You are on page 1of 13

KOD KURSUS:

LMCW2153

NAMA KURSUS:

PENGHAYATAN ETIKA DAN PERADABAN (SET 16)

TAJUK TUGASAN:

ULASAN ARTIKEL:

SERAMBI RUMAH TRADISIONAL MELAYU NEGERI SEMBILAN SEBAGAI


RUANG MULTIFUNGSI - PERANAN DALAM ADA

DISEDIAKAN OLEH:

SATHEES BALACHANDRU (A177140)

NAMA PENSYARAH:

DR. WARDAH MUSTAFA DIN


PERAKUAN KEASLIAN PENULISAN

Dengan ini saya mengakui bahawa hasil penulisan saya untuk tugasan individu ulasan
artikel bagi subjek LMCW2153 Penghayatan Etika dan Peradaban ini adalah karya asli
dan merupakan hasil penulisan diri saya sendiri.

Sathees

__________________ (Tandatangan)

Nama Pelajar: Sathees Balachandru

No Matriks: A177140

Tarikh: 5/ 12/ 2020


1.0 PENGENALAN

Pada era globalisasi ini, rekabentuk rumah kediaman masyarakat Melayu moden telah
dipengaruhi oleh rekabentuk rumah moden yang berkonsepkan satu aspek pembinaan
sahaja. Hal ini mengabaikan banyak faktor utama ciri rekabentuk rumah masyarakat
Melayu yang efektif sehingga membawa kepada ketidakselesaan penghuni rumah. Secara
asasnya penafsiran semula terhadap pembinaan ruang dalam rumah masyarakat Melayu
perlu dilaksanakan semula kerana ianya merupakan lambang ketamadunan masyarakat
Melayu di negara kita. Artikel yang merupakan sebahagian daripada jurnal yang bertajuk
“Journal of Design and Built Environment” ini membawa motif utamanya iaitu untuk
mengenalpasti peranan ruang serambi rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan di dalam
perlaksanaan Adat Pepatih. Selain itu, artikel ini membincangkan tentang ruang utama
rekabentuk rumah masyarakat Melayu yang berkait rapat dengan Adat Pepatih di Negeri
Sembilan iaitu ruang yang dinamakan serambi. Serambi rumah Melayu ini dapat
didefinasikan sebagai ruang yang bersifat luas, terbuka dan memanjang yang berada di
kedudukan paling hadapan pada rekabentuk rumah tradisional Melayu.Tambahan pula,
artikel ini juga membincangan empat kegunaan utama serambi dalam Adat Pepatih Negeri
Sembilan. Kajian artikel ini lebih menjelaskan adat dan upacara yang dijalankan di ruang
serambi ini dan dapat dilihat begitu efektif ruang serambi itu digunakan untuk
mengamalkan Adat Pepatih Negeri Sembilan. Ruang di sebuah rumah itu amat penting
seperti dikatakan dalam artikel ini kerana ruang itu boleh digunakan untuk pelbagai jenis
pelaksanaan adat serta aktiviti sosial. Dalam Adat Pepatih ruang serambi memainkan
peranan yang besar dalam perlaksanaan adat bermula dari seseorang bayi itu dilahrikan
sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sememangnya, usaha artikel ini dapat
dibanggakan kerana ruang serambi itu mengajar banyak perkara kepada masyarakat
Melayu Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Pepatih ini. Tuntasnya, kajian yang
dijalankan terhadap responden yang dipilih menyerikan lagi artikel dengan pandangan
daripada responden memberikan gambaran yang lebih luas mengenai ruang serambi yang
menjadi perbincangan utama artikel ini dan mengajar kita etika dan peradaban yang betul
sebagai seorang manusia.
2.0 LATAR BELAKANG

Sebelum pengulasan yang lebih jelas dan terperinci oleh penulis, dalam bahagian ini,
penulis akan menerangkan tajuk artikel, penulis, nama jurnal, penerbit jurnal, bilangan
halaman dan jumlah perkataan serta susunan artikel dengan lebih terperinci. Artikel yang
dikaji oleh penulis bertajuk “Serambi Rumah Tradisional Melayu Negeri Sembilan Sebagai
Ruang Multifungsi – Peranan Dalam Adat”. Artikel ini ditulis oleh dua orang iaitu Siti
Fatimah Tuzzahrah Binti Hj Abd Latif dan Kamarul Afizi Kosman. Kedua-dua penulis ini
merupakan penuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan
Malaysia. Artikel ini diterbitkan dalam jurnal yang bertajuk “Journal of Design and Built
Environment” dan bernombor Vol. 17, No.2. “Journal of Design and Built Environment”
(JDBE) adalah penerbitan capaian terbuka dan percuma yang diindeks oleh SCOPUS oleh
Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya. Diterbitkan dua tahun sekali, JDBE biasanya
memuatkan empat subtopik akademik dari berbagai topik yang melaporan isu-isu di
persekitaran binaan, seperti seni bina dan reka bentuk termasuk seni bina lanskap,
perancangan dan kajian bandar dan wilayah, tinjauan bangunan dan kuantiti serta kajian
dan pengurusan harta tanah. Di samping itu, jurnal ini diterbitkan pada 31 Disember 2017
dan mempunyai 50 muka surat dan 27,064 patah perkataan. Jurnal ini juga merupakan
pemenang anugerah “CREAM Awards 2018” daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Artikel ini telah disusun mengikut beberapa bahagian utama yang dimulai dengan
abstrak, pengenalan, objektif dan metodologi kajian, hasil dan perbincangan serta
kesimpulan. Dalam bahagian pertama iaitu abstrak dan pengenalan, artikel ini memberi
idea asas kepada pembinaan atau rekabentuk rumah yang tidak mengiku gaya masyarakat
Melayu awal dan merumuskan bahawa rekabentuk rumah kini lebih kepada rekabentuk
moden. Seterusnya, di bahagian abstrak dan pengenalan artikel menerangkan bahawa
rekabentuk rumah masyarakat Melayu adalah identiti negara kita dan penafsiran semula
rekabentuk rumah perlu dilakukan bagi membawa balik kegemilangan rekabentuk tersebut
akibat dunia moden yang mengamalkan rekabentuk rumah moden dan sekaligus
mengabaikan identiti negara kita iaitu rumah tradisional masyarakat Melayu. Di samping
itu, bahagian ini mengkhususkan topik perbincangan kepada rekabentuk rumah masyarakat
Melayu di Negeri Sembilan dan kegunaan-kegunaan utamanya dalam Adat Pepatih Negeri
Sembilan. Dalam bahagian ini juga artikel memperkenalkan sebuah ruang istimewa yang
terdapat dalam rumah tradisional masyarakat Melayu Negeri Sembilan iaitu ruang yang
diberi nama serambi yang juga merupakan ruang utama semasa pengamalan Adat Pepatih
di Negeri Sembilan.

Pada bahagian ketiga artikel selepas abstrak dan pengenalan, artikel telah
memfokuskan kepada objektif dan metodologi kajian. Objektif kajian dan penulisan artikel
ini adalah untuk mengenalpasti peranan ruang serambi rumah tradisional Melayu Negeri
Sembilan di dalam perlaksanaan aktiviti Adat Pepatih. Dalam bahagian ini juga diterangkan
bagaimana data itu dikumpul iaitu dengan menggunakan kaedah kualitatif iaitu menerusi
gabungan diantara kajian naratif, pemerhatian dan penganalisaan kajian lepas. Selain itu,
kajian ini juga menampakan responden-responden yang dipilih adalah yang berkebolehan
dan mahir dalam pengamalan Adat Pepatih di Negeri Sembilan. Hal ini amat dititikberatkan
kerana kajian tersebut tidak boleh ada sebarang kesalahan dari segi adat yang diamalkan.

Dalam bahagian keempat pula, penulis artikel tersebut memulakan isi dengan
pendahuluan isi iaitu maksud dan ciri-ciri ruang utama yang dibincangkan alam artikel ini
iaitu ruang serambi. Penulis memberikan definisi yang kukuh bagi serambi iaitu sebuah
ruang yang bersifat terbuka, luas dan memanjang yang berada di kedudukan paling hadapan
pada rekabentuk rumah tradisional Melayu. Dalam bahagian ini juga penulis artikel
menerangkan mengenai ciri-ciri asas serambi seperti anggaran ukuran bagi serambi, jenis-
jenis aktiviti yang sesuai dilakukan di ruang serambi, bahagian-bahagian yang dibahagikan
dalam ruang serambi dan sebagainya.

Seterusnya, artikel ini membawa isi perbincangan yang menjadi tujuan kajian iaitu
peranan utama ruang serambi. Penulis artikel membahagikan peranan utama serambi
kepada empat iaitu ruang perbincangan adat, ruang ritual adat, ruang sosial dan pendidikan
adab. Dalam bahagian ini penulis memperincikan setiap adat yang menghubungkaitkan
ruang serambi untuk perlaksanaan adat tersebut. Akhir sekali, penulis mengakhiri artikel
dengan kesimpulan yang cukup baik dengan pemberian tumpuan kepada kehebatan
rekabentuk rumah tradisonal masyarakat Melayu yang mempunyai banyak kelebihan dan
menjadi kebanggaan rakyat tempatan.
3.0 ISI PENTING

Artikel yang bertajuk “Serambi Rumah Tradisional Melayu Negeri Sembilan Sebagai
Ruang Multifungsi – Peranan Dalam Adat” membincangkan beberapa elemen penting
ataupun kegunaan utama ruang serambi dalam rumah tradisional masyarakat Melayu
Negeri Sembilan dalam pengamalan Adat Pepatih. Terdapat empat fungsi utama ruang
serambi ini iaitu sebagai ruang perbincangan adat, ruang ritual adat, ruang sosial dan
pendidikan adab. Empat fungsi utama inilah yang menonjolkan kehebatan adat yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Pepatih
bahawa nilai seseorang individu itu boleh dibendung melalui pengamalan adat.

3.1 Ruang Perbincangan Adat

Isi pertama bagi fungsi utama serambi adalah ruang perbincangan adat. Hal ini dipersetujui
oleh para responden yang memberikan hujah mereka dalam kajian yang dilakukan. Para
responden mengatakan bahawa serambi memainkan peranan yang penting sebagai sebuah
ruang menjalankan perbincangan berkenaan adat ataupun dipanggil kerapatan adat dalam
Adat Pepatih sebelum atau sewaktu majlis aktiviti adat berlangsung. Mereka juga
mengatakan bahawa perbincangan berkenaan adat wajib dijalankan di ruang pangkal
serambi kerana ianya melibatkan buapak yang merupakan ketua adat dan juga individu
yang akan dirujuk dalam segala permasalahan berkaitan perihal adat mahupun kehidupan
seharian. Responden juga memberikan contoh situasi ataupun pengalaman berkenaan adat
nikah kahwin yang mengamalkan konsep kerapatan adat di ruang serambi. Dalam Adat
Pepatih sewaktu adat nikah kahwin akan berlangsungnya adat berkampung dua peringkat
iaitu berkampung anak-beranak dan berkampung ramai. Adat berkampung anak-beranak
merupakan aktiviti perbincangan yang dilakukan oleh keluarga terdekat bersama buapak
suku, bagi membincang berkenaan perlaksanaan majlis adat yang akan dilaksanakan
termasuklah perkara asas seperti kemampuan kewaangan, tetamu jemputan, peralatan adat
dan lain-lain untuk melancarkan perjalanan majlis perkahwinan yang akan berlangsung.
Setelah kesepakatan dicapai, maka penentuan tarikh kayu berakar (persediaan majlis
perkahwinan) akan ditetapkan dan selepas itu dilaksanakana adat berkampung ramai di
mana ianya melibatkan anggota keluarga yang lebih besar bagi perbincangan agihan kerja
bersama buapak.

Rekabentuk ruang serambi yang memanjang dan luas membolehkan semua hadirin
duduk memanjang menghadap satu sama lain. Konsep binaan serambi ini berkait rapat
dengan rekabentuk ruang mesyuarat di mana dalam konsep serambi ini kesemua ruang
digunakan bagi menjalankan perbincangan. Keselesaan ruang tersebut dengan banyak
bukaan tingkap, pintu dan kekisi angin melancarkan lagi mesyuarat atau musyawarah yang
diadakan. Dengan ini penulis artikel memberi kesimpulan untuk isi yang pertama iaitu
bermesyuarat adalah satu bentuk muafakat yang menjadi teras hidup dan masyarakat
Melayu sememangnya bijak untuk melaksanakan sebuah rekabentuk ruang yang sesuai
dengan konsep ini.

3.2 Ruang Ritual Adat

Isi yang kedua dalam artikel adalah ruang ritual adat iaitu aturan-aturan yang digunakan
sewaktu melaksanakan adat di mana perlaksanaan adat ini adalah lambang perilaku tertentu
dan bersifat formal. Semua responden bagi kajian ini bersetuju bahawa ritual adat ini adalah
amalan yang penting dalam pengamalan adat dan memberikan contoh serta pengalaman
yang mereka lalui sebelum ini. Perlaksanaan adat Berkadim Aur Serumpun merupakan apa
yang dikongsikan oleh responden di mana ianya merupakan adat yang dilakukan untuk
mengambil anak angkat secara sah bagi tujuan mewarisi harta pusaka bagi pasangan suami
isteri yang tiada anak perempuan. Masyarakat Melayu Negeri Sembilan mengamalkan
konsep matrilineal di mana pewarisan harta pusaka adalah kepada anak perempuan sahaja
ddan anak lelaki hanya menjadi penyandang jawatan. Upacara adat ini akan berlangsung di
bahagian tengah serambi. Menurut responden peralatan memainkan peranan dalam adat-
adat sebegini dan untuk adat yang diterangkan oleh responden pantar (dulang) berisi darah
lembu atau kerbau, kain putih berukuran 2 meter, wang istiadat, surat pengesahan adat dan
senaskah Al-Quran akan diletakkan di zon serambi tengah. Individu yang berkadim akan
duduk di tengah bersama ibu soko (perempuan tertua dalam perut suku) di ruang rumah ibu
sehingga dipanggil oleh tuo waris (lelaki tertua dalam perut suku) ke ruang tengah serambi
untuk upacara seterusnya dan diketuai oleh buapak serta dibantu oleh tuo waris bagi
melancarkan upacara tersebut.

Bahagian ini dengan lebih jelas menerangkan tentang perlaksanaan upacara adat di
mana serambi menjadi ruang utama sebagai ruang ritual adat. Penulis mengatakan bahawa
zon serambi tengah sesuai digunakan untuk upacara yang dijelaskan oleh responden kerana
kedudukannya yang berada di tengah-tengah antara ruang hujung dan pangkal serambi di
mana senang untuk memerhati sewaktu upacara berlangsung. Selain itu, kedudukan
tersebut berhampiran dengan pintu masuk ke rumah ibu. Responden juga bertambah hujah
bahawa setiap jenis upacar mempunyai caranya tersendiri. Tambahan pula, di bahagian
artikel ini diselitkan juga jadual aktiviti upacara di ruang serambi beserta dengan peralatan
ritual adat, alatan kebesaran adat dan lokasi ritual untuk lebih faham akan sistem Adat
Pepatih yang melibatkan ritual adat.

3.3 Ruang Sosial

Isi seterusnya yang diterangkan oleh penulis adalah serambi ini juga digunakan sebagai
ruang sosial di mana pada pandangan ahli sosiologi bermaksudtempat masyarakat
berkumpul dan berinteraksi antara satu sama lain tanpa sekatan. Bagi masyarakat Adat
Pepatih ruang serambi ini digunakan sebagai ruang sosial bagi penghuni berinteraksi
dengan masyarakat sekeliling serta menjalankan aktiviti adat. Responden bagi kajian ini
juga memberikan beberapa situasi dan pengalamannya dalam hal ini. Situasi adat merisik
diterangkan oleh responden di mana adat merisik ini dilakukan oleh pihak lelaki kepada
pihak perempuan melalui monti (orang perantaraan). Adat ini diteruskan dengan monti
berjumpa dengan pihak perempuan bagi merisik status diri, latar belakang da nasal usul
perempuan yang hendak disunting. Adat ini memerlukan dua peralatan utama iaitu cincin
tanya dan epok di mana setelah cincin diterima oleh pihak perempuan mereka perlu
memberitahu perkara itu kepada saudara terdekat. Tempoh pemberitahuan keputusan
adalah tidak tetap dan ada cara berhemah tersendiri yang perlu diikuti oleh masyarakat yang
mengamalkannya apabila memberitahu keputusan.

Responden juga memberikan satu lagi situasi iaitu situasi sewaktu adat menjemput
ketua atau pembesar adat bagi sesuatu majlis. Sewaktu datang menjemput, tetamu akan
dipelawa ke serambi tengah atau pangkal oleh tuan rumah dan sewaktu anak buah datang
berkunjung mereka akan membawa bersama epok untuk diserahkan kepada ketua adat dan
menyuarakan hajat. Epok atau lebih dikenali sireh dan pinang adalah dianggap sebagi
pembuka kata dan tanda mendirikan adat. Berdasarkan dua situasi yang dikongsikan oleh
responden, penulis artikel menyatakan bahawa ruang serambi sememangnya sesuai untuk
aktiviti interaksi dan bersosial kerana ruangnya yang luas dan dibahagikan mengikut
pemegang amanah yang akan duduk di setiap pembahagian ruang. Masyarakat Melayu
sememangnya mempunyai idea yang luas dalam pemisahan ruang walaupun dalam
kekurangan infrastruktur sewaktu awal penubuhan sistem Adat Pepatih ini.

3.4 Pendidikan Adab

Isi terakhir yang dibincangkan oleh penulis adalah pendidikan adab yang didefinisikan
sebagai tingkah laku serta tutur kata yang sopan, berbudi bahasa serta mempunyai
kehalusan dan kebaikan busi pekerti dan kesemua ini mempunyai kaitan dengan pendidikan
dan etika manusia (Zurakintan Abdul Razak & Che Ibrahim Salleh, 2015). Menurut
kenyataan responden ruang serambi memainkan peranan yang besar sebagai ruang
pendidikan adab susila masyarakat yang dapat dilihat sewaktu perlaksanaan aktiviti Adat
Perpatih. Berdasarkan kenyataan responden, kedudukan pembesar adat dan tetamu bergelar
adalah di ruang serambi hujung sewaktu majlis adat berlangsung. Faktor kedudukannya di
bahagian hujung rumah menjadikan ruang tersebut bersifat lebih privasi dan dapat
mengelak daripada sebarang perlakuan kurang sopan tetamu seperti bergerak atau melintas
di hadapan tetamu terhormat. Aturan ruang yang dicipta telah menzahirkan budaya
menghormati dan memuliakan ketua dalam kalangan anak buah kepada ketua dan pembesar
mereka. Zon serambi hujung dan pangkal juga dihiasi dengan alatan kebesaran adat seperti
tabir langit-langit, tabir lingkung, tikar rompok, tikar langkat dan diletakkan peminangan
pula adalah sebagai tanda meraikan ketua oleh anak buah selain sebagai kewajiban dalam
mendirikan adat.

Selain itu, menurut responden, peranan ruang serambi sebagai ruang pendidikan
adab sewaktu perlaksanaan acara Adat perpatih bagi masyarakat di Negeri Sembilan dan
aktiviti makan berselo adalah budaya yang diamalkan oleh masyarakat adat di Negeri
Sembilan bagi meraikan tetamu yang hadir dalam majlis adat yang dianjurkan oleh tuan
rumah. Ruang serambi yang berfungsi sebagai ruang perlaksanaan upacara adat
sebelumnya telah ditranformasikan fungsinya sebagai ruang makan bagi meraikan tetamu
yang hadir ke majlis tersebut. Ruang serambi dikhususkan kepada kaum lelaki manakala
ruang rumah ibu dan dapur adalah ruang bagi kaum wanita menikmati hidangan.
Pengasingan ruang antara kaum lelaki dan wanita dalam rumah tradisional melambangkan
konsep moral yang tinggi wujud dalam kalangan masyarakat adat selaras dengan kehendak
hukum syarak yang melarang pergaulan bebas antara kaum lelaki dan wanita yang bukan
muhrim. Selain itu, penyediaan hidangan dan penggunaan kelengkapan khas bagi tetamu
istimewa seperti buapak, lembaga dan penghulu luak sewaktu adat makan berselo
berlangsung adalah sebagai simbol penghormatan dan penghargaan anak buah terhadap
ketua mereka dalam memimpin adat.

4.0 ANALISIS DAN KRITIKAN ARTIKEL

Artikel ini sememangnya memberikan banyak maklumat kepada seseorang yang ingin
mengetahui dengan lebih mendalam mengenai rekabentuk rumah tradisional Melayu
Negeri Sembilan tetapi terdapat beberapa aspek kelebihan dan kekurangan yang terdapat
dalam asas pengamalan adat dan rekabentuk tersebut. Dalam bahagian analisis penulis akan
membincangkan kelebihan dan kekurangan utama dalam pengamalan adat serta rekabentuk
serambi rumah tradisional Melayu Negeri Sembilan.

4.1 Kelebihan

Penulis artikel menerangkan dengan terperinci mengenai kegunaan utama ruang serambi
tersebut dan membahagikan fungsi kepada empat bahagian supaya pembaca dapat
membezakan dengan betul mengenai adat yang dipraktikkan pasa masa-masa tertentu. Pada
pandangan saya, rekabentuk serambi dalam rumah tradisional Melayu amat berguna
sehingga kini. Hal ini demikian kerana perbincangan atau musyawarah dalam sesebuah
keluarga itu akan sentiasa ada dan jika rekabentuk rumah kini mempunyai ruang seperti
serambi ini maka ianya akan memudahkan lagi perbincangan yang dilakukan. Jika kita lihat
dalam rekabentuk moden kini binaan privasi individu tidak dapat dijaga dengan betul
kerana ruang-ruang dalam rekabentuk moden ini kurang memfokuskan tentang privasi
inidividu. Hal ini diambil berat dalam binaan rumah tradisional Melayu di Negeri Sembilan
di mana ruang serambi dalam rekabentuk rumah tersebut menjaga privasi antara ahli-ahli
keluarga. Perkara ini dapat dilihat apabila berlakunya sesuatu aktiviti atau adat dalam ruang
serambi di mana terdapat juga ruang ibu yang dikhaskan untuk kaum wanita atau ahli
keluarga yang tidak menyertai upacara atau aktiviti yang dijalankan. Dengan ini terbukti
bahawa sememangnya binaan dan pengagihan ruang dalam rekabentuk rumah tradisional
masyarakat Melayu perlu diberi tumpuan dalam pembinaan zaman moden ini.

4.2 Kekurangan

Artikel ini memberikan kita nikmat kepuasaan yang baik apabila mengetahui bahawa
rekabentuk tradisional rumah-rumah Melayu mempunyai banyak kelebihan berbanding
rekabentuk rumah moden kini tetapi terdapat juga beberapa kekurangan kecil yang mampu
ditambah baik dalam rekabentuk serta adat yang diamalkan. Antaranya, sesetengah adat
yang diamalkan dalam Adat Pepatih tidak memberi kesamarataan kepada kaum wanita
untuk bersama kaum lelaki dalam melakukan upacara atau aktiviti tersebut. Contohnya,
sewaktu pengamalan budaya makan berselo kaum lelaki diberi kebebasan untuk makan di
ruang serambi dan kaum wanita pula di ruang ibu. Rekabentuk ruang serambi dan ruang
ibu juga dipsahkan mengikut kebebasan kaum lelaki dan kaum wanita. Pada pendapat saya,
sesuatu adat tidak boleh mengetepikan kaum wanita daripada upacara atau aktiviti
kekeluargaan kerana mereka juga berhak menjadi sebahagian besar dalam aktiviti-aktiviti
yang dijalankan bersama ahli keluarga mereka.

5.0 KESIMPULAN

Tuntasnya, penulis mendapati bahawa kajian yang telah dilakukan menunjukkan


masyarakat Melayu tradisional sememangnya telah melalui fasa hidup yang baik dalm
membangunkan adat serta lambang kebanggaan negara kita. Oleh itu, penulis berpendapat
bahawa pada zaman moden ini masyarakat tidak boleh memandang rendah dan mengikut
jejak langkah mereka dalam memartabatkan lambang dan identiti negara kita. Perkara
paling penting yang dititikberatkan melalui artikel ini adalah rekabentuk rumah tradisional
dan pembahagian ruang dalam kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Tidak
dapat dinafikan bahawa masyarakat tradisional Melayu sememangnya bijak dalam
rekabentuk rumah mereka kerana setiap ruang yang dibahagikan mempunyai fungsinya
yang tertentu.

Berdasarkan kajian, dapat di rumuskan bahawa, bagi menghasilkan sebuah rekaan


ruang rumah kediaman yang terbaik dan berfungsi mengikut acuan budaya kebangsaan,
faktor-faktor seperti nilai sosio-budaya, keagamaan, amalan adat, latar belakang ekonomi
masyarakat serta iklim persekitaran perlu diberi perhatian, difahami dan diselami setiap
satunya oleh para professional dan perekabentuk sebelum menghasilkan sesebuah rekaan.
Misalnya, konsep rekabentuk ruang serambi rumah Melayu tradisional Negeri Sembilan
ciptaan masyarakat terdahulu boleh di jadikan inspirasi dalam pembinaan rumah pada
zaman moden ini. Oleh itu, penulis percaya bahawa jika penafsiran semula terhadap
rekabentuk rumah berlaku maka lambang dan identiti asli negara kita akan kekal memberi
keselesaan kepada masyarakat Malaysia.
RUJUKAN

1. Dr. Asrul. M. R. Journal of Design and Built Environment. 2017.


https://ejournal.um.edu.my/index.php/jdbe/about/editorialTeam

2. Norhalim. I. 1993. Adat Negeri Sembilan Melalui Masa. Warisan. Vol.17. 7-51.

3. Siti. F. T, Kamarul. A. K. 2017. Serambi Rumah Tradisional Melayu Negeri


Sembilan Sebagai Ruang Multifungsi – Peranan Dalam Adat. Bangi. Fakulti
Kejuruteraan dan Alam Bina. Universiti Kebangsaan Malaysia.

4. Yaakub. I. 1996. Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Shah Alam.Fajar Bakti.

You might also like