You are on page 1of 14

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Secara umumnya, institusi pendidikan khususnya sekolah merupakan institusi yang


memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia khususnya kepada golongan muda di
Malaysia. Sekolah berfungsi memberikan nilai tambah kepada masyarakat sebagai tempat
mencurahkan ilmu dan melahirkan modal insan yang berkualiti dari pelbagai aspek.

Walau bagaimanapun, apa yang dihasratkan menerusi Falsafah Pendidikan


Kebangsaan (FPK) mungkin tidak dapat dicapai disebabkan wujudnya isu ketidakhadiran
pelajar ke sekolah yang telah menjadi isu besar pendidikan. Masalah ketidakhadiran pelajar
ke sekolah atau lebih kenali sebagai ponteng sekolah ini membelenggu semua institusi
pendidikan tanpa mengira peringkat samada sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat
Institusi Pengajian Tinggi.

Ketidakhadiran atau ponteng sekolah merupakan istilah yang seringkali digunakan


dalam sistem pendidikan negara yang mana merujuk kepada kegagalan menghadirkan diri ke
kelas di sekolah tanpa sebarang alasan yang munasabah. Istilah ponteng sekolah
diaplikasikan atau digunapakai bagi kes ketidakhadiran pelajar yang berpunca atas keinginan
dan kemahuan seseorang pelajar itu sendiri dan bukan untuk kes-kes yang ‘dimaafkan’
seperti sakit, kemalangan, kematian dan sebagainya (Mat Nor, Hamzah dan Junus, 2012).

Tujuan kajian ini dilakukan adalah mengenalpasti faktor sebenar yang mempengaruhi
masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah. Bukan itu sahaja, kajian ini dilakukan bertujuan
untuk mengetahui adakah masalah ini mampu mempengaruhi tahap pencapaian akademik
pelajar seterusnya mencari cadangan penyelesaian dalam usaha menangani isu ketidakhadiran
yang semakin membimbangkan ini.

1
1.2 PENYATAAN MASALAH

Pencapaian akademik pelajar memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju
sebenar pelajar. Namun begitu, beberapa isu melanda institusi pendidikan seperti masalah
ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang mana ianya menjadi persoalan masyarakat terhadap
tahap pencapaian akademik pelajar. Takrifan ketidakhadiran atau ponteng itu sendiri yang
terdiri daripada pelbagai kategori menyebabkan masyarakat keliru tentang permasalahan
yang berlaku sehingga ada yang membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja.

Mesir, Yatim, Aziz, Jamal dan Abideen (2006) menyatakan bahawa kecemerlangan
pencapaian akademik merupakan kriteria yang menunjukkan kecemerlangan pelajar di
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mahupun di sekolah. Walau bagaimanapun, tidak mudah
untuk mencapai kecemerlangan tersebut kerana terdapat pelbagai faktor yang
mempengaruhinya. Kenyataan ini disokong oleh Yahya dan Omar (2010) menerusi Harun,
Omar dan Zakaria (2011) yang menyatakan bahawa masalah-masalah persekitaran
merupakan masalah paling dominan yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.

Hashim, Chan, Yahaya dan Boon (2005) menyatakan bahawa gaya pengajaran guru
dapat dikaitkan atau dihubungkan dengan tingkah laku negatif pelajar. Hal ini dikatakan
demikian kerana sikap guru yang tidak membuat persediaan untuk mengajar menyebabkan
timbul rasa bosan dan tidak berminat untuk belajar pelajar.

Kartikawati (2010) menyatakan sikap merupakan satu cara seseorang memberi reaksi
terhadap rangsangan yang ada dan ianya merupakan petunjuk kecenderungan yang
ditampilkan oleh seseorang apabila berada atau berhadapan dengan sesuatu perkara atau
situasi. Kenyataan ini disokong oleh Pios (2012) yang menyatakan terdapat beberapa faktor
yang menyebabkan pelajar tidak hadir ke sekolah yang mana faktor yang paling utamanya
adalah sikap pelajar itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar seringkali
mengutarakan alasan malas, mengantuk, gemar tidur siang dan penat untuk tidak hadir ke
sekolah.

Sikap keluarga yang tidak bersungguh-sungguh memaksa anak-anak mereka


menghadirkan diri ke sekolah turut menjadi faktor penyebab terhadap ketidakhadiran pelajar
ke sekolah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak dan mengikut kata-kata mereka secara
keterlaluan sehinggakan tidak pernah memaksa dan memarahi mereka jika mereka enggan

2
hadir ke sekolah. Keadaan ini tetap berlaku walaupun kebanyakan ibu bapa atau pihak
keluarga mengetahui akan kewajipan menghadirkan diri ke sekolah (Pios, 2012).

1.3 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian adalah untuk mendapatkan maklumat tentang masalah ketidakhadiran pelajar
di sebuah sekolah terpilih. Secara ringkasnya, kajian ini dilakukan bertujuan:

i. Mengenalpasti faktor sikap pelajar terhadap masalah ketidakhadiran pelajar ke


sekolah.
ii. Mengenalpasti pengaruh sikap keluarga terhadap masalah ketidakhadiran pelajar ke
sekolah.
iii. Mengenalpasti gaya pengajaran guru terhadap masalah ketidakhadiran pelajar ke
sekolah.
iv. Mengenalpasti pengaruh masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah terhadap tahap
pencapaian akademik pelajar.
v. Mencadangkan langkah penyelesaian yang boleh diambil dalam menangani masalah
ketidakhadiran pelajar ke sekolah.

1.4 PERSOALAN KAJIAN

Kajian ini cuba menjawab dan merungkai persoalan-persoalan seperti berikut:

i. Sejauhmanakah faktor sikap pelajar terhadap masalah ketidakhadiran pelajar ke


sekolah?
ii. Sejauhmanakah pengaruh sikap keluarga terhadap masalah ketidakhadiran pelajar ke
sekolah?
iii. Sejauhmanakah gaya pengajaran guru menjadi punca kepada masalah ketidakhadiran
pelajar ke sekolah?
iv. Adakah masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah mempengaruhi tahap pencapaian
akademik pelajar?
v. Apakah langkah penyelesaian yang boleh diambil dalam menangani masalah
ketidakhadiran pelajar ke sekolah?

3
1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah dipilih oleh pengkaji untuk dikaji kerana kajian ini
dilihat mempunyai kaitan yang cukup dekat dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) iaitu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Hal ini merumuskan matlamat sebenar pendidikan adalah membentuk modal
insan yang unggul seiring dengan pembangunan negara. Menyedari perihal yang sedemikian,
pentingnya usaha menyelesaikan masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang masalah ini
dilihat sebagai titik tunjang dalam memastikan apa yang dihasratkan FPK mampu
direalisasikan. Oleh yang demikian, dapatan kajian ini dilihat dapat membantu pihak
pengurusan sekolah dalam mengenalpasti faktor utama masalah ketidakhadiran pelajar ke
sekolah seterusnya melaksanakan langkah atau tindakan penyelesaian bagi menangani
masalah tersebut yang dilihat semakin serius.

1.6 BATASAN KAJIAN

Batasan kajian ini adalah hanya memfokuskan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan
Sultan Ahmad, Kuala Terengganu. Sekolah tersebut dipilih sebagai kawasan kajian oleh
pengkaji kerana sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah yang telah dikenalpasti
mengalami masalah ketidakhadiran pelajar yang serius. Melalui kajian yang dijalankan,
pengkaji memperuntukkan 132 sampel kajian yang mana peruntukkan tersebut mengambil
kira jumlah kelompok pelajar yang disasarkan iaitu meliputi pelajar tingkatan dua. Tempoh
kajian yang dilakukan hanyalah sekitar tiga bulan iaitu semasa pengkaji menjalani latihan
mengajar di sekolah terbabit.

1.7 DEFINISI ISTILAH

Ketidakhadiran atau ponteng didefinisikan sebagai tingkahlaku tidak hadir ke sekolah tanpa
alasan yang munasabah oleh seseorang pelajar sama ada tanpa pengetahuan atau dengan
pengetahuan keluarga. (Mansor, Ahmad Shah dan Hassan, 2005). Menurut Rasidah Omar
(2005) menerusi Hashim, Chan, Yahaya dan Boon (2005) pula, ponteng sekolah merupakan
ketidakhadiran pelajar ke sekolah tanpa alasan dan masa yang sepatutnya diisi dengan
menuntut ilmu dihabiskan dengan melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat. Dalam kajian
ini, ponteng sekolah merupakan sebagai tidak hadir ke sekolah tanpa alasan munasabah dan

4
tanpa kenyataan bertulis melebihi 20 hari bagi ketidakhadiran pelajar secara berkala dari
Januari sehingga November.

1.8 ORGANISASI PROSOPAL

Secara umumnya, kajian ini terdiri daripada tiga bab. Bab satu iaitu bab pendahuluan yang
merangkumi pernyataan masalah kajian, objektif kajian, persoalan kajian, kepentingan kajian
dan sebagainya. Dalam bab dua pula menyentuh tentang tinjauan literatur atau sorotan kajian
lepas yang akan diperincikan di dalam bab ini manakala metodologi kajian yang akan
digunakan pengkaji dalam melaksanakan penyelidikan pula akan dibincangkan dalam bab
tiga.

5
BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.1 PENGENALAN

Bab dua akan membincangkan tentang tinjauan literatur atau kajian lepas yang menyokong
kepada kajian penyelidikan yang dilaksanakan oleh pengkaji. Menerusinya akan dihuraikan
beberapa bahagian subtopik kecil seperti membincangkan definisi ketidakhadiran pelajar ke
sekolah, kepentingan kehadiran pelajar ke sekolah. Selain itu, bab ini turut menerangkan
pemboleh ubah yang digunakan oleh pengkaji dalam kajian yang dijalankan seperti sikap
pelajar, sikap keluarga, gaya pengajaran guru dan tahap pencapaian akademik pelajar.
Seterusnya, bab ini turut menyentuh tentang kerangka konsep kajian yang dijalankan.

2.2 PENGENALAN

Umumnya, ketidakhadiran pelajar ke sekolah boleh diertikan sebagai ponteng sekolah yang
mana isu ini merupakan isu yang telah lama wujud dan telah sebati dalam sistem pendidikan
negara. Ponteng sekolah merupakan perbuatan pelajar untuk tidak hadir ke sekolah tanpa
sebarang alasan yang munasabah dan berada di luar pengetahuan serta dalam pengetahuan
ibu bapa atau penjaga (Hashim et al., 2005).

Menurut Tin Len Siong dan Muhammad Sidek Said (2007) menerusi Mohd. Nawawi,
Mohd, Md. Saad, Baharuddin dan Ismail (2017) menyatakan bahawa isu ponteng sekolah di
kalangan pelajar sekolah menengah merupakan isu yang tidak pernah ada kesudahannya yang
mana ianya seringkali dikaitkan dengan faktor ibu bapa, pengajaran guru, interaksi guru
dengan murid yang kurang akrab, pengurusan bilik darjah yang kurang kondusif, pengaruh
negatif persekitaran serta komposisi pelajar yang begitu ramai dalam sesebuah bilik darjah.

Mansor et al (2005) pula menyatakan bahawa ketidakhadiran pelajar ke sekolah


merupakan salah satu isu lama dan masalah ini seringkali dikaitkan dengan isu pelajar yang
tidak berdisiplin dan bermoral yang rendah. Johari Hassan dan Nik Selma Muhammad (2011)
menyatakan kebanyakan pelajar yang terlibat dengan ketidakhadiran ke sekolah hadir
daripada sekolah pedalaman. Hal ini kerana kebanyakan ibu bapa berpendapatan rendah dan

6
tidak mampu menampung bilangan anak yang ramai yang mana menyebabkan pelajar bekerja
untuk menampung kehidupan mereka,

2.3 KEPENTINGAN

Pendidikan amat penting dalam meniti alaf kemodenan dunia hari ini. Pendidikan yang
dimiliki seolah-olah mampu menjamin titik bangun masyarakat khususnya golongan pelajar
dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran. Walau bagaimanapun, pendidikan yang
diperlukan ini mungkin tidak dapat dikuasai sepenuhnya akibat daripada masalah
ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang kini telah menjadi isu besar dalam institusi
pendidikan Malaysia.

Othman dan Suhid (2010) menyatakan bahawa sekolah bukan hanya untuk
memperoleh kecemerlangan akademik yang mana menjadi fungsi guru untuk mengajar
sahaja. Namun begitu, ianya juga lebih kepada membina dan membangunkan potensi diri
setiap pelajar terutamanya dalam aspek keperibadian sahsiah dan nilai, malah akhlak pelajar
juga dibentuk di sekolah. Hal ini disokong oleh Samian dan Awang (2017) yang menyatakan
bahawa masyarakat Malaysia khususnya masyarakat di pinggir bandar menginginkan
kehidupan sempurna terutamanya dalam pengisian ilmu pendidikan kepada anak-anak
mereka yang mana ianya dijadikan pemangkin dalam mengubah kehidupan mereka.

Zainal Abidin dan Wan Ahmad (2008) pula menyatakan bahawa menerusi alam
persekolahan, proses pembangunan modal insan turut difokuskan dengan memberi tumpuan
kepada sistem nilai, disiplin, pembangunan sahsiah dan jati diri dalam diri setiap pelajar
dalam memastikan lahirnya tenaga kerja kompeten.

2.4 FAKTOR SIKAP PELAJAR

Sikap merupakan satu set tingkah laku yang mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan
keinginan seseorang. Mat Nor et al., (2012) menyatakan bahawa terdapat pelbagai faktor
yang yang menyebabkan pelajar tidak hadir ke sekolah yang mana faktor utamanya adalah
sikap pelajar itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan pelajar tidak
mempunyai keinginan untuk belajar dan bersekolah yang mana mereka lebih seronok
melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti pergi ke pusat snuker mahupun ke
pusat pemainan video.

7
2.5 FAKTOR SIKAP KELUARGA

Umum mengetahui bahawa keluarga merupakan individu yang memberi pengaruh yang
cukup besar dalam mencorakkan tingkah laku remaja khususnya pelajar. Menurut Ismail
Daros (1981) menerusi Mansor et al., (2005) menyatakan bahawa kelemahan struktur
sosialisasi dalam sesebuah keluarga serta kurangnya galakan daripada keluarga khususnya
ibu bapa menyebabkan pelajar atau golongan remaja hari ini tidak mempunyai semangat
untuk bersekolah dan mudah berasa bosan terhadap sekolah. Keadaan ini memberikan impak
yang cukup besar dalam diri pelajar jika ianya tidak dibendung.

2.6 FAKTOR GAYA PENGAJARAN GURU

Gaya pengajaran guru yang positif memainkan peranan penting dalam menarik pelajar hadir
ke sekolah untuk belajar. Nurizam Mat Saad (2012) menerusi Mohd. Nawawi et al., (2017)
menyatakan bahawa guru atau pendidik yang tidak membuat sebarang persiapan untuk proses
pembelajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) akan menimbulkan perasaan bosan dalam kalangan
pelajar yang hadir disamping gaya pengajaran guru yang tidak menarik menyebabkan pelajar
tidak berminat untuk belajar seterusnya terlibat dalam masalah gejala ponteng.

2.7 TAHAP PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR

Pencapaian akademik pelajar yang cemerlang merupakan antara yang dimatlamatkan oleh
semua pelajar di institusi pendidikan samada di peringkat sekolah mahupun di pengajian
tinggi. Apa yang boleh dikatakan adalah ianya merupakan penanda aras yang menentukan
tahap kejayaan dan kecemerlangan seseorang pelajar dalam sektor akademiknya selain
menjadi penentu sejauhmana ilmu yang dipelajari tersebut dikuasai (Arham, Baharin dan
Ahmad Muhaimin, 2006).

8
2.8 KERANGKA KONSEP

Secara umumnya, kerangka konsep mempunyai peranannya yang tersendiri. Kerangka


konsep berperanan atau bertindak sebagai sumber panduan kepada pengkaji dalam meneliti
setiap elemen yang terlibat dalam kajian yang dibuat oleh pengkaji.

KETIDAKHADIRAN PELAJAR KE SEKOLAH


PEMBOLEH UBAH TIDAK PEMBOLEH UBAH BERSANDAR
BERSANDAR (PUTB) (PUB)
Sikap pelajar (Pios, 2012) (Kartikawati,
2010)
Sikap keluarga (Pios, 2012)
Tahap pencapaian akademik pelajar
Gaya pengajaran guru (Hashim, Chan,
Yahaya dan Boon, 2005)

Berdasarkan jadual di atas, terdapat beberapa pemboleh ubah yang disenaraikan oleh
pengkaji yang bertujuan untuk mengkaji perkaitannya dengan masalah ketidakhadiran pelajar
ke sekolah. Menerusi kerangka konsep tersebut, sikap pelajar, sikap keluarga dan gaya
pengajaran guru dipilih oleh pengkaji untuk mengenalpasti sejauhmana faktor tersebut
menjadi punca terhadap masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah. Selain itu, melalui
pemboleh ubah tersebut juga, pengkaji akan meneliti sejauhmana masalah ketidakhadiran
tersebut memberi impak terhadap tahap pencapaian akademik pelajar di sekolah. Hal ini
dikatakan demikian kerana isu ini dilihat semakin serius sehingga menjadi tanda tanya akan
berkaitannya terhadap tahap pencapaian akademik pelajar.

2.9 KESIMPULAN

Secara umumnya, masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah merupakan suatu masalah yang
telah lama wujud dalam kelompok masyarakat hari ini. Perbincangan yang meluas tentang
masalah ini menerusi kajian-kajian lepas membuktikan masalah ini merupakan salah satu isu
penting dalam institusi pendidikan negara dan diakui oleh masyarakat. Kepelbagaian faktor-
faktor seperti sikap pelajar dan guru dilihat antara faktor penting tercetusnya masalah ini.
Menerusi hasil kajian-kajian lepas, dapat dirumuskan pelbagai faktor yang dilihat menjadi
asbab kepada ketidakhadiran pelajar ke sekolah di Malaysia.

9
BAB 3

METODOLOGI

3.1 PENGENALAN

Secara umumnya, bab ini akan menerangkan secara keseluruhan tentang metodologi yang
akan digunakan oleh pengkaji dalam kajian yang akan dilaksanakan. Menerusinya akan
dihuraikan beberapa bahagian subtopik kecil seperti membincangkan reka bentuk yang akan
digunakan oleh pengkaji dalam kajian, populasi dan sampel serta instrumen penyelidikan.
Selain itu, bab ini turut menyentuh tentang pengumpulan data, analisis data dan juga etika
penyelidikan.

3.2 REKA BENTUK PENYELIDIKAN

Menurut Sabitha Marican (2006), reka bentuk penyelidikan merupakan pelan tindakan yang
menunjukkan secara jelas langkah kajian itu dijalankan oleh pengkaji. Umumnya, reka
bentuk penyelidikan merujuk langkah yang paling berkesan dalam memperoleh maklumat
bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Kajian yang dijalankan ini merupakan kajian
kuantitatif iaitu menerusi kaedah tinjauan (survey). Kaedah yang digunakan ini melibatkan
pungutan maklumat daripada satu satu set populasi yang bertujuan untuk memahami situasi
terkini. Menerusi kaedah tersebut, pengkaji akan menggunakan tinjauan hirisan rentas iaitu
soal selidik sebagai instrumen utama serta dua ujian selari yang dilaksanakan untuk
mendapatkan maklumat daripada responden.

Reka bentuk Kaedah Responden/ Jenis Data


Kajian Pengumpulan Sampel

Soal selidik Pelajar Kuantitatif


(tinjauan)
Kajian Deskriptif
Ujian. Pelajar Kuantitatif (tahap
pencapaian pelajar)

10
3.3 POPULASI DAN SAMPEL

Secara ringkasnya, populasi merupakan satu set individu atau kumpulan sasaran pengkaji di
mana masalah yang wujud. Menerusi kajian ini, pengkaji menyasarkan sebuah sekolah di
Terengganu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Terengganu. Menerusi
sasaran populasi tersebut, pengaji menyasarkan kelompok pelajar tingkatan dua sahaja iaitu
seramai 200 orang. Menerusi jadual penentuan saiz sampel Krejie dan Morgan (1970),
pengkaji memperuntukkan sampel kajian kepada kumpulan sasaran sebanyak 132 sampel
sahaja. Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan terjadinya keralatan pada sampel yang
digunakan, pengkaji akan menyediakan sampel sebanyak 150 sampel untuk diedarkan ketika
proses pengumpulan maklumat. Jenis persampelan yang digunakan dalam mengumpul
maklumat adalah persampelan rawak mudah.

3.4 INSTRUMEN PENYELIDIKAN

Instrumen penyelidikan merupakan satu proses melibatkan pemilihan dan reka bentuk
instrumen atau alat ukur yang digunakan dalam menentukan data dan maklumat yang
dikehendaki. Maklumat berkaitan instrumen penyelidikan merupakan perkara yang paling
penting dalam sesuatu kajian bagi tujuan memperoleh maklumat yang dikehendaki. Menerusi
kajian yang dijalankan, pengkaji menggunakan dua instrumen iaitu soal selidik dua ujian
selari.

PEMBOLEH UBAH PENULIS

Tahap pencapaian akademik Mesir, Yatim, Aziz, Jamal dan Abideen (2006), Harun,
Omar dan Zakaria (2011)

Sikap pelajar. Kartikawati (2010), Pios (2012)

Sikap keluarga. Pios (2012)

Gaya pengajaran guru. Hashim, Chan, Yahaya dan Boon (2005)

3.5 PENGUMPULAN DATA

11
Pengumpulan data merupakan satu proses yang dilakukan oleh pengkaji untuk mendapatkan
maklumat dan data yang diperlukan daripada kelompok sasaran dalam mencapai objektif
yang telah ditetapkan. Oleh itu, borang soal selidik akan diedarkan kepada kumpulan sasaran
atau responden iaitu pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad
yang bertempat di dalam kelas secara berkala. Borang soal selidik yang selesai dijawab oleh
pelajar, borang tersebut akan dikumpulkan dan pada masa yang sama oleh pengkaji.

3.6 ANALISIS DATA

Menerusi maklumat dan data yang telah dikumpulkan, pengkaji akan melakukan proses
menganalisis data menggunakan aplikasi Statistical Package for the Social Science (SPSS).
Penganalisaan data yang digunakan pengkaji adalah jenis statistik deskriptif. Secara
umumnya, statistik deskriptif yang digunakan berfungsi menunjukkan markah min dan
medium yang digunakan untuk menjelaskan maklumat latar belakang responden dan soal
selidik yang meliputi pemboleh ubah sikap pelajar, sikap keluarga, gaya pengajaran guru dan
tahap pencapaian akademik pelajar.

3.7 ETIKA PENYELIDIKAN

Setiap penyelidikan yang dijalankan sudah semestinya mempunyai etika penyelidikan yang
perlu dipatuhi oleh setiap pengkaji. Oleh yang demikian, menerusi kajian yang dijalankan,
pengkaji akan mematuhi etika penyelidikan seperti etika perjanjian sulit yang mana pengkaji
perlu merahsiakan segala maklumat sulit responden dan etika penipuan iaitu pengkaji harus
menyatakan maklumat yang benar dan mengelakkan maklumat palsu. Selain itu, etika identiti
pengkaji dan etika ketanpanamaan juga perlu dipatuhi oleh pengkaji dalam memastikan
kajian yang dilakukan mematuhi etika penyelidikan yang telah ditetapkan.

3.8 KESIMPULAN

Secara ringkasnya, menerusi penerangan yang dinyatakan secara jelas dalam bab ini,
pengkaji akan berusaha melaksanakan kajian mengikuti metodologi kajian yang telah
digariskan dengan sebaik mungkin. Hal ini dikatakan demikian kerana ianya penting dalam
memastikan kajian yang dijalankan oleh pengkaji dapat mencapai objektif kajian
sebagaimana yang telah ditetapkan.

12
RUJUKAN

Arham, A., Baharin, M., & Ahmad Muhaimin, M. (2006). Faktor-faktor Yang Menyumbang
kepada Kecemerlangan Akademik Pelajar di Universiti Teknologi Malaysia. National
Student Development Conferences.

Harun, M. M., Omar, M. R., & Zakaria, A. N. (2011). Faktor yang Mempengaruhi
Pencapaian Akademik Pelajar. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, 1–25.

Hashim, S., Chan, H. L., Yahaya, A., & Boon, Y. (2005). Faktor - faktor yang mempengaruhi
Gejala Ponteng di Sekolah Menengah Johor. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi
Malaysia.

Johari Hassan, & Nik Selma Muhammad. (2011). Faktor-Faktor Yang Menyebabkan
Masalah Ponteng Sekolah Di Sekolah Menengah Daerah Kulaijaya, Johor. Journal of
Educational Psychology & Counseling, 1(1), 1–9. Retrieved from
http://eprints.utm.my/10708/

Kartikawati, I. S. (2010). Sikap Belajar Siswa yang Berminat Menggambar Pada Mata
Pelajaran Seni Budaya dan Keterampilan Siswa, 5(1976), 265–288.

Krejcie, R. V, & Morgan, D. W. (1970). Determining Sample Size For Research, 38, 607–
610.

Mansor, N. A., Ahmad Shah, S. H., & Hassan, H. (2005). Faktor-faktor yang mempengaruhi
ketidakhadiran di kalangan pelajar modular sijil servis kenderaan ringan kolej komuniti
ledang. Kolej Komuniti Ledang Johor. https://doi.org/10.1373/clinchem.2004.032649

Mat Nor, N., Hamzah, A., & Junus, N. F. (2012). Faktor-faktor yang mempengaruhi gejala
ponteng di kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 2,
Skudai. Faculty of Education, Universiti Teknologi Malaysia, 5(March), 12–29.

Mesir, B., Yatim, J. M., Aziz, A. A., Jamal, M. H., & Abideen, Z. (2006). Gaya Hidup
Pelajar Cemerlang dalam Persekitaran Kampus. Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti
Teknologi Malaysia, 1–8.

Mohd. Nawawi, A., Mohd, A., Md. Saad, N., Baharuddin, J., & Ismail, S. N. (2017).
Hubungan Antara Gaya Pengajaran Guru Dengan Tahap Ponteng Sekolah Menengah Di
Daerah Bachok, Kelantan. Universiti Utara Malaysia, 1(1), 341–358.
https://doi.org/10.21070/picecrs.v1i1.503

Othman, M. K., & Suhid, A. (2010). Peranan Sekolah dan Guru dalam Pembangunan Nilai
Pelajar Menerusi Penerapan Nialai Murni, 10(4), 467.
https://doi.org/10.1504/EJIM.2016.077425

Pios, A. (2012). Masalah ketidakhadiran murid orang asli dalam kegiatan kokurikulum di

13
sebuah sekolah orang asli di Petaling Jaya: faktor dan cadangan penyelesaian. Jurnal
Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan, Institut Aminuddin Baki, 24(2), 10–15.

Samian, S., & Awang, A. (2017). Pendidikan Sebagai Komponen Kualiti Hidup Masyarakat
Pinggir Bandar. Malay Arts, Culture and Civilization Research Centre, Institute of The
Malay World and Civilization, 1(September), 267–280.

Yahya, A., & Omar, M. H. (2010). Masalah Disiplin. Fakulti Pendidikan Universiti
Teknologi Malaysia.

Zainal Abidin, R., & Wan Ahmad, W. M. R. (2008). Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu,
Cabaran dan Peranan Sekolah Membangunkan Modal Insan dalam Komuniti Setempat.
Fakulti Pendidikan Teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 1–13.
https://doi.org/10.4103/0970-1591.82837

14

You might also like