You are on page 1of 2

Slaid 22: Peranan guru dalam pembinaan negara bangsa.

1. MEMPERKASAKAN BAHASA KEBANGSAAN

Bahasa Kebangsaan merupakan bahasa rasmi yang dikongsi bersama oleh pelbagai kaum
dalam perhubungan rasmi dan kehidupan masyarakat. Di negara kita ini, Bahasa Melayu
merupakan bahasa kebangsaan yang perlu dikuasai oleh pelbagai kaum yang tinggal di
Malaysia. Peranan guru-guru dalam memperkasakan Bahasa Kebangsaan amat mustahak
kerana melalui pendidikan, murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa
komunikasi di Malaysia. Selain itu, para guru juga mestilah menyemai semangat cintakan
Bahasa Melayu kepada generasi muda supaya mereka fasih berbahasa Melayu,
menghormati dan berbangga dengan Bahasa Kebangsaan ini yang menjadi identiti rakyat
Malaysia. Beberapa strategi pelaksanaan untuk dilaksanakan antaranya adalah
memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara, menggalakkan minat membaca dalam
kalangan pelajar dan mewujudkan Bulan Bahasa dan Sastera Negara.

2. MEMUPUK KECINTAAN KEPADA SENI, WARISAN DAN BUDAYA NEGARA.

Peranan guru bagi Membina Negara Bangsa adalah dengan memupuk kecintaan kepada
seni, warisan dan budaya negara. Guru di sekolah-sekolah seharusnya memberikan
penekanan kepada Pendidikan Seni Visual, Seni Muzik, Seni Teater dan Seni Tari
khususnya kepada murid-murid yang mempunyai potensi dan bakat dalam bidang kesenian
supaya bakat ini akan terus digilap. Melalui langkah ini, harapan supaya kesenian dan
warisan bangsa dapat dipertahankan, dibangunkan dan diperluaskan pastinya dapat
dicapai. Selain itu, tulisan jawi juga boleh diperkukuhkan semula melalui program j-QAF di
sekolah rendah. Maka, pendidikan awal amat penting untuk membentuk jati diri yang kukuh
dalam kalanagan pelajar-palajar. Usaha ini perlu diteruskan oleh guru untuk memperkukuh
perkongsian nilai patriotisme melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum etnik di
sekolah.

3. MEMANTAPKAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL.


Peranan guru dalam pembinaan Negara Bangsa juga adalah memantapkan perpaduan
negara dan integrasi nasional. Antara cara yang boleh dilakukan bagi memantapkan
perpaduan negara dan integrasi nasional adalah dengan meningkatkan tahap kesedaran
dan kefahaman rakyat Malaysia supaya menghormati perlembagaan Malaysia,
meningkatkan semangat patriotik melalui Kelab Rukun Negara dan menanamkan semangat
hormat menghormati serta peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum. Peranan
guru adalah memastikan semangat perpaduan dan intergrasi nasional dapat dimantapkan di
kalangan pelajar-pelajar dan murid-murid pada semua peringkat pendidikan. Guru-guru
perlu berusaha membangunkan persekitaran sosial yang menggalakkan komunikasi dan
interaksi antara pelajar-pelajar dan murid-murid daripada kaum, latar belakang, budaya yang
berbeza bagi mewujudkan satu identiti nasional Malaysia yang dapat dibanggakan.
Perancangan strategik melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan juga perlu supaya
usaha memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dapat terus ditingkatkan. Di
sekolah juga perlu secara berterusan menjadikan perhimpunan mingguan, acara menaikkan
bendera dan menyanyikan Lagu Kebangsaan serta Lagu Patriotik sebagai tempat memupuk
semangat patriotisme, dan tidak dijadikan acara mingguan tanpa menyemai semangat
patriotisme dan perpaduan. Selain aktiviti kokurikulum, guru-guru seharusnya memberi
penekanan kepada nilai-nilai jati diri, semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara
merentasi mata pelajaran terutama mata pelajaran Sejarah dan Sivik Kewarganegaraan
supaya semangat ini akan terus ditanam serta dapat mendukung kepada pencapaian
perpaduan negara.

You might also like