You are on page 1of 19

BAB 1

PENGENALAN ILMU KETAMADUNAN

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mendefinisikan istilah tamadun.
2. Mengenal pasti prinsip-prinsip asas tamadun.
3. Membezakan antara tamadun, agama dan budaya.
4. Menghuraikan perbezaan dan persamaan antara tamadun di dunia dan
interaksi antara tamadun.

1.1 PENGENALAN

Modul ini dimulakan dengan perbincangan tentang ilmu ketamadunan yang bertujuan
untuk memberi gambaran dan kefahaman yang jelas kepada para pelajar tentang tamadun
dari segi konseptual dan teoritikalnya. Secara umumnya, istilah tamadun merujuk kepada
pembangunan atau perubahan daripada sesuatu yang bersifat tradisional kepada
pembangunan yang lebih sempurna. Selain itu, kebolehan manusia dalam mencipta dan
melahirkan sesuatu yang baharu juga disebutkan sebagai tamadun. Dengan kata lain,
tamadun sering digunakan bagi menunjukkan kehebatan sesuatu masyarakat atau negara.

Perbincangan secara menyeluruh terhadap tamadun telah menimbulkan beberapa


persoalan, antaranya Apa itu tamadun?, Apakah intisari atau ciri-ciri tamadun?
dan Apakah falsafah tamadun?. Ahli sejarah, para sarjana Islam dan Barat telah
menerbitkan banyak buku berkenaan tamadun tetapi tidak ada satu pun yang dapat
memberi kefahaman yang jelas terhadap istilah tamadun (Beg, 1980).

1.2 ISTILAH TAMADUN

Dalam penulisan Arab, perkataan hadharah, madaniyyah, thaqafah dan bunyan


sering digunakan bagi menggambarkan tamadun. Namun begitu, perkataan tamadun
lebih popular dan meluas penggunaannya. Perkataan tamadun berasal daripada
perkataan arab tamaddun yang berasal daripada maddana yang bermaksud:

(i) Membangunkan atau memajukan (bandar), misalnya dalam


ungkapan Dia membangunkan bandar.
(ii) Menjadikan atau mengubah (seseorang yang berkelakuan kekampungan)
kepada berkelakuan (kebandaran) misalnya dalam ungkapan Dia
menjadikan kelakuan budak itu seperti orang bandar.

1
Tamadun juga dikatakan berasal daripada perkataan madana yang bererti:

(i) Menduduki sesuatu tempat atau datang menduduki sesuatu bandar".


(ii) Berkelakuan seperti orang bandar atau halus budi pekertinya.

Istilah kampung dan bandar dalam masyarakat Arab merujuk kepada realiti
masyarakat. Contohnya, badawi yang biasanya kasar dan masyarakat bandar (hadhari)
yang kebiasaannya lebih bersopan santun.

1.3 PRINSIP-PRINSIP ASAS TAMADUN

Dalam bahagian ini anda akan didedahkan kepada beberapa prinsip asas tamadun dalam
konteks yang menyeluruh. Perbincangan meliputi takrifan perkataan secara terperinci
dan perkataan yang sering dikaitkan dengan tamadun. Anda juga akan diperlihatkan
hubungan tamadun dengan ajaran Islam. Di akhir perbincangan, satu perspektif yang
bersepadu akan dikemukakan.

1.3.1 Apakah Maksud Tamadun?

Menurut Kamus Dewan, perkataan tamadun bermaksud kebudayaan, peradaban dan


kemajuan (Teuku Iskandar, 1970). Dari segi penggunaan, peradaban adalah sinonim
dengan tamadun. Beradab bererti bersopan dan hidup diatur oleh hukum serta
mempunyai tingkat kebudayaan yang lebih tinggi. Dari segi penguasaan makna, maksud
tamadun adalah lebih meluas berbanding peradaban.

Dalam bahasa Inggeris, perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada tamadun ialah
civilization yang berasal daripada perkataan latincivitas yang bermaksud kota atau
city (Beg, 1980). Istilah ini hanya digunakan dalam buku-buku Inggeris bermula abad
ke-19 Masihi.

Dalam bahasa Arab, terdapat empat istilah yang sering digunakan dalam membahaskan
maksud tamadun iaitu hadharah, umran, madaniyyah dan tamaddun. Ibn Khaldun adalah
pelopor awal dalam penulisan ilmiah berkaitan tamadun melalui bukunya Al-
Muqaddimah li kitab al-Ibar. Beliau telah menggunakan istilah umran bagi
menjelaskan sifat-sifat tamadun. Istilah tersebut telah digunakan sehingga sekarang
bagi menjelaskan maksud civilization dalam abad ke-20 Masihi ini. Umran merujuk
kepada suatu kawasan yang didiami, diusahakan, berkembang subur, aman makmur serta
ditadbir secara baik dan sistematik. Perkataan umran juga dikaitkan dengan ibu kota
atau bandar yang telah didirikan oleh raja-raja pada zaman pemerintahan Islam.
Perkataan bunyan juga dirujukkan kepada maksud tamadun tetapi dalam maksud yang
lebih spesifik kepada struktur dan kerja-kerja pembinaan sesuatu bangunan sahaja (Beg,
1980).

Pengkajian yang dilakukan oleh Ibn Khaldun dengan merujuk kepada umran adalah
merangkumi perkembangan dan pembangunan masyarakat yang memiliki pegangan
agama yang kuat, sistem kenegaraan yang teratur, sistem perundangan yang tersusun

2
rapi dan pencapaian ilmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai kepakaran.
Dengan kata lain, tamadun atau umran adalah suatu pencapaian yang tinggi
merangkumi semua aspek kemajuan dalam masyarakat dan dapat dimanfaatkan untuk
tujuan dunia dan akhirat.

1.3.2 Al-Hadharah

Penggunaan perkataan hadharah pada awalnya (abad ke-14) tidak mewakili pengertian
tamadun secara keseluruhannya. Sebaliknya, ia lebih merujuk kepada sebahagian
daripada ciri-ciri tamadun. Contohnya, Ibn Khaldun menggunakan perkataan hadharah
bagi merujuk kepada kedudukan masyarakat yang mengusahakan tanaman dan
kehidupan mereka pada suatu kawasan yang tetap (sedentary life). Menjelang abad abad
ke-20, penggunaan istilah i ni lebih meluas dengan merujuk kepada pembangunan
wilayah, bandar dan kampung yang sudah mengalami perubahan dari segi penggunaan
tanah, pemikiran masyarakat, akhlak atau moral, manakala kehidupan masyarakat
adalah dalam bentuk yang lebih moden dan maju serta seiring dengan istilah tamadun
(Beg, 1980).

Mengikut Malik Bin Nabi, hadharah mengandungi dua pengertian, iaitu:

(i) Pengertian yang objektif iaitu merujuk kepada himpunan kemajuan dalam
bidang ilmu pengetahuan, teknikal dan undang-undang yang telah
dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi dalam sesebuah
masyarakat.
(ii) Pengertian yang subjektif iaitu merujuk kepada suatu peringkat
perkembangan kehidupan manusia yang lebih maju, berlawanan dengan
kehidupan kehaiwanan yang liar dan tidak berpedoman. Selain daripada
lebih bermoral, ia juga merujuk kepada kehidupan yang bersifat ideal
dan selari dengan kedudukan masa, tempat dan nilai-nilai yang dianuti.

Secara keseluruhannya, perkataan hadharah dalam konteks ini merujuk kepada


kemajuan peradaban sesuatu masyarakat yang meliputi bidang pemikiran, sosial, ilmu
pengetahuan, kesusasteraan, kesenian, sistem pemerintahan, peraturan moral dan adat
resam, budi pekerti dan kepercayaan agama.

1.3.3 Al-Madaniyyah

Perkataan madaniyyah sering disamaertikan dengan hadharah oleh kebanyakan penulis


mutakhir. Antara mereka termasuklah Muhammad Farid Wajdi dalam kitabnya al-
Madaniyyah wa al-Islam (Islam dan tamadun) dan Sheikh Muhammad Abduh dalam
kitabnya al-Islam wa al-Nasraniyyat maa Ilm wa al-Madaniyyat (Islam dan Nasrani
serta kaitannya dengan sains dan tamadun). Perkataan madaniyyah berasal daripada
perkataan madinah atau city dan perkaitannya dengan tamadun adalah berdasarkan
kepada bandar city based culture. Wujudnya perkaitan antara kedua-dua perkataan ini
adalah berdasarkan kepada bandar sebagai induk tamadun, manakala tamadun asalnya

3
berkembang di bandar. Dengan kata lain, hubungan keduanya adalah perkaitan antara
sebab dan musabab (cause and effect connection) (Beg, 1980).

Jelasnya, perkataan hadharah dan madaniyyah menunjukkan kepada penekanan yang


berbeza dalam menjelaskan tamadun. Madaniyyah menggambarkan ketinggian dalam
kehidupan kebendaan sesebuah masyarakat khususnya dalam aspek pembangunan,
perancangan dan penyusunan bandar serta penyediaan pelbagai kemudahan
infrastruktur yang bersifat asasi dan tidak asasi. Penyediaan keperluan ini memerlukan
kepada adanya sumber kewangan serta kemampuan untuk berbelanja (Osman, 1989).
Justeru, penggunaan perkataan madaniyyah lebih bersifat kebendaan dan keperluan
lahiriah manusia. Ketamadunan sesuatu ummah dalam konteks ini adalah bergantung
kepada kemampuan kekayaan sumber hasil bumi dan pembangunannya.

Lutfi Ibrahim yang membuat analisis terhadap kedua-dua istilah tersebut telah
menyimpulkan seperti berikut (Mustafa, 1991):

(i) Hadharah merupakan pencapaian dalam hal kerohanian seperti pemikiran


dan sebagainya yang berasaskan akidah, syarak dan akhlak. Ini
merupakan hubungan manusia sesama manusia yang bersumberkan
wahyu;
(ii) Madaniyyah pula merupakan pencapaian dari segi kebendaan seperti
peralatan teknologi dalam pertanian, pengeluaran dan pengangkutan, dan
sebagainya. Ia merupakan hubungan dengan alam sekitar yang bersifat
kebendaan dan bersumberkan wahyu; dan
(iii) Tamadun merangkumi kedua-dua aspek di atas.

1.3.4 Masyarakat Madani

Masyarakat madani adalah masyarakat yang dibentuk hasil daripada penggabungan


pembangunan kebendaan dan kerohanian. Oleh itu, masyarakat madani merangkumi
kedua-dua sifat al-Madaniyyah dan al-Hadharah.

4
SOALAN DALAM TEKS 1.1

1. Pilih definisi yang tepat bagi menjelaskan maksud tamadun.


A. Jenis masyarakat yang memiliki ciri-ciri tertentu.
B. Jenis kebudayaan yang didapati di bandar-bandar.
C. Tahap perkembangan kebudayaan yang tinggi.
D. Sesuatu yang lahir dan berkembang bersama-sama, sama
ada bersifat abstrak atau material.

2. Tamadun ialah kemajuan kebendaan.


BETUL / SALAH

3. Istilah berikut merujuk kepada konsep tamadun kecuali


A. madinah
B. umrah
C. hadharah
D. civilization

4. Jelaskan maksud masyarakat madani?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.4 KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN TAMADUN

Dalam bahagian ini, anda akan diperlihatkan secara rasional dan logik kewujudan dan
perkembangan sesuatu tamadun. Adakah segala perubahan berlaku secara kebetulan
atau sememangnya alam ini sentiasa memerlukan perubahan mengikut tuntutan
zaman? Persoalan ini adalah antara intipati perbincangan dalam bahagian ini.

Kemunculan sesuatu tamadun di dunia ini sebenarnya adalah didorong oleh


perubahan yang berlaku terhadap manusia itu sendiri. Kekuatan akal fikiran yang
dikurniakan menjadikan manusia antara makhluk yang terbaik dan dimuliakan di sisi
Tuhan. Para sarjana tidak sependapat menyatakan bahawa agama sebagai penggerak
kepada kemunculan tamadun. Ada yang bersetuju dengan pandangan tersebut dan ada
yang meraguinya (Beg, 1982). Jika ditinjau dari sudut sejarah, memang ada
kebenarannya kerana banyak bangunan yang didirikan atas dorongan agama dan
diperkayakan dengan seni berunsurkan agama. Persoalan ini akan dibahaskan secara
terperinci dalam bahagian berikutnya.

5
1.5 PUNCA KEMUNCULAN DAN PERKEMBANGAN TAMADUN

Bagi memperlihatkan secara jelas tentang keadaan ini, kita akan cuba bahaskan faktor-
faktor yang menyebabkan kemunculan tamadun kepada beberapa perkara seperti
berikut:

1.5.1 Peredaran dan Perubahan Alam dan Manusia

Sejarah telah membuktikan bahawa kehidupan manusia sentiasa berkembang dari


semasa ke semasa melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan. Putaran alam yang
berlaku atas kehendak Allah SWT adalah asas utama kepada perubahan yang dialami
oleh manusia. Perubahan dan perkembangan yang berlaku terhadap manusia bukanlah
dalam bentuk fizikal tetapi dalam bentuk kemampuan berfikir dan mempergunakan
segala makhluk di alam ini untuk keperluan manusia. Keadaan ini telah mencetuskan
tamadun manusia dan akhirnya putaran malam dan siang telah digunakan sebaiknya
oleh manusia untuk membangunkan diri mereka. Alam yang diciptakan untuk manusia
yang serba lengkap dengan bukit-bukau, gunung-ganang dan lautan yang luas adalah
sebagai pelengkap kepada kehidupan manusia. Keadaan ini menjadikan manusia merasa
terpanggil untuk berkhidmat kepada alam dan membangunkannya.

1.5.2 Desakan Persekitaran dan Keperluan Hidup

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, Allah S W T menganugerahkan akal kepada
manusia sebagai perkara yang tidak ternilai. Kemampuan dan kehebatan manusia
menggunakan akal telah mencetuskan pelbagai idea yang baik dalam membantu
mempertingkatkan tahap kualiti hidup mereka. Bermula dari zaman batu sehinggalah
ke hari ini, perubahan yang amat ketara dapat dilihat daripada kesan pembangunan
sains dan teknologi. Semua ini lahir disebabkan desakan kepada keperluan dalam
kehidupan manusia. Sifat semula jadi manusia ingin hidup senang dan mewah telah
memaksa mereka memikirkan sesuatu yang terbaik sebagai landasan dalam kehidupan.
Manusia yang diciptakan berbekalkan nafsu dan syahwat serta akal fikiran yang waras
selayaknya berfikir dengan baik dalam usaha memajukan diri dan masyarakat yang
akhirnya menjadi punca kepada kemunculan dan kelahiran tamadun.

1.5.3 Fitrah Perkembangan Manusia

Fakta ini adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan kebenarannya dan keunikan
ciptaan manusia oleh Allah SWT sejak awalnya telahpun dimasukkan unsur-unsur
seperti yang telah disebutkan sebelum ini sebagai pelengkap kepada sebuah kehidupan.
Tabiat manusia sukakan sesuatu yang terbaik dan selagi itulah perubahan cara berfikir
akan terus berlaku serta corak hidup manusia akan terus berubah sehingga ke akhir
zaman.

6
1.6 MAMPUKAH TAMADUN BERTAHAN LAMA?

Perkara-perkara yang telah dibincangkan dalam bahagian sebelum ini merujuk kepada
kemunculan dan perkembangan sesuatu tamadun hingga ke hari ini. Berdasarkan
kenyataan yang berlaku dalam sejarah, para sarjana mengakui bahawa Islam berkait erat
dengan perkembangan tamadun dan sebagai sumber tamadun. Edward Sullivans
menulis Moslem civilization was the product of Moslem religion manakala J. Jomier
menegaskan b a h a w a Islam supplied the creative element out of which arose a new
civilization. Ralph dan Burn yang pada awalnya meragui pandangan tersebut akhirnya
mengakui peranan agama sebagai asas penting dalam pembangunan khususnya tamadun
Islam (Beg, 1982).

Walau bagaimanapun, sejauh mana sesebuah tamadun yang wujud itu dapat
berkembang, bergerak maju dan bertahan lama adalah bergantung kepada beberapa
perkara seperti berikut iaitu:

1.6.1 Menjadikan Agama sebagai Asas Utama

Fakta ini adalah perkara asas yang perlu diberikan perhatian sekiranya sesuatu
tamadun yang dikembangkan diharapkan akan dapat bertahan lama. Keyakinan
terhadap fakta ini adalah didasarkan kepada ketahanan ajaran agama daripada sebarang
penyelewengan dan perubahan kerana agama adalah suatu yang tetap dan tidak berubah
walaupun mengalami perubahan masa, zaman dan kepimpinan. Sekiranya kejayaan
sesebuah tamadun didasarkan kepada ajaran agama, bermakna kejayaan yang diperoleh
akan berkekalan seperti yang berlaku kepada ajaran Islam (yang menekankan setiap
ruang lingkup pembangunan sebagai ajaran agama), maka semestinya ia mampu
bertahan. Nilai-nilai agama adalah sesuatu yang murni dan bersifat sejagat dan boleh
diterima pakai oleh segenap lapisan masyarakat dan kepelbagaian keturunan di
sepanjang zaman.

1.6.2 Memiliki Ilmu Pengetahuan yang Tinggi

Tidak ada kejayaan keranakejahilan manusia dan tidak ada kemajuan kerana
kemalasan manusia. Hakikat ini adalah jelas dan tidak perlu diperdebatkan lagi kerana
ilmu adalah tunggak kepada setiap kemajuan dan pembangunan yang dicitakan oleh
manusia. Ilmu adalah nadi utama penggerak tamadun dan tiada tamadun tanpa ilmu.
Sejarah perkembangan Islam telah mencatatkan bahawa kemajuan dalam perkembangan
awal Islam adalah disebabkan kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan. Keadaan ini
adalah pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar. Sesebuah tamadun mampu
bertahan selama mana masyarakat yang mendukunginya tetap kekal sebagai
masyarakat yang bermaklumat dan berilmu pengetahuan tinggi. Kejahilan sesebuah
masyarakat hanya akan memusnahkan tamadun yang mereka miliki.

7
1.6.3 Tidak Kabur terhadap Pembangunan Kebendaan

Antara perkara awal yang boleh memusnahkan sesuatu tamadun ialah tiadanya
keseimbangan pembangunan dan kemajuan antara kebendaan dan kerohanian (material
dan spiritual). Sikap manusia yang rakus, tamak haloba dan tidak berwaspada adalah
punca kepada kemusnahan dalam apa jua keadaan. Keadaan ini perlulah dikawal dan
kepentingan kebendaan yang berlebihan perlulah disekat. Sekiranya suasana
keharmonian antara kebendaan dan kerohanian wujud dalam pembangunan masyarakat dan
negara, maka tamadun yang lahir akan menjadi cemerlang dan mampu bertahan lama.

SOALAN DALAM TEKS 1.2

1. Kenapakah manusia memerlukan tamadun?


B. Alam diciptakan untuk manusia.
C. Manusia dibekalkan akal dan fikiran.
D. Fitrah kejadian manusia memerlukan perubahan.
E. Manusia dan alam saling bergantungan.

2. Antara perkara yang boleh memusnahkan sesuatu tamadun ialah


wujudnya keseimbangan antara rohani dan jasmani.
BETUL / SALAH

3. Nyatakan prasyarat bagi mewujudkan tamadun yang mampu


bertahan lama.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

8
1.7 INTERAKSI ANTARA TAMADUN

Dalam perbincangan kita sebelum ini, pendedahan banyak diberikan kepada prinsip-
prinsip asas, sejarah dan perkembangan tamadun. Penekanan dalam bahagian ini akan
diberikan kepada interaksi tamadun dalam pelbagai budaya dan agama. Seperti yang
telah kita sedia maklum, perkembangan tamadun adalah bergantung kepada asas
kepercayaan dan ideologi semasa yang dianuti. Keadaan ini semestinya akan
melahirkan pelbagai percanggahan dan persamaan dalam tamadun manusia.
Persoalannya sekarang, mampukah kepelbagaian tamadun ini berinteraksi antara satu
sama lain?

1.7.1 Prasyarat Berlakunya Interaksi antara Tamadun

Proses interaksi antara tamadun akan berlaku sekiranya sesebuah tamadun mempunyai
kriteria atau sifat-sifat yang universal seperti yang akan dibincangkan berikut:

1. Keterbukaan Sesuatu Tamadun

Asas sesuatu tamadun yang diamalkan perlulah bersifat terbuka, iaitu boleh menerima
perubahan dan universal. Asas ini akan memastikan sesebuah tamadun tidak bergerak
secara sendiri. Terbuka dalam konteks ini bukanlah bermaksud mengetepikan prinsip
asas yang dipegang oleh sesuatu tamadun secara total, tetapi penerimaan idea-idea
tamadun lain juga diberi keutamaan sekiranya tidak bertentangan dengan perkara asas
tamadun itu. Sebagai contoh, tamadun Islam mempunyai ciri-ciri asas yang tertentu
tetapi ini tidak bermakna bahawa Islam telah menolak segala ideologi dalam tamadun
lain. Pokok pangkalnya, sekiranya ideologi yang dibawa oleh tamadun lain tidak
bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunah, selagi itulah ia diterima sebagai asas yang
diguna pakai.

Keterbukaan ini akan memastikan sesebuah tamadun tidak merasa terpencil dan saling
berinteraksi antara satu dengan lain. Dengan kata lain, kewujudannya bersesuaian
dengan zaman dan perubahan yang dilalui. Menerima pengalaman dan perubahan yang
berguna di samping mempersembahkan kepada tamadun asing hasil pencapaian yang
dicapai. Dengan interaksi sesebuah tamadun tidak akan tersisih daripada kehidupan
manusia, malah ia berkeyakinan bahawa tamadun kemanusiaan merupakan satu rangka
binaan yang besar yang dibangunkan oleh manusia seluruhnya, setiap bangsa
menyumbangkan sesuatu di dalam rangka binaan tersebut.

Berdasarkan kenyataan inilah, tamadun Islam sebagai contoh telah bertaut dengan
kebudayaan Parsi, Yunani, Romawi dan sebagainya. Justeru , proses syncritisme dan
toleransi ini telah membuahkan satu tamadun yang mantap yang dijalin oleh pelbagai
unsur. Namun demikian, corak dan bentuknya diadunkan berdasarkan cita rasa Islam
manakala segala unsur yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam disisihkan.

9
2. Kepentingan Sejagat dan Kesesuaiannya dengan Tabiat Semula jadi
Manusia

Sifat sejagat adalah sesuatu yang amat penting bagi memastikan berlakunya interaksi
antara tamadun. Sesebuah tamadun yang bersifat universal seharusnya ditegakkan atas
dasar yang selaras dengan fitrah semula jadi manusia serta kehendak dan
kecenderungannya. Bertitik tolak daripada sini, kebolehan, kemampuan dan
keistimewaan yang dimiliki oleh manusia perlu diiktiraf. Kemampuan manusia untuk
berfikir sebagai contoh, perlu dilihat secara positif dan dihormati. Kemampuan seperti
ini semestinya akan menjurus kepada pertelingkahan dan pertikaian sesebuah tamadun
yang diwakili. Ini tidak bermakna, apabila berlakunya pertentangan maka di pihak yang
lain adalah tidak benar. Pertikaian sebegini hanya bersifat sementara dan yang lebih
penting ialah dapat memberikan sumbangan yang positif terhadap perkembangan
tamadun dan pemikiran manusia. Sekiranya kesesuaian ini wujud, interaksi antara
tamadun akan berlaku.

Manusia perlu dihormati dan dilayan dengan baik. Itu adalah sifat asas kejadian
manusia. Dalam apa jua suasana, manusia dan kemanusiaan adalah perkara utama
yang perlu diberikan perhatian. Sebagai contoh, dalam konteks negara perindustrian,
ramai yang terlibat dalam sektor perkilangan dan perusahaan. Keadaan ini
memungkinkan manusia akan dilayan seperti mesin atau robot kerana objektif operasi
perusahaan adalah meningkatkan produktiviti.

Perkara seperti ini sering diutarakan oleh tokoh-tokoh pengurusan Barat yang melihat
manusia sebagai rational animal atau human animal untuk mencapai cita-cita
ekonomi semata-mata. Sekiranya fakta seperti ini menjadi tunjang kepada sesuatu
tamadun, maka penghormatan terhadap manusia dan kemanusiaan adalah diketepikan
dan pertentangan ideologi antara tamadun akan berlaku.

Oleh itu, kepentingan sejagat serta kesesuaian dengan sifat-sifat semula jadi manusia
merupakan asas kepada berlakunya interaksi antara tamadun. Sekarang, apakah yang
anda faham tentang kesejagatan dalam konteks budaya? Berikan beberapa contoh yang
sesuai bagi menyokong pendapat anda. Apakah pula pandangan anda terhadap pendapat
yang mengatakan manusia adalah makhluk rational animal atau human animal?

3. Menepati Falsafah Kebahagiaan dan Kemakmuran untuk Manusia dan


Alam

Alam atau dunia ini diciptakan oleh Allah SWT adalah untuk kepentingan manusia dan
segala isinya. Atas dasar itu, segala perubahan, pembaharuan dan permodenan atau
tamadun hendaklah digerakkan tanpa sebarang percanggahan dengan alam atau
merosakkan kebahagiaan dan kemakmuran manusia dan alam. Keperluan manusia kepada
kesempurnaan alam tidak dinafikan dan perubahan fizikal alam untuk permodenan dan
kemajuan adalah diperlukan. Bagi memastikan kedua-duanya berjalan dengan lancar
dan saling memerlukan antara satu sama lain, ada beberapa perkara yang perlu
diberikan perhatian, iaitu:

10
i) Kepentingan sesuatu agenda perubahan dan kesannya kepada
alam sekitar

Perkara ini adalah penting bagi memastikan kepentingan kemanusiaan dan


alam secara keseluruhannya tidak diketepikan. Sebagai contoh,
pembangunan sesuatu projek atau urbanisasi yang tidak dikawal selia
boleh mengganggu ekosistem dan persekitaran. Keadaan ini sering berlaku
di negara-negara yang sedang membangun lantaran keghairahan dalam
mengejar kemajuan. Pembangunan sesuatu kawasan secara keterlaluan
tanpa mengambil kira faktor geografi akhirnya akan mengganggu proses
perjalanan alam dan yang berkaitan dengannya. Akibat terlalu
mementingkan keinginan manusia maka kepentingan alam sekitar
terjejas. Lihat saja kawasan perbandaran yang besar seperti di negara-
negara Barat.Keadaan cuaca dan iklimnya menjadi tidak menentu dan
sukar diramalkan. Dalam konteks negara kita Malaysia juga tidak
ketinggalan seperti Kuala Lumpur, keadaan yang sama berlaku. Sudah
menjadi satu kebiasaan pada musim hujan, kejadian tanah runtuh dan
banjir kilat akan berlaku. Sebagai contoh, tragedi kertuntuhan Highland
Towers dan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, kebakaran
hutan dan pencemaran alam sekitar adalah suatu hal yang tidak dapat
dielakkan. Atas alasan inilah, pembangunan sesuatu kawasan perlulah
juga melihat kepada kepentingan persekitaran dan putaran alam bagi
memastikan alam dan manusia tidak musnah.

ii) Keghairahan membangunkan alam dan mengetepikan kepentingan


sekitarnya

Fakta ini adalah sesuatu yang agak kontroversial dan sering


diperdebatkan di mana-mana saja sama ada di negara maju atau di negara
sedang membangun. Sikap mementingkan pertumbuhan ekonomi dan
peningkatan pengeluaran barangan yang tidak terkawal boleh
menjejaskan kualiti hidup manusia dan mendorongkepada pencemaran.
Bagi golongan pencinta alam, mereka akan mempertahankan keindahan
alam dan pembangunan yang direstui adalah sesuatu yang tidak
memusnahkan alam. Keadaan ini tentu bertentangan dengan satu pihak lain
yang memperjuangkan pembangunan secara total. Perdebatan ini akan
berpanjangan sekiranya kedua-dua pihak tidak bertolak ansur bagi
mencapai sesuatu keputusan. , Manusia dan alam adalah sama- sama
penting.

iii) Manusia memerlukan alam dan alam diciptakan untuk manusia

Atas dasar itulah, Islam melihat pembangunan sesuatu yang wajib dan
pemeliharaan alam sekitar juga adalah wajib. Kewujudan manusia adalah
untuk alam dan kewujudan alam adalah untuk manusia dan kedua-

11
duanya saling berkait rapat. Oleh yang demikian, kedua-duanya mestilah
dipelihara dengan sebaik mungkin.

Apa ertinya kemajuan dan pembangunan sekiranya manusia hidup dalam


keadaan terancam dan tidak menentu? Kerancakan pembangunan dan
perkembangan sains haruslah diseimbangkan dengan pembangunan insan
dan alam. Ringkasnya, pembangunan dan teknologi sains mestilah tidak
digunakan untuk mengawal dan menakluk alam semula jadi termasuk
hidupan lain. Sebaliknya harus dibawa ke arah keadaan yang serasi
dengan kehendak alam semula jadi dan digunakan supaya keuntungan
yang maksimum daripada kehendak itu boleh dicapai. Jadi, kepentingan
alam dan manusia adalah sesuatu yang harus diberikan perhatian oleh
setiap tamadun kerana ia adalah kepentingan sejagat dan ini akan
memastikan interaksi antara tamadun berlaku. Apakah yang akan berlaku
sekiranya pembangunan dan permodenan ketamadunan tidak diiringi
dengan keseimbangan pembangunan insan dan alam sekitar?

4. Keseimbangan Kemajuan Kebendaan dan Kebudayaan

Seperkara lagi yang menjadi asas penting kepada sesuatu tamadun bagi memastikan ia
boleh berinteraksi ialah keseimbangan kemajuan kebendaan dan kebudayaan.
Kemajuan kebendaan dan kebudayaan adalah sesuatu yang relatif. Apa yang kita kata
baik dan maju belum tentu orang lain akan bersetuju dengan kita. Apa yang penting
dalam konteks ini ialah kemajuan kebendaan atau material yang dikejar mestilah
diseimbangi dengan kepentingan kerohanian (spiritual). Kebendaan untuk manusia dan
kerohanian untuk kesejahteraan manusia. Tanpa adanya perhubungan antara kedua-dua
perkara tersebut menyebabkan kemajuan yang dicapai tidak memberi sebarang makna
terhadap kehidupan manusia yang sebenar. Berapa ramai orang yang hartawan dan
mewah tetapi hidup dalam keadan cemas dan perasaan tidak menentu disebabkan jiwa
mereka kosong, apatah lagi kekayaan yang dikecapi adalah daripada jalan yang
salah dan haram. Akhirnya, mereka berada dalam keadaan serba salah, kecewa, tiada
pegangan hidup dan sebagainya. Tamadun yang mementingkan kebendaan mungkin
membenarkan perkara seperti ini, tetapi untuk tujuan kemanusiaan adalah bertentangan
sama sekali dan tidak bersifat universal.

Dalam konteks kebudayaan dan cara hidup yang diketengahkan, nilai-nilai agama
adalah sesuatu yang bersifat universal dan boleh diterima pakai oleh semua manusia.
Dalam konteks Malaysia sebagai contoh, kepelbagaian kaum dan agama sebenarnya
bukanlah alasan untuk tidak bersatu atas kepentingan perpaduan, keharmonian hidup dan
sebagainya. Setiap bangsa mempunyai pendekatan budaya yang tersendiri seperti
budaya Melayu, Cina, India dan budaya tempatan yang lain seharusnya menonjolkan
persamaan yang wujud dalam masyarakat dan mengetepikan perbezaan antara satu sama
lain. Keadaan ini akan melahirkan semangat kemalaysiaan sekali gus membentuk
tamadun dan budaya Malaysia. Pendek kata, pembangunan dan tamadun yang kita
impikan perlulah diseimbangkan dengan nila-nilai agama dan kerohanian bagi
memastikannya sejajar dengan tuntutan hidup manusia keseluruhannya. Cuba anda

12
kaitkan perbincangan di atas dengan pembentukan falsafah pendidikan nasional dan
kebudayaan kebangsaan di Malaysia? Apakah erti universal dan tolak ansur yang wujud
dalam kedua-dua falsafah nasional ini?

1.7.2 Interaksi antara Tamadun: Cabaran dan Harapan

Pendedahan sesuatu tamadun kepada dunia luar sebenarnya akan mempercepatkan


perkembangan sesebuah tamadun itu sendiri. Proses interaksi yang berlaku akan
memudahkan percambahan serta proses kematangan. Ini sekali gus memastikan
kecemerlangan sesebuah tamadun. Namun, proses interaksi yang berlaku kadang-
kadang memudahkan perkembangan tamadun dan kadang-kadang akan menyulitkan.
Kesulitan yang timbul biasanya disebabkan oleh beberapa faktor:

1. Perbezaan Ideologi Politik dan Budaya

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian ideologi politik dan budaya adalah
halangan yang besar kepada berlakunya interaksi antara tamadun. Setiap rumpun
bangsa mempunya budaya dan keegoan tersendiri dan saling mempertahankan antara
satu sama lain. Di samping itu, persempadanan politik juga menghasilkan kepelbagaian
ideologi berdasarkan kefahaman dan anutan masing-masing. Sekiranya keadaan ini
terus berlaku tanpa sebarang tolak ansur, maka proses interaksi adalah sukar untuk
berlaku. Kemungkinan proses tersebut hanya akan terjadi apabila fakta-fakta yang
telah dibentangkan sebelum ini dipenuhi.

2. Perkembangan Sejarah Bangsa dan Ideologi

Setiap bangsa mempunyai sejarah perkembangannya yang tersendiri. Keadaan ini akan
melahirkan semangat nasionalisme tersendiri terhadap bangsa dan negara mereka.
Seperti dalam hal politik dan budaya, sesuatu bangsa itu akan mempunyai sifat
keegoannya tersendiri. Setiap bangsa yang lahir di dunia ini mempunyai budaya dan
cara hidup yang menjadi intipati dalam kehidupan dan tamadun mereka. Hal ini
juga adalah halangan kepada proses interaksi antara tamadun.

3. Ketegangan dan Persaingan antara Tamadun

Satu hal yang perlu diketengahkan di sini ialah persaingan yang berlaku antara
tamadun. Setiap tamadun tetap ingin berjaya dan berkembang secara tersendiri dan
sentiasa bersaing antara satu sama lain. Keadaan ini akan bertambah rumit apabila
berlaku pertembungan budaya dan persaingan yang berlaku hanya akan menambahkan
lagi perpecahan dan keegoan yang semakin memuncak sesama mereka.

Ringkasnya, perkara- perkara yang telah dibincangkan di atas adalah asas yang besar
yang perlu dirombak dan diberikan perhatian yang serius, sekiranya seluruh anggota
masyarakat di dunia ini ingin melihat wujudnya keserasian dan keamanan sejagat. Sikap
boleh bertolak ansur sebenarnya adalah asas utama yang tidak akan merugikan sesiapa
sebaliknya akan menguntungkan semua pihak. Sekiranya berlakunya persaingan, maka

13
akan wujud persaingan yang sihat dan ini semestinya akan mematangkan perkembangan
sesuatu tamadun.

SOALAN DALAM TEKS 1.3

1. Berikut adalah kenyataan yang benar mengenai kejayaan sesuatu


tamadun KECUALI
A. menjadikan agama sebagai asas utama.
B. memiliki pengetahuan yang tinggi.
C. meletakkan kejayaan dunia sebagai asas yang penting.
D. menghargai fitrah kejadian manusia.

2. Semua kenyataan berikut adalah benar KECUALI


A. Tamadun bukanlah agama atau budaya sesuatu
masyarakat.
B. Agama adalah asas pembinaan tamadun.
C. Budaya mengalami perubahan, mengembang dan merosot.
D. Tamadun berkembang tanpa dipengaruhi oleh budaya.

3. Jelaskan punca-punca kemunculan sesuatu tamadun.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.8 PERBEZAAN DAN PERSAMAAN ANTARA TAMADUN

Dalam perbincangan terdahulu, anda telah didedahkan secara terperinci tentang


kemunculan dan perkembangan tamadun. Penekanan dalam bahagian ini pula akan
diberikan terhadap kriteria-kriteria asas yang memperlihatkan persamaan dan perbezaan
antara tamadun. Pada asasnya, tamadun mempunyai falsafah dan matlamat yang sama
seperti ya n g telah dijelaskan dalam topik yang lalu.

Tamadun dalam apa jua keadaan dan suasana dari segi prinsipnya adalah suatu
perubahan dan permodenan dari sesuatu yang sedia ada kepada yang lebih baik.
Perbezaan antara sesuatu tamadun hanya akan berlaku sekiranya wujud kepelbagaian
ideologi dan kepercayaan yang dianuti. Sekiranya dua asas ini bersifat fleksibel dan
boleh menerima perubahan, maka proses interaksi antara tamadun akan berlaku dan ini
memungkinkan wujudnya persamaan antara tamadun dan begitulah sebaliknya.

14
Proses reformasi yang telah dimulakan oleh Martin Luther dalam abad ke-16 Masihi
terhadap ajaran Kristian telah melahirkan satu mazhab baharu dalam ajaran Kristian
yang dikenali sebagai Protestan. Bertitik tolak daripada sinilah munculnya fahaman
sekularisme yang berakar kata Render unto Ceaser the thing which are Ceaser and
unto God the thing which are God. Fahaman yang telah memisahkan pembangunan
keduniaan kebendaan dan kerohanian keakhiratan ini telah meletakkan falsafah
kehidupan manusia dalam keadaan serba salah antara keduniaan dan keakhiratan
dan antara kebahagiaan dan kehancuran. Konflik yang berlaku ini menjadi bertambah
kusut dan sukar dirungkaikan apabila fahaman sekularisme ini telah bertapak dengan
kukuh dalam pemikiran masyarakat di Barat dan akhirnya mempengaruhi masyarakat
Islam. Perbezaan yang ketara dapatlah dibahaskan dalam perbincangan seterusnya.

1.8.1 Doktrin Agama dalam Tamadun

Agama ialah sebahagian daripada kebudayaan. Selain itu, komponen kebudayaan


merangkumi sosial, politik, ekonomi, pengetahuan, teknik, seni dan falsafah. Dengan
kata lain, agama adalah sama seperti budaya yang boleh mengalami perubahan,
mengembang dan merosot. Agama akan berubah menurut perubahan masa dan
pembaharuan ketamadunan manusia. Itulah pandangan ringkas kedudukan agama dari
perspektif sekular. Bertitik tolak dari sinilah, dalam setiap ruang lingkup kehidupan
manusia, agama hanyalah dilihat sebagai sebahagian atau pelengkap kepada kehidupan
dan bukan merupakan kepercayaan yang mutlak. Agama sama seperti perkara lain,
digunakan apabila diperlukan dan sebaliknya.

Dalam konteks perkembangan ilmu pengetahuan dan sains, segala fakta dan teori
yang dilahirkan adalah berpandukan kepada akal semata-mata dan dinafikan sama
sekali kebenaran agama. Ini adalah antara fakta-fakta asas yang membezakan antara
tamadun di alam ini. Tamadun Islam meletakkan agama sebagai asas yang kukuh
dalam mengembangkan tamadun. Dalam konteks ini, agama tidak berubah dan yang
berubah hanyalah tamadun yang dikembangkan oleh manusia mengikut kesesuaian
masa dan tempat, pada ukuran akal yang bersesuaian dengan acuan wahyu agama. Oleh
yang demikian, sebarang pembaharuan yang ingin dilakukan di dalam Islam hendaklah
berdasarkan agama dan bukan sebaliknya. Walau bagaimanapun, pembaharuan itu tetap
bersifat fleksibel dan tidak rigid.

Perbezaan antara dua konsep asas tamadun seperti yang dijelaskan di atas adalah
berpunca daripada perbezaan ajaran dan fungsi antara agama yang pelbagai. Pandangan
masyarakat Barat atau tamadun di Eropah tidak memasukkan semua aspek kehidupan
dalam agama seperti yang terdapat dalam Islam. Inilah perkara asas yang menjadi
cabaran awal kepada interaksi antara tamadun.

1.8.2 Konsep Kesepaduan dan Pengawalan

Perjalanan alam dan dunia ini sering dilihat oleh manusia sebagai suatu yang
tersendiri dan tiada kaitan dengan pihak lain. Segalanya berlaku secara kebetulan
dan tiada kaitan dengan ketuhanan. Dalam tamadun sekular Barat, perkara seperti ini

15
adalah jelas. Sekularisme yang menguasai pemikiran mereka mengajar bahawa perkara-
perkara keduniaan hanyalah untuk keduniaan semata-mata dan tiada kaitan dengan
agama. Oleh yang demikian, segala aktiviti yang bersifat keduniaan seperti urusan
perniagaan dianggap sebagai kegiatan sesama manusia sahaja dan tiada hubungan
dengan Tuhan. Apa yang diharapkan hanyalah keuntungan dengan apa cara sekalipun
tanpa terikat dengan perundangan Tuhan.

Undang-undang atau peraturan ciptaan hasil pemikiran manusia untuk mengawal sesuatu
urusan adalah wujud, tetapi dari segi pelaksanaannya adalah bergantung terhadap budi
bicara dan kebijaksanaan manusia dalam mengendalikannya. Dalam keadaan seperti ini,
manusia seolah-olah melakukan sesuatu tanpa keikhlasan, mengetepikan aspek
kebajikan dan sebagainya kerana yang dikejar hanyalah keuntungan dunia. Apatah
lagi sekiranya kita merasakan tiada hubungan ketuhanan terhadap apa yang dilakukan.
Dalam erti kata lain, penipuan boleh berlaku di belakang tabir kerana kawalan manusia
adalah terhad kepada apa yang berlaku di depan mata sahaja dan terlalu longgar.

Keadaan ini adalah berbeza sekiranya dilihat dari perspektif Islam


a p a b i l a hubungan manusia dengan Allah SWT adalah erat dan begitu juga hubungan
manusia sesama manusia. Segala urusan manusia sehari-hari seperti berniaga dan
sebagainya mestilah mengikut akidah, syariat dan akhlak Islam. Walaupun kegiatan
seperti itu hanya dilihat sesama manusia tetapi ia tidak terlepas daripada kawalan Ilahi
sebagai kawalan yang mutlak. Tegasnya, tamadun Islam adalah tamadun yang
terpimpin dan sempurna.

SOALAN DALAM TEKS 1.4

1. Apakah halangan kepada berlakunya interaksi antara tamadun?


A. Bersifat terbuka kepada semua tamadun di dunia.
B. Menekankan kepentingan peribadi dan keluarga.
C. Mengikut falsafah kebahagiaan dan kemakmuran.
D. Terlalu ikhlas dalam melakukan sesuatu.

2. Bincangkan persamaan dan perbezaan antara tamadun berserta


contoh yang sesuai.

3. Bolehkah kepelbagaian tamadun yang wujud di dunia ini


berinteraksi antara satu sama lain? Kemukakan hujah anda
berserta bukti dan contoh-contoh yang relevan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

16
1.8.3 Konsep Kemajuan dan Pembangunan

Kemajuan menurut pandangan sekular Barat diukur berdasarkan keuntungan,


penciptaan perkara-perkara baharu dan sebagainya. Pendek kata, keutamaan hanyalah
diberikan kepada aspek kebendaan dan mengetepikan aspek kerohanian. Islam
mengambil kira kedua-dua aspek tersebut atau dengan lain perkataan, pembangunan
Islam adalah bersifat komprehensif dan multi-dimensional. Islam mengutamakan
kerohanian tanpa mengabaikan aspek kebendaan. Pendidikan ditekankan semenjak
manusia dilahirkan ke dunia ini dan hinggalah ke akhir hayat. Dalam menjalani
kehidupannya, manusia diperintahkan berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya
dalam konteks ekonominya, dan mendapat rezeki yang halal serta tidak mengejar
kejayaan dan kekayaan tanpa batas. Dengan kata lain, keseimbangan antara kemajuan
kebendaan dan kerohanian atau keduniaan dan keakhiratan haruslah berjalan seiring bagi
melahirkan manusia yang sempurna dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

Islam juga mengambil kira bentuk-bentuk pembaharuan yang dilahirkan dan ditemui,
bagaimana dicapai dan matlamatnya. Sebagai contoh, virus komputer adalah suatu
penemuan baharu dalam dunia sains, tetapi Islam tidak mengiktiraf ia sebagai
pembaharuan dan tamadun. Begitu juga Islam menyanjungi kemajuan sains nuklear
tetapi tidak sama sekali membenarkan ia digunakan untuk memusnahkan alam dan
manusia. Oleh yang demikian, kayu ukur sebenar untuk menentukan kemajuan yang
sebenar adalah sejauh mana ia menepati etika kebenaran yang mutlak yang
ditentukan oleh Allah SWT.

1.9 KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, diharapkan anda sudah dapat memahami


secara mendalam tentang tamadun dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Tamadun adalah satu perubahan dan permodenan terhadap alam dan manusia.
Kepelbagaian ideologi dan kefahaman yang wujud telah melahirkan pelbagai takrifan
terhadap tamadun. Dalam masyarakat Barat, mereka melihat tamadun sebagai satu
pencapaian kebendaan dan keduniaan semata-mata, sebaliknya apabila dilihat dari
perspektif agama, tamadun adalah suatu tuntutan yang diwajibkan. Keseimbangan
antara rohani dan jasmani adalah asas penting yang melahirkan tamadun yang unggul.
Atas dasar inilah dibahaskan tentang masyarakat madani, iaitu suatu masyarakat yang
terkandung nilai-nilai yang positif dan merangkumi kedua aspek rohani dan jasmani.
Keadaan ini mungkin berbeza dengan pemikiran masyarakat Barat yang menekankan
pembangunan kebendaan dan menolak kepentingan rohani dalam kehidupan. Tamadun
muncul dan berkembang dalam sesuatu masyarakat dengan merujuk kepada keadaan dan
suasana masyarakat itu sendiri. Justeru, yang menggerakkan tamadun adalah masyarakat
dan yang meruntuhkan tamadun juga adalah masyarakat itu sendiri. Pertimbangan akal
fikiran yang baik akan memastikan berlakunya proses interaksi antara tamadun dan
sifat tolak ansur adalah sesuatu yang mulia dan perlu diberikan keutamaan sekiranya kita
ingin melihat pembangunan masyarakat di dunia ini mencapai tahap yang gemilang dari
segi keamanan sejagat dan kemajuan yang berpanjangan.

17
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Bincangkan dengan jelas definisi tamadun dan kemukakan pendapat ahli


sejarah mengenainya?
2. Apakah yang dimaksudkan dengan al-Hadharah dan al-Madaniyyah?
3. Bincangkan faktor-faktor yang mendorong kemunculan dan perkembangan
sesuatu tamadun.
4. Jelaskan, bagaimanakah berlakunya interaksi antara tamadun?
5. Nyatakan fakta-fakta asas yang membezakan antara tamadun.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 1.1

1. D
2. Salah
3. B
4. Masyarakat yang dibentuk hasil penggabungan pembangunan kebendaan dan
kerohanian.

SDT 1.2

1. C
2. Salah.
3. (i) menjadikan agama sebagai asas utama tamadun.
(ii) memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi.
(iii) tidak kabur terhadap pembangunan kebendaan.

18
SDT 1.3

1. C
2. D
3. (i) perubahan dan peredaran alam dan manusia.
(ii) desakan persekitaran dan keperluan hidup.
(iii) fitrah kejadian dan perkembangan manusia yang memerlukan perubahan
dalam hidup.

SDT 1.4

1. B
2. Perbezaan dan persamaan tamadun:
(i) doktrin agama dalam tamadun.
(ii) konsep kesepaduan dan pengawalan.
(iii) konsep kemajuan dan pembangunan.
3. Tamadun di dunia boleh berinteraksi (lihat subtopik).

19

You might also like