You are on page 1of 3

Nama penyelidik:

AHMAD SID HIJAZ BIN MD. SAAID


hijazsid@gmail.com 013-4276337
Pensyarah Kanan POLIMAS Jitra/ Pelajar PhD USM.

Tajuk penyelidikan:

KAJIAN TERHADAP REKA BENTUK SENI BINA DAN TAHAP KESELESAAN JEMAAH
DI RUANG SOLAT UTAMA DI MASJID-MASJID DI DAERAH KOTA SETAR, NEGERI
KEDAH DARUL AMAN

1.0 Latarbelakang:

Terdapat 550 buah masjid dan lebih 2000 buah surau di negeri Kedah Darul Aman. Di daerah Kota
Setar terdapat sebanyak 95 buah masjid. Ironinya, situasi masjid pada masa ini berbeza dengan
masjid pada masa dahulu. Masjid kekal sebagai sebuah pusat ibadah, pusat ilmu dan nodus
pengerat silatulrahim masyarakat. Walaubagaimanapun, ketrampilan masjid di dalam konteks seni
bina kini telah bertukar.

Kebanyakan masjid pada masa ini diubahsuai untuk menepati kehendak dan keselesaan para
jemaah. Ruang masjid yang dahulunya bergantung kepada pengudaraan terbuka dan penyejukan
kipas angin biasa kini berubah menjadi ruang tertutup dengan pemasangan sistem hawa dingin atau
kipas angin gergasi. Pengubahsuian ini telah memberikan kesan terhadap reka bentuk asal seni bina
sesebuah bangunan masjid.

Kajian ini dibuat untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan adakah pengubahsuaian ruang-
ruang masjid wajar dijalankan untuk meningkatkan keselesaan sehingga ia mengabaikan nilai
estatika dan rekabentuk asal seni bina sesebuah bangunan masjid?

1.1 Kepentingan:

Projek penyelidikan ini merupakan sebuah projek perintis. Pengubahsuaian masjid merupakan
sebuah isu umum yang tidak disokong oleh sebarang garis panduan piawaian reka bentuk. Tinjauan
mendapati rata-rata masjid yang menjalani kerja-kerja naik taraf atau pengubahsuaian telah
dijalankan tanpa rujukan yang khusus. Hal ini berlaku demikian kerana tidak terdapat garis panduan
reka bentuk pengubahsuaian masjid yang boleh diikuti bagi menjamin sesebuah masjid kekal selesa
dan lestari untuk tempoh masa yang lama.

1.2 Prinsip kerja & penyelesaian:

Penyelidikan ini akan melihat secara umum kesemua reka bentuk masjid yang terdapat di negeri
Kedah serta mengklasifikasikan struktur binaan masjid mengikut klasifikasi seni bina. Pada masa ini,
tumpuan akan diberikan terhadap masjid-masjid yang terdapat di dalam daerah Kota Setar. Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) hanya mempunyai senarai ringkas yang
mengandungi nama masjid, alamat dan pegawai masjid di setiap daerah. Kajian ini akan
mewujudkan satu inventori masjid yang dibina berdasarkan maklumat asas masjid (yang disediakan
oleh JHEAIK), kedudukan kewangan, jenis sistem hawa dingin dan kompleksiti ruang sokongan yang
terdapat pada sesebuah masjid.

Berdasarkan klasifikasi seni bina, masjid-masjid kajian dapat dikelaskan kepada empat jenis iaitu
masjid mercu tanda, masjid bandar, masjid kampung dan masjid kecil. Empat kumpulan masjid ini
akan membahagikan 95 buah masjid yang terdapat di dalam daerah Kota Setar. Sampel-sampel
masjid kemudiannya dipilih secara rawak bagi mewakili serta mendapatkan maklumat terperinci
mengenai inventori, elemen seni bina dan maklum balas kualitatif daripada pegawai-pegawai masjid
yang terlibat
Berdasarkan kajian perbandingan dan kajian kepustakaan, seterusnya penyelidikan ini akan
membina satu set soalan temubual berstruktur untuk diajukan kepada pegawai pentadbir agama,
pegawai masjid, arkitek dan para pengguna masjid (yang memahami ilmu reka bentuk seni bina).
Data kajian akan dianalisa secara kualitatif dan hasil kajian diperbentangkan melalui platform
pembentangan ilmiah dan jurnal penulisan berwasit.

1.3. Penyataan masalah:

Penyataan masalah dapat digariskan kepada dua cabangan iaitu permasalahan umum perihal reka
bentuk serta pengubahsuaian masjid dan permasalahan khusus yang melibatkan apresiasi seni bina
bangunan masjid.

1.3.1 Penyataan masalah umum:

Penyelidikan ini diperlukan untuk menghasilkan satu garis panduan bagi memandu proses
pengubahsuaian terhadap reka bentuk asal sesebuah masjid pada masa hadapan. Satu piawaian
reka bentuk perlu disediakan agar kerja-kerja pengubahsuaian yang melibatkan bangunan
berkepentingan awam ini dilaksanakan dengan lebih berhemah. Terdapat kes di mana sebuah
masjid didapati telah menjalani lebih daripada tiga kali pengubahsuaian dalam tempoh sepuluh tahun.
Namun, pengubahsuaian ini gagal memberikan keselesaan yang optimum kepada para jemaah.
Akhirnya bangunan masjid tersebut terpaksa dirobohkan untuk membina sebuah masjid baharu yang
lebih besar dan moden. Terdapat juga kes, di mana sebuah masjid yang kaya (mempunyai dana
sumbangan yang tinggi) telah menjalankan perbagai kerja-kerja pengubahsuaian yang tidak
munasabah atau tidak perlu dilakukan.

Setiap masjid diuruskan oleh pihak pengurusan masjid yang terdiri daripada ahli-ahli masyarakat di
dalam sesebuah kariah. Pihak JHEAIK hanya menjalankan penyeliaan umum seperti melantik
pegawai-pegawai masjid, memantau aktiviti masjid dan memastikan kerja-kerja pentabiran masjid
dijalanakan dengan baik. Walaupun pihak JHEAIK mengetahui setiap aktiviti, namun mereka tidak
dapat mengawal secara terperinci akan kerja-kerja pengubahsuaian yang dibuat terhadap sesebuah
masjid. Dengan adanya sebuah manual atau garis panduan pengubahsuaian, setidak-tidaknya ia
dapat menyampaikan satu maklumat berbentuk rujukan, kenyataan atau permasalahan yang berlaku
pada masjid-masjid lain. Perkara ini penting, kerana tidak semua pentadbir masjid arif tentang semua
perkara atau memahami hal ehwal pembinaan bangunan, kesan pengubahsuaian dan kepentingan
reka bentuk seni bina yang perlu ada pada sesebuah bangunan masjid.

1.3.2 Penyataan masalah khusus:

Permasalahan kajian adalah berkisar kepada dua isu utama iaitu transformasi masjid dan kekeliruan
identiti. Masjid-masjid masa kini telah mengalami satu proses transformasi. Sedekad yang lalu, tidak
banyak masjid bertutup penuh yang dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Masjid-masjid ini
biasanya masjid utama yang terdapat di bandar-bandar besar sahaja. Keadaan kini adalah
sebaliknya, rata-rata masjid telah dilengkapi dengan sistem pendingin hawa dan sukar untuk mencari
masjid-masjid yang tidak berhawa dingin, walaupun masjid-masjid tersebut terletak di kampung atau
di luar bandar.

Transformasi ini ada kalanya memberikan kesan negatif, ada masjid didapti tidak sesuai dihawa-
dinginkan kerana rekabentuk asalnya mempunyai paras ketinggian siling yang tinggi. Apabila masjid
seperti ini dihawa-dinginkan dengan menggunakan sistem pendingin hawa unit pisah (split unit), ia
merupakan sejenis sistem pemasangan pendingin hawa yang lebih ringkas berbanding sistem
pendingin hawa pakej penyejukan udara atau penyejukan air yang biasanya sesuai dipasang pada
ruang dewan tertutup. Namun begitu, sistem pendingin udara unit pisah menggunakan tenaga
elektrik yang lebih tinggi berbanding dua sistem yang lain.

Masalah yang kedua ialah berkaitan dengan kekeliruan identiti seni bina yang dipamerkan oleh
sesebuah masjid. Kesan daripada pengubahsuaian yang tidak terancang, terdapat masjid yang
mempunyai kubah berlipat (folded plate) pada kubah utama tetapi pada puncak menara azan
terdapat bentuk kubah bawang (onion dome). Penggunaan elemen seni bina sebegini adalah
mengelirukan dan tidak sepatutnya dipamerkan sebagai bahasa seni bina pada sesebuah bangunan.
1.4 Inovasi penyelidikan:

Penyelidikan ini tidak berbentuk penghasilan prototaip sebaliknya ia merupakan sejenis penyelidikan
asas (fundamental research) yang jarang dikaji oleh para penyelidik terutama penyelidik bidang seni
bina. Sekiranya terdapat kajian yang hampir sama dengan cadangan ini, normaliti kajian tersebut
adalah berbeza kerana ia tidak menumpukan kepada sampel dan populasi kajian iaitu masjid-masjid
yang terdapat di negeri Kedah Darul Aman. Penyelidikan ini dapat menghasilkan satu cabangan ilmu
baru perihal masjid-masjid di dalam daerah Kota Setar, Negeri Kedah Darul Aman. Penghasilan
kajian dalam bentuk artikel jurnal dan buku-buku akan dapat dikongsi bersama oleh masyarakat demi
menyemaikan rasa cinta kepada sejarah dan seni bina yang sebelumnya tidak begitu dihargai.

1.5 Objektif penyelidikan:

Objektif utama penyelidikan ini ialah untuk membangunkan sebuah piawaian model sebuah masjid
bandar jenis terbuka dan tertutup untuk dijadikan rujukan kepada pembinaan baharu dan
pengubahsuaian masjid semasa. Teras kepada objektif ini ialah setiap pembinaan masjid baharu dan
kerja-kerja naik taraf atau pengubahsuaian masjid perlu dijalankan dengan berhemah dan bijaksana
agar kualiti seni bina bangunan masjid tersebut dapat berfungsi dan dihayati untuk tempoh masa
yang lama.

1.6 Metodologi penyelidikan:

Penyelidikan ini akan menumpukan kepada 95 buah masjid yang terdapat di dalam daerah Kota
Setar. Masjid-masjid ini diklasifikasikan kepada empat kumpulan masjid melalui senarai maklumat
inventori yang diperoleh daripada Pejabat Agama Daerah Kota Setar (PADKS). Kajian kes dijalankan
ke atas masjid-masjid terpilih untuk memperoleh gambaran dekat serta menilai tahap
kebolehpercayaan instrumen senarai semak. Pengkaji seterusnya akan menjalankan pemerhatian
berstruktur untuk melihat ciri-ciri dan elemen seni bina yang terdapat pada setiap buah masjid. Saiz
sampel dianggap mencukupi apabila tiada lagi kes baru dapat ditemui dalam semakan penilaian
kuantitatif terhadap senarai masjid-masjid tersebut.

Dapatan data kuantitatif daripada masjid-masjid kajian akan dihuraikan bersama-sama data kualitatif
yang diperoleh melalui kajian kes dan temubual berstruktur. Kumpulan responden terdiri daripada
pegawai-pegawai di JHEAIK / PADKS, arkitek-arkitek tempatan, para pensyarah seni bina di IPTA,
kontraktor bangunan dan pelajar-pelajar (peringkat ijazah sarjana muda seni bina). Metodologi
penyelidikan ini menggabungkan dua kaedah penyelidikan dengan dominasi ke arah hujahan dan
teori yang diperoleh daripada analisa kualitatif. Secara keseluruhannya, penyelidikan ini adalah
bersifat ‘fundamental research’. Hasil penyelidikan akan menyuburkan kefahamaan masyarakat
tentang fungsi institusi masjid dan kepentingan seni bina dalam konteks semasa.

1.7 Signifikasi penyelidikan:

Penyelidik telah menjumpai suatu nodus atau ‘research gap’ yang berupaya dimajukan melalui
bidang penyelidikan perihal seni bina masjid-masjid yang terdapat di persekitaran. Impak melalui
penghargaan ilmu dan penyelidikan tidak boleh disangkal. Melalui kajian sebegini, kita dapat
melahirkan masyarakat yang lebih berilmu serta lebih menghargai elemen alam bina.

Penyelidikan ini akan memberikan pengetahuan baru tentang seni bina masjid yang terdapat di
negeri Kedah Darul Aman. Masjid merupakan keperluan asas dalam sosio-budaya masyarakat
Islam. Ia bukan sekadar tempat perhimpunan untuk mendirikan solat berjemaah, tetapi ia merupakan
sebuah bangunan penting yang menjadi mercu tanda bagi setiap khariah. Pengubahsuaian masjid
mengikut keperluan semasa tidak boleh dijalankan dengan sewenang-wenangnya kerana setiap
binaan yang tidak praktikal akan menjadi satu pembaziran (kepada dana sumbangan orang ramai).
Penyelidikan ini akan mengwujudkan satu garis panduan yang mampu menjadi pandu-rujuk kepada
sebarang pengubahansuaian masjid pada masa hadapan.

You might also like