You are on page 1of 8

Soalan Lazim Mengenai Mahkamah Malam dan

Kesalahan Awam

(I) MENGHADIRI MAHKAMAH

S: Apakah persiapan yang harus saya lakukan untuk kes saya sebelum tarikh
Mahkamah?

J: a) Anda boleh hubungi agensi pendakwa dan periksa sama ada kes anda boleh
dikompaun (diselesaikan di luar Mahkamah dengan membuat pembayaran
kepada agensi pendakwa tersebut). Sekiranya boleh dikompaun, anda patut
kompaunkan kes anda selewat-lewatnya sebelum tarikh akhir yang diberikan
oleh agensi tersebut, kerana denda kompaun selalunya lebih rendah daripada
denda yang dikenakan oleh Mahkamah.

b) Jika tempoh untuk membuat bayaran kompaun telah pun tamat, anda boleh
menggunakan Sistem Pengurusan Kesalahan Trafik Automatik (ATOMS)
untuk membuat pengakuan bersalah keatas kesalahan anda jika ianya
kesalahan yang ditetapkan dibawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya atau Akta
Tempat Meletak Kenderaan.

Kesalahan yang ditetapkan sebegini secara umum akan didakwa oleh Polis
Trafik (TP), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lembaga Pembangunan
dan Perumahan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

c) Jika agensi pendakwa memberitahu anda bahawa kes anda tidak boleh
dikompaun, anda harus gunakan masa sebelum tarikh Mahkamah anda untuk
mengumpul wang bagi membayar denda Mahkamah.

S: Saya telah dipanggil ke Mahkamah. Saya ingin menunjukkan anak lelaki saya
kertas tuduhan saya dahulu, sebelum memutuskan untuk mengambil peguam.
Tetapi, saya tersalah letak kertas-kertas Mahkamah saya.

J: Anda boleh lungsuri https://icms.statecourts.gov.sg dengan menggunakan Singpass


anda untuk mendapatkan akses kepada Fail Kes dan kertas-kertas tuduhan anda
untuk kes tersebut.

S: Saya dikehendaki menghadiri Mahkamah minggu hadapan, tetapi saya baru


kehilangan IC saya semalam. Saya tidak ada ID bergambar yang lain. Apa yang
patut saya lakukan?

J: Periksa dengan teliti jika anda mempunyai ID bergambar yang lain (sebagai contoh
Pasport atau pass pekerja yang menunjukkan butir peribadi dan gambar anda).
Jika anda betul tidak mempunyai ID bergambar, bawa ke Mahkamah dokumen-
dokumen yang menyokong sebab-sebab anda tidak mempunyai ID bergambar
tersebut sebagai contoh:

(a) Bukti kehilangan IC (sebagai contoh, laporan polis, laporan tuntutan insurans
di mana IC hilang kerana kejadian pecah masuk rumah)
(b) Bukti percubaan anda untuk menggantikan IC (sebagai contoh surat-menyurat
rasmi dengan ICA)

S: Bolehkah saya melantik orang lain untuk mewakili saya di Mahkamah?

J: Jika tertuduh adalah sebuah syarikat, perkongsian liabiliti terhad, perkongsian, atau
persatuan tidak diperbadankan, wakil yang diberi kuasa anda perlu datang ke
Mahkamah dengan membawa Surat Kuasa iaitu pernyataan bertulis yang ditanda
tangan oleh pengarah, setiausaha syarikat, rakan kongsi atau presiden (mengikut kes
tersendiri) atau seseorang yang mempunyai posisi yang sama, untuk memastikan
orang yang hadir di mahkamah adalah orang yang diberi kuasa untuk mewakili
tertuduh.

Bagi pemilik tunggal/individu pula, anda sendiri perlu hadir di Mahkamah. Jika anda
mempunyai peguam untuk mewakili anda, peguam tersebut boleh mewakili anda di
mahkamah.

S: Apa itu “Surat Kuasa”? Perlukah saya membawanya ke setiap sidang


Mahkamah?

J: Jika anda hadir bagi pihak sebuah organisasi seperti syarikat anda, perkongsian
liabiliti terhad, perkongsian ataupun persatuan yang tidak diperbadankan ke sidang-
sidang Mahkamah, anda perlu dilantik sebagai wakil melalui satu pernyataan yang
ditandatangani oleh pengarah, setiausaha syarikat, rakan kongsi, atau presiden
(mengikut kes tersendiri) atau seseorang di dalam posisi yang sama peringkatnya.

Sila bawa Surat Kuasa tersebut ke setiap perbicaraan Mahkamah. Mahkamah perlu
memastikan di setiap perbicaraan bahawa wakil yang hadir diberi kuasa dengan
sewajarnya dan dilantik oleh syarikat, perkongsian atau persatuan yang diwakilinya.
Sila pastikan Surat Kuasa anda tidak luput tarikh (misalnya bagi tarikh mahkamah
yang telah berlalu).

S: Bos saya, pengarah syarikat kami, telah didakwa sebagai seorang tertuduh.
Saya adalah pembantu pejabatnya. Bolehkah dia mengarahkan saya untuk
menghadiri Mahkamah bagi pihaknya?

J: Jika bos anda adalah seorang tertuduh, dia harus menghadiri Mahkamah sendiri untuk
menghadapi tuduhannya. Anda tidak boleh menghadiri Mahkamah bagi pihaknya,
sebagai seorang pengganti. Jika bos anda gagal untuk menghadiri Mahkamah, Waran
Tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya.

S: Bagaimana jika saya terlalu sakit untuk menghadiri Mahkamah?

J: Anda perlukan Sijil Sakit (MC) dengan perkataan-perkataan “Unfit to attend Court”
(Tidak sihat untuk menghadiri Mahkamah) dan tarikh(-tarikh) di mana anda tidak sihat
untuk menghadiri Mahkamah (MC tanpa perkataan-perkataan tersebut mungkin tidak
diterima oleh Mahkamah). MC tersebut juga harus menyatakan nama pengamal
medikal dan hospital/kliniknya, dan harus ditandatangan sepenuhnya oleh beliau.

Anda harus mengaturkan supaya seseorang menyerahkan MC tersebut kepada


Mahkamah pada hari perbicaraan mahkamah. Sebarang dokumen-dokumen
sokongan lain (contohnya: laporan medikal, memo dari doktor/hospital) juga boleh
diserahkan.

S: Saya telah hilang slip sebutan saya. Saya tidak ingat tarikh mahkamah saya yang
seterusnya.

J: Ia adalah penting anda simpan slip sebutan anda serta menjejak tarikh-tarikh
mahkamah anda. Ia mungkin akan membantu jika anda tandakan tarikh-tarikh
mahkamah dalam diari anda.

Anda juga boleh melungsuri https://icms.statecourts.gov.sg menggunakan Singpass


anda untuk mengakses Fail Kes anda bagi memeriksa tarikh mahkamah seterusnya
bagi sesuatu kes tertentu.

S: Saya terlepas tarikh mahkamah dan Mahkamah telah mengeluarkan Waran


Tangkap terhadap saya. Apa yang harus saya lakukan?

J: Sediakan seorang penjamin dan serahkan diri anda di Unit Penguatkuasaan Waran
(WEU) secepat mungkin.

Untuk maklumat lanjut mengenai Waran, sila hubungi:


Unit Penguatkuasaan Waran
Alamat: 391 New Bridge Road, Aras 1, Police Cantonment Complex Blok A,
Singapura 088762. Tel: 6557 5017

Untuk kes-kes Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sila hubungi:


Unit Penguatkuasaan Waran
Alamat: 10 Sin Ming Drive, Singapura 575701
Tel: 1800-2255582

Untuk kes-kes Polis Trafik (TP), sila hubungi:


Unit Penguatkuasaan Waran
Alamat: 10 Ubi Avenue 3, Singapura 408865
Tel: 6547 0000

S: Syarikat saya telah dipanggil untuk menghadiri Mahkamah bagi menjawab


pertuduhan. Tiada sesiapa yang hadir bagi pihak syarikat pada tarikh mahkamah
tersebut. Seterusnya, syarikat saya telah menerima surat daripada Mahkamah
yang memberitahu bahawa syarikat saya telah disabit kesalahan dan didenda.
Mengapa ia sedemikian?

J: Jika syarikat anda gagal menghantar wakil untuk menghadiri prosiding mahkamah,
Mahkamah boleh teruskan untuk mendengar dan membuat keputusan bagi kes tanpa
kehadiran syarikat tersebut.
S: Bagaimanakah saya menangguhkan kes Mahkamah Malam saya?

J: Anda boleh membuat permohonan penangguhan:

(a) Melalui kios di luar Mahkamah Malam; atau


(b) Melalui internet di https://icms.statecourts.gov.sg

Permohonan yang berasingan perlu dibuat untuk kes Mahkamah Malam dari agensi
yang berlainan. Anda harus menyatakan sebab-sebab kenapa anda memohon untuk
penangguhan tersebut.

Walau bagaimanapun, sila maklum bahawa permohonan tersebut tidak semestinya


akan diluluskan.

Jika anda memerlukan bantuan, anda boleh menghubungi Pejabat Pendaftaran


Jenayah (Mahkamah Negara, Tingkat 1) atau emel kami di
contact@statecourts.gov.sg sekurang-kurangnya satu (1) minggu sebelum tarikh
perbicaraan.

S: Saya cuba menangguhkan kes Mahkamah Malam saya melalui internet tetapi
tidak dapat berbuat demikian.

J: Anda tidak boleh menangguhkan kes Mahkamah Malam anda melalui internet,
sekiranya, sebagai contoh, kes anda telah ditangguhkan untuk beberapa kali.

Jika agensi pendakwa menawarkan kompaun, anda digalakkan supaya membuat


bayaran awal. Tawaran kompaun akan berakhir atau ditarik balik setelah tamat
tempoh.

(II) MENGKOMPAUN KES

S: Jika saya ingin membuat perwakilan (rayuan) kepada agensi pendakwa untuk
mengkompaunkan kes, apakah langkah-langkah yang perlu saya ambil?

J: Dalam perwakilan anda, anda harus menyatakan sebab-sebab/situasi anda serta


melampirkan dokumen-dokumen sokongan (jika ada).

Anda boleh menghantar perwakilan anda melalui kaedah-kaedah berikut, yang


berkenaan:

(a) secara serahan tangan;


(b) melalui pos berdaftar;
(c) melalui emel; atau
(d) melalui laman web One Motoring www.onemotoring.com.sg

Anda harus periksa dengan agensi pendakwa mengenai:

(a) cara yang paling sesuai untuk menyerahkan perwakilan anda;


(b) alamat/alamat emel di mana perwakilan anda harus dihantar (jika berkenaan);
dan
(c) kepada siapa harus dialamatkan perwakilan tersebut (yang berkenaan).
Sila bawa salinan perwakilan anda pada hari perbicaraan Mahkamah berserta salinan
surat pengesahan penerimaan perwakilan dari pihak agensi pendakwa (jika ada).

S: Apakah itu “kompaun”?

J: Kompaun adalah istilah yang digunakan bagi penyelesaian di luar Mahkamah yang
ditawarkan oleh agensi pendakwa di mana tertuduh membuat pembayaran kepada
agensi pendakwa untuk mengelak pendakwaan di Mahkamah. Pendakwaan di
Mahkamah berpotensi mengakibatkan pengenaan denda yang lebih tinggi daripada
jumlah kompaun yang ditawarkan oleh agensi pendakwa, atau Mahkamah juga boleh
mengenakan hukuman lain.

S: Kawan saya menghadapi pertuduhan yang serupa. Mengapa dia ditawarkan


kompaun tetapi saya tidak?

J: Kompaun ditawarkan oleh agensi-agensi pendakwa, menurut budi bicara dan/atau


dasar-dasar mereka. Anda boleh menghubungi agensi pendakwa untuk keterangan
lanjut.

S: Saya ingin membayar kompaun untuk kes Mahkamah Malam saya, tetapi AXS
tidak boleh menerima bayaran saya.

J: Mungkin ada beberapa sebab, seperti:

(a) Kompaun tidak ditawarkan untuk kes tersebut.


(b) Kompaun yang ditawarkan untuk kes tersebut telah tamat tempohnya atau
telah ditarik balik.
(c) Kompaun tidak boleh dibuat menerusi sistem AXS, tetapi hanya di pejabat
agensi pendakwa sahaja.

Sebaliknya, untuk beberapa kes trafik dan yang melibatkan kesalahan memandu (kes-
kes Polis Trafik, Penguasa Pengangkutan Jalan, Lembaga Perumahan dan
Pembangunan dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar), anda boleh mengaku
salah di Kios AXS menerusi Sistem Automasi Pengurusan Kesalahan Trafik (ATOMS).
Dalam hal sedemikian, denda Mahkamah yang lebih rendah akan dikenakan
berbanding dengan denda yang dikenakan oleh Mahkamah sekiranya anda hadir dan
sabit kesalahan di dalam prosiding Mahkamah.

S: Saya ditawarkan kompaun tetapi jumlahnya terlalu tinggi. Bolehkah saya


membayar kompaun tersebut secara ansuran?

J: Oleh kerana kompaun ditawarkan oleh agensi pendakwa, anda boleh berjumpa
dengan mereka untuk berbincang samada mereka setuju untuk membenarkan anda
membayar kompaun secara ansuran.

S: Kes saya telah ditunda untuk saya membayar kompaun. Mestikah saya hadir di
Mahkamah selepas membayar kompaun bagi kes tersebut?

J: Setelah anda membayar kompaun, periksa dengan agensi pendakwa sekiranya anda
perlu hadir di Mahkamah.
a) Sekiranya agensi pendakwa membenarkan anda membayar denda kompaun
secara ansuran dan anda masih mempunyai bayaran dan tuduhan yang
tertunggak, anda masih perlu hadir di Mahkamah.
b) Sekiranya ada Waran Tangkap terhadap anda, anda masih perlu kembali ke
Mahkamah untuk menunjukkan sebab (menerangkan kenapa anda tidak hadir
pada hari yang telah ditetapkan). Jika Mahkamah mendapati anda tiada alasan
yang kuat, (iaitu, anda tidak mempunyai alasan baik untuk tidak menghadiri
prosiding Mahkamah pada hari yang anda seharusnya hadir), penalti akan
dikenakan kerana ketidakhadiran anda di Mahkamah walaupun selepas anda
membayar kompaun kes tersebut.

(III) MENGAKU SALAH

S: Saya mengaku saya melakukan kesalahan ini. Bolehkah saya diberikan lebih
masa untuk mengumpul wang untuk membayar denda Mahkamah?

J: Permintaan anda untuk diberikan lebih masa untuk mengumpul wang akan
dipertimbangkan menurut budi bicara Mahkamah. Jika beberapa penangguhan telah
diberikan sebelum ini, Mahkamah berkemungkinan tidak akan membenarkan tundaan
lanjut, lantas Mahkamah akan meneruskan kes anda dengan mengambil pengakuan
anda (jika anda bertujuan untuk mengaku salah) atau dengan menetapkan kes anda
untuk Persidangan Sebelum Perbicaraan (PTC) dalam Mahkamah lain yang bersidang
pada siang hari.

S: Selepas saya mengaku salah, bolehkah saya memohon untuk membayar denda
Mahkamah secara ansuran?

J: Setelah anda mengaku salah, kesemua denda Mahkamah lazimnya harus dibayar
serta-merta (pada hari yang sama). Mahkamah tidak akan secara automatik
membenarkan pembayaran secara ansuran, dan lazimnya memerlukan anda untuk
membayar sebahagian daripada denda tersebut secara langsung. Jika anda tidak
boleh membayar denda Mahkamah dalam masa yang telah ditetapkan Mahkamah,
anda akan diperintahkan menjalani hukuman penjara akibat kegagalan untuk
melunaskan pembayaran denda Mahkamah.

S: Berapakah jumlah hari perintah hukuman penjara yang perlu saya jalani jika
saya mengaku salah (atau jika saya didapati bersalah setelah perbicaraan) dan
diberikan denda? Bolehkah saya mengundurkan tarikh hukuman penjara saya?

J: Jumlah hari akan bergantung pada budi bicara Hakim, dan sebahagain besarnya
bergantung pada jumlah denda dan jenis kesalahan. Perintah hukuman penjara akibat
kegagalan melunaskan bayaran denda tidak boleh diundurkan, atau diperintahkan
untuk dijalankan secara ‘serentak’.

S: Saya berada di dalam Mahkamah Malam dan mendengar berlainan tertuduh dari
agensi pendakwa yang sama dijatuhi hukuman jumlah denda yang berbeza.

J: Jumlah denda Mahkamah berbeza untuk setiap kes dan bergantung pada pelbagai
faktor termasuk:
(a) jenis kesalahan tersebut;
(b) sama ada yang tertuduh pernah disabit kesalahan yang sama sebelum ini; dan
(c) sama ada yang tertuduh pada seawalnya telah mengaku bersalah.

S: Bagaimanakah cara saya membayar denda yang dikenakan Mahkamah?

J: Anda akan diberikan kertas pemberitahuan pembayaran yang akan menunjukkan


jumlah denda. Anda boleh membuat pembayaran di pelbagai Mesin Sistem Pungutan
Automatik (ACS) yang terletak di Mahkamah Negara, seperti yang ada di Bahagian
Kewangan. Bagi agensi-agensi pendakwa yang tertentu, anda perlu membayar denda
secara langsung kepada juruwang di bilik Mahkamah.

S: Apakah Perintah Kerja Pemulihan (CWO)?

J: CWO merupakan perintah untuk kerja pemulihan yang perlu dijalankan oleh yang
tertuduh. Kerja pemulihan melibatkan pelaksanaan kerja tidak berbayar yang
dilakukan dengan membersihkan perkarangan-perkarangan dan diawasi oleh
pegawai penyeliaan.

S: Saya tidak mahu melakukan kerja pemulihan; Saya lebih bersedia membayar
denda yang lebih tinggi. / Saya tidak mahu membayar denda yang sangat berat,
saya lebih bersedia melakukan lebih banyak waktu kerja pemulihan.

J: Perintah Kerja Pemulihan adalah satu perintah yang dibuat oleh Hakim. Apabila anda
disabitkan dengan kesalahan membuang sampah, Hakim boleh menghukum anda
dengan Perintah Kerja Pemulihan (kecuali terdapat sebab-sebab yang baik untuk
Hakim tidak menjatuhkan hukuman tersebut).

Sama ada Hakim menghukum anda hanya dengan denda sahaja, atau hanya dengan
kerja pemulihan, atau kedua-duanya sekali, ianya bergantung pada kuasa dan
kebijaksanaan Hakim. Di antara faktor-faktor mungkin termasuk:

(a) Fakta dalam kes anda.


(b) Sama ada anda telah membayar kompaun sebelum ini/disabitkan dengan
kesalahan kes yang sama.

Sebaik sahaja Perintah Kerja Pemulihan dikenakan, anda dijangka untuk melakukan
kerja pemulihan tersebut. Sila ambil perhatian bahawa kegagalan untuk melakukan
kerja pemulihan adalah satu kesalahan.

S: Apakah yang akan berlaku sekiranya saya mempertikaikan pertuduhan saya?

J: Mahkamah akan menetapkan kes anda untuk Persidangan Sebelum Perbicaraan


(PTC) pada satu tarikh di Mahkamah pada siang hari. Hakim akan bertemu dengan
anda (atau peguam anda, sekiranya anda ada peguam) dan pendakwa untuk
membincangkan kes anda (sebagai contoh kes pendakwa, pembelaan diri anda,
jumlah para saksi yang akan diketengahkan oleh kedua-dua pihak, dan berapa hari
diperlukan untuk kes dibicarakan). Tarikh perbicaraan akan ditetapkan untuk pihak
pendakwa mengetengahkan kes mereka ke atas anda, dan untuk anda membela diri
anda di Mahkamah.
(IV) LAIN-LAIN

S: Pada masa ini, saya sedang diikat jamin. Sebelum tarikh kes Mahkamah saya
yang akan datang, saya ingin pergi ke luar negara buat masa yang singkat untuk
menghadiri majlis perkahwinan saudara saya. Bagaimana saya boleh memohon
kebenaran dari Mahkamah untuk meninggalkan Singapura?

J: Sekiranya tarikh Mahkamah anda yang akan datang ditetapkan di Mahkamah Malam,
dan ianya selepas permohonan yang anda lakukan, anda perlu hadirkan diri di Pejabat
Pendaftaran Jenayah dengan penjamin(-penjamin) anda dalam masa 3 hari bekerja,
contohnya apabila permohonan itu difailkan pada petang Jumaat, anda perlu hadirkan
diri pada hari Rabu berikutnya.

Setelah anda tiba di Pejabat Pendaftaran Jenayah dengan penjamin anda, anda akan
tampil di hadapan Hakim untuk Hakim mendengar dan memutuskan permohonan
anda.

Jika tarikh Mahkamah berikutnya ditetapkan di Mahkamah Pagi, dan ianya selepas
permohonan yang anda lakukan, anda akan dimaklumkan mengenai tarikh Mahkamah
untuk anda hadir dengan penjamin anda, bagi Hakim mendengar dan membuat
keputusan permohonan anda.

Sila ambil perhatian bahawa dokumen-dokumen berikut perlu dikemukakan apabila


permohonan itu didengar:

(a) Bon jaminan;


(b) Kad Pengenalan asal anda;
(c) Kad Pengenalan asal penjamin / penjamin-penjamin anda; dan
(d) Dokumen-dokumen sokongan, contohnya jadual perjalanan, e-tiket dan lain-
lain.

Sekiranya anda memerlukan bantuan, anda boleh membuat pertanyaan di Pejabat


Pendaftaran Jenayah.

S: Saya ingin membuat pelbagai permohonan Mahkamah secara online berkenaan


dengan kesalahan peraturan saya. Apakah yang saya perlukan untuk log
masuk?

J: Anda perlu log masuk di lelaman https://icms.statecourts.gov.sg, dan SingPass anda


akan diperlukan.

Laman web ini paling sesuai dilungsuri menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome,
Safari dan Internet Explorer 9 dan ke atas, bersamaan resolusi 1024x768.

You might also like