You are on page 1of 2

Huraikan sumbangan masyarakat agraria di Belanda dalam teknologi pertanian

pada abad ke-16 dan 17 Masihi.

Masyarakat Agraria merupakan masyarakat yang bergantung kepada kegiatan


pertanian sebagai sumber kehidupan mereka. Masyarakat agraria mengutamakan
aktiviti bercucuk tanam dan penternakan sebagai sumber ekonomi mereka. Masyarakat
agraria menetap di kawasan pertanian yang subur dan sesuai untuk menjalankan
kegiatan pertanian. Mereka tinggal di kawasan lembah sungai yang mempunyai
mendapan tanah lanar yang subur. Antara kawasan tanah lanar yang subur dan
menjadi tumpuan penempatan masyarakat agraria di Belanda ialah di wilayah
Friesland, Zeeland, Flanders dan Utrect. Terdapat pelbagai sumbangan masyarakat
agraria dalam teknologi pertanian di Belanda pada abad ke-16 dan 17 Masihi.

Antara sumbangan penting masyarakat agraria di Belanda dalam teknologi pertanian


ialah pembinaan sistem pengairan. Mereka berkemahiran dalam pembinaan terusan, kolam
takungan air dan tali air dengan tujuan untuk mengairi kawasan pertanian. Hal ini
membolehkan mereka menyalurkan air dari sungai ke kawasan pertanian. Masyarakat agraria
di Belanda juga membina kincir angin untuk menyalurkan air daripada tanah yang ditebus
guna bagi tujuan pertanian. Dengan adanya sistem pengairan yang sistematik, kawasan
pertanian dapat diperluaskan dan diusahakan secara intensif.

Masyarakat agraria di Belanda juga turut mencipta pelbagai teknik dan kaedah untuk
meningkatkan kesuburan tanah pertanian. Baja asli digunakan untuk meningkatkan kesuburan
tanah pertanian. Baja asli ini merupakan najis binatang ternakan yang diperoleh daripada
haiwan ternakan seperti lembu dan kambing. Petani-petani menternak lembu dan kambing
terutamanya di Friesland dan Pulau Grind bagi tujuan mendapatkan baja. Mereka juga turut
membuang rumput dan tanaman perosak yang sering mengganggu tumbesaran tanaman.
Antara lain, mereka juga melakukan aktiviti pemugaran dan sistem tanaman giliran untuk
memelihara kesuburan tanah pertanian. Terbukti bahawa para petani di Belanda mempunyai
pelbagai kaedah bagi memastikan tanah pertanian mereka sentiasa subur.

Selain itu, masyarakat agraria di Belanda turut menyumbang dari segi pengenalan
kaedah pertanian yang baharu. Antara kaedah petanian yang digunakan ialah kaedah
penggiliran tanaman. Para petani menanam sengkuang dan kekacang berselang dengan
tanaman bijirin. Sistem ini dipraktikkan dengan meluas di Wilayah Wales pada tahun 1644
dan terus diamalkan di selatan Edegem di wilayah Brabant pada tahun 1800. Menurut
pengkaji-pengkaji dari England seperti Robert Bakewell dan Lord Townshend, petani-petani
di Belanda merupakan perintis kepada pengenalan sistem pengiliran tanaman. Pengenalan
sistem penggiliran tanaman ini telah menyebabkan sistem tanah rang yang diamalkan
sebelum ini dimansuhkan. Petani-petani bukan sahaja menggunakan kaedah penggiliran
tanaman, malah memperkenalkan sistem tanaman deretan, penggunaan sistem batas dan
pelbagai kaedah yang lain dalam kegiatan pertanian mereka. Jelaslah bahawa masyarakat
agraria turut menyumbang kepada pengenalan kaedah baharu pertanian dalam teknologi
pertanian mereka.
      Di samping itu, masyarakat agraria di Belanda turut mencetuskan idea dengan aktiviti
penambakan laut untuk meluaskan kawasan pertanian. Kesannya pada suku pertama abad ke-
17 kerajaan Belanda bukan sahaja berjaya meningkatkan keluasan kawasan pertanian tetapi
juga meningkatkan hasil pertanian. Keluasan tanah yang ditebus guna untuk pertanian di
negara Belanda telah dijalankan dari tahun 1545 sehingga tahun 1814. Muara Sungai
Middeizee ditambak bagi tujuan menebus guna tanah tersebut untuk tujuan pertanian.
Menjelang pertengahan abad ke-17 M, sebahagian besar tanah di wilayah Zeeland di
tebus guna untuk tujuan pertanian. Di seluruh wilayah Zeeland, tanah yang ditebus
guna meningkat kepada 49%, iaitu daripada 85 000 hektar kepada 127 000 hektar
menjelang tahun 1600 dan 1680. Terbukti bahawa masyarakat agraria di Belanda
mempunyai kepakaran dalam menebus guna tanah untuk tujuan pertanian.

Akhir sekali, masyarakat agraria di Belanda juga turut menyumbang dari segi
penciptaan peralatan pertanian. Penciptaan peralatan membolehkan kegiatan
pertanian dijalankan dengan lebih mudah dan cepat. Antara peralatan yang dicipta ialah
sejenis tenggala baharu yang digunakan oleh petani di Gelderland. Mereka juga
mencipta tenggala beroda dan mesin menampi bijirin. Peralatan yang dihasilkan ini
digunakan secara meluas oleh petani-petani pada abad ke-16 dan 17. Ringkasnya,
peralatan pertanian yang diciptakan ini adalah sesuatu yang baharu pada ketika ini dan
secara tidak langsung memudahkan kerja-kerja pertanian .

Kesimpulannya, terbukti bahawa masyarakat agraria di Belanda memberi


banyak sumbangan dalam memajukan kegiatan pertanian. Penciptaan peralatan, sistem
pengairan dan kaedah pertanian baharu ternyata dapat meningkatkan hasil pertanian
di Belanda. Pada abad ke-16 dan 17, Belanda telah muncul sebagai negara pertanian
yang terkenal di Eropah kerana kemampuan mengeluar hasil-hasil pertanian berkualiti
seperti bijirin, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang segar. Belanda mampu menjadi
pembekal kepada beberapa negara Eropah. Teknologi pertanian yang digunakan ini
masih menjadi amalan oleh petani-petani pada zaman moden ini.

Penegasan + pandangan + kesan + kesinambungan masa hadapan

You might also like