You are on page 1of 16

SULIT *

Jawab empat soalan sahaja.

1. Jelaskan ciri-ciri masyarakat maritim di Portugal pada abad ke-16 hingga 17. [20]

2. Jelaskan peranan yang dimainkan oleh Maharaja China dalam bidang eksekutif
dari abad ke 16 hingga 20. [20]
3. Huraikan faktor-faktor perkembangan perdagangan dan perniagaan di Belanda
menjelang abad ke-16 hingga ke-18 Masihi. [20]

4. Bincangkan idea yang diketengahkan oleh Adam Smith pada Zaman Pencerahan
di England pada abad ke-18 Masihi. [20]

5. Sejauhmanakah campur tangan dalam adat tempatan menyebabkan tercetus


Dahagi di India pada tahun 1857. [20]

6. Huraikan kesan Perang Dunia Pertama (1914-1918) dalam bidang politik. [20]

Disediakan oleh Disemak oleh: Disahkan oleh:

................................... .................................. .......................................................


(NURHANIM SAHIBON) (VIJAYA A/P GOPAL) (KALAIVANI A/P GOVINDARAJOO
Guru Matapelajaran Ketua Unit Sejarah Ketua Unit Pengurusan Sains Sosial

STPM 2022-940/1
Kertas soalan ini sulit sehingga peperiksaan kertas ini tamat. SULIT*
PEPERIKSAAN PERCUBAAN STPM SEJARAH SEMESTER 1/ 2023
KOLEJ TINGKATAN ENAM PUDU JAYA KUALA LUMPUR

SKIMA JAWAPAN

Soalan 1 : Jelaskan ciri-ciri masyarakat maritim di Portugal pada abad ke-16 hingga 17.

Pendahuluan :
- Masyarakat maritim bermaksud masyarakat yang memberikan tumpuan utama terhadap perdagangan dan
kegiatan yang berkaitan dengan laut.
- Masyarakat ini mempunyai pelabuhan-pelabuhan sebagai tempat untuk menjalankan kegiatan
perdagangan atau kegiatan kelautan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan air,
tempat tinggal, tempat menyimpan barang dan kawasan untuk berjual beli.
- Antara ciri masyarakat maritim ialah kegiatan ekonomi, petempatan dan teknologi.
-
Isi Penting :
1 Kegiatan ekonomi
- Kegiatan utama masyarakat maritim ialah aktiviti perdagangan
- Masyarakat maritim membekalkan hasil tempatan kepada pedagang-pedagang asing yang singgah di
pelabuhan
- Mereka juga terlibat dalam membeli dan mengedarkan barang dagangan kepada pedagang-pedagang asing
yang singgah di pelabuhan
-
2 Petempatan
- Lazimnya masyarakat maritim tinggal di kawasan persisir pantai, lembah sungai dan kepulauan
- Kedudukan berhampiran dengan laut memudahkan mereka menjalankan aktiviti berkaitan dengan laut

3 Kemahiran membina kapal


- Masyarakat maritim juga mempunyai kemahiran dalam pembinaan kapal
- Mampu membina kapal yang besar seperti caravel yang boleh belayar di lautan luas
- Kemajuan dalam pembinaan kapal menyebabkan muncul industri pembinaan kapal di Portugal

4 Kemahiran teknologi pelayaran


- Masyarakat maritim mempunyai kemahiran dalam teknologi pelayaran
- Masyarakat maritim mempunyai kemahiran menentukan arah pelayaran dengan menggunakan kompas
magnetik dan astrolab
- Mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dalam ilmu nautikal
- Putera Henry mendirikan sebuah sekolah pelayaran untuk melatih ahli pelayaran dan jurumudi di Sagres.

5 Penjelajahan dan penerokaan


- Masyarakat maritim merupakan masyarakat yang terdedah kepada kegiatan penerokaan dan penjelajahan
- Mempunyai kemahiran dalam merancang dan melancarkan ekspedisi penerokaan dan penjelajahan
- Menjelang abad ke-15M, orang Portugis melancarkan beberapa ekspedisi mencari jalan laut ke Timur –
contohnya Vasco da Gama melancarkan ekspedisi atas permintaan Raja Manuel I sekitar tahun 1497

6 Sifat ingin tahu


- Masyarakat maritim mempunyai sifat ingin tahu yang mendorong mereka melakukan penerokaan dan
penjelajahan
- Semangat ini mendorong mereka menjalankan kajian mengenai bentuk muka bumi dan iklim sesuatu
tempat

7 Semangat keterbukaan
- Masyarakat maritim memiliki semangat keterbukaan
- Sanggup mengharungi lautan luas dan belayar ke negara-negara lain
- Menjalin hubungan dan berinteraksi dengan masyarakat tempatan
- Hasilnya berlaku pemindahan idea dan teknologi
- Melahirkan cerdik pandai yang dapat menghasilkan ciptaan-ciptaan baru

8 Memiliki sifat berani


- Masyarakat maritim berani hadapi cabaran
- Mempunyai kemampuan untuk hadapi pelbagai cabaran ketika belayar di lautan luas
- Contohnya Ferdinand Magellan melancarkan ekspedisi ke Timur pada tahun 1519
- Pengalaman yang diperoleh masyarakat maritim ketika di laut menjadikan mereka bangsa yang berani
-
9 Keupayaan menguasai laluan laut
- Mempunyai keupayaan dan kebolehan dalam menguasai jalan laut
- Mengatur langkah untuk mencari dan menguasai laluan laut ke Timur
- Mendirikan pangkalan perdagangan di Sri Lanka, Sumatera, Jawa dan Kepulauan Rempah

Kesimpulan
- Portugal adalah sebuah negara yang sangat gigih dalam mencari kemajuaan terutamanya dalam bidang
pelayaran dan perdagangan.
- Kejayaan Portugal menjadi inspirasi kepada negara Eropah yang lain bagi menikmati hasil yang sama
dinikmati oleh Portugal.
Soalan 2: Jelaskan peranan yang dimainkan oleh Maharaja China dalam bidang eksekutif
dari abad ke 16 hingga 20.

Pendahuluan

Negara China merupakan negara yang mengamalkan sistem beraja pada abad ke-16 hingga
akhir abad ke-20. Dalam pemerintahan beraja yang diamalkan di negara China, Maharaja China
mempunyai kuasa mutlak dalam semua hal pemerintahan kerana maharaja menduduki hierarki yang
teratas dan menjadi ketua negara. Maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang eksekutif,
perundangan dan kehakiman. Maharaja China adalah kuasa penentu dalam pentadbiran kerajaan
China. Maharaja memainkan peranan yang penting dalam segala bidang, termasuk dalam bidang
eksekutif.

Isi-isi penting

1. Menetapkan dasar kerajaan

Maharaja mempunyai peranan yang besar dalam kuasa eksekutif iaitu menjadi orang yang
memutuskan segala dasar kerajaan. Dalam menetapkan dasar kerajaan, baginda akan mendapatkan
bantuan dan nasihat daripada pihak Sekretariat Agung. Sekretariat Agung ini akan memainkan peranan
untuk membantu maharaja menyelia dan menyelaras Enam Badan Menteri. Sekretariat ini akan
membantu maharaja dalam membuat keputusan mengenai dasar- dasar negara. Di samping itu,
baginda juga menerima cadangan dan pandangan berhubung polisi negara daripada Majlis Agung.
Majlis Agung telah ditubuhkan pada tahun 1729 bagi mengambil alih tugas dan peranan yang
dimainkan oleh Sekretariat Agung. Oleh itu, peranan maharaja dalam menetapkan dasar negara adalah
sangat besar dan penting kerana ia menentukan hala tuju negara China serta mengukuhkan kedudukan
mutlak maharaja.

2. Mengendalikan hal ehwal luar negara

Peranan kedua maharaja dalam bidang eksekutif adalah menandatangani perjanjian dengan
kuasa-kuasa asing. Baginda membuat keputusan untuk menghantar utusan dan perwakilan ke negara
lain. Selain itu, maharaja akan mengetuai upacara menerima kunjungan duta-duta asing ke China.
Baginda menetapkan dasar dan hubungan luar kerajaan dengan negara lain. Dalam menetapkan
hubungan luar, baginda dibantu oleh Jabatan Hal Ehwal Kolonial. Dasar luar China juga berbeza
mengikut dinasti dan semua hal ini adalah mengikut keputusan yang ditetapkan oleh maharaja.
Contohnya pada dinasti Ming, Maharaja China telah membenarkan kuasa barat berdagang di China.
Manakala pada zaman dinasti Ching, Maharaja China telah mengamalkan dasar tutup pintu iaitu dasar
pengasingan. Tuntasnya, kebijaksanaan maharaja dalam mengendalikan hal ehwal luar penting dalam
mempertahankan kedudukan maharaja dan untuk menjaga kedaulatan negara.

3. Menguruskan hal ehwal kakitangan awam

Peranan ketiga maharaja dalam bidang eksekutif adalah menguruskan hal ehwal kakitangan
awam. Baginda juga berkuasa melantik dan melucutkan jawatan pegawai-pegawai kerajaan. maharaja
juga mempunyai kuasa untuk meluluskan kenaikan pangkat kakitangan kerajaan. Baginda juga
mengurniakan gelaran dan darjah kebesaran kepada pembesar yang setia kepadanya. Maharaja China
juga berkuasa mutlak untuk melantik pegawai tadbir di peringkat wilayah dan daerah. Pegawai-pegawai
ini akan menjalankan tugas atas arahan maharaja. Contohnya pada zaman Dinasti Ming, maharaja yang
melantik pegawai awam, pegawai tentera dan pegawai pengawas di peringkat wilayah. Manakala pada
Dinasti Ching, gabenor dan pegawai daerah dilantik oleh maharaja untuk mentadbir di peringkat
wilayah. Jelas ternyata, pengurusan kakitangan awam penting untuk memastikan pentadbiran berjalan
lancar di China.
4. Menguruskan pentadbiran pusat

Peranan seterusnya dalam bidang eksekutif adalah menguruskan pentadbiran peringkat pusat.
Dalam konteks ini, maharaja merupakan ketua pentadbir di peringkat pusat. Baginda dibantu oleh
Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi dan Lembaga Penapis. Majlis Penasihat memainkan peranan
sebagai badan penasihat kepada maharaja . Majlis ini terdiri daripada enam kementerian iaitu
Kementerian Personal, Kementerian Kewangan, Kementerian Kewangan, Kementerian Adat,
Kementeriaan Perang, Kementeriaan Keadilan dan Kementerian Kerja Raya. Lembaga Penapis
berperanan mengawasi dan memaklumkan segala tindak tanduk pembesar kepada maharaja. Lem-
baga Penapis juga bertanggungjawab dalam urusan surat-menyurat dan pentadbiran. Badan ini
memberi penerangan kepada maharaja mengenai perkara-perkara penting mengenai pegawai-
pegawai kerajaan. Tuntasnya, pentadbiran pusat yang kukuh dapat melahirkan kestabilan politik dan
mengukuhkan kedudukan maharaja.

5. Menguruskan pentadbiran wilayah

Peranan maharaja selanjutnya dalam bidang eksekutif adalah menguruskan pentadbiran di


peringkat wilayah. Maharaja melantik gabenor bagi mengendalikan pentadbiran di peringkat wilayah.
Gabenor dibantu oleh pesuruhjaya bagi menguruskan hal kewangan, kehakiman dan pendidikan.
Dalam bidang ketenteraan, komander dilantik untuk mengawal wilayah. Pentadbiran daerah diterajui
oleh majistret daerah. Antara peranan majistret daerah adalah mengutip cukai, memelihara keamanan
dan menyelesaikan pertikaian. Pentadbiran peringkat kampung, bandar dan pekan dikendalikan oleh
penduduk tempatan. Contohnya, Dinasti Ching telah memperlihatkan pentadbiran wilayah yang
diketuai oleh gabenor dan dibantu oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja. Justeru, sistem
pentadbiran wilayah yang teratur mengukuhkan kedudukan maharaja.

Kesimpulan

Maharaja menjalankan pentadbiran dengan cekap dan teratur dengan bantuan daripada
pembesar. Baginda menggunakan kuasa dalam bidang eksekutif bagi menetapkan dasar dalam dan
luar Negara. Baginda Berjaya mengawal pentadbiran pusat dan wilayah dengan mewujudkan sistem
pentadbiran bercorak birokratik. Sistem pemerintahan monarki melahirkan kestabilan politik dan
ekonomi di negara China.
Soalan 3 : Terangkan proses penyatuan negara bangsa di Jerman sehingga tahun 1870.

Pengenalan

Konsep negara bangsa merujuk kepada pembentukan negara bangsa moden di Eropah. Pada
waktu ini, muncul idea tentang hak rakyat, kerajaan berpelembagaan dan negara bangsa moden. Negara
Jerman merupakan salah satu contoh negara bangsa yang dibentuk pada abad ke-19. Pada peringkat
awal, penyatuan Jerman terhalang oleh beberapa faktor. Antaranya ialah golongan bangsawan bimbang
penyatuan Jerman akan menggugat status quo mereka akibat daripada kebangkitan Revolusi 1848.
Selain itu, keadaan yang masih belum jelas tentang kuasa manakah yang lebih dominan sama ada Prusia
atau Austria apabila Jerman bersatu kelak. Sesetengah golongan percaya penyatuan Jerman akan
menggabungkan negeri-negeri kecil di Jerman tanpa memasukkan Austria. Keadaan di Prusia dan
Austria era 1850-an tidak menunjukkan tanda-tanda dalam kalangan nasionalis bahawa penyatuan
Jerman akan berlaku. Walaupun wujud faktor-faktor penghalang, usaha untuk penyatuan Jerman tetap
bermula pada tahun 1815 iaitu selepas tamat Perang Napoleon melalui Kongres Vienna.

Isi-Isi Penting

1. Kongres Vienna

Sebelum abad ke-19M, Jerman mempunyai 360 negeri kecil di bawah pemerintahan masing-masing.
Pada awal abad ke-19M, Jerman telah dikuasai oleh Perancis di mana Perancis telah melucutkan takhta
raja serta mengubah sempadan Eropah. Perancis telah membentuk semula struktur pemerintahan
Jerman dan mencantum negeri-negeri kecil di Jerman. Selepas Perancis kalah pada tahun 1815, Kongres
Vienna telah dibentuk dan menetapkan Persekutuan Jerman sebagai negeri penampan daripada
penalukan Perancis. Persidangan ini membuat keputusan untuk membahagikan Jerman kepada 39 buah
negeri. Pergabungan Negara Jerman terdiri daripada Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Honaver
dan Saxony. Pemimpin dari negeri Austria telah dilantik sebagai ketua Pergabungan Negara Jerman.
Justeru keadaan ini menyebabkan negeri-negeri di Jerman mengadakan kerjasama ekonomi yang turut
menyemai penyatuan dalam bidang politik
2. Zollverein
Prusia memiliki sistem pemerintahan yang cekap dan mempunyai kedudukan ekonomi yang
kukuh. Kuasa politik dipegang oleh tuan-tuan tanah atau junkers. Junkers menggalakkan perdagangan
di negeri-negeri di Jerman dengan menubuhkan kesatuan ekonomi yang dipanggil Zollverein. Zollverein
memparkenalkan sistem mata wang, sistem ukuran dan sistem timbangan yang standard. Penubuhan
ini menyebabkan kegiatan perdagangan berkembang pesat di seluruh Jerman di bawah pimpinan
Prusia. Menjelang tahun 1854, semua negeri di Jerman menyertai kesatuan ekonomi ini kecuali Austria.
Kesannya, kegiatan perdagangan pesat membangun dan negeri-negeri Jerman memandang Prusia
sebagai pemimpin politik Jerman.

2. Pemerintahan William 1
Prusia dilihat berpotensi memainkan peranan ke arah penyatuan Jerman. Pada tahun 1861,
William I ditabalkan sebagai Raja Prusia menggantikan abangnya, Raja Frederick William IV. Raja
William I percaya Prusia boleh memimpin menyatukan Jerman. Beliau bercadang memperbesarkan
angkatan tentera Prusia dan memperkenalkan beberapa cukai baru. Menteri Pertahanan Prusiaketika
itu mencadangkan supaya menambah pegawai tentera, mengambil jumlah rekrut yang ramai dan
memanjangkan perkhidmatan tentera sukarelawan kepada tiga tahun. Bagaimanapun, golongan
nasionalis liberal bimbang angkatan tentera Prusia akan dikuasai oleh golongan junkers. Oleh itu
mereka mengundi untuk tidak membenarkan kerajaan mengenakan cukai ke atas rakyat di Dewan
Perwakilan. Perkembangan ini menyebabkan hubungan antara raja dengan Parlimen yang dikuasai
oleh golongan liberal menjadi tegang.

3. Dasar Bismarck
Akibat kecewa dengan kegagalan tersebut, Raja William I bertindak melantik Perdana Men- teri
baharu, iaitu Otto Eduard von Bismarck (1862). Bismarck adalah seorang junkers, anggota Dewan
Parlimen di Prusia serta duta Prusia ke Rusia dan Perancis. Tugas utama Bismarck ialah memujuk ahli-
ahli Parlimen supaya patuh kepada kehendak kerajaan dan raja. Apabila Parlimen menolak usul
perbelanjaan tentera, Bismarck membelakangkan keputusan parlimen dan melaksanakan dasar
kutipan cukai. Matlamat Bismarck adalah mengukuhkan dominasi Prusia dalam hal ehwal Jerman,
menentang liberalisme serta demokrasi dan mengekang kebebasan akhbar. Bismarck mengamalkan
realpolitik iaitu amalan politik yang dipelopori oleh Niccolo Machiavelli yang menggunakan pelbagai
cara untuk menumpaskan musuh-musuhnya. Tindakan seperti menipu, berkompromi, berkawan
semula, mengugut, menekan, serta berperang digunakan untuk mencapai matlamat politiknya, iaitu
menyatukan Jerman. Bismarck berpegang kepada matlamat menghalalkan cara iaitu dasar baik kalau
boleh dasar jahat kalau perlu.

4. Melancarkan Peperangan
. Proses pembentukan negara bangsa Jerman juga berlaku melalui siri-siri peperangan. Sebagai
Perdana Menteri, Bismark merancang untuk mengukuhkan pasukan tentera dan memperkasakan
ekonomi Prusia agar dapat mengurangkan pengaruh Austria dalam kalangan negeri-negeri Jerman.
Untuk melaksanakan dasar ini, Bismark melibatkan Prusia dalam tiga peperangan. Bismarck
melancarkan peperangan terhadap Denmark pada tahun 1864 bagi menguasai wilayah Holstein dan
Schleswig. Peperangan terhadap Denmark dilancarkan bagi mengurangkan kuasa dan pengaruh
negara tersebut. Selepas mengalahkan Denmark Bismarck melancarkan peperangan terhadap Austria
pada tahun 1866. Austria berjaya dikalahkan dan ini mendorong Bismarck melancarkan pula serangan
ke atas Perancis pada 1870. Kejayaan Bismarck menewaskan Denmark, Austria dan Perancis
menyebabkan negeri-negeri dapat disatukan. Tuntasnya, kebijaksanaan Bismarck dalam mengatur
strategi peperangan membolehkan Jerman menewaskan musuh dan berjaya menyatukan Jerman.

Kesimpulan
Kesimpulannya, proses penyatuan Jerman berlaku dalam tempoh yang panjang. Usaha
pelbagai pihak disertai kekuatan semangat kebangsaan jelas telah berjaya menyatukan Jerman,
disamping peranan Bismarck yang merupakan tokoh yang bertanggung jawab dalam pembentukan
negara Jerman. Kejayaan ini dteruskan melalui proses pengukuhan negara bangsa Jerman selepas
tahun 1871.
4. Huraikan faktor-faktor perkembangan perdagangan dan perniagaan di Belanda menjelang abad
ke-16 hingga ke-18 Masihi.

Pendahuluan
Perdagangan dan perniagaan merupakan kegiatan ekonomi yang penting di Belanda pada
abad ke-16 hingga 18 masihi. Kegiatan perdagangan dan perniagaan di Belanda terdiri daripada
perdagangan dalam negara, perdagangan luar negara, dan perdagangan maritim. Perdagangan dalam
negara melibatkan wilayah, provinsi, dan bandar-bandar di Belanda. Pada masa yang sama, Belanda
turut menjalin hubungan perdagangan dengan negara-negara lain di benua Eropah seperti England,
Jerman, Perancis, Sepanyol, Norway, Rusia, dan Itali. Menjelang abad ke-18, perkembangan
perdagangan dan perniagaan telah menyebabkan Belanda berjaya memonopoli perdagangan rempah
di bawah kawalan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC). Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi
perkembangan perdagangan dan perniagaan di Belanda menjelang abad ke-16 hingga 18 Masihi.

isi-isi Penting

1. Kedudukan yang strategik


Kegiatan perdagangan berkembang kerana kedudukan strategik Belanda di pertengahanlaluan
perdagangan. Dari segi geografi, Belanda terletak di tengah-tengah laluan perdagangan yang
menghubungkan bahagian Timur Laut dan Barat Daya Eropah. Keadaan ini menyebabkan Belanda
menjadi pusat pengedaran barang dagangan di Eropah. Belanda juga memiliki industri pembinaan
kapal. Kapal-kapal ini membawa barang keperluan negara-negara Eropah. Contohnya, gandum dan
barli dari Poland dan Timur Prusia. Ia juga mengangkut hampir keseluruhan pengeluaran logam besi
dari Sweeden. Kedudukan yang strategik ini telah membolehkan Belanda memainkan peranan penting
sebagai pusat pengedaran barang dagangan di Eropah. Hal ini menyebabkan berlakunya kepesatan
perdagangan dan perniagaan di Belanda.

2. Kekurangan sumber alam

Antara faktor yang mendorong perkembangan perdagangan adalah kekurangan sumber alam.
Kekurangan sumber alam menyebabkan Belanda tidak dapat mengeluarkan barang keperluan yang
mencukupi kecuali produk hasil tenusu. Belanda terpaksa mengimport barang keperluan penduduknya
dari negara lain. Keadaan ini menyebabkan berlakunya peningkatan dalam aktiviti perdagangan dan
perniagaan Belanda. Kekurangan sumber alam juga menyebabkan kemunculan industri-industri
pembuatan. Industri-industri ini menghasilkan produk daripada barang yang diimport seperti tekstil dan
kertas dan kemudiannya dieksport. Bahan mentah bagi industri kain di Belanda di import dari
England. Kain biasanya diproses dan dicelup dengan pewarna sebelum di eksport semula ke negara
lain. Kekurangan sumber alam ini secara tidak langsung menyebabkan Belanda terlibat dalam aktiviti
perdagangan import bagi memenuhi keperluan negara. Kemunculan industri pembuatan pula
merancakkan lagi aktiviti perdagangan dan perniagaan di Belanda pada abad ke-16 hingga ke-18
Masihi.
3. Kemudahan kewangan / sistem perbankan

Banyak institusi perbankan ditubuhkan di Belanda pada abad ke-17 masihi. Institusi ini
menyediakan kemudahan pinjaman dan modal kepada peniaga. Pada tahun 1609, sebuah institusi
pertukaran wang dikenali sebagai Wisselbank telah ditubuhkan di Amsterdam. Bank ini mengambil alih
tugas dan peranan yang dimainkan oleh pengurup wang. Penubuhan bank ini juga dapat mengelakkan
kekeliruan akibat penggunaan mata wang yang berbeza. Di samping itu, bank ini juga berperanan
menyelaraskan peminjaman wang dan memperkenalkan sistem pembayaran menerusi cek. Jelaslah,
penubuhan institusi perbankan meningkatkan kegiatan perdagangan kerana dapat menyediakan modal
dengan mengenakan kadar faedah yang rendah. Kemunculan institusi bank ini turut menyebabkan
kegiatan perdagangan dapat dijalankan dengan sistematik dan teratur. Keadaan ini turut meningkatkan
keupayaan pelaburan Belanda dalam perdagangan antarabangsa.

4. Insurans Maritim

Pengenalan insurans maritim mendorong perkembangan perdagangan di negara Belanda.


Insurans ini diperkenalkan bagi pedagang-pedagang yang terlibat dalam perdagangan menggunakan
laluan laut. Insurans ini diperkenalkan sejak pertengahan abad ke-16 M sebagai langkahmenanggung
risiko yang dihadapi oleh pedagang semasa barang-barang diangkut menggunakan jalan laut. Premium
bagi insurans berbeza dari semasa ke semasa berdasarkan harga belian barang yang diangkut. Kadar
premium insurans yang diperkenalkan pada tahun 1650 adalah antara 5% hingga 11% daripada harga
barangan. Pengenalan insurans maritim ini turut membantu perkem- bangan perdagangan dan
perniagaan Belanda. Hal ini kerana dengan adanya skim perlindungan insurans ini maka golongan
pedagang lebih berani mengambil risiko menjalankan perdagangan import dan eksport barangan
melalui jalan laut. Tambahan pula, abad ke-16 hingga ke-18 Masihi menunjukkan bahawa jalan laut
adalah merupakan jalan utama yag digunakan bagi kegiatan perdagangan import dan eksport di seluruh
dunia.

5. Kemunculan syarikat dagang

Perkembangan perdagangan maritim menyebabkan muncul syarikat-syarikat dagang. Pada


tahun 1594, sekumpulan pedagang dari Amsterdam telah menubuhkan Society of Distant Lands.
Persatuan ini menyediakan dana bagi membantu pedagang-pedagang dan membiayai kos pembinaan
kapal-kapal dagang. Hal ini turut mempengaruhi kemunculan lebih banyak syarikat yang ditubuhkan
bagi membiayai kegiatan penjelajahan dan penerokaan ke timur. Pada 20 Mac 1602, Syarikat Hindia
Timur Belanda (VOC) ditubuhkan. Syarikat ini diberi hak monopoli untuk menjalankan aktiviti
perdagangan dan penjajahan di Asia. Syarikat ini muncul sebagai syarikat perdagangan yang terbesar
di dunia. Komoditi utama syarikat ini ialah teh, kopi, dan rempah ratus. Pedagang Belanda membuat
perjanjian dengan pemerintah tempatan untuk mendapatkan konsesi perdagangan. Syarikat ini
berjaya mengawal monopoli perdagangan rempah di Timur. Penubuhan Syarikat Hindia Timur Belanda
mewujudkan kewangan korporat yang sistematik, menjamin kekayaan dan melahirkan pedagang yang
bijak memaksimumkan keuntungan.

Isi tambahan

6. Kemunculan industri pembuatan

7. Mata wang

8. Sistem ukuran dan timbangan

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang merangsang pertumbuhan pesat kegiatan


perdagangan di Belanda pada abad ke-16 hingga 18 M. Selain kedudukan strategik, perkembangan
perdagangan dan perniagaan juga disebabkan oleh kemudahan perbankan, pengenalan insurans
maritime dan kemunculan syarikat dagang. Perkembangan pesat kegiatan perdagangan menyebabkan
Belanda muncul sebagai pusat perdagangan penting di Eropah pada abad ke-16 hingga 18 M
5. Bincangkan idea yang diketengahkan oleh Adam Smith pada Zaman Pencerahandi
England pada abad ke-18 Masihi.

Pendahuluan

Pada abad ke-18 Masihi muncul ramai ahli ekonomi di England. Mereka mengemukakan idea-
idea bagi menyelesaikan masalah ekonomi selepas negara berkenaan mengalami Revolusi
Perindustrian. Antara ahli ekonomi yang terkenal ialah Adam Smith. Beliau dilahirkan di Kirckcaldy, Fife,
Scotland pada tahun 1723 dan meninggal dunia pada 17 Julai di Edinburgh. Beliau telah memberi
sumbangan idea dalam Zaman Pencerahan terutamnya dalam bidang ekonomi moden.

Isi-isi Penting

1. Disiplin ekonomi moden

Beliau ialah pengasas kepada disiplin ekonomi moden. Buktinya beliau telah memperkenalkan
teori yang mengatakan seseorang individu boleh membina kehidupan bermoral dan berekonomi tanpa
bimbingan atau arahan negara. Tambahan lagi sesebuah negara akan menjadi kuat apabila rakyatnya
bebas. Menurut beliau, kerajaan tidak harus melibatkan diri dalam hal ehwal ekonomi dan
perdagangan. Adam Smith menyebarkan doktrin laissez-faire di England dengan menubuhkan institusi
yang dikenali sebagai School of Political Economy. Idea perdagangan bebas yang disebarkan oleh
Adam Smith mendapat perhatian ahli-ahli ekonomi seperti Ricardo dan Thomas Maltus.

2. Mengkritik sistem ekonomi merkantilisme

Adam Smith mengkritik sistem ekonomi merkantilisme yang diamalkan di Eropah. Beliau
menolak tindakan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal koloni tanah jajahan. Menurut
beliau, semua tanah jajahan akan berkembang jika diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti
masing-masing. Beliau turut menyelar tindakan negara-negara bangsa mengawal tanah-tanah jajahan
secara politik. Tindakan sedemikian akan meningkatkan beban kewangan negara induk. Kritikan ini
turut ditujukan kepada monopoli yang dilakukan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris

3. Teori faedah mutlak

Adam Smith menganjurkan teori yang dikenali sebagai faedah mutlak dalam karya Wealth of
Nation. Beliau menyarankan agar sesebuah negara menghasilkan barangan yang mempunyai
permintaan yang tinggi. Selain itu, barangan yang dihasilkan juga sukar diperoleh dalam pasaran dan
terhad pengeluarannya. Beliau berpendapat negara harus mengelak daripada menghasilkan barangan
yang boleh diperoleh dengan harga yang murah di tempat lain. Sesebuah negara perlu membuat
pengkhususan dalam pengeluaran barangan yang mempunyai faedah mutlak. Dua faktor yang
mempengaruhi faedah mutlak iaitu faktor iklim dan struktur tanah.
4. Teori Pengkhususan antarabangsa

Adam Smith menyarankan agar sesebuah negara melakukan pengkhususan antarabangsa.


Menurut beliau pengkhususan antarabangsa akan memacu kemajuan sesebuah negara.
Pengkhususan antarabangsa juga membolehkan sesebuah negara menghasilkan lebihan produk yang
boleh dipasarkan ke luar negara. Perkembangan ini dapat meningkatkan sumber pendapatan dan
kekayaan negara.

5. Teori Pengumpulan modal

Adam Smith berpendapat bahawa proses pengumpulan modal harus dilakukan terlebih dahulu
daripada pembahagian kerja. Pengumpulan modal merupakan syarat utama terjadinya proses
pembangunan ekonomi. Beliau menyatakan bahawa pelaburan dilakukan kerana pemilik modal
mengharapkan keuntungan. Secara ringkasnya tiada siapa yang akan menjalankan perniagaan
sekiranya mendapat kerugian. Pembeli dan peniaga perlu sama-sama mendapat keuntungan. Modal
ini boleh diguna untuk perdagangan dan pertumbuhan stok dalam modal membawa kepada persaingan
antara pengusaha. Apabila modal sudah berkembang maka terjadilah peningkatan dalam
kemakmuran.

6. Teori percukaian

Teori percukaian menurut Adam Smith ialah kerajaan hanya mengenakan cukai dengan cara
tidak menggugat kesejahteraan ekonomi dan rakyat sesebuah negara. Rakyat patut menyokong negara
yang memberi kebebasan mengikut kebolehan sendiri. Antara amalan ekonomi tersendiri yang
dipercayai ialah kekayaan negara dinilai dari segi stok emas dan perak. Selain itu, negara patut
mengekalkan penguasaan ke atas emas dan perak serta mengenakan cukai ke atas barangan im- port,
memberikan subsidi kepada pengeksport dan melindungi industri domestik.

Kesimpulan

Melalui dua karya The Theory of Moral Sentiments (1759) dan The Wealth of Nations (1776)
adam Smith telah banyak memberi sumbangan dalam bidang ekonomi moden yang digunapakai
hingga hari ni dan doktrin yang diketengahkan beliau sesuai bagi menguruskan ekonomi negara.

Soalan 6: Sejauhmanakah campurtangan dalam adat tempatan menyebabkan tercetusnya


Dahagi India pada tahun1857.

Pendahuluan

Pada tahun 1857, berlaku penentangan terhadap pemerintahan British di India yang dikenali
sebagai Pemberontakan Dahagi India. Dahagi India merupakan pemberontakan yang dilancarkanoleh
sepoi-sepoi yang menentang pemerintahan British di India. Orang India menganggap Dahagi sebagai
perjuangan untuk membebaskan negara daripada pemerintahan British. Selain sepoi, golongan putera,
nawab dan pembesar yang kehilangan gelaran, tanah dan kuasa turut menyertai pemberontakan
tersebut. Dahagi berlaku secara setempat dan hanya melibatkan beberapa buah kawasan tertentu
sahaja. Sebahagian besar penduduk tidak terlibat dalam pemberontakan tersebut. Dalam pada itu,
bukan semua askar bangkit menentang British, askar-askar Sikh dan rejimen tempatan yang lain
bertindak menyebelahi British. Terdapat beberapa faktor yang mencetuskanpemberontakan Dahagi di
India.
Isi-Isi Penting

1. Campur Tangan Dalam Adat

British telah campur tangan dalam adat resam masyarakat India yang beragama Hindu.
Campur tangan British jelas ketara apabila mereka memperkenalkan undang-undang melibatkan adat
dan kepercayaan masyarakat India. Amalan Suttee merupakan adat yang diamalkan oleh penduduk
beragama Hindu sejak turun-temurun. Mengikut adat ini, balu yang kehilangan suami dikehendaki
mengorbankan diri dengan dibakar bersama-sama mayat suami semasa upacara pengebumian.
Apabila Lord William Bentick menggubal undang-undang pehapusan adat ini,penduduk beragama
Hindu marah dan memberontak. Amalan adat Thuggee merupakan aktiviti merompak danpembunuhan
dilakukan oleh kumpulan-kumpulan agama atas nama Dewi Kali. Tindakan Lord William Bentick
mengharamklan amalan ini telah menimbulkan kemarahan golongan agama dan masyarakat India.
Amalan membunuh bayi perempuan untuk mengelak daripada membayar dowri berlaku dalam
masyarakat India turun-temurun, pengharaman adat ini oleh British juga menimbulkan kemarahan
masyarakat India. Pengenalan akta kahwin semula balu-balu oleh Lord William Bentick juga dianggap
sebagai satu penghinaan kepada masyarakat India. Tuntasnya, tindakan British campur tangan dalam
adat resam masyarakat tempatan melahirkan sikap anti-British yang mencetuskan peristiwa Dahagi.

2. Pengenalan Sistem Pendidikan Barat

Tindakan British memperkenalkan perubahan dalam sistem pendidikan turut menimbulkan rasa
tidak puas hati dalam kalangan masyarakat terhadap penjajah. British menjadikan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar di sekolah dan kolej. Malah bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi dalam
bidang pentadbiran serta kehakiman. Jawatan-jawatan penting dalam kerajaan diberikan kepada
penduduk tempatan yang berpendidikan Inggeris. Perubahan ini tidak disenangi oleh penduduk
tempatan kerana jawatan tinggi dalam kerajaan dan tentera tidak diberikan kepada penduduk
tempatan. Malah perubahan yang diperkenalkan oleh British dalam bidang pendidikan dianggap
sebagai percubaan British untuk menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat India.
Justeru, pendidikan Barat yang diperkenalkan oleh British turut memainkan peranan dalam
mencetuskan peristiwa Dahagi.

3. Dasar Pengilhakan

Dasar pengilhakan yang diperkenalkan oleh Lord Dalhousie merancakkan penentangan


penduduk India terhadap penjajahan British. Menerusi dasar ini, Lord Dalhousie telah merampas hak
dan kedaulatan pemerintah tempatan dengan mengilhakan wilayah-wilayah yang ditadbir oleh mereka.
Dasar pengilhakan ini dilaksanakan berpandu kepada tiga alasan iaitu Undang-undangLesap Waris,
Hak menakluk Kuasa Agung dan Salah Tadbir Tempatan. Menerusi dasar ini, Lord Dalhousie
bertindak mengilhakan beberapa wilayah seperti Punjab, Karnatik, Tanjor, Jhansi, Baghat, Jaitpur,
Oudh dan Sambalpur. Dasar ini telah menjejaskan maruah pemerintah tempatan hingga
menyebabkan putera-putera raja tempatan seperti Nana Saheb, Nawan dari Karnatik dan Tanjor
menyertai penentangan terhadap penjajah British. Nana Saheb merupakan anak angkat Baji Rao
(pemerintah wilayah Peshawar) tidak berpuas hati dengan tindakan British membatalkan bayaran
pencen yang patut diberikan kepadanya serta merampas tanah milik ayahnya. Manakala Nawab
menentang Tindakan British meletakkan wilayah Oudh di bawah pentadbiran mereka atas alas an
keadaan huru-hara di Oudh dan amalan rasuah berleluasa dalam kalangan pemerintah Oudh.
Tegasnya, dasar pengilhakan membangkitkan kemarahan pemerintah tempatan dan meyebabkan
tercetus peristiwa Dahagi.

4. Perasaan Dendam Sepoi-sepoi India

Faktor serta-merta yang menyebabkan Dahagi India tercetus ialah perasaan tidak puas hati
dalam kalangan sepoi-sepoi India. British telah melantik sepoi-sepoi daripada kalangan kaum Brah-
min dan Rajput yang terdiri daripada golongan kasta tinggi di wilayah Oudh. Tindakan British
menghantar sepoi-sepoi India ke luar negara menimbulkan kemarahan kerana Tindakan tersebut
mencemarkan imej dan maruah mereka yang berkasta tinggi. Malah terdapat kepercayaan dalam
kalangan penganut agama Hindu bahawa kesucian mereka kana hilang apabila mereka menyeberangi
lautan. Perkembangan ini menyebabkan sepoi-sepoi India dari Rejimen 47 yang diarahkan untuk
berkhidmat di Myanmar enggan mematuhi arahan hingga menyebabkan rejimen tersebut terpaksa
dibubarkan. Jelas ternyata perasaan dendam sepoi-sepoi India terhadap Britishturut memainkan
peranan penting mencetuskan peristiwa Dahagi.

5. Akta Pengambilan Khidmat Awam

Semasa pentadbiran Lord Canning, Akta Pengambilan Khidmat Awam yang memberi kuasa
kepada British untk menghantar tentera berkhidmat di dalam dan luar negara diperkenalkan. Akta ini
tidak disokong oleh tentera India kerana mereka tidak diberikan elaun tambahan untuk berkhidmat di
luar negara. Selain itu tentera India juga menentang amalan diskriminasi yang diamalkan oleh
pentadbiran Brtitish dalam soal kenaikan pangkat dan jawatan dalam tentera. Tentera India diberi gaji
yang lebih rendah dan mendapat layanan yang kurang baik daripada pentadbiran British.Tuntasnya,
perkembangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sepoi India terhadap
pemerintahan British.

6. Isu Senapang Royal Enfield

Kemarahan terhadap pentadbiran British memuncak apabila sepoi-sepoi India mendapat tahu
bahawa minyak yang digunakan untuk membersihkan senapang rifel Royal Enfield mengandungi lemak
babi dan lemak lembu. Selain itu, tersebar berita bahawa sepoi-sepoi India yang menggunakan
senapang tersebut perlu menggigit hujung peluru yang telah disapu dengan lemak babi dan lemak
lembu. Perkembangan ini menyebabkan sepoi-sepoi yang beragama Hindu dan Islam merasakan
bahawa pentadbiran British sengaja melakukan hal-hal yang demikian untuk menghina kedua-dua
agama yang menjadi anutan penduduk tempatan. Tegasnya, isu senapang riffle Royal Enfield
membangkitkan kemarahan sepoi-sepoi India yang bertindak melancarkan serangan terhadap British
dan mencetuskan peristiwa Dahagi.

7. Pengenalan Peraturan Baru

Penentangan terhadap pemerintahan British juga disebabkan oleh pengenalan dasar dan
peraturan baharu oleh British. Salah satu peraturan yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk
terhadap pemerintahan British ialah akta Penjajahan Punjab 1907. Menerusi akta ini, kerajaan British
bertindak meninggikan cukai tanah dan mengenakan bayaran bagi bekalan air yang disalurkan
ke kawasan pertanian. Tindakan ini telah menambahkan beban golongan petani dan mereka terpaksa
menanggung hutang serta hidup dalam keadaan miskin. Selain itu, pihak pemerintah British juga tidak
menggalakkan penghasilan barangan oleh penduduk tempatan. Sebaliknya mereka menggalakkan
kegiatan mengimport barangan dari negara luar. Perkembangan ini telah menjejaskan pendapatan
penduduk tempatan yang terlibat dalam sektor pertukangan dan kemahiran tangan. Sementara itu,
penduduk tempatan di wilayah-wilayah yang ditawan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris telah
kehilangan tanah pusaka mereka. Tanah milik penduduk tempatan dirampas oleh pemerintah British
ekoran daripada kegagalan mereka untuk membuktikan hak milik tanah secarasah. Tuntasnya
pengenalan peraturan oleh pihak British menambah beban dan kesengsaraan hidup menyebabkan
rakyat India melancarkan Dahagi.

Kesimpulan

Selepas menumpaskan Dahagi, British melakukan rombakan dalam sistem pentadbiran


di India. British membubarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan meletakkan pentadbiran India
di bawah pentadbiran Mahkota British. Peristiwa ini juga menyebabkan pemerintahan Moghul di India
berakhir apabila Maharaja Bahadur Shah ditangkap dan dibuang negeri ke Myanmar.
Huraikan kesan Perang Dunia Pertama (1914-1918) dalam bidang politik.

Pendahuluan

Perang Dunia Pertama bermula apabila Jerman melancarkan serangan terhadap Belgium pada
4 Ogos 1914. Perang yang berlangsung selama empat tahun berakhir apabila Jerman dan sekutunya
ditewaskan oleh Pihak Berikat. Perang ini melibatkan Perikatan Kuasa Tengah yang terdiri daripada
Jerman, Austria-Hungary dan Italy dengan Pakatan Bertiga yang diwakili oleh Rusia, Perancis dan
Britain. Perang ini ditamatkan menerusi beberapa siri perjanjian melibatkan pihak yang menang dengan
pihak yang kalah. Sehubungan dengan ini, Perjanjian Versailles yang dimeterai antara Jerman dengan
pihak yang menang telah meninggalkan kesan yang amat mendalam. Pada amnya, perang ini telah
meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam sistem politik dunia.

Isi-Isi Penting

1. Keruntuhan Pemerintahan Monarki

Perang Dunia Pertama telah melenyapkan pemerintahan monarki di benua Eropah. Perang ini
telah menyebabkan sistem pemerintahan beraja di Jerman, Rusia dan Turki berakhir. Pada tahun
1925,Sultan Empayar Turki Uthmaniyah turun daripada takhta ekoran kekalahan Turki dalam Perang
Dunia Pertama. Perkembangan ini menyebabkan Empayar Turki Uthmaniyah yang meliputi Poland,
Bulgaria, Czechoslovakia dan Finland berakhir. Perang ini menyebabkan sistem pemerintahan beraja
berakhir di Jerman apabila Kaiser William II, raja Jerman dibuang negeri ke Belanda. Pemerintahan
beraja berakhir di Rusia apabila tercetus revolusi Rusia pada tahun 1917. Jelas ternyata Perang Dunia
Pertama merupakan faktor utama keruntuhan sistem pemerintahan monarki di Eropah.

2. Kebangkitan Demokrasi

Selepas tamat perang, kerajaan monarki berakhir dan diganti dengan kerajaan bercorak
demokrasi di benua Eropah. Peperangan ini menyaksikan kemuculan kerajaan republikdi
Rusia,Turki,Czechoslovakia, Jerman, Austria, Poland, Lithuania,Latvia dan Estonia. Kerajaan republik
diasaskan di bawah pimpinan Mustafa Kamal Ataturk di Turki pada tahun 1923 selepas kerajaan Turki
Uthmaniyah tumbang. Di Jerman, sebuah kerajaan republik didirikan apabila bekas maharaja empayar
Jerman dibuang negeri. Austria menjadi sebuah republik apabila pemerintahan Habsburg dihapuskan.
Revolusi Rusia telah menumbangkan kerajaan beraja dan muncul kerajaan komunis yang pertama di
bawah pimpinan Vladimir Lenin. Tegasnya, Perang Dunia Pertama telah menggantikan sistem
pemerintahan monarki dengan pemerintahan demokrasi menerusi penubuhan kerajaan republik.
Tegasnya, Perang Dunia Pertama telah menggantikan sistem pemerintahan monarki kepada
pemerintahan demokrasi menerusi penubuhan kerajaan republik.

3. Kemunculan Negara Baru

Perjanjian Versailles(1919) telah mengubah peta Eropah dan menyaksikan kemunculan


negara-negara baharu. Negara-negara baharu yang ditubuhkan daripada empayar Rusia ialah Poland,
Finland, Estonia, Latvia dan Lithuania. Perpecahan Empayar Turki Uthmaniyah menyebabkan muncul
negara baharu seperti Lebanon, Syria dan Iraq. Keruntuhan Empayar Austria-Hungary menyebabkan
lahir negara-negara seperti Austria, Hungary, Czechoslovakia dan Yugoslavia. Ternyata, perang ini
menyaksikan keruntuhan empayar-empayar agung dan lahir beberapa negara baru di dunia.

4. Penubuhan Liga Bangsa

Kesan amat signifikan ekoran tercetus Perang Dunia Pertama ialah penubuhan Liga Bangsa.
Badan antarabangsa ini ditubuhkan ekoran persetujuan yang dicapai dalam Perjanjian Versailes pada
tahun 1919. Tujuan Penubuhan Liga Bangsa adalah memastikan syarat-syarat Perjajian Damai Paris
dipatuhi. Pada masa yang sama bertujuan mengekalkan keamanan dunia. Masalah-masalah negara-
negara diselesaikan melalui mesyuarat.Tuntasnya, Perang Dunia Pertama mendorong pemimpin dunia
mengasaskan Liga Bangsa bagi menyelesaikan polemik antara negara.
5. Jerman Kehilangan Wilayah

Perjanjian Versailes (1919) telah menyebabkan Jerman kehilangan wilayah dan jajahan
takluknya. Wilayah Alsace dan Lorraine telah diserah kepada Perancis, manakala Euphen dan
Malmedy diserahkan kepada Belgium.Wilayah-wilayah Memel, Lithuania dan Barat Prusia diserahkan
kepada negara Poland yang baharu diwujudkan. Wilayah Lembah Saar diserahkan kepada Perancis
sebagai pampasan perang. Wilayah ini berada di bawah pentadbiran Liga Bangsa bagi tempoh 15
tahun. Jerman juga dikehendaki mengiktiraf kemerdekaan Belgium, Poland dan Czechoslovakia.
Pelabuhan Dunzig dijadikan wilayah merdeka di bawah penguasaan Liga Bangsa, Jerman juga
kehilangan sebahagian besar tanah jajahan di Afrika dan Rantau Pasifik kepada British, Perancis dan
Jepun. Wilayah Shantung dan Kiachow(China) diserahkan kepada Perancis manakala Cameroon dan
Togoland diserahkan kepada Britain dan Perancis. Jerman juga dikehendaki menyerahkan hak
istimewanya terhadap China, Thailand, Mesir, Morocco dan Liberia. Tegasnya, kekalahan Jerman
dalam Perang Dunia Pertama merupakan punca Jerman kehilangan wilayahnya.

6. Kekuatan Jerman Dilumpuhkan

Menerusi Perjanjian Versailles, asas ketenteraan Jerman dihapuskan sama sekali. Antara
peruntukan utama dalam perjanjian ini adalah perlucutan senjata terhadap Jerman. Staf angkatan
bersenjata yang menjadi nadi organisasi ketenteraan Jerman dimansuhkan.Jerman dikehendaki
menghadkan jumlah tenteranya kepada 100,000 orang tentera sahaja. Keputusan dibuat dalam
Perjanjian Versailles untuk menghapuskan pangkalan tentera laut di Heligoland dan Dune. Jerman juga
dilarang membeli senjata-senjata perang,meriam besar dan kereta kebal. Jerman juga dilarang
menempatkan tenteranya di wilayah Rhineland yang terletak berhampiran dengan Perancis.
Tuntasnya, syarat-syarat Perjanjian Versailles(1919) telah melumpuhkan kekuatan tentera Jerman dan
menjadikan negara tersebut lemah.

7. Kebangkitan Nasionalisme

Perang Dunia Pertama juga telah melahirkan sentimen kebangsaan dalam kalangan negara-
negara bangsa. Konsep nasionalisme menjadi teras kepada pembentukan negara bangsa.
Pengumuman Presiden Woodrow Wilson mengenai hak menentukan nasib sendiri telah mempengaruhi
gerakan nasionalisme di India dan Asia Tenggara. Umpama Persatuan Pemuda-pemuda Buddha di
Myanmar mula bersifat politik menjelang tahun 1916. Jelaslah kebangkitan nasionalisme dan
pembetukan negara bangsa menjadi aspirasi negara-negara yang dijajah berusaha menuntut
kemerdekaan menerusi konsep dekolonisasi dan mencapai kemerdekaan menjadi sebuah negara yang
bebas dan berdaulat.

8. Perkembangan Semangat Antarabangsa

Perang Dunia Pertama meletakkan asas bagi kemunculan semangat antarabangsa dalam
kalangan bangsa Eropah dan di seluruh dunia. Kesengsaraan dan kemusnahan yang berlaku ekoran
daripada Perang Dunia Pertama telah memberi kesedaran tentang kepentingan kerjasama antara
negara bagi memulihkan keamanan dan keharmonian sejagat. Kesedaran ini meletakkan asas bagi
Persidangan Damai Paris yang diadakan di Paris pada 18 Januari 1919. Tegasnya, peperangan telah
menyedarkan masyarakat dunia betapa peperangan dan permusuhan merugikan, semua pihak
berusaha mencari jalan perdamaian dan membina hidup yang lebih bererti dan selesa.

Kesimpulan

Perjajian Versailles yang ditandatangani bagi menamatkan Perang Dunia Pertama meninggalkan
kesan dalam bidang politik. Selain merubah sistem politik dunia, perang ini menyebabkan Jerman
kehilangan sebahagian besar wilayah dan jajahan. Perang ini melumpuhkan kekuatan tentera negara
Jerman dan kedaulatan negara tersebut tercabar. Perkembangan ini meletakkan asas kepada
perletusan Perang Dunia Kedua.

You might also like