You are on page 1of 20

PQI6072

KURIKULUM, PEDAGOGI DAN PENTAKSIRAN


DALAM PRAPROTOSEJARAH DAN
PRASEJARAH

Kerajaan Awal di Asia Tenggara:


Kerajaan Sulu

Pensyarah:
Dr. Abdul Razak Bin Zakaria

Disediakan Oleh:
S2153953/1
1.1 Latarbelakang Kerajaan Sulu

Kerajaan Sulu merupakan sebuah kepulauan yang mempunyai lebih kurang 500 buah
gugusan pulau di sekitarnya. Pulau-pulau ini terdiri daripada pulau-pulau besar dan juga
gugusan pulau-pulau kecil. Pulau-pulau ini merangkumi keluasan seluas 1566 batu persegi
dan hamper meliputi keseluruhan kawasan daratan kepulauan Sulu. Walaupun Sulu
mempunyai lebih kurang 500 buah pulau di sekitarnya, namun terdapat tiga buah pulau
yang begitu menonjol dari segi keluasan dan bentuk fizikalnya. Pulau-pulau tersebut ialah
Pulau Maimbong atau disebut sebagai Maymbong Island, Pulau Basilan dan Pulau Tawi-
tawi. Pulau Maimbong mempunyai keluasan sebesar 495 batu persegi manakala Pulau
Basilan dan Pulau Tawi-tawi masing-masing mempunyai keluasan sebesar 345 batu persegi
dan 228 batu persegi (Najeeb M. Saleeby, 1908).

Jika merujuk daripada sudut sejarah kerajaan ini, Sulu turut disebut sebagai Solot,
iaitu sebuah negeri yang berada di Kepulauan Tanjungnagara (Murtadlo M., 2015). Menurut
Muratdlo M, beliau menyebut Sulu sebagai sebuah kawasan yang terletak di pantai Timur
Laut pulau Borneo. Sifat geografi kepulauan ini yang mempunyai tanah tinggi dan terletak di
kawasan pedalaman telah mendorong petempatan awal penduduk di sekitar Kepulauan
Sulu. Penduduk ini mendiamai kawasan pinggir pantai dan muara sungai di Sulu. Beliau
turut menyatakan bahawa geografi kepulauan Sulu yang besar telah memisahkan serta
mewujudkan ciri segregasi kaum namun penduduk di kepulauan ini tetap berada di bawah
pemerintahan politik yang sama.

Sebelum kedatangan Islam ke Sulu, kerajaan Majapahit dan kerajaan Srivijaya dari
Tanah Jawa pernah menduduki serta mempengaruhi kawasan-kawasan di sekitar wilayah
Kepulauan Sulu. Menurut sumber China, Nan-Hai Chih turut menyatakan bahawa kerajaan
Sulu merupakan sebuah kerajaan yang berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei
pada penghujung abad ke-13. Namun begitu, jika menurut Cesar Adib Majul (1988),
Kesultanan Sulu ini bermula apabila seorang pedagang dari Tanah Arab datang ke Sulu
setelah singgah di Melaka pada tahun 1450-an. Baginda telah diangkat oleh pemimpin di
Sulu sebagai kadi dan imam disebabkan oleh ilmu agama yang dimiliki oleh baginda. Syarif
Abu Bakar akhirnya dinikahkan dengan Paramisuli, iaitu puteri pemimpin Sulu pada Ketika
itu. Syarif Abu Bakar berjaya memperkuatkan kuasa politik di Sulu dengan memperkenalkan
sistem kesultanan. Baginda akhirnya diangkat sebagai Sultan pertama di Sulu dan turut
menjadi pengasas kerajaan Islam di Sulu (C.A. Majul, 1988).

Syarif Abu Bakar menggunakan gelaran Sultan Syarif ul-Hashim sebagai Sultan
pertama di Sulu. Baginda diramalkan memerintah Sulu bermula pada tahun 1450 hingga
sekitar tahun 1480-an, apabila diramalkan baginda mangkat pada sekitar tahun tersebut.
2.1 Perkembangan Kerajaan Sulu
i. Politik
a. Senarai Sultan-Sultan Kerajaan Sulu

Kesultanan Sulu mengamalkan corak pemerintahan monarki iaitu pemerintahan beraja.


Dalam konteks ini, pemerintah Kerajaan Sulu menggunakan Sultan sebagai gelaran mereka
selepas kedatangan Islam pada akhir abad ke-14. Kesultanan Sulu diperintah 32 orang
Sultan yang bermula pada 1450-an hingga tahun 1936 (C.A. Majul, 1988).

Antara 32 orang sultan yang memerintah termasuklah Sultan Syarif ul- Hashim. Gelaran
ini dipakai oleh sultan yang pertama dengan nama sebenarnya, mengikut Salasilah Sulu
ialah Abu Bakar. Baginda diramalkan memulakan pemerintahannya pada sekitar tahun 1450
dan mangkat pada sekitar tahun 1480-an. Seterusnya ialah Sultan Kamal ud - Din. Salasilah
Sulu menyatakan bahawa baginda merupakan putera kepada sultan putera Syarif ul -
Hashim dan menggantikan ayahandanya sebagai Sultan. Khutbah dan kitab menyifatkan
baginda sebagai seorang yang penyayang, bertimbang rasa dan pemurah. Sultan yang
seterusnya ialah Sultan Ala ud- Din. Dalam konteks ini, salasilah Sulu menyatakan bahawa
baginda merupakan saudara lelaki Kamal ud- Din. Walaupun terdapat beberapa perbahasan
yang menyatakan bahawa baginda bukan seorang pewaris sultan Sulu pada ketika itu,
namun nama baginda tetap disebut sebagai salah satu pemerintah kesultanan Sulu selepas
kemangkatan Sultan Kamal ud- Din. Baginda disifatkan sebagai seorang sultan yang
penyayang dan pemurah.

Pemerintah seterusnya ialah Sultan Amir ul- Umara. Dalam konteks ini, baginda disebut
dalam sesetengah sumber sejarah Kesultanan Sulu sebagai salah seorang pemerintah yang
merupakan orang luar, iaitu bukan daripada keturunan Sultan yang pertama. Namun begitu,
terdapat pandangan yang mengatakan melalui sumber bertulis yang dihasilkan oleh C. A
Majul (1988), menyatakan bahawa baginda merupakan cucu kepada Sultan yang pertama
namun ia tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti-bukti yang kukuh untuk
mengesahkan tuntutan tersebut. Walaubagaimanapun, nama baginda tetap disenaraikan
sebagai salah satu pemerintah Kesultanan Sulu. Seterusnya, Sultan Mu'izz ul- Mutawadi in.
Bagindalah merupakan individy yang disebut sebagai Maharaja Upo dalam senarai
Dalrymple dan Salasilah Sulu. "Upo" adalah gelaran bagi putera raja. Salasilah Sulu
menyatakan bahawa baginda menggantikan kesultanan Sulu selepas kemangkatan Kamal
ud- Din. Dalam konteks ini, baginda disebut dalam sejarah Sulu sebagai pemerintah yang
banyak mengalami kekacauan semasa zaman pemerintahannya.

Seterusnya, sultan Sulu yang ke enam ialah Sultan Nasir ud- Din I. Baginda diberikan
gelaran keluarga Digunung atau Habud yang menggambarkan bahawa baginda dibesarkan
atau memerintah dari bahagian pedalaman Pulau Sulu. Baginda tidak disebut dalam
Salasilah Sulu atau di dalam senarai Dalrymple. Hal ini dikatakan demikian kerana
pemerintahan baginda dikatakan sebagai satu bentuk pemerintahan yang mempunyai
banyak kemusykilan kerana terdapat banyak tuntutan mengenai status baginda semasa
menjadi sultan Sulu. Namun begitu, baginda tetap disebut sebagai salah satu pemerintah
yang pemurah, tegas dan mempunyai semangat dalam menuntut kemenangan. Sultan Sulu
yang ke tujuh ialah Sultan Muhammad ul - Hali. Gelaran lain bagi Sultan Muhammad ul- Hali
ialah Pangeran Dussiman. Gelaran ini disebut di dalam penulisan C.A Majul di dalam buku
beliau iaitu Islam di Filipina (1988). Dalam konteks ini, salasilah Sulu menyatakan bahawa
Pangeran Buddiman menjadi sultan dengan kemangkatan Maharaja Upo. Penulisan serta
sumber yang didapati banyak mengatakan baginda sebagai seorang pemerintah yang
sangat pintar dalam hal-hal akhirat dan bijak dalam meluaskan jajahan takluk Sulu.

Sultan Batara Shah Tengah merupakan sultan yang ke lapan. Dalam konteks ini, nama
yang digunakan oleh pemerintah ini merupakan sebuah gelaran yang digunakan oleh
pemerintah Sulu sebelum pada awal abad ke-15. Selain itu, sejarah Brunei turut merujuk
kepada gelaran Batara apabila menyebut pemerintah-pemerintah Kesultanan Sulu di dalam
sejarah mereka. Tengah bermaksud kedudukannya di dalam keluarga, iaitu di antara
seorang abang dan juga seorang adik. Sumber dan penulisan berkenaan sultan ini
menyebut baginda sebagai sorang yang bijak dan dihormati oleh masyarakat pada ketika
itu. Seterusnya ialah Sultan Muwalil Wasit. Baginda terkenal dalam kalangan orang
Sepanyol sebagai Raja Bongsu. Baginda memulakan pemerintahannya pada tahun 1614
dan baginda dilihat oleh orang Belanda sebagai seorang pemimpin muda. Salah seorang
puteri baginda telah mengahwini Sultan Qudarat yang pada ketika itu memerintah Mindanao
dan puteri baginda yang lain mengahwini Balatamy atau disebut sebagai Baratamay, iaitu
pemerintah Buayan pada tahun 1657. Raja Bongsu dianggarkan memerinta pada sekitar
tahun 1610 hingga tahun 1650. Baginda disifatkan sebagai seorang sultan yang cakna akan
hal-hal negara dan agama.

Sultan yang seterusnya ialah Sultan Nasirud Din II ataupun dikenali sebagai Pangeran
Sarikula. Dalam konteks ini, Raja Bongsu mempunyai dua putera iaitu pangeran Katchil dan
Pangeran Sarikula. Pangeran Katchil cuba untuk merampas takhta daripada ayahandanya
sendiri semasa berlaku kekacauan dan ayahandanya tewas di tangan Sepanyol. Namun
begitu, pihak Sepanyol memilih Pangeran Sarikula sebagai pemerintah yang sah di Sulu
pada ketika itu kerana baginda dilihat sebagai seorang pemimpin yang mudah untuk
dimanipulasi. Walaubagaimanapun, baginda telah meninggal dunia pada tahun 1648 dan
tahkta tersebut Kembali dituntut oleh ayahandanya, iaitu Raja Bongsu. Sultan seterusnya
ialah Sultan Salah ud - Din Bakhtiar. Baginda dikenali oleh pihak berkuasa Sepanyol
sebagai Pangeran Bactial dan dikenali sebagai Pangeran Batticale oleh Belanda. Selepas
kemangkatannya, baginda digelar sebagai Marhum Keramat.Dalam konteks ini, baginda
telah mencabar pemerintahan ayahandanya selepas kemangkatan Pangeran Sarikula.
Disebabkan oleh umur ayahandanya yang semakin dilanjut usia, baginda diangkat sebagai
sultan pada tahun 1650. Baginda dinyatakan sebagai seorang sultan yang kuat berjuang
dalam menentang orang Sepanyol.

Sultan Ali Shah merupakan pemerintah Kesultanan Sulu yang ke 12. Pemerintah ini
tidak tersenarai di dalam penulisan salasilah Sulu namun terdapat beberapa sumber yang
menyebut nama baginda sebagai salah satu sultan Sulu. Dalam konteks ini, terdapat
sebuah pidato iaitu Pidati Ramadan yang menyebutkan baginda sebagai sorang sultan yang
gagah berani, sultan yang memerintah di darat dan di laut. Namun begitu, pemerintahan
baginda dikatakan sangat singkat walaupun aman damai. Sultan yang seterusnya ialah
Sultanah Nur I-‘Azam. Dalam konteks ini, baginda merupakan seorang pemerintah Wanita
yang pertama dalam sejarah kesultanan Sulu. Salasilah Sulu dan Pidato Ra madan Sulu
tidak menyebut nama baginda namun nama baginda terkandung dalam senarai Dalrymple.
Nama baginda tidak tersenarai dalam tarsila kesultanan Sulu kerana baginda ialah
pemerintah Wanita. Dalam adat Kesultanan Sulu, wanita tidak layak menjadi pemerintah
kerana kesultanan ini mendahulukan lelaki dari semua perkara. Namun begitu, baginda
dikenali sebagai gelaran Siti kabil atau Siti Kabira oleh Dalrymple kerana baginda
merupakan seorang puteri diraja Sulu.

Sultan Al Haqunu Ibn Wali ul– Ahad merupakan sultanyang ke empat belas dalam susur
galur kesultanan Sulu. Dalam konteks ini, nama baginda membawa maksud “Putera Raja
Muda”, iaitu merujuk kepada seorang penyamar yang mempunyai penyokong di sebaliknya.
Baginda dipercayai sebagai putera Pangeran Sarikula yang mangkat pada tahun 1650.
Seterusnya, sultan Shahab ud- Din merupakan sultan yang ke lima belas. Dalam konteks ini,
Sultan Shahab ud-Din disebut sebagai seorang pewaris yang menggantikan ayahandanya.
Baginda dikatakan sebagai pengganti Sultan Ali Shah. Menurut C.A Majul (1988), Shahab
ud-Din masih terlalu muda ketika sepupunya Siti Kabira memerintah. Oleh itu, baginda
dikatakan memerintah pada sekitar tahun 1685 hingga tahun 1710. Baginda disebutkan
sebagai seorang arif dalam soal syariah dan fikah Islam. Seterusnya ialah Sultan Mustafa
Shafi ud - Din. Dalam konteks ini, baginda merupakan adik kepada Shahab ud – Din.
Baginda juga dikenali sebagai Juhan Pahlawan. Baginda dikatakan sebagai seorang yang
mengetahui banyak perkara berkenaan undang - undang dan merupakan seorang hakim
yang baik. Baginda dikatakan memerintah pada tempoh yang singkat kerana memberi
peluang kepada adik baginda untuk memerintah, bagi mengelakkan perebuatan kuasa pada
masa akan datang (C.A Majul, 1988, p.29)
Pemerintah Sulu yang seterusnya ialah Sultan Badar ud - Din I. Adik lelaki kepada dua
sultan sebelumnya. Baginda dikenali sebagai "Bigotillos" atau "Barbillas" oleh sejarawan
Sepanyol. Baginda turut dikenali sebagai “el Rey viejo de Tawi-Tawi”. Selepas
kemangkatannya, baginda dikenali sebagai Marhum Dungun. Hal ini dikatakan demikian
kerana baginda mangkat dan dimakamkan di Dungun, Tawi-Tawi. Mengikut Dalrymple,
bonda Sultan Badar-ud-Din I merupakan seorang wanita Tirun dari pantai Timur Laut
Borneo. Berkenaan dengan pemerintahan baginda pula, ia bermula pada sekitar tahun 1718
atau 1719 kerana sepucuk surat yang ditemui oleh sejarawan dari Belanda, ditulis kepada
pegawai - pegawai Belanda di Betawi pada sekitar tahun 1719. Ia memberikan gambaran
bahawa baginda baharu sahaja menaiki takhta kerajaan. Pada tahun 1732, seorang anak
saudara lelakinya atau cucu saudara lelakinya telah mencabar pemerintahannya yang
memaksa baginda untuk bersara ke Tawi-Tawi sehingga baginda kemudiannya dikenali
sebagai Sultan Dungun. Baginda mangkat pada sekitar tahun 1740-an semasa puteranya,
Azim ud - Din I memerntah. Pemerintahan baginda berakhir lebih kurang pada tahun 1718
hingga 1732.

Sultan Nasar ud- Din merupakan sultan yang ke lapan belas. sama ada seorang anak
lelaki ataupun seorang cucu lelaki kepada Shahab ud- Din dan dikenali oleh pegawai -
pegawai Sepanyol sebagai Datu Sabdula. Pada tahun 1731, baginda mencabar
pemerintahan Badar ud- Din dan memaksanya melarikan diri untuk tinggal di Tawi Tawi
pada tahun 1732. Tipu helah Badar ud- Din menyebabkan pengisytiharan ' Azim ud - Din
iaitu anak lelaki Badar ud- Din sebagai sultan pada tahun 1735. Selepas beberapa
pertelingkahan yang berlaku di antara puak-puak Nasar ud- Din dan 'Azim ud- Din, Nasar
ud- Din pergi ke Maimbung dan menetap di sana sehingga kemangkatan baginda pada
sekitar tahun 1753. Baginda juga dikenali sebagai Dipatuan. Terdapat khutbah dan kitab di
Sulu yang menyifatkan baginda sebagai se orang yang bersikap lemah lembut dan sentiasa
sahaja berunding dengan rakyatnya. Baginda memerintah kira- kira antara tahun 1732 dan
1735.

Seterusnya ialah Sultan Azim ud - Din I. Baginda dikenali dalam kalangan pegawai-
pegawai Sepanyol dan kebanyakan orang Sulu sebagai Alimu din. Ibundanya dikatakan
sebagai seorang wanita Bugis yang berasal dari Soopeng, Kepulauan Sulawesi. Sebelum
baginda menjadi sultan, namanya ialah Datu Lagasan. Bapa baginda adalah Badar ud - Din
mengisytiharkannya sebagai pemerintah di Tawi-Tawi pada tahun 1735. Pada tahun 1736, `
Azim ud - Din memindahkan istananya dari Dungun ke Bauang yang terletak di Jolo. Namun
begitu, berlaku satu pergelutan politik pada tahun 1748 yang telah memaksa baginda untuk
meninggalkan Jolo ke Basilan dan kemudian ke Zamboanga. Adik lelakinya, Datu Bantilan,
telah diisytiharkan sebagai sultan tidak lama kemudian. Sementara itu, baginda pergi ke
Manila dan menetap di kawasan tersebut buat sementara waktu. Baginda pulang ke Jolo
pada tahun 1764 dengan melakukan penyamaran sebagai seorang lelaki tua. Pada tahun
yang sama, iaitu pada 8 Jun, baginda ditabalkan kembali dengan rasminya sebagai
pemerintah Sulu. Pada tahun 1774, baginda dengan rasminya menyerahkan
pemerintahannya kepada anak lelakinya, Muhammad Isra'il atas dasar ingin bersara.
Selepas kepulangannya dari Manila, baginda dikenali dengan gelaran "Amir ul- Mu'minin".
Salah satu daripada cap mohornya mencatatkan tarikh 1148 H (Tahun 1735 M), iaitu tarikh
baginda menjadi sultan sepertimana yang didakwa oleh beberapa sumber. Baginda
disifatkan sebagai seorang yang pemurah, warak, adil, bijaksana dan sentiasa
mengharapkan keadilan Allah dan taat kepada kehendak-Nya

Sultan yang seterusnya ialah Sultan Mu'izz ud- Din. Baginda terkenal dalam kalangan
pegawai- pegawai dan paderi Sepanyol sebagai datu atau Pangeran Bantilan. Baginda
adalah adik lelaki kepada Azim ud - Din. Cap mohornya membawa tarikh 1161 H (1748 M),
tahun di mana adiknya meninggalkan negeri tersebut dan akhirnya menuju ke Manila.
Beberapa penulisan ada menyebutkan tentang baginda sebagai seorang penyabar, pintar
dan tidak mahu mendengar fitnah dan tohmahan terhadap orang lain. Sultan yang ke Sultan
Muhammad Isra'il. Baginda merupakan salah seorang anak lelaki ' Azim ud - Din I. Menurut
yang Najeeb M. Saleeby (1908), Sultan ‘Azim ud- Din I telah melucutkan kuasanya dan
menyerahkan takhta tersebut kepada anak lelakinya pada bulan November 1773. Namun
begitu, baginda sepatutnya telah memegang kuasa lebih awal iaitu pada tahun berikutnya
kerana terdapat bukti cap mohor yang tercatat pada tahun 1188 H (tahun 1774 M). Baginda
dipercayai telah diracun oleh orang-orang yang menyebelahi sepupunya atau sepupunya
sendiri, iaitu Azim ud- Din, iaitu anak lelaki Mu'izz ud- Din, pada tahun 1778.

Sultan Azim ud- Din II merupakan anak lelaki kepada Mu'izz ud- Din. Buat beberapa
waktu, baginda mentadbir Sulu bersama adik beradiknya selepas kemangkatan ayahanda
mereka pada sekitar pertengahan tahun 1763. Menjelang penghujung tahun tersebut,
baginda telah diangkat untuk menjadi sultan. Kedatangan bapa saudara baginda iaitu Azim
ud - Din I dari Manila pada tahun 1764, Sultan Azim ud- Din II meninggalkan Sulu dengan
para pengikutnya menuju ke Parang. Pada tahun 1778, baginda menggantikan Muhammad
Isra'il. Baginda memerintah sehingga mangkat pada tahun 1791. Beberapa penulisan
menyifatkan baginda sebagai seorang yang sukakan kedamaian, bersopan santun,
berkuasa dan suka menolong golongan miskin

Sultan Sharaf ud - Din turut dikenali sebagai Datu Salapudin. baginda merupakan anak
lelaki kepada Azim ud- Din I dan baginda hidup sehingga mencapai usia yang sangat tua.
Dalam konteks ini, baginda menaiki takhta pada tahun 1791. Hal ini terbukti dengan
penemuan cop mohor baginda yang bertarikh 1206 H. baginda mangkat pada tahun 1808.
Baginda dikenali sebagai seorang sultan yang sangat mengetahui nilai-nilai agama,
mengasihi golongan miskin dan berjiwa rakyat. Sultan seterusnya ialah Sultan ‘Azim ud- Din
III atau dikenali sebagai Alimudin III. Baginda merupakan anak lelaki kepada Sharaf ud- Din
dan baginda mangkat pada tahun yang sama ayahandanya mangkat. baginda dikatakan
hanya memerintah selama empat puluh tahun dan turut mempunyai gelaran lain iaitu Sayyid
ul- Asr. Sultan yang seterusnya ialah Sultan Ali ud - Din. Baginda merupakan adik lelaki
kepada Azim ud Din III yang menaiki takhta ketika ketiadaan raja muda di Jolo yang dikenali
sebaga Datu Bantilan. Datu Bantilah merupakan anak kepada Azim ud- Din II. Dalam
konteks ini, Sultan Ali ud- Din memerintah dari tahun 1808 hingga tahun 1821. Seterusnya,
Sultan Shakirullah atau lebih dikenali sebagai Datu Sakilan. Baginda merupakan saudara
lelaki kepada Sultan Ali ud- Din. Baginda memulakan pemerintahan pada penghujung tahun
1821 hasil daripada penemuan duit syiling yang tertulis pada 1237 H semasa tahun
pemerintahan baginda. Baginda dikatakan sebagai seorang pemerintah yang warak dan
bertolak ansur dari segi segala hal.

Sultan Sulu yang ke dua puluh tujuh ialah Sultan Jamal ul- Kiram I. Dalam konteks ini,
baginda merupakan anak lelaki kepada Azim ud- Din III dan bukti baginda memerintah pada
tahun 1823 M ditemui melalui cap mohor baginda yang bertanda 1239 H. Baginda mangkat
pada tahun 1842 dan baginda disifatkan sebagai seorang yang lemah lembut, bijaksana dan
seorang pentadbir yang baik. Sultan yang ke dua puluh lapan ialan Sultan Mohammed Fadl
atau lebih dikenali sebagai Pulalun. Dalam konteks ini, baginda menaiki takhta pada tahun
1842, yang juga ditemui melalui cop mohor baginda pada 1258 H. Baginda mangkat pada
24 Disember tahun 1862. Baginda disifatkan sebagai seorang pemerintah yang baik dan
adil. Seterusnya, pemerintah yang ke dua puluh sembilan ialah Sulan Jamal ul- ‘Azam.
baginda merupakan anak lelaki kepada Sultan Muhammad Fadl yang menaiki takhta pada
tahun 1862. Baginda mangkat pada 7 April tahun 1881. baginda turut dikenali dalam
kalangan orang Sepanyol dan Sulu sebagai Jamalul Alam. baginda disifatkan sebagai
sorang pemerintah yang tegas dalam menentang bangsa kulit putih dan bagindalahyang
memperkenalkan hukum Hudd dalam menangani kesalahan mencuri di Sulu. Seterusnya
ialah Sultan Badar ud- Din II. Baginda merupakan anak lelaki kepada Sultan Jamal ul- Azam
dan menjadi dan menjadi sultan pada tahun 1881. Baginda mangkat pada tahun1184, iaitu
pada usia yang muda. Dalam memahami kisah baginda, tidak ada penulisan yang dapat
mengenalpasti kisah baginda sebelum kemangkatannya.

Sultan Harun ur- Rashid merupakan pemerintah di Kesultanan Sulu yang ke tiga puluh
satu. Baginda merupakan seorang anak lelaki berketurunan dari 'Azim ud- Din I, melalui
Datu Putong. Dalam konteks ini, tipu helah Sepanyol telah menyebabkan baginda
diisytiharkan menjadi sultan oleh beberapa orang datu pada tahun 1886, namun ia
dikatakan lebih awal dari tarikh yang dinyatakan. Amirul Kiram iaitu adik kepada Badar ud-
Din II, diisytiharkan sebagai sultan. Pada 24 September 1886, Harun ur Rashid pergi ke
Manila untuk mengangkat sumpah menjadi sultan di hadapan pegawai-pegawai tinggi
Sepanyol. Baginda pada ketika itu tidak mendapat sokongan majoriti daripada rakyat Sulu
kerana pada umumnya mereka menganggap Amirul Kiram sebagai sultan terutama sekali
apabila baginda mampu menjatuhkan Datu Ali ud- Din, seorang pewaris yang menuntut
takhta tersebut. Apbila baginda tidak lagi mempunyai kepentingan terhadap pihak Sepanyol,
Harun ur- Rashid telah dipaksa untuk turun takhta pada tahun 1894.

Sultan yang terakhir memerintah Kesultanan Sulu ialah Sultan Jamal ul- Kiram II.
Baginda merupakan adik kepada Badar ud- Din II. Baginda telah diisytiharkan sebagai
sultan oleh pengikut-pengikutnya pada tahun 1884, iaitu tidak lama selepas kematian
abangnya. Ketika menjadi raja muda, baginda digelar sebagai Amirul Kiram.
Pengisytiharannya sebagai sultan telah dicabar oleh Datu Ali ud-Din, iaitu cucu kepada
Sultan Shakirullah, tetapi tidak berjaya. Ali ud- Din terpaksa melarikan diri ke Basilan. Sultan
Harun ur- Rashid lah yang berusaha menjadi orang tengah di antara Amirul Kiram dengan
Ali ud- Din sehingga Sepanyol merasakan bahawa Harun ur- Rashid layak menjadi sultan.
Orang-orang Sepanyol akhirnya didorong berurusan dengan Jamal ul- Kiram II sebagai
Sultan Sulu kerana baginda enggan pergi ke Manila untuk lawatan negara. Jamal ul- Kiram
II mangkat pada 7 Jun tahun 1936. Baginda diramalkan hanya memerintah dari tahun 1884
hingga tahun 1936 walaupun pada hakikatnya, baginda sebenarnya telah menyerahkan
kuasa politik baginda kepada kerajaan Amerika Syarikat semasa Perjanjian Carpenter 1936
pada tahun 1915 (C.A. Majul, 1988).

b. Perkembangan Politik

Tiga puluh dua orang pemerintah Sulu yang diberi gelaran Sultan ini telah melalui satu
tempoh masa yang panjang dalam mengawal tampuk pemerintahan Kesultanan Sulu.
Kuasa Sepanyol yang sememangnya telah lama menginginkan Sulu sebagai salah satu
kawasan yang berada di bawah jajahan takluknya memberikan kesan politik yang mendalam
terhadap kerajaan ini.Sejak tahun 1565, Legaspi yang mewakili kuasa Sepanyol telah
datang ke Filipina untuk menakluk negara tersebut dan meluaskan pengaruh agama
Kristian. Pihak asing ini telah menyerang Kesultanan-kesultanan di sekitar perairan Filipina
untuk mengurangkan kuasa kesultanan tersebut. Namun begitu, penentang-penentang
Islam dan juga campur tangan kuasa lain telah memberi kebimbangan terhadap Sepanyol
lalu mereka memilih perdamaian dengan Sultan Sulu pada tahun 1646. Jangka masa
perdamaian dari tahun 1663 hingga 1718 ini telah memberi peluang kepada Kesultanan
Sulu untuk memperkukuh dan memperluaskan wilayahnya. Menjelang pada abad ke-18,
Kesultanan Sulu menjadi kuasa politik yang terunggul dalam kalangan kerajaan Islam di
rantai Asia Tenggara.

c. Struktur Pemerintahan

Sultan

Datu

Rakyat

Struktur pemerintahan Kesultanan Sulu dapat dikatakan berbentuk pyramid di mana Sultan
berada di hierarki paling atas, mendahului pembesar atau Datu dan rakyat biasa. Dalam
konteks ini, Sultan dibantu oleh golongan Datu atau lebih dikenali sebagai pembesar jika
menurut kepada salasilah atau hierarki pemerintahan Melayu. Sultan merupakan kuasa
tertinggi yang memegang kuasa dalam bidang politik, ekonomi, agama dan juga
perundangan. Sultan akan bersemayam di Jolo, iaitu pusat pemerintahan kesultanan Sulu
yang berada di Pulau Maimbong. Sultan hanya berkuasa di kawasan Sulu sahaja manakala
kawasan lain berada di bawah tanggungjawab pembesar. Pembesar pula akan
menyerahkan sebahagian hasil ekonomi dan cukai kepada Sultan. Walaupun Sultan
mempunyai kuasa dalam semua bidang, namun pengaruh Sultan pada ketika itu bergantung
kepada kekayaan, personaliti dan juga kesetiaan golongan Datu kepada Sultan (M. Raduan,
1996).

Abad ke-18 dan ke-19, Kepulauan Sulu didominasi oleh orang-orang Taosug. Hal ini
dikatakan demikian kerana orang-orang Taosug merupakan etnik terbesar di Kepulauan
Sulu. Bagi memastikan orang-orang Taosug terus menguasai dan memerintah Sulu, Sultan
hanya dilantik daripada golongan Datu yang berketurunan Taosug. dalam pemilihan Sultan,
Datu-datu yang dilantik haruslah terdiri daripada keturunan Sultan Sulu yang pertama.
Seterusnya, pemilihan Sultan selepas kemangkatan Sultan haruslah daripada datu yang
paling tua, berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut. bagi memastikan kelangsungan
pemerintahan pada masa akan datang.Selain itu, dalam masayarakat Taosug, puteri raja
tidak boleh menjadipemerintah. Mereka berpegang kepada hukum agama yang menetapkan
kaum wanita tidak boleh menjadi imam dalam mengerjakan sembahyang. Pemerintahan
Sultan juga adalah berlandaskan Al- Quran dan kredibiliti seorang Sultan dalam
mengendalikan hal-hal politik turut menjadi salah satu faktor yang penting dalam pemilihan
Sultan dan untuk mengekalkan pengaruh baginda.

ii. Sosial

Pada abad ke-18, Cesar Adib Majul menganggarkan lebih kurang 2.5 juta orang yang
menduduki sebahagian besar wilayah kepulauan Sulu. Dalam konteks ini, terdapat
sekurang-kurangmya 11 rumpun yang menduduki wilayah Sulu. Antaranya ialah Orang
Taosug yang mendiami Pulau Maimbong, Pulau Siasi dan Pulau Tawi-tawi. Orang Samal
yang menduduki Pulau Sibutu dan gugusan Pulau Mindanao. Orang Magindanao yang
menduduki Cotabato dan Pulau Mindanao. Orang Maranao yang menduduki Lanao,
Cotabato dan Pulau Mindanao. Orang Sangil yang menduduki Cotabato dan Davao serta
Pulau Mindanao. Orang Yakan yang menduduki Pulau Basilan dan Zamboanga. Orang
Palawani yang menduduki Pulau Palawan. Orang Jama Mapun yang menduduki Pulau
Cagayan. Orang Melebuganon yang menduduki Pulau Balabac. Orang Melayu Brunei yang
menduduki pesisir pantai Barat Borneo Utara dan Orang Bajau yang menduduki perairan
Sulu secara nomad atau berpindah-randah (C.A Majul, 1988).

Anne Lindsey Reber (1996) menyatakan bahawa terdapat pengasingan etnik yang
jelas dalam kalangan masyarakat di Kepulauan Sulu. Beliau menyatakan bahawa walaupun
terdapat etnik lain yang turut menduduki sebahagian besar kepulauan tersebut, namun
Datu-datu tetap dilantik dalam kalangan orang-orang Taosug. Kenyataan dari Anne Lindsey
Reber ini menyokong kenyataan yang ditulis oleh M. Raduan di mana beliau turut
menyatakan tentang pelantikan golongan datu untuk menjadi calon Sultan ataupun
pembesar. Datu-datu tersebut haruslah dilantik dalam kalangan orang-orang Taosug. Jika
dilihat dari segi struktur sosial masyarakat di Kepulauan Sulu, orang kebanyakkan
didominasi oleh bangsa Taosug sendiri.

Struktur sosial masyarakat kerajaan Sulu terbahagi kepada tiga, iaitu sama seperti
struktur politik kerajaan tersebut. Ia berbentuk piramid dan susunan hierarki adalah secara
menurun. Dalam konteks ini, struktur sosial kerajaan Sulu bermula dari atas dimulai dengan
golongan Aristokrat. Golongan Aristrokat merupakan golongan pemerintah di mana ia
terbahagi kepada Sultan, Datu, Panglima dan juga Marajah. Sultan merupakan ketua dalam
segala bidang iaitu bidang politik, ekonomi, agama dan perundangan namun Sultan hanya
berkuasa di kawasan pemerintahan pusat sahaja. Kawasan pedalaman dan luar daripada
Jolo diberikan kuasa kepada para-Datu dan dibantu oleh Panglima. Panglima dalam hierarki
sosial kesultanan Sulu ditugaskan untuk menguruskan hal ehwal ketenteraan. Jawatan ini
juga mempunyai anak-anak pegawai di bawahnya iaitu Nakib yang bertanggungjawab
menguruskan hal-hal ketenteraan di bawah arahan Panglima. Laksamana pula merupakan
utusan Panglima. Parkasa bertanggungjawab sebagai pembantu Panglima, Bintala
bertanggungjawab sebagai penyelia daerah di bahagian keagamaan dan Nakabil dan
Monary merupakan polis di pasar dan kawasan perdagangan. Golongan Aristokrat
seterusnya ialah Marajah. Marajah merupakan tingkat terendah golongan Aristokrat di mana
merek abertanggungjawab menguruskan hal-hal di kawasan yang lebih kecil seperti
kamoung-kampung dan daerah terpencil. Di dalam Marajah ini juga terdapat hierarki-hierarki
kecil iaitu Marajah Bangsawan, Marajah Pahlawan dan Orangkaya iaitu ketua kampung (M.
Raduan, 1996).

Golongan orang kebanyakkan merupakan hierarki kedua selepas golongan


Aristokrat. Orang kebanyakkan ini majoritinya merupakan orang-orang Taosug dan juga
kaum-kaum lain yang tinggal di sekitar kepulauan Sulu. Tugas orang kebanyakan
adalahmemberi perlindungan kepada Datu. Mereka tida memegang apa-apa jawatan
ataupun gelarandan mereka terlibat kepada aktiviti perikanan, pertanian dan pertukangan.
Secara ringkasnya, mereka merupakan penduduk yang menjalankan aktivti seharian tanpa
ikatan kepada mana-mana pihak. Golongan yang menduduki hierarki paling rendah
semestinya golongan hamba. Dalam konteks ini,hamba merupakan sumber terpenting yang
membawa kepada keunggulan ekonomi Kesultanan Sulu. Hamba di Sulu terbahagi kepada
dua iaitu hamba Banyaga dan Kiapangdilihan.

Hamba Banyaga merupakan hamba yang diperoleh melalui tawanan perang dan
pasaran hamba. Ia dikenali sebagai Chattel Slave iaitu hamba yang dijual beli secara pukal.
Hamba Banyaga ini kebanyakkannya merupakan orang Visayan dari Kepulauan Visayan,
orang Tagalog dari Pulau Luzon, Orang Mindanao serta Orang Bugis dari Kepulauan
Sulawesi (M. Raduan, 1996). Hamba Kiapangdilihan pula merupakan hamba yang bertukar
status. Mereka ini pada awalnya merupakan orang kebanyakkan. Status mereka bertukar
kepada hamba samada daripada jenayah yang mereka lakukan ataupun hutang yang tidak
mampu dibayar. Mereka menjadi hamba selagi hutang ataupun hukuman masih berjalan.
Selain itu, terdapat juga golongan kebanyakkan yang menjadi hamba untuk mendapatkan
emas (M. Raduan, 1996).

iii. Ekonomi

Kesultanan Sulu sememangnya telah lama utuh sebelum kedatangan Sepanyol ke Filipina
pada abad ke-16. Kesultanan Sulu muncul sebagai sebuah pusat ekonomi yang
berkembang pesat menjelang abad ke-18. Dalam konteks ini, Jolo direkodkan sebagai
sebuah Pelabuhan entreport yang terpenting di Kepulauan Sulu pada ketika itu, di mana ia
mengendali dan mengawal jaringan perdagangan di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Kestabilan ekonomi tersebut membolehkan Kesultanan Sulu menjalankan dasar perluasan
kuasa ke atas wilayah-wilayah yang berhampiran. Abad ke-18 juga turut menyaksikan
ekspedisi oleh datu-datu dari Sulu mengharungi laut Sulu ke Pantai Timur Borneo, Pantai
Barat Mindanao dan Utara Kepulauan Sulawesi (Ismail Ali, 2014).

a. Perdagangan Luar Kesultanan Sulu

Kesultanan sulu pernah menjalankan hubungan perdagangan dengan negara China seawall
abad ke-18. Dalam konteks ini, tongkang-tongkang dari China akan singgah di Pelabuhan
Manila, Pulau Panay dan Selatan kepulauan Visayan terlebih dahulu sebelum memasuki
perairan Jolo dan menjalankan aktiviti perdagangan. Antara barangan yang diperdagangkan
termasuklah sirip ikan jerung, sarang burung, pasu (porcelain), gamat laut (beche-de-mer)
dan tembikar China (earthernware). Seterusnya, Kesultanan Sulu turut menjalankan
hubungan perdagangan dengan pedagang Bugis dari Kepulauan Sulawesi dan Selatan
Pulau Borneo pada abad ke-18. Dalam konteks ini, pedagang Bugis membantu Sulu
membekalkan barang dagangan untuk pedagang dari China. Pedagang Bugis sangat
komited dalam mencari hasil laut dan hasil hutan. Mereka perlu berlayar hingga ke barat
New Guinea dan Utara Australia bagi mendapatkan hasil laut seperti gamat laut atau tripang
dan sirip jerung. Selain hasil laut, rempah ratus, kayu cendana dan rotan turut
diperdagangkan di Jolo untuk pedagang-pedagang dari China dan juga Eropah. Orang
Bugis juga turut berdagang di Berau dan Bulungan, iaitu pusat perdagangan yang dikuasai
oleh aristokrat Taosug di Pulau Borneo. Barangan yang diperdagangkan oleh mereka ialag
rempah ratus seperti lada hitam buah pala dan bunga cengkih.
Selain pedagang Asia, pedagang dari Eropah turut menjalankan aktiviti perdagangan
dengan Kesultanan Sulu. Pedagang Eropah, iaitu English East India Company (EEIC) turut
berdagang di Jolo pada pertengahan abad ke-18. Hal ini secara tidak langsung telah
membawa perubahan pola perdagangan Kesultanan Sulu. Pada tahun 1768, Kesultanan
Sulu memainkan peranan yang penting sebagai Regional Emporium di antara pedagang
dari Eropah, negara-negara Asia Tenggara dan juga China. Namun begitu, barang
dagangan Inggeris tidak begitu mendapat tempat di pasaran China namun barang
dagangan China amat diperlukan oleh pedagang Inggeris. Pada masa yang sama, Sultan
Sulu turut mewujudkan polisi perdagangan di mana para pedagang yang berdagang di Jolo
tidak dibenarkan untuk berdagang secara terus dengan pihak China. Mereka perlu melalui
Jolo terlebih dahulu sebelum berdagang dengan China. Oleh yang demikian, para pedagang
Inggeris menjalankan hubngan perdagangan dengan kesultanan Sulu bagi mengatasi
masalah tersebut.

Tujuannya adalah untuk mendapatkan hasil hutan dan hasil laut dari Sulu, bagi
membolehkan mereka memasarkan barangan dagangan tersebut ke pasaran China. Untuk
mendapatkan kedua-dua sumber tersebut, pedagang Inggeris memperdagangkan senjata,
peralatan perang, serbuk bedil dan candu secara terus kepada aristokrat Taosug. Barang-
barang tersebut mendapat tempat yang baik di pasaran Sulu kerana ia merupakan
teknologiperang moden dalam persenjataan (Superior Weapon). Senjata ini amat diperlukan
oleh Sultan Sulu bagi membantu Kesultanan Sulu dalam mengukuhkan dan memperluaskan
lagi wilayah tanah jajahannya. Selain itu, Kesultanan Sulu turut menjadi County-trade
Centre pada penghujung abad ke-19. Dalam konteks ini, berlaku hubungan perdagangan di
antara Calcutta, Asia Tenggara dan China. Ia dikenali sebagai Country Trade oleh penulis
barat. Kapal-kapal dari Calcutta, India membawa barangan dari kilang Inggeris dan komoditi
Bengal yang mendapat permintaan tinggi daripada Aristokrat taosug, pedagang China di
Jolo dan pedagang Bugis di sekitar pulau-pulau Sulawesi. Barang dagangan yang dibawa
ke Jolo termasuklah Loyang, kain, kain hiasa, renda halus dan karpet.

Barang dagangan yang didagangkan di Jolo bertambah setiap tahun. Hal ini
dikatakan demikian kerana permintaan terhadap barangan tersebut tinggi. Barangan
tersebut adalah kain putih, pisau, gunting, minyak wangi, wanigan lavender, wanigan lemon
dan opium. Walaubagaimanapun, barangan yang dibeli oleh pedagang Inggeris daripada
Aristokrat Taosug masih terhad kepada hasil laut dan hasil hutan, rempah ratus dan hasil
kraf tangan. Hal ini tidak dapat diselesaikan kerana barangan yang didagangkan tersebut
masih mengikut pola sumber laut dan hasil hutan yang diuruskanniagakan sejak sekian
lama di antara benua China dan Kepulauan Sulu. Sejak abad ke-18 lagi, perdagangan di
Kepulauan Sulu ini dikuasai oleh aristokrat Taosug dan ia mengikut kepada keperluan
pasaran China. Hubungan perdagangan yang berpanjangan di antara China dan Jolo ini
membolehkan Jolo menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran barang. Komuniti lain yang
mengkehendaki barangan dari China perlu membawa barang dagangan mereka ke pusat
pemerintahan Kesultanan Sulu terlebih dahulu. Secara ringkasnya, pedagang luar perlu
berdagang dengan Jolo terlebih dahulu untuk mendapatkan barangan yang boleh
dipasarkan ke China. Hal ini memberikan keuntungan yang lumayan kepada golongan
pemerintah yang diperoleh daripada cukai perkhidmatan dan perdagangan secara terus.
Kuasa monopoli yang dinikmati oleh aristokrat Taosug ini tidak disenangi oleh kuasa
Eropah. Mereka membuka Pelabuhan sendiri dengan beberapa keistimewaan sebagai
alternatif untuk mengatasi monopoli Jolo pada ketika itu (M. Raduan, 1996).

3.1 Kemerosotan Kesultanan Sulu

Pemerintah Sepanyol sememangnya ingin menjadikan Kepulauan Sulu sebahagian


daripada tanah jajahannya. Peringkat awal campur tangan Sepanyol terhadap Sulu ialah
dengan percubaan untuk menguasai perdagangan di antara Manila dan Jolo namun gagal
dan mereka beralih arah dengan menguasai pusat perdagangan Makasar. Pembukaan
Pelabuhan Makassar menyebabkan hubungan perdagangan di antara pedagang bugis dan
aristokrat Taosuh di Selatan Wilayah Sulu tersekat. Selain itu, kemaraan kuasa Eropah dan
juga pembukaan Pelabuhan di sekitar perairan kejiranan Sulu telah menyebabkan
perdagangan Sulu mengalami gangguan. Pada permulaan abad ke-19, beberapa buah
Pelabuhan Eropah yang kukuh telah membangun di rantau ini. Pelabuhan-pelabuhan
tersebut ialah Pelabuhan di Singapura, Macao dan Makassar.

Pada tahun 1819, pihak Inggeris telah membuka pelabuhan di Singapura. Pelabuhan
baharu yang mula membangun pada sekitar tahun 1830-an itu telah menarik minat
pedagang-pedagang dari China dan Portugis untuk singgah ke sana. Apabila pelabuhan
Singapura dibuka sebagai pelabuhan bebas, orang-orang Bugis di sekitar pulau tersebut
telah memperluaskan penempatan mereka. Mereka mula menjalankan aktiviti perdagangan
dengan aristokrat Taosug. Seterusnya, pelabuhan Macao turut memainkan peranan penting
dalam memainkan hubungan perdagangan terus di antara Portugis dan Kesultanan Sulu.
Pada tahun 1836, ekspidisi pedagang-pedagang Portugis dari Macao telah membanjiri
pasaran Taosug di Jolo dengan barangan kilang dari China. Seterusnya, Sepanyol tidak
berjaya menghidupkan pelabuhan Manila dan untuk mengurangkan keaktifan perdagangan
aristokrat Taosug di pelabuhan Jolo, Sepanyol membuka pelabuhan Makassar di Pulau
Sulawesi pada tahun 1846. Ia bertujuan untuk menguasai pedagang-pedagang Bugis yang
turut memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan di antara China dan Jolo.
Pembukaan Pelabuhan Makassar telah menyekat hubungan perdagangan di antara
pedagang Bugis dan Aristokrat Taosug. Pada tahun 1848, Sepanyol telah memulakan
langkah dengan menyerang sarang lanun Samal di Balaingingi. Ia merupakan pusat
pengumpulan hamba milik Kesultanan Sulu. Dalam kekacauan yang berlaku, Sultan
Muhammad Fadl cuba mencari perlindungan dari kuasa Eropah yang lain. Baginda telah
mewujudkan hubungan persahabatan dengan James Brooke yang pada ketika itu
merupakan Garbenor Labuan. Sultan Muhammad Fadl menandatangani The Treaty of
friendship and Commerce dengan james Brooke. Hal tersebut telah menimbulkan
kemarahan Sepanyol dan mereka menjadikan peristiwa tersebut sebagai alasan untuk
mereka bertindak terhadap Sulu. Pihak Sepanyol menganggap Sulu ingkar terhadap
perjanjian mereka. Sepanyol akhirnya melancarkan serangan ke atas Jolo pada 25 februari
tahun 1851. Selepas serangan ke atas Jolo, pedagang-pedagang dari Borneo Utara,
Brunei, Palawan, Balabac, Banquey, Jolo dan Cagayan de sulu mengelak aktiviti
perdagangan dengan Zamboanga. Hal ini berterusan sehingga pada tahun 1872, Sepanyol
bertindak untuk menyerang pusat hamba kepunyaan Kesultanan Sulu di perkampungan
Samal, Pulau Tawi-tawi dan sekaligus mengepung pusat pemerintahan Sulu, iaitu Jolo pada
tahun 1872. Hal ini secara langsung telah melumpuhkan kuasa politik dan ekonomi
Kesultanan Sulu kerana sumber tenaga ekonomi Kesultanan Sulu diserang oleh pihak
Sepanyol manakala pusat pemerintannya, Jolo turut dikepung oleh pihak Sepanyol (M.
Raduan, 1996).

Selepas pengepungan Jolo pada tahun 1872, Rear Admiral Antequera telah
mengarahkan agar semua jenis perahu kepunyaan orang Taosug dimusnahkan. Hal ini
dilakukan bagi memastikan orang-orang Taosug berubah daripada Trading aristocracy to
peasants agricluturists”. Kelumpuhan Kesultanan Sulu ini menyebabkan asas ekonomi
mereka bertukar kepada pertanian. Hal ini disebabkan oleh sumber utama ekonomi
perdagangan Kesultanan Sulu diberhentikan oleh pihak Sepanyol dan sebahagian pulau-
pulau yang berada di Kepulauan Sulu dijajah oleh Sepanyol. Selain itu, pedagang-pedagang
Taosug juga turut dipinggirkan. Kesan daripada tindakan Sepanyol melumpuhkan
perdagangan Sulu ini telah memberikan faedah yangbesar kepada pedagang China. Mereka
bebas melakukan aktiviti perdagangan dengan pulau-pulau luar tanpa terikat denga polisi
perdagangan Jolo. Buktinya, pada tahun 1880, ramai pedagang China yang telah bertapak
di Mindanao, Zamboanga, Cotabato, Misamis, Labuan, Glan, Maimbong dan Teluk
Sarangani. Kesemua barangan eksport dikumpulkan di elopura (Sandakan) dan Labuan
sebelum dihantar ke Singapura. Pelabuhan Jolo yang begitu penting pada abad ke-18 dan
19 telah hilang kepentingannya pada akhir abad ke-19. Ia menunjukkan bahawa
pengepungan Jolo telah memberi kesan kepada pelabuhan yang dikuasai oleh Sepanyol
kerana pelabuhan-pelabuhan tersebut tidak lagi mendapat tarikan pedagang akibat daripada
cukai perkhidmatan yang terlalu tinggi. Oleh yang demikian, Sepanyol terpaksa
menamatkan kekuasaan mereka terhadap Jolo pada tahun 1876. Namun begitu, sudah
terlambat bagi Kesultanan Sulu untuk menguasai semula perdagangan di Kepulauan Sulu.

4.1 Kesimpulan

Kesimpulannya, Kesultanan Sulu mula menerima pengaruh Islam pada abad ke-15 dan
berkembang menjadi sebuah kerajaan maritim yang terunggul menjelang abad ke-18.
Kegiatan ekonomi di Sulu bergantung kepada sumber manusia iaitu hamba. Tenaga
manusia yang digunakan telah menyebabkan pelabuhan di Jolo menjadi pusat perdagangan
terpenting pada abad ke-18 dan pertengahan abad ke-19 seterusnya memberikan kuasa
kepada kerajaan ini untuk meluaskan pengaruh dan wilayahnya ke kepulauan di sekitarnya.
Namun begitu, campur tangan kuasa asing dan juga ketidakpuashatian kuasa Sepanyol
telah menyebabkan kerajaan ini merosot dan seterusnya tidak lagi mampu menjalankan
kegiatan perdagangan pada penghujung abad ke-19. Oleh yang demikian, amat penting
untuk mengkaji sejarah kerajaan-kerajaan awal bagi mengetahui kelemahan dan faktor yang
menyebabkan kerajaan tersebut lumpuh agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Rujukan

C. Adib Majul. Terjemahan: Shamsudin Jaapar. (1988). Islam di Filipina. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Abdul Karim Bin Haji Abdul. (2016). Sejarah Pengasasan dan Asal-usul Kerajaan
Brunei Berdasarkan Sumber Lisan, Tesis Doktor Falsafah Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Ismail Ali. (2014). Kebijaksanaan Kesultanan Sulu dalam Mengurustadbir Sumber Ekonomi
di Pantai Timur Borneo Utara, 1707-1878. Jurnal Kajian Sejarah & Pendidikan Sejarah,
2(2). Minda Masagi Press Bandung and UBD Bandar Seri Begawan.

M. Raduan Mohd Ariff. (1996). Kesultanan Sulu Sebagai Sebuah Kerajaan Maritim di Asia
Tenggara. Simposium Antarabangsa Mengenai Hubungan antara Kebudayaan di
Laut Tengah Asia Tenggara. 2-6 April 1996. Kuala Lumpur. Paper 6.

M. Mutadlo. (2015). Islam dan Pendidikan Madrasah di Filipina. Jurnal Edukasia, Vol.13,
No.1(April 2015), 49.

Najeeb M. Saleeby. (1908). The History of Sulu. Manila: Bureau of Printing.


Lampiran

Rajah 1.1: Peta Jolo

Rajah 2.1: China’s Earthernware


Rajah 2.2: China’s Laqueredware

You might also like