You are on page 1of 6

Ungku Aziz: Pejuang Melayu tulen

Susunan oleh KEITH JONATHAN

Profesor Diraja Ungku Aziz tokoh akademik terulung. foto THE STAR oleh SAM THAM

PROFESOR Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, pasti akan dikenang sebagai orang yang paling banyak
memperjuangkan nasib orang Melayu.

Walaupun usianya sudah mencecah 87 tahun, tidak pernah terlintas dihatinya untuk berhenti daripada
mengkaji dan mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang melanda orang Melayu terutamanya
masalah kemiskinan.

Oleh sebab itu setiap kali berbicara mengenai masalah pokok orang Melayu, jawapan ringkas yang pasti
akan diberikannya ialah kemiskinan dan baginya jalan keluar daripada terus dibelenggu masalah ini pula
ialah pendidikan.

Nama Ungku Aziz tidak boleh dipisahkan sebagai penggerak utama Dasar Ekonomi Baru (DEB), pengasas
Lembaga Tabung Haji, iaitu salah sebuah oraganisasi yang menguruskan bakal jemaah haji terbaik di
dunia dan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (UM), yang telah melahirkan ribuan jurutera dan pakar
perubatan tempatan.

Selain itu, sumbangan beliau yang lain termasuklah menjadi panel Majlis Perundingan Ekonomi Negara
(MAPEN) II, pencetus idea penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga Angkatan Koperasi
Kebangsaan Berhad (Angkasa).

Sebagai seorang cendekiawan beliau tidak pernah gentar memberikan idea untuk memantapkan sistem
pendidikan, mengkritik pentadbiran kerajaan, dan juga memberi pandangan untuk merubah cara hidup
orang Melayu walaupun kadangkala mengundang kontroversi.

Ringkasnya Ungku Aziz adalah seorang yang mementingkan pembangunan ekonomi luar bandar,
pemantapan sistem pendidikan negara dan juga penubuhan institusi masyarakat.

Beliau telah mencatat sejarah negara apabila menjadi penerima pertama 'Anugerah Melayu Terbilang'
sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Latar Belakang

Naib Canselor Universiti Malaya yang


paling lama berkhidmat iaitu hampir 20
tahun. foto THE STAR oleh Victor K.K.
Ng

Tokoh akademik dan ahli ekonomi yang


disegani ini dilahirkan di London pada
28 Januari 1922, merupakan keturunan
diraja Johor dan mempunyai salasilah
dari keturunan keluarga Turki.

Bapanya Ungku Abdul Hamid bin Ungku


Abdul Majid merupakan seorang
Leftenan dalam pasukan tentera dan
ibunya bernama Hamidah Abdullah.

Beliau merupakan anak saudara kepada pengasas Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar. Ini bermakna
beliau juga adalah sepupu kepada Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn dan bapa
saudara pupu kepada Menteri Dalam Negeri sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau telah berkahwin dengan isterinya, Sharifah Azah Aziz dan telah dikurniakan seorang anak
perempuan iaitu Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang.

Ungku Aziz mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Pahat, kemudian menyambung
pengajiannya di Raffles College.

Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Universit Malaya (UM) dan lulus dengan Ijazah kelas
pertama pada tahun 1951 dalam bidang ekonomi.

Pada 1964, beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Waseda University, Tokyo,
Jepun.

Sewaktu di UM, beliau ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian di London School of Economic (LSE)
tetapi menolaknya kerana lebih berminat memikirkan masalah kemiskinan orang Melayu.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada 1951, kemudian sebagai Pensyarah Ekonomi di
UM, Singapura (dari 1952 sehingga 1961).

Pada tahun 1961 sehingga 1965, beliau telah dilantik sebagai Professor dan Dekan di Fakulti Ekonomi di
UM, Kuala Lumpur.

Kemudian Ungku Aziz dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968 hingga 1988. Beliau
merupakan Naib Canselor UM paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut iaitu kira-kira 20
tahun.
Prof Ungku Aziz ketika menerima anugerah Profesor Diraja daripada Counselor Universiti Malaya.
foto-THE STAR

Beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja pada 17 Jun 1978.

Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed
Putra Jamalullail.

Kemiskinan orang Melayu jadi keutamaan kajian

Beliau mengambil masa selama enam tahun melakukan penyelidikan mengenai kemiskinan orang
Melayu. Bermula di Ulu Tiram, Johor pada tahun 1963 sebelum Kedah dan Perlis.

Kajiannya diteruskan hingga ke Pantai Timur iaitu di Beserah, Pahang. Selepas setahun berulang-alik
dengan seorang pembantu, kajian diteruskan pula di Kemaman, Terengganu dan Kelantan.

Daripada penyelidikan tersebut, beliau mendapati penduduk di Ulu Tiram yang rata-ratanya menoreh
getah bernasib baik jika dapat makan nasi sehari sekali. Selebihnya mereka hanya makan lempeng
sebagai pengalas perut. Keadaan yang sama turut dialami oleh masyarakat di negeri-negeri utara.

Manakala di Pantai Timur, pengalamannya lebih dahsyat apabila wujud kebuluran di Kemaman. Beliau
mendapati, masyarakatnya menangkap ikan untuk dijual dan hasil jualan tersebut digunakan membeli
barang keperluan terutamanya beras.

Menerusi kajian tersebut, lahirlah teori Indeks Sarong yang digunakan beliau sebagai pengukur tahap
kemiskinan di Kelantan dan Terengganu.

Melihat dan memahami gaya hidup masyarakat desa membuatkan beliau sedih dan berfikir bagaimana
mahu melepaskan orang Melayu daripada belenggu kemiskinan.

Caranya ialah menerusi pendidikan. Namun dapatan kajian komuniti itu juga menunjukkan bahawa
faktor pemakanan mempengaruhi saiz tumbesaran penduduk.

Makanan yang tidak seimbang membawa kepada masalah cacing dan anemia dan tentu sahaja
mempengaruhi kecerdasan mereka.
Selain kajian tersebut, Ungku Aziz turut menulis rencana berkaitan sebab-sebab orang Melayu
terjerumus dalam kemiskinan.

Antaranya ialah masalah perpindahan mangsa banjir. Menurut beliau hingga ke hari ini, mangsa banjir
masih lagi melibatkan 95 peratus orang Melayu.

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Menurut Prof Ungku Aziz, beliau sudah membaca lebih daripada 70,000 buah buku sepanjang
hidupnya. foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada
tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussin.

Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah
digubal dalam konteks strategi serampang dua mata.

Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991. Walaupun begitu
elemen-elemen dasar ini masih lagi wujud dan akan diganti secara beransur-ansur apabila bumiputera
sudah mempunyai keyakinan diri.

Ungku Aziz terlibat secara langsung dalam pelaksanaan DEB.

Menurut beliau, generasi pertama era DEB mula diperkenalkan telah mencapai kejayaan. Banyak
pencapaian telah diperolehi terutamanya dalam bidang pendidikan dimana ramai doktor dan jurutera
Melayu telah dilahirkan.

Dalam kajiannya,Ungku Aziz merumuskan orang Melayu masih belum bersedia untuk mengamalkan
meritokrasi kerana jurang kemiskinan penduduk bandar dan luar bandar yang masih lagi begitu ketara.

Beliau dengan tegas mengatakan tujuan utama DEB ialah membasmi kemiskinan di luar bandar dan ia
telah menyimpang jauh apabila peratus pemilikan saham bumiputera yang lebih diutamakan.

Ungku Aziz tidak pernah berganjak daripada pendiriannya mempertahankan DEB kerana baginya ia
adalah satu-satunya cara supaya orang Melayu tidak hilang keyakinan dan dapat terus bersaing.
Tabung Haji

Tabung Haji ialah singkatan bagi 'Lembaga Urusan dan Tabung Haji' (LUTH) Malaysia yang peranan
asalnya menguruskan perjalanan jemaah haji dari Malaysia pergi ke Mekah setiap tahun.

Perbadanan ini wujud hasil penerimaan kertas kerja Ungku Aziz bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi
Bakal-bakal Haji" pada tahun 1959.

Menerusi Tabung Haji, nama Ungku Aziz terkenal diseluruh dunia. Ia merupakan antara organisasi
pengurusan bakal jemaah haji yang paling efisien di dunia.

Melalui Tabung Haji orang Melayu bukan sahaja telah dididik untuk mengumpul wang bagi menunaikan
fardu haji tetapi juga bagi tujuan pelajaran.

Kini hampir setiap satu-satu musim, 30,000 rakyat Malaysia boleh pergi menunaikan haji.

Pusat Asasi Sains, UM

Sumbangan beliau kepada negara tidak ternilai. foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR

Atas kesungguhannya membasmi kemiskinan, Ungku Aziz turut memainkan peranan apabila
mencetuskan idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM.

Asal penubuhannya masih lagi berpegang kepada falsafah membantu golongan miskin. Menurut beliau,
berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, kemasukan pelajar ke fakulti perubatan hanyalah
seramai lima pelajar.

Melalui penubuhan institusi itu, pelajar yang ingin memasuki kursus perubatan, kejuruteraan dan sains
akan dipilih dikalangan anak-anak orang kampung.

Halangan utama pada masa itu ialah mencari tenaga pengajar yang boleh mengajar dalam Bahasa
Melayu kerana kebanyakan anak Melayu yang dipilih berfikir dalam bahasa Melayu.

Hasilnya, selepas tiga hingga empat tahun persiapan, pelajar Melayu tadi telah boleh menyerap istilah
dan berfikir dalam bahasa Melayu.
Kemudian mereka juga mahir dengan istilah-istilah bahasa Inggeris setelah mendalami kedua-dua
bahasa.

Hari ini, graduan Pusat Asasi Sains tersebut telah mencecah tujuh hingga lapan ribu orang. Malah ada
yang telah menjadi pakar dan hampir mencecah usia persaraan.

Anugerah Merdeka

Sebagai mengiktiraf kecemerlangan sumbangan kepada negara, Petronas bersama Exxon Mobil dan
Shell mewujudkan Anugerah Merdeka yang merupakan sebuah anugerah berprestij seperti mana
konsep Hadiah Nobel di peringkat antarabangsa.

Anugerah tersebut merupakan anugerah paling berprestij di Malaysia. Ia diberikan kepada anak
Malaysia yang mampu menghasilkan usaha yang luar biasa dan membentuk kesedaran baru di kalangan
rakyat Malaysia.

Pada 24 November lepas, tokoh unggul, Ungku Aziz, telah dipilih sebagai penerima sulung Anugerah
Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.

Berikut merupakan petikan Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar A. Hamid dalam bukunya bertajuk 'The
University in Pantai Valley: Glimpses of the past'.

"Seorang dari istana berkelakuan seperti orang istana itu perkara biasa. Seorang rakyat biasa
berkelakuan seolah-olah ia orang istana itu luar biasa. Seorang dari istana berkelakuan seperti rakyat
biasa, itulah Profesor Diraja Ungku Aziz".

You might also like