You are on page 1of 16

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/346445241

TENGKOLOK SEBAGAI HASIL SENI RUPA MELAYU

Conference Paper · November 2020

CITATIONS READS

0 7,263

3 authors:

Salina Abdul Manan Hamdzun Haron


Community College Universiti Kebangsaan Malaysia
20 PUBLICATIONS   6 CITATIONS    66 PUBLICATIONS   80 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Zuliskandar Bin Ramli


Universiti Kebangsaan Malaysia
295 PUBLICATIONS   607 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Prehistoric burial practices in Malaysia View project

Archaeological Excavation of Candi Kampung Baru, Kota Kuala Muda, Kedah View project

All content following this page was uploaded by Salina Abdul Manan on 28 November 2020.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


TENGKOLOK SEBAGAI HASIL SENI RUPA MELAYU

Salina Abdul Manan,c, Hamdzun Haron,ab dan Zuliskandar Ramlia


a
Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor.
b
Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor.
c
Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, 62200 Wilayah Persekutuan
Putrajaya.

salina200183@gmail.com

Abstrak
Tengkolok merupakan pakaian kepala lelaki Melayu yang dimahsyurkan pemakaiannya oleh golongan
di istana. Tengkolok juga dikategorikan sebagai seni rupa tiga dimensi di alam Melayu. Objektif kertas
kajian ini adalah untuk menganalisis tengkolok sebagai seni rupa Melayu yang indah ciptaanya. Analisis
dilaksanakan berdasarkan kepada reka bentuk tengkolok kesultanan Perak darul Ridzuan. Bagi
menjelaskan perkara ini, penulis menggunakan kaedah penelitian kualitatif dengan pendekatan
kebudayaan iaitu dengan mengumpul data-data secara bertulis dan temu bual. Hasil penelitian
mendapati bahawa tengkolok adalah satu ciptaan orang Melayu terdahulu yang begitu indah ciptaanya.
Keindahan ini terserlah melalui nama dan reka bentuknya. Hasil seni rupa tengkolok ini harus diberikan
pendedahan serta pengetahuan khusus kepada generasi muda agar dapat memertabatkan pakaian
tradisional orang Melayu sepanjang zaman. Disamping memberikan pendedahan, tengkolok orang
Melayu ini juga harus didokumenkan agar nilai seni Melayu tidak akan hilang di dalam arus kemodenan
fesyen masa kini.

Kata Kunci: Tengkolok, reka bentuk, seni rupa, Melayu

PENGENALAN

Tengkolok merupakan salah satu pakaian kepala lelaki Melayu yang menjadi sebahagian
daripada pakaian harian masyarakat terdahulu. Pemakaian tengkolok ini merupakan pakaian
golongan diraja dan bangsawan serta dikategorikan sebagai pakaian tradisional. Menurut Ros
Mahwati et.al (2018), sesebuah masyarakat di dunia ini sering menjadikan pakaian tradisonal
sebagai pakaian rasmi terutama bagi keluarga diraja. Pakaian tradisional ini digayakan dalam
majlis tertentu seperti majlis perkahwinan dan pertabalan raja atau sultan yang baru.
Sehubungan itu, tengkolok di alam Melayu merupakan salah satu alat kebesaran diraja di dalam
majlis pertabalan sultan yang baru. Melihat kepada kegunaan tengkolok di alam Melayu ini
dapat dinyatakan bahawa ia sebagai sesuatu pakaian yang penting. Tengkolok juga
dikategorikan sebagai satu hasil kraftangan Melayu dan sebahagian daripada seni rupa Melayu.
Menurut Siti Zainon (1986) seni rupa Melayu bermaksud satu hasil cipta seni lukis,
grafik, tekstil, seni perusahaan dan beberapa hasil kraftangan termasuk kraftangan tradisi
Melayu. Terdapat dua bentuk seni rupa iaitu seni rupa dua dimensi dan seni rupa tiga dimensi
(Ensiklopedia Kebangsaan 1977). Seni rupa dua dimensi berdasarkan kepada ukuran panjang
dan lebar manakala seni rupa tiga dimensi berdasarkan kepada ukuran panjang, lebar dan
tinggi. Melalui kedua-dua bentuk seni rupa ini, maka bentuk dan struktur sesuatu seni rupa
dapat didedahkan. Sebagai contoh, lukisan merupakan hasil seni rupa dalam bentuk dua
dimensi manakala ukiran, seni bina dan seni kraftangan merupakan hasil seni rupa dalam
bentuk tiga dimensi.
Sehubungan itu, tengkolok merupakan salah satu hasil seni rupa Melayu yang
dikategorikan dalam bentuk seni rupa tiga dimensi. Ini kerana reka bentuk tengkolok
mempunyai ukuran panjang, lebar dan tinggi yang diasaskan daripada bentuk tiga dimensi.
Rodziah (1981) menyatakan bahawa tengkolok merupakan salah satu cabang seni rupa yang
dianggap sebagai hasil seni kraftangan Melayu. Ini dapat dijelaskan seperti petikan Syed
Ahmad (1979) seperti berikut:

Seni rupa Melayu ialah kenyataan tampak sesuatu kebudayaan yang tertentu, sebagai
kain dewangga yang merintangi masa. Konsep seni rupa Melayu adalah seni rupa
dengan konsep muzium tidak bertebuk. Seni rupa Melayu ialah penjelmaan bahan-
bahan dari alam semulajadi pada satu bentuk yang merupakan jiwa pencipta. Hasil-hasil
seni rupa itu yang diwujudkan dari alam sekitar penglihatan dan fikiran, adalah ciptaan
jiwa yang dijelmakan melalui impian yang mencerminkan keadaan harmoni diantara
manusia dan alam semulajadi.

Tengkolok mempunyai nilai seni dan keindahan yang tinggi sebagai sebuah hasil seni
rupa Melayu. Dengan menggunakan penglihatan pancaindera, keindahan tengkolok dapat
dinikmati. Melalui penglihatan pancaindera ini, keunikan tengkolok akan terserlah dan sekali
gus mengingatkan kita kepada kebolehan penciptanya. Gambaran keunikan tengkolok ini akan
jelas terpancar pada bentuknya yang telah siap digubah. Penciptaan tengkolok juga
menampakkan daya ketekunan dan kecermatan yang tinggi hasil daripada pengikat tengkolok
terdahulu. Tengkolok yang dicpta mempunyai pelbagai bentuk yang unik serta nama yang
indah. Setiap bentuk dan nama yang diberikan mempunyai makna yang tersirat dan tersurat.
Ini menunjukkan lagi bahawa penciptaan tengkolok orang Melayu terdahulu mempunyai
pemikiran yang kreatif dan kirtis. Ini kerana daripada reka bentuk tengkolok dapat
menyampaikan mesej atau pengajaran kepada masyarakat setempat.
REKA BENTUK TENGKOLOK WARISAN MELAYU

Terdapat pelbagai jenis tengkolok di alam Melayu. Menurut Salina (2015) kepalbagaian ini
berkemungkinan disebabkan oleh ilmu mengikat tengkolok tidak dapat diperturunkan secara
keseluruhan. Ini kerana pada zaman dahulu ilmu diwarisi secara lisan serta tanpa ada sebarang
catatan yang lengkap. Maka dengan itu penjenisan reka bentuk tengkolok ini ada yang
bertambah dan ada yang berkurangan. Sehubungan itu, terdapat pelbagai nama, ejaan dan
bilangan tengkolok Melayu yang sehingga kini masih dikaji dan diperbincangkan. Tengkolok
di alam Melayu ini menjurus kepada negeri-negeri yang mengamalkan sistem beraja seperti
negeri Perak, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Perlis, Selangor, dan Negeri
Sembilan. Di setiap negeri ini mempunyai nama dan bentuk yang berbeza dan terdapat juga
nama yang sama namun berlainan bentuknya. Perbezaan ini dapat menonjolkan identiti tertentu
bagi kawasan tertentu di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain (Rahmah & Nor Azlin
2002).
Merujuk pada gambar 1.0, Sultan, Raja dan Yang DiPertuan Besar dalam sistem beraja
di Malaysia. Setiap pemerintah menggayakan tanjak yang berbeza dan menjadi identiti setiap
negeri yang diperintah. Gambar 1.0, Duli Yang Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
iaitu sultan Perak ke-35 yang menggayakan tengkolok Helang Menyusur Angin (Salina 2015).
Gambar 2, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah
Shah iaitu sultan Terengganu ke-18 menggayakan tanjak Belali Gajah. Gambar 3, Yang Di-
Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
menggayakan destar Dendam Tak sudah. Gambar 4, Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim
Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang merupakan sultan Kedah ke-29
menggayakan tanjak baru iaitu Seri Mahkota (rujuk gambar 1.1). Tanjak ini merupakan rekaan
baru yang dihasilkan dan dimahsyurkan pada Majlis Pertabalan Sultan Kedah ke-29. Rekaan
tanjak baru ini bagi menggantikan tanjak Dendam Tak Sudah yang digayakan oleh Almarhum
Sultan Badlishah ketika pemerintahan baginda.
Seterusnya, gambar 5 adalah sultan Selangor ke-9 iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang
menggayakan tanjak Balong Ayam. Gambar 6, Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku
Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang merupakan Raja Perlis
ke-7 yang menggayakan tengkolok Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan.
Namun pada tahun 2019, satu rekaan tengkolok baru telah dihasilkan iaitu tengkolok Putra
Julang Darjat (rujuk gambar 1.1). Tengkolok ini mempunyai reka bentuk yang hampir sama
dengan tengkolok Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika istiadat pertabalan baginda
pada 1949 dan majlis menandatangani Persekutuan Tanah Melayu pada 1957
(www.siharharian.com). Gambar 7, Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam
Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan
pemangku Sultan Pahang menggayakan tanjak Lang Menyunsung Angin. Gambar 8, Sultan
Kelantan ke-29 iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra ibni Tengku Ismail
Petra menggayakan destar Getam Budu. Manakala gambar 9, iaitu Sultan Johor ke-4 Duli Yang
Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menggayakan topi rasmi.
Baginda merupakan satu-satunya sultan di dalam kesultanan Melayu yang menggayakan topi
di dalam pemakaian rasmi baginda.

1 2 3

4 5 6

7 8 9

Gambar 1.0 Tengkolok Kesultanan Melayu


Gambar 1.1 Tengkolok Putra Julang Darjat

Dalam ungkapan Melayu Riau tulisan Tenas Effendy (1989) terdapat empat puluh satu
(41) jenis tengkolok yang dinyatakan. Penjenisan tengkolok ini disertakan dengan siapa si
pemakai dan waktu yang sesuai untuk dipakai (rujuk jadual 1.0). Melalui ungkapan ini dapat
dihuraikan bahawa pemakaian tengkolok itu mengikut status si pemakai dan mempunyai waktu
yang sesuai untuk dipakai. Status si pemakai terbahagi kepada tiga (3) golongan iaitu istana,
bangsawan dan rakyat jelata. Antaranya adalah seperti anak raja, orang besar negeri, orang
yang patut-patut, orang kuasa tampuk negeri, datuk pemegang adat, orang besar-besar,
laksamana, pendekar, panglima, hulubalang, orang kebanyakan, anak muda, menteri dan
pemeganag adat pusaka. Manakala waktu yang ditetapkan untuk pemakaian tengkolok
terbahagi kepada dua (2) iaitu majlis rasmi dan tidak rasmi. Antaranya adalah seperti jamuan,
masuk gelanggang, perkahwinan iaitu bernikah atau bersanding, penjaga balai, berperang,
bertandang, majlis raja-raja dan pakaian harian seperti jadual 1.3 dibawah.

Jadual 1.0 Jenis, pemakai dan waktu pemakaian

Nama Destar Pemakai Waktu pemakaian


Belah Mumbang anak raja-raja helat jamuan, merempuh-rempuh,
gelanggang
Tebing Laksamana orang besar negeri, Orang
yang patut-patut, Orang
kuasa tampuk negeri
Tubang Layar raja, Datuk pemegang adat,
Orang patut-patut
Tebing Runtuh Orang besar-besar, Orang
patut dalam negeri
Tanjak Laksamana raja, Laksamana
Tanah Terban raja, Datuk pemegang adat,
yang patut-patut dalam
negeri
Gombak Raja Raja dalam nobat, Raja
menjunjung gelar
Daun Sehelai orang patut-patut helat dalam jamuan
Dua Sejumbai orang patut-patut gelanggang
Daun Kacang orang patut-patut helat jamu, bermain dalam gelanggang
Tanjak Bersusun anak raja Untuk nikah dengan kahwinnya, Atau
berhelat dengan jamuan
Layar Buang datuk pemegang adat helat dengan jamuan, Atau berunding
laksamana mencari muafakat
Sehari Bulan pendekar masuk gelanggang, Atau dubalang
penjaga balai
Balik Punggung panglima Yang berperang amuk-mengamuk, Yang
mencari musuh datang
Tanjang Songsang dubalang masuk gelanggang, Atau pemberani
mencari lawan
Tanjak Sebelit orang nan banyak helat atau jamuan, Atau bermain dalam
gelanggang
Tanjak Telikuh anak muda Masuk helat masuk jamuan, Atau
bermain dalam gelanggang
Tanjak Tunggal orang patut-patut Dalam helat dengan jamuan, Dalam
rundingan dengan muafakat, Atau untuk
berjalan jauh, Bertandang ke kampung
lain, bersanding atas pelamin
Bulan Mengambang orang yang patut-patut Bersanding
Sirih Kembar datuk dan dubalang permainan dalam gelanggang, Atau
pergi berjalan jauh
Gajah Mandi Raja, datuk pemegang adat helat dengan jamuan, Dalam majlis
patut-patut Atau pergi berjalan jauh
Tanjak Pial orang berbangsa helat dengan jamuan, Dalam majlis
patut-patutan
Datuk Menteri datuk dan panglima majlis helat jamuan, Atau berjalan pergi
jauh
Tanjak Rum Raja, datuk, menteri helat dalam jamuan, Dalam majlis yang
besar-besar
Tanjak Selapis orang banyak helat dengan jamuan, Atau pergi
bertandang jauh, Atau bermain dalam
gelanggang
Tanjak Secengkam orang banyak helat dengan jamuan, Dalam majlis
patut-patut, Atau dalam gelanggang
orang
Bunga Sekaki banyak orang Pakaian duduk di atas pelamin
Kuntum Tak Jadi orang nan banyak helat dengan jamuan, Masuk nikah
dengan kahwin, Masuk gelanggan
sabungan, Atau bertandang ke kampung
orang
Ikal Mayang orang patut-patut Dalam majlis perundingan, Atau masuk
helat jamuan, Atau bermain dalam
gelanggang
Tanjak Seludang orang patut-patut Untuk bertandang sama sekampung
Seri Lancang raja, datuk-datuk, pemegang helat dengan jamuan, Dalam majlis dan
tampuk negeri, pemegang gelanggang
adat pusaka
Mambang Tidur orang yang patut-patut Untuk bertandang dalam kampong, Atau
pergi berjalan jauh
Naga Bersulang raja Dalam nobat dengan gelarnya, Dalam
majlis raja-raja
Pauh Enggang datuk-datuk Dalam helat dengan jamuan, Dalam
majlis penobatan, Yang mendengar titah
dengan gelar
Telingkur Akar datuk-datuk Dalam menerima titah raja, Dalam
mendapat gelar sumpah, Dalam majlis di
balai besar
Sepenjalinan orang banyak bermain dalam gelanggang
Gajah Menyusur orang yang patut-patut bertandang sama sekampung

Simpai Emas datuk pemegang adat, Dalam helat dengan jamuan


pemegang tampuk negeri
Tanjak Sepukal pakaian sehari-hari Dalam majlis patut-patut

Yang dibawa keluar rumah, Yang


Seri Gading bertandang berbual-bual, Dalam banjar
kampung sebuah, pakaian pagi petang

Manakala merujuk kepaada jadual 1.1 dibawah, Rahmah & Nor Azlin (2002), Wan
Yahya (2006), Anon (1985) dan Sariah (1987) telah menyenaraikan nama-nama tengkolok
yang terdapat di Tanah Melayu. Nama-nama tengkolok ini mengikut susunan negeri seperti
Melaka satu (1) jenis tengkolok, Johor Darul Takzim dua (2), Kedah Darul Aman tujuh belas
(17), Kelantan Darul Naim empat (4), Negeri Sembilan Darul Khusus sembilan (9), Pahan
Darul Makmur lapan (8), Perak Darul Ridzuan lapan belas (18), Perlis Indera Kayangan satu
(1), Selangor Darul Ehsan dua belas (12) dan Terengganu Darul Iman tiga belas (13). Secara
keseluruhannya, terdapat lapan puluh lima (85) jenis tengkolok yang telah dinyatakan oleh
empat orang penulis berkenaan. Justeru itu, melalui senarai ini juga dapat dinyatakan bahawa
terdapat dua negeri yang memiliki jenis tengkolok yang paling banyak iaitu negeri Perak
sebanyak enam belas (16) jenis dan Kedah Darul Aman tujuh belas (17) jenis. Manakala dua
negeri yang memiliki satu (1) tengkolok sahaja iaitu negeri Melaka dan Perlis. Disamping itu,
terdapat juga nama tengkolok yang sama iaitu Dendam Tak Sudah di negeri Kedah dan Negeri
Sembilan manakala di negeri Pahang dan Perak adalah tengkolok Lang Menyonsong Angin.

Jadual 1.1 Jenis Tengkolok dan Negeri


Negeri Nama Tengkolok
Melaka Helang Berlegar
Johor Darul Takzim Temenggung, Justar Singa Menoleh
Kedah Darul Iman Pucuk Rebung, Dendam Tak Sudah, Lambung Belalai, Jantung Pisang,
Seri Indera Putera, Dayung Emas, Serampang Perak, Bendahara, Bunga
Tanjung, Limau Purut, Bunga Batu, Lang Melayang, Semarak, Bunga Padi,
Sudu Itik, Getang, Bentara/ Jejawat
Kelantan Darul Naim Ketam Budu, Setangan Isih, Bulang Hulu dan Berbulan
Negeri Sembilan Dendam Tak Sudah, Sarang Kerengga, Dendam Berahi, Kacang Dua Daun
Darul Khusus Kacang Sehelai Daun, Helang Menyambar, Seluk Timba, Saluak, Tanjak
Randai
Pahang Darul Lang Menyongsong Angin, Cogan Daun Kopi, Raja Naik Bersiram,
Makmur Sekelonsong Bunga, Sunda Menggamit (seperti Ranjau Pergi), Bugis Tak
Balik, Getam Pekasam, Ayam Patah Kepak
Perak Darul Ridzuan Ayam Patah Kepak, Patah Kepak, Belah Mumbang, Balung Ayam,
Mumbang Belah Dua, Pucuk Pisang Patah, Anak Gajah Menyusu, Lang
Menyongsong Angin/ Lang Menyusun Angin, Menyongsong Angin, Lang
Sioh, Tengkolok Sering, Helang Mengeram, Getam Pekasam / Garam
Sebuku, Megat Terawis, Destar Kreatif, Sekalung Bunga Selingkar Rotan,
Anggun Cik Tunggal, Helang/ Lang Patah Sayap
Perlis Indera Putera Kayangan
Kayangan
Selangor Darul Ehsan Setanjak Sultan, Ikatan Raja Muda, Tengkolok Alang, Helang
Menyongsong Angin, Pari Mudik, Sebang Selat, Getam Pekasam,
Temenggung, Bendahara, Bugis Tak Balik, Patendro, Gulung Belalai
Terengganu Darul Belalai Gajah, Bendahara, Laksamana, TemenggungDatuk Bija Di Raja,
Dagang Sakti Di Rantau, Helang Melayang, Jebak Puyuh, Bugis Tak Balik,
Temalung Budu, Belah Mumbang, Musang Terjun

Seterusnya, tujuh puluh tiga (73) tengkolok yang telah dinyatakan oleh Wan Yahya
(2006) terbahagi kepada enam kategori iaitu tumbuhan, lagenda iaitu manusia, haiwan, abstrak,
makanan dan senjata seperti jadual 1.2 dibawah. Melalui enam kategori yang dinyatakan,
terdapat empat puluh enam (46) jenis tengkolok yang sama dinyatakan oleh Rahmah & Nor
Azlin (2002), Anon (1985) dan Sariah (1987) merujuk kepada jadual 1.1. Namun, terdapat dua
puluh empat (24) jenis tengkolok yang tidak tersenarai di dalam jenis tengkolok mengikut
negeri merujuk kepada jadual 1.2. Manakala terdapat tiga (3) jenis tengkolok yang mempunyai
ejaan yang berbeza iaitu Berbulan dan Bebulan, Dayung Mas dan Dayung Emas serta Getam
Budu dan Ketam Budu. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa terdapat pelbagai
jenis tengkolok di alam Melayu dimana setiap pengkaji akan mendapat penemuan yang baru.
Ini sekaligus dapat membuktikan bahawa wujudkan pelbagai jenis dan tengkolok di alam
Melayu.
Jadual 1.2 Kategori Tengkolok
Kategori Nama Tengkolok
Lagenda Bendahara, Datuk Bija Di Raja, Datuk Menteri, Laksamana, Megat Terawis,
Putera Kayangan, Seri Indera Putera, Temenggung, Tengkolok Alang
Senjata Ranjau Pergi, Serampang Perak
Abstrak Bebulan, Bugis Tak Balik, Bulan Mengambang, Bulang Hulu, Dagang Sakti
Di Rantau, Dayung Mas, Dendam Berahi, Dendam Tak Sudah, Dua
Sejumbai, Gombak Raja, Lambung Belalai, Layar Buang, Raja Naik
Bersiram, Sarang Kerengga, Sehari Bulan, Sekalung Bunga, Selingkar Rotan,
Seluk Timba, Semarak, Serampang Perak
Haiwan Anak Gajah Menyusu, Ayam Patah Kepak, Balung Ayam, Belalai Gajah,
Gajah Gemulung, Gajah Mandi, Helang Melayang, Helang Mengeram, Jebak
Puyuh, Lang Melayang, Lang Menyambar, Lang Menyonsong Angin, Lang
Sioh, Musang Terjun, Naga Bersulang, Pari Mudik, Patah Kepak, Pauh
Enggang, Singa Menoleh, Sudu Itik
Makanan Getam Budu, Getam Pekasam, Temalung Budu
Tumbuhan Belah Mumbang, Bunga Batu, Bunga Padi, Bunga Sekaki, Bunga Tanjung,
Cogan Daun Kopi, Daun Kacang, Ikal Mayang, Jantung Pisang, Kacang Dua
Daun, Kacang Sehelai Daun, Kuntum Tak Jadi, Limau Purut, Mumbang
Belah Dua, Mumbang Tidur, Pucuk Pisang Patah, Sekelongsong Bunga,
Seludang, Daun Kopi, Sekalung Bunga

Selain itu, Salina (2015) di dalam kajian falsafah disebalik reka bentuk tengkolok
kesultanan megeri Perak menyenaraikan lapan (8) jenis tengkolok. Daripada lapan jenis ini, ia
terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang diguna pakai dan tidak digunapakai (rujuk jadual
1.3). Antaranya ialah Ayam Patah Kepak, Helang Menyusur Angin, Getam Perkasam, Balung
Ayam, Alang Iskandar, Anak Gajah Menyusu, Pucuk Pisang Patah, dan Dendam Tak Sudah.
Namun berbeza pendapat dengan Muhamad Adha (2019) yang menyatakan bahawa tengkolok
yang masih digunapakai di kesultanan Perak adalah Ayam Patah Kepak, Dendam Tak Sudah
dan Getam Perkasam. Perbezaan ini disebabkan oleh tanjak yang digayakan oleh Duli Yang
Maha Mulia Sultan Dr Nazri Shah iaitu Helang Menyusur Angin (Salina, 2015) dan Dendam
Tak Sudah (Muhamad Adha, 2019).
Jadual 1.3 Tengkolok Kesultanan Perak
Kategori Nama Tengkolok
Masih digunapakai Ayam Patah Kepak, Helang Menyusur Angin, Getam Perkasam
Tidak Digunapakai Balung Ayam, Alang Iskandar, Anak Gajah Menyusu, Pucuk Pisang
Patah, dan Dendam Tak Sudah

KEINDAHAN TENGKOLOK MELAYU

Dalam kertas kerja ini, tengkolok merujuk kepada reka bentuk aesthetic atau estetik iaitu
membawa maksud keindahan. Ini kerana kehidupan orang Melayu penuh dengan keindahan
dan sekaligus makna indah sangat sinonim dengan orang Melayu. Pada abad ke 18 seorang ahli
falsafah Jerman iaitu Alexander Baumgarten (1714-1762) telah mencipta perkataan aesthetic
yang bererti sensation. Ia membawa maksud sesuatu hasil tindak balas luaran yang berlaku
pada badan iaitu perasaan dalam badan. Satu daya rasa yang sukar di terjemahkan di dalam
aesthetic dinamakan beauty atau indah. Sebelum perkataan estetika muncul, perkataan beauty
telah di guna pakai bagi menyatakan konsep keindahan. Istilah beauty banyak digunakan bagi
menganalisis bidang seni seperti seni tampak, kesusasteraan, seni bina, seni muzik, seni tari
dan seni drama. Gatz, (1941) menyatakan perkataan yang membincangkan hal-hal yang
berkaitan dengan keindahan dalam bidang seni adalah estetika dan juga sama seperti beauty.
Manakala melalui penghasilan kraf orang Melayu, estetika berkaitan dengan halus, berguna,
bersatu, berlawan dan prinsip berlambang. Pereka dan penghayat kraf atau seni akan dapat
menikmati satu kepuasan dalam karya yang dihasilkan.
Sehubungan itu, seorang ahli arkeologi Jerman iaitu Johann Joachim Winckelmann
menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak berminat untuk mengetahui dan memahami
apa itu keindahan, maka estetika tidak dapat dirasai dalam diri seseorang. Sebagai contoh,
sekiranya seseorang itu tidak berminat melukis catan, maka tidak dapat merasai keindahan
catan yang dihasilkan. Minat kepada lukisan catan itu akan menwujudkan rasa estetika di dalam
catan yang dihasilkan. Melalui imaginasi suatu perasaan itu akan melahirkan estetika dan dapat
diterjemahkan dalam dua cara iaitu dua dimensi dan tiga dimensi (Winckelmann 1850). Selain
itu, terdapat pendefinisian tentang nilai keindahan sesuatu bentuk dapat dinilai dari dua sudut
iaitu sudut objektif dan sudut subjektif (Moore 1942). Bentuk objek atau karya merupakan ciri-
ciri yang dinilai daripada sudut objektif. Warna, struktur, bentuk, luar, garis dan tekstur nada
merujuk kepada bentuk atau karya yang dinilai. Manakala daripada sudut subjektif pula,
kegembiraan yang dirasai hasil daripada khalayak dan penilaian sesuatu karya itu adalah nilai
yang diukur. Konsep estetika yang merujuk kepada keindahan juga terdapat di dalam ajaran
Islam. Pemikir Islam seperti al-Ghazzali, al-Faruqi dan Seyyed Hossein Nasr membincangkan
tentang keindahan melalui maksud hadith “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah lagi menyukai
keindahan”.
Selain pandangan daripada sarjana barat dan pemikir Islam, terdapat juga beberapa
pandangan daripada sarjana tempatan seperti Othman (1989), Zakaria (1989) dan Haziyah
(2006) mengenai keindahan. Menurut Othman (1989), rasa yang menggembirakan,
menyenangkan, memuaskan yang baik dan dihargai mempunyai perkaitan dengan keindahan.
Manakala Zakaria (1989) melihat kepada sesuatu yang dihasilkan oleh seniman itu melalui
teknik dan estetika pada penggunaan bahan alam semula jadi. Dalam menilai penampilan
sesebuah karya seni, bentuk merupakan salah satu aspek yang paling penting untuk dinilai.
Karya tersebut dapat dihargai melalui bentuk pemerhatian yang ditimbulkan daripada rasa
estetika. Justeru itu, Zakaria (1993) menyatakan bahawa bagi mencapai satu kesenian yang
halus banyak perkara yang perlu di ambil kira iaitu seperti bentuk, struktur, imbangan,
komposisi, warna dan tema. Manakala Haziyah (2006) mentakrifkan seni atau seni hias sebagai
sesuatu makna yang membentuk dan menggayakan keindahan sehingga terhasilnya hiasan.
Nilai estetika akan terserlah melalui hiasan yang dihasilkan. Selain itu, ia juga mengandungi
falsafah dan lambang. Ini berdasarkan kepada kepercayaan dan pandangan umum sesuatu
masyarakat yang menghasilkannya. Justeru itu, Thomas Munro (1943) menyatakan bahawa
terdapat dua perkara yang boleh dikaji daripada bentuk sesebuah karya;

“…. But the form of art as a whole from the stand-point of aesthetic apperception does
include not only the directly presented images but also the portion of its suggestive
content which is most definitely demonstrate on basis of cultural usage...”

Sesuatu estetika yang dihargai merupakan dasar kepada sesuatu budaya, ia merupakan
suatu imej yang bukan sahaja dapat dilihat secara terus tetapi juga isi yang tidak dinyatakan.
Berdasarkan kepada pendapat itu, terdapat dua pecahan bahagian bentuk di dalam karya seni
iaitu bentuk nyata dan bentuk tersirat. Bentuk nyata ialah bentuk yang dapat di lihat dengan
mata kasar manakala bentuk tersirat merupakan benda-benda yang tidak dapat dilihat dengan
mata kasar. Menurut Hamdzun (2012), pengkarya menyampai isi ceritanya melalui reka bentuk
dan reka corak. Berdasarkan kepada maksud estetika (keindahan) dan bentuk yang dihuraikan.
Maka kertas kerja ini akan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai nilai keindahan
tengkolok Melayu melalui reka bentuk tengkolok.

REKA BENTUK TENGKOLOK KESULTANAN NEGERI PERAK

Di kesultanan Perak, terdapat lapan reka bentuk tengkolok iaitu Ayam Patah Kepak (1), Helang
Menyusur Angin (2), Getam Perkasam (3), Pucuk Pisang Patah (4), Dendam Tak Sudah (5),
Anak Gajah Menyusu (6), Alang Iskandar (7), dan Balung Ayam (8) (Salina 2015), rujuk
gambar 1.2. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu tengkolok yang masih digunapakai dan tidak
digunapakai. Tengkolok yang masih digunapakai adalah Ayam Patah Kepak, Helang Menyusur Angin
dan Getam Perkasam. Manakala tengkolok yang tidak digunapakai adalah Pucuk Pisang Patah,
Dendam Tak Sudah, Anak Gajah Menyusu, Alang Iskandar, dan Balung Ayam. Namun begitu,
Raja Akasha (2019) menyatakan bahawa Sultan Nazrin Muizzuddin Shah iaitu Sultan Perak
ke-35 menggayakan tengkolok Dendam Tak Sudah (Raja Akasha dan Muhamad Adha, 2019).
Ini berbeza pandangan dengan Salina (2015) yang menyatakan bahawa Sultan Perak ke-35
menggayakan tengkolok Helang Menyusur Angin II.
Sehubungan itu, tengkolok Tebing Runtuh, Mumbang Belah Dua dan Helang Melayang
juga merupakan sebahagian daripada reka bentuk tengkolok kesultanan Perak (Muhamad Adha
2019). Beliau menyatakan bahawa tengkolok Tebing Runtuh (a) digayakan oleh Sultan Perak
ke-30 iaitu Paduka Seri Sultan Iskandar Shah Kadasallah Ibni Almarhum Sultan Idris
Murshidul Azzam Shah Rahmatullah, Sultan Perak Yang Ke 30. Tengkolok Belah Mumbang
(b) pula digayakan oleh Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah Ibni
Almarhum Raja Muda Musa yang merupakan Sultan Perak Yang Ke-31. Manakala tengkolok
Helang Melayang (c) digayakan oleh Sultan Perak ke-33 iaitu Paduka Seri Sultan Idris Shah
Affifullah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah Sultan Perak, (rujuk gambar 1.3).

1 2 3 4

5 6 7 8

Gambar 1.2 Lapan reka bentuk tengkolok kesultanan Perak, Salina (2015)

Gambar 1.3 Dari kiri: Tengkolok Tebing Runtuh, Belah Mumbang


dan Helang Melayang (Muhamad Adha, 2019)
Manakala Wan Yahya (2004) menyenaraikan enam belas reka bentuk tengkolok negeri
Perak iaitu Ayam Patah Kepak, Patah Kepak, Belah Mumbang, Balung Ayam, Mumbang
Belah Dua, Pucuk Pisang Patah, Anak Gajah Menyusu, Lang Menyongsong Angin,
Menyongsong Angin, Lang Sioh, Tengkolok Sering, Helang Mengeram, Getam Pekasam,
Megat Terawis, Destar Kreatif, dan Sekalung Bunga Selingkar Rotan. Kepelbagaian tengkolok
kesultanan negeri Perak ini terserlah dengan keunikan pada setiap bentuknya. Namun di dalam
buku Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih, beliau memberikan sembilan koleksi
bergambar bagi tengkolok di negeri Perak iaitu Balung Ayam (1), Mumbang Belah Dua (2),
Pucuk Pisang Patah (3), Alang Iskandar (4),Patah Kepak (5), Lang Menyonsong Angin (6),
Lang Sioh (7), Ayam Patah Kepak (8), dan Getam Pekasam (9),( rujuk gambar 1.4).

1 2 3

4 5 6

7 8 9

Gambar 1.4 Tengkolok negeri Perak (Wan Yahya, 2004)

Melalui keindahan nama dan reka bentuk tengkolok yang terdapat di negeri Perak,
maka penghasilannya juga merupakan satu nilai keindahan. Penghasilan sesebuah tengkolok
di negeri Perak dimulai dengan empat bahagian utama iaitu lipatan asas (lima lipatan),
simpulan garam sebuku dan solek (rujuk gambar 1.5). Hampir semua reka bentuk tengkolok di
negeri Perak memiliki tiga bahagian utama tersebut kecuali tengkolok Getam Perkasam.
Tengkolok Getam Perkasam mempunyai lipatan asas dan solek sahaja kerana permukaan atas
soleknya bertutup penuh seperti sebuah kopiah atau songkok. Setiap tengkolok mempunyai
asas lipatan yang sama namun berbeza pada bahagian soleknya. Setiap solek yang digubah oleh
setiap pengikat akan mengahasilkan tengkolok yang sama namun sedikit berbeza soleknya.
Perbezaan ini disebabkan oleh setiap pengikat mempunyai seni kemahiran menggubah solek
yang bebeza-beza. Walaupun terdapat sedikit perbezaan pada soleknya, ia tidak akan
mengubah walau sedikit pun rupa bentuk asal sesebuah tengkolok itu. Keadaan ini menjadikan
ia satu identiti kepada setiap pengikat tengkolok di negeri Perak.

Solek

Pucuk rebung

Lipatan asas

Simpulan garam sebuku


Gambar 1.5 Bahagian utama tengkolok negeri Perak

KESIMPULAN

Keindahan tengkolok Melayu khusunya negeri Perak Darul Ridzuan ini terserlah melalui reka
bentuknya. Ia menjadikan tengkolok dikategorikan sebagai seni rupa tiga dimensi dalam seni
rupa Melayu. Justeru itu, kepelbagaian reka bentuk tengkolok di kesultanan Perak ini
membuktikan bahawa negeri Perak memiliki pelbagai reka bentuk tengkolok. Kepelbagaian ini
menunjukkan bahawa pengikat tengkolok zaman dahulu khususnya di negeri Perak memiliki
kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan rekaan tengkolok. Setiap bentuk tengkolok memiliki
nama dan bentuk yang berbeza-beza. Oleh itu, hasil seni rupa tengkolok ini harus diberikan
pendedahan serta pengetahuan khusus kepada generasi muda agar dapat memertabatkan
pakaian tradisional orang Melayu sepanjang zaman. Disamping memberikan pendedahan,
tengkolok orang Melayu ini juga harus didokumenkan agar nilai seni Melayu tidak akan hilang
di dalam arus kemodenan fesyen masa kini.

Rujukan
Anon. 1985. Kurik Kundi Merah Saga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A. Samad Ahmad. 2018. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Maziza Sad. Bhd.
Azah Aziz. 2006. Rupa dan Gaya: Busana Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ensiklopedia Kraf Malaysia. 2012. Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Ensiklopedia Kebangsaan. 1977. Kuala Lumpur: Titiwangsa Sdn. Bhd
Gatz, F.M. 1941. The Object of Aesthetic. The Journal of Aesthetic and Art Criticism. 1(4): 33-57
Hamdzun Haron. 2012. Aspek Estetika Labu Acu. Jurnal Pengajian Umum Asi Tenggara. Julai (13):
93-113.
Kamus Melayu. 2012. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. 1970. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Mohd Kassim Haji Ali. 1990. Barang Kemas Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Muhamad Adha. 2019. Tengkolok Sultan-Sultan Perak Darul Ridzuan, Selangor. Temubual, 31
Disember.
Othman Mohd Yatim. 1989. Warisan Kesenian Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Jabatan
Muzium Malaysia.
Rahmah Bujang & Nor Azlin Hamidon. 2002. Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Raja Akasha Raja Malik. Tengkolok Negeri Perak Darul Ridzuan. Perak. Temubual, 4 Oktober.
Rodziah Mat.1981. Tengkolok: Kajian Dari Segi Reka Bentuk dan Simbol. Tesis Ijazah Sarjana Muda,
Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ros Mahwati, Salina Abdul Manan dan Azlin Abu. 2018. Kertas Kerja Penyelidikan. Seminar
Sariah Shafie. 1987. Tanjak Pahang. Pahang: Lembaga Muzium Negeri Pahang.
Siti Zainon Ismail. 1986. Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka
Salim & Salim.1991.1991. Kamus Bahasa Indonesia Kontemporer. Jakarta: Modern English Press.
Siti Zainon Ismail.1997. Busana Melayu Johor. Yayasan Warisan Johor
Siti Zainon Ismail. 2006. Pakaian Cara Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Salina Abdul Manan.2015. Falsafah Reka Bentuk Tengkolok Kesultanan Perak Darul Ridzuan. Tesis
Sarjana Persuratan, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Syed Ahmad Jamal. 1992. Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tenas Effendy. 1989. Ungkapan Tradisional Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Yahya Abdullah. 2004. Bermulanya Tengkolok Melayu Dari Melaka. Dlm Abdul Latiff Abu
Bakar & Mohd Nefi Imran. (Sunt). Busana Melaka. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka
(ISMMA). Hlm. 81-104
Winckelmann. J.J. 1850. The History of Ancient Art Among the Greeks. USA: General Books.
www.sinarharian.com
Zakaria Ali. 1989. Seni dna Seniman: Esei-Esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

View publication stats

You might also like