You are on page 1of 16

SULIT*

940/1 STPM 2024/ U1 STPM 2023

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA


SEJARAH
[SEJARAH DUNIA (1500-1955)]
KERTAS 1

PEPERIKSAAN PERCUBAAN STPM

Dua Jam

Arahan Kepada Calon:

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA ANDA DIBENARKAN


BERBUAT DEMIKIAN

Jawab empat daripada enam soalan. Anda boleh menjawab semua soalan tetapi
hanya empat jawapan pertama yang akan diperiksa.
Tulis jawapan pada helaian jawapan yang disediakan. Mulakan setiap jawapan pada
helaian jawapan yang baharu.

Kertas soalan ini terdiri daripada 2 halaman bercetak.


© Panitia Sejarah Tingkatan 6 SMK Skudai

STPM 2024 – 940/1 [Lihat halaman sebelah


*Kertas soalan ini SULIT sehingga peperiksaan kertas ini tamat. SULIT*
SULIT*

Jawab empat soalan sahaja.

1. Huraikan struktur masyarakat feudal England pada abad ke-16 dan abad ke-17.
[20m]

2. Bincangkan peranan pembesar dalam sistem pemerintahan negara China pada zaman
Dinasti Ching.
[20m]

3. Jelaskan perkembangan sistem ekonomi feudalisme di Jerman pada abad ke 16 hingga


18.
[20m]

4. Nyatakan faktor-faktor Zaman Pencerahan yang berlaku di Eropah.


[20m]

5. Sejauh manakah sentimen anti Kristian dalam kalangan masyarakat Cina merupakan
punca meletusnya Pemberontakan Boxer pada tahun 1899 di China.
[20m]

6. Bincangkan kesan-kesan Perang Dingin terhadap politik antarabangsa.


[20m]

Disediakan oleh, Disemak oleh,

………………………… …………………………….
(Norliza binti Mohamad) (Maznah binti Abdul Salam)
Guru Akademik Sejarah Tingkatan 6, Ketua Panitia Sejarah Tingkatan 6,
SMK Skudai, SMK Skudai,
Johor Bahru. Johor Bahru.

Disahkan oleh,

……………………………….
(Mohd Naim Haikal bin Pauzi)
Penolong Kanan Tingkatan 6,
SMK Skudai,
Johor Bahru.

STPM 2024 – 940/1/P1


*Kertas soalan ini SULIT sehingga peperiksaan kertas ini tamat.
SKEMA PERCUBAAN SEJARAH STPM PENGGAL 1 BATCH 2024
SMK SKUDAI JOHOR BAHRU

1. Huraikan struktur masyarakat feudal England pada abad ke-16 dan abad ke-17.

[20m]

Masyarakat feudal merupakan masyarakat berhierarki dan mempunyai struktur susun


lapis tersendiri. Masyarakat feudal juga terikat dengan aturan yang ditetapkan kerajaan atau
golongan pemerintah ke atas golongan bawahan. Pada abad ke-16 dan ke-17 muncul
pemerintahan monarki mutlak yang menyebabkan lahirnya masyarakat feudal yang terdiri
daripada golongan pemerintah atau pemimpin dan golongan yang diperintah atau
dipimpin. Di England, golongan pemerintah terdiri daripada raja, golongan bangsawan
dan knight. Golongan diperintah pula terdiri daripada petani (serf) dan hamba.

Raja merupakan lapisan yang paling atas. Di England, raja berkuasa mutlak dalam
semua aspek seperti perundangan, kehakiman, ekonomi dan sosial. Raja mempunyai hak ke
atas semua tanah dalam kerajaannya dan memberi hak pajakan kepada golongan bangsawan
yang dipercayai. Sebagai balasan golongan bangsawan akan menawarkan bantuan ketenteraan
kepada raja. Raja amat bergantung kepada golongan bangsawan bagi mengukuhkan kedudukan
dan kekuasaannya. Oleh sebab itu, golongan bangsawan yang taat setia kepadanya akan
mendapat anugerah, tanah dan gelaran.

Selain itu, golongan bangsawan berada di lapisan kedua, iaitu selepas raja. Mereka
membantu raja dalam hal ehwal pentadbiran dan menguruskan ekonomi. Golongan ini
mempunyai pelbagai gelaran seperti duke, count, earl, grey dan vasaal. Golongan ini juga akan
menerima tanah secara langsung daripada raja dan memerintah tanah tersebut. Tanah tersebut
boleh diwarisi oleh golongan bangsawan. Di samping itu, penguasaan dan pentadbiran
golongan bangsawan dikenali dikenali sebagai manor. Golongan bangsawan juga meletakkan
undang-undang bagi mengawal golongan petani yang mengusahakan tanah pertanian.
Mereka menyewa atau memajak sebahagian daripada tanah mereka kepada golongan
bangsawan yang lebih rendah. Golongan bangsawan juga mengurniakan tanah kepada
golongan pahlawan atau knight yang menyediakan khidmat tentera kepada mereka. Sebagai
balasan kepada tanah yang dikurniakan, mereka dikehendaki membayar cukai, taat setia kepada
raja dan membekalkan bantuan ketenteraan.

Dalam susunan masyarakat feudal, golongan pahlawan yang dikenali sebagai knight
berada di bawah golongan bangsawan. Golongan ini memberi perkhidmatan dalam bidang
ketenteraan kepada raja atau lord. Mereka mempunyai pasukan tentera yang
bertanggungjawab mempertahan raja dan bangsawan daripada ancaman musuh. Di samping
itu, mereka sering menjalani latihan ketenteraan untuk meningkatkan kemahiran dalam
taktik dan strategi peperangan. Mereka memakai pakaian besi sebagai perisai. Mereka juga
akan menerima ganjaran dalam bentuk tanah, harta dan memiliki tanah yang luas diusahakan
oleh serf . Golongan knight turut mempunyai hak untuk mengutip cukai daripada penduduk
di bawah penguasaan mereka.

Golongan kedua dalam masyarakat feudal di England ialah golongan yang


diperintah atau dipimpin. Golongan ini diwakili oleh petani dan hamba. Golongan petani
berada di bawah penguasaan golongan bangsawan dan mewakili sebahagian besar daripada
penduduk di England pada zaman tersebut. Golongan ini dikenali sebagai freeman, villain
sokemen, border dan cottar. Mereka tinggal di kawasan kampung yang dikenali sebagai
manor dan mengusahakan tanah milik tuan tanah serta membayar sewa kepada tuan tanah
dengan menyerahkan sebahagian daripada hasil pertanian. Petani juga dikehendaki
menawarkan khidmat buruh seperti mengusahakan tanah , membina bangsal dan menggali
parit. Golongan ini juga tertakluk pada undang-undang kehakiman dan tidak boleh
mempunyai hubungan atau interaksi dengan dunia luar. Akhir sekali, golongan hamba
merupakan golongan yang paling rendah dalam susun lapis masyarakat feudal dan
mewakili satu persepuluh daripada jumlah penduduk di England. Golongan hamba
tidak memiliki tanah dan mempunyai kuasa perundangan yang terhad.

Kesimpulannya, struktur masyarakat feudal di England terbahagi kepada golongan


pemerintah dan diperintah. Penguasaan golongan pemerintah terhadap golongan diperintah
amat jelas dalam segenap aspek meliputi politik, ekonomi dan sosial. Perkembangan yang pesat
khasnya dari aspek ekonomi telah menyebabkan perubahan terhadap struktur feudal di England
yang melahirkan masyarakat baharu yang berfikiran terbuka.
2. Bincangkan peranan pembesar dalam sistem pemerintahan negara China pada zaman
Dinasti Ching.

[20m]

Institusi pemerintahan di China memperlihatkan raja atau maharaja melaksanakan


pemerintahan dengan bantuan atau sokongan pembesar. Pembesar di negara China merujuk
kepada pegawai kerajaan yang dilantik oleh maharaja. Mereka adalah orang kedua terpenting
dan berada pada paras kedua selepas kedudukan maharaja. Pembesar berperanan dalam
beberapa aspek dalam pentadbiran negara.

Peranan utama pembesar China dalam bidang pentadbiran ialah membantu maharaja
menjalankan pentadbiran di peringkat pusat, wilayah dan daerah. Pentadbiran pusat yang
dianggotai pembesar ini dibahagikan kepada institusi seperti Sekretariat Agung, Majlis
Tertinggi (Enam Lembaga Penapis) dan Censorate atau Lembaga Penapis. Golongan pembesar
berperanan dalam mencadangkan pelantikan dan pemecatan seseorang pegawai kerajaan
kepada maharaja. Pembesar juga akan mengurus kenaikan pangkat bagi kakitangan awam.
Selain itu, golongan pembesar juga membantu maharaja dalam pentadbiran dengan memegang
jawatan dalam beberapa buah jabatan kerajaan seperti, Jabatan awam, Jabatan
Kehakiman, Jabatan perkhidmatan, Jabatan hasil & cukai dan Jabatan upacara & istiadat.
Pembesar Juga dilantik sebagai gabenor dan majistret bagi peringkat provinsi (wilayah).
Mereka dibantu oleh pesuruhjaya kewangan, kehakiman dan pendidikan.

Seterusnya, pembesar juga berperanan dalam aspek perundangan. Pembesar


bertanggungjawab dengan membantu maharaja menggubal undang-undang, menetapkan
dasar negara, dan menguatkuasakan arahan dan titah perintah maharaja. Golongan
pembesar turut menyediakan draf undang-undang dan warkah diraja. Peranan ini akan
dijalankan oleh pembesar yang menganggotai Sekretariat Agung di peringkat pusat.

Pembesar-pembesar China terdiri daripada golongan cerdik pandai. Oleh itu, para
pembesar memainkan peranan dalam aspek pendidikan. Mereka akan membantu maharaja
mengendalikan peperiksaan perkhidmatan awam. Golongan pembesar juga diberikan
tanggungjawab untuk menguruskan Akademi Hanlin. Akademi Hanlin merupakan
perpustakaan yang menyelenggara kitab-kitab dan ensiklopedia yang mengumpul maklumat
tentang pemerintah China dan menerbitkan biografi pemerintah.

Selain itu, pembesar juga berperanan dalam aspek kehakiman. Golongan pembesar
mempunyai kuasa untuk membicarakan kes di peringkat pusat dan wilayah. Mereka akan
menganggotai Lembaga Keadilan yang menguruskan hal ehwal kehakiman negara. Pembesar
yang menganggotai Lembaga Keadilan mempunyai kuasa dalam menjatuhkan hukuman,
memberi pengampunan dan membicarakan kes -kes rayuan. Di peringkat provinsi,
Pesuruhjaya kehakiman akan mengendalikan hal ehwal kehakiman dan Majistret daerah pula
akan membicarakan kes di peringkat daerah.

Peranan pembesar yang terakhir ialah dalam aspek ketenteraan. Dalam aspek
ketenteraan, pembesar pusat dilantik sebagai anggota Lembaga Peperangan. Mereka akan
menguruskan pelantikan dan pemecatan pegawai tentera. Manakala, Pembesar wilayah
pula dilantik sebagai komander tentera. Mereka dibenarkan menubuhkan pasukan tentera
di peringkat wilayah masing-masing. Pembesar ini berperanan memulihkan keamanaan
dan kestabilan politik di wilayah masing-masing. Pembesar juga dikehendaki menyediakan
bantuan ketenteraan kepada pemerintahan pusat.

Di samping itu, pembesar turut berperanan dalam aspek ekonomi. Pembesar akan
memberikan nasihat kepada maharaja dalam aspek kewangan dan percukaian. Golongan
pembesar akan menganggotai Lembaga Hasil dalam Negara. Tugas pembesar yang
menganggotai Lembaga Hasil dalam Negara ialah mengutip cukai dan mengurus
pendaftaran tanah. Semua hasil cukai tersebut akan diserahkan kepada maharaja. Di
peringkat provinsi, Pesuruhjaya dilantik untuk menguruskan hal ehwal kewangan. Terdapat
juga pesuruhjaya yang menguruskan garam, cukai dan bijirin. Majistret daerah pula
ditugaskan untuk mengutip cukai di peringkat daerah.

Antara peranan pembesar di China ialah dalam aspek keagamaan. Pembesar dilantik
sebagai ketua agama di peringkat wilayah. Mereka Dilantik oleh maharaja untuk
menguruskan hal ehwal keagamaan seperti mengetuai upacara ritual dan kerohanian di
peringkat pusat dan wilayah. Pembesar pusat dilantik untuk mengetuai Lembaga Upacara
yang mengendalikan upacara diraja dan upacara korban.

Kesimpulannya, pembesar China berperanan dalam pelbagai aspek dalam membantu


maharaja. Namun begitu, terdapat persaingan dalam kalangan pembesar untuk menguasai
kerajaan pusat yang membawa kepada keruntuhan kerajaan Manchu ditambah pula dengan
asakan ke atas pemerintahan China oleh Barat.
3. Jelaskan perkembangan sistem ekonomi feudalisme di Jerman pada abad ke 16 hingga
18.

[20m]

Pada abad ke-16, Jerman masih mengamalkan sistem ekonomi feudalisme yang
mengutamakan pertanian sebagai kegiatan utama dan sumber pendapatan negara. Melalui
campur tangan kerajaan, sistem ekonomi feudalisme di Jerman telah mengalami
perkembangan. Hal ini dapat dilihat dalam empat bidang utama iaitu pertanian,
perindustrian, perdagangan dan perbankan, kraftangan.

Jerman mengamalkan sistem pertanian sebagai kegiatan utama. Contoh tanaman


bijirin seperti gandum, barli, oat dan kekacang. Peralatan yang digunakan hanyalah tenggala
yang diperbuat daripada kayu, sabit untuk menebas rumput dan binatang ternakan untuk
menggembur tanah. Selepas tanaman dituai, binatang ternakan akan dibebaskan ke tanah-
tanah ini dan tiada tanaman lain yang ditanam.

Petani-petani Jerman juga dibebankan dengan cukai tanah. Mereka hanya menurut
perintah dan ditindas oleh tuan tanah dan hidup dalam kemiskinan. Penindasan ini
membawa kepada pemberontakan bagi mengubah taraf hidup mereka. Walaupun
pemberontakan ini gagal, namun beberapa perkembangan dalam bidang pertanian telah
berlaku. Antaranya ialah: pembinaan terusan, contoh Terusan Frederick William, engecualian
cukai selama 10 tahun kepada petani, menggalakkan penternakan lembu susu, melaksanakan
pembahagian tanah kepada petani dan mewujudkan pengkhususan pekerjaan. Perkembangan
ini telah menyebabkan berlakunya peningkatan hasil pengeluaran di Jerman.

Industri tekstil diusahakan secara besar-besaran pada abad ke-16. Kain dan teknik
pengeluaran sutera yang diimport oleh pedagang Arab telah berkembang luas ke seluruh
Eropah. Jerman juga mengusahakan perusahaan sutera dan tidak lagi bergantung kepada
kain import dari Asia. Selepas perang 30 tahun, industri tekstil berkembang di desa, di mana
masyarakat desa mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen.

Manakala, masyarakat bandar menggunakan mesin untuk mewarna & memutihkan kain
dan kemudian memasarkannya. Kegiatan industri mengalami perkembangan apabila kerajaan
mengadakan pembaharuan seperti pembinaan jalan raya di Hesse, menambah tenaga
buruh (mengambil tentera sebagai tenaga buruh dan dibayar gaji), mewujudkan kerjasama
dengan pihak swasta/ persendirian. Perkembangan ini membawa kepada kepesatan ekonomi
di Jerman.

Perdagangan tertumpu di bandar-bandar. Pelabuhan di Venice telah menjalankan


perdagangan entreport iaitu membawa masuk barangan logam, bulu binatang, barangan
kulit dan kain bulu. Barangan yang dieksport pula seperti rempah ratus, kertas, sutera, dan
lain2. Perkembangan yang pesat berlaku apabila bandar-bandar di Jerman menjadi pusat
pemasaran lembu dan bijirin, pusat pentadbiran dan penempatan pedagang. Kegiatan
perdagangan semakin berkembang di Jerman iaitu barangan dagangan dibawa melalui
jalan darat dari utara Itali ke pelabuhan entreport Jerman Selatan. Perkembangan ini
telah menyebabkan Jerman terlibat dengan kegiatan perdagangan antarabangsa secara giat.

Bank-bank Jerman banyak menyumbangkan bantuan kewangan kepada pedagang.


Peruntukan modal ini telah merancakkan urusan perdagangan termasuklah dengan
Sepanyol dan Portugal. Barangan buatan kilang Jerman dipasarkan di Lisbon. Perkembangan
perbankan ini telah melahirkan keluarga yang kaya di Jerman. Mereka telah melaburkan modal
dalam aktiviti perlombongan dan perkapalan. Perkembangan perbankan telah menyebabkan
urusan perdagangan dan ekonomi feudalisme Jerman semakin maju.

Kepesatan perkembangan ekonomi feudalisme di Jerman banyak didorong oleh peranan


yang dimainkan oleh kerajaan dan golongan petani. Hal ini membawa kepada kemajuan
ekonomi Jerman ke tahap yang sangat baik.
4. Nyatakan faktor-faktor Zaman Pencerahan yang berlaku di Eropah.
[20m]

Menjelang abad ke-18, muncul zaman yang dikenali sebagai Enlightenment atau
Zaman Pencerahan. Zaman ini menyaksikan kemunculan gerakan intelektual yang
dipelopori oleh pemikir-pemikir politik, ekonomi dan sosial. Terdapat beberapa faktor yang
membawa kepada kemunculan zaman ini di Eropah pada abad ke-18.

Antaranya ialah gerakan Renaissans melahirkan semangat ingin tahu dan pemikiran
kritikal yang radikal dalam kalangan masyarakat. Hasilnya berlaku kemajuan yang pesat
dalam ilmu pengetahuan seperti sains, seni lukis seni bina, dan sebagainya. Perkembangan ini
melahirkan masyarakat yang bersedia untuk menghadapi perubahan yang lebih besar an
membuka minda masyarakat untuk mengkritik sistem lama yang dirasakan tidak sesuai dengan
perubahan zaman. Oleh itu, gerakan Renaisans sememangnya menjadi pemangkin utama
kepada Zaman Pencerahan di Eropah pada abad ke-18.

Kedua ialah, gerakan reformasi. Reformasi ini menamatkan konsep dunia Kristian
dan melahirkan aliran-aliran baru seperti Protestan, Presbyterianism dan Anglican.
Gerakan ini menyebabkan wujud institusi yang mempunyai kuasa autonomi dan bebas
daripada kongkongan gereja. Hal ini menjadikan munculnya negara mutlak dengan
pemerintah sebagai ketua agama dan ketua negara. Perkembangan ini membolehkan idea
baru seperti rasionalisme berkembang luas.

Seterusnya ialah, pengaruh ahli falsafah. Kemunculan ahli-ahli falsafah seperti


Voltaire, Rousseau dan Montesquie turut mempengaruhi perkembangan zaman ini. Golongan
ini terdedah kepada pemikiran kritis dan memiliki semangat ingin tahu yang kuat. Mereka
memberi penekanan kepada pemikiran yang bersifat rasionalistik dan saintifik. Oleh itu,
peranan ahli falsafah dalam menjana pemikiran rasionalistik dan saintifik telah memberi
pengaruh besar terhadap perkembangan Zaman Pencerahan di Eropah.

Selain itu, Revolusi Sains. Revolusi ini menyebabkan penekanan terhadap ilmu dan
akal. Hal ini membawa kepada kemunculan idea-idea baharu yg menggalakkan para saintis
melakukan penyelidikan saintifik. Kemajuan ini juga menyebabkan perubahan daripada
kepercayaan karut dan mitos kepada kuasa akal dan sains. Kesannya, lahir tokoh saintis yang
terkenal seperti Francis Bacon, John Locke, dan Isaac Newton. Idea mereka telah tersebar
secara meluas pada zaman tersebut.

Di samping itu, kegiatan penjelajahan dan penerokaan. Kegiatan ini menyebabkan


lahir keinginan untuk memperoleh idea dan maklumat tentang bangsa dan budaya lain yg
membawa kepada kegiatan menjelajah negara-negara lain. Perkembangan ini melahirkan
corak pemikiran baharu yang berasaskan empiris dan sebab musabab. Oleh itu, kegiatan
penerokaan dan penjelahan juga menjadi asas kepada Zaman Pencerahan di Eropah.
Faktor terakhir ialah muncul kelas pertengahan. Jumlah golongan profesional
meningkat berbanding zaman sebelumnya. Surat khabar dan majalah yang diterbitkan juga
bertambah. Masyarakat menjadikan kedai kopi atau bilik khas untuk membaca akhbar dan
karya-karya. Selain itu, berlakunya permintaan yang tinggi untuk kamus, ensiklopedia dan
karya-karya disiplin ilmu pengetahuan. Tegasnya, peranan kelas pertengahan juga
menyebabkan berlaku penyebaran ilmu pengetahuan yang menjadi asas kepada
perkembangan Zaman Pencerahan di Eropah.

Kesimpulannya, terdapat banyak faktor berlakunya Zaman Pencerahan di Eropah.


Keadaan ini telah menjadikan Eropah sebagai tempat munculnya idea-idea baru.
Perkembangan ini telah menjadikan Eropah sebagai sebuah negara yang maju dalam pelbagai
aspek.
5. Sejauh manakah sentimen anti Kristian dalam kalangan masyarakat Cina merupakan
punca meletusnya Pemberontakan Boxer pada tahun 1899 di China.
[20m

Pada tahun 1899, tercetus pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan


Boxer di negara China. Gerakan Boxer berasal daripada sebuah kongsi gelap Cina dikenali
sebagai I Ho Chuan (Persatuan Tinju Keadilan dan keharmonian). Orang Barat menamakan
Boxer kerana mereka mengamalkan sejenis tinju Cina yang disertai ilmu sihir. Pemberontakan
Boxer merupakan reaksi orang Cina terhadap tekanan yang diberikan oleh kuasa asing terhadap
kerajaan China. Perasan antiorang asing merupakan faktor utama tercetusnya pemberontakan
ini, di samping beberapa faktor lain.

Faktor utama yang mencetuskan Pemberontakan Boxer ialah sentimen anti orang
asing. Pencerobohan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa Barat sejak Perang Candu Pertama
(1839-1842) menimbulkan semangat antiorang asing dalam kalangan rakyat Cina. Sentimen
ini juga meningkat ekoran tindakan kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba mendapatkan konsesi
di China. Malah tindakan kuasa-kuasa Barat merebut konsesi telah menjatuhkan maruah orang
Cina dan mencemarkan kedaulatan kerajaan China. Semangat anti orang asing menebal dalam
kalangan sarjana dan pembesar China. Tokoh-tokoh istana seperti Maharani Dowager, Putera
Chuang dan Kang-I mengamalkan sikap antiorang asing terhadap kuasa-kuasa Barat dan Jepun
di China. Maharani Dowager Tzu Hsi bertindak menamatkan Hak Wilayah Asingan yang
telah diberikan kepada kuasa-kuasa asing di China. Rakyat dan pihak istana telah berganding
tenaga untuk mengusir orang asing dari China. Jelas ternyata, sentimen antiorang asing
merupakan faktor penting yang menyebabkan tercetusnya pemberontakan Boxer.

Namun demikian, terdapat juga faktor-faktor lain penyebab kepada pemberontakan ini.
Antaranya ialah sentimen anti-Kristian. Melalui Perjanjian Whangpoa dan Konvensyen
Peking, telah membenarkan golongan mubaligh Kristian menjalankan aktiviti keagamaan di
pelabuhan-pelabuhan dan di kawasan pedalaman. Penyebaran agama Kristian telah
mencemaskan golongan konservatif yang menganggap ajaran Kristian amat bertentangan
dengan ajaran Confucianisme, Buddhisme dan Taoisme yang diamalkan sejak turun-temurun.
Di samping itu, mubaligh-mubaligh Kristian juga telah campur tangan dalam kes-kes
mahkamah yang melibatkan orang-orang Cina yang bukan beragama Kristian. Golongan
mubaligh Kristian juga memperjuangkan hak-hak istimewa bagi penganut-penganut agama
Kristian, malah tindakan mubaligh-mubaligh Kristian campur tangan dalam hal ehwal
tempatan menimbulkan kemarahan orang Cina. Orang Cina yang telah beragama Kristian
dibenci kerana mereka bersikap sombong dan menganggap diri mereka lebih tinggi dan mulia.
Perkembangan ini menyebabkan hubungan orang Cina beragama Kristian dan orang Cina
bukan Kristian menjadi renggang. Mereka juga dianggap sebagai pengkhianat bangsa kerana
diperalat oleh orang asing. Tuntasnya, kebencian terhadap orang Kristian telah mendorong
orang Cina melancarkan Pemberontakan Boxer.

Faktor seterusnya ialah penguasaan ekonomi oleh kuasa-kuasa asing. Kemasukan


barang-barang asing telah menyebabkan perusahaan tempatan seperti perusahaan tekstil dan
pertukangan tangan mula merosot. Pasaran tempatan mula dikuasai oleh orang-orang asing
kerana barangan buatan Barat lebih murah dan bermutu tinggi berbanding dengan
barangan tempatan. Kemasukan pelabur-pelabur asing telah menyebabkan pengusaha-
pengusaha tempatan hilang sumber pendapatan. Tambahan pula, bilangan penduduk
tempatan yang menganggur meningkat. Penguasaan ekonomi negara China oleh kuasa-kuasa
asing telah menimbulkan perasaan benci rakyat tempatan terhadap orang-orang asing.
Justeru, penguasaan ekonomi oleh kuasa asing merancakkan sentimen antiorang asing dalam
kalangan orang Cina bagi melancarkan Pemberontakan Boxer.

Selain itu, Kerajaan China juga menghadapi masalah kewangan dan ekonomi yang
serius. Masalah kewangan timbul kerana terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi
membayar ganti rugi perang kepada kuasa-kuasa Barat. Bagi menghadapi masalah ini,
kerajaan China telah mengenakan cukai-cukai baharu. Kerajaan China telah bertindak
memperkenalkan cukai-cukai baharu yang membebankan rakyat. Perkembangan ini telah
menyebabkan golongan petani dan penganggur menyertai pemberontakan bagi menghalau
orang asing dari negara China. Jelaslah bahawa masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan
China telah memberi kesan kepada rakyat Cina untuk melancarkan pemberontakan.

Di samping itu, kejadian bencana alam seperti banjir dan kemarau yang melanda
China menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai jenis penderitaan. Antara bencana
alam yang melanda China adalah seperti pada tahun 1898, berlaku banjir di wilayah-wilayah
di sekitar Sungai Yangtze dan Sungai Hwang Ho. Kesannya, wilayah terjejas teruk adalah
Szechuan, Shantung, Kiangsi dan Anhwei. Kemarau juga melanda di bahagian utara negara
China termasuk Peking. Bencana alam ini menyebabkan kebuluran dan kemusnahan harta
benda. Masyarakat Cina menyalahkan orang asing sebagai punca segala bencana alam
yang melanda negara mereka. Mereka berpendapat projek-projek pembangunan seperti
pembinaan landasan kereta api, pemasangan kabel telegraf dan pembinaan kilang telah
mengganggu keharmonian alam dan menyinggung perasaan dewa dewi mereka. Selain tu,
penyebaran agama Kristian yang dilakukan oleh mubaligh-mubaligh Kristian telah
mengganggu roh nenek moyang dan golongan pendeta. Mereka percaya bahawa bencana
yang melanda negara mereka merupakan balasan daripada dewa-dewi. Tuntasnya,
kepercayaan bahawa bencana alam yang berlaku disebabkan oleh orang asing mendorong
mereka melancarkan Pemberontakan Boxer.

Faktor terakhir ialah sokongan yang diberikan oleh kerajaan Manchu. Pada 20 Jun
1900, kerajaan Manchu secara rasmi telah memberikan sokongan kepada pemberontak untuk
mengusir keluar orang Barat dari negara China. Maharani Dowager Tzu His telah mengarahkan
pemimpin tentera dan pegawai-pegawai istana untuk memberikan bantuan senjata kepada
pemberontak. Sokongan daripada pihak istana menggalakkan ahli-ahli Boxer menyerang orang
asing dan orang Cina yang beragama Kristian. Jelaslah bahawa pemberontakan Boxer juga
tercetus disebabkan sokongan yang diberikan oleh pihak istana.

Kesimpulannya, perasaan anti orang asing yang menebal dalam kalangan rakyat China
merupakan sebab utama tercetusnya Pemberontakan Boxer. Pemberontakan ini telah
memberikan kesedaran kepada kerajaan Manchu untuk melakukan pembaharuan sebagai
langkah untuk menguatkan diri bagi menghadapi ancaman kuasa-kuasa asing. Pemberontakan
Boxer meletakkan asas bagi kejatuhan kerajaan Manchu dan kemunculan kerajaan Republik di
negara China.
6. Bincangkan kesan-kesan Perang Dingin terhadap politik antarabangsa.
[20m]

Perang Dingin merujuk kepada konflik antara negara-negara Komunis yang diketuai
oleh Soviet Union dengan negara-negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Perang
ini melambangkan konflik antara negara-negara untuk memajukan kepentingan nasional
melalui cara-cara politik, ekonomi, dan psikologi. Peperangan yang berlanjutan hingga ke
tahun 1980an ini telah membawa kesan atau perubahan landskap terhadap politik antarabangsa.

Kesan pertama yang berlaku terhadap landskap dan politik antarabangsa akibat Perang
Dingin ialah kemunculan Perikatan Tentera. Soviet Union muncul sebagai kuasa militer
yang paling kuat. Kebangkitan Soviet Union menyebabkan negara-negara Eropah Barat
mewujudkan perikatan tentera. Antara Perikatan Tentera yang diwujudkan ialah Persetiaan
Dunkirk dan Perjanjian Brusells. Perikatan Tentera diwujudkan untuk menjalinkan
kerjasama dalam bidang ketenteraan dan ekonomi dalam kalangan negara-negara Eropah
Barat. Jelaslah bahawa berlaku perubahan terhadap arena politik antarabangsa apabila muncul
perikatan-perikatan tentera di antara negara-negara Eropah.

Seterusnya, ialah tertubuhnya Pakatan NATO dan WARSAW. Pada tahun 1949 pula,
Blok Komunis menyertai China selepas Parti Komunis China (PKC) memenangi Perang
Saudara di mana PKC dipimpin oleh Mao Tse-Tung. Kerana perbezaan pengamalan sistem
politik dan ekonomi, kedua-dua blok bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan seperti
perang kilat. Amerika Syarikat (AS) membentuk pakatan tentera yang digelar North Atlantic
Treaty Organisation (NATO). NATO disertai oleh negara-negara yang mengalami ancaman
daripada komunis. Sebagai balasan, Blok Komunis menubuhkan Pakatan WARSAW yang
beranggotakan seluruh negara-negara Eropah Timur. NATO dan Pakatan WARSAW ini
masing-masing mempunyai senjata nuklear. Manakala satu lagi pakatan iaitu South-East
Asia Treaty Organisation (SEATO) yang disertai oleh Amerika Syarikat, Australia, Britain,
New Zealand, Perancis, Filipina, Pakistan dan Thailand ditubuhkan bagi menghalang
komunis ataupun kerajaan Rusia dan China berpengaruh di Asia.

Selain itu, kesan yang dapat dilihat apabila dunia telah terbahagi kepada dua blok yang
berbeza iaitu Blok Kapitalis dan Blok Komunis. Blok Dunia ini menyaksikan negara-negara
yang sehaluan yang akan bertindak bersama menjaga kepentingan anggotanya. Dapat dilihat
bahawa, Jerman telah berpecah kepada dua iaitu Jerman Timur dan Jerman Barat di mana ini
melambangkan bagaimana blok-blok ini wujud. Jerman Barat diduduki oleh Tentera Berikat
manakala tentera Rusia berpihak di Jerman Timur. Sistem demokrasi diamalkan oleh
Jerman Barat dan Jerman Timur pula mengamalkan sistem komunis. Tembok Berlin telah
dibina bagi memisahkan dua negara Jerman, di mana ibu kota lama Jerman dibahagikan dua
kepada Kuasa Berikat dan Tentera Rusia.

Perkembangan politik antarabangsa diperhebatkan lagi dengan perlumbaan senjata


dan ketenteraan oleh negara-negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Rusia.
Pertelagahan dua kuasa besar ini menyebabkan masing-masing mahu memberi perhatian
terhadap keupayaan ketenteraan. Akibatnya berlaku perlumbaan senjata tetapi masing-
masing cuba mengelakkan perselisihan yang mungkin akan tercetusnya peperangan yang lebih
besar. Amerika Syarikat dan Rusia menggunakan pelbagai inisiatif bagi memperjuangkan
kepentingan masing-masing termasuklah melakukan kegiatan subversif, pengintipan , dan
berperang melalui sekutu-sekutu mereka sehingga melibatkan benua Asia. Contohnya yang
berlaku di China, AS cuba membantu Chiang Kai-Shek menentang Parti Komunis China
(PKC). Namun, PKC memenanginya dan membawa kepada penyatuan Amerika Syarikat
dengan Jepun yang sebelumnya adalah negara musuh yang sangat ditakuti. Ini kerana, Amerika
Syarikat mahu membantu Jepun menggugat keselamatan China. Ternyata bahawa
perlumbaan senjata antara dua kuasa besar ini mewarnai perkembangan politik dunia pada abad
ke-20.

Kesan Perang Dingin juga menyebabkan negara-negara dunia ketiga menjadi rebutan
antara dua kuasa besar. Negara-negara dunia ketiga tidak mahu memihak kepada blok
komunis atau blok kapitalis. Blok Komunis dan blok kapitalis berusaha mempengaruhi
negara-negara dunia ketiga dengan menawarkan bantuan pertahanan dan ekonomi.
Negara-negara dunia ketiga tidak mahu memihak kepada blok komunis mahupun blok
kapitalis. Perkembangan ini menyebabkan tertubuhnya Pergerakan Negara-Negara
Berkecuali (NAM) ditubuhkan. Matlamat utama NAM adalah mengekalkan keamanan
dunia tanpa menyokong blok Barat ataupun blok Komunis.

Kesimpulannya, Perang Dingin bermula di benua Eropah tersebar ke bahagian-


bahagian lain di dunia. Perang ini berlanjutan hingga tahun 1980-an dan berakhir ekoran
keruntuhan negara-negara komunis di Eropah Timur pada tahun 1989. Biarpun politik
antarabangsa dipengaruhi oleh Perang Dingin, tetapi banyak negara yang tidak mahu
melibatkan diri dalam persengketaan tersebut. Persaingan antara dua kuasa besar iatu Rusia
dan Amerika Syarikat telah mewujudkan pakatan ketenteraan yang telah membawa kesan
kepada landskap politik antarabangsa.

Disediakan oleh,

……………………….
(NORLIZA BINTI MOHAMAD)
Guru Akademik Tingkatan 6,
SMK Skudai,
Johor Bahru, Johor.

You might also like