You are on page 1of 9

Terdapat pelbagai kajian dan pendekatan terhadap kemahiran belajar yang telah diketengahkan.

Menurut Abdul Razak Habib (2002) kemahiran belajar merujuk kepada gaya pembelajaran yang
merangkumi motif dan strategi tertentu yang diamalkan oleh pelajar bagi memperolehi hasil
pembelajaran tertentu. Dunn dan Dunn (1992) menyatakan pelajar-pelajar yang mempunyai
pencapaian akademik yang lebih cemerlang, lebih berdisiplin dan mempunyai sikap yang positif
apabila mereka mempunyai teknik belajar yang berkesan. Justeru itu, kaedah dan pendekatan
kemahiran belajar yang lebih praktikal adalah sangat wajar untuk diketengahkan kepada para
pelajar. Kemahiran belajar 5 domain merupakan satu pendekatan berdasarkan pengalaman
penulis sebagai kaunselor di sekolah. Kertas kerja merupakan tinjauan awal untuk melihat
sejauhmana kemahiran belajar yang melibatkan lima domain sesuai dan praktikal digunakan
oleh para pelajar di sekolah bagi membantu mereka mengusai pengetahuan seterusnya
membantu pencapaian dalam bidang akademik.


1.0 PENDAHULUAN

Kajian Hewitt (1973) menunjukan bahawa faktor-faktor yang menjadi punca kegagalan pelajar
dan ketidakupayaan untuk mencapai skor yang baik adalah kerana mereka mempunyai
masalah dalam kaedah pembelajaran mereka. Dunn dan Dunn (1992) menyatakan pelajar-
pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih cemerlang, lebih berdisiplin dan
mempunyai sikap yang positif apabila mereka mempunyai teknik belajar yang berkesan. Ini
menunjukan kemahiran belajar mempunyai korelasi terhadap pencapaian akademik seseorang.

Menurut Abdul Razak Habib (2002) kemahiran belajar merujuk kepada gaya pembelajaran yang
merangkumi motif dan strategi tertentu yang diamalkan oleh pelajar bagi memperolehi hasil
pembelajaran tertentu. Gaya pembelajaran merupakan satu bentuk gaya belajar yang
diaplikasikan oleh para pelajar sebagai salah satu alternatif untuk memudahkan mereka
memahami sesuatu pelajaran. Justeru itu, adalah penting bagi pelajar mengetahui kemahiran-
kemahiran belajar yang betul bagi menjamin kejayaan mereka dalam setiap mata pelajaran.


2.0 KEMAHIRAN BELAJAR DAN PENCAPAIAN AKADEMIK

Rata-rata pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan menyatakan antara rahsia kejayaan
mereka termasuk mempunyai perancangan dan kemahiran belajar yang sistematik. Bermula di
dalam kelas yang formal di kelas sehinggalah ketika mereka mengulangkaji pelajaran di rumah,
mereka mempunyai pendekatan dan kemahiran belajar yang berkesan.

Menurut Md Yusuf Hj Arshad (1992), kajian yang telah dijalankan oleh Gall M.D. dan rakan-
rakan (1990) bertajuk `Tools for Learning menyatakan kemahiran belajar boleh meningkatkan
pencapaian akademik pelajar di sekolah. Perkara ini disokong dengan kajian dan pendapat
pengkaji yang lain seperti:
Entwistle (1960) menyatakan bahawa pencapaian pelajar bertambah baik dengan adanya
kursus-kursus kemahiran belajar
Shay (1972) menyatakan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran belajar dan sikap
yang baik akan mencapai gred yang baik
Kirschembaum dan Peril (1983) menyatakan bahawa kemahiran belajar seperti pengurusan diri
dan teknik belajar akan memberi kesan terhadap pembelajaran seseorang pelajar
Zimmerman dan Pang (1986) menyatakan bahawa penggunaan kemahiran belajar yang
sistematik adalah faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mencapai kejayaan dalam
pelajaran mereka
Deshler dan Schumaker (1986) menyatakan bahawa pelajar yang diberi kemahiran belajar
menunjukan penambahan dalam pencapaian markah
Wilson (1988) yang membuat kajian tentang kemahiran belajar telah menyatakan sebagai
`dramatic evidence of its effectiveness

Menurut Chibnal (1987), belajar merupakan satu proses untuk mengembangkan pembelajaran,
mempelajari soalan-soalan tertentu, membuat persediaan di samping melukis gambar rajah,
peta, graf seterusnya untuk lulus dengan cemerlang di dalam pepriksaan. Dengan ini adalah
mustahak untuk mengetahui kaedah belajar yang tepat bagi mendapat markah yang baik di
dalam pepriksaan.

Kajian yang dilakukan oleh Abd Razak Habib (2000) berkaitan gaya pembelajaran pelajar
cemerlang diuniversiti menunjukan bahawa pelajar yang cemerlang mempunyai motivasi
dalaman yang tinggi di samping strategi pembelajaran yang baik. Daripada pernyataan
berkenaan menunjukan kemahiran belajar yang disertai dengan motivasi yang tinggi terbukti
boleh meningkatkan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Para pelajar perlu ditanamkan
kesedaran agar mereka dapat menguasai teknik belajar yang berkesan supaya dapat
memperolehi gred yang cemerlang, khasnya kepada mereka yang mempunyai pencapaian
yang rendah.


3.0 KEPENTINGAN KEMAHIRAN BELAJAR 5
DOMAIN


Meskipun banyak kajian yang telah dibuat berkaitan
kemahiran belajar, satu pendekatan yang benar-
benar praktikal perlu untuk diketengahkan. Ini
disebabkan perbezaan individu berkait dengan
variasi gaya pembelajaran mereka. Perbezaan
individu ini juga menggambarkan perbezaan corak
dan strategi pembelajaran yang diamalkan
seterusnya akan menentukan kecenderungan dan
minat belajar seseorang. Meskipun setiap individu
itu berbeza, diharapkan perbezaan ini tidak dijadikan
alasan untuk mereka memperolehi kejayaan yang
cemerlang. Diharapkan kemahiran belajar 5 domain
ini akan membantu setiap pelajar sama ada
berpencapaian tinggi atau rendah untuk menguasai
pengetahuan.

Di samping itu juga, memang tidak dapat dinafikan
banyak kajian-kajian lepas yang memperlihatkan
pelbagai bentuk gaya pembelajaran termasuklah
gaya pembelajaran auditori, gaya pembelajaran
visual di samping gaya pembelajaran kinestetik.
Diharapkan melalui modul ini akan
menambahbaikan gaya dan pendekatan kemahiran
belajar yang sedia ada dalam konteks tempatan
bersesuaian dengan perkembangan dan
persekitaran diri seseorang pelajar.

Kajian ini juga sedikit sebanyak dapat membantu
para kaunselor khususnya di sekolah. Ini
disebabkan antara bidang utama profesion
kaunselor adalah untuk membantu meningkatkan
pencapaian akademik para pelajar.


4.0 PENDEKATAN TEORI

Rentetan dari usaha untuk memahami dan mengimplementasi modul, kajian ini bersandarkan
kepada teori yang dikemukakan oleh Howard Gadner iaitu Gardners Multiple Intelligences
Theory. Teori yang berkait dengan kepelbagaian kecerdasan ini boleh dijadikan sandaran
selari dengan tuntutan teori yang mementingkan penyesuaian guru terhadap strategi
instruksional dalam usaha untuk memenuhi keperluan pelajar. Oleh demikian, dari konteks
kajian ini ianya dilihat kebolehan penyesuaian pelajar untuk menyesuaikan diri dengan apa
yang perlu dipenuhi oleh mereka sendiri untuk memperolehi maklumat dan pembelajaran.

Terdapat lapan jenis kecerdasan yang dikemukakan oleh Gardner. Kecerdasan pertama adalah
kecerdasan bahasa atau linguistik yang melibatkan keupayaan menguasai bahasa. Individu
yang memiliki kecerdasan ini cenderung untuk berfikir dalam bentuk perkataan (yakni
melisankan apa yang difikirkan) serta berupaya membentuk kemahiran audio (bersuara).
Individu ini juga boleh memberikan perhatian yang sepenuhnya dari aspek tatabahasa serta
perbendaharaan kata dan tidak ketinggalan berkeupayaan untuk menggunakan sesuatua
perkataan secara jelas.

Kecerdasan muzik boleh dilihat dari satu medium yang sama dengan kecerdasan bahasa.
Melalui muzik, individu berupaya menyalurkan perasaan dan emosi dari segi menjiwai,
mengetahui dan memahami perasaan. Kecerdasan ini mempunyai nilai tara yang tinggi kerana
ianya boleh disebatikan dengan pelbagai kecedasan yang lain. Aspek kecerdasan ketiga adalah
berkait dengan kecerdasan logik-matematik yang mengandungi keupayaan untuk
mengenalpasti corak, penakulan secara deduktif serta berfikir secara logik. Umpamanya,
kanak-kanak bermula dengan meneroka kecerdasan ini dengan mula menyusun objek yang
dipelajari secara realiti dan kemudian beralih dengan melakukan perkiraan dalam otak mereka
secara manipulatif. Keadaan ini secara beransur-ansur mula membawa ke arah pembentukkan
kemahiran rantaian penakulan yang berpanjangan.

Dalam merealisasikan keupayaan untuk memanipulasi dan menbentuk imej-imej mental bagi
menyelesaikan sesuatu masalah, individu didorong dengan kecerdasan ruang. Individu
sedemikian dapat menanggap keadaan visual sekeliling secara tepat, boleh membuat
transformasi dan modifikasi terhadap persepsi awal serta boleh mencipta semula persepsi-
persepsi awal walaupun tiada rangsangan secara nyata yang diberikan. Dengan erti kata lain,
kecerdaan ruang ini adalah keupayaan persepsi secara visual.

Bagi kecerdasan badan-kinestetik, individu mempunyai keupayaan untuk memahami dunia
sekeliling secara ekpresif dengan tubuh badan. Penggunaan kemahiran motor kasar dan motor
halus dapat dikawal sepenuhnya oleh individu dan gabungan kriteria ini dapat menjurus ke arah
pengawalan objek secara tepat. Ini sudah tentu membawa impak yang besar pada tindakan dan
juga keupayaan yang dinamik.

Selain itu, Gardner turut menjelaskan tentang kecerdasan interpersonal di mana individu turut
memiliki keupayaan untuk memahami, menanggap dan mendiskriminasi antara mood,
perasaan, motivasi serta kecerdasan-kecerdasan lain yang dimiliki oleh manusia. Berbeza
dengan kecerdasan intrapersonal, ia lebih berkait dengan aspek dalam kendiri idividu yang
lebih dicirikan dengan kepuayaan untuk memahami diri dan kemampuan diri. Kedua-dua aspek
kecerdasan dapat dipupuk dan diperteguh dengan rangsangan sumber-sumber yang
bersesuaian, umpamanya sumber dalaman yang lebih bersifat pemberian makna seperti aspek
kesabaran dan pujian, dan melalui kerja berkumpulan bagi pemupukan kecerdasan
interpersonal.

Kecerdasan lain yang boleh diperolehi dari pemerhatian dan pengalaman adalah kecerdasan
environmental or naturalist. Ia melibatkan keupayaan untuk memahami simbol semulajadi
untuk meneliti keseimbangan bagi meneruskan kehidupan. Pendedahan secara semuladi
terhadap persekitaran secara semulajadi membolehkan pelajar memperolehi manfaat dengan
mengalami pembelajaran secara hands-on.

Ringkasnya, penjelasan kelapan-lapan aspek kecerdasan oleh Gardner membolehkan individu
mendasari semula komponen utama yang dicerminkan oleh pelajar dengan kepelbagaian cara
dan corak belajar yang berbeza oleh mereka. Menurut Silver, Strong dan Perini (1997), gaya
belajar adalah merupakan keperbezaan cara individu berfikir dan belajar, fokus kepada
bagaimana individu menyerap maklumat, pemikiran dan seterusnya membuat penilain
terhadap hasil yang diperolehi.

Intipatinya, gaya belajar yang berbeza ini, jika dilihat dari pangkalnya adalah berteraskan
tunjang kecerdasan yang sama. Apa yang membezakan adalah penggunaan kecerdasan
tersebut dengan kepelbagaian dominasi tertentu mengikut keselesaan seseorang individu. Atas
dasar ini, pengkaji merasakan satu bentuk penyepaduan modul perlu diketengahkan dalam
usaha untuk membantu pelajar melengkapkan diri dengan kemahiran belajar yang bersesuaian
dan efektif. Sudah pastinya penyepaduan lapan aspek kecerdasan sebagaimana yang
dikemukakan oleh Gardner diterjemahkan kepada lima aspek domain yang dirasakan perlu
digemblengkan kearah pembentukkan modul kemahiran belajar yang bersifat pelbagai dimensi
(multidimensional).



5.0 GAYA BELAJAR 5 DOMAIN

Perkara yang penting dalam proses pembelajaran ialah untuk mendapat maklumat, memproses
seterusnya disimpan sebagai ingatan. Ingatan adalah satu perkara penting untuk para pelajar
bagi mengeluarkan maklumat itu semula dalam peperiksaan. Ahli psikologi telah banyak
membuat banyak kajian dan cerapan bagaimana manusia itu mengingati sesuatu. Kajian ahli
psikologi menunjukan manusia mempunyai daya ingatan yang berbeza bagi maklumat dalam
bidang yang berlainan. Dalam perkataan lain, manusia mempunyai kekuatan ingatan yang
berlainan terhadap wajah dan fakta sains.

Satu lagi cerapan ahli psikologi ialah kita mengingat dengan memilih apa yang kita mahu ingat.
Ianya melibatkan emosi keinginan ingin tahu yang tinggi berdasarkan perasaannya. Perkara ini
mungkin disebabkan oleh naluri inginkan pengetahuan ataupun sebagai satu keperluan lain
berasaskan matlamat yang ingin dicapai seperti untuk lulus peperiksaan atau seumpamanya.

Berasaskan fakta di atas menunjukan proses pembelajaran melibatkan pancaindera sama ada
otak sebagai agen kognitif, aspek perasaan (kognitif) dan sebagainya. Justeru itu, penulis
merasakan, proses pembelajaran yang aktif dan berkesan perlu melibatkan semua pancaindera
yang melibatkan beberapa domain utama iaitu domain audio, domain visual, domain kognitif,
domain afektif dan domain psikomotor di mana penulis namakan sebagai kemahiran belajar 5
domain. 5 Domain perlu dilibatkan dalam proses pembelajaran khasnya untuk tujuan
meningkatkan ingatan para pelajar.


5.1 Domain Audio

Domain audio adalah yang menggunakan pancaindera pendengaran untuk mendengar
maklumat yang diperolehi. Dalam proses pembelajaran secara asasnya semua pelajar akan
menggunakan domain ini. Sama ada berkesan atau tidak pendengaran ini adalah bergantung
kepada domain-domain yang lain. Sepanjang pembelajaran para pelajar sama ada domain ini
digunakan sepenuhnya adalah sukar untuk ditentukan. Ini disebabkan semasa proses
pengajaran dan pembelajaran kebanyakan para pelajar tidak dapat menumpukan perhatian
sepenuhnya kerana gangguan persekitaran yang ada. Ini menunjukan proses pembelajaran
tidak boleh hanya bergantung kepada domain audio sahaja.


5.2 Domain Visual

Domain visual menggunakan pancaindera penglihatan. Apa sahaja aktiviti visual akan
membawa kepada kefahaman yang nyata. Kefahaman yang nyata bermaksud bukannya yang
berbentuk khayalan atau imaginasi. Apa yang dilihat adalah sangat penting. Perkara yang
menjadi persoalan ialah kenapa dengan hanya menggunakan domain visual, pelajar masih
tidak dapat menguasai dan memberi tumpuan terhadap apa yang diajar ?. Ini menunjukan
kepentingan keterlibatan domain yang lain yang boleh mengukuhkan terhadap proses
mendapat maklumat.


5.3 Domain Kognitif

Ahli psikologi kognitif berpendapat, pembelajaran adalah proses mental yang aktif untuk
mendapat ilmu, menyimpan, mengingat dan menggunakan ilmu (Ramlah Jantan, 2002). Ianya
akan melibatkan proses aktif minda untuk memperolehi pengetahuan dan mendorong
seseorang untuk belajar. Didalam proses pembelajaran domain kognitif sepatutnya dilibatkan
secara aktif. Namun demikian, para pelajar biasanya agak sukar untuk dilibatkan secara
maksima. Ia akan menjadi sukar sekiranya pengajaran dan pengajaran yang dijalankan hanya
bersifat sehala.


5.4 Domain Afektif

Domain afektif adalah melibatkan perasaan, nilai yang dipegang, sensitiviti dan persepsi
individu. Bagi kebanyakan pelajar ada yang mempersepsikan sesetengah matapelajaran adalah
susah dan sukar. Ini akan menjadikan motivasi dan keinginan mereka untuk belajar akan
semakin menurun. Justeru itu, domain afektif bagi mewujudkan sesi pembelajaran sebagai
senang dan menyeronokan akan banyak membantu pelajar untuk minat belajar. Justeru itu,
pendekatan kemahiran belajar 5 domain cuba diketengahkan oleh penulis bagi menarik minat
pelajar untuk belajar.


5.5 Domain Psikomotor

Domain psikomotor melibatkan pergerakan tubuh atau apa sahaja pergerakan aktiviti dalam
bentuk tingkahlaku. Menurut Selmes (1987), latihan dalam mengaplikasikan strategi belajar
adalah perlu. Pembelajaran yang melibatkan pergerakan dan aktiviti akan menimbulkan
keseronokan seterusnya meningkatkan keupayaan untuk mengingat sesuatu maklumat.
Pendekatan belajar yang melibatkan perbincangan dengan rakan, melibatkan aktiviti,
menyelesai masalah dan seumpamanya melibatkan domain psikomotor.


6.0 KEMAHIRAN DAN APLIKASI

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pembelajaran yang berkesan memerlukan penumpuan
yang penuh. Ini menunjukan semua domain yang melibatkan pancaindera berkenaan mestilah
digunakan sepenuhnya. 5 domain memainkan peranan yang penting dalam agar pelajar dapat
memberiukan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang mereka pelajari sama ada dalam
pembelajaran secara formal di kelas ataupun ketika mereka mengulangkaji secara individu
ataupun bersama rakan-rakan.

Ketika proses pembelajaran, kebanyakan pelajar tidak menggunakan kelima-lima domain
sepenuhnya. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menguasai maklumat secara maksima.
Tanpa penggunaan lima domain ini juga mereka sukar untuk memberikan tumpuan terhadap
pengajaran guru.

Penulis seterusnya akan cuba menghuraikan antara kaedah perlaksanaan pendekatan 5
domain dalam proses pembelajaran. Sebagai contoh dalam mengingati formula dalam
matematik, fizik, kimia, menghafal ayat al-quran dan seumpamanya. Cuba lihat formula berikut:

x = (x+y)2 + (n+1)3 r 2
_________________________
(n+1) (n-1) + rq3/4

Bagaimanakah caranya bagi seseorang itu mengingat formula itu dengan cepat ?. Kita jangan
membincangkan individu yang mempunyai kebolehan mengingat yang hebat, atau mereka yang
mempunyai `camera eye yang mana apabila mereka melihat sahaja formula berkenaan mereka
mempunyai kemampuan untuk mengingat dengan cepat.

Langkah pertama yang kita gunakan ialah dengan memecahkan formula itu kepada beberapa
pecahan. Contohnya formula di atas pecahan pertama x = ; seterusnya pecahan kedua
(x+y)2 ; pecahan ketiga (n+1)3 r 2 ; begitulah seterusnya.

Langkah kedua ialah dengan menulis semula pecahan yang pertama tadi ( x =) berulangkali
sambil menyebutnya dengan terang dan jelas. Langkah ketiga, setelah pelajar dapat mengingat
pecahan pertama baharulah akan meneruskan dengan pecahan yang kedua dengan
menggabungkan pecahan pertama dan kedua sekali iaitu x = (x+y)2. Pelajar akan menulis
pecahan pertama dan kedua berulangkali sambl menyebutnya dengan terang dan jelas.
Langkah keempat, pelajar akan meneruskan langkah seperti tadi sehinggalah semua formula
itu dapat diingati dengan berkesan.

Melalui teknik di atas, secara tidak langsung kelima pancaindera yang melibatkan 5 domain
akan berfungsi dengan aktif dan berkesan. Deria mata akan melihat, deria telinga akan
mendengar, deria tangan yang melibatkan psikomotor akan menulis, di samping dengan
sendirinya aspek kognitif dan afektif akan turut dikawal bersama dalam proses pembelajaran
berkenaan. Pendekatan tadi boleh dilakukan untuk mengingat ayat-ayat al-quran, formula-
formula, rajah-rajah saintifik dan seumpamanya.

Perlaksanaan 5 domain juga boleh dilakukan secara sinergi, iaitu gabungan dengan rakan-
rakan pelajar yang lain. Contohnya untuk mengingat konsep yang diutarakan oleh Aristotle
tentang falsafah kehidupan ada tujuh iaitu politik, retorika, estetika, metafizika, logika, etika dan
ekonomi.

Langkah pertama, pelajar membuat kumpulan dan duduk dalam bulatan. Tujuh falsafah
Aristotle tadi akan diagihkan kepada setiap pelajar di mana mereka akan mengingat satu
terminologi sahaja. Langkah kedua, orang yang pertama akan menyebut terminologi yang
pertama iaitu `politik. Langkah ketiga, orang yang kedua pula akan menyebut termonologi
rakannya yang pertama iaitu `politik di samping terminologi kedua bagi dirinya iaitu `retorika.
Langkah keempat, orang yang ketiga akan menyebut terminologi rakannya yang pertama dan
kedua baharulah terminologi bagi dirinya iaitu `estetika. Begitulah seterusnya sehingga
keseluruhan terminologi berkenaan akan disebut. Melalui aktiviti ini, ianya akan melibatkan
kesemua lima domain para pelajar iaitu domain visual, audio, kognitif, afektif dan psikomotor, di
samping pelajar akan lebih bersemangat, cergas dan seronok untuk belajar. Pengalaman
penulis ketika melaksanakan kaedah ini, pelajar dapat mengingat formula tadi lebih kurang tiga
minit.

Di dalam melaksanakan kemahiran belajar lima domain ini, juga akan melibatkan kekreatifan
pelajar. Contohnya para pelajar boleh mengingat formula ataupun fakta-fakta tertentu dalam
bentuk lakaran yang kreatif. Lakaran berkenaan boleh dikongsi dengan rakan-rakan
kumpulannya.



7.0 PENUTUP DAN KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan merupakan aspek penting kepada individu,
masyarakat dan negara. Satu pendekatan proses pembelajaran yang praktikal dan berkesan
perlu dijanakan agar memberi kesan kepada perkembangan ilmu ini. Aspek perbezaan pelajar
dari segi personaliti, psikologi dan pencapaian tidak boleh dijadikan alasan agar setiap pelajar
sepatutnya mampu mengusai ilmu. Justeru itu, satu kajian saintifik yang lebih mendalam wajar
dilakukan bagi melihat apakah pendekatan yang relevan serta mudah dilaksanakan khasnya
dalam institusi pendidikan. Penulisan ini hanyalah satu cetusan pengalaman bagi pengkajian
yang lebih terperinci.

You might also like