You are on page 1of 5

NILAI MORAL DALAM SENI TAMPAK DAN APA LAGI SELEPAS ITU.

Dalam tujuan kita memperhalusi seni secara munasabahnya ialah menarik kesedaran
pada makna yang dapat dinikmati dan kesedaran makna itu adalah sebahagian
daripada kehidupan manusia. Dengan memperhalusi seni cara sebegini, kita tidak
menempuh kegagalan dalam menikmati seni.

Setiap hasil seni memberi kesan kepada pemerhati atau penerima, sama ada dalam
bentuk emosi dan psikologi. Sebagai hasil seni tidak kesemuanya melahirkan
keserupaan, keseragaman yang unik untuk diterima oleh pemerhati kerana ia
meletakkan kesan impresif bersifat artistik. Kepada golongan marhain hal ini agak
sukar kerana mereka hanya tahu cantik dan tidak cantik tentang seni dan sukar untuk
menterjemah apa yang terselindung dalam fikiran dan perasaan manusia yang menjadi
hal benda dalam karya tersebut. Yang boleh menimbulkan makna dan kemudian
makna-makna ini dikaitkan melalui perkataan yang boleh dikongsi bersama ialah imej
nyata yang berkait dengan nilai moral dan perkara yang mudah dan senang dalam
kehidupan.

Aktiviti seni berasaskan kesan rasa dikatakan dapat menggerakkan perasaan juga
minda. Seni bermula bersama insan dan objek yang disambung kepada orang lain
dalam satu perasaan. Ia diekspreskan menerusi perasaan dalaman, cuma yang hendak
dikongsi itu boleh jadi kuat atau lemah, mustahak atau tidak, sangat buruk atau baik.
Dalam seni untuk dikongsi makna mengikut rasa dan pengalaman memerlukan unsur-
unsur makna dalam pergerakan, garisan, warna, bunyi atau bentuk yang diekspreskan
menerusi imej dan simbol. Jadi untuk mengalihkan maksud yang sama dalam
perkongsian makna memerlukan antara satu sama lain antara pengalaman dan
perasaan dan inilah aktiviti seni.

Seni adalah suatu aktiviti kemanusiaan yang dilalui bersama makna dan dapat dikesan
melalui tanda-tanda luaran. Seni satu manifestasi daripada idea-idea tentang keindahan
dan apabila kedua-dua makna iaitu kemanusiaan dan keindahan ini dicantumkan ia
memberi kefahaman kepada dua pihak. Imej kemanusian dan keindahan itu dapat
diterima kecuali sebahagian nilai keindahan itu agak subjektif hanya sebahagian yang
dapat berkongsi makna indah dan cantik itu. Dengan demikian di manakah tempat dan
ruang untuk diterapkan nilai moral? Tentunya nilai moral itu boleh diterapkan di sebalik
imej dalam aktiviti kemanusiaan dengan imej yang membantu tanda dan simbol luaran.

Seni berada dalam masyarakat, menjadi hak kepunyaan masyarakat yang mengalihkan
suatu yang tidak baik kepada yang lebih baik. Namun dengan persepsi yang sempit,
seni telah hilang nilainya. Dalam tujuan kita memupuk seni agar hidup subur dan
dituturkan ke dalam masyarakat, nilai moral yang diterima dalam sesuatu budaya itu
perlu dikaji kembali walaupun dalam era globalisasi nilai sejagat itu boleh dikongsi
bersama tetapi interpretasinya telah dikelirukan.

Nilai moral dan nilai keindahan dalam karya akan sentiasa berada dalam masyarakat
melalui proses perkongsian pengalaman dan perasaan. Proses ini mahu dizahirkan
melalui seni dan hasilnya adalah kepunyaan seniman bersama kepunyaan masyarakat.
Jika karya itu diasingkan daripada seniman, perlu disedari kesan pengasingan itu masih
tidak menghilangkan sifat diri dan gaya seniman. Masyarakat boleh mengasingkan
karya daripada diri seniman, tetapi akhirnya akan dicari kembali siapa seniman di
sebalik karya tersebut. Seni tidak akan wujud apabila terpisah daripada audiensnya.
Seni dan audiens wujud bersama-sama bererti seniman itu bersama masyarakat.

Jika masyarakat dipengaruhi oleh suasana seni dan persekitaran yang menceliksenikan
masyarakat maka objek, simbol, imej akan menjadi suatu yang berseni. Jika tidak ada
hubungkait dan ia tidak disatukan dengan yang lain maka ia bukannya seni. Melalui
kaitannya dengan nilai moral, emosi, pengalaman dan kesan dalaman boleh membawa
kepada tanda-tanda berseni dan martabat seni itu diangkat kepada seni yang terunggul.
Seni dan seniman tidak lagi terasing dalam masyarakat. Seni dan seniman diterima
sebagai hasil dan produk pemikiran dalam masyarakat. Setiap golongan dalam
masyarakat saling berfungsi dan membantu menjadikan seni itu sebagai sebahagian
dari kehidupan. Tidaklah lagi seni itu dianggap elit dan terkongkong dalam sempadan
dan dunianya yang unik dan tersendiri. Seni akhirnya nanti diikhtiraf apabila tema,
konsep dan hal benda menyentuh isu-isu moral dalam budaya, dalam agama, politik
dan mencetuskan kesedaran yang matlamatnya menuju kesejahteraan bersama.

Lebih bagus seni itu menjadi sesuatu yang berseni apabila lebih kuat kesan
dalamannya. Seni yang kita bicarakan bukan sekadar luaran tetapi nilai dalaman
sebagai kesedaran yang dialihkan ke atas audiens. Nilai dalaman yang diterapkan
kesedaran moral ini bergantung pada tiga suasana;

* Perasaan bermoral yang cukup tinggi dan cuba dialihkan ke dalam seni.

* Pengalaman bermoral yang mahu dijelaskan ke dalam seni.

* Nilai moral sebagai identiti yang dapat dialihkan ke dalam seni.

Ketiga-tiga suasana ini akan mempengaruhi khalayak pemerhati dan membawa kesan
sekiranya karya itu tidak beretika dan tidak bermoral yang diterapkan sebagai imej.
Lebih banyak imej yang kurang bermoral maka lebih kuat kesannya ke atas pemerhati.
Lebih bernafsu dan berahi lagi kenikmatan songsang yang dapat diperolehi oleh
pemerhati dan sampai ke tahap rakus bernafsu dengan kesediaan seniman
meneruskan perkongsian tersebut tanpa kerahsiaan. Begitulah sebaliknya jika karya itu
dialihkan kepada suatu kenikmatan kesedaran yang bermoral maka lebih mewah lagi
kenikmatan seni yang beretika dapat dididik dan diperolehi oleh pemerhati.

Kejelasan dalam mengekspreskan hasil karya meninggalkan kesan kesedaran dan


kesan kepuasan yang dapat menjelaskan perasaan. Hal ini berlaku secara terdidik
dalam semua tahap dalaman yang diadakan dalam seni secara sedar meningkatkan
tahap keunggulan seniman. Lambat laun, pemerhati dapat merasai bahawa seniman
telah memasukkan unsur dalaman menerusi karyanya sendiri ke arah kebaikan.
Keadaan mental seperti ini membawa kesan dalaman ke atas pemerhati dan mengikat
suatu kontrak untuk terus bersama dalam menikmati karya seni. Dengan ini seniman itu
sendiri memperolehi sesuatu untuk diekspreskan bagi keperluan dirinya juga kepada
pemerhati untuk turut merasai kesedarannya.

Tiga suasana yang disenaraikan dalam seni bernilai moral secara dalaman dikira
menjadi satu keaslian dan berkualiti sebagai contoh yang berkait dengan budaya dan
agama. Situasi tersebut mengandungi kesedaran seniman itu sendiri secara sedar
bertanggungjawab meletakkan ketulenannya meluahkan perasaan dan pengalaman
bagi mencari kemurnian di sebalik seni. Lebih ramai seniman melukis berdasarkan
unsur dalaman yang bermoral secara langsung kesan ketulenan itu dapat dirasai.
Tercapainya ketulenan ini meletakkan kesedaran dan menjadi makna murninya budaya
setempat itu berasaskan nilai moralnya yang menyakinkan. Jadi benarlah pentingnya
peranan seniman membantu peranan orang lain dalam masyarakat itu jika statusnya
sama dengan pemikir yang bermoral. Sebaliknya jika seni dan seniman itu berkarya
dalam dunia seninya semata-mata, ia berkarya dengan seni yang penuh kedegilan dan
tak layak berada dalam masyarakat yang sedang berperang melawan keruntuhan
moral.

Suasana keikhlasan juga penting dan lazimnya seni yang dihasilkan bersama
keikhlasan akan dibantu dengan penerangan oleh ahli masyarakat yang lain,
menjadikan seni itu lebih bermoral dan berfungsi. Peranan ahli masyarakat bersama
situasi yang ada saling membantu bagi menyeimbangkan antara matlamat peribadi
dengan kehendak seni.

Dengan ketiga-tiga suasana ini menjadikan seni suatu karya yang kaya dengan
perkongsian emosi, pengalaman dan daya fikir bersesuaian dengan budaya dan
agama setempat. Kualiti hasil karya yang sebahagiannya datang dari hal banda
dalam persekitaran budaya setempat menjadi lebih kuat dan mantap kerana
disokong oleh unsur dalaman yang mengajak audiens berfikir tentang ketinggian
nilai moral dalam sesebuah karya itu.

Tiga suasana yang dijelaskan tadi dapat menonjolkan kerja seni sebagai karya
berkualiti. Jika semua suasana ini dihadirkan walaupun dalam tahap yang kecil
maka karya yang terhasil walaupun lemah, akhirnya ia akan diterima sebagai karya
bermoral kecuali jika batas-batas etika yang merupakan norma-norma dari sifat
‘Jamal’ dilanggar.

Nilai moral dalam seni juga dibantu oleh persepsi agama. Dalam setiap period
sejarah, setiap kelompok kehidupan manusia menghasilkan kefahaman tentang
makna dalam kehidupan yang dizahirkan menerusi nilai kepercayaan dalam agama.
Nilai agama dalam masyarakat adalah seperti air sungai yang mengalir. Jika ia terus
mengalir, harus ada arah tujunya. Nilai sesuatu persepsi agama itu selalu dipilih
oleh masyarakat dari landasan yang selari dengan seni yang boleh mengalih
kehidupan sebenar yang bermoral. Setengah karya seni berada pada tahap tinggi
tetapi hilang nilai moralnya kerana tidak selari dengan nilai agama. Bilamana seni
itu mengalihkan rentak yang sedia ada dan tergelincir dari persepsi agama
kadangkala timbul bantahan dan cemuhan. Pengalihan perasaan menerusi makna-
makna yang menghubungkan manusia dengan agama tidak dicemuh dan tidak
ditolak kerana nilai moral itu bersama agama. Kedudukan ini meletakkan seni
sebagai asas pada sifat-sifat manusia yang secara semulajadi dibantu dan dinilai
kembali oleh kesedaran agama yang ada dalam kehidupan.

Pada umumnya kita melalui seni itu bersama ruang agama dan tumbuh
berkembang. Manusia yang tidak beragama boleh membawa berbagai jenis falsafah
seni dan teori estetika untuk menyembunyikan makna sebenar dan meletakkan
kesalahan yang dilakukan kepada orang lain sehingga kita tidak dapat berfikir lagi.
Manusia jenis ini boleh mengelirukan konsep agama dengan persepsi seni dan
sanggup berhujah dalam nada falsafah yang tinggi dan menang dengan akal logik.
Walaupun agama diserang dan kembali establish dalam kehidupan, ini
menunjukkan agama telah berjaya mengharmonikan hidup dan menjadi garis
panduan dalam berkarya.

Rujukan:

1. Edmund Burke Feldman 1994. Practical Art Criticism. Prentice-Hall, Inc.,


Englewood Cliffs, New Jersey.

2. Patricia H. Werhane 1984. Philosophical Issues in Art. Prentice-Hall, Inc.,


Englewood Cliffs, New Jersey.
3. Oswald Hanfling (Editor) 1992. Philosophical Aesthetics An Introduction.
Blackwell Publishers, Oxford, UK.

You might also like