You are on page 1of 7

12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

SINA ~

PENDAHULUAN

Ibnu Sina merupakan salah seorang tokoh ilmuwan islam yang telah banyak menyumbangkan pemikirannya
kepada tamadun islam sehingga sekarang pemikirannya itu masih dijadikan rujukan terutamanya dalam ilmu
perubatan. Ibnu Sina juga pakar dalam ilmu falsafah, beliau telah menyatakan beberapa pandangannya
tentang jiwa manusia, logik dan sebagainya.

Ibnu Sina juga merupakan seorang karyawan yang berjaya, beliau telah menghasilkan beberapa buah
buku hasil karyanya sendiri. Kitab Qanun At-tib merupakan kitab perubatan yang merungkai pelbagai jenis
penyakit. Kitab ini telah diterjemah kepada beberapa bahasa dan menjadi rujukan kepada semua pelajar
perubatan sehingga zaman sekarang. Beliau juga mahir dalam ilmu matematik, fizik, agama dan lain-lain
lagi.

Sumbangannya begitu besar kepada kita semua, segala pemikirannya, falsafah dan teorinya masih
digunakan sehingga sekarang. Malah, ilmuwan ini telah menyumbangkan kepada dunia kemajuan dalam
bidang pendidikan, perubatan dan sebagainya. Hasil sumbangannya ini telah melahirkan ramai cerdik pandai,
para ilmuwan yang berjaya dan turut melahirkan pemikir moden. Ini kerana segala karya, falsafah dan
pemikirannya digunakan oleh semua manusia dari zaman ke zaman.

2.0 PENGENALAN HIDUP IBNU SINA

Abu Ali al Husain ibn Abdallah ibn Sina adalah nama lengkap Ibnu Sina. Beliau dilahirkan pada tahun 370
H-428 H bersamaan 980 M – 1037 M, bertempat di Isfahan berdekatan dengan Bukhara ( Turkistan ).
Ayahnya bernama Abdullah, berasal dari Baikh. Ibnu Sina lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna.

Ibnu Sina telah mempelajari bahasa Parsi dan Arab sejak kecil lagi. Ketika beliau berumur 10 tahun,
beliau telah menghafal al- Quran dan mula mempelajari ilmu perubatan ketika berumur 16 tahun. Beliau

safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 1/7
12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

turut mempelajari ilmu mantik dari Abdullah Natili iaitu seorang ahli falsafah yang terkenal pada masa itu. (
Hery Sucipto, 2003: 113 )

Dua tahun kemudian, beliau menjadi terkenal kerana dapat menyembuhkan Nuh bin Mansur,
pemerintah kerajaan Samaniyah setelah doktor-doktor lain yang berpengalaman gagal merawat sultan. Beliau
turut dilantik sebagai doktor istana, melalui kesempatan ini, beliau dapat menggunakan perpustakaan istana
yang sangat kaya dengan beraneka jenis buku. ( Ismail Bin Saad, 1985: 50)

Selama beberapa tahun, beliau telah mengembara di Transoxiana dan Iran sambil berkhidmat dengan
pembesar-pembesar tempatan. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, dan sebagai ahli
pemerintah Shamsul al- Daulah di Hamedan. Kematian pemerintah tersebut telah menyebabkan beliau
dipenjarakan selama empat bulan. Sepanjang tempoh beliau di dalam penjara, beliau telah menghasilkan tiga
buah buku. Setelah dibebaskan, beliau kembali ke tempat kelahirannya dan berkhidmat sebagai doktor
perubatan kepada Ata’ al- Dawlah. ( Samsu Adabi Mamat, 2002: 107)

Beliau merupakan tokoh perubatan islam dan tokoh falsafah yang berpengaruh dikalangan cerdik
pandai barat dan mendapat gelaran “ Putera Di kalangan Tokoh Perubatan ”. Kecintaannya terhadap ilmu
telah mendorongnya meneroka semua cabang falsafah dan sains sehingga terhasilnya karya-karyanya yang
meliputi logik, mistik, perubatan, falsafah, politik, kesusasteraan, matematik, astronomi dan muzik. Beliau
meninggal dunia ketika berusia 57 tahun, dan makamnya terletak di Hamedan.

3.0 KARYA IBNU SINA

Ibnu Sina telah menulis begitu banyak karya mengenai perubatan dalam bahasa Arab dan beberapa buah
karyanya dalam bahasa parsi yang merungkai tentang penyakit-penyakit tertentu di samping puisi dan sajak
yang meringkaskan asas-asas ilmu perubatan serta memudahkan hafalannya.

Beliau mampu menulis 50 halaman sehari dan menyusun tidak kurang daripada 238 buku dan risalah.
Antara karyanya ialah Al- Qanun Fit- Tib, merupakan tentang perubatan, Asy – Syifa’ dan An –
Najattentang falsafah, Al- Magest, tentang geometri dan ilmu hisab, Danish Namei’ Alai dan kitab Al-
Insaf serta karya-karya tentang kesusasteraan dan leksikografi. Selain itu, kitab Nafiq, iaitu berkaitan logik
yang diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan diterbitkan pada tahun 1658 M di Paris, Pembahagian
Ilmu, karya tentang ilmu muzik, manakala De Conglutiatione Lapidum merupakan karya astronomi yang
diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, di mana karya ini meghuraikan terciptanya gunung dan kerak bumi,
kitab As- Siasah yang mengandungi beberapa unsur iaitu pendidikan sebagai landasan utama, rumah tangga
dan politik Negara. ( Samsu Adabi Mamat, 2002: 107-108 )

3.1 Karya Kitab Qanun At-tibb

Karya Ibnu Sina yang telah menjadikannya terkenal dan dikenali sehingga sekarang ialah melalui buku
Qanun fi al – Thibb ( Canon Of Mecine ). Buku ini dianggap “ kitab suci ” ilmu perubatan dunia dan telah
safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 2/7
12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

menguasai kaedah rawatan Eropah selama lebih kurang 500 tahun. Buku ini turut menjadi panduan wajib
mahasiswa perubatan di Eropah dan telah diterjemahkan dalam bahasa Ibrani, Latin, Perancis, Sepanyol, Itali
dan sebagainya. ( Nurul Hanim Abdullah, 2012: 126 )

Penghasilan buku ini telah membantu para doktor mengenalpasti akan sifat penyakit menular seperti
tuberculosis (TBC ), penyebaran penyakit melalui air dan tanah dan interaksi antara ilmu psikologi dan
perubatan. Ibnu Sina juga merupakan manusia pertama yang menjelaskan tentang penyakit meningitis (
radang selaput otak ) serta memberi penjelasan yang padat mengenai anatomi, ginekologi, kesihatan kanak-
kanak, serta menemui rawatan kelainan Lachrymal Fistula yang disusuli dengan penyelidikan perubatan
mengenai saluran pembuluh darah.

Ibnu Sina juga berjaya menemui pengaruh persekitaran pada jangkitan dan pengenalan kaedah
kuarantin, teori penyebaran penyakit, ujian klinikal dan eksperimen bahan ubat. Beliau juga mampu
menjelaskan perbezaan antara bakteria dan virus serta mendiagnosis penyakit THT dengan menggunakan
mikroskop spekula khusus, serta melakukan diagnosis dengan jari untuk membezakan berbagai jenis
bengkak. ( Nurul Hanim Abdullah, 2012: 127 )

Kitab Qanun turut menjadi rujukan dalam penyelidikan anatomi yang memberi penjelasan terperinci
mengenai sklera, kornea, koroid, iris, retina, lensa, urat saraf, begitu juga tentang optic chiasma. Dalam
mendalami ilmu anatomi, Ibnu Sina menentang sikap andaian atau meneka. Beliau menegaskan supaya para
pakar ilmu fizik dan ilmu bedah menggunakan asas pengetahuan untuk mengkaji mengenai tubuh manusia.
Beliau turut mengamati bahawa aorta sebenarnya terdiri daripada tiga saluran yang terbuka semasa darah
mengalir dari dalam jantung selama berfungsi dan tertutup semasa rehat sehingga tidak akan berlaku luapan
aliran darah ke dalam jantung.

Ibnu Sina juga merupakan ahli dalam bidang pergigian, beliau menjelaskan secara terperinci dengan
menggunakan rumusan yang luar biasa mengenai lubang gigi. Beliau mengatakan bahawa “ tujuan perubatan
membatasi apa yang dimakan, iaitu dengan memindahkan plak - plak gigi yang merosak, dan meleraikan
komponen yang menyebabkan kerosakan. Oleh hal demikian, cara pertama dalam perubatan gigi ialah
dengan menjaga keseimbangannya, dengan cara mempersiapkan lubang gusi agar kosong secara berterusan.
Caranya ialah dengan menghilangkan komponen lubang gigi dan diperkuatkan dengan penampalan dengan
komponen gigi yang sesuai untuk menggantikan komponen yang hilang yang digunakan dalam gigi.
Seterusnya gigi dapat berfungsi kembali ”. ( Prof. Dr. Raghib As- Sirjani, 2011: 276 )

Di dalam kitab Qanun, Ibnu Sina turut menjelaskan tentang hubungan antara emosi dan perubahan
sistem badan, fisiologi tidur, kepentingan memurnikan air untuk diminum, pengaruh iklim terhadap kesihatan
dan penyakit, kepentingan pemakanan, pemberian ubat melalui uretra, penggunaan tampon vagina,
penggunaan anestetik secara oral, penggunaan haiwan dalam ujian kekuatan ubat dan rawatan penyakit gila
secara cetusan malaria buatan. Ibnu Sina turut membincangkan tentang penyakit- penyakit seperti tetanus,
pleuritis, kejangkitan tuberkulosis, antraks dan diabetes mellitus. Beliau juga merupakan orang pertama yang
membincangkan mengenai neuralgia trigeminal dan membezakan paralisis pusat (sentral ) daripada periferi.
Beliau turut memberi tanggapan mengenai penyusuan bayi bahawa susu ibu adalah paling baik.

safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 3/7
12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

Beliau turut membincangkan tentang proses persediaan ubat seperti menumbuk, dan meramas. Beliau
menyenarai pelbagai ubat seperti antidote, pes, preservative, jem, lozeng, pil, minyak, salap dan infusi.
Senarai ini dilengkapi dengan nama sebatian, penggunaan, cara perediaan dan penyimpanan. Beliau juga
menyentuh mengenai penggunaan dos dan menasihatkan supaya menggunakan rawatan secara simptomatik
jika etiologi penyakit tidak jelas. ( Ismail Bin Saad, 1985: 52 )

4.0 SEJARAH FALSAFAH

Perkataan falsafah berasal daripada gabungan dua perkataan Greek, iaituphilein yang membawa maksud ‘
menyintai ’ dan sophos bermaksud ‘ hikmah ’. Oleh itu, falsafah bermaksud ‘ kecintaan terhadap hikmah ’
dan ahli falsafah bermaksud ‘ orang yang menyintai hikmah ’. berdasarkan etimologi ini, terdapat dua
perkara utama, iaitu kemungkinan menyintai sesuatu walaupun tanpa memilikinya dan yang kedua ialah
hikmah yang digunakan dalam konteks aktiviti intelektual dalam apa jua bidang ilmu, pemahaman,
pengalaman moral, percambahan sudut pandangan dan sikap yang membawa kebahagiaan ( Ahmad
Sunawari Long, 2008 : 9 ).

Menurut Phytagoras yang dikenali sebagai “ a lover of wisdom ” iaitu pencinta kebijaksanaan atau
kebenaran, tetapi falsafah bukan hanya beerti kebenaran, ianya juga bermaksud berfikir secara benar. Selain
itu, falsafah menerangkan segala sesuatu dalam erti kata lain mencari fakta-fakta kebenaran yang merupakan
hakikat daripada sesuatu itu ( Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh, 1970:6).

Menurut definisi falsafah islam, falsafah telah melahirkan beberapa pengertian atau definisi yang
tidak terlepas daripada keyakinan atau cara berfikir orang yang membuatnya. Terdapat pelbagai definisi ilmu
falsafah yang masing-masing berbeza menurut apa yang diutamakan oleh penciptanya. Pengaruh keyakinan
hidup seseorang ahli falsafah, begitu juga keadaan ia beragama serta kepercayaan kepada konsep ketuhanan
sebagai yang disebut dalam agama atau tidak, dan selalu disalurkan ke dalam kata-kata yang digunakan
untuk meringkaskan pengertian falsafah itu.

Dr. A. Vloemans mengemukakan beberapa definisi falsafah melalui


kitabnya ‘Voorbereiding tot de Wijsbegeerte’ antaranya melalui pendapat Cicero yang
berpendapat bahawa falsafah itu adalah pengetahuan tentang sesuatu yang maha agung dan tentang usaha
untuk mencapai yang tersebut. Falsafah juga adalah induk dari segala ilmu pengetahuan, sesuatu yang
diciptakan Tuhan.

Menurut Dr. Hasbullah Bakry ilmu falsafah ialah ilmu yang menyelidiki segala sesuatu dengan
mendalam mengenai ketuhanan, alam semesta dan manusia sehingga dapat menghasilkan pengetahuan
tentang bagaimana hakikat dan sejauh mana akal manusia dapat mencapai pengetahuan itu serta bagaimana
sikap manusia setelah mencapai pengetahuan tersebut ( Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh, 1970:6).

4.1 FALSAFAH IBNU SINA

safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 4/7
12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

4.1.1 ILMU LOGIK

Logik berasal daripada perkataan Yunani iaitu logos yang bermaksud pemikiran, pernyataan dan pengucapan.
Selain itu, logik juga dapat didefinisikan sebagai ilmu yang menyelidik kebenaran pemikiran manusia
melalui proses analisis dan kuasa pengadilan. Oleh itu, terdapat berbagai jenis logik bergantung pada
penaklukan yang digunakan sama ada kaedah deduksi atau induksi dalam memastikan kebenaran sesuatu
usul itu diperolehi.

Kaedah deduksi bermaksud penyataan yang bersifat kesimpulan atau rumusan umum kepada
penyataan yang bersifat khusus. Contohnya, semua sayur mengandungi vitamin, vitamin baik untuk
kesihatan, justeru semua sayur baik untuk kesihatan. Kaedah induksi pula bermaksud penyataan khusus
kepada penyataan umum. Contohnya Ali adalah manusia, manusia adalah sejenis haiwan yang dapat berfikir,
maka Ali adalah haiwan yang dapat berfikir ( Mardzah Makhsin 2006: 7 )

Ibnu Sina menyatakan bahawa logik merupakan kunci falsafah, pencarian ke atasnya merupakan
kunci kebahagiaan manusia. Logik membantu menarik konsep-konsep dan penilaian yang belum diketahui
dari konsep-konsep dan penilaian-penilaian yang sudah diketahui sehingga meningkatkan pengetahuan kita,
sebagaimana menurut Ibnu Sina pengetahuan dapat dicapai melalui penggunaan logik. Fungsi logik adalah
membuka jalan untuk mengetahui sifat-sifat dasar sesuatu dengan mengambarkan sifat-sifat dasar tersebut
sebagai subjek dan predikat, individual atau universal atau partikular ( K.H.Muhammad Sholikin, 2008:
154).

Tujuan utama logik adalah menyediakan kita beberapa aturan yang akan menguatkan kita supaya
tidak melakukan kesalahan penalaran. Penalaran merupakan data awal pengalaman atau prinsip-prinsip
pertama pemahaman. Selain itu, penalaran merupakan deduksi yang dihasilkan dan diturunkan dari
pengetahuan terdahulu dan tidak terbatas. Ianya harus memilki titik permulaan yang akan menjadi asas dari
keseluruhan struktur logik. Titik permulaan tidak akan didirikan di dalam logik itu sendiri, tetapi di luarnya.
Ini jelas menunjukkan bahawa logik tersebut merupakan sistem formal dan tidak berkait dengan kebenaran
atau kesalahan.

Ilmu pengetahuan didasarkan atas pengalaman dan penalaran. Ilmu pengetahuan merupakan objek ,
pertanyaan dan premis-premis. Ilmu pengetahuan yang berbeza mempunyai kedudukan hierarki yang sesuai
dengan objek bahasanya, di mana perkara yang lebih abstrak berada di kedudukan tertinggi. Logik
mempunyai persamaan khusus dengan matematik, tetapi menurut Ibnu Sina, ilmu matematik memiliki
kapasiti yang dibentangkan oleh deria dan dikawal oleh imaginasi. Sementara itu, ilmu logika hanya wujud
dalam intelektual murni. Oleh itu, ilmu logika lebih formal daripada matematik sehingga kedudukannya lebih
tinggi daripadanya. (Saeed Syaikh, 1994: 90-93 ).

4.1.2 Psikologi

safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 5/7
12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

Ibnu Sina turut terkenal dengan hujah- hujah falsafahnya yang boleh diterima oleh masyarakat,
antaranya ialah falsafahnya yang membincangkan mengenai jiwa manusia. Menurut beliau, manusia terdiri
daripada tiga jiwa yang membentuk tingkah lakunya. Setiapnya mempunyai fungsi dan keperluan yang
tersendiri, saling berkait antara satu sama lain dan bertindak secara sepadu yang akan mewujudkan tingkah
laku manusia. Antara tiga jiwa tersebut ialah jiwa sensitif, jiwa rasional dan agen intelek.

Manusia mempunyai jiwa sensitif iaitu di dalamnya mempunyai deria luaran yang membolehkan
seseorang menghidu, merasa, menyentuh, mendengar dan melihat. Deria ini disebut sebagai pancaindera
manusia yang secara langsung dapat memberi rangsangan terhadap persekitaran.

Deria dalaman pula meliputi akal budi ( common sense ), daya ingatan berimaginasi ( retentive
imagination ), imaginasi kehaiwanan ( animal imagination ), imaginasi keinsanan, anggapan ( estimation
),memori dan ingatan semula ( recollection ). Nafsu (appetite ) merupakan tempat dimana diri merasakan
keenakan dan kesengsaraan, suka, seronok, duka atau benci dan sebagainya.

Jiwa rasional merangkumi intelek praktikal dan intelek berfikir. Intek praktikal dapat memerhatikan
sesuatu fenomena secara impirik dan pengalaman praktik dalam kehidupan manusia. Selain itu, intelek
berfikir dapat mencerap sesuatu fenomena dalam pemikiran dan minda secara konseptual.

Melalui kedua- dua ini, jiwa rasional membolehkan manusia berfikir dan berhujah secara rasional dan
mampu membuat analisis juga sintesis terhadap segala fenomena yang dicerap. Manusia juga dapat berfikir
secara logik sebagaimana dikemukakan oleh ilmuan sains Barat Moden. Bezanya ialah, inttelek berfikir ini
berada di bawah agen intelek yang merupakan agen tertinggi manusia.

Menurut Ibnu Sina, agen ini intelek merupakan agen yang tertinggi dalam perkembangan intelek
manusia. Agen ini terdapat dalam diri manusia yang boleh memberikan makna tentang sesuatu yang dapat
dirasai oleh jiwa sensitif dan jiwa rasional. Kehadiran makna dalam diri manusia inilah yang membangunkan
ilmu dalam diri manusia. Agen intelek juga dinamakan sebagai agen intuitif atau ilham. Ilham bukanlah ilmu
yang datang secara tiba- tiba ke dalam diri manusia tanpa proses pencerapan, pemerhatian, pemikiran secara
rasional, membuat perbandingan fakta dan maklumat dan menganalisis, sebaliknya dengan bantuan akal yang
rasional inilah ilham akan tiba dalam diri insan. ( Mohd Yusof Othman, 1998 : 48 )

5.0 KRITIKAN PEMIKIRAN IBNU SINA

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan
perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk
mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras
untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-
angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah
menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan
Nasrani. Ini kerana Tuhan merupakan Zat Yang Maha Berkuasa dan Pencipta alam ini.

safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 6/7
12/23/2020 pelabuhan ilmu: TOKOH FALSAFAH IBNU SINA

Walau bagaimanapun, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. Dalam
buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud"
ialah satu. Situasi ini membawa maksud, manusia haruslah menyembah hanya kepada Allah yang satu dan
paling Agung di muka bumi ini. Allah juga yang telah menjadikan semua makhluk dan alam ini mengikut
apa yang dikehendakiNya. Menurutnya lagi, Allah tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-
apa cara sekalipun dan beliau turut menegaskan bahawa segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit
daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.

6.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, Ibnu Sina telah banyak memberikan sumbangan terhadap tamadun Islam khususnya
dalam bidang perubatan. Beliau seorang yang tidak mengenal putus asa, sebab itulah beliau berusaha
bersungguh-sungguh dalam mempelajari sesuatu ilmu dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Selain itu, Ibnu Sina juga seorang yang taat beragama. Beliau sering ke masjid untuk meminta
hidayah kepada Allah SWT serta berdoa kepada Allah SWT terutama apabila menghadapi kebuntuan dalam
menyelesaikan sesuatu masalah. Ibnu Sina memiliki akal yang cerdas dan sangat tekun dalam mempelajari
sesuatu. Ini kerana beliau pernah membaca buku metafizik karangan Aristotle sebanyak 40 kali.

Ibnu Sina juga mahir dalam bidang anatomi iaitu mengenai kedudukan organ dan tubuh badan
manusia. Beliau merupakan orang pertama yang membuat kajian tentang fungsi mata iaitu penglihatan dan
fungsi mata. Walaupun Ibnu Sina terkenal dengan ilmu perubatan, beliau juga pakar dalam kemahiran lain
seperti matematik, falsafah dan agama.

Ketiadaan Ibnu Sina dianggap sebagai kehilangan yang amat besar kepada dunia kerana beliau
merupakan seorang yang berilmu pengetahuan tinggi dan berpengalaman. Oleh itu, kita sebagai umat Islam
haruslah mempunyai semangat berusaha dan jangan cepat putus asa seperti Ibnu Sina. Sesungguhnya, Ibnu
Sina bukan sahaja masyhur dalam bidang perubatan, malah hebat dalam bidang falsafah mengatasi gurunya
sendiri, Abu Al-Nasr Al-Farabi (Al-Farabi).

safiothman.blogspot.com/2013/11/v-behaviorurldefaultvmlo.html 7/7

You might also like