You are on page 1of 3

Pernyataan Masalah

Amalan sikap saintifik dalam mata pelajaran sains adalah penting untuk memupuk minat terhadap sains bagi melahirkan pelajar yang berliterasi sains seperti tingkah laku yang diamalkan oleh seorang ahli sains.

Kekurangan mengamalkan sikap saintifik di kalangan pelajar dalam mata pelajaran sains telah banyak mempengaruhi pembentukan sikap pelajar terhadap sains dan pemilihan pekerjaan yang berkaitan dalam bidang sains. Pandangan ini telah disokong oleh kajian Emelia L White dan Timothy G Harison (2012). Kajian mereka mengesahkan bahawa pelajar sekolah rendah menunjukkan penerokaan saintifik yang tinggi terhadap sains tetapi amalan sikap saintifik yang positif ini telah menurun secara signifikan di peringkat sekolah menengah. Fenomena ini menyebabkan pelajar kurang berminat memilih kerjaya dalam bidang sains.

Kebanyakan pelajar tidak mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang luas dalam kerjaya sains. Mereka bertanggapan bahawa kerjaya sains hanya mempunyai dua pilihan, iaitu jawatan doktor dan jurutera. Oleh itu, persepsi mereka terhadap mata pelajaran sains adalah susah difahami, sangat kompleks, rumit dan berasa takut semasa mempelajari sains.

Seterusnya, masalah yang dikenalpasti adalah penurunan minat pelajar terhadap sains yang menyumbang kepada penurunan kadar penceburan pelajar dalam alam pekerjaan sains. Razila dipetik dari Zanato I-ij. Iksan, Lilia Halim & Kamisah Osman (2006) turut menyokong bahawa penurunan minat pelajar terhadap sains bukan sahaja disebabkan oleh mata pelajaran itu sendirilah yang membosankan dan terlalu abstrak, tetapi juga bertanggapan bahawa kerjaya sains tidak membawa kepada pendapatan yang lumayan.

Di samping itu, pelajar kurang memilih kursus yang berkaitan dengan sains dalam institusi pengajian tinggi turut menjadi satu isu yang membimbangkan. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Sri Mohamed Khaled Nordin, peratusan pelajar mengambil jurusan sains terus menurun sehingga 29% pada tahun 2012. Beliau menyatakan memerosotan itu berterusan ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain sukar dan membosankan. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar telah memilih kursus yang tidak berkaitan dengan sains. Justeru, bidang pekerjaan yang diceburi oleh pelajar juga tidak berkaitan dengan sains.

Bukan itu sahaja, kadar penceburan pekerjaan dalam bidang sains kurang seimbang dari segi jantina. Berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2011, 47.7% graduan 2011 peringkat ijazah pertama memilih bidang kerjaya berkaitan sastera dan sains sosial, diikuti dengan bidang teknik yang merangkumi 20.4% dan akhir sekali peratusan dalam bidang sains hanya 17.6%. Dalam laporan tersebut, graduan perempuan mewakili 69.8% dalam bidang sains manakala graduan lelaki hanya mewakili 30.2%.

Mengikut keputusan daripada kajian Muhammad Anwer, Hafiz Muhammad Iqbal dan Christine Harison (2012), pelajar perempuan mempunyai tahap amalan sikap saintifik yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar lelaki. Perbezaan jantina terhadap amalan sikap saintifik menunjukkan perempuan mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi dalam pemilihan kerjaya dalam bidang sains. Mengikut analisis yang telah dibuat oleh Elwy Juliana Ismail (2005), terdapat perbezaan yang signifikan dalam sikap terhadap sains antara jantina pelajar. Keputusan beliau telah menunjukkan pelajar perempuan mempunyai sikap yang positif terhadap sains berbanding pelajar lelaki.

Objektif-objektif yang digariskan dalam kurikulum yang ditetapkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (BPK) dalam mata pelajaran sains belum dapat dicapai sepenuhnya dan aktiviti amali dalam makmal sains kurang menimbulkan minat pelajar. Ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menguasai kemahiran saintifik, kemahiran

berfikir dan sikap saintifik. Dengan kata lain, tanpa amalan sikap saintifik, pengajaran dan pembelajaran hanya sekadar untuk melengkapi sukatan pelajaran sahaja. Pandangan ini disokong oleh tokoh pendidikan, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim (2012) yang menyatakan bahawa budaya menghafal tanpa memahami apa yang dipelajari, dipercayai menjadi punca pelajar kurang berminat untuk mengikuti jurusan sains sehingga ke peringkat tinggi.

Demi membantu usaha meningkatkan amalan sikap saintifik pelajar dalam sains dan pemilihan kerjaya dalam bidang sains, kajian ini direka bentuk sedemikian untuk mengukur dan menyediakan maklumat tentang sejauh manakah sikap saintifik pelajar dapat mempengaruhi pemilihan kerjaya dalam bidang sains.

You might also like