You are on page 1of 1

KUASA DALAM KEPIMPINAN * (Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed) Kepimpinan amat berkait rapat dengan kuasa.

Pemimpin dianggap mempunyai kuasa selagi orang bawahan mahu. Menurut Mescon et al., kuasa adalah sesuatu yang diberi oleh orang bawahan kepada seseorang pemimpin. Kuasa tersebut boleh dihapuskan, dikurangkan atau ditambah bergantung kepada kemajuan matlamat ahli kumpulan (78). Dari segi konsepnya juga, kuasa melibatkan bagaimana orang melihat perhubungan antara satu sama lain. Kuasa bukannya datang apabila seseorang berada di dalam hiraki tertentu di dalam organisasi. French dan Raven mengenalpasti lima jenis sumber atau asas kuasa iaitu: (1) kuasa ganjaran (rewarding power); (2) kuasa paksaan (coercive power); (3) kuasa sah (legitimate power); (4) kuasa pakar (expert power); dan (5) kuasa rujukan atau petunjuk (referent power) (qtd. dalam Hoe Chee Hee, et. al.151-174). Kuasa ganjaran adalah berasaskan kebolehan yang ada kepada pemimpin untuk memberi ganjaran kepada orang bawahan yang telah melaksanakan arahan atau memenuhi kehendak. Asas utama kuasa ini adalah untuk memberi ganjaran. Sebaliknya kuasa paksaan merupakan aspek negatif kepada kuasa ganjaran kerana kuasa ini berasaskan kebolehan pemimpin untuk mendenda atau menghukum dan mengenakan tindakan tertentu terhadap orang bawahan apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Dendaan mungkin dalam bentuk teguran atau sehinggalah kepada dibuang kerja. Sementara itu, kuasa sah merupakan autoriti formal yang wujud apabila orang bawahan sedia maklum bahawa pemimpin tersebut mempunyai hak secara perundangan. Pemimpin boleh menggunakan pengaruhnya dalam lingkungan perundangannya untuk mengambil sesuatu tindakan. Justeru itu, kuasa sah mempunyai perkaitan yang akrab dengan kedudukan atau jawatan seseorang. Dengan kata lain, pemimpin tersebut mempunyai obligasi untuk menerima kuasa ini. Kuasa pakar pula merujuk kepada kuasa yang berasaskan kepada pemahaman, persepsi atau kepercayaaan bahawa pemimpin mempunyai sesuatu kepakaran yang relevan atau pengetahuan khusus yang tidak dimiliki oleh orang bawahan. Apabila orang bawahan akur dengan apa yang disuruh oleh seorang pemimpin dalam menangani sesuatu situasi, ini bermakna orang bawahan mengiktiraf kuasa pakar yang ada pada pemimpin tersebut. Kuasa rujukan adalah berasaskan kepada kehendak dan kerelaan orang bawahan untuk menyerupai pemimpin. Contohnya, pemimpin yang popular akan mempunyai kuasa rujukan apabila orang bawahan bermotivasi untuk mencontohi tabiat kerja yang baik yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut. Kuasa rujukan juga berfungsi di kalangan rakan sekerja di mana rakan yang berkarisma mungkin mempengaruhi rakan yang lain untuk menerima pandangan mereka. * Sebahagian kerja kursus penulis semasa mengikuti kursus Sarjana Sains Pengurusan Pendidikan di Universiti Utara Malaysia.

You might also like