You are on page 1of 5

ULASAN MENGENAI HUBUNGAN ANTARA CIRI PERSONALITI DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK

PEMBANGUNAN SAHSIAH (ULP 1013)

TAJUK JURNAL : HUBUNGAN ANTARA CIRI PERSONALITI DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK

GROUP : A

NAMA PENSYARAH : CIK AMELIA BINTI MOHD NOOR

AHLI KUMPULAN: 1. NG SENG WEI (D20091035105)

2. NUR ELIANA BT MOHMAD NOOR 3. NORHARYAN ERDAYU BT SAHAR 4. SALMIZA BT ZAINAL ABIDIN

(D20091035093) (D20091035078) (D20091035074)

5. NOR AWAATHIF BT MOHD GHAZALI LEE (D20091035070)

HUBUNGAN ANTARA CIRI PERSONALITI DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK

1.0 Rumusan Kajian

Jurnal ini berkisarkan hubungan antara ciri personaliti dengan pencapaian akademik. Kajian ini telah dijalankan oleh Rosini Abu daripada Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor. Kaedah soal selidik telah digunakan sebagai metodologi kajian yang mempunyai hubung kait dengan tajuk kajian iaitu Hubungan Antara Ciri Personaliti Dengan Pencapaian Akademik. Kajian ini dijalankan terhadap 135 orang pelajar daripada pelbagai fakulti dan tahun pengajian di UPM. Responden kajian terdiri daripada pelajar tahun satu hingga tahun akhir yang mewakili enam program pengajian yang berbeza. Kajian hubungan antara ciri personaliti dengan pencapaian akademik dibuat melalui pengumpulan data dengan kaedah soal selidik. Borang soal selidik telah diedarkan kepada pelajar di kolej kediaman UPM. Antara maklumat yang perlu diisi oleh responden adalah program pengajian, fakulti, semester, nilai purata gred kumulatif ( CGPA ), kelayakan kemasukan ke universiti dan keputusan SPM.

Berdasarkan hasil kajian ciri personaliti individu telah dibahagikan kepada tujuh skop utama iaitu motivasi, keyakinan, konsep kendiri, perhubungan dengan orang lain, kebimbangan, fokus dan emosi. Ketujuh-tujuh skop ini merupakan kombinasi yang dapat memastikan sahsiah individu lebih cemerlang dan dalam masa yang sama mampu meningkatkan prestasi akademik para pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat empat skop ciri personaliti utama yang boleh mempengaruhi pencapaian akademik dan sosial yang lebih tinggi kepada pelajar iaitu motivasi yang tinggi, konsep kendiri yang kuat, mempunyai hubungan yang positif dengan rakan dan mempunyai emosi yang stabil. Namun begitu, keyakinan, fokus dan kebimbangan pula akan menyebabkan pencapaian akademik pelajar berkurang.

Apabila seseorang pelajar itu mempunyai motivasi yang tinggi, dia lebih cenderung untuk tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Golongan ini kebiasaannya mempunyai emosi yang terkawal di mana mereka mempunyai keyakinan untuk berhubungan secara ekstrovert dengan orang di sekelilingnya. Oleh itu, mereka lebih mempunyai potensi untuk meningkatkan prestasi akademik. Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang pelajar itu mempunyai kadar kebimbangan yang tinggi akan mengurangkan fokusnya dan keyakinannya untuk berhadapan dengan sesuatu perkara mahupun orang di sekitarnya. Hal ini akan menyebabkan prestasi akademiknya akan jatuh merudum.

2.0 Ulasan Kajian

Pada pandangan kami, dapatan kajian mengenai empat ciri personaliti utama yang menentukan kejayaan yang maksima dalam hidup seorang pelajar adalah benar. Ciri personaliti itu ialah motivasi yang tinggi, konsep kendiri yang kuat, hubungan yang positif dan emosi yang stabil. Kami menyokong kenyataan ini berdasarkan pengalaman kami sendiri sebagai seorang mahasiswa yang lebih banyak berhadapan dengan masalah-masalah seperti menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru, bekerjasama dengan rakan-rakan

sepengajian, sentiasa komited dalam menyempurnakan tugasan yang telah diberikan dan juga mengelakkan diri daripada mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor yang negatif. Dapatan ini disokong oleh beberapa kajian terdahulu (Premuzic and Furnham (2003); Fagan &Squitera, (2002); Ackerman & Heggested (1997).

Namun begitu, terdapat segelintir dapatan kajian yang masih memerlukan perincian yang lebih. Hal ini kerana kajian ini telah dijalankan hanya kepada sebilangan kelompok pelajar yang memiliki latar belakang pendidikan yang berbeza. Setiap individu mempunyai cara yang berlainan begitu juga dengan personaliti mereka. Contohnya, pelajar yang mengambil bidang yang lebih mencabar memerlukan tahap emosi yang tinggi untuk berjaya berbanding dengan pelajar yang mengambil bidang yang kurang mencabar. Berdasarkan pengalaman kami sendiri sebagai pelajar aliran sains, kami perlu mengimbangi ketujuh-tujuh dimensi ini supaya ia tidak memberi impak yang buruk terhadap keputusan kami. Melalui pembacaan kami dalam jurnal ini, hubungan dengan orang lain memang amat penting dalam meningkatkan pencapaian akademik kerana setiap masalah yang kita hadapi memerlukan sokongan daripada pihak yang lain bagi memastikan tekanan dapat dikawal dengan baik tanpa menjejaskan mana-mana pihak yang lain. Skop ini lebih ditekankan kepada kerja berkumpulan yang mana sudah menjadi amalan tradisi dalam sesuatu kursus yang diambil.

3.0 Kesimpulan

Kajian ini membuktikan bahawa ciri personaliti yang dinyatakan di atas mempengaruhi pencapaian akademik dan tingkah laku seseorang pelajar. Ciri-ciri personaliti yang ditekankan dalam jurnal ini adalah motivasi diri yang tinggi, konsep kendiri yang kuat, emosi yang stabil, fokus, kebimbangan yang positif, kemahiran interpersonal dan keyakinan yang tinggi. Kesemua aspek ini memberi implikasi kepada corak kehidupan dan

pembelajaran seorang pelajar. Melalui kajian ini, masalah-masalah yang sering dihadapi oleh pelajar dapat dikenalpasti sekaligus memudahkan tugas guru untuk merangka pendekatan dan aktiviti yang sesuai bagi mengatasi masalah ini. Kajian ini juga boleh dijadikan sebagai satu alternatif bagi seorang guru untuk mengubah tekni pengajaran dan pembelajaran seiring dengan kesesuaian pelajarnya supaya pencapaian akademik dan tingkah laku pelajar dapat dipertingkatkan.

You might also like