You are on page 1of 20

EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN

PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

CONTOH KERJA KURSUS


EKONOMI
KERTAS 4
2019

(PENGGAL 3 )

PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

@himpunan_nota_stpm_senior_cikgu
https://t.me/himpunan_nota_stpm_senior_cikgu

GROUP RASMI :
@SembangSTPM
https://t.me/SembangSTPM

1
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

PENGHARGAAN

Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada para pentadbir Sekolah Menengah


Kebangsaan UT khasnya pengetua SMKUT.

Dalam usaha menjayakan kerja kursus ini, ucapan terima kasih diberikan kepada guru
matapelajaran Ekonomi Malaysia dan guru pembimbing lain yang telah banyak memberi
bantuan, tunjuk ajar dan sanggup meluangkan banyak masa membimbing bagi
menjayakan kerja kursus ini. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada guru - guru lain
yang banyak memberikan nasihat dan galakan bagi menyempurnakan kerja ini.

Di samping itu, tidak lupa juga kepada ibu bapa kerana telah banyak memberi
sokongan moral dan kewangan sepanjang menjayakan kerja kursus ini. Terima kasih juga
kepada rakan seperjuangan lain yang sama – sama memberi sokongan dan dorongan.

Akhir kata, terima kasih kepada semua yang telah banyak memberi bantuan secara
langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan kerja kursus ini.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


1
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

HUBUNGAN ANTARA KDNK DENGAN HUTANG KERAJAAN


PERSEKUTUAN BAGI TAHUN 2010 HINGGA 2015

ABSTRAK

Kajian ini bertajuk hubungan antara KDNK dengan hutang kerajaan persekutuan bagi
tahun 2010 hingga 2015. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji arah aliran hutang
kerajaan persekutuan di Malaysia bagi tahun 2010 hingga 2015 dan menganalisis
hubungan antara KDNK dengan hutang kerajaan persekutuan di Malaysia pada tahun
2010 hingga 2015. Kaedah kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui
pengumpulan data sekunder yang terdiri daripada laman sesawang dan buku rujukan
serta kamus. Secara keseluruhannya, hasil kajian menunjukkan arah aliran hutang
kerajaan persekutuan bagi tahun 2010 hingga 2015 mengalami peningkatan yang
berterusan pada tahun – tahun tersebut disebabkan oleh beberapa faktor luaran dan
dalaman negara. Hubungan antara KDNK dan hutang kerajaan persekutuan juga
menunjukkan hubungan secara langsung. Hal ini kerana, peningkatan hutang kerajaan
juga menyebabkan nilai KDNK turut mencatatkan peningkatan. Peningkatan hutang
kerajaan persekutuan mampu meningkatkan KDNK melalui peningkatan projek-projek
pembangunan yang dapat merancakkan kepesatan ekonomi negara.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


2
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

1.0 LATAR BELAKANG KAJIAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun. Oleh itu, hutang
kerajaan akan meningkat bagi membiayai segala kos pembangunan dan mengurus negara.
Hutang yang banyak tidak melambangkan keadaan sesebuah ekonomi negara itu.
Walaupun Malaysia berhutang namun keadaan ekonomi negara stabil. Kerajaan terus
memastikan paras hutang kerajaan Persekutuan tidak melebihi 55% daripada KDNK.

Pada akhir 2014, keseluruhan hutang kerajaan persekutuan di dalam negeri dan
luar pesisir adalah berjumlah RM 582.8 atau 54.5% daripada KDNK. Nilai hutang ini
hampir berada pada paras bahaya iaitu 55%. Oleh itu, kerajaan perlu berhati–hati dalam
melakukan pinjaman agar tidak berada di paras bahaya.

Langkah pemulihan ekonomi yang diambil oleh kerajaan menerusi suntikan fiskal
sebanyak RM 22 bilion pada tahun 2009 dan 2010 telah memberi impak positif kepada
ekonomi yang mencerminkan pertumbuhan kukuh 9.5% dalam tempoh separuh pertama
tahun 2010.

Menurut Suhiliah Mohd Salleh, Ekonomi Malaysia Semester 3 (2019), hutang


kerajaan persekutuan merujuk kepada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang meliputi
hutang dalam negara dan luar negara. Hutang kerajaan persekutuan ditanggung kerajaan
apabila kerajaan perlu membuat pinjaman untuk membiayai defisit belanjawan kerajaan.

Menurut Kamus Ekonomi (1993), hutang kerajaan didefinisikan sebagai hutang


negara yang merujuk kepada hutang kerajaan kepada orang ramai dan institusi dalam
negeri (hutang dalam negeri) dan kepada pemastautin asing (hutang luar negeri). Hutang
dalam negeri termasuk pinjaman kerajaan melalui bon atau bil perbendaharaan, dan
pinjaman daripada kumpulan simpanan seperti kumpulan wang simpanan pekerja.
Hutang luar negeri ialah pinjaman daripada kerajaan asing, bank dunia, bank swasta
negara asing atau institusi kewangan antarabangsa. Bagi hutang kerajaan persekutuan,
pinjaman merupakan satu sumber yang penting bagi membiayai perbelanjaan kerajaan
khasnya perbelanjaan pembangunan. Oleh itu, kerajaan perlu membuat pinjaman individu
atau institusi kewangan dalam negeri mahupun luar negeri.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


3
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

KDNK pada tahun 2019 ini menunjukkan pergerakan sederhana iaitu sebanyak
4.6% disebabkan aktiviti eksport dan pelaburan yang perlahan, seiring kedudukan
ekonomi perlahan. Pertumbuhan KDNK yang perlahan telah mendorong paras hutang
kerajaan meningkat kepada 51.5% berbanding tahun 2018 iaitu 50.6%. Paras hutang ini
masih berada dalam keadaan yang baik walaupun agak membimbangkan. Hal ini kerana,
sekiranya paras hutang telah mencapai 55% dan lebih akan menyebabkan keadaan
ekonomi negara berada paras bahaya kerana ia akan mendatangkan kesan kepada negara.

Menurut Kamus Ekonomi (1993), keluaran dalam negara kasar iaitu KDNK
merupakan nilai semua barang dan perkhidmatan akhir pada harga pasaran yang
dikeluarkan oleh rakyat dalam sesebuah negara tanpa mengambil kira keluaran atau
pendapatan bersih luar negeri. Keluaran dalam negara kasar juga boleh dinyatakan dalam
kos faktor selepas menolak cukai tak langsung dan dicampur subsidi.

Dalam kajian ini, pengkaji ingin melihat adakah hutang kerajaan persekutuan
menunjukkan trend yang meningkat atau menurun di samping mengkaji hubungan antara
hutang kerajaan persekutuan dengan KDNK adalah hubungan positif atau negatif. Secara
keseluruhannya, dalam kajian ini pengkaji memberi fokus kepada arah aliran hutang
kerajaan persekutuan dan hubungan antara KDNK dengan hutang kerajaan persekutuan
di Malaysia bagi tahun 2010 hinggan 2015.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


4
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

2.0 PERNYATAAN MASALAH

Setiap negara mengalami masalah kewangan yang menyebabkan negara tersebut


perlu meminjam wang dan berhutang. Malaysia juga merupakan salah satu negara yang
turut berhutang bagi menampung segala perbelanjaan negara. Jumlah hutang negara
menunjukkan peningkatan yang berterusan pada setiap tahun berikutan keadaan ekonomi
semasa.

Peningkatan hutang ini adalah disebabkan oleh penerusan pembayaran projek


infrastruktur yang sedia ada di samping pembiayaan projek – projek infrastruktur yang
baharu. Namun begitu, peningkatan hutang tanpa ditadbir urus dengan baik akan
memberi kesan yang buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan
perlu berhati-hati bagi memastikan beban hutang yang semakin tinggi ini tidak
menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Berikutan dengan perkara tersebut, pengkaji telah berminat untuk mengkaji arah
aliran hutang kerajaan persekutuan di Malaysia bagi tahun 2010 hingga tahun 2015. Hal
ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana aliran hutang kerajaan persekutuan dalam
tempoh 6 tahun tersebut. Selain itu, pengkaji turut menganalisis hubungan antara KDNK
dengan hutang kerajaan persekutuan di Malaysia bagi tahun 2010 hingga tahun 2015.
Analisis ini dijalankan bagi mengetahui hubungan KDNK dengan hutang kerajaan
persekutuan. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah bagi menjadi rujukan kepada
pengkaji – pengkaji yang akan melakukan kajian terhadap isu ini sebagai kajian lepas.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini merangkumi objektif – objektif berikut iaitu :

3.1 Mengkaji arah aliran hutang kerajaan persekutuan di Malaysia bagi tahun 2010
hingga 2015

3.2 Menganalisis hubungan antara hutang kerajaan persekutuan dengan KDNK di

Malaysia bagi tahun 2010 hingga tahun 2015

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


5
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

4.0 KAEDAH KAJIAN

Menurut Kamus Pelajar (2004), kaedah merupakan cara atau peraturan membuat
sesuatu. Kaedah kajian merupakan pendekatan yang digunakan bagi menjalankan kajian.

4.1 KAEDAH MEMPEROLEH DATA

Pengkaji telah memperoleh data dengan mengumpul semua data sekunder. Data
sekunder adalah data diperoleh secara langsung daripada internet dan kajian kepustakaan.

4.1.1 LAMAN SESAWANG

Pengkaji telah melayari laman rasmi Bank Negara bagi mendapatkan maklumat
mengenai kadar hutang kerajaan persekutuan dan KDNK. Pengkaji juga telah
menganalisis laporan tahunan ekonomi tahun 2010 hingga tahun 2015 bagi mendapatkan
maklumat mengenai kadar hutang kerajaan persekutuan dan KDNK.

4.1.2 BUKU

Selain itu, pengkaji juga telah merujuk buku Suhiliah Mohd Salleh tahun 2019 “Ace
Ahead Teks STPM Ekonomi Malaysia” dan kamus ekonomi bagi memberi definisi
mengenai istilah ekonomi.

4.2 KAEDAH MENGANALISIS DATA

Pengkaji telah menganalisis data yang dikumpul dengan menggunakan kaedah


deskriptif dalam bentuk jadual, rajah, peratusan dan graf. Data yang diperoleh dihitung
dan dianalisis dalam bentuk peratusan bagi mendapatkan analisis yang betul. Pengkaji
akan mempersembahkan data tersebut dalam bentuk jadual dan graf.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


6
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

5.0 DAPATAN KAJIAN

5.1 Mengkaji arah aliran hutang kerajaan persekutuan di Malaysia bagi tahun 2010

Hingga tahun 2015.

Tahun Hutang kerajaan persekutuan (RM Juta)

2010 407 102

2011 456 130

2012 501 617

2013 539 858

2014 582 828

2015 630 540

Jadual 1 : Hutang kerajaan persekutuan dari tahun 2010 hingga tahun 2015

Rajah 1 : Arah aliran hutang kerajaan persekutuan dari tahun 2010 hingga tahun 2015

Secara keseluruhannya, hutang kerajaan persekutuan di Malaysia menunjukkan


peningkatan arah aliran pada setiap tahun dari tahun 2010 hingga tahun 2015. Bermula
dengan tahun 2010 hutang kerajaan persekutuan mencatatkan sebanyak RM 407 102 juta.
Hutang ini kemudian terus meningkat pada tahun 2015 dan mencatatkan sebanyak RM
630 540 juta. Peningkatan hutang ini disebabkan oleh perbelanjaan kerajaan yang
melebihi daripada hasilnya.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


7
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Berdasarkan Jadual 1, pada tahun 2010 hutang kerajaan persekutuan adalah


sebanyak RM 407 102. Menurut laporan ekonomi 2010/2011 peningkatan perbelanjaan
ini disebabkan oleh suntikan fiskal secara langsung sebanyak RM 5 bilion di bawah pakej
rangsangan ekonomi kedua serta komitmen baru di bawah empat NKRA iaitu
mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar, pengangkutan awam bandar, isi rumah
berpendapatan rendah dan mengurangkan jenayah. Perbelanjaan ini telah mempengaruhi
perbelanjaan mengurus sebanyak RM 151 633 juta dan perbelanjaan pembangunan
sebanyak RM 52 792 juta. Melalui perbelanjaan ini, perbelanjaan pembangunan
mencatatkan peningkatan sebanyak 9.1% berbanding pada tahun 2009. Perbelanjaan
pembangunan ini adalah untuk membiayai projek-projek bagi mencapai matlamat NKRA
tersebut. Selain itu, projek pembinaan dan penyelenggaraan dan naik taraf jalan luar
bandar dan kampung (RM 1.2 bilion ) di seluruh negara dipercepatkan bagi menyediakan
infrastruktur yang lebih baik dan memacu pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar
termasuk RM 381 juta di bawah NKRA bagi meningkatkan infrastruktur asas luar bandar.
68.8% daripada peruntukan disalurkan untuk negeri Sarawak, Sabah, Perak, Negeri
Sembilan dan Kelantan. Peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan ini telah
mendorong kerajaan untuk berhutang.

Arah aliran hutang kerajaan persekutuan telah mengalami peningkatan pada tahun
2010 hingga tahun 2011. Hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2010 adalah sebanyak
RM 407 102 juta telah meningkat kepada RM 456 130 juta pada tahun 2011.
Peningkatan ini adalah sebanyak 12.04% bersamaan RM 49 028 juta. Laporan ekonomi
2011/2012 menyatakan bahawa hasil kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM 185 419
manakala perbelanjaan kerajaan ialah sebanyak RM 229.6 bilion. Menurut laporan
ekonomi tahun tersebut nilai perbelanjaan kerajaan telah melebihi daripada hasil kerajaan
yang diperoleh. Pada tahun 2011, kutipan hasil kerajaan agak menggalakkan. Namun
begitu, kelembapan persekitaran luaran seterusnya memberi kesan terhadap kewangan
kerajaan. Jumlah perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat 12.3% berbanding tahun
2010. Perbelanjaan mengurus meningkat sebanyak 18.9% disebabkan peningkatan harga
minyak mentah dan komoditi dunia. Oleh itu, kerajaan telah mengeluarkan banyak wang
dan meningkatkan perbelanjaan bagi mengatasi masalah kenaikan harga minyak mentah
serta mendorong kepada peningkatan hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2011.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


8
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Pada tahun 2012, hutang kerajaan telah meningkat kepada RM 501 617 juta
berbanding dengan RM 456 130 juta pada tahun 2011. Peningkatan adalah sebanyak RM
45 487 juta bersamaan 9.97% . Kerajaan telah memberikan peruntukan sebanyak 80.3%
daripada jumlah perbelanjaan kepada perbelanjaan mengurus kerana perbelanjaan ini
menunjukkan peningkatan sebanyak 11% berbanding tahun 2011. Hal ini kerana berlaku
peningkatan dalam perbelanjaan mengurus bagi emolumen yang merupakan komponen
terbesar dalam perbelanjaan mengurus. Perbelanjaan emolumen ini meningkat
disebabkan oleh berlaku peningkatan dalam peruntukan bagi menampung
penambahbaikan skim gaji kakitangan awam antara 7% hingga 13% berkuat kuasa pada
1 Januari 2012 (RM 3.3 bilion), pelarasan kos sara hidup antara RM 150 hingga RM 300
bergantung kepada lokasi (RM 379 juta) dan semakan kenaikan gaji tahunan antara RM
80 hingga RM 320 mengikut gred. Di samping itu, bonus setengah bulan dengan bayaran
minimum sebanyak RM 500 telah diberikan kepada 1.27 juta kakitangan awam.Kenaikan
perbelanjaan kerajaan menyebabkan hutang meningkat.

Pada tahun 2013, arah aliran hutang kerajaan persekutuan telah meningkat kepada
RM 539 858 berbanding dengan RM 501 617 pada tahun 2012. Peningkatan ini berlaku
sebanyak 7.62% iaitu RM 38 241 juta. Hasil kerajaan pada tahun 2013 ada sebanyak RM
213 370 juta dan perbelanjaan kerajaan adalah sebanyak RM 263.3 bilion. Hal ini telah
menyebabkan kerajaan telah berbelanja melebihi hasil yang diperoleh disebabkan oleh
pinjaman dalam negeri yang lebih tinggi. Hal ini kerana berlaku peningkatan dalam
perbelanjaan pembangunan bagi sektor pertanian dan luar bandar pada tahun 2013 yang
mencatatkan RM 2 692 juta berbanding tahun 2012 sebanyak RM 1 906 juta. Ke arah ini,
subsektor pertanian dan pembangunan luar bandar diperuntukkan RM 3.2 bilion atau
7.2% daripada jumlah perbelanjaan pembangunan 2012 untuk mencapai objektif Dasar
Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020. Kerajaan mengambil inisiatif bagi
meningkatkan produktiviti melalui penerapan amalan terbaik pertanian dan penggunaan
teknologi dan menggiatkan pengkomersialan output penyelidikan dan pembangunan
(R&D). Projek lain dalam subsektor pertanian termasuk NKEA pertanian, kelapa sawit
dan getah (RM 1.5 bilion) bertujuan mempercepatkan penanaman semula dan pembukaan
ladang kelapa sawit dan getah. Tumpuan subsektor ini untuk mengatasi masalah
kemiskinan negara.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


9
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Arah aliran hutang pada tahun 2014 menunjukkan peningkatan iaitu RM 582 828
berbanding RM 539 858 pada tahun 2013. Peningkatan sebanyak RM 42 970 juta
bersamaan 7.96%. Menurut laporan ekonomi 2014/2015, peningkatan hutang kerajaan
persekutuan adalah disebabkan oleh terbitan hutang domestik yang lebih tinggi untuk
memenuhi keperluan pembiayaan. Pada tahun 2014, RM 51 bilion diperoleh melalui
terbitan Sekuriti Kerajaan Malysia (SKM) dan RM 33.5 bilion melalui Terbitan
Pelaburan Kerajaan (TPK). SKM kekal sebagai sumber pembiayaan terbesar iaitu 60.4%
daripada jumlah pinjaman kasar domestik. TPK menyumbang 39.6% daripada pinjaman
kasar domestik berbanding di bawah 20% sebelum krisis ekonomi global pada tahun
2008. Pinjaman kasar SKM akan diperoleh melalui terbitan baharu dan pembukaan
semula SKM sedia ada yang berjumlah RM 51 bilion, dengan RM 26.4 bilion akan
digunakan untuk pembayar balik SKM yang telah matang. TPK yang diterbitkan terdiri
daripada gabungan terbitan baharu dan pembukaan semula TPK sedia ada yang
berjumlah RM 33.5 bilion. Penerbitan SKM dan TPK menyebabkan hutang kerajaan
persekutuan terus meningkat pada tahun 2014 bagi menampung perbelanjaan negara.

Pada tahun 2015 hutang kerajaan persekutuan telah meningkat kepada RM 630
540 juta daripada RM 582 828 juta pada tahun 2014. Peningkatan ini adalah sebanyak
RM 47 712 juta. Menurut Laporan Kementerian Kewangan 2015/2016, peningkatan
hutang ini adalah disebabkan oleh terbitan hutang dalam negeri yang lebih tinggi bagi
memenuhi keperluan pembiayaan defisit. Pinjaman domestik pada tahun ini berjumlah
RM 90.5 billion atau 93.8% daripada jumlah pinjaman. Hal ini kerana pada tahun 2015,
hasil kerajaan persekutuan dicatatkan sebanyak RM 219 089 juta manakala perbelanjaan
kerajaan pula ialah sebanyak RM 260.7 bilion. Sehubungan dengan itu, kerajaan terpaksa
berhutang bagi menampung peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak 20%
dalam sektor ekonomi. Subsektor pengangkutan adalah penerima terbesar pada 30.8%
atau RM 8.7 bilion, terutamanya bagi membiayai pembinaan, penyelenggaraan dan
penaiktarafan jalan raya dan jambatan, lapangan terbang dan pelabuhan serta landasan
kereta api. Antara projek yang dilaksanakan termasuk Lebuhraya Pantai Barat daripada
Taiping ke Banting, pembinaan landasan berkembar elektrik sepanjang 6.6 km dari
Subang Jaya ke Sri Subang, menaik taraf lapangan di Kota Kinabalu serta menaik taraf
perkhidmatan dan membaik pulih landasan kereta api di antara Gua Musang dan Tumpat

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


10
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar pada tahun 2014. Kerajaan telah
banyak memberi peruntukan kepada sektor-sektor tersebut dan telah menyebabkan
hutang kerajaan persekutuan meningkat pada saban tahun.

Kesimpulannya, hutang kerajaan persekutuan menunjukkan peningkatan dari


tahun 2010 hingga tahun 2015 yang disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran..
Peningkatan yang berterusan ini memberikan kesan yang negatif kepada negara kerana
perlu membayar balik kesemua jumlah hutang tersebut. Hutang yang dimiliki oleh
kerajaan masih stabil sekiranya tidak melebihi pada kadar KDNK iaitu sebanyak 55%.
Oleh itu, kerajaan perlulah berbelanja dengan berhemah bagi mengelakkan kerajaan terus
berhutang dengan nilai yang tinggi.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


11
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

5.2 Menganalisis hubungan antara Hutang Kerajaan Persekutuan dengan KDNK di

Malaysia bagi tahun 2010 hingga 2015

Tahun Hutang kerajaan persekutuan KDNK (RM JUTA)


(RM Juta)

2010 407 102 674 946

2011 456 130 709 261

2012 501 617 912 261

2013 539 858 955 080

2014 582 828 1 012 506

2015 630 540 1 062 805

Jadual 2: Hutang kerajaan persekutuan dan KDNK dari tahun 2010 hingga tahun 2015

Rajah 2: Hubungan antara KDNK dengan Hutang Kerajaan Persekutuan dari tahun 2010
hingga 2015

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


12
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Pada tahun 2010, hutang kerajaan dicatatkan sebanyak RM 407 102 juta
manakala KDNK pula mencatatkan sebanyak RM 674 946 juta. Pada tahun 2010,
kerajaan telah memberi peruntukkan yang besar dalam perbelanjaan pembangunan bagi
menampung pelaksanaan projek yang dipercepatkan memandangkan tahun 2010
merupakan tahun akhir bagi Rancangan Malaysia Kesembilan. Oleh itu, banyak projek
telah dipercepatkan termasuk pembinaan Lebuh Raya Trans – Eastern Kedah Hinterland
dan projek pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf jalan luar bandar dan kampung di
seluruh negara. KDNK pula mencatatkan nilai berikut kerana berlaku perkembangan
dalam sektor perkhidmatan sebanyak 7.9%, disokong aktiviti berkaitan perdagangan dan
penggunaan yang kukuh. Selaras dengan unjuran prestasi lebih baik dalam semua sektor
ekonomi, sektor pekhidmatan juga meningkat 6.5% dan merangkumi 57.3% daripada
Keluaran Dalam Negeri Kasar pada tahun 2010 berbanding pada tahun 2009 yang
mencatatkan sebanyak 2.9%. oleh itu, peningkatan dalam sektor pekhidmatan ini telah
menyumbang kepada peningkatan KDNK.

Pada tahun 2011, hutang kerajaan persekutuan mencatatkan peningkatan iaitu dari
RM 407 102 juta kepada RM 456 130 juta manakala KDNK meningkat kepada RM 709
261 juta berbanding dengan tahun 2010 iaitu sebanyak RM 674 946 juta. Hal ini telah
menyebabkan perbelanjaan kerajaan mengalami defisit dan terpaksa berhutang kerana
jumlah perbelanjaan kerajaan pada tahun ini telah melebihi jumlah hasil. Buktinya, pada
tahun 2011, jumlah hasil mencatatkan sebanyak RM 185 419 juta manakala jumlah
perbelanjaan adalah sebanyak RM 229.6 bilion. Peningkatan dalam perbelanjaan
mengurus ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan komoditi dunia.
Peningkatan KDNK pula disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor pertanian yang
mencatatkan sebanyak 5.9 peratus yang dipacu oleh pengeluaran minyak sawit mentah
dan getah yang lebih tinggi berbanding tahun 2010 yang mencatatkan sebanyak 2.1
peratus. Pengeluaran ternakan, buah-buahan dan sayur-sayuran juga berkembang kukuh.
Pelbagai langkah untuk meningkatkan pengeluaran makanan telah menyumbang kepada
aktiviti sektor pertanian yang lebih tinggi. Secara tidak langsung hal ini telah
menyumbang kepada peningkatan KDNK pada tahun ini. Hutang kerajaan persekutuan
dan KDNK menunjukkan hubugan secara langsung kerana berlaku peningkatan kepada
kedua-duanya pada tahun 2011.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


13
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Pada tahun 2012, hutang kerajaan persekutuan meningkat kepada RM 501 617
juta berbanding dengan RM 456 130 juta pada tahun 2011 manakala KDNK mencatatkan
nilai sebanyak RM 912 261 juta. KDNK menunjukkan peningkatan yang banyak
berbanding tahun 2011 iaitu sebanyak RM 709 261 juta. Hutang kerajaan persekutuan
meningkat disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan mengurus dalam emolumen iaitu
peningkatan peruntukan bagi menampung penambahbaikan skim gaji kakitangan dan
skim baharu yang diperkenalkan yang telah menelan belanja sebanyak RM 1.1 bilion
Peningkatan KDNK adalah berikutan pertumbuhan yang kukuh dalam sektor pembinaan
sebanyak 18.9 peratus pada tempoh separuh pertama dalam tahun 2012. Pertumbuhan
sektor perkhidmatan kekal kukuh dan berkembang pada tahun 2012 serta menyumbang 3
mata peratusan kepada keseluruhan pertumbuhan KDNK. Oleh itu, pertumbuhan sektor
pembinaan yang kukuh banyak memberi sumbangan dalam peningkatan KDNK tahun
2012. Rumusannya, hutang kerajaan persekutuan dan KDNK mempunyai hubungan
secara langsung kerana kedua-duanya menunjukkan peningkatan.

Pada tahun 2013, hutang kerajaan persekutuan meningkat kepada RM 539 858
berbanding tahun 2012 sebanyak RM 501 617. KDNK juga menunjukkan peningkatan
iaitu sebanyak RM 955 080 juta berbanding tahun 2012 sebanyak RM 912 261 juta.
Peningkatan hutang ini adalah kerana pinjaman dalam negeri yang lebih tinggi untuk
memenuhi keperluan pembiayaan. Hal ini kerana, kerajaan telah memberi peruntukan
yang besar untuk memodenkan dan mengkomersialkan subsektor pertanian. KDNK
mencatatkan peningkatan pada tahun ini disebabkan oleh sektor pertanian yang
mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.1 peratus berbanding tahun 2012 yang
mencatatkan sebanyak 1.3 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara
dalam CPO dan disokong oleh pengeluaran komoditi makanan yang meningkat seperti
sayur-sayuran, padi, dan buah-buahan berikutan langkah positif kerajaan meningkatkan
pengeluaran makanan. Pertumbuhan ini memberikan sumbangan dan meningkatkan nilai
KDNK pada tahun 2013. Hutang kerajaan persekutuan dan KDNK menunjukkan
hubungan secara langsung pada tahun ini.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


14
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Pada tahun 2014 hutang kerajaan menunjukkan peningkatan dan mencatatkan


sebanyak RM 582 828 juta berbanding tahun 2013 iaitu sebanyak RM 539 858 juta. Nilai
KDNK juga mencatatkan peningkatan iaitu RM 1 012 506 juta berbanding tahun 2013
iaitu sebanyak RM 955 080 juta. Menurut laporan tahunan ekonomi 2014, hutang
kerajaan persekutuan meningkat disebabkan oleh terbitan hutang domestik yang lebih
tinggi bagi memenuhi keperluan pembiayaan. Pada tahun 2014, RM 51 bilion diperoleh
melalui terbitan Sekuriti Kerajaan Malysia (SKM) dan RM 33.5 bilion melalui Terbitan
Pelaburan Kerajaan (TPK). SKM kekal sebagai sumber pembiayaan terbesar iaitu 60.4%
daripada jumlah pinjaman kasar domestik. Terbitan TPK menyumbang 39.6% daripada
pinjaman kasar domestik berbanding di bawah 20% sebelum krisis ekonomi global pada
tahun 2008. Peningkatan KDNK pula didorong oleh pelaburan swasta yang meningkat
pada kadar yang lebih tinggi iaitu sebanyak 11.2 peratus pada suku keempat berbanding
6.8 peratus pada suku ketiga 2014 disokong keadaan pasaran pekerja yang stabil
terutamanya dalam sektor berorientasikan domestik dan pertumbuhan upah yang
berterusan. Oleh itu, wujud hubungan secara langsung antara hutang kerajaan
persekutuan dengan KDNK pada tahun ini.

Pada tahun 2015, hutang kerajaan dicatatkan sebanyak RM 630 540 juta. Nilai ini
lebih tinggi berbanding tahun 2014 iaitu sebanyak RM 582 828 juta. KDNK turut
mencatatkan peningkatan iaitu RM 1 062 805 juta berbanding pada tahun 2014 sebanyak
RM 1 012 506 juta. Pinjaman domestik pada tahun ini berjumlah RM 90.5 billion atau
93.8% daripada jumlah pinjaman. Hal ini kerana pada tahun 2015, hasil kerajaan
persekutuan dicatatkan sebanyak RM 219 089 juta manakala perbelanjaan kerajaan pula
ialah sebanyak RM 260.7 bilion. Sehubungan dengan itu, kerajaan terpaksa berhutang
bagi menampung peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak 20% dalam sektor
ekonomi. KDNK meningkat kerana peningkatan yang kukuh 7.8 peratus dalam sektor
perlombongan. Sebahagian besarnya dipacu oleh pengeluaran minyak mentah yang lebih
tinggi yang mengimbangi pengurangan pengeluaran gas asli, pengeluaran minyak mentah
mencatat pertumbuhan 12.3% kepada 665 876 barel sehari dalam tempoh lapan bulan
pertama 2015. Walaupun harga minyak mentah rendah, pengeluaran minyak mentah
meningkat walaupun sederhana. Hal ini telah menyumbang kepada KDNK negara pada
tahun 2015. Oleh itu, wujud hubungan secara langsung.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


15
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

Kesimpulannya, hutang kerajaan persekutuan dan KDNK menunjukkan


berlakunya hubungan secara langsung. Hal ini kerana, peningkatan dalam hutang
kerajaan persekutuan pada tahun 2010 hingga tahun 2015 juga diikuti dengan
peningkatan dalam KDNK. Peningkatan hutang kerajaan persekutuan ini memberi impak
yang positif kerana ia turut meningkatkan nilai KDNK. Melalui pinjaman, kerajaan dapat
memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan dan merancakkan kegiatan
ekonomi. Kesannya, KDNK akan terus meningkat.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


16
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

6.0 CADANGAN

Peningkatan hutang yang berterusan dalam setiap tahun perlu ditangani oleh
pihak kerajaan. Oleh itu, cadangan yang pertama ialah merancakkan pertumbuhan
ekonomi melalui peningkatan sektor eksport. Peningkatan eksport ini dapat dibuat
dengan menambah baik kualiti barangan kerana barangan yang mempunyai kualiti yang
baik akan mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran barangan eksport. Oleh itu,
peningkatan ini dapat meningkatkan pertukaran mata wang asing kerana barang yang
dikeluarkan akan dijual ke luar negara. Secara tidak langsung, pendapatan negara dapat
dipertingkatkan lagi. Maka, hasil negara bertambah dan hutang kerajaan dapat diatasi.
Menurut Bernama 9 April 2015, kerajaan yakin langkah mengenakan cukai sifar ke atas
barangan dan perkhidmatan yang dieksport keluar negara mengikut pelaksanaan Cukai
Barangan dan Perkhidmatan mampu meningkatkan daya saing negara pasaran ekpsort.

Cadangan yang kedua ialah menangguhkan projek infrastruktur yang mahal.


Kerajaan perlu mengkaji semula projek bagi memberi laluan kepada pembiayaan hutang
yang penting. Antara projek mega yang ditangguhkan oleh kerajaan ialah Projek
Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Penangguhan dilakukan bagi mengkaji
keseluruhan kos projek dan keutamaannya. Setelah rundingan dilakukan, kerajaan dapat
menyambung semula projek tersebut dengan berjimat sebanyak RM 21.5 bilion. Oleh itu,
kajian semula dan penangguhan ke atas projek mega ini dapat mengurangkan beban
hutang kerana kurangnya perbelanjaan negara.

Kerajaan boleh melaksanakan dasar berjimat cermat. Kerajaan perlu memastikan


perbelanjaan yang dilakukan adalah tidak melebihi kadar yang sepatutnya bagi
mengelakkan perbelanjaan melebihi nilai hasil. Selain itu, kerajaan juga perlu memantau
semula peruntukan yang diberikan kepada sektor bagi mengelakkan pembaziran dalam
perbelanjaan yang tidak penting. Antara langkah yang boleh diambil ialah mengurangkan
kakitangan dalam sektor awam yang tidak menyumbangkan banyak tenaga kepada
negara dan juga mengurangkan pengambilan dalam kalangan pekerja baru. Hal ini kerana,
pengurangan pengambilan tenaga pekerja baru dapat menjimatkan dan mengurangkan
perbelanjaan mengurus kerajaan. Dasar berjimat cermat yang dilakukan oleh kerajaan ini
sekaligus dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dan hutang kerajaan persekutuan.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


17
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

7.0 PENUTUP

Kajian ini telah dilaksanakan oleh pengkaji bagi mengkaji hutang kerajaan
persekutuan. Kajian ini adalah untuk mengkaji arah aliran hutang kerajaan bagi tahun
2010 hingga 2015 dan menganalisis hubungan antara KDNK dan hutang kerajaan
persekutuan bagi tahun 2010 hingga 2015.

Hasil dapatan kajian bagi objektif pertama menunjukkan arah aliran hutang
kerajaan persekutuan mengalami peningkatan pada setiap tahun. Buktinya pada tahun
2010 hutang kerajaan mencatatkan RM 407 102 juta dan meningkat kepada nilai yang
agak tinggi pada tahun 2015 iaitu sebanyak RM 630 540 juta. Peningkatan ini didorong
oleh beberapa faktor dalaman dan luaran ekonomi negara. Disebabkan oleh peningkatan
perbelanjaan yang tidak dapat ditampung, maka negara terpaksa berhutang bagi
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun menuju ke arah negara maju.

Selain itu, hasil kajian bagi objektif kedua mendapati bahawa wujudnya hubungan
secara langsung antara KDNK dengan hutang kerajaan persekutuan. Hal ini kerana,
peningkatan hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2010 hingga 2015 juga
menyebabkan nilai KDNK turut meningkat. Buktinya, nilai KDNK pada tahun 2010
mencatatakan RM 674 946 juta dan meningkat kepada RM 1 062 805 juta pada tahun
2015. Walaupun hutang meningkat, namun hasil pendapatan oleh KDNK turut meningkat.

Kesimpulannya, kerajaan boleh mengatasi masalah peningkatan hutang kerajaan


persekutuan dengan mengambil beberapa langkah dan cadangan. Antaranya ialah
kerajaan perlu merancakkan sektor eksport untuk menambah hasil pendapatan negara. Di
samping itu, kerajaan juga perlu menangguhkan projek mega bagi memberi laluan
kepada hal yang lebih penting bagi menjimatkan kos perbelanjaan. Selain itu, kerajaan
juga perlu mengamalkan dasar berjimat cermat dalam perbelanjaan bagi mengelakkan
lebihan perbelanjaan yang banyak. Oleh itu, cadangan ini dapat digunakan bagi
mengatasi masalah peningkatan hutang kerajaan persekutuan.

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


18
EDITOR : ADMIN MEKFA CREDIT TO : YAANN
PUBLISHER : CHANNEL HIMPUNAN NOTA-NOTA STPM

8.0 SENARAI RUJUKAN


Kamus Ekonomi, 1993, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Pelajar, 2004, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Suhiliah Mohd Salleh,2019, Ace Ahead Teks STPM Ekonomi Malaysia Semester 3 Edisi
Ketiga, Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kementerian Kewangan Malaysia (2010). Laporan Ekonomi 2010/2011. Dicapai pada 18
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/index.php/arkib/2011/le
Kementerian Kewangan Malaysia (2011). Laporan Ekonomi 2011/2012. Dicapai pada 18
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/index.php/arkib/2012/le
Kementerian Kewangan Malaysia (2012). Laporan Ekonomi 2012/2013. Dicapai pada 18
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/index.php/arkib/2013/le
Kementerian Kewangan Malaysia (2013). Laporan Ekonomi 2013/2014. Dicapai pada 20
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/index.php/arkib/2014/le
Kementerian Kewangan Malaysia (2014). Laporan Ekonomi 2014/2015. Dicapai pada 20
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/index.php/arkib/2015/le
Kementerian Kewangan Malaysia (2015). Laporan Ekonomi 2015/2016. Dicapai pada 20
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/index.php/arkib/2015/item/422-laporan-
ekonomi-2015-2016.html
Prestasi Ekonomi dan Prospek (2010), Laporan Ekonomi 2010/2011. Dicapai pada 25
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/arkib/2011/le/bab3.pdf
Prestasi Ekonomi dan Prospek (2011), Laporan Ekonomi 2011/2012. Dicapai pada 25
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/arkib/2012/le/bab3.pdf
Prestasi Ekonomi dan Prospek (2012), Laporan Ekonomi 2012/2013. Dicapai pada 25
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/arkib/2013/le/bab3.pdf
Prestasi Ekonomi dan Prospek (2013), Laporan Ekonomi 2013/2014. Dicapai pada 28
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/arkib/2014/le/bab3.pdf
Prestasi Ekonomi dan Prospek (2014), Laporan Ekonomi 2014/2015. Dicapai pada 28
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/arkib/2015/le/bab3.pdf
Prestasi Ekonomi dan Prospek (2015), Laporan Ekonomi 2015/2016. Dicapai pada 28
Julai, 2019, from https://www.treasury.gov.my/arkib/2015/le/bab3.pdf

HANYA SEBAGAI RUJUKAN. DILARANG PLAGIAT HASIL KERJA


19

You might also like