You are on page 1of 4

Frasa Adjektif Bahasa Melayu

Frasa adjektif dalam bahasa Melayu mempunyai elemen kata yang terdiri
daripada satu atau beberapa perkataan yang mewakili kata sifat atau kata
adjektif sebagai kata intinya.  Hal yang demikian membuktikan bahawa
kepelbagaian elemen kata sifat atau kata adjektif memberikan impak dalam
pembentukan frasa adjektif yang berfungsi sebagai predikat dan juga unsur
keterangan dan unsur penerang dalam predikat.
Harus dijelaskan bahawa kata adjektif yang hadir selepas kata kerja disebut
sebagai keterangan. Sementara, kata adjektif  yang hadir selepas kata nama
disebut sebagai penerang. Dalam perbincangan ini, kita akan melihat pola-pola
frasa adjektif yang berkaitan dengan binaan frasa,  kata penguat dan  kata
bantu dalam frasa. Selain itu, unsur pengisi yang wujud dalam frasa adjektif
akan dibincangkan juga dalam tajuk frasa adjektif  bahasa Melayu ini.

 Anda perlu mengetahui bahawa, kandungan isi untuk topik ini meliputi huraian
tentang konsep frasa adjektif    berdasarkan pendapat ahli-ahli bahasa. Frasa
adjektif dalam bahasa Melayu  terdiri daripada satu atau beberapa perkataan
yang mewakili kata sifat atau kata adjektif sebagai kata intinya. Dalam susunan
ayat biasa, frasa adjektif berfungsi sebagai predikat.

7.1       Binaan Frasa Adjektif : Unsur Pengisi Frasa Adjektif


Frasa adjektif   ialah frasa yang terdiri daripada kata adjektif  sebagai unsur
intinya. Frasa adjektif  bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa.
Dalam hal ini, frasa adjektif boleh terdiri daripada satu kata adjektif atau
beberapa kata yang mengandungi kata adjektif dengan kata bantu dan penguat
sama ada dihadapan atau di belakangnya. Hal yang demikian bersesuaian dengan
fungsi kata bantu dan penguat sebagai binaan dan unsur pengisian dalam frasa
adjektif.
Contoh :
(1) . Wak Samad   sudah terlalu tua
Dalam ayat (1) [Wak Samad] merupakan subjek frasa nama yang diikuti oleh
predikat frasa adjektif.
Dalam binaan predikat,  [sudah + terlalu + tua] merupakan predikat yang terbina
daripada unsur-unsur  berikut :
[kata bantu  + penguat + kata adjektif]
 Unsur pengisi dalam frasa adjektif juga dapat dilihat dalam contoh-contoh di
bawah:
Kata Bantu Penguat Kata Adjektif Penguat
sudah terlalu tua -
- sangat prihatin -
belum - masak benar
masih terlalu awal -
- amat baik -

Dalam contoh-contoh di atas, kata bantu boleh hadir bersama-sama penguat


hadapan mendahului kata adjektif. Namun, penguat juga boleh hadir sama ada di
belakang atau di belakang  kata adjektif. Bentuk sedemikian boleh berubah-ubah
berdasarkan rumus tatabahasa dan pola dalam ayat berkaitan.

7.1.1 Binaan Kata Adjektif Satu Perkataan


Binaan jenis ini merupakan asas kepada pembentukan frasa adjektif yang
menggunakan satu kata adjektif dalam ayat.
Contoh:
  (2) . Salim  sangat  rajin.
  (3) . Guru pelatih itu   cergas
  (4) . Dia kelihatan  ceria.
  (5) . Penglihatannya  kabur.
  (6) . Tanamannya  subur.

7.1.2 Binaan Kata Adjektif Dua  Perkataan


Binaan dua perkataan adjektif merupakan asas kepada pembentukan frasa
adjektif yang menggunakan dua  kata adjektif dalam ayat
Pola binaannya boleh terdiri daripada yang berikut:
(i)  kata adjektif + kata adjektif (unsur keserasian makna)
contoh :
letih lesu
cantik molek
lemak manis
penat lelah
(i)  kata adjektif + kata adjektif (makna berlawanan)
contoh:
jatuh bangun
hidup mati
baik buruk
susah senang
pahit maung

7.2 Penguat
 Kata penguat boleh hadir dalam frasa adjektif  berdasarkan jenis-
jenisnya. Terdapat tiga jenis penguat:
(i)   Penguat hadapan
(ii)  Penguat belakang
(iii) Penguat bebas
 Penguat hadapan merupakan kata yang terletak di hadapan kata adjektif.
Penguat hadapan  terdiri daripada kata terlalu dan paling.
 Contoh:
(7) . Rumahnya  terlalu besar.
(8) . Lukisan  itu  paling cantik.
 Penguat belakang pula merupakan kata yang terletak di belakang kata
adjektif seperti sekali, benar, nian
(9) . Pakaian puteri itu   cantik sekali.
(10) .  Kereta lembu itu lambat benar.
(11) .  Taman Bunga di istana itu indah nian.
 Penguat bebas ialah perkataan yang kedudukannya bebas, iaitu boleh hadir
di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh: amat dan sungguh.
(12) .  Kubah masjid itu  amat  besar.
(13) .  Gerakan dan gaya  pesilat Malaysia tangkas sungguh.
Unsur penguat yang hadir berderetan sebelum kata adjektif juga wujud dalam
binaan frasa adjektif. Contoh : sungguh amat, terlalu amat, seperti dalam ayat-
ayat berikut:
(14).  Percakapan  orang tua itu sungguh amat  kasar .
(15).  Perangai  anaknya terlalu amat sopan.

7.3 Kata Bantu Dalam Frasa Adjektif


Kata bantu merupakan unsur yang boleh hadir dalam frasa adjektif. Ada kata
bantu tertentu yang boleh hadir sebelum atau sesudah penguat. Frasa adjektif
jelasnya boleh disertai oleh kata bantu sudah, belum, masih, harus berdasarkan
kesesuaian konteks ayat.
Contoh: 
(16).  Anaknya sudah  besar.
(17).  Sayur-sayuran  dikebun itu  masih belum subur.
(18).  Pekerja yang berkualiti  harus   cekap.
Terdapat juga kata bantu yang boleh hadir sebelum atau selepas penguat,
misalnya: masih amat jauh, belum terlalu lewat, belum sangat cekap, sungguh
masih muda, sungguh telah pandai

Contoh:
(19).  Kedudukan khemah  itu    masih  amat jauh.
(20).  Kehadiran pelajar itu belum terlalu lewat.
(21).  Pekerja baru itu   belum sangat     cekap.
(22).  Anak sulungnya itu   sungguh masih     muda.
(23).  Pelajar kelas  peralihan itu sungguh telah     pandai.

You might also like