You are on page 1of 2

Bincangkan ciri-ciri masyarakat feudal di Jepun pada zaman Keshogunan Tokugawa / pada abad

ke-16 dan 17 Masihi.

Pendahuluan
Masyarakat feudal merujuk kepada masyarakat berhierarki yang mempunyai susun lapis
tersendiri.
Dalam masyarakat feudal, kedudukan, kuasa dan status setiap lapisan ditentukan melalui
penguasaan terhadap tanah. Kemunculan masyarakat feudal di negara Jepun dapat dikesan pada
zaman pemerintahan Kamakura. Menjelang zaman Tokugawa, langkah-langkah telah diambil oleh
Shogun untuk mengukuhkan sistem feudal. Masyarakat feudal pada zaman Tokugawa terdiri
daripada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Terdapat beberapa ciri yang unik
pada masyarakat feudal yang muncul di Jepun pada zaman Tokugawa.

Isi-isi penting
(a) Kedudukan maharaja
Ciri pertama masyarakat feudal di Jepun adalah mengenai kedudukan dan pengaruh maharaja.
Pada zaman keshogunan Tokugawa, maharaja tidak mempunyai kuasa dalam pemerintahan dan
pentadbiran. Maharaja merupakan ketua negara tetapi kuasa sebenar dalam pemerintahan
terletak di tangan Shogun. Shogun Tokugawa mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan
kedudukan dan pengaruhnya. Beliau memperkenalkan undang-undang bagi mengurangkan
pengaruh maharaja dan putera raja. Tuntasnya, pada zaman feudal di Jepun, maharaja tidak
memiliki kuasa dalam pemerintahan.

(b) Kedudukan Shogun


Ciri kedua masyarakat feudal di Jepun adalah pengaruh dan kedudukan Shogun dalam
masyarakat.
Menjelang zaman keshogunan Tokugawa, kuasa pemerintahan terletak pada Shogun. Shogun
mengukuhkan kedudukan dengan menubuhkan pasukan tentera yang kuat. Shogun bertindak
menyerahkan pentadbiran wilayah kepada Vassal yang setia kepadanya. Beliau mengambil
langkah bagi meningkatkan kekayaan dengan melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi komersial
dan perlombongan. Beliau turut mengambil tindakan mengawal golongan Daimyo yang
menguasai daerah. Jelas ternyata, Shogun merupakan individu yang amat berpengaruh dalam
politik dan ekonomi pada zaman feudal di Jepun.

(c) Pemilikan tanah


Ciri masyarakat feudal Jepun seterusnya adalah berhubung dengan pemilikan tanah. Pada zaman
Tokugawa, Shogun menyerahkan tanah kepada tuan tanah (Daimyo) yang setia kepadanya. Tuan
tanah yang setia kepada Shogun bertindak mengawasi gerak-geri golongan Daimyo yang diragui
kesetiaannya. Tokugawa Ieyasu mengambil langkah untuk merampas tanah daripada Daimyo yang
menentang pemerintahannya. Shogun melantik beberapa orang pegawai untuk mentadbir dan
menguruskan tanah miliknya. Pegawai yang menguruskan tanah milik shogun dikenali sebagai
Gundai dan Daikan.
(d) Kewajipan peribadi
Ciri masyarakat feudal Jepun berikut adalah kewajipan peribadi antara Shogun dan Daimyo. Dalam
masyarakat feudal di Jepun wujud hubungan peribadi antara Shogun dan Daimyo. Shogun akan
menyerahkan tanah kepada golongan Daimyo yang setia kepadanya. Sebagai balasan, Daimyo
akan membantu Shogun dalam mengendalikan hal pentadbiran dan ketenteraan. Dalam hal ini,
kedua-dua pihak iaitu Shogun dan Daimyo saling bergantung terhadap kepentingan bersama.

(e) Mobiliti sosial


Ciri terakhir masyarakat feudal di Jepun adalah mobiliti sosial. Masyarakat feudal di Jepun pada
abad ke-16 dan 17 terdiri daripada beberapa lapisan. Setiap lapisan dalam masyarakat feudal
mempunyai kedudukan ekonomi, sosial, dan politik yang berlainan. Kedudukan dan status
masyarakat ditentukan berdasarkan keturunan dan sistem kelas. Dalam masyarakat feudal di
Jepun, perubahan dalam status dan mobiliti sosial jarang berlaku.

Kesimpulan
Pada zaman Tokugawa, sistem feudal yang diamalkan di negara Jepun kukuh dan mantap.
Masyarakat feudal yang terdapat di Jepun masih berpegang kuat kepada ciri-ciri unik yang
terdapat dalam sistem ini. Berbanding dengan masyarakat feudal di England, masyarakat feudal di
Jepun tidak mengalami sebarang perubahan.

ISI TAMBAHAN
Kedudukan samurai
Golongan samurai mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat feudal di Jepun. Mereka
terdiri daripada panglima perang yang bertanggungjawab memelihara keamanan negara.
Golongan samurai berkhidmat kepada golongan bangsawan dan mereka tidak dibenarkan
melakukan kerja lain. Golongan ini tidak dibenarkan untuk memiliki tanah sebaliknya mereka
bergantung kepada bekalan beras yang diberikan oleh Daimyo. Golongan samurai di Jepun
mempunyai minat dalam bidang kesenian dan kesarjanan.

You might also like