You are on page 1of 5

ASPIRASI MURID

3. KEMAHIRAN DWIBAHASA
Aspirasi murid yang ketiga di dalam PPPM menekan kemahiran dwi-bahasa dalam pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Pelaksanaan MBMMBI merupakan salah satu strategi yang dirancang
demi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa antarabangsa selaras dengan matlamat yang digariskan dalam PPPM 2013-2025.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha untuk
meningkatkan kemahiran dwi-bahasa dalam kalangan murid sama ada di sekolah rendah atau di
sekolah menengah. Usaha ini telah dimulakan dengan memperkenalkan dasar PPSMI pada tahun
2003. Setelah PPSMI dimansuhkan, kerajaan telah memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa
Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun 2013. Dasar ini diwujudkan
bermatlamat untuk melahirkan murid yang dapat menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
dengan fasih dan yakin. Aspek penguasaan bahasa menjadi tumpuan penting dalam proses
perubahan sistem pendidikan negara kerana pembentukan murid yang fasih dan yakin berbahasa
mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka serta memaksimumkan peluang kerjaya dalam
pasaran kerja dunia. (Dato’ Sri Dr. Khair, 2014)

Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan dua program dalam usaha menyokong
dasar MBMMBI dalam bajet 2016 iaitu melalui Dual Language Programme atau lebih dikenali
dengan DLP dan High Immersive Programme (HIP). Program DLP merupakan salah satu usaha
untuk memperkukuhkan Bahasa Inggeris di mana sekolah yang terpilih diberi peluang untuk
menawarkan pengajaran dan pembelajaran untuk beberapa subjek contohnya Sains, Matematik,
Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam mod dwi-bahasa
iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Program HIP pula adalah satu program bagi
meningkatkan kemahiran penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah. Melalui program ini, komuniti
sekolah terutamanya pentadbir dan guru digesa unruk meningkatkan penggunaan dan penguasaan
Bahasa Inggeris serta menanamkan sikap positif murid terhadap penggunaan Bahasa Inggeris
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Isu

Biarpun telah banyak dasar dan program yang telah dirangka oleh kerajaan dalam usaha
memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris, tahap keyakinan murid
dalam pertuturan terutamanya dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa masih lagi
menjadi kebimbangan di sekolah. Menurut Laporan Tahunan PPPM 2014, cabaran utama yang
dihadapi oleh guru mata pelajaran Bahasa Inggeris ialah melaksanakan strategi pengajaran dan
pembelajaran yang terbeza kerana terdapat pelbagai kumpulan murid dengan tahap penguasaan
Bahasa Inggeris yang berlainan dalam kelas pengajaran yang sama.

Antara faktor yang menyebabkan kurangnya keyakinan murid dalam penggunaan bahasa
Inggeris ialah faktor persekitaran. Faktor ini memainkan peranan penting dalam penguasaan
bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Ibu bapa, rakan dan guru merupakan individu yang boleh
membantu dalam menggalakkan murid menggunakan bahasa Inggeris contohnya sewaktu
perbualan harian murid. Sejak dari kecil lagi, penggunaan bahasa Inggeris patut diamalkan dalam
kalangan murid melalui perbualan dengan ibu bapa di rumah. Kebanyakan murid yang fasih dalam
bahasa Inggeris mengakui bahawa latihan berkomunikasi tersebut telah diasah sejak mereka kecil
lagi dan pendorong utama yang memberi keyakinan untuk murid berkomunikasi dalam bahasa
antarabangsa tersebut ialah ibu bapa. Selain itu, rakan-rakan dan guru di sekolah juga
membolehkan murid belajar berkomunikasi dan berkeyakinan untuk menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua. Sebagai contoh, murid yang berbangsa Cina dan India sering
menggunakan bahasa Inggeris apabila bergaul dengan rakan-rakan dan hal ini menjadikan murid
yakin dalam penggunaan bahasa Inggeris.

Di samping itu, faktor geografi juga menjadi salah satu penyebab murid tidak yakin untuk
berkomunikasi dan menghadapi masalah dalam bahasa Inggeris. Faktor jarak yang jauh dari
bandar, contohnya murid yang tinggal di pedalaman akan menghadapi kesukaran untuk mencapai
akses ICT dalam kehidupan. Hal ini menjadikan murid kurang pengetahuan dalam bahasa Inggeris
kerana murid boleh belajar dengan mudah dengan kewujudan pelbagai akses dan teknologi
maklumat di sekolah mahupun di rumah. Jurang pendidikan antara murid bandar dan luar bandar
tidak dapat dikesampingkan dalam usaha mewujudkan keyakinan dalam diri murid untuk
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Menurut dapatan kajian Siti Hamin (2007), penekanan
terhadap penulisan dalam bahasa Inggeris perlu diberi tumpuan terutama kepada pelaja-pelajar di
luar bandar. Hal ini kerana tahap literasi bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar luar Bandar
adalah sangat lemah.

Selain itu, masalah utama yang menyebabkan murid kurang berkeyakinan untuk
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ialah persepsi murid terhadap bahasa asing terutamanya
bahasa Inggeris. Biarpun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, usaha ini masih lagi
kurang mendapat sambutan dan belum 100% mencapai matlamat lantaran persepsi individu murid
yang menyatakan bahawa bahasa Inggeris susah untuk dipelajari. Menurut Gardner (1985),
kejayaan individu di dalam proses pembelajaran bahasa akan dipengaruhi oleh sikap dan
pandangan mereka terhadap komuniti bahasa lain. Justeru dalam usaha untuk meningkatkan
keyakinan murid, mereka haruslah mengubah persepsi terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa
komunikasi antarabangsa di Malaysia dan menanamkan pemikiran bahawa bahasa Inggeris mudah
untuk dipelajari.

Gardner. E. 1985. Social, Psychology in Second Language Learning. London: Edward Arnor.

Laporan Tahunan 2014 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia KPM:


http://www.moe.gov.my/images/pemberitahuan/2015/articlefile_file_004150.pdf

Dato’ Sri Dr. Khair (2014), Laporan Tahun 2015 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia KPM:
http://www.moe.gov.my/images/pemberitahuan/3Laporan%20Tahunan%202015%20PPPM%20
2013-2025%20(BM).pdf

Siti Hamin, Nadzrah, Rozmel (2007), Literasi Penulisan Bahasa Inggeris dalam kalangan Pelajar
Luar Bandar : Implikasi Terhadap Pengajaran dan Pembelajaran.
CADANGAN

Penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dewasa ini masih lagi menjadi masalah yang
tidak boleh dipandang remeh kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa yang penting dalam era
globalisasi ini. Menurut Chapman (2006), seramai 20 000 murid tahun Enam telah dikenalpasti
mempunyai kemahiran literasi yang lemah. Hal ini sangat membimbangkan kerana murid telah
menghabiskan masa enam tahun di bangku sekolah namun hasilnya murid masih tidak berupaya
untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Justeru terdapat
beberapa cadangan yang boleh dilakukan dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris dalam kalangan murid.

Antara cadangan yang boleh dilakukan di peringkat sekolah ialah penggunaan strategi
berpusatkan murid. Menurut dapatan kajian Radha (2008), murid lebih memilih untuk
menggunakan kamus dan mencari sendiri makna sesuatu perkataan untuk memahami teks bahasa
Inggeris. Hal ini dapat membuktikan bahawa murid juga suka belajar dengan kaedah sendiri untuk
memahami sesuatu perkara. Justeru adalah menjadi peranan guru untuk mencari strategi yang
sesuai dan boleh menarik minat murid di samping mengambil kira aspek penglibatan murid supaya
murid lebih bersemangat untuk belajar dan menguasai subjek bahasa Inggeris. Guru juga boleh
bertindak sebagai pemudahcara bagi murid dalam penguasaan bahasa Inggeris bagi memastikan
murid berkeyakinan dalam berkomunikasi dan sesi pembelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa
antarabangsa.

Selain itu, selaras dengan usaha kerajaan dalam dasar MBMMBI, guru boleh berfikiran
kreatif dalam melaksanakan High Immersive Programme (HIP) yang telah diperkenalkan untuk
meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris bukan sahaja dalam kalangan murid malahan
melibatkan guru dan semua warga sekolah. Program ini amat sesuai dan boleh menjadi titik tolak
kepada usaha guru terutamanya Panitia Bahasa Inggeris di sekolah dalam meningkatkan
pencapaian bahasa Inggeris murid di sekolah. Pelbagai aktiviti boleh dirancang contohnya
mengadakan pertandingan Public Speaking, aktiviti permainan bahasa Inggeris, menggunakan
bahasa Inggeris di dalam majlis rasmi di sekolah, mewujudkan English Corner dan juga
melabelkan bangunan-bangunan di sekolah dengan bahasa Inggeris. Hal ini dapat membantu
memupuk persekitaran cintakan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan juga melatih murid
untuk lebih berkeyakinan dalam menggunakan bahasa Inggeris. Aktiviti yang dirancang perlulah
mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk golongan pentadbir dan juga guru-guru supaya
murid lebih bermotivasi dan guru menjadi contoh kepada murid dalam memupuk budaya cintakan
bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

You might also like