You are on page 1of 3

Rombak sukatan pelajaran pastikan murid

kuasai bahasa Melayu


Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed - November 28, 2023 @ 9:57am
bhrencana@bh.com.my

Foto hiasan.
Martabat dan harkat bahasa Melayu di negara ini jelas tidak dapat dinafikan lagi hingga satu
daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu ialah 'Kami tetapkan bahasa Kebangsaan ialah
bahasa Melayu.'

Malah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 sendiri
mengangkat kedudukan bahasa Melayu, sekali gus perlu digunakan sebagai bahasa rasmi
dalam pentadbiran negara.

Justeru, tidak wajar jika masih ada warganegara gagal menguasai bahasa Melayu, terutama
dari segi pertuturan walaupun lahir dan membesar di sini. Kementerian Dalam Negeri (KDN)
mendedahkan di Dewan Rakyat antara punca sekelompok warga emas tidak diluluskan
permohonan kewarganegaraan disebabkan gagal melepasi ujian penguasaan bahasa Melayu.

Ini situasi cukup serius dan perlu dihayati mesej tersirat, iaitu walaupun lama menetap di
negara ini termasuk lahir di sini, malangnya mereka masih tidak mampu menguasai bahasa
kebangsaan dengan baik.
DISYORKAN UNTUK ANDA
 SJK Cina, Tamil perlu tingkat usaha bantu murid fasih bahasa Melayu, pupuk perpaduan
 Satu kelas bukan DLP dimulakan tahun depan - Fadhlina
 91 peratus setuju referendum kembalikan UPSR
 Peperiksaan khas murid Tahun Enam di Sarawak disasar bermula 2025
 YBR bantu murid luar bandar Sabah kuasai bahasa Inggeris
 Dasar Pendidikan Digital dilancar hari ini
 Penilaian Sekolah Rendah Modul Sarawak akan dilaksana 2025
 Perlembagaan lindungi penggunaan bahasa Tamil, Mandarin di SJK - Panel Mahkamah Rayuan
Bagi mengelak berhadapan dengan satu lagi generasi tidak boleh menguasai bahasa
kebangsaan, kita perlu kembali kepada asas, iaitu umpama melentur buluh biar daripada
rebung. Usaha mendidik dan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu perlu diperkasakan
pada peringkat sekolah terutama prasekolah dan sekolah rendah.

Ketika kita mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid sebagai bahasa
antarabangsa, mutu dan kualiti penguasaan bahasa kebangsaan wajar lebih dititikberatkan
bagi memenuhi prasyarat identiti bangsa Malaysia.

Dalam konteks ini kita menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
mahukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, dikuasai tanpa tolak ansur semua murid
sekolah.

Penegasan Anwar agar bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu dan utama serta dikuasai
dengan baik semua rakyat termasuk di sekolah swasta serta antarabangsa wajar menjadi titik
tolak kebangkitan usaha tersusun melalui perancangan strategi betul untuk meningkatkan
tahap penguasaannya terutama orang bukan Melayu.

Rangka strategi berkesan

Kita berharap Kementerian Pendidikan (KPM) merangka strategi berkesan terutama menilai
dan mengkaji semula punca anak gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik terutama di
sekolah jenis kebangsaan (SJK), sekolah swasta dan antarabangsa.

Pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu bukan baharu, namun mengapakah mutu dan
kualiti penguasaan masih terus diperdebat hingga KPM terpaksa mewujudkan kelas peralihan
di sekolah menengah kebangsaan (SMK)?

Agak menyedihkan kita terpaksa mewujudkan kelas peralihan setahun khusus untuk murid
sekolah vernakular lemah dan kurang menguasai bahasa Melayu bagi memberi peluang untuk
meningkatkan tahap penguasaan serta peralihan bahasa pengantar daripada bahasa ibunda
kepada bahasa Melayu.

Bukankah ini merugikan masa murid itu sendiri? Perkara ini perlu diteliti secara serius dan
ditangani dengan segera.

Kita tidak boleh membiarkan ia berlarutan kerana bahasa adalah medium utama perpaduan
nasional, justeru kegagalan menguasai bahasa kebangsaan boleh melebarkan lagi jurang
perpaduan kaum.
Antara wajar dipertimbangkan adalah mewujudkan kerjasama strategik antara KPM dengan
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkasakan aspek promosi bahasa Melayu
sebagai bahasa perpaduan di sekolah.

Kesedaran murid sekolah perlu dipupuk terhadap kepentingan bahasa Melayu dalam
kehidupan bernegara khususnya dalam konteks masyarakat majmuk.

KPM dan KPN wajar mengadakan sesi libat urus bersama pentadbir dan guru SJK, sekolah
swasta serta antarabangsa bagi mendapatkan gambaran menyeluruh apa sedang berlaku,
sekali gus mengesan kelemahan hingga masih ramai gagal menguasai bahasa Melayu dengan
baik.

Sudah tiba masa kita memperhalusi sukatan pelajaran bahasa Melayu yang mereka guna
pakai serta pendekatan dan kaedah pengajaran serta pembelajaran (PdP) diamalkan guru bagi
menilai keberkesanannya.

Sudah ada keperluan mendesak untuk kita merombak sukatan pelajaran serta PdP Bahasa
Melayu sedia ada di semua sekolah, selain sekolah kebangsaan agar benar-benar membantu
murid menguasai bahasa Melayu dengan fasih.

Sukatan pelajaran dan PdP sedia ada mungkin kurang sesuai, termasuk tidak boleh mengguna
pakai pendekatan sama seperti di sekolah kebangsaan kerana majoriti muridnya adalah
pelajar Melayu dengan bahasa ibunda itu berbanding bahasa Tamil, Cina dan Inggeris di SJK,
sekolah swasta dan antarabangsa.

Kita perlu merangka pelan lebih menyeluruh bagi memastikan setiap warga negara mampu
menguasai bahasa Melayu dengan baik sama ada melalui pertuturan mahupun penulisan,
sekali gus bahasa terus berperanan sebagai medium utama merapatkan jurang perpaduan
kaum.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar,


Universiti Putra Malaysia (UPM)

You might also like