You are on page 1of 5

KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Dadah atau "drug" adalah bahan atau kimia yang amat merbahaya kepada individu
yang menggunakannya kerana ia mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi. Banyak
hal yang berkaitan dengan dadah sentiasa menjadi bahan dalam berita. Apabila mendengar
saja perkataan dadah, kita akan terus memikirkan jenis-jenis dadah seperti ganja dan heroin.
Tetapi, sebenarnya terdapat beribu-ribu jenis dadah di seluruh dunia ini yang digunakan oleh
lebih kurang 200 juta manusia untuk pelbagai tujuan. Menurut Kamus Dewan Melayu -
Inggeris, makna perkataan "Drug" bermaksud ubat-ubatan. Walaupun demikian, untuk
memberi takrif penyalahgunaan kepada "drug", perkataan "use", "misuse" atau "abuse" perlu
digunakan bersama-sama dengan perkataan "drug". Contohnya "drug abuse" atau "misuse of
drug" yang membawa maksud penyalahgunaan dadah.

Dadah merupakan merujuk kepada satu istilah sejenis bahan yang mendatangkan
kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal, emosi serta tingkah laku pengguna
apabila digunakan. Akibat daripada kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan
menjadi ketagih dan bergantung hidup kepadanya. Tanpa disedari, anda sendiri mungkin
telah menggunakan beberapa jenis dadah dalam hidup anda. Ubat-ubatan seperti "paracetamol
" dan "antibiotic" membantu menyembuhkan anda sekiranya anda tidak sihat. Teh, kopi dan
coklat juga mengandungi sejenis dadah rangsangan yang dikenali sebagai "caffeine". Akan
tetapi, dadah rangsangan seperti ini tidak mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada
individu, masyarakat dan negara. Oleh itu, penggunaan bahan minuman dan makanan ini
tidak salah di sisi undang-undang.

Namun demikian, beberapa jenis dadah adalah dadah yang dilarang pengambilannya
kerana dadah ini mengakibatkan ketagihan dan masalah-masalah kesihatan, sosial, ekonomi
dan sebagainya. Oleh itu, Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan dadah ini di dalam Akta
Dadah Berbahaya 1952 untuk mengharamkan penanaman, pengeluaran, pengedaran, import,
eksport, pemilikan dan penyalahgunaan dadah seumpana ini. Jenis dadah seperti seperti
kokain, ganja, heroin, syabu dan "ecstasy" diambil untuk mengubah perasaan fikiran anda.
Dadah-dadah ini juga dikenali sebagai "dadah yang disalahguna".

Terdapat banyak kesan yang berlaku akibat penyalahgunaan dadah di negara ini.
Satu daripada kesan-kesan penyalahgunaan dadah boleh dilihat pada perempuan-perempuan
yang sedang hamil. Kajian terperinci telah menunjukkan penyalahgunaan dadah semasa
tempoh kehamilan boleh memudaratkan proses perkembangan janin. Dua risiko utama akibat
kemudaratan tersebut ialah fenomena yang yang dikenali sebagai kecacatan rupa paras dan
tingkah laku yang tidak normal. Penggunaan dadah juga boleh memberikan kesan terhadap
mental para ibu yang mengandung dan membuatkan mereka ketagihan. Dadah-dadah yang
boleh memberi kesan mental dengan memasuki bahagian otak ibu akan memasuki bahagian
uri dan membawa kesan yang mudarat kepada janin. Selain itu,penggunaan kokain semasa
tempoh trimester pertama kehamilan ( 3 bulan pertama ) boleh mengakibatkan keguguran
secara spontan. Penggunaannya semasa trimester ketiga kehamilan ( 3 bulan terakhir ) pula
boleh meningkatkan risiko ‘abruptio placentae’ dalam tempoh 30 minit selepas
mengambilnya. ‘Abruptio placentae’ ialah satu keadaan di mana uri terpisah daripada rahim
sebelum waktunya. Berdasarkan bukti-bukti berikut,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah
memberikan kesan kepada perempuan hamil.

Selain itu, Menurut Abdullah Al Hadi dan Iran Herman (1997) seorang penagih itu
akan hilang maruah diri dan tidak menghormati ibu bapa. Mereka hilang maruah diri kerana
menjadikan tempat-tempat kotor sebagai rumah mereka. Penyalahgunaan dadah boleh
memberi kesan kepada institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan memainkan peranan
penting dalam usaha untuk membasmi penyalahgunaan dadah,tetapi jika institusi
kekeluargaan itu sendiri terlibat dengan penyalahgunaan dadah,sudah pasti kesannya akan
menjadi sangat teruk. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga akan
menyebabkan rumahtangga menjadi tidak aman. Penyalahgunaan dadah juga akan
menyebabkan perceraian jika penagihnya ialah suami ataupun isteri. Anak-anak yang melihat
ibu bapa mereka menyalahgunakan dadah pasti akan mengikutinya juga kerana bapa
borek,anak rintik. Berdasarkan huraian-huraian itu, jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah
memberi kesan kepada institusi kekeluargaan.

Penyalahgunaan dadah juga mengakibatkan peningkatan peningkatan kadar jenayah


dan sindiket dadah. Sindiket-sindiket dadah ini mengedarkan dadah kepada para pembeli dan
masalah pengedaran dadah oleh sindiket-sindiket ini telah berlaku sejak puluhan tahun lagi.
Tambahan pula,kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah laluan antarabangsa
menyebabkan Malaysia dijadikan pusat transit dadah sebelum diedarkan ke negara-negara
lain. Sindiket-sindiket dadah di Malaysia pasti mengambil kesempatan ke atas peluang yang
berada di hadapan mata mereka lalu mengedarkan dadah di sini. Akibat pengedaran dadah
oleh mereka,10 peratus daripada 11 juta belia di Malaysia dikesan terlibat dengan dadah pada
tahun 2006 yang lalu. Menurut kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang dipetik
daripada akhbar Utusan Malaysia pada 21 Mac 2006,sindiket dadh juga terlibat dengan
jenayah ganas yang lain. Kenyataan inijuga disokong oleh pengalaman para pegawai polis
yang terlibat dengan usaha menentang sindiket-sindiket dadah. Jika kita tidak berupaya
menangani sindiket-sindiket ini,sudah pasti jenayah akan berleluasa di negara kita bagaikan
cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sindiket-sindiket ini juga pasti akan menguasai negara
kita. Berdasarkan bukti dan huraian di atas,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah dapat
mengakibatkan peningkatan kadar jenayah dan sindiket dadah.

Bukan setakat itu sahaja,penyalahgunaan dadah juga mengakibatkan pembaziran


wang. Contoh pembaziran wang yang paling jelas dapat dilihat pada penagih dadah itu
sendiri. Menurut sebuah sumber kajian,secara puratanya 100 000 penagih dadah telah
membelanjakan RM 1 000 000 sehari dan RM 360 000 000 setahun. Selain itu,kerajaan telah
membazirkan RM 100 000 000 setahun bagi pusat serenti,pusat pemulihan akhlak dan
PUSPEN. Jumlah ini sudah cukup untuk membina 15 buah sekolah yang lengkap. Tambahan
lagi,purata RM 138 000 sehari diperuntukkan kepada 11 500 pelatih di pusat-pusat serenti.
Pihak polis pula terpaksa mengeluarkan RM 100 000 bagi mendapatkan maklumat tentang
sindiket dadah. Bayangkan jika semua duit yang dibazirkan ini digunakan untuk keperluan
negara,sudah tentu kita boleh membangunkan negara kita dan menjadi maju seperti negara
Jepun dan Amerika Syarikat. Oleh itu,jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah membawa
kepada pembaziran wang.

Walaubagaimana banyak kesan penyalahgunaan sekalipun,kesan yang paling jelas


kelihatan ialah kesan kepada penagih itu sendiri. Sudah terang lagikan bersuluh,kalau sudah
penagih itu menyalahgunakan dadah,tentulah penagih itu yang terkena kesannya dahulu.
Tetapi,tidak semua dadah memberikan kesan yang sama kepada penagih. Sebagai
contoh,candu pada peringkat awal akan memberi kesan mengantuk,badan menjadi lemah dan
mengalami gangguan jiwa manakala kesan jangka panjangnya ialah ketagihan serta
kelemahan fizikal dan mental. Selain itu,morfin memberi kesan jangka pendek yang berbeza
iaitu rasa resah,cirit-birit,sakit perut,rasa sejuk dan berpeluh. Kesan jangka panjang bagi
pengambilan morfin ialah gangguan jiwa,HIV dankematian. Bagi heroin pula,kesan jangka
pendek pengambilannya ialah tanggapan menjadi kurang tenang,tidak dapat menumpukan
perhatian sepenuhnya,bingung,kekejangan dan berkelakuan seperti orang mabuk. Kesan
jangka panjangnya pula ialah keracunan darah,hepatitis,kancing gigi,HIV dan
kematian.Walau berjuta jenis dadah didapati sekalipun,kesannya pasti ada pada penagih itu
sendiri.
Kesimpulannya, dadah membawa banyak kesan buruk. Penyalahgunaan dadah yang
berpunca daripada banyak faktor mengakibatkan banyak masalah sosial berlaku. Oleh itu,
semua pihak hendaklah berganding bahu dan mengatur strategi untuk mengatasi masalah ini
yang juga dianggap musuh utama Negara. Antaranya adalah pihak-pihak yang
bertanggungjawab terutamanya pihak kerajaan hendaklah mengatur langkah untuk menangani
masalah tersebut. Namun, ia tidak akan berjaya sekiranya kita sebagai rakyat tidak mahu
bekerjasama untuk membanteras masalah ini. Ibu bapa perlu memainkan peranan
membimbing anak-anak mereka supaya menjauhi dadah. Kita perlu insaf bahawa masalah
dadah boleh membebankan keluarga dan negara. Akhirnya, kita haruslah terus memerangi
dadah agar masyarakat kita tidak menjadi lemah.
RUJUKAN

1) Siti Ruslan. (2009). Penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Laporan Projek
Ijazah Sarjana Muda Kaunseling. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak (Tanpa
Terbit).
2) Nachiappan, Supiah. (2015). Analisis Faktor Penyumbang Terhadap Penyalahgunaan
Dadah dan Usaha Pemulihan dari Segi Kognisi di Pusat PENGASIH Malaysia.
Jurrnal Sains Sosial, (1), 34–39. Diperoleh daripada www.myjurnal.my/public/article-
view.php?id=89680
3) Suhaizam Sulaiman & A’dawiyah Ismail. (2017). Pengaruh Didikan Keluarga Di
Rumah Dalam Kalangan Penagih Dadah: Kajian di Cure & Care Vocational Centre
Sepang. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah. 1(7), 93-103.

You might also like