You are on page 1of 2

GALLERY WALK PERDANA WADAH KEMENJADIAN MURID DI SMK MUTIARA

LABUAN. SMK Mutiara di bawah kelolaan Penolong Kanan Pentadbiran iaitu Encik Hisyam bin Abd Aziz
telah menganjurkan Gallery Walk Perdana bermula 3 hingga 7 Oktober 2022. Gallery Walk merupakan
antara strategi pengajaran yang sangat sesuai untuk dipraktikkan bagi pembelajaran abad ke-21. Strategi
pembelajaran Gallery Walk adalah strategi pembelajaran melalui kaedah perbincangan yang memberi ruang
kepada murid untuk lebih memahami tentang sesuatu perkara atau topik pembelajaran.

Perasmian Program Gallery Walk Perdana ini telah disempurnakan oleh Encik Awang Rozlan
bin Haji Manan, selaku Pengetua SMK Mutiara. Beliau menzahirkan rasa syukur dan bertuah kepada
semua warga SMK Mutiara kerana berjaya mengadakan satu program yang cukup bermakna buat
calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2022. Ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada murid-
murid yang telah berjaya mengaplikasi kemahiran aras tinggi seperti menganalisis, menilai dan
membuat sintesis sepanjang sesi Program Gallery Walk Perdana ini berlangsung. Sesi Gallery
Walk ini digunakan sebagai wadah untuk menilai tahap pemahaman murid. Strategi pembelajaran ini
membuka ruang kepada murid berkongsi maklumat, pandangan dan juga cetusan idea antara satu
sama lain. Perbincangan secara berkumpulan dan berpusatkan murid ini membolehkan murid untuk
berhubung secara aktif semasa sesi PdPc. Berkolaborasi dalam kumpulan kecil untuk berkongsi idea
dan juga berkomunikasi melalui soalan, dokumen, gambar, situasi dan juga teks. Beliau menyatakan
pada tahun lepas, pencapaian gred purata sekolah bagi SPM di SMK Mutiara telah meningkat
walaupun berdepan dengan situasi pandemik yang hebat. Beliau percaya pencapaian ini dapat
diulang semula dan ditingkatkan untuk memastikan agar SMK Mutiara HEBAT, kekal terpahat di hati
semua warganya.

Program Gallery Walk Perdana merupakan cetusan idea mantan pengetua SMK Mutiara,
Encik Yahya Ahmad Puteh yang kini menyandang jawatan TImbalan Pengarah Sektor Pembelajaran
di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Pada tahun ini Gallery Walk diteruskan bagi
tahun kedua dengan pelibatan murid tingkatan 4 dan 5 seramai 288 orang yang berlangsung selama
5 hari. Program ini melibatkan tujuh panitia mata pelajaran teras iaitu Panitia Bahasa Melayu, Panitia
Bahasa Inggeris, Panitia Sejarah, Panitia Matematik, Panitia Sains, Panitia Pendidikan Islam dan
Panitia Pendidikan Moral.
Puan Siti Raudzhah Hashim selaku setiausaha Program Gallery Walk Perdana 2022 telah
menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana diberikan kepercayaan dan amanah oleh pihak
sekolah untuk mengurus dan menyelaras program ini supaya dapat dijalankan dengan lancar dan
jayanya. Beliau berkata program ini dapat melatih murid untuk berkomunikasi dengan berkesan
melalui proses soal jawab. Mereka juga dapat melatih kemahiran mendengar dan dapat memupuk
semangat kerjasama ,kolaboratif dan pembinaan semangat berpasukan. Gallery Walk merupakan
satu strategi pengajaran yang sangat sesuai untuk dipraktikkan bagi pembelajaran abad ke-21.
Perbincangan secara berkumpulan dan berpusatkan murid ini membolehkan murid berhubung secara
aktif semasa sesi PdPc. Murid juga dapat berkolaborasi dalam kumpulan kecil untuk berkongsi idea
dan juga berkomunikasi melalui soalan, dokumen, gambar, situasi dan juga teks. Oleh itu, guru perlu
kreatif dan kritis dalam mendidik murid-murid untuk menjadikan mereka seorang insan yang berguna
dan berkualiti setelah tamat alam persekolahan kelak.
Kelas abad ke-21 ini amat sesuai dilaksanakan kerana banyak memberi impak yang positif
dalam diri murid. Dengan wujudnya kelas abad ke-21 ini, murid-murid akan dilatih untuk memiliki
kemahiran yang boleh digunakan pada masa akan datang, seperti kemahiran komunikasi yang baik,
mampu berkolaborasi dan menyelesaikan masalah berdasarkan realiti kehidupan. Selain itu, murid
juga bersedia untuk menghadapi peperiksaan, apabila soalan peperiksaan kini diterapkan dengan
unsur-unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Hal ini juga tidak menjadi masalah bagi murid itu
sendiri kerana pemikiran mereka sentiasa dicabar semasa sesi PdPc di dalam kelas. Kelas abad ke-
21 juga membantu murid untuk bersedia ke alam pekerjaan. Majikan kini amat mementingkan
beberapa aspek, seperti kemahiran komunikasi, mampu menyelesaikan masalah serta berfikiran
kritis dan kreatif bagi membolehkan individu yang ditemu duga diterima bekerja di syarikat mereka.
Program Gallery Walk Perdana mampu memberi implikasi positif terhadap diri murid itu sendiri,
sekolah dan juga negara. Hal ini seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk
menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia dan duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan pendidikan di seantero dunia.

You might also like