You are on page 1of 2

Perbandingan masyarakat England dan Jepun.

(FELICIA PAYA FRANCIS)

1. Bandingkan ciri-ciri masyarakat feudal di England dan Jepun pada abad ke-16 hingga abad ke-17.

Sistem feudal ditakrifkan sebagai sebuah kerajaan politik tempatan yang ditadbir oleh
individu-individu tertentu dan bukan wakil oleh kerajaan pusat. Mengikut sistem ini, kedudukan
seseorang individu adalah mengikut sistem kelas bersusun lapis mengikut hierarki. Masyarakat feudal
menerangkan maksud susun lapis sosial masyarakat yang berhierarki. Masyarakat feudal di England
dan Jepun mempunyai ciri-ciri tersendiri pada abad ke-16 dan ke-17. Jepun pada abad ke-17 berada
di bawah tapuk pemerintahan Keshogunan Tokugawa, manakala England pula berada di bawah
sistem pemerintahan monarki mutlak yang baru. Ciri-ciri masyarakat feudal boleh dilihat dari sudut
taraf kedudukan raja, kewajipan peribadi, mobiliti sosial, golongan pahlawan, peralatan
perang, dan pemilikan tanah.

Perbandingan ciri-ciri antara masyarakat feudal di England dan Jepun yang pertama dapat
dilihat dari sudut taraf kedudukan raja. Mengikut susun lapis masyarakat feudal di Jepun dan
England pada abad ke-17, raja atau maharaja berada di kedudukan yang tertinggi. Raja di England
mempunyai kuasa yang mutlak dalam bidang pentadbiran, perundangan, dan kehakiman. Raja di
England berusaha mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai raja.
Pada zaman Keshogunan Tokugawa di Jepun, maharaja hanya berperanan sebagai ketua negara
dan menjadi lambang kerohanian dan ketuhanan, tetapi kuasa sebenar pemerintahan terletak di
tangan shogun. Oleh sebab shogun lebih berkuasa daripada maharaja, beliau mengambil beberapa
langkah untuk mengukuhkan kedudukan dan kekuasannya.

Selain itu, perbandingan ciri-ciri yang seterusnya dapat dilihat dari sudut kewajipan
peribadi. Dalam masyarakat feudal di England, wujud hubungan peribadi antara lord (tuan tanah)
dan vassal (penyewa tanah) berasakan ikatan perjanjian (kontrak). Mengikut perjanjian tersebut,
kedua-dua pihak, iaitu lord dan vassal saling bertanggungjawab menjaga kepentingan bersama.
Maksudnya, lord menawarkan perlindungan dan jaminan keselamatan manakala vassal menawarkan
perkhidmatan seperti ketenteraan kepada vassal. Manakala dalam masyarakat feudal di Jepun, wujud
hubungan peribadi antara shogun dengan daimyo (tuan tanah). Shogun menyerahkan tanah kepada
golongan daimyo yang setia kepadanya. Sebagai balasan, daimyo akan membantu shogun dalam
pentadbiran dan ketenteraan. Dalam hal ini, kedua-dua pihak saling bertanggungjawab menjaga
kepentingan bersama, iaitu satu pihak memberi perlindungan manakala satu pihak lagi menawarkan
perkhidmatan dalam pentadbiran dan ketenteraan.

Seterusnya, masyarakat feudal di England dan Jepun dapat dibandingkan dari segi sudut
mobiliti sosial. Masyarakat feudal pada Zaman Pertengahan di England merupakan masyarakat
yang bersusun lapis. Setiap lapisan mempunyai kedudukan ekonomi, politik, dan sosial yang
berlainan. Perubahan dalam kedudukan sosial dan status masyarakat jarang berlaku. Oleh itu,
mobiliti sosial dalam kalangan masyarakat feudal di England tidak berlaku. Keadaan yang sama
berlaku di Jepun, iaitu kedudukan dan status masyarakat di Jepun berasaskan keturunan dan sistem
kelas. Masyarakatnya terdiri daripada beberapa lapisan. Setiap lapisan masyarakat feudal di Jepun
mempunyai kedudukan ekonomi, sosial, dan politik yang berlainan. Oleh itu, perubahan status dan
mobiliti sosial dalam masyarakat feudal di Jepun jarang berlaku.

Di samping itu, terdapat juga perbandingan antara pahlawan dalam masyarakat feudal di
England dan Jepun. Golongan pahlawan yang dikenali sebagai knight berada di bawah golongan
bangsawan dalam susun lapis masyarakat feudal di England. Golongan knight memainkan peranan
yang penting dalam memberikan perkhidmatan dalam bidang ketenteraan kepada raja dan lord.
Knight terikat dengan konsep kavalri. Knight di England buta huruf dan menawarkan perkhidmatan
dalam bidang ketenteraan sahaja serta tidak berminat untuk berkecimpung dalam bidang yang lain
seperti bidang kesenian dan intelektual. Sebagai balasan terhadap perkhidmatan yang diberikan,
golongan knight diberikan ganjaran dalam bentuk tanah dan harta. Golongan pahlawan dalam sistem
feudal di Jepun yang dikenali sebagai samurai berbeza daripada pahlawan di England. Samurai
berkhidmat dengan golongan bangsawan dan terikat dengan konsep bushido. Pahlawan di Jepun
berminat untuk melibatkan diri dalam bidang kesenian dan kesarjanaan. Pemilikan ilmu dianggap
mulia dalam kalangan pahlawan di Jepun. Oleh itu, golongan samurai di Jepun merupakan golongan
yang berpendidikan dan tahu membaca serta menulis. Namun begitu, samurai di Jepun tidak
diberikan ganjaran berbentuk tanah sebaliknya berbentuk bekalan beras.

Seterusnya, perbandingan antara masyarakat feudal di england juga dapat dilihat dari sudut
peralatan perang. Semasa peperangan, samurai dan knight telah menggunakan peralatan perang
untuk membantu mereka mempertahankan negara dan memperoleh kemenangan dalam
peperangan. Golongan knight di England menggunakan peralatan perang seperti pedang dan baju
perisai untuk mempertahankan diri. Begitu juga dengan golongan samurai di Jepun, iaitu
menggunakan peralatan peperangan yang sama seperti pedang dan baju perisai. Baju perisai yang
digunakan oleh knight di England diperbuat daripada besi. Manakala, golongan samurai di Jepun
menggunakan baju perisai yang diperbuat daripada logam atau sutera. Knight menggunakan kuda
dalam medan peperangan. Namun, samurai di Jepun tidak menggunakan kuda dalam medan
peperangan.

Tambahan pula, masyarakat feudal di England dan Jepun dapat dibandingkan melalui aspek
pemilikan tanah. Di England, raja akan mengurniakan tanah kepada golongan bangsawan manakala
golongan bangsawan akan menyediakan perkhidmatan tentera kepada raja. Tanah yang di bawah
penguasaan golongan bangsawan di England ini dikenali sebagai manor. Pada zaman Keshogunan
Tokugawa di Jepun, wilayah diserahkan kepada vassal yang setia kepada shogun. Shogun pula akan
memberikan tanah kepada daimyo, iaitu tuan tanah yang setia kepadanya. Shogun berhak melantik
pegawai-pegawai yang dikenali sebagai Gundai atau Daikan untuk mentadbir dan meguruskan tanah
miliknya.

Kesimpulannya, masyarakat feudal di England dan Jepun mempunyai ciri-ciri yang sama dan
berbeza. Masyarakat feudal di kedua-dua buah negara ini saling bergantung antara satu sama lain.

You might also like