You are on page 1of 10

BMCO 2106

FONETIK DAN FONOLOGI


SEKSYEN 1

Perbandingan Sebutan Perkataan Bahasa Melayu


Standard dengan Dialek Negeri Sembilan: Suatu
Analisis Fonologi

Disediakan oleh:
NURUL IFFA BINTI NOORHISHAM
2017040

Disediakan untuk:
DR. FARIDAH BINTI NAZIR
ISI KANDUNGAN

TAJUK MUKA SURAT

1.0 PENGENALAN 3

1.1 Bahasa Melayu Standard 3


1.2 Dialek Melayu Negeri Sembilan 4

2.0 PENGGOLONGAN DAN PENGHASILAN BUNYI 5

3.0 PERBANDINGAN SEBUTAN BAHASA MELAYU 6


STANDARD DENGAN DIALEK NEGERI SEMBILAN

3.1 Bunyi vokal 6


3.2 Bunyi konsonan 7

4.0 KESIMPULAN 9

RUJUKAN 10
3

1.0 PENGENALAN

Manusia memerlukan bahasa untuk berinteraksi antara satu dengan yang lain tidak kiralah
sama ada secara lisan mahupun bukan lisan dan semestinya bahasa itu adalah milik
masyarakat yang menuturkannya. Hal ini bertepatan dengan pernyataan daripada Asmah Haji
Omar (2008a: 3) dalam kajian Salbia Haji Hassan (2015) yang menyatakan bahawa bahasa
bukanlah milik satu individu tertentu kerana ia adalah kepunyaan bersama bagi sekumpulan
masyarakat yang menuturkannya. Bahasa boleh diertikan dalam pelbagai cara mengikut sifat
dan ciri semula jadi sesuatu bahasa. Menurut Bloch dan Trager (1942) dalam kajian Nur
Nadirah Zukefli dan Vijayaletchumy Subramaniam (2018) bahasa merupakan sistem
lambang-lambang vokal yang digunakan oleh sesuatu masyarakat untuk berinteraksi antara
satu sama lain. Secara umumnya, konsep penting bagi sesuatu bahasa itu ialah bunyi kerana
bahasa dan bunyi mempunyai hubungan yang saling berkait antara satu sama lain. Konsep ini
tidak dapat disangkal lagi kerana kebanyakan ahli-ahli dan pakar-pakar dalam bidang
linguistik telah bersetuju bahawa bunyi merupakan konsep bagi sesuatu bahasa (Fazrul HA,
2012). Seperti kita sedia maklum, bidang fonetik dan fonologi merupakan dua komponen
utama bagi linguistik deskriptif yang mewakili aspek kajian bagi bunyi dalam sesuatu bahasa.
Bukan itu sahaja, aspek kajian bunyi ini pula telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu
bunyi bukan bahasa dan bunyi bahasa. Tujuan utama kajian tentang fonetik dan fonologi
dijalankan adalah untuk meneliti dan menganalisis tentang bunyi bahasa yang dihasilkan oleh
manusia ketika bertutur. Jadi, begitulah juga dengan penulisan ini yang mana diakhir
penulisan ini, kita dapat melihat perbandingan sebutan antara perkataan bahasa Melayu
standard dengan dialek bagi Negeri Sembilan.

1.1 BAHASA MELAYU STANDARD

Di Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di mana ia digunakan bagi


memperlihatkan identiti nasional dan dijadikan lambang bagi sesuatu bangsa dan masyarakat.
Bukan itu sahaja, bahasa Melayu juga telah berfungsi sebagai alat perhubungan antara
masyarakat yang mana ia sering digunakan dalam komunikasi di samping turut
mencerminkan jati diri bagi masyarakat Melayu. Fungsi dan kedudukan bahasa Melayu di
Malaysia sebenarnya tidak dapat disangkal lagi kerana ia turut digunakan sebagai bahasa
ilmu atau akademik, bahasa rasmi, bahasa pengantar, bahasa perpaduan dan juga bahasa
dalam urusan perniagaan. Penggunaan bahasa Melayu yang dituturkan oleh masyarakat di
4

Malaysia pada masa kini sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh faktor geografi, sosial,
sejarah dan politik yang mewujudkan pelbagai dialek seperti dialek negeri Kedah, dialek
negeri Sabah, dialek Negeri Sembilan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kepelbagaian
dalam pertuturan bahasa Melayu mengikut dialek negeri ini tidak memberi kesan terhadap
kewujudan bahasa Melayu standard. Hal ini kerana, masyarakat Malaysia masih dapat
membezakan situasi yang membolehkan penggunaan bahasa Melayu mengikut dialek negeri
dengan bahasa Melayu standard.

Bahasa Melayu standard ialah bahasa baku yang mempunyai struktur lengkap dari
segi tatabahasa, sistem ejaan dan juga kosa kata. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2017) bahasa baku didefinisikan sebagai bahasa yang mantap kerana sudah diterima oleh
masyarakat sebagai norma penggunaan yang sahih dan betul sama ada dari segi bentuk, sifat
dan lain-lain. Selain itu, ia turut mempunyai keseragaman dalam empat sistem utama iaitu
morfologi (kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, sintaksis (penyusunan
kata dalam ayat), fonologi (kajian bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa) dan semantik (kajian
makna perkataan dan penambahan makna bagi sesuatu kata). Dalam erti kata lain, bahasa
Melayu standarad atau bahasa baku ini merupakan sebutan fonemik iaitu sebutan yang
mengikut struktur ejaan bagi sesuatu perkataan yang mana ia sering digunakan dalam situasi
yang formal atau rasmi (Noor Maamin Ardi, 2011).

1.2 DIALEK NEGERI SEMBILAN

Dialek Negeri Sembilan atau turut dikenali sebagai dialek Nogori ini merupakan subdialek
atau salah satu variasi bahasa Melayu di pantai barat Semenanjung Malaysia. Kewujudan
ciri-ciri khusus yang tersendiri dalam dialek Negeri Sembilan ini sedikit sebanyak telah
membezakan dialek Negeri Sembilan dengan subdialek bahasa Melayu yang lain
(Mohammad Fadzeli Jaafar et. al, 2017). Menurut Asmah Haji Omar (1985), terdapat
beberapa pengkaji yang merumuskan bahawa kewujudan dialek Negeri Sembilan adalah
disebabkan daripada pecahan dialek Minangkabau. Hal ini kerana terdapatnya sedikit
persamaan dalam sebutan beberapa perkataan bagi kedua-dua dialek ini. Bukan itu sahaja, ia
juga dianggap sebegitu kerana sebahagian besar penduduk bagi Negeri Sembilan adalah
berketurunan Minangkabau. Perkara ini turut tercatat dalam sejarah yang mana pada abad ke-
14, mereka yang berketurunan Minangkabau telah mula berhijrah dari Sumtra ke
5

Semenanjung Melayu. Jadi, daripada penghijrahan ini maka wujudlah dialek Negeri
Sembilan yang masih diguna pakai sehingga hari ini sebagai asimilasi antara dialek
Minangkabau dengan bahasa tempatan. Lama-kelamaan, dialek Negeri Sembilan ini pun
berkembang dengan sendiri dan menjadi satu dialek yang berbeza daripada dialek
Minangkabau.

2.0 PENGGOLONGAN DAN PENGHASILAN BUNYI

Titik artikulasi dan artikulator merupakan nadi utama bagi penggolongan dan penghasilan
bunyi bahasa. Alat artikulasi atau artikulator ialah organ yang menghasilkan bunyi bahasa.
Sebagai contoh, anak tekak, lidah, pita suara, rongga, rahang dan juga glotis. Bagi daerah
artikulasi pula, ia merupakan bahagian saluran suara yang tidak dapat bergerak tetapi dapat
disentuh oleh organ-organ artikluasi bagi menghasilkan bunyi bahasa. Antara daerah
artikulasi berikut ialah gigi, bibir, gusi, lelangit keras dan lelangit lembut.

Untuk menghasilkan bunyi bagi bahasa Melayu standard, ia dapat digolongkan


kepada tiga iaitu bunyi vokal, bunyi konsonan dan diftong. Bunyi vokal ialah bunyi bahasa
yang bersuara di mana pita suara akan digetarkan ketika membunyikannya. Udara yang
keluar daripada paru-paru melalui rongga tekak dan rongga mulut juga berlaku tanpa
sebarang sekatan atau gangguan. Bunyi vokal dalam bahasa Melayu telah dibahagikan
kepada tiga bahagian iaitu bunyi vokal hadapan, bunyi vokal tengah dan juga bunyi vokal
belakang. Bagi bunyi konsonan pula, ia adalah bunyi bahasa yang menerima sekatan atau
geseran sama ada di bahagian rongga mulut, hidung atau pun tekak ketika membunyikannya.
Walau bagaimanapun, bunyi konsonan ini ada yang bersuara dan ada juga yang tidak
bersuara. Selain itu, diftong pula merupakan gabungan dua huruf vokal yang terdapat dalam
satu suku kata dan disebut secara berterusan tanpa kewujudan segmen. Diftong ini juga
terbahagi kepada tiga iaitu ai, au dan oi.

Kewujudan penggolongan dan penghasilan bunyi ini bukanlah hanya di dalam bahasa
Melayu sahaja, namun jika diteliti dengan betul, dalam setiap sebutan bagi subdialek bahasa
Melayu mengikut negeri juga mempunyai penggolongan dan penghasilan bunyi dan sudah
pasti ianya mempunyai perbezaan dengan bahasa Melayu standard. Dalam penulisan ini,
6

penulis akan melihat perbandingan sebutan bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri
Sembilan dari aspek penghasilan bunyi vokal dan bunyi konsonan sahaja.

3.0 PERBANDINGAN SEBUTAN BAHASA MELAYU STANDARD


DENGAN DIALEK NEGERI SEMBILAN

Berdasarkan aspek perbezaan sebutan bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri
Sembilan, terdapat banyak perbezaan sebutan yang berjaya dikenal pasti dan setiap perbezaan
sebutan ini telah dikelaskan kepada bunyi vokal serta bunyi konsonan bagi memperlihatkan
dengan lebih jelas tentang perbezaan penghasilan bunyi yang berlaku.

3.1 Bunyi vokal

Perbandingan bagi bunyi vokal antara bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri
Sembilan yang berjaya dikenal pasti adalah seperti yang tertera pada jadual 1. Jadual 1 di
bawah menunjukkan 7 perubahan pada fonem vokal yang terdiri daripada /a/ /ə/ /ɔ/ /i/ /u/.
Bagi memudahkan pemahaman, perkataan bahasa Melayu standard turut dinyatakan dan
disertakan sekali dengan transkripsi /fonemik/ iaitu ejaan baku bagi perkataan bahasa Melayu
standard tersebut yang dijadualkan bersebelahan perkataan bahasa Melayu standard seperti
dalam jadual 1. Bagi dialek Negeri Sembilan pula, ia turut dieja dalam bunyi dialek Negeri
Sembilan dan penulis turut menyediakan transkripsi [fonetik] bagi ujaran dalam dialek
Negeri Sembilan sebagaimana yang terdapat dalam jadual 1 di bawah.

Jadual 1 Perbandingan Bunyi Vokal


Bahasa Melayu Standard Dialek Negeri Sembilan

Badan /badan/ Bodan [bɔ.dan]


Muka /muka/ Muko [mu.kɔ]
Termenung /tərmənuŋ/ Tomonung [tɔ.mɔ.nuŋ]
Tengah /təŋah/ Tongah [tɔ.ŋah]
Tepi /təpi/ Topi [tɔ.pi]
Cuba /čuba/ Cubo [ču.bɔ]
Benih /bənih/ Boneh [bɔ.nəh]
7

Berdasarkan jadual 1 di atas, perbandingan bunyi vokal yang pertama antara bahasa
Melayu standard dengan dialek Negeri Sembilan adalah bagi perkataan /badan/ yang mana
dialek Negeri Sembilan menyebutnya sebagai [bɔ.dan]. Yang kedua pula adalah bagi
perkataan /muka/. Perkataan /muka/ ini mempunyai perubahan vokal pada fonem /a/ yang
menjadikan sebutan dalam dialek Negeri Sembilan sebagai [mu.kɔ]. Bagi perkataan
/tərmənuŋ/ dalam bahasa Melayu standard, ia menunjukkan perbezaan dengan sebutan bagi
dialek Negeri Sembilan yang mana masyarakat Negeri Sembilan menyebutnya sebagai
[tɔ.mɔ.nuŋ]. Perbezaan keempat pula adalah bagi perkataan /təŋah/. Dalam dialek Negeri
Sembilan, ia disebut sebagai [tɔ.ŋah]. Ini menunjukkan perubahan yang berlaku pada fonem
/ə/ iaitu digantikan dengan /o/ dalam dialek Negeri Sembilan. Begitu juga dengan perkataan
/təpi/ yang mengalami perubahan dalam fonem /ə/ kerana dalam dialek Negeri Sembilan , ia
disebut sebagai [tɔ.pi]. Perkataan keenam yang menunjukkan perbezaan antara sebutan dalam
bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri Sembilan adalah bagi perkataan /čuba/.
Perkataan /čuba/ ini telah disebut sebagai [ču.bɔ] yang mana berlakunya penggantian fonem
/a/ kepada /o/. Akhir sekali adalah bagi perkataan /bənih/. Masyarakat Negeri Sembilan telah
menyebut perkataan /bənih/ ini sebagai [bɔ.nəh]. Keadaan ini menunjukkan penggantian
terhadap ejaan fonem /e/ dan /i/ kepada /o/ atau [ɔ] dan /e/.

Jika diteliti dengan betul, perbezaan yang terdapat dalam sebutan bagi perkataan
bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri Sembilan ini kebanyakannya melibatkan
penggantian terhadap fonem /e/ dan /a/ kepada fonem /o/. Jadi, dapat dirumuskan bahawa
dialek Negeri Sembilan banyak menggunakan fonem /o/ dalam pengucapan atau ujaran
seharian mereka. Hal ini secara tidak langsung mempunyai persamaan dengan dialek
Kelantan yang kebanyakan sebutan bagi perkataan dialek Kelantan turut digantikan dengan
fonem /o/ dan juga /e/.

3.2 Bunyi Konsonan

Perbandingan bagi bunyi konsonan antara bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri
Sembilan yang berjaya dikenal pasti adalah seperti yang tertera pada jadual 2. Jadual 2 di
bawah menunjukkan 8 perubahan pada fonem konsonan yang terdiri daripada /g/ /h/ /s/ /r/.
Bagi memudahkan pemahaman pembaca, perkataan bahasa Melayu standard turut dinyatakan
dan disertakan sekali dengan transkripsi /fonemik/ iaitu ejaan baku bagi perkataan bahasa
Melayu standard tersebut yang dijadualkan bersebelahan perkataan bahasa Melayu standard
8

seperti dalam jadual 2. Bagi dialek Negeri Sembilan pula, ia turut dieja dalam bunyi dialek
Negeri Sembilan dan penulis turut menyediakan transkripsi [fonetik] bagi ujaran dalam
dialek Negeri Sembilan sebagaimana yang terdapat dalam jadual 2 di bawah.

Jadual 2 Perbandingan Bunyi Konsonan


Bahasa Melayu Standard Dialek Negeri Sembilan

Manis /manis/ Maneh [ma.nɛh]


Lagi /lagi/ Lai [la.i]
Hilang /hilaŋ/ Ilang [i.laŋ]
Lekas /ləkas/ Lokeh [lɔ.kəh]
Nipis /nipis/ Nipeh [ni.pəh]
Sudah /sudah/ Udah [u.dah]
Rambut /rambɔt/ Ghambut [ɣam.bɔt]
Rebus /rəbus/ Ghobuih [ɣɔ.buih]

Merujuk kepada jadual 2 di atas, perbezaan sebutan antara bahasa Melayu standard
dengan dialek Negeri Sembilan yang pertama adalah bagi perkataan /manis/ yang mana
dalam dialek Negeri Sembilan, ia disebut sebagai [ma.nɛh]. Perkataan /manis/ tersebut telah
mengalami penggantian konsonan bagi fonem /s/ kepada /h/. Yang kedua pula adalah bagi
perkataan /lagi/. Perkataan /lagi/ tersebut telah mengalami peleburan fonem konsonan iaitu
/g/ yang menjadikan sebutan perkataan tersebut sebagai [la.i] dalam dialek Negeri Sembilan.
Perkataan ketiga yang menunjukkan perbezaan antara sebutan dalam bahasa Melayu standard
dengan dialek Negeri Sembilan ialah perkataan /hilaŋ/. Masyarakat di Negeri Sembilan telah
menyebut perkataan /hilaŋ/ ini sebagai [i.laŋ] yang mana kita dapat lihat dengan jelas bahawa
berlakunya pengguguran fonem konsonan /h/ dalam perkataan tersebut. Perkataan yang
seterusnya pula ialah /ləkas/. Dalam dialek Negeri Sembilan, ia disebut sebagai [lɔ.kəh].
Kemudian, perbezaan yang berjaya dikenal pasti antara bahasa Melayu standard dengan
dialek Negeri Sembilan adalah bagi perkataan /nipis/, ia disebut sebagai [ni.pəh] dalam dialek
Negeri Sembilan. Kedua-dua perkataan /ləkas/ dan /nipis/ ini telah mengalami penggantian
fonem konsonan /s/ kepada /h/. Selain itu, perkataan /sudah/ pula telah mengalami peleburan
fonem konsonan /s/ yang telah membezakan sebutan antara bahasa Melayu standard dengan
dialek Negeri Sembilan. Hal ini kerana, masyarakat di Negeri Sembilan menyebut perkataan
/sudah/ sebagai [u.dah]. Seterusnya, dialek Negeri Sembilan telah menyebut perkataan
9

/rambɔt/ sebagai [ɣam.bɔt] yang mana berlakunya penggantian fonem konsonan /r/ dengan
/gh/. Hal ini mempunyai persamaan dengan perkataan yang terakhir iaitu /rəbus/. Masyarakat
di Negeri Sembilan telah menyebutnya sebagai [ɣɔ.buih].

Daripada dapatan dalam jadual 2 ini, jelaslah bahawa sebutan dalam dialek Negeri
Sembilan telah mempunyai perbezaan yang ketara dari segi bunyi konsonan dengan sebutan
dalam bahasa Melayu standard. Dapatan ini tidaklah banyak namun ia jelas bagi
membuktikan bahawa terdapatnya perbezaan sebutan dalam bahasa Melayu standard dengan
dialek Negeri Sembilan ini.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulan daripada penulisan berkaitan perbandingan sebutan perkataan bahasa Melayu


standard dengan dialek Negeri Sembilan ini dapat disimpulkan bahawa bidang fonologi
bahasa Melayu masih memerlukan kajian yang lebih mendalam dan terperinci bagi
membolehkan masyarakat memahami tentang cara penghasilan sesuatu bunyi bahasa antara
sesuatu bahasa dengan dialek-dialek yang terdapat di negara kita. Berdasarkan skop penulisan
esei ini pula, penulis telah menerangkan berkaitan perbandingan yang terdapat dalam sebutan
bagi perkataan bahasa Melayu standard dengan dialek Negeri Sembilan. Aspek perbezaan
tersebut telah dihuraikan dan dianalisis oleh penulis dengan merujuk kepada kajian lepas
yang berkaitan dengan bidang fonetik dan fonologi ini. Sebagai cadangan penulisan akan
datang, diharapkan kajian yang lebih terperinci berkaitan perbandingan mahupun persamaan
antara sebutan bagi perkataan dalam bahasa Melayu standard dengan subdialek lain yang
terdapat di Malaysia dijalankan. Hal ini bertujuan untuk memperkembangkan lagi kajian
berkaitan bidang fonetik dan fonologi ini supaya masyarakat dapat memahami dengan jelas
tentang penggolongan dan penghasilan bunyi yang terdapat dalam bahasa Melayu.
10

RUJUKAN
Asmah Haji Omar, (1985). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Fazrul HA. (n.d). Fonetik, Fonologi, dan Sistem Ejaan BM [Nota Kuliah].

Kamus Dewan. (Edisi Keempat). (2017). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohammad Fadzeli Jaafar., Idris Aman., & Norsimah Mat Awal. (2017). Morfosintaksis
dialek Negeri Sembilan dan dialek Minangkabau. Journal of Language Studies, 17(2).
http://journalarticle.ukm.my/11634/1/15855-52952-2-PB.pdf

Noor Maamin Ardi. (2011, Disember 08). Sebutan baku bahasa Melayu [Blog post].
http://siapalahamin.blogspot.com/2011/12/sebutan-baku-bahasa-melayu.html

Norfazila Ab. Hamid., & Norhasliza Ramli. (2020). Kajian fonetik varian kuah: Dialek
Melayu Langkawi. E-Jurnal Bahasa dan Linguistik, 2(2).
https://ejbl.kuis.edu.my/index.php/e-jbl/article/view/49/18

Nur Nadirah Zukefli., & Vijayaletchumy Subramaniam. (2018). Paralinguistik dalam


pemerolehan bahasa kanak-kanak. International Journal of Language Education and
Applied Linguistics, 8(1). 1-3. file:///C:/Users/ASUS/Downloads/1130.pdf

Salbia Haji Hassan. (2015). Etnolinguistik Melayu Kabong. Jurnal Bahasa Jendela Alam. 16-
34.
https://www.researchgate.net/publication/306256062_Etnolinguistik_Melayu_Kabong/ci
tation/download

Zaliza Zubir., Noor Asliza Abdul Rahim., Nurul Syazwani Zulkifli., & Wan Sallha Yusuf.
(2012). Bahasa Melayu dalam arus globalisasi: Keutuhan jati diri dan ketakatan budaya
Melayu. Journal of Human Development and Communication, 1. 129-135.
http://dspace.unimap.edu.my/xmlui/bitstream/handle/123456789/41418/Bahasa%20Mel
ayu%20Dalam%20Arus%20Globalisasi.pdf?sequence=1&isAllowed=y

You might also like