You are on page 1of 12

PEMBINAAN TATABAHASA PEDAGOGI

BAHASA MELAYU
Oleh
Mohd Ra’in Shaari
Adenan Ayob
Abdullah Yusof
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abstrak

Kertas kerja ini meneliti aspek pembinaan tatabahasa pedagogi


bahasa Melayu berdasarkan konteks budaya di Malaysia.
Pembinaan tatabahasa pedagogi bahasa Melayu yang memenuhi
prinsip-prinsip tertentu termasuklah konteks budaya pelajar
belum berjaya dihasilkan sepenuhnya. Justeru, kertas ini
mencuba untuk mengkaji apakah prinsip-prinsip yang wajar
diambil kira dalam penghasilan tatabahasa pedagogi ini.
Responden kajian ini ialah 50 orang pelajar kursus Sintaksis
Bahasa Melayu di UPSI yang terdiri daripada pelajar Melayu,
Cina, India, dan Bumiputera Borneo. Teori yang menjadi
sandaran dalam kajian ini ialah Teori Relevans (Sperber dan
Wilson 1995). Teori ini beranggapan bahawa semakin relevan
bahan yang dipilih, maka semakin mudah bahan itu difahami.
Dapatan kajian ini mendapati bahawa bahan berkonteks budaya
sangat penting dalam pembinaan tatabahasa pedagogi bahasa
Melayu.

1.0 PENGENALAN

Kertas kerja ini meneliti aspek pembinaan tatabahasa pedagogi bahasa Melayu.
Kajian menyeluruh tentang aspek tatabahasa pedagogi bahasa Melayu belum
dilakukan sepenuhnya. Justeru, kertas ini mencuba untuk menjelaskan konsep dan
prinsip-prinsip yang wajar dipatuhi sewaktu membina aspek tatabahasa pedagogi
bahasa Melayu.

2.0 PERMASALAHAN KAJIAN

Tabahasa Dewan merupakan buku rujukan tatabahasa utama digunakan oleh guru,
pensyarah mahupun oleh pihak awam. Buku tatabahasa ini telah memenuhi objektif
penerbitannya iaitu memberi penerangan tentang peraturan-peraturan tatabahasa
merangkumi bidang morfologi dan sintaksis. Justeru, buku Tatabahasa Dewan ini
telah diiktiraf sebagai tabahasa rujukan atau pegangan di Malaysia.

1
Persoalan yang perlu ditimbulkan adakah Tatabahasa Dewan sesuai diguna
pakai secara terus di dalam bilik darjah? Penggunaan Tatabahasa Dewan secara terus
di dalam bilik darjah boleh menimbulkan masalah dari segi kesesuaian kerana
tatabahasa ini dikategorikan sebagai tatabahasa deskriptif atau tatabahasa umum.
Tatabahasa deskriptif hanya sesuai dijadikan rujukan oleh para guru di luar bilik
darjah. Oleh kerana buku Tatabahasa Dewan dikategorikan sebagai tatabahasa
deskriptif dan tidak boleh diguna secara terus di dalam bilik darjah, maka sebuah
buku tatabahasa lain perlu digubal bagi memenuhi keperluan murid-murid sekolah.
Justeru, pengahasilan tatabahasa pedagogi oleh guru-guru dapat membantu murid
mempelajari aspek tatabahasa dengan lebih mudah dan berkesan.

3.0 KERANGKA TEORI

Kerangka teori diperlukan khususnya sewaktu membina bahan tatabahasa pedagogi.


Berikut akan dijelaskan secara ringkas tentang kerangka teori tersebut.

Teori Relevans

Teori relevans telah diperkenalkan oleh Sperber dan Wilson bagi menggantikan teori
Grice yang mempunyai beberapa kelemahan (Nor Hashimah Jalaluddin 1992: 33).
Teori relevans mencakupi fakta tentang pembentukan dan pemilihan konteks serta
prinsip relevans. Prinsip asas teori relevans ialah setiap manusia berkomunikasi
dengan berorientasikan relevan.

Teori ini menekankan tiga gagasan utama iaitu konteks, kesan konteks dan
usaha memproses. Semakin banyak kesan konteks yang diperoleh semakin kurang
usaha memproses maklumat yang diperlukan, maka semakin relevanlah ujaran itu.
Jika sebaliknya iaitu terlalu sedikit kesan konteks yang diperoleh semakin tinggilah
usaha untuk memproses maklumat, maka semakin tidak relevanslah ujaran itu. Teori
ini juga dikaitkan dengan kognisi kerana peranan otak terlibat dalam merancangkan
komunikasi bagi penutur/penulis dan menganalisis mesej bagi pihak
pendengar/pembaca.

Bagi penerangan yang lebih mendalam, di bawah ini akan dijelaskan tentang
ketiga-tiga gagasan yang terdapat dalam teori relevans, iaitu:

Konteks

Konteks merupakan seberkas andaian atau kemungkinan idea tentang dunia sama
ada dari segi mental mahupun persekitaran dengan pengertian bahawa andaian itu
sendiri boleh wujud dalam situasi mental mahupun yang diperoleh daripada
persekitaran yang sebenarnya. Oleh sebab keterlibatan konteks mental dan juga

2
persekitaran dalam interpretasi ujaran, maka konteks dibina secara psikologi oleh
pendengar (Hashim Musa & Ong Chin Guan 1998:94).
Konteks tidak hanya terhad kepada maklumat tentang persekitaran fizikal
yang paling dekat dan ujaran yang terdahulu yang paling hampir. Konteks juga
melibatkan masa depan, hipotesis saintifik atau kepercayaan agama, kenangan lucu,
andaian am tentang budaya dan kepercayaan terhadap pemikiran si penutur.
Kesemuanya memainkan peranan dalam interpretasi ujaran (Sperber dan Wilson
1995).
Konteks awal boleh dikesan melalui tiga cara berdasarkan alternatif berikut:
i) Melihat ke arah ujaran/ayat terdahulu. Setiap manusia yang
berkomunikasi diandaikan akan menggunakan sederetan ayat yang
mempunyai kesatuan dari segi wacana. Maklumat-maklumat yang
dibekalkan oleh ujaran/ayat terdahulu sangat berguna untuk membantu
pendengar/pembaca dalam proses menginterpretasikan makna dengan
lebih mudah.

ii) Melihat ke arah alam persekitaran. Kebijaksanaan pendengar/pembaca


untuk mengaitkan apa saja yang ada di dunia persekitarannya dengan
apa saja yang diujarkan, akan membantu proses interpretasi makna.

iii) Merujuk kepada ensiklopedia. Setiap peristiwa yang ditempuhi oleh


seseorang, akan disimpan dalam otak sebagai catatan memori yang
sama dengan ensiklopedia. Simpanan ensiklopedia ini sangat berguna
apabila kita ingin mengaitkan peristiwa yang sedang diperkatakan
dengan peristiwa yang pernah ditempuh oleh pendengar/pembaca.

Kesan Konteks

Kesan konteks merupakan andaian awal yang ada pada pendengar/pembaca tentang
maklumat yang relevan dengan diri pendengar/pembaca itu. Sesuatu ujaran akan
dianggap menjadi lebih relevan jika mempunyai lebih banyak kesan konteks.
Dalam sesuatu perbualan, pendengar akan menggabungkan atau memperkuat atau
menggugurkan konteks yang ingin dikaitkan oleh penutur dengan andaian awal yang
sedia ada untuk menghasilkan kesan konteks. Sesuatu andaian akan menjadi relevan
dalam sesuatu konteks jika mempunyai beberapa kesan konteks ketika berada dalam
satu konteks. Kemampuan untuk menghubungkan konteks sangat penting bagi
membolehkan ujaran menjadi relevan.
Dalam mencari sesuatu kesan konteks, penutur dan pendengar akan
melakukan beberapa proses (Nor Hashimah Jalaluddin 2003), iaitu:

3
i) Penggabungan Maklumat.
Proses penggabungan maklumat berlaku apabila pendengar/pembaca
mempunyai beberapa andaian awal yang selaras dengan maklumat
baru penutur. Keadaan ini membolehkan pendengar/pembaca
memproses mesej dengan lebih mudah dan jelas.
ii) Penguatan Maklumat.
Proses ini berlaku apabila andaian pendengar/pembaca dapat dikuatkan
dengan maklumat baru yang diberikan oleh penutur/penulis. Maklumat
awal penting kerana dapat membantu pendengar menginterpretasi
makna ujaran sebenar.
iii) Pengguguran Maklumat.
Suatu proses yang menunjukkan berlakunya pertentangan maklumat
antara andaian awal pendengar dengan maklumat baru penutur. Ini
akan menyebabkan berlakunya percanggahan andaian. Pertentangan
maklumat menyebabkan andaian yang lemah antara kedua-dua
maklumat ini akan digugurkan bagi membantu membentuk kesan
konteks yang lebih baik. Perkara yang paling penting di sini ialah
untuk memastikan maklumat itu relevan, maklumat itu seharusnya
kaya dengan kesan konteks yang boleh membantu interpretasi makna.

Usaha Memproses Maklumat

Satu lagi aspek yang penting dalam teori relevans ialah usaha atau kos memproses
maklumat. Cara kita memperoleh kesan konteks haruslah seimbang dengan usaha
memproses maklumat dan usaha memproses maklumat itu seharusnya menggunakan
maklumat yang seminimum mungkin. Semakin rendah kos memproses, maka
semakin relevanlah pengujaran itu. Hal ini penting bagi menjamin kerelevanan
sesuatu ujaran.
Dalam usaha memproses sesuatu maklumat, terdapat tiga subgagasan yang
perlu diberi perhatian kerana sangat berkait rapat dengan konsep-konsep teori
relevans (Nor Hashimah Jalaluddin 1992). Tiga subgagasan tersebut ialah:

i) Penyahtaksaan (disambiguation)
Membuang maklumat-maklumat bertentangan.
ii) Pemilihan rujukan (reference assignments)
Menentukan rujukan mana yang kita guna seperti dalam kes ketiadaan
objek selepas kata kerja transitif.
iii) Pengayaan (enrichment)
Maklumat baru dibekalkan sebagai maklumat tambahan kepada
maklumat sedia ada.

4
Sebagai rumusannya, sewaktu membina bahan pengajaran tatabahasa aspek konteks
wajar diberi perhatian. Teori ini beranggapan bahawa semakin relevan bahan yang
dipilih, maka semakin mudah bahan itu difahami oleh murid-murid, dan begitu
jugalah sebaliknya.

4.0 PRINSIP TATABAHASA PEDAGOGI

Tatabahasa pedagogi berbeza dengan tatabahasa deskriptif atau tatabahasa umum


kerana ia mempunyai beberapa prinsip yang perlu dipatuhi sewaktu membina
tatabahasa jenis ini. Menurut David Newby (2015), antara prinsip-prinsip tatabahasa
pedagogi adalah berikut:

1) Model Pengajaran. Guru wajar menentukan model pengajaran yang manakah


yang akan diguna pakai sewaktu mengajar aspek tatabahasa. Pemilihan model
pengajaran yang tepat dan sesuai akan memudahkan sesi pengajaran aspek
tatabahasa yang dipilih. Antara model pengajaran yang boleh dipilih ialah
Model Konstruktif, Model Komunikatif, PBL dan sebagainya.

2) Rumus Tatabahasa: Menentukan peraturan atau rumus tatabahasa yang hendak


diajar dan seterusnya menerangkan rumus tatabahasa berdasarkan model yang
telah dipilih oleh guru.

3) Pemilihan Aspek Tatabahasa. Memilih hanya satu aspek tatabahasa sahaja


untuk dipersembahkan kepada pelajar pada satu-satu sesi pengajaran dan
pembelajaran (PdP).

4) Pakej PdP. Membuat keputusan bagaimana untuk membentangkan dan


menstrukturkan perihalan aspek tatabahasa tersebut; bagaimana untuk
menentukan objektif tatabahasa; bagaimana untuk merumuskan peraturan
tatabahasa dan contoh; penggunaan istilah dan lain-lain.

5) Penggredan. Menetapkan kriteria standard pengajaran tatabahasa - sebagai


contoh, pemilihan bahan atau reka bentuk sukatan pelajaran.

Odlin, T. (1994), menjelaskan tatabahasa pedagogi biasanya memerlukan


peraturan yang jelas, koheren, bukan teknikal, kumulatif dan heuristik. Manakala
Abdullah Hassan (2008), berpendapat bahawa rumus tatabahasa wajar dipermudahkan
oleh guru, contoh-contoh bagi setiap aspek tatabahasa mestilah daripada data sebenar,
akhirnya setiap aspek wajar dikuti dengan latihan yang dapat menguji kefahaman
murid.

5
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, pengkaji merumuskan bahawa tatabahasa
pedagogi bahasa Melayu wajar mempunyai prinsip-prinsip yang berikut dengan
mengambil kira faktor konteks budaya murid-murid:

1). Pemilihan Aspek Tatabahasa. Memilih dan menentukan aspek tatabahasa yang
hendak diajar mestilah berdasarkan atau selaras dengan sukatan pelajaran Bahasa
Melayu.

2). Bahan Berkonteks. Mempunyai sekurang-kurangnya satu bahan berkonteks


yang berupa petikan, video, bahan sastera, dan sebagainya. Bahan berkonteks tersebut
sebaik-baiknya mempunyai konteks budaya dengan murid bagi memudahkan
pemahaman mereka. Tujuan penggunaan bahan berkonteks ialah bagi menunjukkan
penggunaan bahasa dalam situasi sebenar.

3). Aktiviti. Mempunyai sekurang-kurangnya satu aktiviti atau latihan yang dapat
menguji kefahaman murid tentang aspek tatabahasa yang sedang diajar di dalam bilik
darjah. Masa yang di peruntukan untuk aktiviti ialah antara 3-5 minit sahaja.

4). Latihan Peneguhan. Mempunyai satu set soalan peneguhan yang dapat
meningkatkan kefahaman murid tentang aspek tatabahasa yang telah dipelajari.
Latihan peneguhan sebaik-baiknya disiapkan oleh murid di rumah.

5). Pendekatan Secara Tidak Langsung. PdP tatabahasa sebaik-baiknya diajar


secara tidak langsung atau secara sisipan dengan mengambil masa lebih kurang 15
minit sahaja. Ia juga perlu digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran bahasa
yang lain.

Prinsip-prinsip tatabahasa pedagogi di atas, telah diajar kepada pelajar-pelajar


kursus BML3063 Sintaksis Bahasa Melayu yang terdiri daripada 50 orang pelajar
daripada kaum Melayu, Cina, India dan Bumiputera Borneo. Seterusnya mereka
diberi tugasan menghasilkan tatabahasa pedagogi mengikut prinsip-prinsip di atas.
Para pelajar juga telah diminta memilih bahan bantu mengajar yang mempunyai
konteks budaya mereka. Berikut akan dibincangkan hasil kerja kursus pelajar-pelajar
tersebut berdasarkan pematuhan prinsip tatabahasa pedagogi.

1). Pemilihan Aspek Tatabahasa. Terdapat dua bidang tatabahasa iaitu morfologi
dan sintaksis. Kesemua 50 pelajar telah memilih aspek tatabahasa dengan tepat dan
mematuhi sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSM.

2). Bahan Berkonteks. Berdasarkan hasil kerja kursus pelajar didapati semua
pelajar berjaya menghasilkan atau memilih bahan bantu mengajar tatabahasa dengan
memenuhi syarat bahan berkonteks dan sesuai dengan tahap dan budaya setempat
murid. Lihat lampiran 1 untuk contoh bahan berkonteks yang sesuai dengan aras

6
murid. Menurut Teori relevans, semakin relavan sesuatu bahan bantu mengajar itu
dengan kehidupan dan budaya murid, maka semakin mudahlah bahan itu difahami
oleh murid. Jika bahan yang disediakan tidak relavan dengan persekitaran dan budaya
murid, maka semakin tinggilah kos memproses maklumat diperlukan dan ini
menyebabkan semakin sukarlah bahan itu difahami oleh murid. Berdasarkan
Lampiran 1, bahan tersebut berkaitan dengan perihal berkelah di Hutan Lipur Ledang,
Tangkak, Johor Darul Takzim. Petikan tersebut akan lebih mudah diproses oleh murid
jika murid pernah pergi berkelah di hutan lipur tersebut kerana ia telah membina
konteks berdasarkan pengalaman lepas. Bagaimanapun, jika murid tidak pernah pergi
berkelah di hutan lipur tersebut, kos memproses maklumat masih rendah kerana kata
kerja berkelah pernah dilakukan oleh murid walaupun di tempat lain. Justeru, bahan
yang relavan dengan kehidupan dan budaya murid perlulah diberi keutamaan supaya
contoh penggunan aspek tatabahasa dalam konteks yang sebenar dapat ditunjukkan
kepada murid.

3). Aktiviti. Kesemua 50 orang pelajar telah menyediakan sekurang-kurangnya


satu aktiviti di dalam bilik darjah yang menepati kehendak aras murid. Aktiviti yang
disediakan juga sesuai dilaksanakan untuk tempoh masa antara 3-5 minit. Lihat
Lampiran 2 untuk contoh aktiviti bilik darjah.

4). Latihan Peneguhan. Latihan yang disediakan oleh semua 50 orang pelajar
sesuai untuk meningkatkan kefahaman murid tentang aspek tatabahasa yang telah
diajar di dalam bilik darjah. Lihat Lampiran 3 untuk contoh latihan peneguhan.

5). Pendekatan Secara Tidak Langsung. Kesemua pelajar telah menghasilkan


bahan pengajaran tatabahasa berasaskan konsep pengajaran tatabahasa diajar secara
tidak langsung. Pengajaran tatabahasa secara tidak langsung adalah selaras dengan
saranan bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia
sebagaimana yang terdapat dalam Sukatan atau Huraian Sukatan Bahasa Melayu
KBSM.

5.0 PENUTUP

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa penghasilan tatabahasa


pedagogi bahasa Melayu wajar mematuhi lima syarat iaitu: 1. Pemilihan aspek
tatabahasa, 2. Bahan berkonteks, 3. Mempunyai aktiviti bilik darjah; 4. Mempunyai
latihan peneguhan; dan 5. Pendekatan secara tidak langsung. Berdasarkan hasil
tugasan pelajar kursus sintaksis tersebut, didapati bahawa guru atau bakal guru
berkebolehan membina sendiri bahan pengajaran tatabahasa dengan mengambil kira
konteks budaya murid-murid. Didapati juga bahawa semakin relevan bahan yang
disediakan dengan konteks budaya murid, maka semakin mudahlah pembelajaran
tersebut.

7
Lampiran 1

Pada cuti sekolah yang lepas, saya dan bersama-sama dengan keluarga pergi
berkelah di Hutan Lipur Ledang, Tangkak, Johor Darul Takzim.

Jaraknya kira-kira dua jam perjalanan dengan kereta dari rumah kami. Sebaik
sahaja sampai, orang sudah ramai berada di sana. Kebetulan pada hari tersebut ialah
Hari Kebangsaan.

Kenderaan pula tidak diletakkan secara teratur. Agak lama juga ayah mencari
tempat sesuai untuk meletak kereta, akhirnya baru terjumpa suatu lokasi yang selesa
di bawah sebatang pohon rendang.

Hatiku kepingin sangat hendak terjun ke dalam takungan air di longgokan batu-
batan.Tetapi ibu menegah, meminta saya ditemankan oleh ayah. Oleh hal yang
demikian, saya tidak jadi berenang renang dalam air yang sejuk dan menyegarkan itu.

Masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Apabila ayah sudah siap mengemaskan
barang-barang yang kami bawa, dia pun mengajak kami turun sama ke dalam air.
Jangan pergi jauh ke depan. Kalau terjadi sesuatu nanti, ayah juga yang susah, nasihat
ayah sambil membawa adik kecil kami bermain air.

Tiba-tiba, suasana menjadi riuh. Seorang kanak-kanak berumur kira-kira 10 tahun


menjerit-jerit meminta pertolongan. Tanpa berlengah lagi, saya terus berenang ke arah
budak tadi dan menariknya ke tepian kolam air. Ia tercungap-cungap menarik nafas.
Beberapa minit kemudian, dia pun sedarkan diri. Ibunya yang sejak tadi tercari-cari
akan anaknya datang mengucapkan terima kasih kepada saya sekeluarga.

Inilah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan semasa berkelah bersama-sama
keluarga pada cuti yang lepas. Ingatan dapat menyelamatkan seorang kanak-kanak
daripada mati lemas tempoh hari masih segar dalam benak saya hingga ke hari ini.

8
Lampiran 2

Aktiviti

1. Berikan tiga jenis frasa adjektif jarak yang terdapat dalam petikan tersebut?
2. Berdasarkan mana-mana kata adjektif jarak yang terdapat dalam petikan, bina
satu ayat yang berdasarkan frasa adjektif jarak tersebut.

Lampiran 3

Latihan Pengukuhan
Bulatkan jawapan di bawah dengan frasa adjektif ukuran yang sesuai.

1. Semua seluarnya sudah menjadi __________ kerana badannya sudah


berisi.
A ketat
B besar
C singkat
D longgar

2. Pengawas lelaki itu sering membawa buku __________ di dalam poket


bajunya.
A kecil
B tebal
C besar
D panjang

3. Samad menjolok buah manga itu dengan menggunakan sebatang galah


yang ________.
A tinggi
B besar
C kontot
D panjang

9
4. Jambatan yang _____________ itu akan dilebarkan untuk kemudahan
penduduk Kampung Semangat.
A luas
B sempit
C senang
D besar

5. Dia berazam untuk ______________ badannya seperti dua tahun lalu.


A menjadikan
B mengecilkan
C mengecutkan
D menguruskan

6. Perut ikan buntal yang _______ itu menarik perhatian saya.


A lebar
B buncit
C sendat
D runcing

7. Pokok kelapa yang __________ itu telah tumbang di pukul ribut


petang semalam.
A luas
B tinggi
C rimbun
D panjang

8. Kamus dwibahasa edisi baharu yang __________ itu berharga


RM45.00 sahaja.
A nipis
B tebal
C berkilat
D berwarna

10
9. Abang melarang kami bermain berhampiran dengan tasik yang
__________ itu.
A jauh
B cetek
C dalam
D dangkal

10. Asap ________________ meliputi kawasan perumahan itu semasa


kebakaran.
A tebal
B nipis
C berkilat
D berwarna

11
Bibliografi:

Abdullah Hassan, (2008). Tatabahasa Pedagogi. Kuala Lumpur: PTS.


David Newby, (2015). Pedagogical Grammar: A Cognitive+Communicative
Approach. (online) https://static.uni-graz.at/fileadmin/gewiinstitute/Anglistik/
Fachdidaktik/Downloads/angl3www_newby_pedagogical_grammar.pdf. 18
April 2015.
Hashim Musa dan Ong Chin Guan, (1998). Pengantar Ilmu Makna. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Odlin, T., (ed.) (1994). Perspectives on Pedagogical Grammar. Cambridge:
Cambridge University Press.
Nor Hashimah Jalaluddin, (1992). Semantik dan pragmatik: Satu pengenalan. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor Hashimah Jalaluddin, (2003). Bahasa dalam Perniagaan, Satu Analisis Semantik
dan Pragmatik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sperber, D. & Wilson, D. (1995). Relevance: Communication and Cognition. Oxford:
Blackwell.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM. (online)
http://apps2.moe.gov.my/kurikulum/dmdocuments/sp_bm_kbsm.pdf. 19 April 2015.

12

You might also like