You are on page 1of 16

KELESTARIAN ALAM SEKITAR

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, lestari membawa maksud tidak berubah-ubah, kekal, atau tetap. Oleh
itu, bumi yang lestari dapat digambarkan sebagai persekitan bumi yang kekal bebas daripada sebarang unsur
kerosakan alam. Walau bagaimanapun, kemajuan era teknologi pada masa kini memperlihatkan kerakusan
manusia mengeksplotasi alam sekitar secara berleluasa dan tanpa kawalan. Alam sekitar dieksplotasi secara
rakus untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan. Sebenarnya, terdapat beberapa kesan terhadap
alam sekitar yang berpunca daripada pengeksplotasian manusia secara besar-besaran dan langkah untuk
membendung gejala ini.

Antaranya, menjejaskan habitat flora dan fauna. Pengeksplotasian alam sekitar yang melibatkan kerja-kerja
penebangan hutan atau pembukaan baru kawasan hutan mendatangkan ancaman yang serius terhadap
habitat flora dan fauna. Menurut Kamus Bahasa Melayu Edisi Kedua (1996), flora membawa maksud tumbuh-
tumbuhan yang terdapat pada satu-satu daerah atau pada suatu masa, manakala fauna pula bermaksud
seluruh binatang yang hidup di suatu tempat. Oleh itu, kepupusan flora dan fauna membawa maksud
kebinasaan atau kepupusan habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan dari kawasan asal. Pengeksplotasian alam
sekitar ini juga menyebabkan haiwan yg mendiami sesuatu kawasan terpaksa berpindah ke kawasan lain. Hal
ini menyebabkan kitaran kehidupan flora dan fuana ini terjejas. Oleh itu, pengeksplotasian alam sekitar
mampu membawa kesan kepada kemusnahan habitat flora dan fauna.

Selain itu, pengeksplotasian alam sekitar turut membawa kesan terhadap fenomena pemanasan global.
Menurut laporan daripada Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), menyatakan bahawa
peningkatan suhu global yang terjadi sejak pertengahan abad ke-20 berpunca daripada pelepasan gas
berbahaya ke atmosfera yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Pengeksplotasian alam sekitar menyebabkan
kawasan hutan diteroka dan dimusnahkan secara besar-besaran. Apabila pokok-pokok ditebang, cahaya
matahari akan terus sampai ke permukaan bumi tanpa ada halangan daripada tumbuhan yang rendang. Hal ini
akan menyebaban gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia dan haiwan terbebas dan terkumpul di
dalam udara kerana ketiadaan pokok yang berfungsi sebagai penyerap gas karbon dioksida dan pembebas gas
oksigen. Fenomena ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan suhu setempat yang menyumbang kepada
fenomena pemanasan global.

Di samping itu, pengeksplotasian sumber alam secara besar-besaran juga menyebabkan berlakunya fenomena
bencana alam. Misalnya, fenomena banjir kilat. Apabila kawasan hutan di tebang, maka tumbuhan yang
berfungsi sebagai pengalir air hujan akan hilang. Hal ini akan menyebabkan hujan akan terus sampai ke
permukaan bumi tanpa ada halangan dan mengcungkil struktur tanah seterusnya dibawa air hujan sebagai
larian air permukaan ke dalam sungai dan menyebabkan mendapan sungai yang boleh mengakibatkan berlaku
banjir kilat. Kejadian tanah runtuh juga boleh berlaku apabila tanah kehilangan cengkaman daripada akar-akar
pokok.

Antara langkah yang boleh diambil untuk membendung isu pengeksplotasian alam sekitar secara rakus oleh
manusia ialah dengan memperkasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Akta ini perlu ditambah baik dengan
memperketatkan larangan dan kawalan mengenai pencemaran, penerokaan hutan dan sebagainya. Hukuman
yang berat perlu dilaksanakan ke atas mereka yang didapati bersalah dalam kegiatan pengeksplotasian alam
sekitar secara haram. Hal ini penting agar induvidu atau golongan ini serik untuk mengulangi kesilapan mereka
pada masa akan datang.

Seterusnya, melalui aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Pengeksplotasian alam sekitar
sememangnya menyebabkan hutan di musnahkan dengan giat. Pemeliharaan hutan seperti penanaman
semula pokok-pokok dapat dijadikan tempat serapan air hujan yg lebih berkesan bagi mengelakkan berlaku
fenomena banjir kilat. Penanaman semula pokok-pokok juga dapat membekalkan gas oksigen yang cukup
untuk penghuni bumi. Hal ini akan menjadikan bumi lebih hijau dan tidak terlalu panas.

Kesimpulannya, kegiatan mengeksplotasi sumber alam sekitar haruslah dibendung dengan lebih giat agar
kegiatan ini tidak membawa kesan negatif terhadap kelestarian bumi. Semua pihak terutamanya pihak
kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar haruslah memainkan peranan penting dan aktif dalam membendung
masalah ini. Penglibatan pelbagai pihak sememangnya akan membawa kesan positif terhadap usaha
membendung masalah alam sekitar ini.

Amalkan penjagaan diri dan kebersihan

22 April 2020

Kuantan, 22 April- Sentiasa amalkan penjagaan diri dan kebersihan dalam kehidupan seharian memandangkan
banyak permukaan yang kita sentuh terdedah kepada bakteria atau virus yang boleh menjadi punca penyebab
penyakit. Bakteria atau virus boleh melekat di tangan ketika berjabat tangan, memegang pemegang pintu,
paip, perkakas dapur, peralatan tandas dan lain-lain. Tangan boleh bertindak sebagai ejen pemindahan
bakteria atau virus apabila menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut. Membasuh tangan
merupakan salah satu langkah penting yang boleh kita ambil untuk mengelakkan penyebaran penyakit.
Tindakan mencuci tangan dengan sabun perlu dijadikan amalan seharian, bukan hanya untuk mencegah
penularan wabak COVID-19 semata-mata.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses UMP, Ts. Dr. Norashikin Mohd Zain berkata,
budaya membasuh tangan hendaklah dipraktikkan dalam kalangan semua peringkat umur. Kanak-kanak
khususnya mudah terdedah pada penyakit berjangkit kerana mereka kurang berhati-hati ketika menggosok
mata atau mengesat hidung selepas menyentuh benda atau individu lain. Mereka perlu dididik mengenai
kepentingan membasuh tangan dengan cara yang betul terutama sebelum makan dan selepas penggunaan
tandas.

Sebagai ibu bapa juga perlu mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan tangan dan berperanan dalam
mendidik anak-anak mereka. Amalan membasuh tangan dengan cara yang betul juga patut diteruskan
contohnya di pusat jagaan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak pra sekolah mudah terdedah kepada penyakit
yang mudah merebak apabila bergaul antara mereka. Ia juga perlu diterapkan di sekolah-sekolah bagi menjaga
kesihatan pelajar. Begitu juga apabila berada di rumah semasa bersama anak kecil, para ibu digalakkan
membasuh tangan selepas menukar lampin bayi.
“Tangan kita mungkin kelihatan bersih, tetapi ini tidak bermakna ianya bebas dari mikro oroganisma
berbahaya. Semua orang mengetahui membasuh tangan itu penting khususnya dalam menghalang penularan
jangkitan penyakit. Namun, sejauh mana kita mempraktikkan kaedah membasuh tangan yang betul?.
Membasuh tangan dengan sabun dan air adalah cara terbaik untuk menyingkirkan kotoran, bakteria atau virus
daripada permukaan kulit. Tangan yang bersih dapat mengelakkan penyebaran mikroorganisma antara
individu kepada individu yang lain,” katanya.

Terdapat juga banyak produk pembersihan atau pencuci di pasaran dan kita perlu mengetahui setiap produk
mempunyai kandungan dan fungsi yang berbeza serta bergantung kepada kesesuaian kulit pengguna.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan lebih 10 tahun di UMP turut berkongsi kejayaan
penghasilan tiga produk berkaitan pencuci iaitu pencuci tangan anti mikrob, pembersih badan anti mikrob
(antimicrobial body wash) dan semburan pembersih ruang (antimicrobial spray) di bawah jenama Aureiz
keluaran Syarikat Medieva Sdn.Bhd dengan pembiayaan geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera
(SUBERB) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Menurutnya, produk pencuci tangan yang dihasilkan ini menggunakan bahan antimicrobial yang selamat dan
dapat membersihkan tangan dari kotoran, bakteria atau virus penyebab penyakit. Ia menggunakan formulasi
lembut yang membersihkan kulit tanpa mengeringkannya. Pencuci tangan ini terdapat dalam pelbagai pilihan
aroma yang menenangkan seperti lavender dan vanilla.

Manakala bagi pembersih badan ia terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti
lavender, rose dan vanilla. Terdapat perbezaan produk pembersih badan ini berbanding produk lain iaitu
produk ini tidak mengandungi sodium lauryl sulfate (SLS), sodium laureth sulfate (SLES), paraben atau alkohol.
Natural surfactant digunakan untuk penghasilan buih. Ia selamat untuk pengguna dan bahan-bahan yang
digunakan juga memelihara alam sekitar. Bahan antimicrobial yang terdapat di dalam produk ini membantu
membunuh kuman.

Bagi membantu membunuh bakteria di permukaan dan ruang, pihaknya menghasilkan semburan antimikrob.
Ia terdiri daripada cairan yang mengandungi beberapa bahan antimicrobial bagi membasmi kuman. Malahan
cairan ini mengandungi esktrak semula jadi bagi menggantikan penggunaan bahan kimia untuk memberikan
bau yang harum. Semburan antimikrobial ini juga boleh digunakan untuk menyembur kawasan seperti di ruang
tamu, bilik tidur, tilam, tandas, permainan anak-anak, kawasan tong sampah, di dalam kereta atau di mana-
mana permukaan untuk tujuan pembersihan. Semburan antimikrobial ini terdapat dalam dua pilihan bau yang
menyegarkan iaitu lavendar dan vanilla.

Produk pencuci tangan dan badan telah mendapat kelulusan notifikasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM). Ketiga-tiga produk telah lulus Recognition Program untuk Lab tested dari agensi Bioeconomi
Corporation bagi mengesahkan kandungan bahan-bahan adalah selamat.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan diri, keluarga dan persekitaran. Bagi penjagaan
diri amalkan tujuh langkah yang perlu diikuti untuk membasuh tangan dengan cara yang betul seperti yang
dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang
bersih secukupnya, gosok tapak tangan, setiap jari dan celah-celah jari serta gosok kuku pada tapak tangan
juga belakang tangan. Setelah itu, bilas dengan air bersih yang mencukupi dengan sempurna dan keringkan
tangan dengan tuala yang kering dan bersih atau alat pengering tangan.

Ketagihan Gajet Merosakkan Hubungan Kekeluargaan

Bahaya ketagihan gajet

Editor by Editor 29/11/2019 in Berita & Peristiwa, Isu Semasa 0 0 0

Dr. Zul Azlin Razali (MBBS, DrPsych)

Universiti Sains Islam Malaysia

Inilah harinya

Mereka berempat duduk mengelilingi meja makan di sebuah restoran. Suasananya aman-aman sahaja. Si anak
lelaki yang di dalam lingkungan lima tahun ralit dengan sebuah tablet. Jari-jemari comel lincah berlari di atas
skrin. Ditanya ibu mahu makan apa, dijawab polos, “Megi goreng.” Dibantah ibu lalu dicadangkan, “Nasi
goreng, ya.” Si budak hanya mengangguk. Sepasang bola mata kecil itu tetap membulat ke skrin tanpa sedikit
pun memandang ibu, atau persekitarannya.

Setelah pesanan diambil oleh pramusaji, si ayah cuba berbasa-basi dengan anak remaja, “Lyn, sekolah hari ni
ok?”. Pertanyaan santai (tapi sedikit kekok) itu hanya dibalas dengan riak yang menjengkelkan. Jawapan
pendek meloncat keluar dari mulut remaja, “Hmm, ok je.” Anehnya, si gadis remaja itu kembali ceria ketika
jarinya gesit meleret dan menatal telefon pintarnya semula. Tidak sampai lima minit, seolah-olah berputus-asa
untuk meneruskan interaksi dengan anak yang sedang mengalami ledakan hormon perempuan, si bapa pula
mencapai telefon pintarnya. “Papa, nak tengok email kerja sekejap.” Tiada siapa pun yang bertanya dan ‘Papa’
pun sebenarnya tidak tahu mahu tujukan kepada siapa pernyataan itu. Barangkali untuk diri sendiri bagi
mengurangkan rasa bersalah.

ARTIKEL BERKAITAN – Penguna Perlu Lebih Pintar dari Gajet Pintar

Kini hanya si ibu sahaja yang bersendirian ‘menikmati’ dunia tanpa gajet di tangan. Meja itu cukup sunyi.
Malahan beberapa meja lain juga sunyi, walaupun berorang. Si ibu menguap lalu membuka poket tepi tas
tangan, meraba dan menyeluk entah apa. Dia mengeluarkan semula tangannya. Kosong. Dia membatalkan
hasrat. Si ibu kemudian memandang anak remaja perempuan itu. Dia mengukir senyum dan sedang ingin
membuka bicara. Tiba-tiba runut bunyi memecah sepi suasana. Si ibu menyeluk tangannya semula ke dalam
poket tepi tas tangan.
Sepuluh minit berlangsung dengan kesepian sehinggalah pesanan sampai. Setengah jam kemudian meja itu
ditinggalkan dengan sisa dan remah makanan. Bukan itu sahaja yang ditinggalkan oleh keluarga itu. Mereka
telah meninggalkan satu pesanan untuk dunia bahawa kemanusiaan dan manusiawi sedang terancam.

Gajet dan sebuah kekeluargaan

Pada 2017, pengkaji-pengkaji Universiti Indonesia menemukan satu kesimpulan utuh bahawa penggunaan
smartphone yang bermasalah akan meranapkan hubungan kekeluargaan (Chasanah dan Kilis 2018). Yang
dimaksudkan penggunaan smartphone atau gajet yang bermasalah adalah penggunaan yang berlebihan, susah
untuk mengawal tabiat penggunaannya dan gangguan yang ditimbulkan pada kehidupan seharian (Al-Barashdi
2015).

Kebanyakan kajian banyak merujuk dan memberi petunjuk golongan muda remaja yang selalu bermasalah
dalam isu ketagihan gajet ini. Namun pada hakikatnya, fenomena media sosial dan penggunaan gajet ini
mempengaruhi generasi ‘lebih tua’ juga. Laporan daripada institusi bebas www.nielsen.com pada 2017
mengatakan bahawa Generasi X (iaitu yang lahir sekitar tahun 1975 hingga 1980) lebih banyak menggunakan
media sosial berbanding Generasi Millenials (atau Generasi Y, yang lahir awal 1980an). Jonah Engel Bromwich
yang mengupas dapatan ini dalam artikel The New York Times pada 27 Januari 2017, menukilkan bahawa
dewasa yang berusia 35 hingga 49 menghabiskan masa lebih banyak terpaku matanya di skrin untuk
berfacebook dan sebagainya berbanding golongan 18-30 tahun.

Kita sibuk menuding jari kepada anak-anak muda kerana menjadikan media sosial sebagai ‘agama’ mereka
tetapi kita lupa manusia apa pun usianya jika dia tidak memahami sesebuah kemajuan dan mengikut sahaja
alir keseronokan yang datang bersama sebuah teknologi, dia pantas menjadi hamba sains ciptaannya sendiri.

Gajet dan Internet

Yang menjadi masalah, gajet atau internet? Yang dibincangkan adalah masalah penggunaan gajet atau
sebenarnya isu ketagihan gajet?

Gajet adalah alat. Manusia menemui (dan membina) tamadun dengan bantuan alat. Alat adalah natijah kerja
keras akal manusia; yang istilah mudahnya, sains dan teknologi. Di zaman ini, kemajuan teknologi juga
menganugerahkan kita internet. Saya tidak khilaf, dan pasti anda juga bersetuju, jika saya katakan internet
adalah penemuan terhebat manusia, atau sekurang-kurangnya di antara 10 terhebat sepanjang zaman.
Perkara utama yang ‘dilakukan’ oleh internet adalah meruntuhkan tembok penghalang antara manusia dan
limpahan jaluran maklumat. Selain daripada maklumat tidak berpenghujung, internet juga ‘mendekatkan’ lagi
jarak perhubungan manusia dan mengaburkan sempadan budaya-agama-geografi apabila manusia
berinteraksi. Kita bercakap tentang media sosial yang menjadi salah satu sebab utama manusia tidak boleh
hidup tanpa internet. Manusia sebagai satu spesis makhluk yang sememangnya mendambakan sosialisasi
berterusan akan terus mendakap media sosial ini dan mengucupnya tanpa henti seperti esok tiada lagi.
ARTIKEL BERKAITAN- Ketagihan Pornografi Bukan Sahaja Menjejaskan Otak

Berbalik kepada gajet, ia seolah-olah kembar si internet. Internet tidak mungkin dapat dinikmati tanpa gajet.
Gajet terawal barangkali adalah komputer dan telefon. Kemudian semua itu berevolusi dan kita melihat
lambakan smartphone atau telefon pintar (nama lain; telefon genggam, telefon selular, ponsel), tablet, iPad,
dan komputer riba. Apabila kita membahas masalah kepenggunaan gajet atau ketagihan gajet, barangkali kita
sebenarnya membicarakan konten yang menggerakkan fungsi gajet itu sendiri, iaitu internet.

20 tahun yang lalu, sebelum telefon pintar bersepah di sana sini; di meja makan, di tepi bantal tidur, di atas
dasboard kereta atau di atas tikar sejadah, Dr. Kimberly Young sudah pun mula risau tentang ketagihan
internet (Young 1999). Katanya, ada sekurang-kurang lima bahagian atau jenis ketagihan internet: ketagihan
seksual alam maya, ketagihan interaksi maya, kemahuan obsesif berjudi atas talian, ketagihan permainan
video atas talian dan pencarian data/maklumat atas talian secara obsesif dan sembrono.

Wujudkah ketagihan gajet (atau internet)?

Bagaimana kita memahami ketagihan? Secara mudah, ia adalah sesuatu yang kita nikmati dan seronok untuk
lakukan dalam jangka masa pendek tetapi memudaratkan untuk jangka masa panjang. Walaupun sedar
dengan kemudaratan tersebut, kita tetap terdorong untuk lakukan.

Konsep ketagihan tidak berhenti pada ketagih bahan atau dadah tetapi manusia juga boleh ketagihan kepada
sesuatu bentuk tingkah-laku. Manusia boleh gian dengan tingkah-laku menonton pornografi (tidak sama
dengan ketagihan seks), dengan tingkah-laku mencuri (nama lainnya kleptomania), dan dengan tingkah-laku
membeli-belah atau mengumpul barang-barang yang tiada manfaat untuknya. Dan tentunya manusia boleh
sahaja terjerumus ke kancah menagih untuk menatal skrin gajet. Mungkin bukan sesuatu yang membuatkan
kita terkejut jika ada manusia yang menagih ‘likes’ yang diberikan pada status FB atau foto IG mereka.

ARTIKEL BERKAITAN– Sakit Mental:Ancaman Masyarakat Moden

Walaupun diagnosis ketagihan internet masih belum diterima secara rasmi oleh dunia perawatan psikiatri, Dr.
Mark Griffith tetap menyenaraikan simptom-simptom yang ada pada seorang pencandu internet. Beliau
mengambil iktibar daripada kajian-kajian kes ketagihan judi (pathological gambling) dan beliau percaya,
individu yang sukar untuk memisahkan diri daripada penggunaan internet juga mempunyai simptom yang
sama iaitu:

Penggunaan internet telah mengambil sebahagian besar kehidupan sehariannya dan ‘merampas’ proses
berfikirnya (salience)
Penggunaan internet digunakan sebagai wadah untuk dia mengelak diri daripada berdepan masalah rumit
dunia sebenar (mood modification)

Semakin lama dia terpaksa memanjangkan penggunaan internet demi mencapai kenikmatan dan keseronokan
yang sama (tolerance).

Berhenti atau pengurangan mendadak dalam penggunaan internet menyebabkannya keresahan, kemurungan,
marah dan mengalami simptom cemas dan gemuruh (withdrawal).

Dia sering berhadapan dengan konflik dalam perhubungan, samada hubungan peribadi, hubungan di tempat
kerja atau hubungan sosial dalam komuniti secara umum.

Dia sedar akan masalahnya ini tetapi dia tetap kembali (atau dia tidak dapat menahan diri untuk kembali)
menggunakan internet secara berlebihan.

Dilema manusia moden

Kehidupan kita semakin banyak dibantu dan dipermudahkan oleh internet. Daripada mahu tahu arah jalan,
membeli belah, membaca buku (i.e ebook), mendapatkan makanan dan pengangkutan, hiburan dan sukan (i.e
esport), memantau kesihatan diri, sehinggalah mendapatkan maklumat berguna tentang sains seperti portal
www.majalahsains.com ini sendiri, internet perlahan-lahan menjadi udara yang manusia wajib hirup setiap
hari untuk kekal lestari. Manusia menjadi ketagih kepada internet adalah kerana masalah manusia itu sendiri
dan bukan internet yang perlu kita basmi. Bak kata Dr. Kimberly Young sendiri, “Don’t blame the internet for
peoples’ behavior.”

Namun, perkara menjadi rumit dan mungkin mudarat apabila tangan-tangan gemuk kapitalis yang tamak
merencanakan hidup kita melalui internet. Sifir mudahnya begini: pengeluar gajet atau telefon pintar sudah
tentu mahukan pelanggan yang berterusan menggunakan produknya. Sudah tentulah aplikasi dan program
yang ditawarkan menggamit pengguna untuk terus berdamping selama mungkin.

Dalam dunia permainan video atas talian juga jika diperhalusi dapat dilihat evolusi yang telah berlaku. Manusia
sukakan persaingan. Kerana itulah umat manusia perlukan sukan. Permainan video menyediakan wadah yang
‘selesa’ untuk manusia bersaing dan ‘bersukan’. Evolusi permainan video kini menambahkan satu lagi elemen
yang disukai manusia iaitu bersosial. Jika dilihat permainan video atas talian seperti PUBG (player unknown
battleground) atau Fortnite, pemain boleh berinteraksi secara langsung walaupun secara geografinya duduk
berjauhan. Elemen kedua yang ada dalam permainan video masa kini adalah ‘misi yang tidak berpenghujung’.
Kalau dahulu permainan video mempunyai misi akhir atau peringkat-peringkat yang perlu dihabiskan satu
persatu tetapi permainan moden tidak begitu. Ia endless dan bottomless. Lebih ‘menarik’, sebahagian daripada
permainan video tersebut mempunyai unsur perjudian. Nah, kini lengkap empat elemen untuk menarik
sesiapa pun untuk terus duduk di kerusi empuk bersama konsol untuk jam-jam yang seterusnya.

Internet sebagai ‘escapism

Terlalu mudah apabila kita menudingkan jari telunjuk kepada satu istilah seperti kapitalisme dan katakan ia
punca kebobrokan manusia mencandukan internet ini. Itu terlalu mudah dan terlalu malas, kawan-kawan.

Seperti juga mengatakan semua pemain video atas talian adalah mangsa kapitalisme dan mereka telah
diperhambakan oleh ketagihan internet; ia tidak benar, kawan-kawan. Ini kerana kajian menunjukkan tidak
semua yang bermain permainan video atas talian akan menjalani kehidupan yang huru-hara.

Sebenarnya yang menjadi punca adalah perkara yang itu-itu juga. Keruntuhan struktur rumahtangga,
ketidakwujudan figura ibu atau bapa yang murni, kemiskinan, masalah emosi seperti kemurungan, isu
keresahan atau anxiety, masalah personaliti seperti narsisisme dan psikopatik adalah isu-isu sebenar yang
mendasari masalah penggunaan internet (Elhai et al 2017).

Langkah-langkah ‘menyelamatkan’ kemanusiaan

Apakah kita perlukan undang-undang untuk mengawal-selia penggunaan gajet? Ada yang kata itu bukan suatu
idea yang buruk. Contohnya di Korea Selatan dan China, wujud usul membentangkan rang undang-undang di
parlimen yang dipanggil Akta atau Undang-undang Cinderella yang bertujuan mengekang anak-anak bermain
permainan video atas talian jauh di tengah malam. Di China juga sudah ada kem terapi dan rehabilitasi yang
ibu-bapa hantar anak-anak mereka yang telah jatuh kemaruk bermain video atas talian.

Cukup aneh dan menarik apabila mendiang Steve Jobs memberitahu kita dalam sebuah temu ramah satu
ketika dulu bahawa dia tidak membenarkan anak kecilnya sendiri menggunakan iPad. Malahan ramai pekerja-
pekerja di Silicon Valley tidak menggalakkan anak-anak sekolah rendah mereka menggunakan tablet.

Undang-undang yang waras dan pendidikan yang berterusan adalah gandingan terbaik untuk mendepani isu
ini. Kesihatan mental yang stabil adalah senjata paling ampuh yang harus kerajaan dan bijak-pandai
pemerintah bekalkan kepada rakyat. Saya tetap percaya golongan dewasa memiliki tanggungjawab yang lebih
besar yang bukan sekadar sibuk berwacana sana sini tentang isu ini tetapi menunjukkan contoh yang baik
bahawa dia juga tidak terjerat dalam perhambaan teknologi. Tidak dibelenggu dalam keterpukauan gajet-gajet
berhantu.

TEKNOLOGI, SAINS , INOVATIF

BICARA MENTERI: MEMBUDAYAKAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI DALAM PEMBANGUNAN

MODAL INSAN NEGARA


 2018-04-11
Categories 
Tags 

Minggu ini adalah minggu yang amat bermakna buat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana
buat julung-julung kalinya MOSTI dapat menganjurkan Minggu Sains Negara yang berlangsung pada 1 hingga 7
April 2018.

Lebih membanggakan, Minggu Sains Negara 2018 yang disambut dengan tema ‘Negaraku Berinovasi’ ini turut
diraikan oleh para saintis, penyelidik, guru, pelajar dan masyarakat secara serentak di seluruh negara.

Sebagaimana yang telah diputuskan oleh Kabinet, Minggu Sains Negara akan disambut pada minggu pertama
April setiap tahun dan akan menjadi agenda utama kerajaan dalam membudayakan sains, teknologi dan
inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat. Minggu Sains Negara diadakan bertujuan untuk meningkatkan
kesedaran terhadap peranan sains dan kepentingannya kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.
Penganjuran Minggu Sains Negara ini juga merupakan satu inisiatif khusus untuk menyemarakkan gerakan
sains kebangsaan secara menyeluruh dan melibatkan kerjasama semua negeri agar program kesedaran dan
pembudayaan STI secara bersepadu dapat dilaksanakan secara besar-besaran.

Penganjuran Minggu Sains Negara ini adalah selari dengan sambutan Hari Sains Sedunia yang dianjurkan oleh
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) semenjak tahun
2002. Penganjuran Minggu Sains telah diamalkan di beberapa buah negara maju seperti United Kingdom,
Norway dan Kanada, manakala negara-negara seperti India dan Thailand memperuntukkan satu hari bagi
sambutan Hari Sains.
Pengisian Minggu Sains Negara yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti pameran, forum, ceramah,
pertunjukan, bengkel robotik dan permainan sains diharapkan dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti
bidang sains dan mempelbagaikan kaedah pembelajaran sains agar lebih menarik dan mudah difahami.

Pemilihan tema ‘Negaraku Berinovasi’ bagi sambutan Minggu Sains Negara 2018 adalah bertepatan dengan
hasrat kerajaan untuk melahirkan satu gerakan melibatkan segenap lapisan masyarakat untuk berfikir,
bertindak dan melahirkan daya cipta baharu melalui pengaplikasian STI untuk menghasilkan faedah bagi
dinikmati oleh semua. Negaraku Berinovasi ini bukanlah gerakan yang dapat dijayakan dalam tempoh sehari,
seminggu, sebulan ataupun setahun, tetapi memerlukan masa untuk dipupuk dan disemai dalam diri setiap
rakyat Malaysia sehingga kita berjaya membudayakan inovasi dalam segenap aspek kehidupan. Ke arah itu,
pembudayaan inovasi perlu dimulakan dengan penghayatan ilmu dan pengalaman dalam usaha merangsang
gaya pemikiran kreatif. Penghayatan ilmu dan pengalaman ini seterusnya diterjemahkan dalam bentuk amalan
agar menjadi tabiat yang baik dalam kehidupan seharian.

Bersempena dengan sambutan Minggu Sains Negara 2018 ini juga, YAB Perdana Menteri menerusi
perkongsian di Facebook beliau menyeru agar setiap lapisan masyarakat terutamanya para pelajar dan
generasi muda untuk memupuk minat dan mengutamakan sains. Beliau turut menyeru agar para pengajar dan
guru menjadikan mata pelajaran tersebut sebagai sesuatu yang menarik dan mudah diikuti serta menyeru ibu
bapa untuk menggalakkan anak-anak meminati sains dan matematik. Hal ini adalah kerana, beliau percaya
melalui pendekatan ini, kita mampu menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang berkaliber dan berkemahiran
dalam menyahut cabaran perubahan teknologi industri 4.0 dan era perubahan industri generasi keempat atau
The Fourth Industrial Revolution.

Merujuk pada perkongsian YAB Perdana Menteri itu, kita perlu akui bahawa dunia hari ini sedang berhadapan
dengan gelombang Revolusi Industri Keempat yang amat bergantung kepada pengetahuan berkaitan STI dan
kemahiran dan penguasaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Sekiranya kita
tidak menguasai STEM, kita akan ketinggalan dalam arus modenisasi global. Oleh hal yang demikian, kita perlu
merancang pembangunan modal insan untuk memenuhi keperluan dan pekerjaan masa hadapan termasuk
pekerjaan yang belum wujud pada ketika ini.

Pada hemat saya, masyarakat Malaysia hari ini bukan hanya perlu memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut
menjadi penyumbang kepada kemajuan teknologi tersebut. Sehubungan dengan itu, bagi melahirkan generasi
penyumbang kepada kemajuan teknologi sejagat, minat terhadap bidang STEM dalam kalangan generasi muda
perlu terus dipertingkatkan. Untuk mencapai hasrat ini, para pelajar pada peringat sekolah rendah perlu
menguasai bidang STEM bagi menghadapi cabaran pekerjaan pada masa akan datang dan merealisasikan
aspirasi Transformasi Negara 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang
berpendapatan tinggi.

Ke arah itu, YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2018 telah mengumumkan peruntukan
sebanyak RM25 juta bagi penubuhan Pusat STEM Nasional. Pusat ini ditubuhkan dengan tujuan untuk
membentuk kaedah pembelajaran terkini serta mengetengahkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains
Berasaskan Inkuiri (IBSE) bagi melatih para guru supaya lebih bersemangat dan menjiwai STEM. Inisiatif yang
dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara MOSTI dan
Kementerian Pendidikan Malaysia ini dijangka memberi manfaat kepada 138,330 orang guru STEM dan lebih 5
juta orang pelajar di seluruh negara.

Di samping itu, MOSTI turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian khususnya Kementerian Pendidikan
Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan Pelan Tindakan Strategik STEM Nasional
2018-2025. Pelan ini disediakan untuk memperkasakan ekosistem STEM negara melalui penetapan strategi
dan pelan tindakan menyeluruh yang melibatkan akademik, guru, pelajar, dan pelbagai peringkat masyarakat.
Pelan ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan untuk dilaksanakan.

Saya juga percaya, peningkatan kesedaran terhadap kepentingan STI adalah sangat penting kerana
penyelesaian kepada isu dan cabaran masa hadapan banyak bergantung kepada kemajuan STI dan sejauh
mana kita menguasai teknologi tersebut. Kita perlu bersedia menghadapi cabaran yang dipengaruhi oleh
ledakan teknologi disruptif. Untuk itu, kita perlu membangunkan masyarakat yang berliterasi saintifik serta
membudayakan STI dalam setiap dimensi kehidupan. Namun, berdasarkan Kajian Kesedaran Awam Terhadap
STI 2014 yang dijalankan oleh MOSTI, didapati bahawa tahap minat rakyat Malaysia terhadap STI masih rendah
berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Oleh itu, MOSTI akan terus
berusaha dan merangka pelbagai program kesedaran STI bagi meningkatkan lagi minat dan kesedaran STI agar
setanding dengan negara-negara maju.

Salah satu usaha yang dijalankan oleh MOSTI bagi memupuk budaya kecemerlangan yang berterusan dalam
bidang STI ialah mengiktiraf sumbangan dan pencapaian para saintis, penyelidik dan juruteknologi dalam
penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara. Sehubungan dengan itu, bagi menghargai sumbangan dan
pencapaian tersebut, tiga anugerah telah disampaikan kepada para pemenang semasa Majlis Pelancaran
Minggu Sains Negara 2018 yang diadakan di Pusat Sains Negara pada 3 April yang lalu.

MOSTI buat pertama kalinya mempertandingkan anugerah baharu iaitu Anugerah Khas STEM sebagai
pengiktirafan terhadap sumbangan individu atau organisasi yang signifikan dalam bidang STEM dan STI.
Anugerah Khas STEM terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori ‘techprogram’ yang dimenangi Kuala
Lumpur Engineering Science Fair (KLESF), kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dimenangi  Persatuan
Sains, Teknologi dan Inovasi (ASTI) dan kategori media dimenangi Majalahsains.com.

Dua anugerah lagi ialah Anugerah Saintis Muda Negara bagi mengiktiraf pencapaian saintis muda di bawah 35
tahun dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Anugerah Juruteknologi yang mengiktiraf sumbangan
juruteknologi serta kakitangan separuh ikhtisas. MOSTI menganugerahkan Anugerah Saintis Muda Negara
kepada Pensyarah Kanan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Oon Chern Ein yang menjalankan kajian berkaitan
rawatan kanser, manakala Anugerah Juruteknologi Negara dianugerahkan kepada Penolong Pegawai
Penyelidik, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Puan Wan Saridah Wan Omar yang menjalankan kajian berkaitan
peningkatan nilai sawit melalui pembangunan produk hiliran.

Dalam pada itu, golongan saintis negara yang telah menabur bakti dan mengharumkan nama negara dalam
bidang sains juga wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam hubungan ini, saya bercadang untuk
memperkenalkan anugerah pengiktirafan khas kepada mereka. Perkara ini akan diperincikan lagi dan akan
diumumkan setelah diluluskan.

Bersempena dengan Minggu Sains Negara 2018 ini juga, telah berlangsung Majlis Pelancaran Robot Serangga
Mini yang Terbanyak pada 5 April 2018 yang mana kita telah berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book
of Records apabila berjaya menghasilkan 1,700 unit robot serangga mini. Ini adalah hasil daripada bengkel
penghasilan robot serangga mini yang telah diadakan oleh Pusat Sains Negara kepada para pelajar sekolah
tahun 5 dan 6 dan tingkatan 1 dan 2 yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan
asas robotik menggunakan konsep litar ringkas dengan kos yang rendah.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah
terlibat dan bekerjasama dengan MOSTI dalam menjayakan sambutan Minggu Sains Negara 2018 di seluruh
negara antaranya ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah-sekolah,
institusi pendidikan tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan pihak media. Tahniah kepada
semua yang terlibat kerana berjaya membawa anjakan baharu dalam pembangunan bidang STI negara. Saya
juga berharap usaha dan kerjasama ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dalam penganjuran Minggu Sains
Negara pada tahun-tahun akan datang dan seterusnya menjayakan gerakan ‘Negaraku Berinovasi”.

YB DATUK SERI PANGLIMA WILFRED MADIUS TANGAU


MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
7 APRIL 2018
PATRIOTISME DAN JATI DIRI

Semangat patriotisme perlu dipupuk sejak kecil bagi menanamkan perasaan cinta kepada negara.

PATRIOTISME adalah satu perkara yang amat penting kepada rakyat setiap negara. Ia bukan sekadar luahan
perasaan tetapi menuntut kepada penghayatan oleh setiap warganegara.

Patriotisme juga bukan sekadar semangat, tetapi ia merupakan sesuatu yang agung melibatkan soal keyakinan,
kesetiaan, kewarganegaraan, keberanian, kemerdekaan, jati diri dan kedaulatan.

Nasionalisme adalah gerakan mencipta masyarakat yang lebih terbuka untuk mendapatkan kebahagiaan
perseorangan, bagi menjamin kemerdekaan warganegara dan membebaskan akal dan fikiran. Dengan kata
lain, nasionalisme itu adalah satu semangat.

Oleh itu, kebudayaan seperti agama, bahasa dan lain-lain boleh menimbulkan semangat nasionalisme. Melalui
elemen-elemen tersebut juga, ia mampu mewujudkan semangat yang dapat melahirkan satu identiti baharu
bagi negara yang dijajah. Semangat nasionalisme juga dapat melahirkan perasaan bersatu padu antara rakyat
yang dijajah.

Secara keseluruhannya, nasionalisme bertujuan untuk membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing.
Namun begitu pengertian nasionalisme dalam konteks selepas merdeka pula lebih menjurus sebagai satu
perjuangan bagi mempertahankan maruah dan mempertinggikan martabat serta kedaulatan negara.

Semangat patriotisme merupakan nadi kepada kebebasan, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah
negara.

Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara akan membawa kepada kegoyahan
dan penderitaan kepada rakyat.
Patriotisme juga akan melahirkan rakyat yang akan berkhidmat dengan cekap, yakin dan jujur dalam tindakan
mereka seperti yang diungkap oleh Presiden Theodore Roosevelt (1969): “Semangat patriotik akan menjadikan
seseorang itu berkhidmat demi negaranya... dalam apa keadaan pun, adalah dianggap tidak patriotik kalau
tidak bercakap benar, sama ada berhubung dengan Presiden ataupun berhubung dengan sesiapa saja.”

Menurut tokoh pendidikan dan ekonomi, Profesor Diraja Ungku Aziz: “Patriotisme tidak harus dipandang sepi
oleh rakyat sehingga rasa kesetiaan kepada negara sekadar ungkapan dan tanggungjawab yang hanya terletak
di atas bahu pemimpin lapisan pertama iaitu Perdana Menteri yang rapat dengan mereka.” Patriotisme

Oleh itu, semangat patriotisme yang tinggi perlu ada dalam diri rakyat yang menjadi tonggak utama kepada
pembangunan sesebuah negara.

Tanpanya negara akan musnah dan hancur bukannya kerana diserang musuh tetapi kemusnahan adalah
disebabkan kegagalan rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap negara.

Dalam konteks Malaysia patriotisme perlu ada pada diri setiap rakyat Malaysia. Ini kerana kemerdekaan yang
kita kecapi bukan dicapai dalam masa yang singkat tetapi berlangsung dalam suasana yang dramatik dan tidak
harus kita lupakan bagi mengekalkan kesinambungan kemerdekaan yang telah dicapai.

Semangat patriotisme terhadap negara tidak sewajarnya hanya timbul dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan atau apabila negara berada dalam ancaman musuh semata-mata.

Dalam keadaan aman, umpamanya, semangat patriotisme seharusnya menjadi pendorong kepada setiap
rakyat yang cintakan negaranya untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membangun dan
memajukan negaranya.

Perbezaan dari segi ideologi, kaum dan parti politik dalam sesebuah negara berkenaan sepatutnya tidak
dijadikan sebagai suatu halangan kepada usaha untuk memakmurkan negara.

Semangat patriotisme adalah penting kepada semua lapisan rakyat sesebuah negara. Tidak kira sama ada dia
seorang petani, nelayan, kakitangan awam atau seorang buruh sekalipun, mereka perlulah mempunyai
semangat kecintaan yang menebal ke atas negara mereka.
Tanpanya individu dan masyarakat negara berkenaan akan berpecah-belah kerana masing-masing lebih
menumpukan kepada diri atau puak masing-masing dan melupakan tanggungjawab mereka terhadap negara.
Semangat patriotisme menjadi lebih penting lagi kepada negara kita pada masa kini.

Hal ini mustahak kerana negara kita didiami oleh rakyat yang mempunyai perbezaan agama, bangsa dan
ideologi politik yang begitu ketara.

Akibatnya jika rakyat negara kita meletakkan semangat perkauman, kefahaman ideologi politik atau parti
politik sebagai lebih utama daripada negara tentulah pembangunan dan kemajuan tidak akan dapat dicapai.

Oleh itu, dalam situasi masyarakat yang sebegini, keperluan terhadap semangat patriotisme dalam kalangan
rakyat adalah begitu penting.

Semangat patriotisme ini akan menghalang rakyat Malaysia daripada bersikap prejudis terhadap mana-mana
kaum, agama mahupun ideologi parti yang berbeza dengan mereka.

Dalam erti kata lain mereka akan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada kepentingan peribadi
mahupun kaum masing-masing.

Patriotisme adalah suatu gagasan pembinaan negara bangsa yang besar, ia bukan sekadar semangat atau isu
politik yang boleh dijadikan gimik. Patriotisme melibatkan seluruh individu dalam sesebuah negara.

Lantaran itu, ia melibatkan sesuatu yang agung yang terjalin daripada aspek keyakinan, keberanian,
kebijaksanaan, kesungguhan dan kesinambungan. Patriotisme juga merujuk kepada ikatan spiritual antara
individu dan negara. Ikatan tersebut berasaskan kepada semangat cintakan negara dan sanggup berkorban
untuk mempertahankannya.

Seseorang insan yang tidak tergerak jiwanya oleh perasaan cinta terhadap ibu pertiwinya dianggap sebagai
manusia yang telah hilang jati dirinya. Patriotisme boleh dilihat dalam dua keadaan, iaitu tersirat dan tersurat.

Perasaan
Bentuk tersurat boleh dilihat dalam luahan patriotisme berdasarkan simbol-simbol yang digunakan seperti
bendera, lagu kebangsaan, Rukun Negara, dasar kerajaan, perbarisan Hari Kebangsaan dan sebagainya.

Bagi perspektif tersirat pula ia lahir daripada sikap dalaman seperti adat resam, nilai, budaya dan pelbagai lagi.
Kemungkinan cara melahirkan penghayatan patriotisme yang terdahulu tidak lagi dapat menarik minat
generasi pascamerdeka, kerana generasi itu tidak tersentuh oleh faktor-faktor yang sama dengan generasi
terdahulu.

Namun, walaupun bentuk penghayatannya berbeza, tetapi yang penting adalah kewujudan perasaan cintakan
negara dan kesanggupan untuk meningkatkan imejnya. Semangat patriotisme seperti yang dipersetujui oleh
banyak pihak adalah suatu tuntutan dan keperluan dalam kehidupan manusia.

Lantaran itu, bagi mengembalikan semangat patriotisme, sejarah dan sivik mesti dijadikan sebagai landasan
kerana melaluinya manusia semasa dapat mempelajari segala liku-liku yang terpaksa ditempuhi oleh generasi
sebelumnya untuk mewariskan sebuah kehidupan bagi generasi berikutnya.

Segala kesusahan yang ditempuhi oleh generasi terdahulu dapat dijadikan sebagai iktibar untuk merangka
tamadun yang lebih tinggi untuk generasi yang kemudiannya pula.

Melalui cara itulah, tamadun manusia berkembang dan nadi kepada perkembangannya terletak pada
semangat patriotisme.

Pengorbanan tokoh-tokoh zaman silam mestilah dikenang dengan sebaik-baiknya kerana mereka merupakan
sejarah perjuangan gemilang untuk memartabatkan patriotisme negara.

Negarawan merupakan lambang atau simbol kejayaan sesebuah bangsa yang merdeka. Mereka merupakan
generasi yang menjadi pelopor kepada kemerdekaan dan kemajuan kita yang nikmati hari ini.

Perpaduan dan penghadaman leluhur sejarah dan doktrin Rukun Negara serta peraian sesama kita adalah
kunci utama kepada kelangsungan negara Malaysia. Dirgahayu negaraku Malaysia yang ke-63 tahun.

*Ku Hasnan Ku Halim ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/99031/KHAS/Pendapat/Patriotisme-bukan-sekadar-


semangat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

You might also like