You are on page 1of 2

“Kesan-kesan Tabiat Merokok dan Langkah-langkah Untuk Menanganinya”

Oleh : Lim Teng Peng

Kempen ‘Tak Nak’ Merokok acap kali menjadi polemik di media massa sama ada
media cetak mahupun media elektronik. Namun, apa yang menyedihkan, semakin banyak
kempen diadakan semakin ramai pula para remaja terlibat dalam gejala merokok. Umum
tahu bahawa di sebelah kotak rokok sudah dijelaskan secara terang-terangan bahawa
bahaya merokok tetapi perkara tersebut dipandang sebelah mata sahaja oleh para
perokok. Malah, gambar penyakit akibat merokok yang tertera di kotak rokok juga tidak
diendahkan sama sekali. Sememangnya, gejala merokok tiada satupun kebaikan malah
100% mempunyai kesan negatif yang memudaratkan penagihnya. Jadi, semua pihak perlu
mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menangani masalah ini daripada menjadi
duri dalam daging sepanjang masa.

‘Merokok membahayakan kesihatan’ itulah slogan yang sering kita dengar akan
bahana daripada perbuatan menghisap rokok. Perkara ini terjadi kerana bahan yang
digunakan untuk membuat rokok terdiri daripada pelbagai bahan kimia seperti racun tikus,
tar, nikotin, tembakau, dan sebagainya. Apabila manusia merokok, segala bahan kimia
yang terdapat di dalam rokok akan bertindak balas dengan tubuh badan manusia yang
terdiri daripada organ-organ yang amat penting. Sebagai contoh, anggota mula-mula yang
bertindak balas dengan rokok ialah mulut. Kesan bahan kimia kepada mulut sahaja boleh
mengakibatkan pelbagai penyakit seperti gigi menjadi kuning, bibir menjadi biru dan
kanser mulut. Penyakit lain seperti asma, sakit jantung, barah otak, angin ahmar dan
migrain antara penyakit yang dibuktikan akibat gejala merokok. Jadi, merokok secara
jelasnya menyebabkan kesihatan manusia terjejas.

Selain itu, gejala merokok juga menyebabkan pembaziran wang yang keterlaluan
berlaku dalam kalangan perokok. Hal ini kerana, setiap tahun pihak kerajaan akan sentiasa
menaikkan harga rokok melalui belanjawan yang dibentangkan di parlimen. Walau
bagaimana, para perokok tidak mempedulikan harga rokok meningkat mahal kerana
mereka telah ketagih. Tidak dapat tidak, mereka akan mengusahakannya bagi
mendapatkan rokok. Misalnya, bagi golongan perokok yang sudah berkeluarga sudah
pastinya mereka tetap merokok walaupun menjejaskan perbelanjaan isi rumah. Begitu
juga pelajar sekolah, mereka sanggup mengikat perut semata-mata ingin menyedut asap
yang berpenyakit itu. Dalam agama Islam sudah diterangkan bahawa membazir adalah
amalan syaitan tetapi masyarakat tidak mengendahkannya seperti masuk telinga kanan
keluar telinga kiri. Pendek kata, menghisap rokok merupakan perkara yang nyata
membazir dan merugikan wang.

Sedar atau tidak, kesan perbuatan merokok juga bukan sahaja kepada individu yang
merokok malah tempiasnya turut terkena kepada individu yang tidak merokok di sekeliling
mereka. Hal ini kerana asap rokok yang dilepaskan di udara akan dihidu oleh orang yang
berada di sekeliling perokok. Asap yang dihidu juga membawa bahan kimia memberi kesan
kepada kesihatan orang lain. Buktinya dalam sesebuah keluarga, jika seorang bapa
merokok maka si ibu dan anak-anak berkemungkinan besar mendapat penyakit seperti
batuk dan asma kerana berada dalam lingkungan si bapa yang merokok. Kajian juga
memperlihat bahawa perokok pasif iaitu orang yang tidak merokok berisiko mendapat
penyakit daripada asap rokok lebih tinggi daripada perokok. Teguran kepada para perokok
supaya berhenti merokok seperti ‘mencurahkan air ke daun keladi’ walhal perbuatan
mereka nyata menyusahkan orang ramai.

“Setiap penyakit pasti ada ubatnya”. Oleh itu, untuk mencegah tabiat merokok
daripada menular pasti ada caranya. Antaranya ialah pihak kerajaan seharusnya mengubal
dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rokok. Hal ini penting bagi mengekang
para remaja dan orang dewasa merokok. Pihak kerajaan patut menggubal undang-undang
baru dan menubuhkan badan khas bagi menjalankan tugas menguatkuasa untuk
mengurangkan masalah ini. Sebagai contoh, pihak kerajaan wajar mengenakan hukuman
penjara kepada mana-mana pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja yang
berumur 18 ke bawah bukan setakat denda wang ringgit sahaja melalui kerjasama semua
pihak. Selain itu, undang-undang lebih tegas juga dikenakan kepada golongan dewasa yang
merokok di tempat awam seperti bayaran kompaun yang lebih tinggi dan perlu dibayar
serta merta melalui badan penguatkuasa yang ditubuhkan. Dengan penguatkuasaan yang
lebih tegas mampu meredakan keegoan perokok sekaligus menakutkan perokok-perokok
dan secara tidak langsung mereka berfikir bahana merokok.

Langkah lain yang lebih efisien dalam menangani masalah tabiat merokok ialah
dengan mengadakan kempen secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi
pendidikan. Hal ini kerana melalui kempen di sekolah dan instituti pengajian tinggi dilihat
mampu memberi maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah
misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja dapat diadakan kempen
secara formal tetapi juga melalui kempen tersembunyi yang wajib diselitkan dalam
kurikulum bilik darjah oleh guru. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu
mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pengajaran
yang bermotivasi. Sebagai contoh, kempen tersembunyi dalam bilik darjah dapat
diterapkan dalam mata pelajaran Sains. Dalam mata pelajaran Sains, pelbagai kesan
merokok dapat diketahui oleh pelajar berserta dengan bukti yang kukuh dan maklumat
yang diperolehi melalui pengajaran guru. Jadi, secara khususnya, dapatlah dikatakan
bahawa kempen secara berterusan merupakan cara berkesan yang patut diteruskan dalam
mengurangkan jumlah perokok sedikit demi sedikit di negara kita.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa tabiat merokok merupakan


penyakit yang agak sukar untuk diselesaikan secara mendadak oleh semua pihak di negara
kita. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan mustahil untuk diselesaikan seperti yang kita
tahu ada satu perpatah mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain iaitu
setiap langkah penyelesaian pasti ada kesudahannya. Oleh itu, usaha menangani tabiat
merokok sudah pastinya memerlukan komitmen daripada semua pihak bermula daripada
institusi keluarga lagi melalui didikan ibu bapa terhadap anak-anak dan seterusnya pada
peringkat yang lebih tinggi. Apa yang pasti, melalui kerjasama dan kesedaran semua pihak
maka masalah ini dapat dilenyapkan secara evolusi sekaligus menjadikan masyarakat kita
bebas daripada tabiat merokok. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Tegasnya, bersatulah kita dalam menangani masalah rokok bersama-sama.

You might also like