You are on page 1of 2

EKS UCAPAN PERASMIAN

YANG BERHORMAT EN CHONG CHIN LIANG,


ADUN BUKIT BATU
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN
KALI KE-22 TAHUN 2012

Yang Dihormati, Datin Hasmah Binti Md Sem Pegawai PPD Daerah Kulaijaya;

Yang Dihormati, Encik Samsol Kamal Bin Mat Nasir, YDP Persatuan Ibu Bapa dan
Guru SMK Kulai Besar;

Yang Dihormati, Puan Tan Moi Yan, Pengetua SMK Kulai Besar;
Yang Berusaha, Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, AHli
Jawatankuasa PIBG, guru-guru, tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang dikasihi
sekalian.

Salam sejahtera, Salam perpaduan dan Salam Satu Malaysia


Saya amat gembira pada hari ini kerana dapat meluangkan masa bersama-sama warga
sekolah ini pada Majlis Perasmian Kejohanan Padang dan Balapan SMK Kulai Besar
kali Ke-22, 2012

Sidang hadirin yang berbahagia.


Bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang
cergas fizikal dan mental. Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada
pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan juga
mampu membentuk seorang murid yang cergas, patuh dengan aturan dan secara tidak
langsung membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab,
berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.

Hadirin yang dihormati,


Dasar 1 Murid 1 Sukan merupakan satu langkah yang tepat untuk mencapai matlamat
tersebut. Dasar yang mewajibkan setiap murid yang sihat mengikuti sekurang-
kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah bukan sahaja mampu mengembalikan
kemeriahan sukan di sekolah dan merapatkan silaturrahim warga sekolah dan
masyarakat setempat, malahan, pendekatan ini akan menjadi pemangkin ke arah
kejayaan yang lebih cemerlang.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu
acara, perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara
tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai
melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan. Tidak ada
kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan.
Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-
menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi. Matlamat akhirnya nanti adalah
untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik
dan saling berkasih sayang.

Kegiatan sukan yang berterusan akan menjadi satu daripada benteng yang menjadi
penghalang kepada murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak
sihat. Melalui latihan persiapan mental dan spiritual, seseorang atlet itu dilatih agar
mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi. Kita harus sedar bahawa melalui
kegiatan sukan, kita mampu membangun modal insan yang berkualiti dan insan yang
memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa
hadapan .Melalui kegiatan sukan bukan sahaja akan melahirkan pelajar yang sihat
fizikalnya tetapi pelajar yang memiliki cergas mindanya.

Hadirin yang dikasihi

Aktiviti sukan juga berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan
masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia
hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan
perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni.
Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi
amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti
bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK
Pengelola kerana telah dapat menganjurkan Kejohanan Olahraga SMK Kulai Besar kali
yang ke-22 dengan jayanya. Kepada para atlet yang mengambil bahagian dan meraih
pingat kejohanan selepas ini, saya ucapkan tahniah dan kepada yang tidak berjaya
janganlah berputus asa, kerana penyertaan anda sudah pun menunjukkan bahawa
anda telah mencipta kerjaya

SAYA DENGAN INI MERASMIKAN KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN SMK


KULAI BESAR KALI KE -22 .
Sekian, terima kasih.

You might also like