You are on page 1of 53

Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan

dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah
diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna. Jata Negara menunjukkan
bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang
terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama
anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia.
Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah,
Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan
pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada
Negeri-negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya di bahagian
tengah yang berwarna merah, hitam, putih dan kuning itu, warna-warna hitam dan putih
mewakili warna Pahang; merah dan kuning mewakili warna Selangor; hitam, putih dan kuning
mewakili warna Perak; dan merah, hitam dan kuning mewakili warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini adalah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga
merupakan lambang bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Tiga bahagian di sebelah bawah itu
menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya
ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah
Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning
pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Tahukah Anda?

- Kutu boleh melompat 130 kali ganda lebih tinggi daripada ketinggiannya sendiri. Jika manusia
mempunyai kemampuan sedemikian, ini bermakna seorang dengan ketinggian 1.54 meter boleh
melompat sehingga 240 meter.

- Haiwan paling bahaya di muka bumi ini adalah lalat rumah kerana kegemarannya hinggap pada
najis dan menyebarkan penyakit berbahaya kepada manusia dan haiwan lain.

- Ular adalah haiwan karnivor (makan daging) sebenar kerana mereka tidak makan apa-apa selain
daripada binatang.

- Amfibia terbesar di dunia adalah salamander gergasi (katak gergasi) yang boleh membesar
sehingga 1.5 meter anjang.

- Paus biru boleh menghasilkan bunyi yang kuat sehingga 188 desibel. Ini adalah bunyi paling kuat
pernah dihasilkan oleh haiwan dan boleh dikesan sejauh 852.9 kilometer.
- Katak panah yang ditemui di Amerika Selatan dan Tengah adalah haiwan paling berbisa di muka
bumi.

- Dinasor Stegosaurus berukuran 9.1 meter panjang tetapi saiz otaknya hanya sebesar buah
badam.

- Sel otak mempunyai jangka hayat paling panjang, ia hidup selagi tubuh manusia masih bernafas.

- Sel paling panjang dalam tubuh manusia adalah saraf motor. Ia boleh menjangkau 1.37 meter
panjang dari saraf tunjang hingga ke tumit.

- Tulang paling kecil dalam tubuh manusia adalah tulang yang terletak di telinga tengah
berukurang 0.28 sentimeter panjang.

- Seekor penyu kebiasaannya boleh hidup lebih daripada 100 tahun.

- Belalai gajah tidak mempunyai tulang tetapi mempunyai 40,000 otot.

- Cicada (sejenis lalat di Afrika) menghabiskan 17 tahun masa hidupnya untuk tidur dan hanya
dua minggu ia akan bangun untuk mengawan dan kemudiannya mati.

- Sekiranya kulit anda direntangkan, ia boleh meliputi kawasan seluas 18 kaki persegi (5.48 meter
persegi).

- Zirafah mempunyai tulang yang sama banyak dilehernya seperti seorang lelaki dewasa.

- Gelombang lautan boleh bergerak selaju pesawat jet.

- Lukisan helikopter yang pertama pernah ditemui berusia kira-kira 50 tahun.

- Rama-rama memanaskan badannya sehingga mensapai 27.22 darjah selsius sebelum ia boleh
terbang.

- Seekor ikan pausboleh berenang selama tiga bulan tanpa makan.

- Secara purata, manusia minum air sebanyak 16 tan sepanjang kehidupannya.

- Walaupun Gunung Everest dengan ketinggian 29,028 kaki (8,848 meter) adalah gunung tertinggi
di dunia, Mauna Kea, sebuah gunung berapi aktif di Hawaii sebenarnya lebih tinggi. Hanya 13,796
kaki (4,205.02 meter) bahagian Gunung Mauna Kea berada di atas paras laut, sebaliknya
ketinggian sebenarnya adalah 33,465 kaki (10,200.1 meter) jika diukur dari dasar laut ke puncak.

- Terdapat kira-kira 500 buah gunung berapi aktif di bumi. Ini merupakan bilangan yang berada di
atas permukaan bumi tetapi banyak lagi yang terdapat di bawah laut yang tidak dapat dilihat.
49 Bangunan Bersejarah Di
Malaysia Yang Menarik | Jom
Pulang Ke Masa Lampau
August 16, 2018 0 By MELAKATOUR
Rate this post

Malaysia, walaupun kecil jika dilihat pada peta dunia, kekayaan


negara ini dalam aspek yang lain tidak boleh dibilang dengan jari.
Salah satunya adalah kewujudan tempat-tempat bersejarah untuk
diteroka bagi yang ingin kembali ke masa lampau dan lari dari dunia
moden buat seketika.
Di dalam artikel ini kami telah senaraikan 50 buah bangunan
bersejarah di Malaysia yang cukup menarik untuk dilawati dan
diselami kisahnya. Senarai ini telah dibahagikan mengikut negeri.
Teruskan membaca.

Kuala Lumpur
49. Bangunan Sultan Abdul Samad

Sumber: Mad Mughal Memes


Bangunan Sultan Abdul Samad adalah ibarat ‘icing on the
cake’ untuk bandaraya Kuala Lumpur. Bangunan ini tersergam
indah di hadapan Dataran Merdeka, anda boleh bersantai untuk
menikmati pemandangannya yang lebih-lebih lagi memukau jiwa
pada waktu malam sambil menikmati angin bandar.
Dibina pada abad yang ke-19 iaitu pada tahun 1893, bangunan ini
memiliki reka bentuk Moghul dan Moorish dengan pengaruh Islam
berdasarkan 3 buah kubah yang terdapat padanya.
Pada awalnya bangunan ini dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan,
namun, pada tahun 1948, setelah Persekutuan Tanah Melayu
terbentuk, Bangunan Sultan Abdul Samad dinamakan sebagai
Sekretariat Persekutuan.
Pada tahun 1974 pula, pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Selangor
telah dipindahkan ke
Shah Alam, dan sejak dari itu, bangunan ini telah diberikan nama
yang baru bersempena dengan nama Sultan Selangor yang
memerintah dari tahun 1857 ke 1898, Sultan Abdul Samad.
Alamat: Jalan Raja, City Centre, 50050 Kuala Lumpur

48. Masjid Jamek Kuala Lumpur

Similar: MK Premier Travel Tours


Siapa sangka di KL ini masih ada lagi sesuatu yang telah berusia
lebih daripada seabad dalam keadaan pembangunan yang rancak ni
kan? Inilah usia Masjid Jamek Kuala Lumpur yang dibina pada tahun
1907, menjadikan ia sebuah masjid yang tertua di KL.
Seni binanya adalah berdasarkan reka bentuk Moghul daripada
utara India. Ianya telah direka bentuk oleh seorang pembantu
arkitek, Arthur Benison Hubbock.
Setelah menikmati ketenangan berada di sekitar masjid, anda boleh
melawat banyak lagi tarikan lain di sekitar contohnya China Town,
Jalan Tar dan Little India yang semuanya boleh dilawati dengan
hanya berjalan kaki dari sini.
Alamat: Jalan Tun Perak, City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur

47. Muzium Telekom

Sumber: Koh Seok Ann


Berjalan-jalan di KL tiba-tiba anda terlihat sebuah bangunan yang
tak ubah macam di luar negara, cukup unik reka bentuknya. Untuk
pengetahuan anda, muzium ini memiliki 2 rupa yang berbeza.
Macam mana tu? Bahagian bangunan yang menghadap Jalan Gereja
memiliki pengaruh seni bina Roman dengan 8 buah tiang yang
tinggi. Manakala bahagian bangunan yang menghadap Jalan Raja
Chulan pula memiliki gaya Eropah.
Muzium Telekom ataupun Muzium Telekomunikasi Negara adalah
lokasi di mana anda sekeluarga dapat melihat perkembangan dunia
telekomunikasi Malaysia dari tahun 1870-an sehinggalah ke dunia
moden.
Jangan tak tahu, orang zaman dulu tak guna wayar atau satelit
untuk berhubung, tapi menggunakan peralatan seperti buluh, kayu
yang dipanggil ketok-ketok dan sebagainya. Di muzium ini, anda
dapat melihat bagaimana sistem kod Morse wujud di Tanah Melayu
yang bermula daripada sambungan kabel ke Hindia Timur Belanda
yang kemudiannya berkembang ke London dari Melaka dan Pulau
Pinang.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Cuti Umum Tutup
Bayaran Masuk: RM5
Alamat: Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur

46. Muzium Diraja Negara

Sumber: Eve Jess


Terletak di Jalan Istana, Muzium Diraja Negara telah berdiri di sini
sejak dari tahun 1928 lagi. Bangunan yang bersejarah ini pada
asalnya merupakan rumah agam milik seorang jutawan Cina, Chan
Wing. Bangunan muzium ini telah direka bentuk oleh sebuah firma
seni bina Swan MacLaren yang terkenal dari Singapura.
Muzium yang dahulunya sebuah rumah kediaman ini memiliki
keluasan 11.34 hektar. Rumah dengan gaya seni bina Palladian ini
pada ketika itu merupakan rumah agam dengan saiz yang tidak
dapat ditandingi oleh rumah lain di sekitar Tanah Melayu.
Bangunan ini kemudiannya telah diubahsuai dengan penambahan
bilangan bilik daripada 13 kepada 20 buah, balai mengadap, dapur
untuk memuatkan 100 orang, satu dewan santapan, empat bilik
tetamu dan dua balai kemasukan.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM2 | Warga Emas
RM3
Alamat: Jalan Istana, Kuala Lumpur

Baca: 32 Destinasi Menarik Di Kuala Lumpur

Selangor
45. Istana Bandar (Alaeddin)

Sumber: Istana Bandar


Dibina pada penghujung abad ke-19 dan siap pada tahun 1905,
Istana Bandar (Alaeddin) adalah sebuah peninggalan antik yang
memiliki seni binaan yang unik. Sewaktu pembinaan istana, tukang-
tukang Cina yang mahir turut terlibat dimana mereka menghasilkan
ragam hiasan serta ukiran dengan pengaruh Cina sendiri. Secara
keseluruhannya, istana ini memiliki pengaruh Islam dari Timur
Tengah dan juga India.
Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat keindahan lanskapnya
yang dipercantikkan dengan kehadiran kolam-kolam di hadapan
istana.
Untuk pengetahuan anda, istana ini pernah menjadi tempat
bersemayam Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan permaisuri
baginda sehingga baginda mangkat pada 1889. Bangunan ini
kemudiannya menjadi tempat pertabalan sultan Selangor ke-7.
Selepas kemerdekaan, iaitu pada tahun 1957, istana ini telah tidak
digunakan lagi kerana pusat pemerintahan mula dipindahkan ke KL.
Alamat: Kampung Sungai Ingat, 42700 Banting

44. Rumah Banglo (Hatter’s Castle) – Ladang


Pulau Carey

Sumber: selangor.gov.my
Kalau anda Google Hatter’s Castle ini, anda akan terlihat senarai
list yang tak ada kaitan dengan istana di Pulau Carey ni, tapi adalah
senarai tentang filem klasik British tahun 1940-an yang
diadaptasikan daripada novel hasil penulisan A.J. Cronin. Rumah
banglo di Pulau Carey ini pula, dinamakan dengan nama yang sama
mungkin kerana ini novel kegemaran pemiliknya.
Rumah indah ini memiliki reka bentuk Britain dan Perancis yang
diilhamkan oleh pengasas Pulau Carey iaitu Edward Valentine Carey
pada tahun 1923. Jurutera yang terlibat dalam pembinaannya
didatangkan dari Denmark iaitu C.L Gjorup.
Keadaan di sekitar rumah ini sungguh tenang dan penuh dengan
kehijauan, tidak jauh dari rumah ini terdapat sebatang pokok
ketapang dan pokok ara yang sangat besar. Walaupun sudah
berdekad lamanya, rumah ini masih dalam keadaan yang baik
kerana dijaga oleh pemilik ladang, Golden Hope Plantation.
Alamat: Sime Darby West Estate, Heritage Island, Pulau Carey,
42960

43. Masjid Bandar

Sumber: Victor Loo


Masjid Bandar yang klasik ini telah dibina sebaik selesainya
pembinaan Istana Bandar (Alaeddin) iaitu pada tahun 1905. Jarak
antara masjid ini dengan istana hanyalah dalam 200 meter. Masjid
yang dirasmikan pada 18 Jun 1924 ini pernah menjadi Masjid Negeri
di Selangor. Untuk pengetahuan anda, masjid ini mampu
menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.
Mengenai reka bentuknya, Masjid Bandar memiliki reka bentuk yang
diinspirasikan dari seni bina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera
Utara serta campuran antara seni bina Islam di Timur Tengah dan
India.
Alamat: Jalan Istana Kampung Bandar, 42700 Jugra, Selangor

42. Kota Raja Mahadi

Sumber: Kamarul Effendi Arifin


Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota
Raja Mahadi ini telah dibina oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman
ketika kemuncaknya peperangan Klang iaitu pada tahun 1866.
Peperangan Klang berlaku akibat perebutan kuasa untuk
memerintah daerah Klang antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah.
Kubu yang terletak di Bukit Kota ini tidak lagi digunakan sebaik dua
buah peperangan saudara berakhir.
Alamat: 60, Jalan Raya Barat, Kawasan 1, 41100 Klang

41. Bangunan Sultan Suleiman Shah


Sumber: Peter CB Yap
Bangunan Sultan Suleiman Shah adalah sebuah bangunan warisan
kebangsaan yang dibina pada tahun 1909 dengan reka bentuk
kolonial, dibina oleh arkitek bernama A.B. Hubback.
Pada asalnya, bangunan ini digunakan oleh British dan kemudiannya
bertukar tangan dengan pihak Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.
Selepas peperangan berakhir, bangunan ini telah digunakan oleh
beberapa pihak berkuasa tempatan sehinggalah ianya dijadikan
sebagai Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz pada tahun 2005.
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00am – 5.00pm) | Isnin Cuti Umum
Tutup
Alamat: Bangunan Sultan Suleiman, 41000 Klang, Selangor Darul
Ehsan

Baca: 37 Destinasi Menarik Di Selangor Untuk Sesisi Keluarga

Perak
40. Galeri Sultan Azlan Shah
Sumber: Mohd Fairul Hatim
Galeri Sultan Azlan Shah bertempat di dalam sebuah istana lama
yang dinamai Istana Ulu atau nama-nama lainnya Istana Kota,
Istana Cempaka Sari dan Istana Cinta Berahi, banyaknya nama
untuk satu istanakan?
Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan segalanya selesai pada
tahun 1903. Bahan-bahan untuk membuat istana ini didatangkan
daripada negara-negara seperti India, Itali, Perancis dan dari Tanah
Melayu sendiri. Sewaktu pembinaannya, bahan-bahan binaan dari
luar negara telah didatangkan dengan menggunakan kapal-kapal
dagangan yang menggunakan Sungai Perak, manakala bahan
tempatan pula diangkut menggunakan gajah. Bayangkanlah
suasana ketika itu. Pasti meriahkan?
Di dalam Galeri Sultan Azlan Shah ini anda dapat melihat pameran
pelbagai barangan peninggalan Sultan Perak yang termasuklah
pemberian-pemberian daripada luar negara, foto-foto salasilah
kerabat Diraja dan banyak lagi.
Alamat: Galeri Sultan Azlan Shah, 33000 Kuala Kangsar, Perak

39. Kellie’s Castle


Sumber: Nova Octavani
Beraura misteri, Kellie’s Castle adalah sebuah bangunan bersejarah
yang dibina oleh seorang pengusaha ladang dari Scotland, William
Kellie Smith pada tahun 1915 untuk dijadikan sebagai lambang
cinta kepada isterinya serta untuk mengembalikan kenangan
kepada rumah yang jauh di Scotland.
Namun, sedihnya, pembinaan istana ini terpaksa dihentikan secara
serta-merta kerana Kellie telah mati secara mengejut pada tahun
1926. Walaupun tidak 100% siap, istana ini dikatakan memiliki
banyak ruang rahsia yang termasuklah terowong-terowong bawah
tanah.
Alamat: Kellie’s Castle, 31000 Batu Gajah

38. Masjid Ubudiah

Sumber: AERIAL SKY STUDIO


Kalau anda nak tahu, Masjid Ubudiah ini juga dikatakan sebagai
salah satu masjid yang terindah di Malaysia. Datang dulu ke sini,
baru anda tahu betapa cantiknya masjid ini. Asalnya, masjid ini
telah dibangunkan kerana nazar Sultan Idris Murshidul Adzam Shah
I, Sultan Perak ke-28 yang menjalankan pemerintahan dari 1887 ke
1916.
Masjid yang didirikan di Bukit Chandan ini mula dibina pada tahun
1913 dengan kos sebanyak RM220,000 (pada ketika itu) dengan
bantuan seorang arkitek, A.B. Hubback dan kerja pelaksanaan pula
oleh ketua jurutera negeri Perak, Caufield.
Dapat dilihat masjid ini memiliki pengaruh seni bina Islam-India
serta bentuk segi lapan yang unik.
Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar

37. Kompleks Sejarah Pasir Salak

Sumber: Khair Azhar


Kalau anda suka melihat suasana rumah yang klasik, anda boleh
melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak. Antara tarikan yang boleh
dilihat di sekitar kompleks ini adalah dua buah Rumah Kutai iaitu
rumah tradisi Perak, monumen J.W.W. Birch, meriam Lela Rentaka,
kubu Datuk Maharaja Lela dan kubur Sipuntum.
Mengikut sejarah, kawasan ini adalah tempat dimana residen
Inggeris pada ketika itu, J.W.W. Birch mati dibunuh oleh orang
Perak, dan disebabkan ini, Sultan Perak telah dibuang jauh ke Pulau
Seychelles.
Alamat: Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kampung Gajah, Perak

36. Muzium Perak

Sumber: Muzium Perak Taiping Rasmi


Terletak di Taiping, Muzium Perak ini merupakan sebuah muzium
yang tertua di Malaysia. Muzium dengan reka bentuk neo-klasikal
Inggeris ini telah dibina pada tahun 1883 oleh residen-residen
Inggeris yang berada di Perak pada ketika itu.
Antara barangan yang terdapat di sini adalah artifak-artifak
peninggalan Melayu di Perak, namun yang paling banyak terdapat di
sini adalah koleksi-koleksi botani dan zoologi yang melibatkan
spesimen-spesimen haiwan bersaiz kecil hinggalah kepada gajah.
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-kanak RM1
Alamat: Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak

Baca: 72 Tarikan Pelancong Paling Popular Di Perak

Melaka
35. Kota A Famosa

Sumber: Vinnity Malaysia


Memang banyak bangunan bersejarah di Malaysia tetapi Kota A
Famosa boleh dikatakan yang selalu menjadi sebutan ramai. Kota A
Famosa adalah sebuah kota yang telah dibina pada tahun 1511
menggunakan buruh-buruh paksaan sewaktu dibawah taklukan
Portugis.
Namun begitu, kini, bukan keseluruhan kota ini dalam keadaan yang
sempurna, kerana satu-satunya struktur yang masih dalam bentuk
asal hanyalah pintu gerbang kota ini iaitu Pintu Gerbang Santiago.
Dikatakan bahawa pintu gerbang ini adalah struktur Eropah yang
tertua di rantau Asia.
Bangunan yang telah pun berusia lebih daripada 500 tahun ini masih
teguh berdiri kerana menggunakan antara jenis batuan yang paling
kukuh iaitu Batu Lada ataupun Batu Letrik yang agak sukar untuk
dicari.
Waktu Operasi: Sepanjang Hari
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Jalan Parameswara, Bandar Hilir, 78000 Alor Gajah, Melaka
34. Baba Nyonya Heritage Museum

Sumber: Asia-Europe Museum Network


Nak tahu lebih banyak tentang komuniti yang unik Baba Nyonya?
Jangan lepaskan peluang untuk melawat Baba Nyonya Heritage
Museum sekiranya ke Melaka. Muzium ini pada asalnya merupakan
tempat tinggal bagi keluarga Cina, iaitu keluarga Chan yang datang
untuk berniaga dari tahun 1865 ke 1919.
Pada tahun 1985 pula ia mula dibuka sebagai muzium yang
diuruskan sendiri oleh generasi ke-4 keluarga ini. Dipamerkan di
dalamnya adalah perabot-perabot asal yang dipelihara dengan baik,
yang masing-masing memiliki ciri Baba Nyonya yang sangat cantik
untuk diamati.
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 5.00pm) | Jumaat, Sabtu
Ahad (10.00am – 6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM15 | Kanak-kanak (5 – 12 Tahun) RM10
Alamat: 48-50, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka

33. The Stadthuys


Sumber: Mohammed Ishmael
The Stadthuys adalah antara tarikan di Melaka yang tak patut anda
lupa untuk singgahi sebab kat sinilah anda dapat bergambar dengan
menarik bukan sahaja oleh kerana reka bentuk dan warna bangunan
ini, tapi juga disebabkan oleh barisan beca yang penuh warna-warni
dan berbunga-bunga yang beratur panjang di dinding luar bangunan.
Dibina pada tahun 1650, The Stadthuys pada asalnya adalah
penempatan rasmi untuk Gabenor Belanda. Jangan terkejut,
sebenarnya ketika zaman Belanda, bangunan ini berwarna putih,
namun pada tahun 1911, iaitu sewaktu zaman penjajahan British,
bangunan ini telah dicatkan dengan warna merah seperti yang
dilihat sekarang.
Alamat: Persimpangan bulatan Jalan Quayside, Admiral Street, dan
Jalan Chan Koon Cheng, Bandar Hilir Melaka

32. Independence Monument Museum


(Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan)
Sumber: Uwe Aranas / CC BY 3.0
Bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan pada asalnya
digunakan sebagai tempat orang-orang atasan dan pegawai
kerajaan bersosial, namun selepas kemerdekaan, ianya dibuka
kepada orang ramai sebelum dijadikan bangunan memorial pada
tahun 1985.
Bangunan yang dibina pada tahun 1911 ini kini menjadi tempat
penyimpanan pelbagai dokumen-dokumen, artifak, majalah, keratan
akhbar dan lain-lain lagi yang penting kepada negara dari zaman
Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957.
Alamat: Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Jalan
Parameswara, Melaka, Bandar Hilir, 75000

Baca: 32 Destinasi Menarik Di Melaka

Negeri Sembilan
31. Istana Lama Seri Menanti
Sumber: Negeri Sembilan – Negeri Beradat
Pernah tak anda tertanya-tanya, apa maksud ‘Seri Menanti’ tu
sebenarnya? Untuk pengetahuan anda, Seri Menanti adalah nama 3
batang padi yang tumbuh di kawasan sekitar yang dinamakan
sebagai Padi Menanti ataupun ‘semangat padi yang menanti’. ‘Seri’
pula bermaksud ‘padi’ di dalam bahasa Jawa. Baru tahu kan?
Istana Lama Seri Menanti ini adalah sebuah istana 4 tingkat yang
dibina untuk menggantikan Istana Pulih yang telah terbakar
sewaktu Perang Bukit Putus. Istana ini telah direka oleh dua orang
tukang iaitu Taib dan Kahar dengan arahan Yang di-Pertuan Besar
yang mahu istana ini dibina dengan reka bentuk alam Minangkabau.
Yang menariknya, istana indah ini telah dibina tanpa menggunakan
walaupun satu batang paku besi! Macam mana tu? Untuk
menyambung dari satu bahagian dengan bahagian yang lain, mereka
menggunakan sambungan kayu yang dinamakan pasak.
Alamat: Istana Lama Seri Menanti, Seri Menanti, Kuala Pilah

30. Rumah Putih


Sumber: orangnogori.com
Rumah Putih adalah sebuah bangunan bersejarah yang dibina pada
tahun 1912 oleh B.P. Habbach. Bahan asas yang digunakan dalam
pembinaan bangunan berwarna putih ini adalah batu-bata yang
kemudiannya dikemaskan dengan simen.
Bangunan dengan reka bentuk British ini, pada awalnya digunakan
sebagai pusat pentadbiran British sebelum dijadikan sebagai
pejabat kerajaan negeri yang kini telah pun dipindahkan ke
bangunan baru.
Sekiranya anda ke sini, anda juga dapat melihat tugu peringatan
yang berdiri di hadapannya. Di samping itu, di dalam kawasan yang
sama juga, iaitu di hadapan bangunan ini, adalah kawasan di mana
Hari Memperingati Pahlawan diadakan setiap tahun.
Alamat: Berhampiran Wisma Negeri

29. Masjid Jamek di Jalan Dato’ Bandar


Tunggal
Sumber: Masjid Jamek Bandar Seremban
Masjid Jamek yang terletak di Jalan Dato’ Bandar Tunggal
merupakan sebuah masjid dengan reka bentuk unik yang tertua di
Negeri Sembilan. Masjid yang dibina pada tahun 1924 ini berdiri di
atas tanah yang telah diwakafkan oleh Dato Bandar Haji Ahmad Ali
dan keluarga Sheikh Abdul Kadir yang merupakan pendakwah Islam
yang terkenal pada zaman itu.
Jika dilihat dengan terperinci, reka bentuk Masjid Jamek ini
kelihatan agak sama dengan yang terdapat di negeri Melaka.
Alamat: Jalan Dato Bandar Tunggal, Bandar Seremban, Seremban

28. Istana Lama Ampang Tinggi


Sumber: orangnogori.com
Istana Lama Ampang Tinggi merupakan istana yang siap dibina
pada tahun 1865. Sebaik pembinaannya selesai, istana ini diduduki
oleh Yamtuan Ulin sebelum dihadiahkan kepada puteri baginda,
Tunku Cindai yang berkahwin dengan Tunku Muda Chik.
Selepas itu, istana ini diturunkan pula kepada anaknya yang
bernama Tunku Halijah. Bermula daripada itu, rumah ini dijadikan
tempat tinggal keluarga Tunku Muda Chik dari masa ke masa dan
diabaikan sepenuhnya bermula dari tahun 1930.
Pada tahun 1953, bangunan lama ini telah dibuka dan diangkut ke
Seremban untuk dibina semula dan siap setahun kemudian. Pada
tahun 1980 pula, istana ini sekali lagi dipindahkan untuk dibawa ke
dalam Kompleks Budaya Negeri Sembilan iaitu di dalam tapak
Muzium Negeri Sembilan. Kini, anda boleh masuk ke dalamnya
untuk melihat pelbagai barangan antik dan khazanah Negeri
Sembilan.
Alamat: Kompleks JKKN Negeri Sembilan, Sungai Ujong, Negeri
Sembilan, 70200 Seremban

Baca: 35 Tempat Menarik Di Negeri Sembilan


Johor
27. Muzium Diraja Abu Bakar

Sumber: Muzium diraja Sultan Abu Bakar


Muzium Diraja Abu Bakar terletak di dalam sebuah bangunan yang
dahulunya adalah Istana Besar Johor. Istana yang siap dibina pada
tahun 1866 ini telah dibina dengan pengaruh reka bentuk
Resaissance di bawah seliaan arkitek Eropah. Perabot-perabot yang
terdapat di dalam istana ini telah ditempah oleh Almarhum Sultan
Abu Bakar dari negara England.
Bangunan ini kemudiannya telah dibaikpulih untuk dijadikan muzium
pada tahun 1982. Di dalam muzium ini anda dapat melihat pameran
barangan yang diperbuat daripada perak, cenderahati dan barang-
barang kemas. Di samping itu, turut dapat dilihat adalah foto-foto
keluarga Diraja sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar.
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 5.00pm)
Alamat: Grand Palace, 80500 Johor Bahru, Johor

26. Bangunan Sultan Ibrahim


Sumber: Fxchua / CC By 4.0
Bangunan Sultan Ibrahim yang terletak di atas Bukit Timbalan ini
adalah lokasi dimana terletaknya jabatan-jabatan Kerajaan Negeri
Johor. Mula dibina pada tahun 1938, bangunan dengan ketinggian
11 tingkat ini siap sepenuhnya pada tahun 1942 dengan
perbelanjaan sebanyak RM2 juta.
Reka bentuk bangunan ini agak unik dengan gabungan seni bina
Kolonial, Islam dan Melayu Johor. Di hadapan istana ini terdapat
lukisan 8 bintang yang menjadi simbol kepada 8 buah daerah yang
terdapat di dalam negeri Johor. Pada bahagian pintu masuknya
pula terdapat ukiran dengan motif flora yang termasuklah lada
hitam serta bunga cengkih yang merupakan hasil utama Johor.
Alamat: Jalan Abdullah Ibrahim, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor
Bahru

25. Stesen Keretapi Lama Johor Bahru


Sumber: Tim Tan
Stesen Keretapi Lama Johor Bahru pada suatu ketika dulu pernah
menjadi stesen yang penting menghubungkan Johor Bahru dengan
kawasan bandar yang lain. Bangunan yang dirasmikan pada tahun
1932 ini memiliki reka bentuk barat yang cukup unik.
Namun begitu, bangunan ini telah ditutup pada tahun 2010 setelah
stesen keretapi terbaru siap dibina bersebelahan dengan stesen ini.
Alamat: Jalan Tun Abdul Razak, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor
Bahru, Johor

24. Masjid Sultan Abu Bakar


Sumber: My Kampong Kampong
Berada di Jalan Skudai, Johor Bahru, masjid yang mula dibina pada
tahun 1892 dan siap pada tahun 1900 ini telah direka bentuk oleh
arkitek Melayu, Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak yang
mendapatkan inspirasi daripada bangunan-bangunan zaman Victoria
Inggeris memandangkan Sultan Johor pada ketika itu, Sultan
Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar agak cenderung kepada budaya dan
gaya Inggeris.
Masjid ini juga telah dibina dengan sedikit sentuhan elemen Melayu
dan Moorish. Masjid yang dinamakan sempena nama ayahanda
kepada Sultan Ibrahim, Sultan Abu Bakar ini dapat memuatkan
dalam 2000 jemaah pada satu-satu masa.
Alamat: Jalan Abu Bakar, 80100, Johor Bahru, Johor

23. Galeri Seni Johor


Sumber: Chongkian / CC By 4.0
Bagi pencinta seni, lawatan ke Galeri Seni Johor pasti dapat
menjadi satu highlight yang terindah anda ketika di Johor. Di
samping pameran lukisan yang menarik untuk dilihat, reka bentuk
bangunan ini sendiri dapat membuatkan jiwa seni anda bahagia.
Bangunan yang terletak di Jalan Petrie ini telah dibina pada tahun
1910 dan digunakan sebagai kediaman Dato’ Abdullah Jaafar yang
merupakan Menteri Besar Johor ketiga. Bangunan ini kemudiannya
dijadikan sebagai markas tentera Jepun dan seterusnya dibiarkan
terabai dalam waktu yang lama.
Selepas itu, bangunan ini digunakan oleh Jabatan Pendidikan
sebelum dipilih untuk menjadi lokasi Galeri Seni Johor kerana seni
binanya yang sangat mengujakan.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.00am – 4.30pm)
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: JKR 144, Jalan Petrie, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru

Baca: 50 Tempat Menarik Di Johor


Pahang
22. Masjid Negeri (Madrasatul Firdaus)

Sumber: Norazam Mamat Nor


Masjid yang comel berwarna terang ini, Masjid Negeri ataupun
Madrasathul Firdaus adalah sebuah bangunan yang tertua yang
terletak di bandar Kuala Lipis. Berapa tua? Bayangkanlah,
bagaimana sebuah masjid yang tidaklah segah bangunan-bangunan
kolonial lain ini mampu berdiri dengan teguh sejak tahun 1888 lagi.
Sangat menakjubkan bukan? Lagi satu sebab kenapa masjid ini
sangat istimewa adalah kerana ia tidak pernah ditenggelami banjir
walaupun ketika banjir besar melanda pada tahun 1971, yang
peliknya, masjid ini terletak di tebing Sungai Jelai. Wow!
Untuk pengetahuan anda, masjid ini telah dibina pada abad ke-19
oleh seorang saudagar Arab dari Yemen yang bernama Habib
Hassan. Jangan lepaskan peluang untuk bersolat di sini ya?
Alamat: Masjid Negeri Lama (Madrasatul Firdaus), Kuala Lipis,
Pahang
21. Bangunan Bekas Suk Pahang

Sumber: Saiful F Ramli


Teringin melihat di mana tempat kelahiran bekas Perdana Menteri
Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak? Inilah lokasinya. Rumah yang
siap dibina pada tahun 1920 ini pernah menjadi tempat tinggal
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, bapa beliau, ketika menjadi
setiausaha Kerajaan Pahang.
Alamat: Terletak di atas Bukit Bius

20. Pahang Club


Sumber: Abdullah Hadi Jr.
Pahang Club adalah sebuah bangunan lama hasil binaan penjajah
British yang terawal dibina di negeri Pahang iaitu pada tahun 1907.
Pada asalnya, ia dibina untuk dijadikan sebagai kediaman
Superintenden Ulu Pahang pada ketika itu iaitu Hugh Clifford,
kemudiannya, mulai tahun 1922 ke 1926 rumah ini menjadi tempat
kediaman Inspektor Polis British.
Bermula daripada pertengahan tahun 1926, bangunan ini dijadikan
sebagai kelab khas untuk pegawai-pegawai tinggi British. Namun
selepas negara mencapai kemerdekaan, ianya dibuka kepada
semua rakyat tempatan. Kini, bangunan ini tidak lagi digunakan.
Alamat: Pahang Club, 27200 Kuala Lipis, Pahang

19. Muzium Sultan Abu Bakar


Sumber: Siang Siang
Dibina pada tahun 1888, bangunan ini telah digunakan sebagai
tempat penginapan residen-residen Inggeris pada tahun 1898.
Struktur asal bangunan ini adalah daripada kayu namun pada tahun
1929, ianya telah digantikan sebagai bangunan batu 2 tingkat.
Ketika waktu pencerobohan Jepun, bangunan ini pernah digunakan
sebagai markas tentera Jepun.
Mulai tahun 1976 pula, ianya telah dijadikan sebagai Muzium Sultan
Abu Bakar. Dalam muzium ini terdapat banyak pameran barangan
bersejarah untuk dilihat seperti barangan tembikar dan kaca antik
daripada China, dan banyak lagi artifak-artifak yang lain.
Alamat: Muzium Negeri Pahang, Jalan Sultan Ahmad, 26600 Pekan

Baca: 20 Destinasi Terbaik Di Kuantan Pahang

Kelantan
18. Masjid Kampung Laut
Sumber: Melayu
Nak lihat masjid yang tersangatlah tua usianya di Malaysia ni?
Datanglah ke Masjid Kampung Laut. Jangan terkejut jika dikatakan
bahawa masjid ini telah berusia sekitar 300 ke 400 tahun kerana
dibina pada tahun 1730. Tua ya amat bukan?
Masjid ini telah dibina oleh para mubaligh yang sewaktu pelayaran
meraka di sepanjang Kepulauan Melayu mengalami nasib yang
malang di mana kapal mereka bocor. Namun begitu, mereka berjaya
mendarat dengan selamat di kawasan pantai yang terdekat. Masjid
ini kemudiannya dibina untuk memperingati peristiwa tersebut.
Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat ciri reka bentuk Jawa
dan teknik binaan klasiknya yang tidak langsung menggunakan
paku. Lokasinya, hanyalah dalam 10 km dari bandar Kota Bharu.
Namanya, Masjid Kampung Laut adalah bersempena dengan nama
lokasi asal masjid ini yang terletak di kawasan Jajahan Tumpat
iaitu Kampung Laut. Kini, ianya terletak di dalam kawasan Pusat
Pengajian Tinggi Islam, Nilam Puri.
Alamat: Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu

17. Istana Balai Besar


Sumber: Muhamad Fadhli Ahmad
Istana Balai Besar ataupun Istana Susmana Besar adalah sebuah
bangunan lama yang telah dibina pada tahun 1840 oleh Sultan
Muhammad II sebagai menggantikan pusat pentadbiran dari Kota
Saba ke Kota Bharu.
Istana ini telah menjadi tempat bersemayam Sultan-sultan Pahang
yang lalu. Sehingga kini, bangunan ini masih kekal digunakan untuk
menjalankan sebarang upacara rasmi negeri.
Alamat: Jalan Tengku Seri Akar, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota
Bharu

16. Istana Jahar (Muzium Diraja Negeri


Kelantan)
Sumber: Istana Jahar
Bangunan yang kelihatan sungguh menarik di pandangan mata
dengan warna hitam dan kuning ini, merupakan pada asalnya dibina
oleh Sultan Muhammad II pada tahun 1887 untuk cucuandanya yang
bernama Long Kundur Bendahara. Pembinaannya disambung oleh
Sultan Ahmad selepas Sultan Muhammad II mangkat.
Pada tahun 1889, Long Kundur telah menjadi Sultan Muhammad III
dan menjadikan Istana Jahar sebagai Balai Besar dan tempat
bersemayam baginda dan Sultan-sultan yang kemudian iaitu Sultan
Muhammad IV dan Sultan Ismail. Bangunan ini kini digunakan
sebagai Muzium Diraja Negeri Kelantan.
Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu

15. Muzium Perang Kelantan (Bank Kerapu)


Sumber: Zafrani Arifin
Dibina pada tahun 1912, sebaik siap dibina, bangunan ini telah
digunakan sebagai bank oleh The Mercatile Bank of India Ltd. Ianya
dipanggil sebagai Bank Kerapu kerana permukaan bangunan ini
yang agak menggerutu disebabkan oleh penggunaan simen berbatu-
batu kecil. Kalau anda nak tahu, bangunan ini merupakan bangunan
batu yang pertama di Kelantan.
Ketika Perang Dunia Ke-2, bangunan ini telah digunakan oleh polis
Jepun sebagai ibu pejabat, penjara, bilik siasatan serta tempat
untuk mendera tahanan perang. Setelah kejatuhan Jepun, ia
digunakan semula sebagai bank sehingga tahun 1981 sebelum
dijadikan Balai Seni Lukis Kraftangan Kelantan.
Mulai tahun 1992, fungsinya telah diubah kepada Muzium Memorial
Perang Dunia Ke-2 yang mempamerkan banyak barangan berkaitan
dengan peperangan yang terdiri daripada artifak, foto dan artikel.
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Kanak-kanak RM1
Alamat: Hilir Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan

Baca: 19 Destinasi Pelancongan Popular Di Kelantan


Terengganu
14. China Town

Sumber: Low Boon Chew


China Town bukan sahaja ada di KL, malahan hampir di seluruh
negeri dan juga di seluruh dunia. Memang hebat penangan
masyarakat Cina ni! Untuk China Town yang terletak di Terengganu
ini, tidak ubah seperti di kawasan China Town yang lain, penuh
dengan warna-warni yang terang.
Berjalan dekat sini, anda dapat melihat deretan-deretan kedai yang
antik, ada juga yang memiliki ukiran yang tersendiri. Ada bangunan
yang dibuat daripada simen dan ada juga yang diperbuat daripada
kayu.
Sebagai info, China Town di Terengganu merupakan tempat
penempatan masyarakat Cina yang datang dari tanah besar China
dalam abad ke-19. Terdapat banyak lorong yang menarik untuk
dilihat di sini dengan tema-tema tertentu seperti Lorong Warisan
Dunia yang menunjukkan info tentang tarikan menarik di dunia,
Lorong Mesra Alam yang dihiasi dengan keindahan flora dan banyak
lagi.
Alamat: Kampung Cina, Jalan Bandar, Kuala Terengganu
13. Kota Lama Duyung

Sumber: Edmund Ssik


Terletak hanyalah 7 km dari bandaraya Kuala Terengganu di Pulau
Duyung, Kota Lama Duyung telah dibina pada tahun 1919 oleh
pegawai kanan Pentadbiran Negeri Terengganu, Dato’ Biji Sura.
Rumah ini digelar sebagai Kota Lama kerana ia turut dikelilingi oleh
tembok batu. Yang menariknya tentang rumah ini, ia merupakan
rumah yang dibina menggunakan batu-bata yang satu-satunya
terdapat di daerah ini pada ketika itu. Reka bentuknya
diinspirasikan daripada seni bina Melayu Terengganu pada zaman
1920-an.
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm) | Jumaat Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Pulau Duyung Kecil, 20100 Kuala Terengganu

12. Masjid Putih


Sumber: orangnogori.com
Masjid Putih ataupun juga dikenali sebagai Masjid Besar dan Masjid
Abidin adalah sebuah masjid yang dibina antara tahun 1783 ke 1808
oleh Sultan Zainal Abidin II. Masjid unik ini pada awal binaannya
langsung tidak menggunakan tiang. Ketika zaman pemerintahan
Sultan Umar, bangunan masjid ini telah digantikan dengan batu
bata.
Kemudiannya ditambah dengan 3 buah kubah dan 3 tiang bulat oleh
Tengku Panglima Besar. Masjid ini telah mengalami banyak
pengubahsuaian sehingga dapat memuatkan dalam 2,500 orang
jemaah pada satu-satu masa.
Alamat: Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu

Baca: 35 Tempat Percutian Menarik Di Kuala Terengganu

Kedah
11. Rumah kelahiran Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad

Sumber: Kedah Darul Aman


Alor Setar Kedah adalah daerah dimana Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah dilahirkan iaitu pada 20
Disember, 1925.
Daripada seorang rakyat biasa yang dibesarkan di dalam rumah
papan yang hanyalah berbumbungkan daun nipah, beliau telah
membesar menjadi seorang doktor dan seterusnya sebagai
pemimpin negara.
Rumah satu bilik ini telah dipulihara oleh Arkib Negara pada tahun
1992.
Waktu Operasi: Selasa – Khamis (10.00am – 5.30pm) | Jumaat
10.00am – 12.00pm 3.00pm – 5.30pm | Isnin Kecuali Cuti Umum Cuti
Sekolah Tutup
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Nombor 18, Lorong Kilang Ais, Jalan Pegawai, Alor Setar,
Kedah
10. Balai Seni

Sumber: Balai Seni Negeri Kedah


Bangunan dengan gabungan reka bentuk barat dan timur ini adalah
hasil rekaan seorang arkitek bernama Muhammad bin Lebai Tambi.
Pembinaannya dimulakan pada 21 Januari 1893 untuk digunakan
sebagai Mahkamah Tinggi yang dirasmikan oleh Sultan Abdul Hamid
Shah.
Bangunan ini kemudiannya bertukar fungsi beberapa kali
sehinggalah pada tahun 1983 dimana ia telah dijadikan sebagai
Balai Seni Negeri yang dirasmikan oleh sultan pada 25 Julai 1983.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Jumaat Tutup
Sementara Pada 12.30pm – 2.30pm
Bayaran Masuk: Percuma
Alamat: Balai Seni Negeri Kedah, Medan Bandar, Jalan Raja, 05100
Alor Setar

9. Masjid Zahir (Zahir Mosque)


Sumber: Mazrullizam Mahadzir
Masjid Zahir (Zahir Mosque) adalah sebuah masjid lama yang dibina
pada tahun 1912. Tapak dimana masjid ini didirikan adalah kawasan
perkuburan pahlawan-pahlawan Kedah yang telah terkorban
sewaktu mempertahankan Kedah daripada serangan Siam pada
tahun 1821.
Setelah pembinaannya siap, masjid ini dirasmikan oleh Sultan Abdul
Hamid Shah pada hari yang mulia iaitu Jumaat, 15 Oktober 1915.
Masjid ini memiliki 5 buah kubah yang besar melambangkan 5 rukun
Islam. Masjid Zahir didirikan di atas tanah yang berkeluasan
124,412 kaki persegi. Dewan solatnya berkeluasan 62 X 62 kaki
persegi dan dikelilingi oleh ruang beranda yang berkelebaran 4 kaki.
Alamat: Jalan Kampung Perak, Bandar Alor Setar, 05150 Alor Setar

8. Istana Pelamin
Sumber: Safuwan Fauzi
Istana Pelamin telah dibina pada tahun 1736 oleh Sultan Muhammad
Jiwa (1710-1778) dan dijadikan sebagai tempat bersemayam Sultan-
sultan yang kemudian di Kedah serta tempat berjalannya pelbagai
majlis Diraja.
Istana ini telah melalui banyak ‘dugaan’ seperti kemusnahan
sewaktu kedatangan Bugis pada tahun 1771 dan diabaikan ketika
dibawah taklukan Siam dari tahun 1821 ke 1842. Namun, pada
tahun 1851, ia telah dibaikpulih oleh Sultan Ahmad Tajuddin
Mukarram Shah dan kembali meriah dengan pelbagai majlis
termasuklah majlis-majlis perkahwinan.
Istana ini dinamakan sebagai Istana Pelamin selepas
berlangsungnya sebuah majlis perkahwinan yang dikatakan paling
meriah pernah diadakan iaitu pada tahun 1904. Mulai tahun 1983,
bangunan ini telah ditukarkan fungsinya sebagai Muzium Diraja
Kedah sehingga kini.
Alamat: Kedah Royal Museum, Bandar Alor Setar, 05000 Alor Setar

Baca: 50 Tempat Menarik Di Kedah

Perlis
7. Muzium Negeri Kangar / Muzium Kota
Kayang (Rumah Tetamu Kangar)

Sumber: Azizi Bin Anas


Muzium Negeri Kangar berdiri di atas tanah berkeluasan 4.84 ekar
yang suatu ketika dahulunya diberikan Raja Syed Alwi kepada adik
lelaki baginda Syed Salim yang menjadi ketua menteri kepada Raja.
Pada sekitar kurun ke-19, Syed Salim telah mendirikan rumahnya di
atas tanah yang luas ini untuk didiami bersama keluarganya
sebelum dijual kepada Kerajaan Negeri selepas Perjanjian Bangkok
ditandatangani.
Bangunan ini telah dijadikan kediaman rasmi Penasihat British yang
pertama, Meadow Frost serta pewarisnya sehinggalah Perang Dunia
Kedua (1941) yang memperlihatkan rumah ini diambil alih oleh
tentera Jepun. Dari tahun 1943 ke 1945 pula ia digunakan oleh
tentera Thai.
Setelah negara mencapai kemerdekaan, bangunan ini dijadikan
sebagai kediaman rasmi Ketua Menteri Perlis. Sedihnya, bangunan
asal di atas tanah ini dirobohkan pada tahun 1991 dan digantikan
dengan replika bangunan yang sama yang berfungsi sebagai Muzium
Negeri.
Alamat: Muzium Kota Kayang, 02000 Kuala Perlis
Baca: 29 Tempat Menarik Di Perlis

Sarawak
6. Kubu Margherita

Sumber: The Brook Gallery


Kalau dilihat reka bentuk Kubu Margherita ni terasa macam
melancong ke negara Eropah. Kubu yang berwarna putih ini telah
siap dibina dengan reka bentuk istana lama Inggeris pada tahun
1879 oleh Sir Charles Brooke dan diberikan nama sempena nama
isterinya, Margaret Brooke.
Terletak di atas bukit, kubu ini menyajikan pemandangan yang
seluas pandangan mata ke semua arah di kawasan sekitarnya. Kubu
ini dibina untuk menjadi lambang kestabilan kerajaan dan
kekuatannya.
Alamat: Fort Margherita, Petra Jaya, 93050 Kuching

5. Kubu Alice
Sumber: Ho Ho Luho Lembang
Satu-satunya peninggalan sejarah yang terdapat di Sri Aman
Sarawak, keseluruhan bajet pembinaan kubu ini telah dibiayai oleh
Charles Brooke. Kubu ini telah dibina dalam hanya 12 bulan dengan
bahan-bahan binaan yang terdiri daripada kayu belian derma.
Dikatakan, peralatan-peralatan binaan kubu ini telah dibawa dari
muara Sungai Skrang.
Sekiranya anda ke sini, anda berpeluang untuk menikmati
pemandangan di sekitar Kubu Alice ini yang cukup indah oleh
kerana lokasinya yang amatlah strategik. Kawasan di sekitar kubu
ini turut dikelilingi dengan meriam yang sering digunakan untuk
menyerang musuh tempatan pada ketika itu.
Alamat: Jalan Kuching/Serian 95000 Pantau, Sri Aman Sarawak,
Jalan Sri Aman, Pekan Sri Aman

4. The Old Courthouse


Sumber: Shk Denny
The Old Courthouse adalah sebuah bangunan bersejarah dibina
pada tahun 1883 oleh Charles Brooke yang boleh di temua
di bandar Kuching. Pada asalnya ianya digunakan sebagai pejabat
kerajaan dan tempat majlis upacara negeri dijalankan.
Di bahagian hadapan bangunan ini, terdapat monumen Charles
Brooke yang berketinggian 6 meter. Pada monumen yang dibina
dalam tahun 1924 ini, terdapat panel dengan 4 angka yang
melambangkan kepelbagaian masyarakat di Sarawak iaitu Melayu,
Kayan, Dayak dan Cina.
Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching
Baca: 23 Destinasi Percutian Menarik Di Sarawak

Sabah
3. Agnes Keith House
Sumber: Agnes Keith House
Siapa sangka rumah kayu yang kelihatan begitu terpancar ciri
tradisional tempatan ini sebenarnya merupakan milik keluarga mat
saleh daripada Amerika, Agnes Keith. Kalau anda gemar membaca
sastera lama, mungkin anda pernah dengar nama ini, kerana Agnes
Keith telah membukukan pengalamannya-pengalamannya sewaktu
menetap di Sabah.
Rumahnya sebelum ini pernah menjadi kuarters kerajaan Inggeris
yang dipanggil sebagai Newlands. Agnes dan keluarganya tinggal di
sini sehingga tahun 1942 dan kembali lagi selepas Perang Dunia Ke-
2. Namun, sekembalinya ke sini, rumah ini dilihat telah musnah
terbakar dek kerana perang. Oleh itu, mereka telah membina rumah
ini sekali lagi dengan reka bentuk yang sama. Mereka tinggal di sini
sehinggalah tahun 1952.
Bangunan ini dibaikpulih 50 tahun kemudian dan dibuka kepada
orang awam mulai tahun 2004. Di dalamnya terdapat perabot-
perabot dengan ciri-ciri kolonial dan barangan antik yang lain.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM2 | Warga Emas Atas 55 Tahun Kanak-
kanak Bawah 12 Tahun Percuma
Alamat: Agnes Keith House, 90000 Sandakan, Sabah

2. Bangunan Pelancongan Sabah (Sabah


Tourism Board/ Jesselton Post Office)

Sumber: Ronnie Rayner Gampaih


Bangunan yang meletakkan pejabat Pelancongan Sabah ini
merupakan bangunan yang tertua di dalam bandaraya Kota
Kinabalu. Sebelum Perang Dunia Ke-2, bangunan ini dikenali
sebagai Jesselton Post Office yang dirasmikan pada tahun 1918
oleh Mr. Pearson.
Alamat: Sabah Tourism Board, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000
Kota Kinabalu

1. Menara Jam Atkinson (Atkinson Clock


Tower)
Sumber: Tuan Jaya Holidays
Menara Jam Atkinson pada asalnya telah dibina untuk
memperingati Pegawai Daerah pertama Jesselton iaitu Francis
George Atkinson yang telah menemui kematian setelah diserang
malaria ketika berusia hanya 28 tahun.
Ibunya, Mary Edith, telah memberikan jam talam dua muka untuk
bangunan ini. Namun begitu, bangunan asal yang telah siap dibina
pada tahun 1905 ini digantikan dengan bangunan yang baru pada
tahun 1964.
Pada asalnya, menara ini dibina dengan hanya menggunakan kayu
Merbau ataupun Mirabau dengan ketinggian 48 kaki. Namun reka
bentuknya telah banyak berubah sebaik diperbaharui.
Alamat: Atkinson Clock Tower, Kota Kinabalu, 88400
Baca: 45 Tempat Menarik Di Sabah Yang Istimewa

Inilah antaranya tarikan-tarikan bangunan klasik yang telah berusia


beratus tahun yang terdapat di negara Malaysia. Siapa sangka
negara sekecil ini memiliki terlalu banyak peninggalan bersejarah
dengan aura misteri dan reka bentuk unik yang sangat menarik
untuk diteroka dan dilihat di depan mata sendiri.
Sebenarnya masih banyak lagi bangunan bersejarah di Malaysia
sehingga boleh dijadikan koleksi buku yang berjilid-jilid jika ingin
disenaraikan kesemuanya.
Diharapkan senarai ini dapat membantu anda dan keluarga
merancang percutian dengan tema ‘kembali ke masa lampau’
pada musim cuti yang akan datang. Selamat bercuti!
https://www.worldheritage.com.my/blog/2018/08/16/49-bangunan-bersejarah-di-malaysia-yang-
menarik-jom-pulang-ke-masa-lampau-4/

You might also like