You are on page 1of 8

MODUL 3 : SISTEM DAN STRUKTUR PENTADBIRAN

MALAYSIA

3.1 DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA


PENGENALAN :
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan corak pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Perdana Menteri adalah ketua kerajaan.
Malaysia telah mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau kerajaan yang demokratik.
Ringkasnya, sebuah negara yang melaksanakan sistem demokrasi adalah negara yang memperjuangkan
kedaulatan rakyat.

3.1.1 MAKSUD DEMOKRASI BERPARLIMEN

 Demokrasi Berparlimen membawa maksud pemerintahan yang dijalankan secara perwakilan. Hal ini bermaksud,
rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara, manakala raja-raja menjadi lambang taat setia rakyat. 
 Demokrasi Berparlimen dibentuk hasil daripada proses pilihan raya. Dalam proses pilihan raya, rakyat diberi
mandat untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka dan pemimpin inilah yang akan menjadi wakil
rakyat di Parlimen.
 Melalui sistem ini rakyat berpeluang membentuk kerajaan. Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan
raya.  Dalam pilihan raya,  rakyat berhak menyokong, mengekal atau menukarkan kerajaan yang sedia ada dalam
proses pengundian semasa pilihan raya.
 Perlembagaan Malaysia menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. 
Selaras dengan peredaran masa, beberapa pindaan perlembagaan dibuat untuk menyesuaikan sistem pentadbiran
dengan perkembangan politik semasa.  Sistem demokrasi berparlimen di negara kita berjaya mengekalkan
kerajaan yang adil, sejahtera, dan stabil.

3.1.2 CIRI-CIRI DEMOKRASI BERPARLIMEN

1. Perlembagaan
Merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah negara. Perlembagaan
rasmi dan di dalamnya terkandung segala peraturan dan prinsip sebagai panduan kepada kerajaan untuk
melaksanakan kuasanya dan mentadbir negara.

2. Raja Berperlembagaan
Raja Berperlembagaan bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan
Malaysia. Yang di Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagan Malaysia. 

3. Parlimen
Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat undang-undang yang boleh
dikuatkuasakan di seluruh negara. Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada
undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan
meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

4. Pilihan Raya
Pilihan raya ialah proses memilih wakil rakyat unuk memerintah sama ada pada peringkat negeri mahupun
persekutuan . Pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur.

5. Kuasa Pemerintahan
Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa.
Kuasa pemerinahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaiu badan perundangan ,badan pelaksana dan badan
kehakiman.
6. Parti Politik
Parti politik merujuk kepada sekumpulan orang yang mempunyai ideologi politik untuk mencapai malamat
bersama. Parti-parti politik ini berjuang untuk mendapatkan kuasa.

7. Kebebasan Asasi
Terbahagi kepada 2 bahagian iaitu kebebasan mutlak dan kebebasan bersyarat. Kebebasan mutlak adalah
kebebasan yang tidak bersyarat. Manakala kebebasan bersyarat pula berlandaskan kepada peraturan tertentu.

3.1.3 PROSES PILIHAN RAYA DI MALAYSIA

Sebagai sebuah negara bercorak demokrasi, Malaysia melaksanakan sistem pilihan raya. Pilihan raya ialah proses
memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri atau persekutuan. Pemilihan ini dilakukan
secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur. Terdapat 2 jenis pilihan raya iaitu Pilihan Raya
Umum dan Pilihan Raya Kecil. Pilihan Raya Umum diadakan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan
Undangan Negeri secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia manakala di Sarawak dan Sabah, pilihan raya
umum bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri diadakan secara berasingan. Pilihan Raya Kecil diadakan
apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Kekosongan ini
berlaku mungkin disebabkan hal-hal tertentu seperti kematian, perletakan jawatan dan perlucutan jawatan.Di
Malaysia, proses pilihan raya dijalankan oleh Suruhan Jaya Pilihan Raya.

PROSES PILIHAN RAYA:

1. Pengeluaran writ pilihan raya


Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil bermula dengan pengeluaran writ pilihan raya oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis akan diwartakan,
menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.
2. Hari penamaan calon.
Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-
calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai
Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah
seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 pagi hingga
10.00 pagi pada hari penamaan. Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga
11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan,
Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.
3. Deposit
Wang deposit berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri perlu diserahkan
kepada Pegawai Pengurus sebelum atau pada hari penamaan calon. Calon akan hilang wang deposit
sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5% undi daripada jumlah keseluruhan pengundi yang keluar
mengundi pada hari pengundian di kawasan tersebut.
4. Penggunaan simbol.
Seseorang calon yang mewakili sesuatu parti politik boleh menggunakan simbol parti jika dia mendapat
kebenaran bertulis daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon bebas perlu memilih mana-mana simbol
yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk dicetak pada kertas-kertas undi.
5. Kempen.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera
di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai
proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi
memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk melantik Pegawai Penguat
Kuasa dan membentuk satu atau lebih pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen,
jika difikirkan perlu.
Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk
memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan
peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar.
Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa bagi memberikan
penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai
undang-undang dan peraturan pilihan raya.
6. Hari mengundi.
Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi
bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya.
Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh
Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran
membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah.
Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang
perkara-perkara pilihan raya seperti tarikh mengundi, lokasi tempat mengundi, waktu mengundi di semua
tempat mengundi, lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.
7. Kebenaran memasuki tempat mengundi
Hanya pemilih-pemilih yang nama mereka terdapat di dalam Daftar Pemilih bagi sesuatu tempat mengundi
sahaja oleh dibenarkan masuk untuk membuang undi. Kad Pengenalan diri pemilih yang dikeluarkan oleh
Jabatan Pendaftaran Negara digunakan sebagai pengenalan diri dan perlu ditunjukkan di tempat mengundi.
Seorang pemilih hanya boleh memangkah seorang calon sahaja, iaitu dengan menandakan ‘X’ bersebelahan
nama calon yang dipilih. Selepas menandakan kertas undi, pemilih perlu melipatnya mengikut garisan di
kertas undi dan seterusnya memasukkannya ke dalam peti undi.
8. Pengiraan dan Penjumlahan undi
Pengiraan undi dijalankan oleh Ketua Tempat Mengundi di tempat mengundi atau di sebuah pusat
pengiraan undi yang telah ditetapkan. Undi Pos bagi sesuatu bahagian pilihan raya dikira oleh Pegawai
Pengurus di Pusat Pengiraan undi yang ditetapkan.
Selepas selesai pengiraan undi di tempat-tempat mengundi dan pusat pengiraan undi, keputusan-keputusan
pengundian akan dikemukakan kepada Pegawai Pengurus di pusat penjumlahan undi. Pegawai Pengurus
bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti sebagai
pemenang.

N 3.1.4 KEBAIKAN AMALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

 Rakyat boleh memilih kerajaan.


 Rakyat boleh memilih pemimpin yang berwibawa dan berkebolehan.
 Kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati.
 Kerajaan memerintah berlandaskan perlembagaan.
 Rakyat mempunyai hak untuk bersuara.
 Rakyat terlibat dalam menentukan hala tuju politik negara
 Pemimpin yang terpilih akan berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada rakyat.
 Segala permasalahan dapat diselesaikan melalui rundingan.
 Membantu dalam perkembangan ekonomi negara.
 Kerjasama dalam masyarakat dapat ditingkatkan.
 Menjamin kestabilan politik
 Menarik pelaburan asing bagi membantu kemajuan negara.
 Mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
 Memperkukuhkan perpaduan
 Melahirkan taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin yang dipilih..

3.2 KOMPONEN-KOMPONEN UTAMA KERAJAAN MALAYSIA

PENGENALAN:
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan yang mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berperanan sebagai Ketua
Negara. Sebagai pelengkap kepada pembentukan negara, Perlembagaan Persekutuan telah digubal dan
menjadi punca kuasa serta sumber perundangan utama negara. Perlembagaan Persekutuan menjelaskan struktur
pembahagian kuasa dalam sistem pentadbiran negara yang meliputi Badan Perundangan (Legislatif), Badan
Pelaksana (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiaril) serta peranan negeri serta perhubungan antara kedua-
duanya.

3.2.1 KOMPONEN-KOMPONEN UTAMA KERAJAAN MALAYSIA

MAJLIS RAJA-RAJA

 Badan Perundangan
 Badan Pemerintahan
 Badan Kehakiman

3.2.2 MAJLIS RAJA-RAJA.

Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan
Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri bertemu dan
berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya
memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja. Urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong juga
terletak pada Majlis Raja-Raja. Selain itu, majlis ini merupakan kuasa tertinggi dalam hal ehwal Islam di Malaysia.

Majlis ini dianggotai oleh semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri di Malaysia. Mengikut
peraturan hanya Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja sahaja yang layak mempengerusikan mesyuarat dan ia
dipengerusikan mengikut giliran yang ada dalam susunan sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis. YAB Menteri
Besar / Ketua Menteri hadir sebagai penasihat kepada DYMM Raja-Raja dan TYT Yang di-Pertua - Yang di-Pertua
Negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hanya berangkat hadir pada mesyuarat hari
kedua dengan diiringi oleh YAB Perdana Menteri sebagai penasihat. Ini menjadikan mesyuarat ini sebagai
mesyuarat ‘tertinggi’ di Malaysia. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai setiausaha Majlis Mesyuarat
Raja-Raja.

Antara tugas Majlis Raja-Raja ialah:


(a) Memilih Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.
(b) Bersetuju atau tidak bersetuju hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat agama Islam bagi seluruh
Persekutuan Tanah Melayu, kecuali Sabah dan Sarawak; 
(c) Memberi persetujuan atau tidak memberi persetujuan kepada mana-mana undang-undang yang diluluskan
atau memberi nasihat tentang pelantikan mana-mana jawatan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-
raja
(d) Memikirkan dasar negara dan apa-apa perkara yang difikirkan patut untuk pembangunan negara. 
(e) Merupakan sebuah badan khas yang bertindak memelihara hak istimewa orang Melayu.
(f) Majlis Raja-Raja perlu berunding dalam perkara pelantikan sebelum dilantik oleh YDPA atas nasihat
Perdana Menteri.
(g) Majlis Raja-raja mempunyai kuasa budi bicara yang meliputi perkara berikut:
 Memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya; 
 Memberi nasihat tentang apa-apa pelantikan; 
 Mempersetujui atau tidak mempersetujui sebarang undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu
negeri serta menyentuh keistimewaan, kedudukan dan kemuliaan atau kebesaran raja-raja
 Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama Islam
meliputi seluruh Semenanjung Malaysia
3.2.3 BADAN PERUNDANGAN (LEGISLATIF)

Kerajaan Malaysia memberi mandat kepada Parlimen sebagai badan perundangan negara.
Prosedur atau peringkat badan perundangan Persekutuan ialah :
     
Yang di-Pertuan Agong

Majlis Raja-Raja

Parlimen

Dalam melaksanakan kuasa legislatif atau perundangan, Parlimen memainkan peranan yang amat penting.
Fungsinya dapat dilihat semasa proses penggubalan rang undang-undang dijalankan.
Struktur Parlimen Malaysia mengandungi komponen berikut;
i) Dewan Negara
Bilangan ahli Dewan Negara tertakluk kepada Fasal (1) perkara 45 Perlembagaan Perseutuan iaitu tidak
melebihi daripada 70 oang ahli (Senator) pada satu-satu masa dengan kadarnya seperti berikut:
a) 2 orang ahli bagi setiap negeri
b) 2 orang ahli bagi WilayahPersekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan,
seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya.
c) 40 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
d) 4 orang ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah :


a) warganegara Malaysia
b) beumur tidak kurang dari 30 tahun
c) sempuna akal
d) bukan seoang muflis

Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (3 tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal
lagi sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat Negeri. Setiap ahli
dimestikan mengangka sumpah dihadapan Yan di-Pertua Dewan Negara.

ii) Dewan Rakyat
Dianggotai seramai 222 orang ahli dan setiap ahli mewakili satu kawasan plihan raya. Ahi-ahli dipilih atas
dasar sokongan ramai melalui plihan raya yang diadakan setiap 5 tahun. Kelayakan menjadi ahli Dewan
Rakyat adalah seperti berikut:
a) Warganegara Malaysia
b) berumur tidak kurang 21 tahun
c) sempurna akal
d) bukan seorang muflis
e) tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat da Dewan Negara dalam satu masa.

 Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh
dikuatkuasakan di seluruh negara.
 Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang
ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang
baru.
 Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang ramai.
 Bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan dengan lebih berkesan,
Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang dipanggil "Keistimewaan Ahli-ahli
Parlimen" kepada ahli Parlimen.
 Setiap Dewan mempunyai kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri, mempunyai kuasa mutlak atas
prosiding masing-masing yang mana kuasa-kuasa ini tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah.
 Setiap Dewan boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau menghina (contempt) di
dalam Dewan tersebut.
 Secara amnya, ahli Dewan menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang
dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.

3.2.4 BADAN PELAKSANA (EKSEKUTIF)

Kuasa tertinggi Badan Pelaksana kerajaan Persekutuan ialah Jemaah Menteri atau Kabinet. Kesemua menteri
kabinet merupakan mereka yang menang dalam pilihan raya. Badan ini diketuai oleh Perdana Menteri, Timbalan
Perdana Menteri dan diikuti oleh menteri-menteri lain. Perdana Menteri dilantik oleh YDPA manakala menteri-
menteri lain dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri. Tugas utama kabinet ialah merangka dan
menjalankan dasar tertinggi negara.

Kementerian merupakan agensi tertinggi dalam jentera pentadbiran Persekutuan. Di Malaysia, pada hari ini terdapat
sebanyak 24 buah kementerian dan bilangan ini boleh ditambah atau dikurangkan mengikut keperluan negara. Setiap
kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan, merancang dan menyelaraskan dasar tersebut.
Setiap kementerian diketuai oleh oleh seorang menteri dengan dibantu oleh Timbalan Menteri dan Setiausaha
Parlimen. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga boleh mengetuai sebuah atau beberapa buah
kementerian yang lain.

Terdapat juga menteri yang tidak mengetuai mana-mana kementerian tetapi ditugaskan di Jabatan Perdana Menteri
untuk melaksanakan tanggungjawab tertentu dan dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio. Ketua Setiausaha
(KSU) menjadi penasihat utama kepada menteri. KSU bertanggungjawab untuk melaksanakan arahan-arahan
menteri dan program-program peringkat kementerian.

Jabatan merupakan agensi pelaksana bagi sesebuah kementerian atau pentadbiran negeri. Jabatan-jabatan kerajaan
diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali sebagai Ketua Pengarah. Semua kakitangan Perkhidmatan Awam
bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Perbadanan Awam merupakan agensi separuh kerajaan dalam bidang pembangunan sosioekonomi negara yang
membolehkan kerajaan terlibat secara langsung. Perbadana awam bebas daripada peraturan pentadbiran kerajaan.
Contohnya Perbadanan Awam ialah Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS).

Badan Berkanun merupakan agensi separuh kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen atau Enakmen
Negeri. Ketua bagi Badan Berkanun dipanggil Pengerusi. Badan Berkanun berfungsi untuk melicinkan pentadbiran
dan perlaksanaan program pembangunan negara. Badan Berkanun mempunyai kuasa autonomi dan peruntukan
kewangan tersendiri tetapi bertanggungjawab kepada menteri yang berkenaan. Contoh Badan Berkanun ialah Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MARDI.

Tugas-tugas menteri akan dilaksanakan oleh sebuah badan yang dikenali sebagai kementerian. Portfolio seorang
Perdana Menteri pula akan dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri. Ketua Pentadbir Utama sebuah kementerian
ialah Ketua Setiausaha (KSU) manakala ketua pentadbir utama di Jabatan Perdana Menteri ialah Ketua Setiausaha
Negara (KSN). Beliau merupakan ketua perkhidmatan awam di peringkat persekutuan. Perkhidmatan
Awam  Jawatan paling tinggi dalam perkhidmatan awam.

3.2.5 BADAN KEHAKIMAN (JUDISIARI)

Badan Kehakiman bertanggungjawab untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan dipatuhi dan menegakkan
keadilan mengikut peruntukan undang-undang agar hak-hak asasi manusia dapat dilindugi daripada sebarang
pencabulan oleh mana-mana pihak. Badan kehakiman mempunyai kuasa untuk membicarakan dan menyelesaikan
permasalahan serta menghukum pesalah melalui pihak mahkamah. Mahkamah juga berperanan untuk mentafsir
perlembagaan dan undang-undang.

Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana perkara itu merupakan kuasa badan perundangan atau
Parlimen. Semua hakim dilantik oleh YDPA dengan nasihat Perdana Menteri. Urusan pelantikan, kenaikan pangkat
dan pelucutan jawatan terletak di bawah kuasa Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Seseorang hakim tidak boleh dipecat dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang sebab yang munasabah. Hakim
tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik supaya hakim dilindungi daripada pengaruh politik untuk
menjamin keadilan dan kesaksamaan undang-undang.Penasihat undang-undang kerajaan ialah Peguam Negara.
Peguam Negara akan menjadi Pendakwa Raya atau Peguam Bela bagi kerajaan. Peguam Negara dibantu oleh
Pegawai Perkhidmatan Undang-Undang dan Kehakiman.

Sistem mahkamah di negara kita disusun mengikut hierarki piramid. Melalui sistem ini, individu atau kumpulan
yang tidak berpuas hati dengan keputusan perjalanan mahkamah boleh membuat rayuan ke mahkamah yang lebih
tinggi.Struktur Badan kehakiman Malaysia terdiri daripada dua bahagian iaitu Mahkamah Atasan dan Mahkamah
Rendah. Mahkamah Atasan terdiri daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan. Mahkamah Tinggi
Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Mahkamah Rendah terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan
Mahkamah Majistret. Pada 20 Mac 1993, Mahkamah Khas ditubuhkan melalui Perlembagaan Persekutuan bagi
membicarakan tindakan sivil atau jenayah yang dilakukan oleh YDPA atau Raja-Raja Melayu yang lain.

MAHKAMAH  PERSEKUTUAN :
Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Ahli
Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Ketua Hakim Negera, Presiden Mahkamah Rayuan, kedua-dua Hakim
Besar Mahkamah Tinggi dan tujuh hakim lain. Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan seperti yang berikut :
 Memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan,, Mahkamah Tinggi atau seorang hakimnya.
 Apa-apa bidang kuasa asal atau runding yang dinyatakan dalam Perkara 128 (Mengisytihar sesuatu undang-
undang Persekutuan dan undang-undang Negeri sebagai tidak sah) dan Perkara130 (bidang kuasa nasihat
Mahkamah Persekutuan)
 Lain-lain bidang kuasa yang diberi atau di bawah undang-undang persekutuan.

MAHKAMAH RAYUAN :
Ahli bagi Makamah Rayuan terdiri daripada seorang pengerusi (Presiden Mahkamah Rayuan) dan hakim lain tidak
melebihi 32 orang. Bidang kuasa Mahkamah Rayuan ialah:
 Memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya.
 Lain-lain bidang kuasa yang diberi atau di bawah undang-undang Persekutuan.

MAHKAMAH TINGGI :
Mahkamah Tinggi berkuasa untuk melaksanakan penyeliaan, mengubah keputusan semua Mahkamah Bawahan
(Mahkamah Rendah) dan membincangkan semua rayuan daripada Mahkamah Bawahan sama ada kes sivil ataupun
kes jenayah. Mahkamah Tinggi membincangkan kes-kes tuntutan melebihi RM1000 dan kes-kes berkaitan dengan
perkara yang berikut :
 Penjagaan kanak-kanak dan orang tidak siuman, wasiat dan perkahwinan serta penceraian bagi bukan
Islam.
 Kemuflisan
 Injuksi, pelaksanaan tertentu (specific performance) atau pembatalan kontrak.
 Kesahan individu.

MAHKAMAH SESYEN :
Mahkamah seksyen berkuasa untuk membicarakan kes sivil dan jenayah di Malaysia dan mempunyai kuasa untuk
membicarakan segala kesalahan selain kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati.
Bidang kuasa mahkamah seksyen seperti yang berikut :
 Membicarakan kes sivil berkaitan kemalangan kenderaan motor , tuan tanah serta penyewa distres.
 Membicarakan kes sivil yang melibatkan amaun atau nilai hal dituntut tidak melebihi RM 250,000.

MAHKAMAH MAJISTRET :
Mahkamah majistert terdiri daripada Mahkamah Majistret Kelas Pertama dan Mahkamah Majistret Kelas Kedua.
Membincangkan kes-kes jenayah dan sivil. Kes jenayah melibatkan hukuman penjara dan denda.

MAHKAMAH PENGHULU :
Berkuasa untuk mendengar atau memutuskan prosiding asal kes sivil melibatkan amaun atau nilai hal dituntut tidak
melebihi RM50 dan kesalahan jenayah kecil yang boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM25.

MAHKAMAH SYARIAH :
Merupakan Mahkamah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. dan berperanan untuk mengadili umah Islam berkaitan
undang-undang Islam.Bagi kesalahan di bawah hukun Syarak, Mahkamah Syariah berkuasa untuk menjatuhkan
hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda maksimum RM5,000 atau 6 kali sebatan atau apa-apa gabungan
hukuman-hukuman tersebut seperti yang termaktub dalam Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965.
3.2.6 KEPENTINGAN KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA.

 Menjaga kedaulatan negara


 Menjamin keamanan negara.
 Menjamin kestabilan politik.
 Memajukan ekonomi.
 Menjaga nama baik negara.
 Menjaga perpaduan kaum.
 Menarik pelancong luar.
 Menarik pelabur asing.
 Memakmurkan negara.

You might also like