You are on page 1of 1

KATA ALU-ALUAN PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya mencoretkan sepatah dua kata dalam
majalah sekolah pada tahun 2022 ini. Tiada kata secantik bahasa untuk menyusun kata-kata, tiada
gambar secantik lukisan untuk saya gambarkan perasaan penghargaan saya. Sekalung ucapan tahniah
saya rakamkan buat warga sekolah, khususnya Sidang Redaksi yang telah berjaya menerbitkan
Majalah Sekolah bagi tahun 2022, tahun yang sangat istimewa bagi kita semua warga pendidik kerana
kita sudah kembali ke sekolah secara bersemuka dan melaksanakan rutin kita di sekolah seperti tahun-
tahun sebelum ini.

Penerbitan majalah sekolah merupakan usaha yang penting kerana menjadi rujukan
masyarakat luaran untuk mengenal watak dan kebitaraan seebuah sekolah. Selain memamparkan
aktiviti dan pencapaian pada tahun semasa. Majalah sekolah juga mampu menyerlahkan aura iklim
serta budaya sekolah hasil garapan pemimpin sekolah dan warganya. Saya percaya komitmen yang
tinggi dan kerjasama padu daripada warga sekolah dan sidang redaksi bagi merealisasikan penerbitan
majalah. Bagi pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor, segala komitmen dan sumbangan warga
sekolah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penerbitan majalah pada tahun-tahun
yang mencabar ini amatlah dihargai dan disanjung tinggi.

Pendidikan adalah asas dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang maju berteraskan
semangat bersatu padu, progresif, berbudaya dan berwatak. Bagi menyahut cabaran ini, kita harus
meningkatkan kualiti serta memberi fokus kepada kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti.
Aspek akademik, sahsiah dan nilai perlu diterapkan dalam pendidikan. Justeru itu,, guru-guru
diharapkan perlu memberi fokus kepada pembelajaran berorientasikan perkembangan bagi
menyokong usaha melahirkan murid yang berjaya secara holistik. Penerbitan majalah sekolah
merupakan aktiviti yang diusahakan oleh murid hasil bimbingan daripada guru-guru dengan tujuan
mendokumentasikan seluruh kegiatan sekolah sepanjang tahun. Majalah sekolah merupakan satu
dokumen yang berharga pada masa akan datang untuk melihat dan mengungkap kembali kejayaan
serta perkembangan yang telah dicapai oleh sekolah. Pastinya murid murid dengan bantuan dan
bimbingan guru mestilah bekerjasama bagi mencari idea baharu dengan menggabungkan aspek
kreativiti dan inovasi bagi menghasilkan sebuah majalah yang bermutu.

Dalam mencapai aspirasi yang unggul, proses membina ilmu perlulah seiring dengan usaha
menyempurnakan akhlak setiap modal insan. Bersesuaian dengan gerak kerja Jabatan Pendidikan
Negeri Johor iaitu Pendidikan Holistik Mengoptimumkan Potensi, Memaksimumkan Keberhasilan.
Nilai-nilai ini perlu diberi fokus utama agar generasi yang dididik pada hari ini akan menjadi insan
yang berilmu, berkemahiran tinggi dan mempunyai sahsiah terpuji. Integrasi ilmu yang bertunjangkan
keagamaan dan keperluan hakiki perlu diperkasa dan diperkukuhkan bagi menjamin jati diri murid
terus unggul bagi menghadapi arus globalisasi perdana yang kian mencabar.

Akhir kata, saya menyeru semua pihak termasuk pemimpin sekolah, guru-guru, pihak
berkepentingan dan pihak swasta untuk sama-sama menjayakan agenda negara demi melahirkan
generasi yang cemerlang dan terbilang pada masa akan datang.

You might also like