You are on page 1of 4

TEKS KATA-KATA ALUAN PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH KOTA SETAR

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada sidang redaksi majalah yang telah berkolaborasi sebagai satu
pasukan untuk merealisasikan penerbitan majalah MERCU edisi ke-19 Sekolah Menengah Kebangsaan
Mergong bagi tahun 2017 ini. Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia-
Nya, saya diberi ruang dan kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini.

Memori yang dirakam indah melalui aktiviti dan program sepanjang tahun 2017 perlu dicetak dan
didokumentasikan sebagai rujukan untuk dikenang serta penghargaan kepada mereka yang berjaya
mengharumkan nama sekolah. Suka dan duka yang terlakar di bumi SMK Mergong diharap mejadi
pemangkin kejayaan seluruh warga sekolah pada masa hadapan. Majalah MERCU juga merupakan
cerminan wajah sekolah untuk tatapan semua termasuk ibu bapa sebagai kenangan terutama kepada
pelajar tahun akhir sekolah ini.

Akhir kata, saya mendoakan semua warga Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong akan terus
berjaya dan meneruskan tradisi penerbitan majalah sekolah sebagai satu dokumen rujukan yang
membantu melonjakkan kegemilangan sekolah dalam semua bidang sesuai dengan slogan sekolah iaitu
“Di Sini Lahirnya Bintang”.

Sekian, terima kasih.

Shaik Amar bin Sh Abdul Rahim


Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar
TEKS KATA-KATA ALUAN PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI KEDAH
Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu tahniah diucapkan kepada sidang redaksi majalah MERCU 2017 edisi ke-19 atas
kejayaan menerbitkan majalah sekolah yang istimewa ini. Terima kasih kerana memberi kesempatan
untuk saya mencoretkan sepatah dua kata dalam majalah ini.

Perubahan dan penambahbaikan dalam dasar pendidikan negara seperti pentaksiran berasaskan
sekolah (PBS), kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan sarana sekolah yang menjadi inti pati
pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 menuntut warga pendidikan
berfikir di luar kotak, serta mengaplikasikan strategi lautan biru supaya terus berdaya saing dan
dihormati. Saya mengucapkan tahniah kerana warga sekolah dan ibu bapa berjaya memanfaatkan
pelbagai aplikasi atas talian bagi melicinkan pengurusan sekolah dan maklumat pencapaian murid
dengan lebih berkesan dan cekap. Mudah-mudahan sumbangan ikhlas tuan puan bakal memacu
pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong ke persada kecemerlangan yang dihajati.

Majalah sekolah ialah naskhah yang memaparkan kegiatan pendidikan dan pencapaian pembelajaran
yang terkini. Bagi warga sekolah, butiran dan foto-foto yang dimuatkan bakal menjadi kenangan indah
zaman persekolahan. Memang benar bahawa media sosial maya mengakibatkan naskhah bercetak
semakin terpinggir, tetapi sebagai dokumentasi yang bersifat rasmi, majalah sekolah akan terus relevan
sampai bila-bila.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penerbitan majalah dan sidang redaksi
majalah MERCU 2017. Semoga warga sekolah akan dapat melonjakkan mutu pendidikan dalam semua
bidang. Kepada pembaca majalah ini, semoga beroleh manfaat.

Sekian, terima kasih.

Datin Paduka Dato’ Hajah Azuyah Hassan


Pengarah Pendidikan Negeri Kedah
TEKS KATA-KATA ALUAN YDP PIBG SMK MERGONG
Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Sebelum meneruskan bicara, ingin saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang
terlibat dalam menjayakan dan menerbitkan majalah MERCU 2017 edisi ke-19. Terima kasih kepada
jawatankuasa penerbitan kerana memberi peluang kepada saya untuk mencoretkan sepatah dua kata
dalam majalah MERCU ini. Saya selaku wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah ini mengambil
kesempatan mengucapkan tahniah atas kejayaan pihak sekolah dalam semua aktiviti sepanjang tahun
2016. Kejayaan ini merupakan usaha dam kerjasama yang berterusan antara pihak sekolah dengan PIBG.

Pemuafakatan antara ibu bapa dan guru merupakan tunjang penting melahirkan kejayaan anak-anak.
Semangat kerjasama ibarat aur dengan tebing akan menyediakan landasan yang kukuh untuk anak-anak
meletakkan diri mereka untuk melakar kejayaan. Komitmen yang jitu ini akan mampu membuahkan
hasil yang optimum dalam pembentukan kejayaan anak-anak sama ada dalam bidang kurikulum
mahupun ko-kurikulum . Kerjasama daripada semua pihak mampu menjayakan transformasi pendidikan
untuk menghasilkan generasi yang berilmu dan seimbang jasmani dan rohani. Masalah disiplin perlu
dibanteras dan ditangani oleh ibu bapa supaya guru tidak dibebani dengan isu luar bilik darjah.

Akhirul kalam, saya mendoakan semoga seluruh warga sekolah akan sentiasa berusaha memperbaiki
pencapaian diri dan berpegang teguh pada akujanji yang dilafazkan. Kegigihan dan kesungguhan akan
menghasilkan kejayaan yang mengagumkan.

Sekian, terima kasih.

Haji Ahmad Bin Saidin


YDP PIBG SMK Mergong
TEKS KATA-KATA ALUAN PENGETUA SMK MERGONG
Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tahniah diucapkan kepada sidang redaksi yang sentiasa berusaha memberikan komitmen yang terbaik
dalam menerbitkan majalah yang menjadi wadah kebanggaan sekolah ini. Setinggi-tinggi kesyukuran
dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izinNya, majalah MERCU Edisi ke-19 tahun 2017 berjaya
diterbitkan untuk tatapan seluruh warga SMK Mergong.

Majalah MERCU merupakan dokumen rujukan Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong yang
memuatkan segala memori sepanjang tahun 2017. Pihak sekolah percaya di sebalik teknologi terkini
majalah sekolah sebagai naskhah sejarah zaman persekolahan mampu untuk menggamit kenangan
pelajar-pelajar yang akan menamatkan pembelajaran di sini. Segala perancangan untuk mendorong
pelajar-pelajar ke landasan kejayaan telah dicurahkan oleh para guru demi memastikan pelajar-pelajar
SMK Mergong menjadi insan yang unggul dan berguna kepada bangsa dan negara. Kejayaan bukan
terhasil daripada seorang individu tetapi dijana dan dipacu oleh seluruh tenaga kerja sekolah. Oleh yang
demikian, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua warga sekolah untuk terus
bersemangat serta berinspirasi meneruskan kejayaan sekolah.

Saya sangat berharap, semoga SMK Mergong meneruskan legasi melahirkan bintang-bintang cemerlang
dalam semua bidang. Menghasilkan modal insan yang diingini dan mampu bersaing di dunia global ini.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, Kementerian Pendidikan Malaysia,
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Pendidikan Kota Setar dan PIBG sekolah yang sentiasa
memberikan sokongan dan kerjasama kepada pihak sekolah untuk merencanakan aktiviti SMK Mergong.

Sekian, terima kasih.

Haji Suhaimi bin Yahaya


Pengetua SMK Mergong

You might also like