You are on page 1of 4

TAJUK CERPEN: SABAR ITU INDAH

Salam diberikan sebanyak dua kali diucapkan oleh Hisham kepada makmum yang hadir
solat berjemaah iaitu adik dan ibunya. Saat itu, mereka bersama-sama menadah tangan
memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa untuk ayah yang sudah lama pulang ke negeri
abadi. Seperti biasa, Puan Aliya, iaitu ibu kepada Hisham akan masuk ke dalam bilik setelah
selesai membaca doa. Hisham dan adiknya, Hasan, pula meluangkan masa bersama-sama di
ruang tamu rumah. Setiap kali mereka duduk di sofa, Hisham dan Hasan sering merenung pada
sebuah kerusi yang pernah menjadi kerusi kegemaran arwah bapa mereka, Encik Mustafa.

Empat tahun yang lalu, pada bulan Disember tahun 2017.

“Tanpa melengahkan masa lagi, dijemput adik Hisham bin Mustafa daripada Tingkatan 3 Alpha
untuk menerima hadiah Anugerah Pelajar Terpuji.”

Itulah Hisham. Hisham merupakan seorang pelajar yang bijak, peramah, tegas serta
berdisiplin tinggi. Rakan sekelasnya menganggap Hisham merupakan anak ibunya kerana
perwatakan mereka adalah sama. Hal ini persis peribahasa bagaimana acuan, begitulah
kuihnya. Puan Aliya bukan sahaja seorang ibunda kepada Hisham dan Hasan, beliau juga
merupakan guru disiplin di sekolah anak-anaknya menuntut pelajaran, SMK Maju. Encik
Mustafa ialah seorang pakar bedah yang bekerja di hospital kerajaan, iaitu Hospital Miri. Hasan
juga seiras seperti Hisham bukan sahaja daripada segi perwatakan, malah daripada segi
kebijaksanaan walaupun jurang umur antara mereka hanyalah dua tahun.

Sejak Hasan menjejakkan kakinya di SMK Maju, perwatakan Hisham pun berubah.
Hasan juga merupakan seorang pelajar yang bijak seperti abangnya. Hasan sering mendapat
tempat yang pertama dalam kelasnya dan menjadi tempat rujukan pelajar lain dalam pelbagai
mata pelajaran. Perkara ini membuatkan Hisham berasa bangga kerana adiknya tidak sombong
dalam berkongsi ilmu pengetahuan. Tetapi, perasaan bangga itu tidak bertahan lama dalam diri
Hisham. Abu dan Muiz, rakan kepada Hisham mengatakan bahawa pelajar yang lain sudah
mengabaikannya dan lebih tertarik kepada Hasan. Pada mulanya Hisham tidak mempercayai
rakan-rakannya itu kerana mereka tidak tahu apa-apa mengenai Hasan.

Tiga tahun yang lepas, pada bulan Oktober tahun 2018.

Bulan Oktober telah diiktirafkan oleh kerajaan Malaysia sebagai Bulan Sukan Negara.
Pengetua SMK Maju telah membuat keputusan untuk mengadakan Sukan Tara dan Sukan
Tahunan sekolah pada bulan tersebut. Hisham merupakan ahli rumah sukan Hang Tuah,
manakala adiknya merupakan ahli rumah sukan Hang Jebat. Semangat Hisham ibarat
genggam bara api biar sampai menjadi arang setelah mendapat berita bahawa Hasan
menyertai sukan yang sama sepertinya kerana dapat bersaing dengan pelajar yang sama
hebat.Dua beradik itu berlatih bersunggguh-sungguh untuk mendapat kemenangan dalam
bidang sukan masing-masing. Hal ini persis peribahasa jika tidak dipecahkan ruyung, manakan
dapat sagunya.

Setelah tibanya Hari Sukan Tara, Hisham mendapati bahawa jarak peluru yang dilontar
oleh Hasan lebih jauh darinya. Hisham berasa kecewa kerana kalah dengan adiknya. Perkara
yang sama berlaku dalam acara melempar cakera. Hisham menuduh Hasan bermain tidak adil
kerana perasaan marahnya sudah tidak dapat dikawal.

Puan Aliya sempat meleraikan mereka berdua yang hampir menumbuk antara satu
sama lain apabila terdengar tekingan Hisham tersebut. Ibunya sempat memberikan nasihat
kepada Hisham untuk terus bersabar kerana sabar itu separuh daripada iman. Dalam acara
merejam lembing, Hasan terpaksa mengaku kalah kerana tidak mahu hubungan antaranya
dengan Hisham menjadi tegang. Hisham bagai kacang direbus satu kerana dapat mengalahkan
adiknya serta mendapat johan dalam acara merejam lembing.

Encik Mustafa dan isterinya menatap wajah anak-anak mereka usai memberi nasihat, dari
renungan mata mereka berdua itu terkandung harapan agar perseteruan Hisham dan Hassan
tidak menjadi seperti kisah putera Nabi Adam a.s. Walaupun sudah ditegur, Hisham tidak
berasa bersalah atas perbuatannya itu kerana dia menganggap dirinya sebagai pelajar yang
lebih hebat dari Hasan. Atas arahan ibu bapanya, Hisham menghulurkan tangannya sebagai
tanda maaf kepada adiknya dengan sambalewa.

Sewaktu Hisham berehat di dalam biliknya, dia berasakan seperti disisih apabila berada di
sekolah. Dia menganggap kehadiran Hasan di sekolah itu sebagai ‘halangan’ dalam mengejar
kejayaan. Tanpa Hasan sedari, Hisham telah membuat rancangan untuk menyingkirkannya.

Pada hari yang berikutnya, Hasan dikenakan hukuman gantung sekolah kerana terlibat
dalam kegiatan membuli. Hasan ditangkap berseorangan dengan pelajar yang cedera serta
ketakutan. Pelajar tersebut berkatakan bahawa Hasan telah membulinya kerana tidak
menyiapkan projek sains justeru mendapat markah terendah di dalam kelas. Hakikatnya, projek
mereka tergendala akibat Hasan yang terlalu sibuk dengan persediaan untuk memasuki
pertandingan sajak sehinggakan terlupa akan tarikh akhir untuk menyerahkan projek sains itu.
Walaupun ibu Hasan merupakan guru disiplin di SMK Maju, beliau tidak pernah berat
sebelah dalam membuat keputusan lebih-lebih lagi apabila kes tersebut melibatkan disiplin
murid. Hasan tetap menjalani hukuman gantung sekolah walaupun telah berkali-kali
menceritakan perkara yang berlaku kepada ibunya. Puan Aliya tidak mampu berbuat apa-apa
kerana terdapatnya saksi yang melihat Hasan memukul pelajar yang dikatakan ‘mangsa buli’
tanpa belas kasihan.

Dia berasa hairan kerana Hisham tidak berusaha untuk meyakini ibu mereka bahawa dia
tidak bersalah. Hasan yakin bahawa abangnya akan selalu mempertahankannya, tetapi pada
hari tersebut dia dapat merasakan bahawa abangnya tidak sama seperti dahulu lagi. Hubungan
Hasan dan Hisham boleh diibaratkan terapung sama hanyut, terendam sama basah pada
tahun-tahun sebelum ini.Tanpa mereka sedari, perkara tersebut telah dirancang oleh Hisham
yang mendapat bantuan daripada rakan-rakannya.

Hasan menceritakan perkara yang berlaku kepada bapanya. Bapanya mengandaikan


bahawa ‘mangsa buli’ itu telah menuruti arahan daripada Hisham. Di samping itu, dia mendapati
bahawa hubungan antara putera-puteranya itu semakin renggang. Tambahan pula, Hisham
semakin menjauhkan diri dari keluarga dan lebih gemar bersendirian. Encik Mustafa berasakan
Hisham cemburu akan pencapaian adiknya yang lebih baik dari dirinya sendiri dan ingin
mencemarkan reputasi Hasan.

Pada malam tersebut, Encik Mustafa mengambil peluang untuk membawa Hisham
bersiar-siar di bandar. Selepas makan malam bersama-sama di sebuah restoran, mereka
berdua meneruskan perjalanan ke Masjid At-Taqwa untuk menunaikan ibadah solat isyak.
Selesai sahaja sembahyang berjemaah bersama imam, Encik Mustafa dan Hisham duduk
sebentar di dalam masjid. Dia memberitahu kepada Hisham untuk berkongsi masalah yang dia
hadapi supaya dia dapat membantu Hisham menyelesaikannya. Kadang-kadang, masalah yang
kita hadapi tidak dapat kita selesaikan sendiri tanpa bantuan orang tersayang.

Setelah mendapat tahu masalah Hisham, Encik Mustafa menceritakan sebuah hadis
berkaitan cemburu kepada anaknya, Hisham. Daripada Jabir bin Atik, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah.
Cemburu yang disukai Allah ialah kecemburuan berisi keraguan (bertempat, tidak melulu)
sedangkan yang dibenci Allah ialah kecemburuan yang tidak ragu-ragu lagi (tidak bertempat,
melulu).” Riwayat Abu Daud. Pesanan ayahnya itu membuatkan Hisham berasa menyesal.
Dalam perjalanan mereka ke rumah, kereta yang dinaiki oleh Encik Mustafa dan Hisham
mengalami kerosakan brek di lampu isyarat. Malangnya, kereta mereka dirempuh oleh pacuan
empat roda yang melangkaui kadar kelajuan yang telah ditetapkan. Encik Mustafa tidak dapat
diselamatkan kerana kehilangan banyak darah, manakala Hisham telah dimasukkan ke dalam
ICU bagi rawatan selanjutnya.

Tersedar dari kenangan lima tahun yang lalu.

“Alangkah baiknya jika aku bersabar dan tidak berasa cemburu terhadap adik.” kata Hisham
kepada Hasan.

“Cemburu adalah perasaan dan sifat semula jadi manusia. Tiada manusia normal yang tidak
pernah mengalaminya.” sahut Hasan kepada abangnya. Sejak kejadian malang itu, Hisham
telah berubah menjadi seorang insan dan anak yang lebih baik.

Ditulis oleh: Nur Ain Mirhatta

You might also like