You are on page 1of 5

Laporan Lawatan Secara Maya Ke Portal Rasmi Jabatan Kemasyarakatan Seberang Perai

Pada 29 Oktober 2022, saya telah menjalankan lawatan secara maya ke portal rasmi
Jabatan Kemasyarakatan Seberang Perai. Objektif lawatan tersebut adalah untuk meninjau
peranan dan tanggungjawab pertubuhan tersebut terhadap pembentukan moral masyarakat
Malaysia. Jabatan Kemasyarakatan tersebut dibahagikan kepada empat unit, iaitu Unit
Pentadbiran, Unit Media dan Protokol, Unit Eko-Komuniti serta Unit Sukan dan Kemudahan
Awam. Tetapi, Unit Pentadbiran tidak memberikan perkhidmatan kemasyarakatan. Maka, laporan
lawatan ini akan menumpu kepada peranan dan tanggungjawab Unit Media dan Protokol, Unit
Eko-Komuniti serta Unit Sukan dan Kemudahan Awam terhadap pembentukan moral
masyarakat. Jabatan tersebut adalah terletak di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
yang mengandungi pelbagai fungsi mengikut unit. Setiap peranan dan tanggungjawab unit
jabatan dapat memberikan bantuan dalam pembentukan moral masyarakat.

Dalam Unit Media dan Protokol, antara fungsinya termasuklah menyediakan saluran
komunikasi dan informasi majlis dengan orang ramai. Peranan tersebut telah memberi
sumbangan dalam pembentukan moral masyarakat, iaitu mengamalkan nilai universal rasional
dalam tugasan. Dalam konteks ini, unit tersebut haruslah bertindak wajar selepas pemikiran yang
mendalam dan berdasarkan bukti-bukti yang nyata. Contohnya, apabila MBSP mengeluarkan
sesuatu arahan yang perlu disalurkan kepada orang ramai, unit tersebut akan menjalankan
peranannya sebagai saluran untuk menyampaikan maklumat penting kepada masyarakat. Dalam
hal ini, arahan yang dikeluarkan oleh MBSP adalah dalam bentuk tulisan yang panjang. Maka,
unit tersebut akan meringkaskan arahan tersebut dalam pelbagai bentuk seperti poster dan video
untuk menyampaikan kepada masyarakat. Justeru, unit tersebut haruslah berfikir panjang dan
memetik arahan yang penting supaya maklumat yang akan disampaikan kepada masyarakat
adalah tepat. Mereka juga perlu bertindak wajar dengan memilih cara yang betul untuk
menyalurkan informasi kepada orang ramai supaya orang ramai akan menerima maklumat yang
disampaikan dengan cepat dan tepat.

Selain itu, unit tersebut juga berfungsi untuk memberi khidmat nasihat tentang protokol
MBSP. Protokol majlis merupakan perkara yang penting dalam sesuatu majlis kerana ia
ditetapkan dan dilaksanakan dalam majlis rasmi yang akan dihadiri oleh tetamu khas.
Tanggungjawab tersebut telah membantu dalam pembentukan moral masyarakat, iaitu
melaksanakan tugasan berdasarkan nilai universal kejujuran. Hal ini demikian kerana unit

1
tersebut mestilah bercakap benar serta bersikap amanah dan ikhlas jika terdapat masalah.
Kejujuran merupakan antara unsur yang penting dalam melaksanakan tugas. Sebagai contoh,
apabila terdapat kesalahan atas protokol MBSP, unit tersebut haruslah jujur untuk memberitahu
Majlis dan mengubah protokol tersebut supaya menjadi betul. Dalam hal ini, kesalahan protokol
akan menjejaskan imej MBSP dan dipandang rendah oleh masyarakat. Justifikasinya, unit
tersebut haruslah jujur untuk menunjukkan kesilapan yang terdapat dalam protokol majlis.
Kesannya, majlis dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna kerana tidak berlaku kesalahan
protokol sepanjang majlis. Protokol majlis yang betul dapat menjadi contoh kepada organisasi
lain untuk mengikuti. MBSP turut akan dipuji dan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana telah
berjaya mengadakan majlis yang sempurna.

Seterusnya, unit tersebut turut berfungsi untuk merancang dan mengurus program-program
yang berkaitan MBSP. Peranan tersebut telah menggalakan pembentukan moral, iaitu
mengamalkan nilai universal bertanggungjawab semasa melakukan sesuatu perkara. Hal ini
demikian kerana seseorang individu perlu melaksanakan tugasan yang diberi dengan lengkap
supaya menyiapkan tanggungjawab sendiri. Dalam konteks ini, unit tersebut perlulah merancang
dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan MBSP apabila diperlukan. Tamsilnya, apabila
pihak kerajaan mengumumkan sesuatu dasar seperti Dasar Galakan Membaca, MBSP perlu
mengadakan program untuk menyokong dasar tersebut. Maka, unit tersebut diberi
tanggungjawab untuk merancang dan menganjurkan program-program seperti Kempen Jom
Membaca dalam kalangan masyarakat. Akibatnya, unit tersebut melaksanakan tanggungjawab
mereka untuk mengatur program-program yang melibatkan MBSP. Dengan ini, kalangan
masyarakat dapat mempelajari ilmu pengetahuan yang baharu secara langsungnya
mengukuhkan ilmu pengetahuan yang pernah dipelajari. Hal ini bukan sahaja dapat menunjukkan
bahawa unit tersebut telah berjaya melengkapkan tanggungjawab mereka dengan sempurna,
maka dapat melahirkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi.

Dalam Unit Eko-Komuniti, antara peranannya termasuklah menganjurkan aktiviti LA 21


dengan kerjasama pelbagai pihak kerajaan mahupun swasta. LA 21 merupakan program
tindakan pembangunan mampan. Tanggungjawab tersebut telah membentuk masyarakat yang
bermoral, iaitu mengamalkan nilai universal kerjasama semasa melakukan tugasan dengan
orang lain untuk meningkatkan produktiviti kerja. Dengan ini, masa untuk menyiapkan kerja dapat
dikurangkan dan kerja yang dihasilkan akan lebih lengkap. Dalam konteks ini, unit tersebut
haruslah bekerjasama dengan agensi lain untuk mengadakan kegiatan LA 21 supaya negara

2
Malaysia dapat berkembang dengan maju dan mampu berdaya saing dengan negara lain.
Misalnya, unit tersebut telah bekerjasama dengan SJKC Kai Chee, Sg Dua untuk menganjurkan
Ceramah Kitar Semula Secara Maya. Dalam hal ini, kerjasama antara dua pihak telah ditunjukkan
dan hasilnya amat berjaya. Murid-murid dapat mempelajari cara-cara dan kepentingan kitar
semula melalui ceramah tersebut. Maka, kerjasama antara pelbagai pihak adalah penting dalam
melakukan sesuatu aktiviti yang besar. Hal ini bukan sahaja dapat memupuk kerjasama unit
tersebut dengan pihak lain untuk menjayakan sesuatu program, bahkan dapat menyerapkan
kepentingan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, unit tersebut juga berperanan untuk mengadakan pameran tentang alam
sekitar seperti kitar semula, kompos dan MBSP secara am. Peranan tersebut telah menyumbang
dalam pembentukan moral masyarakat, iaitu mengamalkan nilai universal kepercayaan kepada
Tuhan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana Tuhan merupakan pencipta alam yang haruslah
dihormati oleh masyarakat dan alam sekitar yang dicipta haruslah dipelihara dengan baik.
Justeru, masyarakat haruslah mencintai alam sekitar yang merupakan ciptaan Tuhan.
Contohnya, unit tersebut menganjurkan pameran hasil produk kitar semula seperti pasu yang
dihasilkan daripada tayar, beg serbaguna yang dianyam dengan kertas dan sebagainya. Dalam
hal ini, bahan-bahan terpakai boleh digunakan semula untuk mengurangkan sampah sarap di
Malaysia. Produk-produk yang dihasilkan daripada bahan kitar semula dan dipamerkan bukan
sahaja cantik, ia juga boleh digunakan seperti apa yang baharu. Pameran tersebut dapat
memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai alam sekitar yang merupakan
kurnyiaan Tuhan. Jelaslah bahawa nilai universal kepercayaan kepada Tuhan yang diterapkan
ke dalam pekerjaan unit tersebut telah menyebarkan amalan kitar semula kepada masyarakat
supaya mewujudkan alam sekitar yang penuh dengan teknologi hijau.

Dalam Unit Sukan dan Kemudahan Awam pula, antara tanggungjawabnya termasuklah
menjalankan penyeliaan dan penyelenggaraan kemudahan-kemudahan sukan, rekreasi dan
dewan MBSP. Tanggungjawab tersebut telah membentuk masyarakat yang bermoral, iaitu
mengamalkan nilai universal kerajinan semasa bekerja. Dalam konteks ini, unit tersebut
hendaklah rajin untuk menyelenggarakan infrastruktur yang rosak supaya infrastruktur tersebut
boleh tahan lama. Sebagai contoh, apabila kemudahan-kemudahan di taman rekreasi seperti
alat-alat permainan untuk kanak-kanak dan lorong pejalan kaki mengalami kerosakan dan telah
dilaporkan, unit tersebut haruslah rajin untuk mengambil inisiatif untuk membaikinya dengan
secepat mungkin. Dengan ini, masyarakat boleh terus menggunakan kemudahan-kemudahan

3
tersebut untuk menyihatkan badan. Dalam hal ini, jangka masa yang digunakan oleh unit tersebut
untuk menyelenggarakan kemudahan-kemudahan semakin pendek, kerajinan pekerja semakin
dapat dipertunjukkan. Kesudahannya, kerajinan merupakan antara sikap yang penting dalam
sesuatu pekerjaan. Hal ini demikian kerana kerajinan menentukan bilangan hasil kerja yang
dilengkapkan dalam satu tempoh masa.

Tambahan pula, unit tersebut berperanan untuk mengendali tempahan penyewaan dan
penggunaan kemudahan kompleks sukan dan dewan kepunyaan MBSP. Oleh sebab kemudahan
tersebut hak milik kerajaan, masyarakat haruslah memohon untuk menyewa kemudahan tersebut
untuk digunakan. Oleh itu, unit tersebut telah membantu dalam pembentukan moral, iaitu
mengamalkan nilai universal toleransi semasa berkomunikasi. Misalnya, apabila terdapat
seseorang atau sesebuah organisasi ingin menempah kompleks sukan atau dewan milik MBSP,
unit tersebut haruslah layan mereka dengan toleransi dan bersopan santun. Tamsilnya,
masyarakat akan menyewa konpleks sukan untuk mengadakan program-program seperti aktiviti
senamrobik dan pertandingan badminton. Justeru, mereka akan memohon untuk menempah
penyewaan kompleks sukan apabila program telah dirancang. Pada masa yang sama,
permohonan mereka akan diserahkan kepada unit tersebut dan diambil tindakan. Pada masa ini,
unit tersebut akan toleransi semasa melayan tempahan tersebut. Tuntasnya, unit tersebut berjaya
memainkan peranan mereka untuk mengendali tempahan penyewaan kompleks sukan dengan
toleransi, pemohon juga berasa gembira dengan kejayaan permohonan tersebut.

Sehubungan itu, unit tersebut juga berperanan untuk mengurus permohonan dewan orang
ramai hak milik MBSP di seluruh Seberang Perai. Peranan tersebut telah membantu dalam
pembentukan moral masyarakat, iaitu mengamalkan nilai universal hormat dalam kehidupan. Hal
ini demikian kerana masyarakat haruslah menghormati hak milik harta pihak lain seperti pihak
kerajaan. Dengan ini, masyarakat tidak boleh menggunakan sesuatu tanpa keizinan pihak lain.
Contohnya, masyarakat akan memohon penggunaan dewan orang ramai untuk mengendalikan
aktiviti-aktiviti yang besar-besaran seperti kempen dan ceramah. Hal ini demikian kerana aktiviti
sebegini melibatkan jumlah orang ramai yang besar, maka tempat yang diadakan aktiviti sebegini
perlulah besar dan luas. Jadi, dewan orang ramai menjadi pilihan utama semasa merancang
program-program yang menjemput orang ramai. Oleh sebab dewan orang ramai merupakan hak
milik MBSP, masyarakat tidak dibenarkan untuk menggunanya tanpa permohonan.
Justifikasinya, masyarakat haruslah memohon sebelum mengguna untuk menunjukkan
penghormatan hak orang lain. Selepas unit tersebut menerima permohonan dewan orang ramai,

4
unit tersebut akan menganalisis surat permohonan dan meluluskan permohonan. Dalam hal ini,
masyarakat telah mengamalkan nilai universal hormat semasa memohon penggunaan dewan
orang ramai untuk mengadakan sesuatu program.

Kesimpulannya, pertubuhan-pertubuhan yang menyampaikan perkhidmatan


kemasyarakataan seperti Jabatan Kemasyarakatan Seberang Perai telah banyak membantu
masyarakat dalam pelbagai masalah dan juga menyumbang dalam pembentukan moral
masyarakat. Oleh itu, pelbagai pihak seperti institusi dan organisasi kerajaan mahupun swasta
haruslah mempelajari daripada Jabatan Kemasyarakatan Seberang Perai supaya menyediakan
perkhidmatan kemasyarakatan dan melaksanakan peranan dan tanggungjawab terhadap
pembentukan moral masyarakat. Misalnya, institusi boleh menyediakan perkhidmatan
kemasyarakatan seperti mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan
perumahan. Hal ini bukan sahaja dapat membersihkan kawasan tersebut, malah dapat
menyerapkan nilai universal kerjasama dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana
masyarakat haruslah bekerjasama untuk membersihkan kawasan tersebut supaya dapat
menyiapkan kerja dalam masa yang singkat. Justeru, pertubuhan-pertubuhan berperanan
penting dalam membentuk moral masyarakat di samping memberi perkhidmatan
kemasyarakatan.

Disediakan oleh, 30 Oktober 2022

(LIEWN YONG CHYI)


Ahli Persatuan Moral,
Persatuan Moral,
Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim

(1520 patah perkataan)

You might also like