You are on page 1of 3

TEKS UCAPAN PENGETUA

SEMPENA KEM MEMBACA 1 MALAYSIA 2022


PERINGKAT SMK BUYONG ADIL,TAPAH

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera  

Terlebih dahulu saya merakamkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana atas
izin-Nya jua kita warga sekolah ini dapat bersama-sama menyempurnakan Majlis Pelancaran
Kem Membaca 1 Malaysia 2022 tanggal 18 April 2022. Kem Membaca 1 Malaysia yang
bertemakan “Pembacaan Berkualiti Menjana Minda Bestari” merupakan program tahunan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan mengukuhkan budaya membaca
dan menanam sikap cinta akan ilmu melalui aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan dalam
kalangan murid selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang kaya
maklumat.  

Murid-murid yang dikasihi,

Sifat suka membaca ialah satu amalan mulia dan seharusnya dijadikan budaya seumur
hidup. Membaca adalah langkah untuk menimba ilmu, memperkayakan maklumat,menambah
ilmu pengetahuan dan kebolehan dalam pelbagai bidang. Dalam erti kata yang lain, melalui
membaca kita boleh mendidik diri sendiri dalam pelbagai aspek. Ilmu pengetahuan dan
maklumat membolehkan kita mempertingkatkan taraf hidup, mampu berdaya saing dan
bergerak maju dalam dunia kini yang semakin mencabar dan berteknologi tinggi. Rakyat yang
suka membaca merupakan aset kerajaan yang tidak terhingga nilainya kerana kehidupan
pada hari esok banyak bergantung kepada apa yang kita pelajari pada hari ini.  

Salah satu penekanan oleh kerajaan Malaysia adalah untuk membangunkan Malaysia
sebagai sebuah negara yang kaya maklumat dan mempunyai ekonomi berasaskan ilmu
pengetahuan. Seiring dengan hala tuju kerajaan ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia
amat prihatin dan sentiasa memberi sokongan padu kepada program yang berfokuskan
pembudayaan amalan membaca dan yang menitikberatkan hal-hal yang bercorak maklumat.
Justeru, dalam tempoh Kempen Membaca 1 Malaysia, pihak sekolah ini akan mengadakan
pelbagai aktiviti galakan membaca secara berperingkat dan berterusan yang meliputi aktiviti
asas, aktiviti pemupukan, dan aktiviti pengayaan. Pendekatan seperti ini perlu dilaksanakan
untuk memperhebat lagi pencapaian program NILAM ke tahap yang lebih baik serta
menyeluruh, dan seterusnya, membantu merealisasikan satu daripada KPI Kementerian
Pelajaran Malaysia., iaitu mengurangkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan
murid luar bandar.

Murid-murid yang dikasihi,

Penemuan kajian The Reading Profile of Malaysians, pada tahun 1996


menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dari umur 10 tahun ke atas adalah celik huruf . Dalam
kajian tersebut juga ada menyatakan bahawa secara purata rakyat Malaysia hanya membaca
2 buah buku dalam setahun. Namun, berdasarkan analisis pelaksanaan Program NILAM
tahun 2009, kadar bacaan murid semakin meningkat. Kadar bacaan murid sekolah rendah
ialah 15 buah bagi setiap murid, manakala kadar bacaan murid sekolah menengah ialah 10
buah buku bagi setiap murid. Arah aliran ini jelas menunjukkan adanya anjakan paradigma
dalam mentaliti rakyat negara ini. Oleh hal yang demikian, bagi meningkatkan tahap
pembacaan berskala tinggi dalam kalangan masyarakat di bumi yang bertuah ini, saya yakin
melalui program seperti Kem Membaca 1 Malaysia ini, akan dapat meningkatkan minat sekali
gus mewujudkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat seperti masyarakat di
negara-negara maju.
Sempena dengan Kem Membaca 1 Malaysia ini, saya menyeru kepada semua murid
dan para guru agar sering berkunjung ke pusat sumber sekolah kita dan melibatkan diri dalam
program NILAM yang dijalankan di dalam kelas oleh guru-guru subjek lain selain dari guru
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Selain itu, program ini juga berperanan sebagai
penggerak aktiviti galakan membaca dan pemupukan minat membaca secara berterusan dan
sepanjang hayat. Tidak dapat dinafikan, program ini juga berusaha menjadikan PSS sebagai
tempat rujukan bahan bacaan. Ingatlah pesanan pantun lama yang berbunyi:

Berburu di padang datar,


Dapat rusa berbelang di kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Kesimpulannya, tiada jalan pintas untuk kita menempa kejayaan dalam apa-apa jua
bidang., melainkan dengan menyemai tabiat suka membaca dan keberanian meneroka
pelbagai cabaran dalam dunia ilmu yang penuh ranjau dan duri sebelum kita dapat mengecapi
kemanisan kejayaan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada
Jawatankuasa Kempen Membaca 1 Malaysia SMK Buyong Adil, serta semua yang terlibat
dalam menjayakan program ini. Tanpa dedikasi dan keringat yang telah kalian curahkan,
sudah barang tentu kejayaan pada hari ini sukar untuk kita peroleh.

Dengan ini, saya dengan sukacita dan bangganya merasmikan Kempen Membaca 1
Malaysia peringkat SMK Buyong Adil bagi tahun 2022. Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

You might also like