You are on page 1of 5

Tugasan 2 : Penulisan

2.0 PENGENALAN
Sejarah merupakan suatu bidang yang luas yang memiliki beberapa aspek
demi membuktikan kewujudan sesuatu peristiwa ataupun apa-apa jua perkara.
Aspek perdana ataupun dianggap penting dalam Sejarah adalah unsur penulisan.
Ianya merupakan suatu wadah yang dapat mengemukakan idea, pendapat dan
pandangan, pemikiran kepada pembaca serta pengkaji. Penulisan seperti
karya-karya pensejarahan merupakan punca utama bagi perkembangan sejarah
dan pembangunan Negara. Ianya juga bertujuan adalah untuk menentukan
kebenaran serta kesahihan sesuatu peristiwa ataupun perkara. Selain itu, terdapat
dua peringkat dalam proses pensejarahan Malaysia semasa pra-merdeka di mana
peringkat pertama iaitu pensejarahan Malaysia bermula pada zaman feudalisme
Melayu, manakala peringkat kedua pula pensejarahan Malaysia bermula dengan
pensejarahan moden yang bersifat euro-centric. Selepas era kemerdekaan negara
pula, munculnya perkembangan pensejarahan Malaysia yang baharu yang lebih
bersifat Malaysia-centric. Pelbagai karya penulisan telah dihasilkan pada
kedua-dua zaman tersebut. Ketika penjajahan kuasa Barat di Tanah Melayu,
wujudnya suatu bentuk pensejarahan baharu sehingga terdapat pelbagai
perbezaan dalam karya-karya penulis kolonial dan penulis tempatan mengenai
pensejarahan Malaysia berasaskan beberapa aspek.

2.1 PERBANDINGAN HASIL KARYA PENULIS KOLONIAL DAN TEMPATAN

2.1.1 FAKTA ATAU MITOS - LAGENDA


Aspek pertama ialah fakta atau mitos-legenda. R.Roolvink, menyatakan
bahawa pensejarahan tradisional Melayu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu
bahagian pertama merangkumi isu-isu yang berkait dengan mitos-legenda
manakala bahagian kedua pula bahagian yang lebih bersifat sejarah. Jelasnya,
bahawa pensejarahan tradisional Melayu bercampur baur antara perkara mitos
dengan legenda iaitu perkara-perkara tertentu tidak akan diterima dalam menilai
fakta sesuatu sejarah. Situasi ini sangat berbeza dengan konsep penulisan
pensejarahan barat.
Hal ini kerana, penulisan pensejarahan barat lebih menekankan dan
berpandukan fakta sejarah dan pembuktian yang dikemukakannya. Hal ini
menunjukkan bahawa penulisan kolonial menolak elemen mitos dan legenda
dalam penukilan seseorang sejarawan. Melalui ulasan R.O.Winstedt terhadap
Hikayat Hang Tuah, iaitu beliau menolak kewujudan Hang Tuah sebagai seorang
Laksamana di Istana Melaka. Hal ini kerana beliau beranggap bahawa kewujudan
3
pengaruh sastera panji dalam Hikayat Hang Tuah menjadikan watak Hang Tuah
tidak lebih daripada sekadar mitos seperti epik-epik Hindu-Jawa yang lainnya
(Muhammad Yusoff Hashim, 1992).

2.1.2 GENRE PENULISAN

Di samping itu, aspek genre penulisan juga diambil kira apabila


membandingkan karya penulis kolonial dan tempatan. Karya kesusasteraan
Melayu tradisional merupakan salah satu sumber pensejarahan Melayu tradisional
yang penting. Biasanya, karya pensejarahan tradisional ini meliputi eleman-eleman
kesusasteraan seperti sajak, puisi, syair, gurindam dan mitos. Uswanya, Raja
Chulan menggunakan unsur kesusasteraan seperti prosa dan puisi yang terdapat
dalam bahasa jawi ketika menghasilkan karya Misa Melayu sebelum ianya
dirumikan oleh R.O.Winstedt. Karya ini juga mengandungi pelbagai genre
penulisan seperti undang-undang Melayu lama, epik, puisi, sastera kitab yang
berkait dengan keagamaan, sastera istana dan sastera rakyat yang merangkumi
cerita jenaka, teladan, penglipur lara dan lain-lain.
Pensejarahan barat pula dihasilkan dalam bentuk penulisan naratif yang
mempunyai ciri-ciri seperti deskriptif dan bercorak ilmiah. Pada pendapat
R.G.Collingwood, unsur-unsur seperti bersifat saintifik, bersifat kemanusiaan
ataupun mengemukakan perkara-perkara yang tertentu pada masa yang lalu,
bersifat rasional dengan berdasarkan kepada bukti yang tulen serta perlu bersifat
menjelaskan diri; antara unsur yang harus dimiliki oleh sesuatu hasil nukilan
sejarah. Misalnya, penerbitan beberapa buah karya oleh Stamford Raffles seperti
History of Java yang menjelaskan sejarah di Pulau Jawa sejak zaman purbakala.

2.1.3 TEMA PENULISAN

Tambahan pula, tema penulisan juga merupakan salah satu aspek yang
digunakan dalam perbandingan antara penulisan kolonial dan tempatan.
Kedua-dua penulisan mempunyai tema yang tertentu dan tersendiri. Penulisan
pensejarahan tradisional Melayu sentiasa memiliki tema seperti membicarakan soal
salasilah keturunan raja-raja, naratif berkaitan dengan kejatuhan dan kegemilangan
sesebuah kerajaan serta aturan dan perjalanan sesebuah kerajaan. Hal ini dapat
dilihat jelas dalam karya Sulalatus Salatin yang menceritakan sejarah Raja-Raja
Melayu bermula dari zaman pra-Melaka, zaman pengasasan Melaka, zaman
kegemilangan dan kemerosotan sehingga kejatuhan Melaka kepada Portugis pada
tahun 1511.
Tanah Melayu mula disebarkan dengan tema penulisan kolonial British apabila
pengaruh kolonial British menguasai Tanah Melayu. Tema penulisan kolonial

4
British merangkumi sejarah pentadbiran British di Tanah Melayu, sejarah yang
berkaitan dengan budaya, masyarakat, bahasa dan lain-lain lagi. Para pegawai
barat mengkaji hal-hal yang berkaitan dengan teks kesusasteraan Melayu, bahasa
dan segala ilmu dalam bahasa Melayu, kepercayaan, agama, adat resam dan
corak kehidupan masyarakat yang berada di Tanah Melayu.

2.1.4 PENGGUNAAN TARIKH DAN KRONOLOGI


Di samping itu, kedua-dua karya ini juga telah dibandingkan dengan aspek
penggunaan tarikh dan kronologi. Penyertaan tarikh dalam sesuatu karya sejarah
amatlah penting agar fakta sejarah dapat dibuktikan. Menurut Hazman Azhar
(2013), penggunaan tarikh adalah amat penting dan tarikh adalah merupakan
sebahagian daripada fakta sejarah dalam penulisan sejarah kolonial. Penggunaan
tarikh dan kronologi dalam penulisan kurang diberi penekanan bagi karya
pensejarahan tradisional Melayu. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa
karya pensejarahan Melayu seperti Misa Melayu, Tuhfat Al-Nafis dan
Undang-undang Kedah yang mencatatkan penggunaan tarikh dalam penulisan
mereka. Sesuatu penulisan akan lebih diyakini jika adanya maklumat yang
berkaitan dengan tarikh sesuatu kejadian.
Penggunaan tarikh dianggap penting dan ianya merupakan sebahagian
daripada fakta sejarah dalam penulisan sejarah kolonial. Sejarah dianggap sebagai
suatu bidang ilmu yang mempunyai disiplin pengkajiannya yang tersendiri oleh
para colonial barat. Hal ini dapat, menentukan ketulenan fakta tersebut serta
mengelakkan wujudnya unsur anakronistik.

2.1.5 BERSIFAT KAJIAN DAN PENGGUNAAN SUMBER

Tambahan pula, perbandingan juga dilaksanakan antara kedua-kedua karya ini


daripada aspek bersifat kajian dan penggunaan sumber. Karya-karya pensejarahan
tradisional Melayu dibuat tanpa melaksanakan sebarang kajian secara telus dan
ianya lebih berpandukan kepada idea atau pemikiran dan intelek para penulisnya.
Pernyataan sumber tidak dinyatakan dengan jelas dalam karya penulisan tempatan
walaupun sebahagian daripada penulisan pensejarahan Melayu dilihat mengambil
sumber-sumber daripada penulisan lain untuk menyertakan dalam penulisan
mereka. Contohnya, karya Bustanus Salatin yang memaparkan kembali sejarah
raja-raja Melayu sepatutnya merujuk kepada sumber seperti Sejarah Melayu
ataupun sumber Pahang dalam penulisannya. Namun begitu, hasil nukilan
daripada Syeikh Nuruddin Al-Raniri yang tidak memberikan penerangan yang jelas
mengenai sumber penulisannya.

5
Terdapat perbezaan yang ketara dalam penulisan kolonial terhadap aspek ini
apabila dibandingkan dengan penulisan tempatan. Penggunaan sumber
dinyatakan secara jelas dalam penulisan kolonial. Tamsilnya, dalam sebuah buku
yang berjudul, British Malaya, hasil nukilan Frank Swettenham (1907) yang
menggambarkan kemasukan pengaruh kolonial dan pentadbirannya di Tanah
Melayu yang memperolehi rekod-rekod kerajaan Negeri-Negeri Selat dan
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) sesuai dengan kedudukannya sebagai
Gabenor NNMB sebelumnya. Bagi mendapatkan fakta penulisan yang tepat dalam
kajian terhadap amalan dan kepercayaan tertentu dalam masyarakat Melayu, para
pengkaji kolonial sanggup menemui orang-orang yang tertentu untuk menjadikan
sebagai sumber seperti R.O.Winstedt. Beliau telah melakukan kajian terhadap
amalan perbomohan dan upacara keramat dalam kalangan masyarakat Melayu
dan beliau telah melihat sendiri ritual-ritual perbomohan di Tanah Melayu pada
masa tersebut. Kajian ini menjadi tunjang utama bagi karya Shaman, Saiva dan
Sufi: A Study of the Evolution of Malay Magic yang diterbitkan pada tahun 1925.

2.1.6 PERBEZAAN SENTRIK DAN BIAS

Aspek terakhir yang telah digunakan untuk membanding bezakan karya penulis
kolonial dan tempatan ialah aspek perbezaan sentrik dan bias. Penghasilan
karya-karya pensejarahan Melayu tradisional dibuat atas perintah sultan yang
memerintah dan lebih bertujuan untuk mengangkat martabat dan kemuliaan sultan
dan golongan diraja. Uswanya, Bustanus Salatin oleh Syeikh Nuruddin Ar-Raniri
dilihat lebih cenderung untuk mengagung-agungkan Sultan Acheh, iaitu Sultan
Iskandar Thani. Sementara itu, karya Tuhfat Al-Nafis pula terlalu berat sebelah dan
mengagungkan suku Bugis dalam istana Johor-Riau. Hal ini kerana, para penulis
dan pujangga istana terikat terhadap perintah diraja ke atas mereka yang dititahkan
untuk menulis kitab-kitab sejarah tersebut. Atas perintah Yang Dipertuan Raja di
Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah Ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah, Tun Seri Lanang
telah menyelenggara dan melengkapkan kitab Sulalatus Salatin yang juga dikenali
sebagai Sejarah Melayu.
Golongan penulis kolonial pula lebih cenderung dalam menulis dan perkara ini
dapat dilihat melalui penulisan mereka yang bersifat euro-centric. Ianya
menggunakan perspektif Eropah untuk melihat semua perkara dalam dunia ini. Hal
ini berlaku disebabkan oleh doktrin euro-centric dalam kalangan pegawai kolonial
dan ini juga disebabkan oleh sistem latihan pegawai dan institut pendidikan di
Eropah yang menamakan doktrin bahawa bangsa Eropah merupakan bertamadun
dan mempunyai martabat yang tinggi berbanding dengan negara-negara jajahan
mereka.

6
2.2 KESIMPULAN

Tamsilannya, sebuah penulisan sejarah merangkumi berbagai-bagai aspek


yang telah memberi pandangan yang jelas kepada para pengkaji dan pembaca
tentang perbezaan antara karya penulis kolonial dan penulis tempatan mengenai
pensejarahan Malaysia. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa penulisan sejarah
yang bermutu haruslah mengambil kira pandangan daripada kedua-dua pihak
seperti pihak kolonial dan penulis tempatan. Penulisan sejarah juga seharusnya
dinilai melalui pelbagai aspek dan tidak hanya mementingkan beberapa aspek
tertentu sahaja.

You might also like