun merupakan pemerintah tertinggi yang dianggap sebagai tuhan
oleh rakyatnya diikuti dengan golongan bangsawan, pendeta, tentera, pedagang dan
artisan, serta hamba yang berada di kedudukan yang terbawah dalam struktur sosial
tersebut. Firaun merupakan raja berkuasa mutlak dan mengamalkan dasar pemerintahan
kuku besi iaitu rakyat dipaksa untuk taat pada perintahnya serta membayar cukai yang
berat. Orang-orang Mesir tetap berpegang kepada perintah firaun dalam upacara
keagamaan tradisional walaupun ianya sukar difahami (Henri Frankfort, 1961). Selanjutnya,
raja telah mewujudkan sistem beraja dan sistem dinasti untuk mentadbir dan mengekalkan
kedudukan serta keturunan raja tersebut. Perkara ini dapat dilihat daripada pola
pemerintahan yang ditawarkan melalui sistem dinasti di mana raja-raja yang memerintah
berasal daripada satu keluarga. Bagi memudahkan urusan pentadbiran, pegawai-pegawai

1
KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

kerajaan yang terdiri daripada golongan bangsawan telah dilantik untuk mentadbir daerah-
daerah di negara kota tersebut. Memphis dijadikan ibu kota kerana kestabilan ekonominya
pada masa itu. Pemilihan pegawai juga diwarisi secara turun-temurun. Tamadun Mesir
menjadikan pembinaan piramid sebagai lambang kekuasaan firaun selain daripada tempat
untuk menyemadikan jasadnya.

Menurut Mahayudin Yahaya (1998), sistem pemerintahan dalam tamadun alam


Melayu dipengaruhi oleh ajaran Hindu Buddha sebelum Islam diperkenalkan. Peranan raja
dalam pemerintahan tamadun Melayu tidak mempunyai perbezaan yang ketara dengan
tamadun-tamadun lain iaitu berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman
mati, memegang jawatan penting dan bertindak mengikut kehendaknya. Raja juga
mempunyai penguasaan penuh terhadap sumber ekonomi seperti pungutan cukai,
eksploitasi tenaga buruh, hasil pertanian, hasil bumi dan barangan dari kawasan
pedalaman. Sebelum kedatangan pengaruh Islam, tamadun Melayu mengamalkan konsep
‘orde-kosmos’ iaitu raja dan pusat pemerintahan merupakan pusat alam. Dengan itu, raja
bertanggungjawab membentuk rakyatnya mengikut hukum alam semesta atau hukum
Dharma yang merupakan ajaran agama Buddha.

Terdapat tiga kerajaan terbesar dalam tamadun Melayu iaitu kerajaan Angkor,
Srivijaya dan kerajaan Melaka. Ketiga-tiga kerajaan ini menggunakan dasar pemerintahan
yang sama tetapi terdapat sebahagian ciri yang telah diubahsuai mengikut keperluan
pemerintah. Kerajaan Angkor mencorakkan pemerintahannya berdasarkan hierarki sosial
seperti mana yang digunakan oleh pemerintah tamadun Mesir iaitu perbezaan taraf
mengikut susun lapis masyarakat. Bagi melicinkan urusan pentadbiran, raja telah melantik
orang bawah bagi membantu baginda menguruskan suatu kawasan atau daerah.
Contohnya, terdapat pegawai kerajaan pusat pada peringkat tertinggi, gabenor di wilayah,
dan ketua di kampung manakala pada peringkat pusat pula, terdapat Majlis Menteri yang
berperanan membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negara. Kerajaan Srivijaya
pula mempunyai kelainannya yang tersendiri iaitu mempunyai ketua wilayah yang digelar
Datu. Datu memainkan peranan yang besar dan mempunyai kuasa yang luas iaitu
bertanggungjawab dalam hal ehwal tanah dan kebajikan rakyat serta berhak menjatuhkan
hukuman kepada golongan yang didakwa menentang kerajaan. Berbeza dengan kerajaan
lain, sistem pemerintahan Melaka mempunyai pengaruh Islam yang kuat. Melaka
mempunyai sultan yang diberi gelaran ‘Zilalullah Fil Ardh’ yang membawa makna bayangan
Allah di muka bumi. Sesuai dengan gelarannya, sultan Melaka bertanggungjawab ke atas
pelaksanaan hukum Allah dan penyebaran agama Islam. Dengan itu, rakyat wajib
menganuti agama yang dipegang oleh raja. Selain itu, kerajaan Melaka mengamalkan
Sistem Pembesar Empat Lipatan yang mempunyai empat tingkat iaitu Orang Besar Empat,

2
KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

Orang Besar Lapan, Orang Besar 16 dan Orang Besar 32. Orang Besar Empat merupakan
pentadbir utama yang terdiri daripada Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan
Laksamana. Golongan pembesar berperanan di dalam mentadbir negara, memajukan
ekonomi, menjaga keamanan dan keselamatan, mengutip cukai dan sebagainya (Yusuf
Ibrahim, 1983).

Pada mulanya, Athens mengamalkan sistem pemerintahan beraja di mana raja


mengetuai pelbagai bidang seperti ketenteraan, kehakiman dan hal ehwal agama. Raja
dibantu oleh konsul yang terdiri daripada golongan hartawan. Lama-kelamaan, konsul
menjadi kuat dan kuasa raja terhadap negara merosot. Kuasa pentadbiran Athens diambil
alih oleh konsul yang dinamakan sistem oligarki. Dalam kalangan konsul yang memerintah,
wujudnya golongan aristokrat yang memiliki kuasa yang besar berbanding konsul-konsul lain
mengakibatkan sistem pemerintahan Athens diubah sekali lagi kepada sistem aristokrasi
dan akhirnya bertransformasi menjadi sistem demokrasi hasil daripada rundingan golongan
aristokrat setelah berlakunya rampasan kuasa oleh golongan diktator.

Sistem demokrasi Athens memberi peluang kepada rakyat untuk mentadbir negara
sendiri mengikut ideologi masing-masing. Semua warganegara lelaki layak mengambil
bahagian dalam bidang politik yang dinamakan Sistem Perwakilan. Dewan Perhimpunan
menjadi lokasi berbincang, membuat keputusan, dan meluluskan tindakan pemerintahan
yang diadakan sebulan sekali. Persidangan dilakukan sebanyak 40 kali dalam tempoh masa
setahun untuk membuka ruang kepada warganegara menyuarakan pendapat mengenai
dasar kerajaan. Seterusnya, institusi yang terlibat ialah Majlis yang dipilih oleh Dewan
Perhimpunan. Badan ini dianggotai oleh 500 orang ahli yang dipilih melalui undian dan
mempunyai 50 orang yang dipersetujui untuk mewakili setiap suku. Majlis berperanan
merealisasikan keputusan-keputusan yang disepakati oleh Dewan Perhimpunan. Bagi
membantu urusan pentadbiran, Majlis telah menjalinkan kerjasama dengan badan Majistret
untuk melaksanakan dasar kerajaan berpandukan kata putus yang dikeluarkan oleh Majlis.
Ahli-ahlinya terdiri daripada pembanci, pengutip cukai, pendidik, pegawai serta 10 orang
jeneral yang dipilih oleh warganegara melalui sistem undian. Bagi hal ehwal pengadilan
pula, kuasa pengadilan terletak di tangan warganegara. Contohnya, pesalah boleh membuat
rayuan kepada rakan-rakan warganegara yang lain untuk diberi pengadilan. Lokasi
pengadilan bergantung kepada beratnya jenayah yang dilakukan. Jika kesalahan yang
dilakukan merupakan kesalahan ringan, pesalah akan diadili di mahkamah tempatan
manakala bagi kes-kes berat pula, pesalah akan didakwa di mahkamah Athens.

Kegemilangan yang dicapai oleh tamadun-tamadun awal merupakan titik tolak


kepada kemajuan dunia. Kini, dunia telah mencatatkan pelbagai kemajuan dan inovasi

3
KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

dalam kehidupan disebabkan wujudnya sistem pemerintahan yang teguh bagi mengekalkan
keamanan dan keselamatan negara. Terdapat beberapa elemen-elemen sistem
pemerintahan tamadun awal yang masih diguna pakai hingga kini disebabkan syarat dan
ciri-cirinya yang fleksibel terhadap pengubahsuaian.

Antara elemen yang menjadi ikutan masa kini ialah elemen demokrasi dalam
pentadbiran. Sistem demokrasi secara umumnya ialah pemerintahan yang dijalankan oleh
wakil rakyat yang dipilih melalui undian. Rakyat berpeluang untuk mentadbir negara
berdasarkan ideologi masing-masing tetapi bergantung terhadap undian rakyat yang lain
sepertimana yang diucapkan oleh Abraham Lincoln bahawa demokrasi adalah satu
pemerintahan dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat. Sebahagian negara di dunia
mengamalkan sistem demokrasi tetapi dengan melakukan sedikit pengubahsuaian terhadap
syarat-syarat dan ciri-cirinya. Misalnya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi tetapi
melonggarkan syarat untuk menyertai kabinet iaitu warganegara perempuan juga
dibenarkan untuk mengambil bahagian. Walaubagaimanapun, kedudukan dan jawatan
tertinggi masih dikuasai oleh kaum lelaki. Selain itu, negara Malaysia juga masih
mengekalkan badan-badan yang terlibat dalam sistem pemerintahan demokrasi. Sebagai
negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, Malaysia telah melakukan
pembahagian kuasa kepada tiga bahagian iaitu Dewan Perundangan, Dewan Kehakiman
dan Eksekutif. Ketiga-tiga badan ini berasal daripada sistem yang diamalkan oleh tamadun
Yunani serta mempunyai peranan yang sama.

Seterusnya, terdapat juga negara yang menggunakan sistem pemerintahan beraja


untuk melengkapkan pentadbiran negara. Merujuk kepada Firdaus (2004), tidak dapat
dinafikan, sistem raja berperlembagaan di Malaysia seperti yang disifatkan oleh sesetengah
pemerhati telah berjaya memberikan sumbangan yang signifikan ke arah kestabilan dan
keharmonian politik di Malaysia. Menurut akhbar Berita Harian, Singapura pada tahun 2016,
empat daripada 10 negara Asia Tenggara masih mengekalkan pelbagai jenis sistem beraja
yang merangkumi perlembagaan dan juga bersifat istiadat. Keempat-empat negara itu ialah
Thailand, Brunei, Kemboja dan Malaysia. Di Malaysia, elemen keagamaan dalam sistem
beraja tamadun Melayu yang dilaksanakan oleh kerajaan Melaka masih diteruskan hingga
kini di mana rakyat wajib menganuti agama yang dianuti oleh rajanya. Hal ini dapat,
dibuktikan melalui Perkara 160 (2) dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan orang
Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur
menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan
atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura
atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut. Menurut Irene (2012) asas
kepada tamadun Melayu adalah agama Islam itu sendiri. Asal hukum ini tercetus adalah

4
KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

setelah kedatangan Islam di Melaka apabila raja bertanggungjawab ke atas penyebaran


agama dan pelaksanaan hukum Allah dengan gelaran ‘Zilalullah Fil Ardh’ iaitu bayangan
Allah di muka bumi. Tanggungjawab tersebut masih berkekalan hingga kini menyebabkan
semua kaum Melayu wajib beragama Islam dan patuh kepada hukum agama Islam.

Secara keseluruhannya, sistem pemerintahan yang digunakan oleh tamadun-


tamadun awal mempunyai dasar yang kukuh untuk digunakan oleh pemerintah untuk
mentadbir negara. Fleksibiliti sistem pemerintahan awal membolehkan masyarakat
kontemporari untuk mengguna pakainya semula tetapi dengan melakukan sedikit
penambahbaikan terhadap dasar tersebut. Tambahan pula, sistem tersebut dilengkapi
dengan elemen-elemen yang mempengaruhi masyarakat moden seperti elemen demokrasi
dan elemen keagamaan dalam pentadbiran negara. Elemen demokrasi telah dipersetujui
oleh majoriti penduduk dunia kerana ianya membuka peluang kepada rakyat untuk
berkecimpung di dalam bidang politik serta memberi sumbangan kepada tanah air tercinta.
Agama rasmi negara juga diwujudkan bagi memastikan setiap rakyat mempunyai agama
sebagai pegangan dalam hidup masing-masing supaya masyarakat hidup harmoni dan
bersopan santun. Oleh itu, pengekalan elemen-elemen ini terjadi kerana dapat
menyumbang kepada kemudahan pemimpin untuk mentadbir wilayah masing-masing.

5
KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

RUJUKAN

Camil Wariya. (1992). Politik dan Raja. Kuala Lumpur. Penerbit Fajar Bakti. hlm.111.

Firdaus Abdullah. (2004). “Monarki Rahsia Kejayaan Malaysia”. Berita Harian. Ogos 12,
hlm.6.

Frankfort, Henri. (1961). Ancient Egyptian Religion : An Interpretation. The University of


Michigan. Harper & Row 1961.

Kamus Dewan. (2nd ed.). (1984). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Lincoln, Abraham. (2016). Abraham Lincoln Quotes : Abraham Lincoln, Quotes, Quotations,
Famous Quotes. United States. CreateSpace Independent Publishing Platform.

Mahdi Shuid. (2016). Ketamadunan Manusia. Selangor. Sasbadi Sdn. Bhd.

Mahayudin Haji Yahaya, (1998). Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka. hlm.192.

Mahdi,S. (2016). Ketamadunan Manusia. Selangor. Sasbadi Sdn. Bhd. Retrieved Februari
15, 2020

Mohd Yusuf Ibrahim. (2010). Sejarawan dan Pensejarahan Melayu : Tradisi & Transformasi.
Selangor. Tinta Publisher.

Roslan Mohd Nor. (2010). Meneladani Sejarah Umat Islam Dalam Membentuk Masyarakat
Hadhari Yang Gemilang Abad ke-21. Jurnal Hadhari 2(2), 19-40.

6
KETAMADUNAN MANUSIA SJH 1054

You might also like