You are on page 1of 9

7

1. Definisi, Konsep, dan Objektif Tamadun


Perbincangan tentang ilmu ketamadunan telah banyak dikupas oleh tokoh-tokoh
sarjana di Timur mahupun di Barat dari pelbagai perspektif. Pelbagai istilah telah muncul
dalam mendefinisikan pengertian tamadun, di mana secara umumnya ianya membawa erti
pencapaian kemajuan dari segi pembangunan fizikal di samping memupuk tingkah laku
yang baik.
Istilah tamadun telah mendapat perhatian dan dibahaskan secara terperinci oleh
sarjana Timur dan Barat. Istilah tamadun sering digunakan bagi menggambarkan kemajuan
kebendaan sesebuah masyarakat. Dalam konteks penggunaan semasa, istilah ini merujuk
kepada pencapaian yang tinggi khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang kini
ditonjolkan mengikut acuan yang bermodelkan tamadun Barat. (Mashitah Sulaiman &
Adibah Sulaiman @ Mohamad, 2011, hlm. 5)
Penggunaan istilah tamadun yang berasal dari bahasa Arab iaitu tamaddun telah
lama diterima pakai dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Penggunaannya dalam bahasa
Melayu dikenali sebagai fenomena peminjaman mengikut teori antara bahasa. Semua istilah
di atas secara umumnya merujuk kepada makna yang sama iaitu maju atau mencapai
kemajuan (Esposito, 1995).
Perkataan tamadun dari sudut etimologi berasal daripada perkataan maddana dalam
bahasa Arab. Maddana merupakan kata kerja yang merujuk kepada perbuatan membuka
bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti. Daripada perkataan maddana
ini lahirlah perkataan madani yang merupakan sifat nama. Madani merujuk kepada sifat
sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti
yang terpuji. Kedua-dua perkataan maddana dan madani sendiri sebenarnya berasal
daripada perkataan al-deen yang bermaksud agama, iaitu menggambarkan kehidupan
beragama. (Chandra Muzaffar, Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi, Hashim Hj. Musa,
& Mohd Zuhdi Marsuki, 2001, hlm. 3-17)
Perkataan tamadun melahirkan beberapa perkataan lain yang menjelaskan lagi
kandungan maksud yang diungkapkannya. Antara yang dimaksudkan ialah madinah
(bandar) dan madani (keselesaan hidup dan ketinggian budi). (Mohd Liki Hamid, 2004, hlm.
4-5)
Selain daripada itu, perkataan yang sering digunakan dalarn bahasa lnggeris untuk
memberi maksud tarnadun ialah civilization atau civilisation. Perkataan ini berasal daripada
perkataan civitas dalam bahasa Latin yang bermaksud bandar atau kota. Tamadun dari segi
8

bahasa mempunyai erti yang sama dengan istilah civilization dalam bahasa Inggeris.
Civilization berasal daripada istilah bahasa Perancis iaitu city (bandar) (Azhar Hj. Mad Aros,
Azharudin Mohd Dali, Arba'iyah Mohd Noor, & Salina Hj. Zainol, 2000). Seperti hadarah dan
peradaban, civilization juga membawa maksud menekankan penggabungan antara
ketinggian budaya hidup dan kemajuan kebendaan.
Dalam bahasa Melayu pula, tamadun dilihat dari dua aspek iaitu peradaban dan
kebudayaan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan pengertian tamadun dalam
Kamus Dewan. Maksud tamadun yang dipetik dari Kamus Dewan Edisi Keempat, tamadun
ialah keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf
kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik, dll) yang tinggi,
negara dan penduduknya yang telah mencapai taraf kemajuan kebendaan serta
perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik, dll) yang tinggi (2005).
Menurut pandangan sarjana Islam, Ibn Khaldun dalam Muqaddimah, perkataan
madani membawa maksud masyarakat dan apabila digabungkan dengan umran, ia
bermaksud masyarakat madani atau masyarakat yang bertamadun yang mempunyai ciri-
cirinya yang tersendiri. Menurut Syed Mohamad Naquib al-Attas pula, tamadun ialah
keadaan hidup bermasyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan tatasusila dan
kebudayaan yang luhur dalam masyarakatnya. (S.M Naquib Al-Attas, 1996)
Menurut pandangan salah seorang sarjana Barat, iaitu Arnold Toynbee dalam
bukunya A Study of History, beliau mengatakan tamadun ialah sejenis kebudayaan yang
wujud di bandar-bandar dan disimpulkan sebagai tatacara hidup yang dicetuskan oleh
orang-orang yang hidup di bandar (1972). M.A.J Beg membuat kesimpulan bahawa
tamadun terdiri daripada rangakaian fenomena masyarakat seperti bandar, huruf, senibina,
agama, undang-undang dan rangkaian dasar politik (1980).
Clive Bell dalam bukunya Civilization menghujahkan antara perkara yang amat
penting dalam tamadun ialah kewujudan leisured class iaitu kewujudan mereka yang
bersedia memberikan masa lapangnya (surplus time) untuk membantu orang lain (1938).
Merujuk pandangan Bell di atas, ada dua kata kunci penting yang menjadi asas
memahami tahap pencapaian ketamadunan iaitu leisured class dan surplus time. Beliau
melihat tamadun sebagai manifestasi kejayaan menyediakan suatu keadaan di mana
anggota masyarakat itu mempunyai masa untuk melakukan aktiviti berhibur dengan adanya
masa senggang. Ini selari dengan pandangan yang melihat bahawa antara ciri masyarakat
bertamadun adalah yang dapat menzahirkan kreativitinya melalui aktiviti masa senggang
seperti mereka cipta hasil seni dan berkarya.
9

Asmah Haji Omar mengatakan bahawa objektif ilmu ketamadunan ialah untuk
mencapai hasrat wawasan negara membentuk bangsa Malaysia menjelang 2020. Lantaran
itu, ia mempunyai beberapa matlamat iaitu:
1. Memupuk persefahaman tulen dan sikap hormat menghormati dalam kalangan
rakyat pelbagai agama, keturunan, bangsa dan budaya khususnya dalam kalangan
generasi yang bakal menjadi pemimpin negara, demi mencapai perpaduan dan
keutuhan negara.
2. Memperkukuhkan falsafah dan cara hidup Malaysia yang dicapai menerusi
musyawarah dan ijma (consensus)
3. Memperkukuhkan jati diri Malaysia sebagai negara majmuk yang mengamalkan
toleransi tinggi.
4. Memupuk nilai-nilai universal dalam kalangan rakyat Malaysia
5. Melahirkan para siswazah yang berfikiran luas dan berpandangan global selaras
dengan peranan dan pengaruh global negara Malaysia pada masa kini dan hadapan
6. Melahirkan bangsa Malaysia bertamadun tinggi yang sanggup memperjuangkan
nilai-nilai ketamadunan universal yang luhur dan murni
7. Memantapkan penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Melaysia
8. Melengkapkan bakal pewaris kepimpinan negara dengan ilmu yang membolehkan
mereka memahami dan menghadapi pergolakan dunia dan cabaran global semasa
9. Membantu melahirkan masyarakat madani dalam erti kata yang sebenar
10. Memajukan ilmu ketamadunan demi kemajuan ilmu pengetahuan seluruhnya.
Kesimpulannya, ramai tokoh yang memperkatakan tentang tamadun sama ada
penulis dari tamadun Islam atau penulis Barat atau penulis dari tamadun lain dan mereka
memperkatakannya mengikut kaca mata dan kecenderungan masing-masing. Tamadun
dapatlah dikatakan sebagai suatu perubahan atau pembangunan atau kemajuan yang
berlaku dalam setiap bidang kehidupan masyarakat sama ada berbentuk fizikal, peraturan,
pentadbiran atau sebagainya dan juga pembangunan spiritual. Tamadun mementingkan
kedua-dua aspek kehidupan namun pembangunan akhlak dan spiritual adalah diutamakan.





10

5. Kesan Interaksi antara Tamadun
Sepanjang arus perkembangan tamadun-tamadun dunia sama ada tamadun
Mesopotamia, Babylon, Mesir, Yunani, India, China sehinggalah kepada tamadun Islam dan
Barat, wujud pertalian antara mereka sebagai suatu perhubungan yang normal antara
manusia. Wujudnya interaksi ini kerana semua tamadun mengamalkan sikap tolaransi yang
tinggi serta saling hormat menghormati sesama tamadun. Sifat-sifat yang baik itu akan
membuka ruang percambahan fikiran dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun
berkenaan dalam pelbagai aspek kemajuan.
Hasil pertembungan itu banyak menyumbang kepada kemajuan peradaban manusia
kini. Kita perlu ingat bahawa setiap tamadun mempunyai peradaban, idea, nilai, dan falsafah
yang pelbagai dan kadangkala berbeza antara satu sama lain. Perbezaan-perbezaan ini
kadangkala dapat membawa kepada pergeseran yang mencetuskan konflik dan juga
membawa kesan positif sewaktu berinteraksi.
Kesan positif interaksi antara tamadun ialah antara Tamadun India dengan China.
Interaksi antara Tamadun India dengan Tamadun China telah memberi kesan positif kepada
kedua-dua tamadun. Interaksi ini telah membawa kesan positif seperti penyebaran agama
Buddha di negara China. Agama Buddha dibawa masuk ke China pada kurun pertama
Masihi. Ketika itu, maharaja China menghantar wakil ke India untuk mendalami ajaran
agama ini dan menyesuaikannya dengan budaya masyarakat Cina seperti doktrin (prinsip)
Daoisme dan Konfusianisme. Sami dari China menetap di India untuk mempelajari kitab
Buddha yang menggunakan bahasa Sanskrit dan Pali sehingga berjaya menyusun doktrin
Buddha dalam satu koleksi yang digelar Tripitaka. Kesan positif kepada Tamadun India ialah
berkembangnya teknologi membuat kertas, bahan letupan dan pengunaan kompas dari
Tamadun China ke dalam Tamadun India. Interaksi antara Tamadun India dan China
berlaku secara aman melalui hubungan perdagangan dan keagamaan (Afifah Abu Yazid,
2004).
Kesan interaksi tamadun seterusnya ialah di antara Tamadun Islam dengan Yahudi
dan Kristian yang berlaku semasa zaman kemunculan Islam di Tanah Arab. Dalam
Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah) yang digubal oleh Nabi Muhammad S.A.W. di
Madinah, hak-hak orang Kristian dan Yahudi serta penganut-penganut agama lain telah
diberikan perlindungan. Hak ini adalah berkaitan dengan kebebasan mengamalkan tuntutan
agama mereka tanpa gangguan oleh umat Islam yang lain termasuklah Nabi Muhammad
S.A.W. sendiri.
11

Hal ini terus diikuti oleh pemerintah-pemerintah Islam ketika zaman Khulafa al-
Rasyidin, Bani Umaiyah, Abbasiyah, Uthamaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam di India.
Penganut-penganut Kristian dan orang Yahudi turut mendapat kedudukan yang tinggi dalam
pentadbiran beberapa buah kerajaan Islam. Misalnya, ketika zaman pemerintahan
Abbasiyah, tokoh-tokoh intelektual Yahudi dan Kristian telah memberikan sumbangan
mereka dalam penterjemahan buku-buku Greek ke dalam bahasa Arab. Di Andalusia,
Sepanyol juga ramai penulis dan ahli intelektual dari kalangan individu-individu Yahudi dan
Kristian (Fairuzah Hj. Basri, 2008).
Antara interaksi Tamadun Islam dan China yang turut memperlihatkan kesan positif
ialah proses interaksi secara aman iaitu melalui perdagangan. Pedagang-pedagang Arab
dan Parsi memainkan peranan penting dalam interaksi ini. Hasil daripada interaksi ini
terdapat komuniti Arab-Islam yang menetap di China. Berlaku perkahwinan campur antara
pedagang-pedagang ini dengan wanita-wanita tempatan. Semasa zaman pemerintahan
dinasti-dinasti Tang, Sung, Yuan dan Ming, telah muncul beberapa orang tokoh Islam yang
memainkan peranan penting dalam pentadbiran.
Kesan penting yang terhasil daripada interaksi ini ialah penyebaran agama Islam di
negeri China yang akhirnya mewujudkan komuniti Islam tempatan China yang digelar Hui
(Osman Chuah, 2004). Komuniti China ini telah menghasilkan Han Kitab iaitu maksud
literalnya ialah Buku China. Buku ini menunjukkan persamaan etika dalam Islam dan juga
Konfusianisme. Oleh sebab itu, munculnya cendiakawan-cendiakawan Islam tempatan yang
mahsyur seperti Liu Zhi dan Mha Zhu. Cendiakawan-cendiakawan tempatan ini telah
mencari keselarian ajaran-ajaran etika dan nilai Islam dengan Konfusianisme. Konsep-
konsep hubungan keluarga, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan raja, dan nilai-nilai moral
yang terdapat dalam ajaran Konfusianisme telah dijadikan landasan untuk memperkenalkan
agama Islam kepada masyarakat China. Kesejajaran inilah yang menyebabkan ajaran Islam
tidak mendapat tentangan daripada ahli-ahli falsafah Konfusianisme seperti yang dihadapi
oleh ajaran agama Buddha. (Josef W. Meri, 2006).
Tidak semua interaksi di antara tamadun menghasilkan kesan yang positif. Terdapat
juga interaksi yang menyebabkan kesan negatif. Umpamanya di Eropah, hubungan antara
orang-orang Kristian dan Yahudi telah mengalami kemerosotan sejak awal lagi. Kesan
daripada hubungan yang tidak baik ini menyebabkan berlakunya pembunuhan orang Yahudi
secara beramai-ramai pada abad ke-9 dan-18 Masihi. Perkara ini berlaku akibat daripada
faktor-faktor perbezaan agama, ketidakseimbangan ekonomi dan sosial.

12

Begitu juga halnya dengan hubungan orang-orang Islam dan Kristian dalam Zaman
Pertengahan di Eropah. Pemerintah-pemerintah Kristian di Eropah telah bertindak
melancarkan beberapa siri perang ke atas orang-orang Islam yang dikenali sebagai Perang
Salib. Peperangan tersebut telah mengorbankan ramai penganut Islam dan Yahudi.
Peperangan ini turut dicetuskan oleh faktor-faktor perbezaan agama, ekonomi dan politik
(Paul Mojzes, 2012).
Kesan negatif turut berlaku dalam hubungan antara Tamadun Islam dengan
Tamadun China. Contohnya pada tahun 751 Masihi, tentera Islam di bawah pimpinan Ziyad
bin Salih telah mengalahkan angkatan perang China yang dipimpin oleh Kao Hsien-chih
sedangkan pada masa tersebut kerajaan Islam Abbasiyah mempunyai hubungan diplomatik
dengan kerajaan Tang di China. Permusuhan antara orang-orang Islam dengan orang-
orang China juga dicetuskan oleh rasa tidak puas hati terhadap pencapaian ekonomi pihak
yang bertentangan.
Contohnya pada abad ke-8 Masihi, penduduk Han di tenggara China telah
mewujudkan permusuhan dengan orang-orang Islam kerana iri hati terhadap kemewahan
yang dinikmati oleh orang-orang Islam yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti
perdagangan. Pada tahun-tahun 758 Masihi dan 876 Masihi telah berlaku pemberontakan-
pemberontakan yang menyebabkan ramai orang-orang Islam dibunuh dan melarikan diri
dari Canton. Pemberontakan pada tahun 876 Masihi bukan sahaja bersifat anti-Islam tetapi
juga anti orang asing.
Secara umumnya, setiap tamadun manusia sudah saling berinteraksi sejak dari dulu
hinggalah ke hari ini. Hal ini disebabkan oleh ramai sarjana berpendapat bahawa sesebuah
tamadun itu tidak boleh hidup bersendirian. Maka dengan itu, tamadun ini akan sentiasa
berinteraksi dan berhubung dengan tamadun-tamadun lain demi untuk memenuhi fitrah dan
keperluan asas sebagai manusia. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa
interaksi antara tamadun-tamadun ini sudah pasti akan meningggalkan beberapa kesan
dalam tamadun tersebut, tidak kira impak yang positif ataupun impak yang negatif.





13

9. Peranan Islam Dan Kesannya Dalam Pembinaan Tamadun Malaysia
Penerimaan Islam ke dalam masyarakat Melayu adalah secara damai dan sejahtera.
Tidak terdapat bukti sejarah yang mengatakan masyarakat Nusantara menerima kemasukan
Islam secara paksa. Jika ada pun, perselisihan yang wujud adalah bersifat setempat dan
tidak menyeluruh disebabkan faktor keengganan menerima perubahan. Misalnya,
peperangan di antara Raja Raden Fattah (Ciri) dengan Prabu Udara (Majapahit) pada awal
abad ke-16 M.
Tamadun Melayu ialah sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia
yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang Melayu dan bertempat di suatu
wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan
Melayu Indonesia (Malay Indonesia Achipelago), Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawa
dan sebagainya. Menurut Mohd Ghouse Nasuddin (1993), tamadun Melayu merujuk kepada
satu rumpun bangsa yang berasal daripada satu punca, mempunyai asas kehidupan yang
sama dan hanya berbeza dari segi pengaruh alam perskitaran.
Tamadun Islam merupakan penghayatan Islam sebagai sebuah cara hidup (way of
the life) yang menyeluruh. Tamadun Islam berbeza dengan tamadun dunia yang lain kerana
ia meletakkan al-Din sebagai asas yang membentuk tamadun berbanding dengan tamadun
lain yang diasaskan oleh manusia.
Kesan pengaruh Islam dalam tamadun Malaysia yang pertama ialah dari segi akidah
dan kepercayaan. Kepercayaan dan agama merupakan dua aspek sosial yang agak sukar
untuk dipisahkan kerana sebahagian besar daripada kepercayaan termasuk dalam agama.
Umumnya, akidah bermaksud iman, yakni kepercayaan atau keyakinan hidup. Sebelum
kedatangan Islam ke Alam Melayu, masyarakat tempatan telah pun mempunyai
kepercayaan mereka tersendiri yang biasanya diistilahkan sebagai animisme, dinamisme,
dan pemujaan Hyang atau nenek moyang. Mereka percaya bahawa setiap benda dan jiwa
mempunyai perwatakan sendiri samada ia membawa kesan buruk mahupun baik. (Haron
Daud, 1989). Fahaman tauhid telah mengubah world view orang Melayu daripada zaman
Hindu-Buddha dengan penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, alam
khayalannya, penyembahan berhalanya, kepada ajaran tauhid yang murni (Muhammad
Uthman, 1977).
Islam turut membawa perubahan dalam sistem pendidikan. Selepas kedatangan
Islam, golongan bawahan menerima pendidikan yang sama seperti golongan atasan. Sistem
pendidikan yang bermula di istana mula beralih ke beberapa institusi pendidikan Islam
seperti pondok dan madrasah. Melalui sistem pengajian ilmu tersebut lahirlah para
14

cendiakawan dan ulama-ulama Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-
guru dan ahli agama. Antara tokoh-tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik
Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004).
Bukti keteguhan kedudukan agama Islam di Asia Tenggara dapat dilihat daripada
kewujudan penggunaan tulisan Jawi oleh orang-orang Melayu ketika itu. Tulisan Jawi ini
disesuaikan oleh masyarakat Melayu yang asalnya dari perkataan Arab. Pada era kerajaan
Melayu Melaka (1400-1511 M) misalnya, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi
lapan puluh empat bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Melaka ketika itu. (Mahayudin
Hj. Yahya, 1998).
Dalam pada itu, bahasa Melayu itu telah diperkayakan dengan kata-kata pinjaman
serta istilah daripada bahasa Arab. Perkembangan ini dapat dilihat bukan sahaja dalam
kitab serta karya sastera semasa pada zaman selepas itu, malah buku-buku Sejarah juga
mempunyai tajuk asal dalam bahasa Arab seperti Sulalatus Salatin, Tuhfat al-Nafis,
Bustanus-Salatin dan lain-lain lagi (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992).
Kedatangan agama Islam telah mempengaruhi sistem perundangan di Alam Melayu.
Sistem perundangan tempatan turut mengalami perubahan seperti yang tercatat dalam
Hukum Kanun Melaka, Adat Pepatih, dan Adat Temenggung. Undang-undang adat yang
tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam dikekalkan. Contohnya hakim boleh
menggunakan budi bicaranya sama ada menjatuhkan hukuman potong tangan bagi
kesalahan mencuri ataupun didenda dan dipenjara sahaja.
Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara sistem perundangan
masyarakat Melayu juga berubah kepada sistem adat dan Islam. Contohnya Melaka
mempunyai Hukum Kanun Melaka yang meliputi tanah, sungai, dusun dan setiap tanah
jajahan takluk Melaka. Undang-undang Laut Melaka meliputi perusahaan perkapalan,
perdagangan di laut dan di darat dan kegiatan yang berkaitan dengannya. Kedua-dua
kumpulan undang-undang ini adalah didasarkan kepada hukum syariah dan juga hukum
adat yang telah wujud sejak dahulu lagi (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992).
Kedatangan Islam telah memberi perubahan terhadap sistem politik. Contohnya,
agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka. Sehubungan itu, beberapa
institusi Islam didirikan bagi membantu mengukuhkan sistem pentadbiran berasaskan Islam.
Antara institusi yang didirikan adalah Jabatan Agama Islam dan Syariah.
Gelaran raja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan khalifah seperti yang
diperkenalkan dalam sistem politik Islam. Dengan kedatangan Islam juga, terdapat suatu
15

unsur kekuasaan rakyat dalam menentukan penubuhan sistem beraja. Rakyat boleh
mengubah perjanjian jika syarat-syarat dilanggar oleh raja.
Konsep dewaraja bertukar kepada konsep sultan. Ia merupakan suatu gelaran
kepada orang yang diamanahkan mentadbir sesebuah negeri dan pada masa yang sama
berperanan sebagai khalifah Allah SWT di bumi. Kepatuhan dan ketaatan pada sultan
adalah kepatuhan yang bersyarat, bukan kepatuhan mutlak seperti konsep dewaraja. Dalam
konteks sosial, Islam mengajar tidak ada pengkastaan dalam masyarakat seperti dalam
pengaruh Hindu-Buddha, sebaliknya pembentukan masyarakat mestilah diasaskan pada
keadilan yang bersendikan agama. Raja dan rakyat, tua dan muda, kaya dan miskin
semuanya mempunyai peranan dalam masyarakat.
Dari segi pentadbiran, kerajaan Melayu Melaka ditadbir oleh seorang sultan yang
mempunyai kuasa penuh dalam urusan pentadbiran negara. Sultan juga berperanan
sebagai ketua dalam agama Islam dan ketua negara. Sultan juga bertanggungjawab
mempastikan pentadbiran dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Buktinya, di zaman
pemerintahan Melayu Melaka, kerajaan amat maju dan stabil (Afifah Abu Yazid, 2003).
Kedatangan Islam ke Melaka telah merubah sistem kekeluargaan dalam masyarakat
Melayu. Dalam sistem perkahwinan, didapati hukum syarak mempunyai pengaruh yang
besar malah ianya dicatat di dalam Hukum Kanun Melaka. Contohnya perkara-perkara yang
berkaitan dengan syarat pernikahan, yang menetapkan adanya wali bagi pengantin
perempuan dinyatakan dalam FasaI 25.1, hadirnya saksi Fasal 26, upacara ijab dan kabul
Fasal 25.2, kontrak perkahwinan Fasal 27, talak Fasal 28.1, dan wanita-wanita yang boleh
dikahwini Fasal 28.2 (Azmah Abdul Manaf, 2001).
Kesimpulannya, Islam memberi pengaruh yang besar kepada masyarakat dan
tamadun Melayu. Proses penyerapan Islam ini berlaku secara berperingkat-peringkat dalam
kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada golongan istana, pembesar
sehinggalah kepada rakyat biasa. Kedatangan Islam bukan sahaja mempengaruhi
kepercayaan penduduk tetapi turut memberi kesan dalam sistem pentadbiran, politik,
pendidikan, kesusasteraan serta kerajaan. Sesungguhnya, tamadun Melayu amat bertuah
kerana telah menerima kedatangan Islam, agama yang syumul dan unggul berbanding
agama-agama lain. Tamadun Melayu telah manyambut Islam dengan baik serta
mengamalkan hokum-hakam dan ajaran-ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

You might also like