You are on page 1of 19

Mariam Faridah Che Muda & Rohaida Mohd. Saat (2010).

Tahap penguasaan
kemahiran manipulatif dalam kalangan pelajar tingkatan 4. Jurnal Penyelidikan
Pendidikan,11, 1-17.
Terbitan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian
Pelajaran Malaysia
________________________________________________________________________
TAHAP PENGUASAAN KEMAHIRAN MANIPULATIF DALAM KALANGAN
PELAJAR TINGKATAN EMPAT
Mariam Faridah Che Muda
SM Sains Dungun
Terengganu
Rohaida Mohd. Saat, PhD
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya
ABSTRAK
Kemahiran manipulatif adalah satu daripada komponen kemahiran
saintifik. Kemahiran ini melibatkan pengendalian spesimen dan
penggunaan peralatan sains dengan betul semasa menjalankan eksperimen.
Penguasaan kemahiran ini penting kerana ia mempengaruhi pengumpulan
data dan kesimpulan sesuatu eksperimen dan seterusnya mempengaruhi
pemahaman konsep yang dipelajari. Tujuan kajian ini adalah untuk
mengkaji tahap penguasaan pelajar tingkatan 4 mengendalikan tiga
peralatan sains iaitu buret, pipet dan mikroskop. Kaedah kajian yang
digunakan ialah kaedah kualitatif. Data dikutip melalui pemerhatian, temu
bual, nota lapangan dan hasil kerja pelajar. Seramai 26 orang pelajar
terlibat dalam kajian ini dan lima orang daripada mereka dipilih untuk
ditemu bual. Data yang diperoleh melalui pemerhatian dirakam
menggunakan rakaman video dan kemudian ditranskripsi. Transkripsi
dinanlisis mengunakan Taksonomi Domain Psikomotor Ferris dan Aziz
(2005) yang telah diubahsuai. Dapatan menunjukkan tahap penguasaan
kemahiran manipulatif kebanyakan pelajar adalah pada tahap modeling.
Pelajar lebih mahir mengendalikan pipet dan buret berbanding dengan
mikroskop.
LATAR BELAKANG
Pendidikan sains sekolah menengah bertujuan untuk menghasilkan pelajar yang celik
sains dan inovatif, juga untuk menyediakan pelajar bagi menceburi diri dalam bidang
sains dan teknologi untuk menjadi sumber tenaga kerja ke arah pembangunan negara
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001). Kurikulum sains menekankan penguasaan
pengetahuan saintifik, penguasaan kemahiran saintifik dan pengamalan nilai saintifik dan
nilai murni. Pelbagai pendekatan seperti eksperimen, perbincangan, simulasi, projek dan

2
lawatan disarankan dalam kurikulum sains sekolah menengah. Melalui pendekatan ini,
pelajar berpeluang mengembangkan penguasaan kemahiran saintifik.

Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.
Kemahiran manipulatif melibatkan pelajar dalam pengendalian radas makmal, bahan
kimia dan spesimen dengan teknik yang betul dan selamat. Penguasaan kemahiran proses
sains dan kemahiran manipulatif membolehkan pelajar mempertingkatkan kemahiran
berfikir secara rasional, analitis dan kritis serta mengembangkan kemahiran dalam
mengendalikan maklumat dan menyelesaikan maslah (KPM, 2001; Hofstein et al., 2004
dan Sweeney & Paradis, 2004). Sterling (1999) mendapati bahawa semakin banyak dan
kerap pelajar menggunakan radas sains semakin tinggi tahap pencapaian mereka dalam
sains. Ini mungkin disebabkan semasa eksperimen, pelajar diajar mengikut arahan dan
bagaimana untuk mendapat bacaan data yang jitu dan bagaimana memanipulasi dan
ekstrapolasi data (Allie, Buffler, Kaundal, Campbell & Lubben, 1998).

Walaupun aktiviti eksperimen telah lama disarankan sebagai satu strategi pengajaran
dalam sains, namun tahap penguasaan kemahiran manipulatif, khususnya pelajar lepasan
sekolah menengah masih tidak memberangsangkan. Menurut laporan Third International
Mathematics and Science Study (TIMSS) pada tahun 1997 pencapaian pelajar gred 4,
gred 8 dan terutamanya pelajar gred 12 adalah dibawah tahap nilai purata antarabangsa
dalam kemahiran mengukur (Kind, 1999). Marsh, Parkes dan Boulter (2001) pula
mendapati hanya tiga daripada lapan orang pelajar berumur antara 7-12 tahun dapat
melukis imej objek; iaitu biji bijan dan lada hitam, pada skala yang betul apabila
menggunakan mikroskop dengan kuasa pembesaran X9. Bagi penggunaan kuasa X20,
hanya dua daripada 10 orang pelajar yang dapat berbuat demikian. Kebanyakan pelajar
ini melukis keseluruhan objek dan bukan bahagian yang dilihat menerusi mikroskop.

Tahap penguasaan kemahiran manipulatif dalam kalangan pelajar tempatan juga tidak
banyak berbeza. Malah dapatan Sinnadurai, Alyas, Rohani dan Wan Mazlan (2004)
mendapati pengendalian radas sains dalam kalangan guru pelatih adalah lemah. Lee
(2005) pula mendapati lebih kurang 40% daripada pelajar Kolej Matrikulasi Kedah tidak

3
dapat menamakan radas seperti pipet, kelalang volumetrik dan jubin putih, dalam bahasa
Inggeris. Kelemahan ini dikesan apabila pelajar telah mengambil radas yang salah semasa
menjalankan eksperimen. Izuan Shah (2005 mendapati pelajar Kolej Matrikulasi Labuan
tidak dapat mengendali radas sains dengan sempurna walaupun mereka biasa
menggunakannya di makmal sains sekolah. Mereka masih lemah dalam mengendalikan
peralatan sains seperti buret dan pipet, sehingga menjejaskan keputusan eksperimen dan
kualiti laporan makmal mereka.

Berdasarkan kajian lepas, tidak banyak kajian yang dijalan mengkhusus kepada
penguasaan pelajar dalam pengendalian peralatan khusus seperti mikroskop, buret dan
pipet. Kajian tempatan juga tidak banyak menjurus kepada penguasaan kemahiran
manipulatif dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan kebanyakan kajian lepas
(seperti Azizi, Shahrin dan Fathiah, 2007) dijalankan menggunakan kaji selidik, iaitu
dengan hanya melihat kepada persepsi tahap penguasaan kemahiran manipulatif mereka.
Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk mengetahui tahap penguasaan
penguasaan kemahiran manipulatif dalam kalangan pelajar tingkatan 4 dengan
menggunakan kaedah kualitatif.

KERJA AMALI DAN PEMBELAJARAN


Bagi seseorang untuk mengetahui sesuatu, ia melibatkan dua proses; iaitu proses
pemerhatian yang menggunakan deria sentuhan, penglihatan dan deria bau, dan proses
keduanya ialah proses berfikir atau proses penaakulan. Penaakulan adalah deria dalaman
yang mana manusia dapat diajar untuk membuat penaakulan yang betul melalui
pengalaman yang diamalkan. Pengetahuan dan pengalaman yang dikumpul melalui deria
luar akan dianalisa oleh deria dalaman untuk memberi maksud dan justifikasi. Dalam
membantu proses penaakulan pelajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran haruslah
disertakan dengan alat batu mengajar. Oleh yang demikian, pembelajaran sains
menekankan kemahiran memerhati yang dibina dalam diri pelajar bagi memperolehi
sebanyak mungkin maklumat dari persekitaran (Delargey, 2001). Berdasar premis ini,
aktiviti amali atau eksperimen dijalankan bagi meningkatkan penglibatan deria semasa
interaksi dan manipulasi peralatan dan bahan. Pembelajaran akan berlaku apabila

4
kesimpulan dijanakan dari aktiviti amali atau eksperimen tersebut (Delargey, 2001 dan
Rollnick et al., 2001).

Andaian Delargey adalah selari dengan teori konstruktivisme sosial Vygotsky (1978)
yang melihat pembangunan kognisi seseorang pelajar dapat ditingkatkan melalui
interaksi sosial dengan orang yang lebih dewasa dan juga rakan sebaya. Mengikut teori
ini, pembangunan kognisi ini akan dapat ditingkatkan lagi dengan menggunakan alat
psikologi dan alat teknologi yang sesuai. Kedua-dua alat ini bertindak sebagai medium
untuk pelajar mencapai pembelajaran pada peringkat yang lebih tinggi; iaitu bergerak
dari suatu zon perkembangan proksimal (Zone of Proximal Development atau ZPD) ke
suatu ZPD yang lebih tinggi (Carter, Westbrook & Thompkins, 1999). Peralatan
psikologi adalah seperti bahasa dan matematik, manakala peralatan teknikal adalah
seperti alatan dan radas di makmal sains. Mengikut teori ini, peralatan psikologi
merupakan alat dalaman yang bertanggungjawab mengawal fungsi mental yang lebih
tinggi, manakala peralatan teknikal digunakan untuk mengawal dunia luar atau fizikal.
Walaupun peralatan teknikal berada di luar, namun interaksi dengan peralatan teknikal ini
akan akhirnya mengubah pemikiran dan membawa ke arah pembelajaran peringkat yang
lebih tinggi. Oleh yang demikian, pengalaman aktiviti makmal dapat menggabungkan
kedua-dua peralatan teknikal dan psikologi dan seterusnya dapat meningkat
pembelajaran.

DOMAIN PSIKOMOTOR: TAHAP KEMAHIRAN MANIPULATIF


Bloom (1956) telah membahagikan objektif pembelajaran kepada domain kognitif
(kemahiran mental), afektif (atitud) dan domain psikomotor (kemahiran manipulatif dan
fizikal). Penerbitan asal taksonomi Bloom tidak menggaris taksonomi bagi domain
psikomotor sepertimana yang dilakukan bagi domain kognitif dan afektif (Ferris & Aziz,
2005). Beberapa ahli akademik (seperti Simpson, Harrow dan Dave yang disebut dalam
Clark, 1999; dan kumpulan Pennsylvania State University (PSU), 2003) telah cuba
mewujudkan taksonomi bagi domain psikomotor dengan mendasari taksonomi Bloom
bagi domain kognitif. Taksonomi domain ini juga bermula dengan tingkahlaku yang
mudah dan ringkas kepada tingkahlaku yang lebih kompleks. Peningkatan dalam

5
taksonomi ini boleh dilihat sebagai peningkatan aras kesukaran. Sebagai contoh,
taksonomi yang dikemukakan oleh kumpulan PSU (2003) bermula dengan domain
psikomotor Pemerhatian kepada Peniruan, kemudian Berlatih dan seterusnya
Penyesuaian.

Ferris dan Aziz (2005) pula telah mengemukakan satu lagi taksonomi domain psikomotor
juga berdasarkan taksonomi Bloom tetapi menjurus kepada objektif pendidikan
kejuruteraan. Berikut adalah kategori yang mereka kemukakan:

Jadual 1
Domain Psikomotor (diringkaskan daripada Ferris & Aziz, 2005)
Domain
Psikomotor
Pengecaman alat
dan bahan
Mengendalikan
alat dan bahan
Pengoperasian
asas alat

Pengoperasian
cekap alat

Pengopersian
mahir alat
Merancang
operasi kerja
Penilaian hasil
kerja &
merancang
penambahbaikan

Ciri Psikomotor
Kebolehan mengecam peralatan dan bahan
Pengetahuan tentang fungsi peralatan
Pengendalian peralatan dan bahan dengan betul
Kebolehan mengaitkan bahagian dan maklumat tentang bahagian
peralatan tersebut
Kebolehan
memegang
peralatan
dengan
betul
semasa
menggunakannya dalam suatu tugas peringkat rendah
Kebolehan mengendali dan menjaga keselamatan yang berkaitan
dengan siri asas pengoperasian peralatan tersebut.
Kebolehan mengendalikan peralatan dengan lancar untuk
melaksanakan pelbagai tugas
Kebolehan menggabungkan beberapa tugas dengan fungsi peralatan
mengikut turutan
Kebolehan menggunakan peralatan dengan mudah dan tangkas,
efisien, efektif dan selamat dalam menghasilkan hasil kerja yang
betul dan jitu
Kebolehan merancang satu spesifikasi kerja untuk menghasilkan
produk
Kebolehan menilai hasil produk yang dihasilkan ke tahap kualiti
sesuai untuk dikilangkan

Dalam membuat penentuan tahap penguasaan kemahiran manipulatif pelajar sekolah,


pengkaji telah membuat penelitian terhadap kesemua taksonomi domain psikomotor yang
telah dibincangkan di atas, dan mendapati taksonomi yang dikemukakan oleh Ferris dan

6
Aziz (2005) lebih sesuai digunakan dalam kajian ini. Ini adalah kerana taksonomi
Simpson, Harrow dan Dave (disebut dalam Clark, 1999) dan kumpulan PSU (2003)
memulakan taksonomi pada peringkat yang agak tinggi, iaitu peringkat pengamatan yang
terus menjurus kepada pergerakan motor. Memandangkan kajian ini melibatkan pelajar
sekolah menengah, tahap yang paling asas perlu melibatkan pengecaman peralatan
sebelum pengendalian sebarang peralatan bagi sesuatu aktiviti amali. Bagi tujuan
penentuan tahap penguasaan kemahiran manipulatif kajian ini, pengkaji telah
mengubahsuai taksonomi Ferris dan Aziz (2005) seperti dalam Jadual 2.

Jadual 2
Taksonomi Domain Psikomotor: Tahap Penguasaan Kemahiran Manipulatif
Domain
Psikomotor
Pengecaman
Modeling

Fundamental

Manipulasi

Komprehensif

Analisis

Penilaian

Ciri Psikomotor
Kebolehan mengecam, menama dan menyatakan fungsi peralatan dan
radas
Kebolehan meniru tatacara mengendalikan peralatan dan radas dan
mengulanginya (cuba dan jaya) untuk mendapat kemahiran yang
betul
Data dan keputusan yang diperolehi tidak tepat dan tidak munasabah
(cth. Pelajar membuka pili buret dengan cara betul tetapi titisan asid
yang menitis adalah terlalu lambat)
Kebolehan memegang dan memasang peralatan dan radas dengan
betul tetapi kadang kala masih perlu bimbingan
Data dan keputusan yang diperolehi masih tidak begitu tepat dan
tidak munasabah
(Cth. Pelajar dapat melukis imej yang dilihat di bawah mikroskop
pada kuasa rendah)
Kebolehan menggunakan radas dengan yakin dan cekap
(Cth. Pelajar mendapat bacaan isipadu larutan yang munasabah
semasa menggunakan buret secara konsisten)
Kebolehan menggunakan peralatan dan radas dengan mahir dan
efektif
Kebolehan menggunakan peralatan dan radas dengan mengikut
arahan tanpa teragak-agak tanpa merujuk kepada sesiapa
Dapatan eksprimen adalah betul dan munasabah
Kebolehan merancang, mereka bentuk dan melaksanakan sesuatu
eksperimen dengan menggunakan peralatan dan radas yang betul
dengan mahir dan efektif
Kebolehan menilai keputusan eksperimen yang direkabentuk dan
membuat perancangan semula untuk melaksanakan penambahbaikan
sehingga satu keputusan yang tepat dan munasabah diperolehi.

METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan kaedah kajian kualitatif yang melibatkan pelajar Tingkatan 4 di
sebuah sekolah berasrama di Terengganu. 60% pelajar Tingkatan 4 sekolah ini
mengambil mata pelajaran elektif sains tulen dan 40% mengambil mata pelajaran elektif
Teknologi Kejuruteraan. Sampel diambil dari lima buah kelas Tingkatan 4 yang
mengambil kombinasi mata pelajaran elektif Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan, dan
Tingkatan 4 yang mengambil kombinasi mata pelajaran elektif Biologi, Teknologi
Kejuruteraan dan Lukisan Kejuruteraan. Setiap kelas Tingkatan 4 mempunyai lebih
kurang 26 orang pelajar.

Kajian dijalankan selama enam minggu dan dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama
melibatkan perbincangan dengan guru mata pelajaran Kimia dan Biologi bagi
membolehkan rakaman video dilakukan semasa pelajar menjalankan eksperimen I; iaitu
penitratan asid dan bes serta eksperimen II, iaitu memerhati slaid sel bawang
menggunakan mikroskop semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Rakaman video telah
dilakukan pada akhir minggu fasa pertama selama dua hari berturut-turut mengikut jadual
waktu pengajaran guru mengajar. Pelajar dikehendaki menyerahkan laporan eksperimen
kepada penyelidik di akhir waktu pengajaran dan pembelajaran tersebut.

Fasa kedua pula memfokuskan kepada pemerhatian terhadap penguasaan kemahiran


menipulatif

pelajar secara individu dan telah memakan masa selama dua minggu.

Seramai 20 orang pelajar terlibat bagi setiap eksperimen. Pelajar menjalankan


eksperimen I, iaitu penitratan asid dan bes secara individu yang melibatkan pelajar
mengendalikan buret dan pipet, dan ini dijalankan pada minggu pertama. Buret
digunakan untuk mengukur isipadu isipadu larutan dalam eksperimen penitritan dan pipet
digunakan untuk memindahkan sesuatu larutan. Pada minggu kedua pula, pelajar
mengendalikan eksperimen II, iaitu menyedia dan memerhati slaid sel epidermis bawang
dengan menggunakan mikroskop secara individu. Dalam kedua-dua eksperimen ini,
pelajar tidak merujuk kepada buku teks dan hanya diberikan Kertas Catatan Eskperimen

8
yang mengandungi arahan eksperimen secara ringkas dan ruang bagi sebarang lakaran
dan catatan bagi bacaan. Pemerhatian terhadap pengendalian buret, pipet dan mikroskop
dirakamkan. Eksperimen dijalankan selepas waktu persekolahan formal.

Fasa seterusnya melibatkan temubual pengkaji dengan pelajar. Temubual adalah


berdasarkan Protokol Temubual yang digubal berdasarkan nota lapangan semasa Fasa
Satu dan Kedua, rakaman video dan hasil kerja pelajar. Lima orang telah dipilih secara
sukarela untuk ditemubual. Sesi temubual dijalankan di perpustkaan sekolah bagi
mengelakkan gangguan dan sesi ini dijalankan diluar waktu pengajaran dan
pembelajaran. Fasa ini mengambil masa dua minggu.

Kesemua rakaman video diteliti dan ditranskripsikan untuk menentukan tahap kemahiran
mengendalikan peralatan buret, pipet dan mikroskop. Tahap penguasaan ditentukan
berdasarkan Taksonomi Domain Psikomotor yang telah diubahsuai daripada Ferris dan
Aziz (2005) seperti dalam Jadual 2. Laporan eksperimen pelajar dan Kertas Catatan
Eksperimen pula dianalisis berdasarkan ketepatan data yang dikutip semasa eksperimen
dan cara lakaran berdasarkan pemerhatian melalui mikroskop. Pelaporan eksperimen juga
dapat menunjukkan penggunaan nombor dalam membuat pengiraan dan rumusan
eksperimen.

DAPATAN KAJIAN
Artikel ini akan hanya memaparkan dapatan kajian berkaitan dengan tahap penguasaan
kemahiran manipulatif bagi peralatan buret, pipet dan mikroskop. Dapatan yang
dikemukakan kebanyakannya disokong oleh petikan daripada transkrip rakaman video
semasa pelajar mengendalikan eksperimen dan juga semasa temubual, lakaran saintifik
pelajar dan laporan eksperimen. Dalam transkripsi yang digunakan, huruf P digunakan
bagi mewakili penyelidik dan nama samaran pelajar pula digunakan untuk menjamin
kerahsiaan responden.

Berdasarkan analisis terhadap rakaman video secara keseluruhan semasa pelajar menjalan
eksperimen di makmal, pelajar secara berkumpulan didapati aktif dan kelihatan

9
mengambil peralatan, membersih peralatan selepas eksperimen selesai dijalankan.
Mereka kelihatan mampu mengendali kedua-dua eksperimen yang diberi. Walau
bagaimanapun, apabila eksperimen dijalankan secara individu, pengkaji mampu membuat
analisis yang lebih terperinci terhadap tahap penguasaan kemahiran manipulatif mereka.
Tahap kemahiran mereka adalah dari Pengecaman sehinggalah Komprehensif,
berdasarkan Taksonomi Domain Psikomotor yang telah diubahsuai daripada Ferris dan
Aziz (2005) memandangkan kajian ini hanya mengkaji kemahiran pelajar mengendalikan
peralatan dan radas dan tidak melibatkan merekabentuk eksperimen; iaitu tahap Analisis
dan Penilaian.

Tahap Pengecaman
Pengecaman radas berkait rapat dengan pengetahuan tentang fungsi radas dan
kegunaannya. Kebolehan pelajar untuk mengecam radas adalah penting supaya sesuatu
eksperimen dapat dijalankan dengan cekap dan pantas, peralatan tidak rosak dan pelajar
tidak membahayakan diri mereka sendiri, orang lain dan persekitaran. Semasa
menjalankan ekspermen penitratan asid dan bes, terdapat pelajar yang tidak mengetahui
fungsi sesetengah peralatan periferal buret seperti pam penyedut dan pengapit buret.
Keadaan ini berlaku oleh seorang pelajar bernama Rose pada permulaan eksperimen
ketika pelajar lain sibuk memasang radas. Rose telah cuba memasang pam penyedut
kepada buret seperti yang dibayangkan dalam transkripsi berikut:
Azleen dan Rose memasang pengapit buret pada kaki retot. Sementara
Mariani, Hasnah, Zainun dan Nurul berdiri dan memerhati sahaja kepada
Azleen dan Rose. Kemudian Rose cuba pula memasang pam penyedut
kepada buret. Rose tidak meneruskan cubaan tersebut apabila mendapati ia
tidak muat dan meletakkannya semula di atas meja makmal.
Sementara itu, terdapat juga sebilangan kecil pelajar seperti Izaan dan Sya yang tidak
tahu menggunakan pengapit buret tetapi mereka telah menggunakan pengapit kaki retort
yang biasa. Mereka hanya menukar kepada pengapit buret selepas ditegur guru
sepertimana yang digambarkan dalam petikan;
Izaan tidak mengambil pengapit buret yang disediakan oleh pembantu
makmal tetapi mengambil pengapit biasa yang telah terpasang pada kaki
retort. Kemudian Izaan memasang buret kepada pengapit biasa. Izaan
menukar pengapit tersebut setelah ditegur oleh guru.

10

Berdasar kedua-dua dapatan ini, terdapat pelajar yang masih belum menguasai kemahiran
mengecam radas buret tetapi mereka dapat mengecam pipet sebagai radas untuk
menyukat dan memindahkan larutan. Mereka juga menunjukkan kebolehan menamakan
fungsi bahagian kecil mikroskop dan boleh diandaikan mereka dapat mengecam
mikroskop sebagai peralatan yang digunakan untuk melihat objek yang seni.

Tahap Modeling
Seseorang pelajar yang berada pada tahap Modeling berupaya mengendali peralatan dan
radas berdasarkan bahan rujukan seperti buku dan sebagainya, dan meniru tatacara
mengendalikan radas. Semasa pemerhatian terhadap eksprimen I secara berkumpulan,
kebanyakan pelajar tidak menggunakan meja makmal tetapi mereka lebih selesa
memindahkan larutan dari bikar ke dalam buret menggunakan bangku tempat duduk atau
di atas lantai makmal. Meja makmal digunakan meletakkan buku dan alat tulis. Keadaan
sedemikian jelas ditunjukkan dalam rakaman video:
Jihah dan Shidah memindahkan buret yang dipasang pada kaki retort ke
lantai makmal. Selepas itu, Jihah berdiri sambil memindahkan asid dari
bikar ke dalam buret tanpa menggunakan corong turas. Shidah yang
tadinya berdiri terpaksa duduk mencangkung di lantai makmal untuk
membaca isipadu asid dalam buret. Kemudian, Yati, Shidah dan Jihah
pindahkan semula buret tersebut ke atas meja.
Keadaan ini menunjukkan pelajar tidak selesa dengan ukuran buret yang panjang dan
cuba mencari laternatif lain yang mudah untuk mengisi asid ke dalam buret dan
mengambil bacaan tanpa menggunakan teknik yang betul. Apabila ditanya kenapa
melakukan sedemikian, ... sebab kalau diletak di atas meja, buret tu terlalu tinggi.
Bacaan sukar diambil. Lepas tu, semasa meletakkan bahan itu pun tidak sampai.. Walau
bagaimanapun, keadaan seumpama ini boleh mendatangkan kemudharatan kepada
pengguna dan kerosakan kepada peralatan tersebut.

Kebolehan menggunakan buret juga termasuk kemahiran mengendalikan pili buret. Ini
melibatkan kebolehan pelajar mengawal aliran keluar larutan, iaitu seperti yang
dilabelkan oleh Eglen dan Kempa (1974) sebagai draining time. Kebanyakan pelajar

11
masih lagi kurang cekap dalam mengawal aliran asid yang perlu ditambah ke dalam bes.
Ini dapat dilihat daripada aktiviti Diani ketika menjalan eksperimen I. Jihah melakukan
penitratan pertama diikuti oleh Diani yang membuat penitratan kedua bagi kumpulan
mereka. Diani membuka pili buret terlalu kecil sehingga asid menitis terlalu lambat. Ini
menyebabkan banyak masa terbuang. Ini menunjukkan Diani dan ahli kumpulannya tidak
tahu menggunakan bacaan kasar; iaitu bacaan pertama yang diperolehi Jihah. Bacaan asal
mereka perlu diambil sebagai asas bacaan untuk cubaan seterusnya.

Dalam episod yang lain pula, Hanif kelihatan mahir mengendali buret tetapi apabila
beliau mengisi asid ke dalam buret, beliau mengisi terlalu sedikit sehingga menyebabkan
isipadu asid terakhir berada di bawah takat yang mempunyai skala pada buret. Ini
menyebabkan isipadu akhir tidak boleh diperolehi. Ini dapat dilihat dari catatan Hanif
dalam Kertas Catatan Eksperimen berikut:

Rajah 1 Pengiraan Isipadu Hanif

Kepentingan membilas buret sebelum menggunakannya juga ditunjukkan oleh pelajar


tetapi mereka kelihatan masih teragak-agak melakukannya. Episod ini jelas ditunjukkan
oleh Amir yang mana beliau dengan teliti membilas buret denagn asid hidroklorik. Walau
bagaimanapun, pengendalian Amir adalah agak lambat dan teragak-agak sambil melihat
tata cara rakan-rakannya membilas.

Dalam mengendalikan pipet pula, adalah diperhatikan tidak seorang pelajar pun yang
tidak menyentuh muncung pipet ke dinding bahagian dalam kelalang kon untuk
memastikan daapat memindahkan titik terakhir larutan KOH. Dalam situasi lain pula.
Shidah tidak sedar pembentukan gelembung udara semasa dia mengambil larutan KOH

12
menggunakan pipet. Ini telah mengakibatkan pergerakan larutan tidak licin semasa proses
penyedutan larutan. Kedua-dua episod ini menunjukkan bahawa pelajar berkemahiran
mengendalikan pipet tetapi masih tidak peka terhadap beberapa teknik yang boleh
menjejaskan keputusan eksperimen.

Dalam

menentukan

kemahiran

menggunakan

mikroskop,

pelajar

dikehandaki

menyediakan slaid sel epidermis bawang dan memerhatinya di bawah mikroskop pada
kuasa rendah dan seterusnya kuasa tinggi. Kesemua pelajar mempamerkan kebolehan
menyediakan slaid sel epidermis. Hanya terdapat beberapa kesilapan kecil yang
dipamerkan seperti tidak menggunakan jarum tenggek semasa meletakkan penutup
seperti yang digambarkan dalam transkrip berikut:
Hanif menitiskan air suling ke atas slaid kaca. Kemudian Hanif
mengambil tisu epidermis bawang dengan forsep dan melatakkannya ke
atas slaid kaca tadi. Tisu epidermis bawang itu Hanif tutup dengan
penutup slaid tanpa menggunakan jarum tenggek. Selepas itu, Hanif
menitiskan larutan iodin di tepi penutup slaid.
Apabila mengendali mikroskop, kebanyakan pelajar tiada masalah melarasnya pada
kuasa rendah tetapi menghadapi masalah menyelaras pada kuasa tinggi seperti diakui
Jihah,
P:
Jihah:
P:
Jihah:
P:
Jihah:
P:
Jihah:

Apakah masalah yang kamu hadapi semasa menggunakan


mikroskop?
Sebenarnya masalah nak cari apa tu ... gambar ...
Imej?
Ya ... imej yang jelas. Akhirnya dapat imej yang kabur atau
langsung tak dapat imej!
Semasa membanding kuasa rendah dan tinggi, yang mana labih
mudah?
Kuasa rendah.
Sebab?
Pada imej pada kuasa rendah, terus dapat!

Apabila melukis imej sel epidermis pada kuasa tinggi, kebanyakan pelajar melukis sel
tipikal daripada ingatan mereka berdasarkan buku teks dan bukan daripada pemerhatian,
...pada kuasa tinggi, gambar ni, ia tak berapa jelas. Emmm ... tapi macam yang kita dah

13
tahu dalam buku pun ada macam ni, jadi boleh samakan sikit. Dapatan ini dapat
disokong dengan lukisan imej oleh Adam:

Rajah 2 Lukisan Imej Sel Epidermis Bawang oleh Adam

Berdasarkan Rajah 2, jelas ditunjukkan yang Adam melukis sel epidermis bawang
berdasar ingatannya. Beliau seharusnya melukis beberapa sel yang tidak lengkap dan
bukan satu sel yang begitu jelas dan lengkap.

Kebanyakan pelajar tidak mengetahui perkaitan antara penggunaan kuasa rendah dan
kanta kuasa tinggi X40. Mereka mengubah kuasa kanta secara rambang. Seperti Adam,
beliau mengubah kanta objektif kepada X5 dan terus menurunkan pentas mikroskop.
Kemudian, beliau klipkan slaid spesimen pada pentas dan mula memfokus dengan
menurun dan menaikkan pentas berulang kali. Adam kemudiannya melukis imej dan
setelah selesai, beliau sekali lagi mengubah kanta objek kepada X10 dan memfokusnya
dengan cara yang sama. Turutan ini berlaku juga apabila beliau menggunakan kanta
objek X40. Tatacara Adam menggunakan mikroskop menunjukkan beliau tidak tahu
perkaitan menggunakan kanta kuasa rendah dan kanta kuasa tinggi. Ini adalah kerana
untuk mendapatkan imej yang jelas pada kuasa tinggi, Adam hanya perlu menukar kanta
objek kuasa rendah kepada kanta objek kuasa tinggi selepas mendapat imej yang jelas.
Kemudian Adam hanya perlu menggunakan pelaras halus untuk mendapat imej sel yang
lebih tajam.

14

Berdasarkan pemerhatian, pengendalian buret dan pipet kebanyakan pelajar masih berada
pada tahap modeling. Mereka berkebolehan mengendalikan buret dan pipet berdasarkan
pengalaman dan bacaan lalu tetapi masih belum mahir. Keadaan Diani membuka pili
buret yang terlalu kecil, Amir yang begitu teragak-agak membilas buret, Jihah dan Shidah
yang tidak menggunakan tempat yang sesuai untuk melakukan pemindahan asid,
mencerminkan ciri kemahiran manipulatif pada tahap modeling. Tahap penggunaan
mikroskop kebanyakan pelajar juga adalah pada tahap modeling.

Tahap Fundamental
Tahap Fundamental mempamerkan pelajar berupaya mengendali peralatan radas dengan
betul dan berupaya menyelesaikan tugasan berkaitan dengan radas tersebut. Walau
bagaimanapun, pada tahap Fundamental ini, pelajar masih belum mempamerkan
kecekapan dan kadang kala masih memerlukan bimbingan. Berdasarkan ciri domain
psikomotor ini, tidak ramai dalam kalangan muird dalam kajian ini mempamer kamhiran
sedemikian. Hanya dua daripada 20 orang pelajar berada pada tahap Fundamental bagi
kemahiran menggunakan mikroskop. Dapatan ini adalah berdasarkan kebolehan Zikri dan
Nita melukis imej sel epidermis bawang dengan baik dan jelas seperti dalam Rajah 3.

Lakaran Zikri

Lakaran Nita

Rajah 3 Lukisan Imej Sel Epidermis Bawang dilihat melalui Kanta


Objek X40 oleh Zikri dan Nita
Bagi pengendalian buret pula, terdapat segelintir yang mempamerkan pada tahap
Fundamental ini. Ini dapat dilihat dari petikan transkripsi berikut:

15
Hanif duduk di bangku dan memulakan penitratan. Tangan kirinya
menutup dan membuka pili buret bagi menambah asid ke dalam kelalang
sedikit demi sedikit. Pada masa yang sama, tangan kanannya mengoncang
kelalng kon. Apabila larutan semakin menghampiri perubahan warna,
Hanif mengecilkan bukaan pili buret. Ini menyebabkan titisan asid
semakin sedikit. Aktiviti ini diteruskan sehingga warna larutan KOH
berubah menjadi jingga. Apabila larutan dalam kelalng kon berubah
kepada jingga, Hanif berhenti menambah asid.
Petikan ini jelas menunjukkan Hanif telah memperoleh kemahiran untuk memegang dan
pengawal pili buret dengan baik tetapi masih tidak begitu cekap. Seorang lagi pelajar
yang mempamerkan tahap Fundamental ialah Jihah. Beliau telah menunjukkan kepekaan
dalam meminimum ralat paralaks semasa mengambil isipadu asid dengan, ... saya
meletakkan kertas di belakang buret untuk mendapatkan bacaan lagi mengelakkan ralat.
Dengan mengelakkan ralat paralaks, Jihah mendapat bacaan isispadu yang tepat dan jitu
dan ini penting bagi eksperimen penitratan asid dan bes ini.

Kebanyakan pelajar tidak menunjukkan tahap fundamental bagi pengendalian pipet.


Kebanyakan mereka menunjukkan penguasaan hanya bagi sebahagian kecil teknik
mengendalikan pipet dengan betul. Mereka masih tidak dapat memegang pipet dengan
baik untuk membilas, mengambil dan menyukat larutan. Mereka juga tidak begitu teliti
dalam memindahkan larutan daripada pipet ke dalam kelalng kon. Keadaan ini
menyebabkan pembaziran larutan dan data yang diperoleh adalah tidak tepat. Hanya
beberapa orang sahaja yang boleh dikatakan berada pada tahap Fundamental. Ini adalah
berdasarkan episod dimana hanya segelintir pelajar yang dapat menyedut larutan dengan
baik menggunakan pipet tetapi masih pada kadar yang lambat.

Tahap Manipulasi
Pada tahap manipulasi, seseorang mampu menggunakan peralatan dan radas dengan
cekap dan yakin. Bagi kumpulan pelajar dalam kajian ini, hanya segelintir sahaja yang
berada di tahap Manipulasi dan hanya bagi pengendalian buret, khususnya dalam
memperoleh bacaan isipadu larutan pada buret. Semasa membuat bacaan, adalah penting
bagi seseorang menumpukan tumpuan selaras dengan miniskus larutan. Berikut ialah satu
petikan yang memaparkan dapatan ini:

16
Selepas selesai mengisi asid ke dalam buret, Pyan duduk di bangku
makmal. Kmeudian beliau mengambil kertas putih A4 dan diletakkan di
belakang buret. Pyan menumpukan matanya selaras dengan miniskus
untuk mengambil bacaan isipadu asid pada buret.
Bagi peralatan pipet dan mikroskop, tiada perlakuan pelajar yang menunjukkan yang
mereka berada pada tahap Manipulasi bagi kedua-dua peralatan ini.

KESIMPULAN DAN PERBINCANGAN


Secara keseluruhannya, tahap penguasaan pelajar dalam mengendali peralatan buret,
pipet dan mikroskop adalah pada tahap modeling, dan hanya segelintir pelajar yang
berada pada tahap Fundamental dan Manipulasi. Tidak seorang pelajar pun yang berada
di tahap Komprehensif. Kebanyakan pelajar masih lagi belajar dan cuba mengikut arahan
dalam buku teks untuk menegndalikan peralatan bagi menjalankan sesuatu eksperimen
walaupun teknik mengendalikan ketiga-tiga peralatan ini telah dipelajari di Tingkatan
Satu dan kemudiannya diperkukuh semasa menjalankan eksperimen di Tingkatan Dua,
Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

Tahap penguasaan mengendalikan buret adalah yang paling baik sementara tahap yang
paling rendah ialah pengendalian mikroskop. Ini mungkin disebabkan kemahiran buret
dan juga pipet yang mana kedua-dua peralatan ini mempunyai binaan yang lebih ringkas
berbanding mikroskop. Pengendalian mikroskop melibatkan turutan beberapa teknik dan
seterusnya melibatkan kemahiran memerhati dan pengecaman yang teliti terhadap
struktur spesimen serta kemahiran melukis secara saintifik.

Semasa mengendalikan peralatan, pelajar sering ditegur oleh guru untuk mengendalikan
peralatan dengan betul dan mereka masih mempamerkan tingkahlaku yang tidak yakin,
bimbang radas akan rosak dan teragak-agak semasa menggunakanya. Dapatan ini juga
didapati oleh Rollnick et al. (2001) yang mana mereka mendapati subjek kajian mereka
meniru rakan-rakan mengendalikan peralatan apabila mereka tidak pasti apa yang perlu
dilakukan dalam sesuatu eksperimen. Tingkahlaku sedemikian merupakan ciri
tingkahlaku tahap Modeling dan tahap ini boleh ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi

17
dengan memperbanyakkan latihan menggendalikan peralatan tersebut seperti yang
disaran oleh Bandura (1986). Bandura menekankan kepentingan memerhati dan meniru
tingkahlaku sesuatu kemahiran dan dalam konteks kajian ini, pelajar meniru rakan dan
juga teguran dari guru dan seterusnya mereka perlu mengulangi tingkahlaku tersebut
peringkat demi peringkat sehingga menguasai kemahiran tersebut. Toplis (2004) juga
mendapati pelajar perlu menggunakan peralatan dan radas berulangkali supaya mereka
lebih biasa dengannya dan memperoleh kemahiran manipulatif yang diperlukan untuk
mengurang tekanan semasa menjalankan sesuatu aktiviti penyiasatan.

PENUTUP
Pengendalian peralatan sains yang baik adalah penting dalam pembelajaran sains. Tahap
pengendalian peralatan sains yang tidak cekap akan mempengaruhi dapatan eksprimen
dan seterusnya menjejas pemhaman konsep yang dipelajari (Rollinick, et al., 2001;
Sterling, 1999; Tobin, 1990). Pendapat ini juga disarankan oleh Vygotsky (1978), yang
mana beliau melihat pembelajaran akan dapat ditingkatkan dengan menggunakan alat
psikologi dan alat teknologi yang sesuai seperti peralatan sains dan jika alat teknologi
tidak digunakan dengan betul, maka ini akan menjejaskan pembelajaran tersebut. Pelajar
perlu biasa mengendalikan peralatan saians kerana mengikut Carter, Westbrook dan
Thompkins (1999), pelajar boleh diajar menggunakan radas untuk mengumpul data,
tetapi data tersebut mungkin tidak bermakna jika pelajar tidak biasa mengendalikan radas
tersebut. Berdasarkan dapatan kajian, guru perlu memperbanyakkan aktiviti amali bagi
memberi peluang yang secukupnya bagi pelajar berinteraksi dengan peralatan dan radas
sains dan seterusnya menguasai kemahiran manipulatif sehingga ke tahap yang paling
tinggi. Kemahiran ini dapat membantu pelajar mempelajari sains di peringkat yang lebih
tinggi nanti dan seterusnya mampu merealisasikan usaha kerajaan untuk melahirkan ahli
saintis dan teknologis yang berkemahiran tinggi.

18
RUJUKAN
Allie, S., Buffler, A., Kaunda, L. Campbell, B. & Lubben, F. (1998). First-year physics
students perceptions of the quality of experimental measurements. International
Journal of Science Education, 20(4), 447-459.
Azizi Hj. Yahya, Shahrin Hashim & Fathiah Mohamed @ Mohd. Zamani. (2007). Tahap
penguasaan kemahiran manipulatif dikalangan guru pelatih kimia Universiti
Teknologi Malaysia. Dimuat turun pada 2 April 2008, dari
http://eprints.utm.my/390/1/AziziYahaya_penguasaan_matematik.pdf
Bloom, B.S. (1956). Taxonomy of educational objectives, handbook I: The cognitive
domain. New York: David McKay
Carter, G., Westbrook, S.L. & Thompkins, C.D. (1999). Examining science tools as
mediators of students learning about circuit. Journal of Research in Science
Teaching, 36(1), 89-105.
Clark, D. (1999). Learning domains or Blooms taxonomy, the three types of learning.
Dimuat turun pada 5 Mac 2007, dari
http://www.nwlink.com/~donclark/hrd/bloom.html
Delargey, M.J.N. (2001). How to leaarn quickly, pleasantly and thoroughly: Comenian
thoughts. School Science Review, 82(3), 79-84.
Eglen. J.R. dan Kempa, R.F. (1974). Assessing manipulative skills in practical chemistry.
Research in Science Education, 14(1), 213-222.
Ferris, T.L.J. & Aziz, S.M. (2005). A psychomotor skills extension to Blooms taxonomy
of education objectives for engineering education. Proceedings of iNEER
Conference for Engineering Education and Research, 1-5 March, 2005, Tainan,
Taiwan, W14.
Hofstein, A., Shore, R. & Kipnis, M. (2004). Providing high school chemistry students
with opportunity to develop learning skills in an inquiry-type laboratory: A casestudy. International Journal of Science Education, 36(1), 297-306.
Izuan Shah Ahmad Tajudin (2005). Meningkatkan keberkesanan amali kimia melalui
penggunaan Jotter Book. Dimuat turun pada 28 Mei 2007, dari
http://www.kmph.matrik.edu.my/WebRnD/Seminar05.htm
Kementerian Pelajaran Malaysia (2001). Sukatan pelajran kimia sekolah menengah.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

19
Kind, S.P.M.(1999). TIMSS performance assessment across national comparison of
practical work Dimuat turun pada 3 Disember 2005, dari
http://phgs.ntu.no/instdef/prosjekter/
Lee, H.H. (2005) Kajian tindakan: Meningkatkan keberkesanan Jotter Book dalam
amali kimia. Dimuat turun pada 28 Mei 2007, dari
http://www.kmph.matrik.edu.my/WebRnD/Seminar05.htm
Marsh,G., Parkes, T. & Boulter, C. (2001). Childrens understanding of scale the use of
micrscopes. School Science Review, 82(3), 27-31.
Pennsylvania State University (PSU) 2(003). Teaching and learning with technology.
Dimuat turun pada 5 November 2005, dari
http://tlt.its.psu.edu/suggestions/research/psychomotor_taxonomy.shtml
Rollnick, M., Zwane, S., Staskun, M., Lotz. S. & Green, G. (2001). Improving prelaboratory preparation of first year university chemistry students. International
Journal of Science Education, 23(10), 1053-1071.
Sinnadurai, W., Alyas Mohamad, Rohani Abd. Hamid dan Wan Mazlan Wan Muda
(2004). Amali sains dalam pengajaran dan pembelajaran sains teras di kalangan
pelajar tingkatan Empat. Dimuat turun pada 3 Mei 2005, dari
http://mpkt.edu.my/penyelidikan/amalisains.htm
Sterling, D.R. (1999). Measuring skills. The Science Teacher, 66(1), 58-62.
Sweeney, A.E. & Paradis, J.A. (2004). Developing a laboratory model for the
professional preparation of future science teachers: A situated cogntinion
perspective. Research in Science Education, 34(2), 195-219.
Tobin,K. (1990). Research on science laboratory activities: In pursuit of better questions
and answers to improve learning. School Science and Mathematics, 90(5), 403506.
Vygotsky, L.S. (1978). Mind in Society. Cambridge, MA: Harvard University Press

You might also like