You are on page 1of 3

Kebelakangan ini , dunia digemparkan dengan penularan wabak Koronavirus yang telah meragut

ratusan ribu nyawa secara global. Wabak ini telah dikesan pada pertengahan Disember 2019 di
bandaraya Wuhan, China dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia
(WHO) pada Mac 2020. Wabak ini juga telah mula menular di Malaysia sekitar bulan Januari lalu.
Pada 24 Januari , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan kes pertama
koronavirus di Malaysia. Pandemik koronavirus ini mula menghiasi kaca televisyen, media massa
dan dada akhbar kini yang telah melibatkan ribuan kes di Malaysia. Sudah pasti , wabak ini
menimbulkan rasa bimbang di hati masyarakat dan kerajaan kerana menjejaskan keselamatan
kesihatan dan sosial sehingga mengganggu pembangunan sumber manusia. Justeru, pelbagai
langkah telah dilaksanakan oleh pihak berwajib dengan merangka dan melaksanakan program
pengawalan dan pencegahan penyakit. Usaha wajar yang telah dilaksanakan ini harus disokong oleh
setiap rakyat Malaysia kerana bersatu kita teguh , bercerai kita roboh . Sikap negatif masyarakat
yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing harus dikikis habis-habisan dalam
usaha memerangi wabak ini.

Langkah primer yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia untuk membendung wabak ini
ialah kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula bulan
Mac 2020. Malangnya , rakyat telah mentafsir perintah ini dengan menganggap kerajaan memberi
cuti umum kepada mereka. Rakyat mula membanjiri Terminal Bas Selatan (TBS) untuk pulang ke
kampung tanpa memikirkan kemungkinan besar mereka dijangkiti virus ini kerana bersesak-sesak
dan seterusnya menjadi pembawa virus tersebut merebak di kampung halaman masing-masing.
Namun, kerajaan tidak berputus asa , Perdana Menteri Malaysia membuat perutusan khas dengan
mengarahkan rakyat untuk kekal berada di rumah dan mengurangkan pergerakan selama tempoh
14 hari itu. Pihak media massa juga telah membantu kerajaan dalam menguar-uarkan kempen ‘ Stay
at Home ’ demi mengurangkan penambahan kes positif jangkitan COVID-19 di Malaysia. PKP ini
kemudiaannya masih diteruskan hingga kini bagi membanteras wabak ini. Sesetengah kawasan yang
mencatatkan kes penularan di tahap bahaya telah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD). Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan fasa ketiga untuk
program kawalan pergerakan ini. Perintah Kawalan Pergerakan ini bertujuan untuk mengelakkan
masyarakat berkumpul beramai-ramai. Kerajaan menasihati rakyat agar tidak mendekati 3S iaitu
Sesak, Sempit dan Sembang Dekat. Misalnya, rakyat tidak melancong ke luar dan dalam negara dan
tidak menghadiri majlis sosial seperti majlis kelahiran. Hal ini demikian kerana wabak ini mudah
berjangkit melalui pernafasan dan sentuhan. Impaknya penularan wabak dapat dibendung dengan
segera yang akan mengurangkan kes kehilangan nyawa di Malaysia. Usaha ini perlulah dijalankan
dengan besungguh-sungguh bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam bagi mencapai motif
penyekatan wabak. Jelaslah bahawa usaha kerajaan melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan ini
merupakan inisiatif awal yang sangat hebat untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik di
Malaysia.

Langkah sekunder yang telah diambil oleh kerajaan ialah melancarkan Prosedur Operasi Standard
(SOP). Kerajaan menyarankan supaya rakyat membiasakan kehidupan dalam norma baharu bagi
memutuskan rantaian COVID-19 . Kehidupan norma baharu telah melahirkan pelbagai prosedur
baharu semasa berada di luar kawasan rumah dan sebelum memasuki sebarang permit perniagaan.
Kerajaan telah memperbanyak alat pengimbas suhu untuk diagihkan ke kawasan tumpuan awam.
Misalnya, kawasan perniagaan. Pekedai dinasihatkan untuk mencatat nama , nombor telefon dan
suhu badan pembeli sebelum memasuki premis sebagai tanda mematuhi Prosedur Operasi
Standard. Selain itu, rakyat mestilah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan semasa
berada di luar kawasan rumah. Misalnya, pematuhan pada 3W iaitu Wear, Wash and Warn.
Misalnya, rakyat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung semasa berada di tempat awam.
Kemudian, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta kerap mensanitasi tangan. Seterusnya ,
mengamalkan penjarakan sosial sejauh 1 meter dengan orang lain. Akhirnya, elak bersalaman dan
bersentuhan dengan orang lain. Namun , Malaysia terkenal dengan budi bahasa yang tinggi . Oleh
itu, rakyat digalakkan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat dan bersalaman dengan
orang lain. Impaknya, dapat mengurangkan bilangan kes positif wabak koronavirus di Malaysia.
Selain itu, melahirkan rakyat yang berisiko rendah untuk mendapat penyakit. Akhirnya, dapat
mengurangkan jangkitan terhadap golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas , penghidap
penyakit kronik dan kanak-kanak. Kerajaan dan rakyat perlulah cekal dan mempunyai semangat
setinggi Gunung Everest ,seluas Banjaran Himalaya dan sedalam jurang Mariana untuk mencapai
kemenangan memerangi pandemik dunia ini. Jelaslah bahawa Prosedur Operasi Standard telah
memainkan peranan penting bagi menjadikan Malaysia sebagai negara bebas wabak koronavirus.

Langkah tertier yang telah dilakukan oleh kerajaan ialah menasihatkan rakyat menjalankan
kuarantin diri. Hal ini demikian kerana kuarantin diri dapat mengelakkan penyakit tersebut
berjangkit kepada orang lain. Kuarantin ini dijalankan kepada sesiapa yang baru pulang dari luar
negara terutamanya negara yang berisiko tinggi seperti China, Amerika Syarikat dan Itali. Selain itu,
mereka yang mempunyai simptom seperti batuk , demam , selesema, sakit tekak dan kesukaran
bernafas juga digalakkan mengkuarantin diri. Kuarantin diri dijalankan selama 14 hari sama ada di
rumah atau Pusat Kuarantin Negara. Jika mereka mempunyai gejala wabak koronavirus dalam
tempoh 14 hari ini, maka mereka akan mendapat rawatan selayaknya di hospital. Bagi memastikan
mereka yang dikuarantin ini mengikut prosedur yang betul , mereka dipakaikan gelang tangan
kuarantin. Gelang tangan kuarantin dibahagi kepada beberapa warna mengikut pembahagian kes.
Individu yang memakai gelang kuarantin tidak dibenarkan menanggalkan gelang tersebut . jika
mereka menanggalkannya , mereka akan dijatuhi hukuman. Misalnya , hukuman mandatori.
Impaknya, bilangan kluster baru di Malaysia dapat dikurangkan. Seterusnya, dapat memulihkan
semula ekonomi negara. Akhirnya, melahirkan masyarakat yang prihatin dan berdisiplin . Oleh itu,
rakyat perlulah bekerjasama dengan barisan hadapan negara bagai aur dan tebing bagi
membendung isu ini. Jelaslah bahawa kuarantin diri ini merupakan inisiatif yang amat berkesan
dalam memutuskan rantaian COVID-19.

Langkah terakhir yang telah dilaksanakan kerajaan ialah menggalakkan rakyat membuat saringan
kesihatan. Saringan kesihatan ini amat penting bagi memastikan diri dan orang sekeliling berada
dalam keadaan yang sihat. Saringan kesihatan ini boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan
secara percuma. Pusat kesihatan di dalam negara sudah bagai cendawan tumbuh selepas hujan , jadi
tiada alasan untuk menyatakan bahawa tiada pusat kesihatan yang terdekat untuk menerima
rawatan atau membuat saringan. Saringan kesihatan ini dijalankan dengan mengenal pasti simptom-
simptom yang dihidapi pesakit. Kemudian, menjalankan Swab Test. Swab Test ini juga dijalankan
semasa sekatan jalanraya dilaksanakan dan kepada kluster yang berisiko tinggi. Misalnya, kluster
tabligh yang menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling. Impaknya, mereka yang
bergejala dan positif COVID-19 akan segera dikesan dan dirawat bagi mengelakkan jangkitan
berleluasa dalam kalangan kontak rapat. Maka, jelaslah bahawa kerajaan telah merangka dan
melaksanakan arahan yang baik bagi menghapuskan wabak bahaya ini.

Secara analoginya, bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa kerajaan dan rakyat haruslah
bekerjasama dalam membendung wabak ini daripada membarah sebelum terlewat kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Namun begitu, obligasi untuk menangani
pandemik ini tidak seyogianya diletakkan di atas pundak kerajaan sahaja . Oleh itu, semua pihak
tanpa mengenal batasan usia dan warna kulit perulah bersinergi dalam memerangi wabak ini hingga
akar umbi. Komitmen padu semua pihak diharapkan untuk mencapai semula kebebasan negara dari
pandemik dunia agar tidak menjadi omongan kosong dan angan-angan Mat Jenin.

You might also like