You are on page 1of 12

Maksud Istinjak

Istinjak dari segi bahasa ialah putus. Manakala dari segi syarak pula ialah menghilangkan
najis daripada kemaluan dengan menggunakan air, batu, atau kedua-duanya, atau sesuatu
yang dibolehkan syara untuk bersuci.
Menurut Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji dalam kitab
mereka Fikah Al-Manhaji Mazhab Syafie mengatakan bahawa :

Istinjak ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar kencing
atau air besar. Perkataan istinjak diambil daripada perkataan an-naja iaitu selamat dan
terhindar daripada penyakit atau diambil daripada perkataan an-najwah iaitu tanah yang
tinggi atau daripada perkataan an-najw iaitu sesuatu yang keluar daripada dubur. Ia
dinamakan dengan istinjak di sisi syarak kerana orang yang beristinjak berusaha untuk
melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya ia dilakukan di
tempat yang tertutup seperti di belakang tanah yang tinggi dan seumpamanya.

Rumusan dari pendapat di atas mengatakan bahawa istinjak ialah menghilangkan najis ringan
atau berat dari tempat keluarnya najis (khubul dan dubur) dengan menggunakan air, batu,
kulit kayu atau benda-benda kesat. Tujuan istinjak adalah untuk membolehkan solat atau
ibadah lain. Istinjak adalah wajib dilakukan oleh semua umat Islam, sepertimana sabda
Rasulullah saw yang bermaksud :

Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang
ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-
gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air
kecil. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Istinjak
Wajib istinjak dengan air atau dengan batu atau suatu yang keras dan suci dan kesat serta
tidak dihormati. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang
ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat
orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air
kecil. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dosa bagi sesiapa yang meninggalkan istinjak dengan sengaja kerana orang tersebut berada
didalam kekotoran.

Rukun Istinjak
1. Islam.
2. Alat untuk istinjak, seperti air, batu, kertas atau seumpamanya.
3. Tempat yang diistinja iaitu qubul dan dubur.
4. Istinjakkan itu membersihkan sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu
qubur atau dubur.

Syarat Istinjak
1. Menghapuskan rasa najis.
2. Menghapuskan bau najis.
3. Menghapuskan warna najis.

Cara Istinjak
1. Istinjak mestilah 3 kali berturut-turut, jika masih belum suci, boleh diulang lagi
basuhan sehingga suci.
2. Alat dibuat istinjak mestilah melingkupi tempat yang disapu.
3. Beristinjak mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar dari
kemaluan manusia.
Istinjak Dengan Batu
Menggunakan satu batu besar atau tiga ketul batu, sapukan kepada tempat keluarnya najis
iaitu qubur. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak
dengan menggunakan air. Hadis Rasulullah SAW :

Dikatakan kepada Salman ra : Sesungguhnya Nabi kamu SAW telah mengajar kamu semua
perkara termasuk cara membuang air. Lalu dikata : Benar, sesungguhnya baginda melarang
kami mengadap kearah kiblat ketika membuang air besar dan kecil, melarang kami
beristinjak menggunakan tangan kanan atau istinjak menggunakan kurang dari tiga biji batu
atau beristinjak dengan najis atau tulang. (Riwayat Muslim)

Afdhal beristinjak dahulu dengan tiga biji batu atau tiga bahagian pada satu buji batu yang
besar sehingga diyakini bersih, maka dibasuh pula dengan menggunakan air mutlak sehingga
bersih pada bahagian kemaluan yang terkena najis tersebut.

Disunatkan setiap bilangan penyucian itu diganjilkan bilangannya seperti 3, 5, 7, 9 dan
seterusnya. Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda :

Sesiapa beristinjak dengan batu, maka hendaklah ia ganjilkan bilangannya. Sesiapa yang
memperbuat begitu maka sesungguhnya itulah yang lebih baik, tetapi sesiapa yang tidak
berbuat begitu maka tidaklah ia berdosa" (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

Cara Isntinjak Dengan Batu
1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan
kemaluan yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.
2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan kemaluan kiri
lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.
3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubur.
4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis
secara perlahan-lahan.
5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada
dubur lebih dahulu kering daripada qubur. Jika najis telah kering, wajib menggunakan
air.

Syarat Istinjak Dengan Batu
1. Najis tersebut tidak terkena tempat lain.
2. Bagi membuang air besar hendaklah najis tersebut berlemak-lemak, tidak cair
atau lembik.
3. Hendaklah najis itu tidak terkena najis lain ke atasnya. Kalau ia terkena najis
lain, maka ia wajib beristinjak dengan menggunakan air mutlak.
4. Sekurang-kurangnya menggunakan tiga biji batu atau tiga bahagian dari sebiji
batu besar. Jika tiga batu masih tiada menyucikan hendaklah ditambah lagi hingga
diyakini suci.
5. Haram beristinjak menggunakan tulang dan najis yang menjadi keras.
Begitulah juga haram beristinjak dengan sesuatu yang tertulis perkataan yang
dimuliakan seperti ayat Al-Quran, Hadis, ilmu yang bermanfaat, nama-nama nabi-
nabi, malaikat dan alim ulamak.

Istinjak Dengan Air Mutlak

Menurut Dato Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya
Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

Beristinjak menggunakan air samalah juga dengan menggunakan batu iaitu dibersihkan
sehingga hilang bau, rasa, zat dan warnanya.

Untuk memastikan bersih atau tidak qubul atau dubur, maka boleh dirasakan dengan tangan
sendiri, jika ia berasa kesat dan tidak berlendir, maka ia telah dikira bersih dan suci qubul atau
dubur. Air merupakan alat yang terbaik untuk beristinjak, kerana air dapat menghilangkan ain,
rasa, bau dan warnanya sekali.

Cara Istinjak Dengan Air Mutlak
1. Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.
2. Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.
3. Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.
4. Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda
yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit
ruas jarinya.
5. Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis
padanya ketika membasuh dubur.
6. Sunat selepas istinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.
7. Sunat ketika istinjak membaca doa.
8. Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.
9. Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar
menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali
maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat
pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.

Setelah selesai beristinjak dengan menggunakan air mutlak, batu atau benda-benda kesat,
maka disunatkan membaca doa :

Ya Allah, bersihkan hatiku daripada sifat munafik dan peliharalah kemaluanku daripada
kejelekkan (kekotoran).

Adab Beristinjak
Di sini terdapat etika yang dituntut ke atas setiap muslim supaya melakukannya ketika qada
hajat dan beristinjak. Di antara etikanya ialah :


Tempat Menunaikan Hajat
1. Jalan orang ramai atau tempat mereka duduk atau berkumpul kerana ia boleh
menyakitkan mereka. Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW telah bersabda
: Takutlah kamu kepada dua perkara yang membawa kepada laknat. Para sahabat
bertanya : Apakah dua perkara tersebut? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang
membuang air besar (menunaikan hajatnya) di tempat laluan orang ramai atau
tempat mereka berteduh. (Riwayat Muslim)
2. Dalam lubang pada tanah atau pada dinding dan seumpamanya kerana ia akan
menghasilkan perkara-perkara yang menyakitkan. Kemungkinan di dalam lubang
tersebut terdapat binatang yang berbisa seperti kala jengking atau ular lalu ia keluar
dan menyakitkannya. Kadang-kadang terdapat di dalamnya haiwan yang lemah, maka
ia boleh menyakitkan binatang tersebut. Daripada Abdullah Bin Sarjis bahawa ia
berkata : Rasulullah SAW melarang daripada kencing di dalam lubang iaitu lubang
tanah.(Riwayat Abu Daud)
3. Di bawah pokok yang berbuah bagi memelihara buah tersebut daripada
tercemar ketika luruhnya sama ada buah tersebut dimakan atau diambil manfaat
dengannya. Ini supaya perasaan seseorang tidak merasa jijik.
4. Air yang tenang/bertakung. Ini kerana jiwa manusia akan merasa jijik dengan
air tersebut sekalipun air itu banyak dan najis tersebut tidak merubah rasa, bau atau
warnanya. Atau pun air itu akan dibuang begitu sahaja jika najis itu mengubahnya.
Larangan ini juga termasuk pada air yang kurang dari 2 kolah. Daripada Jabir ra
daripada Nabi SAW bersabda : Baginda SAW melarang kencing dalam air
(bertakung) tenang (Riwayat Muslim)


Masuk Dan Keluar Tempat Qada Hajat
1. Disunatkan kepada orang yang qada hajat supaya melangkah dengan kaki kiri
ketika masuk dan dengan kaki kanan ketika keluar. Ini kerana itulah yang lebih layak
untuk tempat-tempat kotor dan najis. Dan jangan ia membawa perkataan yang
menyebut nama Allah dan juga namaNya yang lain.
2. Disunatkan juga membaca zikir dan doa-doa yang telah thabit daripada
Rasulullah SAW ketika masuk tandas dan keluar daripadanya.

Arah Mengadap
Haram ke atas orang yang qada hajat mengadap kearah kiblat atau membelakangkannya
sekiranya ia berada di tempat lapang dan tidak ada pendinding yang tinggi yang menutup
auratnya ketika qada hajat.
Begitu juga haram qada hajat di dalam binaan yang tidak disediakan sebagai tempat qada
hajat dan tidak mencukupi syarat-syarat pendinding seperti dinding yang tinggi yang
menutupi auratnya.
Disyaratkan dinding yang menutupnya itu tidak jauh daripadanya lebih daripada 3 hasta
dengan ukuran tangan manusia atau menyamai lebih kurang 150cm. sekiranya binaan tersebut
disediakan sebagai tempat qada hajat (tandas) maka janganlah mengadap kiblat atau
membelakangkannya. Daripada Abi Ayub Al-Ansari ra. Daripada Nabi SAW bersabda :

Apabila kamu datang ke tempat qada hajat maka janganlah kamu mengadap kea rah kiblat
dan jangan kamu membelakangnya sama ada ketika buang air kecil atau besar, tetapi
mengadaplah kea rah timur atau barat. (Riwayat Al-Bukhari)

Keadaan Orang Yang Qada Hajat
Dia hendaklah duduk di atas tumit kaki kiri dan mendirikan lutut kaki kanan serta tidak
melihat ke langit, kemaluannya dan najis yang keluar daripadanya. Ini kerana perbuatan
tersebut adalah tidak layak dengan keadaanya itu. Dan makruh dia bercakap dan lainnya
ketika qada hajat. Daripada Ibnu Umar ra berkata :
Seorang lelaki lalu berdekatan Rasulullah SAW yang sedang membuang air kecil. Lalu dia
memberi salam tetapi Baginda tidak menjawab. (Riwayat Muslim)
Makruh juga perbuatan yang lain seperti makan, minum dan bercakap-cakap ketika sedang
melakukan perbuatan qada hajat.

Beristinjak Menggunakan Tangan Kiri
Orang yang qada hajat hendaklah menggunakan tangan kirinya untuk membersihkan tempat
najis sama ada dengan air atau batu dan seumpamanya kerana itulah yang lebih layak
dilakukan. Sekiranya ia menggunakan tangan kanan maka hukumnya adalah makruh
sebagaimana makruh menyentuh zakar dengan tangan kanan.
Sekiranya ia perlu kepada memegang zakar untuk membersihkannya dengan batu dan
seumpamanya (benda-benda yang beku/pejal), maka ia hendaklah memegang batu tersebut
tanpa menggerakkannya dengan tangan kanannya dan tangan kirinya memegang zakar dan
mengerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat yang najis tersebut. Daripada Abi
Qatadah ra daripada Nabi SAW bersabda :

Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah ia mengambil (memegang) zakarnya
dengan tangan kanannya dan jangan ia beristinjak dengan tangan kanannya. (Riwayat Al-
Bukhari)


Alat Yang Haram Digunakan Untuk Istinjak
1. Tidak sah beristinjak dengan menggunakan benda-benda yang najis atau
mengandungi najis, kerana ia akan menambahkan lagi kesan najis yang sepatutnya
dikurangkan dengan cara beristinjak. Daripada Abdullah Bin Masud ra berkata
: Nabi SAW telah datang ke tempat qada hajat dan menyuruh aku membawa 3 biji
batu kepadanya. Aku hanya dapati dua biji batu dan aku cari yang ketiga tetapi tidak
mendapatinya. Kemudian aku mengambil tahi binatang dan bawa kepadanya, lalu
Baginda mengunakan dua biji batu tersebut dan membuang najis itu seraya berkata :
Ini adalah najis. (Riwayat Al-Bukhari)

2. Haram beristinjak dengan menggunakan makanan yang dimakan oleh anak
Adam. Contohnya seperti roti dan lain-lainnya. Haram juga beristinjak dengan
menggunakan tulang, kerana ia merupakan makanan jin dan haiwan seperti anjing.
Daripada Ibnu Masud ra dari Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : Telah datang
kepadaku Jin yang memanggil, lalu aku pergi bersamanya dan aku membacakan Al-
Quran kepada mereka. Ibnu Masud menceritakan lagi, dan mereka itupun meminta
bekalan. Lalu Baginda menjawab : Bagi kamu semua tulang yang disebut di atasnya
nama Allah, ia berada di tangan-tangan kamu dalam keadaan daging yang lebih
banyak, dan juga tahi-tahi binatang menjadi makanan kepada binatang-binatang
kamu.(Riwayat Muslim)

3. Haram beristinjak dengan sesuatu benda yang dihormati seperti anggota
haiwan yang bersambung dengannya seperti tangan dan kakinya, lebih-lebih lahi
anggota manusia kerana perbuatan tersebut berlawanan dengan kemuliaannya.

Hikmah Istinjak

Melakukan istinjak dapat membersihkan anggota badan supaya anggota badan menjadi sihat
dan cergas. Orang yang sihat akan sentiasa ceria dan bersemangat dalam setiap pekerjaannya
yang dilakukan. Kesihatan yang baik dapat menghindarkan diri daripada segala penyakit yang
disebabkan dari kuman atau kekotoran. Sebab itulah Islam sangat mengambil berat soal
kebersihan ini kerana ia mempunyai hubungan yang kuat dengan kesihatan.

Orang yang sihat dapat melakukan segala ibadah kepada Allah dengan semangat dan
kekuatan tenaga yang ada dan juga dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan khusyuk.
Allah sangat suka kepada orang yang menjaga kebersihan diri dan kebersihan sekelilingnya.
Kekemasan dan kebersihan adalah merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW, sebagai umat
Islam kita perlu meneladani apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Orang yang mempunyai kebersihan diri akan sentiasa dihormati oleh orang sekelilingnya.
Malah ia juga menjadi model atau contoh kepada masyarakat sekelilingnya. Berbeza dengan
orang yang tidak bersih, kerana masyarakat akan memandangnya jijik dan mereka tidak mahu
mendekati orang yang tidak bersih. Orang yang tidak bersih ini sering kalinya berada dalam
keadaan yang tidak terurus, kotor, busuk dan sebagainya.

Beristinjak atau membersihkan diri daripada najis dapat menghindarkan diri dari berbagai-
bagai penyakit yang disebabkan kekotoran najis. Kuman yang disebabkan najis yang
dikeluarkan oleh seseorang dapat dihilangkan dengan cara istinjak sehingga bersih. Ini
bertujuan untuk mengelakkan diri dari dihinggapi oleh berbagai penyakit. Islam telah
meletakkan kaedah istinjak yang paling baik kepada umatnya supaya dapat menjauhkan diri
daripada berbagai penyakit.

You might also like