You are on page 1of 2

Sistem Pembelajaran Bahasa Inggeris Perlu Pendekatan Baharu

Ditulis oleh : Mohd Norhiesyam Bin Kamaludin


Guru KPM

Assalamualaikum...
Bismillahirahmanirahim....
Segala puji-pujian ke atas Allah swt dan junjungan Nabi Muhammad saw, Ammabaq...

Usaha murni Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mempertingkatkan tahap penguasaan


Bahasa Inggeris di kalangan pelajar khususnya pelajar bumiputera adalah merupakan satu
langkah yang terpuji. Subjek Bahasa Inggeris adalah merupakan satu subjek yang cukup
penting. Namun bagi kebanyakan pelajar bumiputera kita terutamanya di luar bandar ianya
cukup sinonim sebagai satu subjek yang fobia . Fenomena ini bukanlah merupakan suatu
perkara yang baru, tetapi fobia ini telah berakar umbi sejak berzaman lagi. Istilah fobia inilah
yang merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan peratus pencapaian
Bahasa inggeris.

Telah berdekad lamanya isu kelemahan pelajar dalam subjek Bahasa Inggeris ini wujud.
Semenjak daripada tadika hinggalah ke tingkatan lima Bahasa Inggeris dipelajari, namun
kemampuan pelajar kita dalam menguasai Bahasa Inggeris tidak pernah menampakkan
perubahan yang ketara. Pelbagai inisiatif telah dilakukan, namum nilai keberhasilannya
tetap berputar pada skala yang sederhana hingga ke hari ini. Persepsi bahawa Bahasa
Inggeris itu susah dan membosankan masih lagi menebal dalam diri pelajar yang sukar untuk
diubah supaya mereka mempunyai satu minda yang positif terhadap Bahasa Inggeris. Selagi
situasi ini tidak ditangani, maka selagi itulah permasalahan ini akan terus menjadi duri
dalam daging dalam kita mencari jawapan kepada jalan penyelesaiannya.

Penyelesaian kepada isu ini ialah sistem pembelajaran Bahasa Inggeris perlu kepada cara
pendekatan yang baru. Sistem yang ada sekarang perlukan kepada penambahbaikan. Sistem
pembelajaran Bahasa Inggeris sekarang secara keseluruhannya berfokuskan kepada
penilaian peperiksaan yang memerlukan pelajar mesti belajar untuk lulus. Bab belajar inilah
bukannya kegemaran para pelajar kita. Apatah lagi untuk belajar Bahasa Inggeris. Bermacam
ragam pelajar kita apabila dikaitkan dengan deskripsi Bahasa Inggeris itu. Ada pelajar yang
cemerlang, tetapi gred Bahasa Inggerisnya rendah. Ada juga yang gred Bahasa Inggerisnya
bagus, tetapi tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris. Terdapat juga
yang boleh berbahasa Inggeris tetapi gred markahnya rendah. Paling malang sekali, pelajar
yang lemah semua subjek termasuklah Bahasa Inggeris. Ketidakseragaman ini memberi erti
bahawa sistem pembelajaran Bahasa Inggeris perlu kepada satu standard yang baru.
Dunia globalisasi dan modenisasi sekarang ini menuntut umat manusia faham dan mampu
berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris supaya kita tidak ketinggalan dalam arus rentak
kemajuan moden. Faham dan boleh berbahasa Inggeris sebenarnya sudah memadai pada
dunia sekarang ini. Tetapi dalam isu Bahasa Inggeris ini, kita masih lagi terikat dengan
sistem peperiksaan. Peperiksaan itu menjadi kayu ukur kepada tahap penguasaan Bahasa
Inggeris seseorang itu. Lulus dengan cemerlang, maka bererti baguslah penguasaan Bahasa
Inggeris seseorang itu. Tanggapan ini sebenarnya sudah tidak boleh diambil kira lagi pada
masa kini.

Pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah sekarang ini lebih menekankan kepada


kemahiran menguasai grammar, sedangkan penguasaan asas Bahasa Inggeris itu sendiri
masih lagi belum dapat dikuasai oleh pelajar. Mempelajari hukum Bahasa Inggeris inilah
sebenarnya yang membosankan pelajar. Bagi pelajar, ianya amat susah untuk difahami.
Secara tidak langsungnya, pelajar akan belajar ala kadar sahaja tanpa mereka sedari bahawa
betapa pentingnya keperluan menguasai Bahasa Inggeris itu pada dunia hari ini.
Pembelajaran Bahasa Inggeris yang lebih kepada grammar ini hanyalah sesuai untuk pelajar
bandar yang sudah fasih berbahasa Inggeris untuk mereka lebih mendalami Bahasa Inggeris.
Kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris perlu ditukar kepada satu bentuk pembelajaran yang
baharu. Pembelajarannya mestilah lebih menjurus kepada kemahiran bertutur, mendengar
dan memahami pertuturan Bahasa Inggeris itu sendiri. Modul pelajaran hendaklah
menekankan kepada keupayaan pelajar untuk memahami pertuturan Bahasa Inggeris dan
mampu untuk membalas balik pertuturan tersebut. Pembelajarannya hendaklah lebih
kepada aktiviti perbualan seharian bagi memahirkan dan membiasakan murid untuk
bertutur Bahasa Inggeris. Peperiksaannya juga mestilah mengambil kira keupayaan pelajar
itu dalam memahami dan berbahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus peperiksaan.
Dengan cara ini, pelajar akan terdedah kepada dunia pertuturan Bahasa Inggeris yang akan
memberikan mereka keberanian dan keyakinan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Maka ramailah nanti rakyat Malaysia yang boleh berbahasa Inggeris.

Dunia pendidikan negara perlulah berani mengubah sistem pembelajaran Bahasa Inggeris
yang ada pada masa sekarang ini, sekiranya benar-benar berhasrat untuk melihat generasi
baharu yang mampu berbahasa Inggeris. Tetapi harus diingat, Bahasa Inggeris bukanlah
pengukur kepada kemajuan sesebuah negara. Ianya tidak lebih hanya sekadar pelengkap
kepada tuntutan kemajuan dunia globalisasi. Kemajuan yang dicapai akan lebih manis dan
bermakna sekiranya kita mendaulatkan bahasa ibunda sendiri lebih daripada bahasa lain.
Bahasa Jiwa Bangsa.

Sesungguhnya yang baik itu datang daipada Allah swt dan yang buruk itu datang daripada
kelemahan diri sendiri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Wallahualam.

You might also like